lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

TDM, Muafakat Sejahtera Lunas Hajat Anak Yatim
TDM, Muafakat Sejahtera Lunas Hajat Anak Yatim
KUALA TERENGGANU, 9 April - Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad dan Pertubuhan Muafakat Sejahtera melunaskan hajat 58 anak yatim dan asnaf untuk memiliki baju raya baharu pada Aidilfitri tahun ini. Salah seorang daripada anak yatim, Muhammad Ilham Wafiy, 9, berkata dia sangat gembira dan bersyukur kerana terpilih bersama tiga lagi adiknya untuk menerima bantuan Aidilfitri. Kata Ilham, keprihatinan TDM dan Muafakat Sejahtera memberi keceriaan kepada dia dan adik-adiknya yang baru kehilangan ayah baru-baru ini. “Alhamdulillah saya terharu diberikan peluang berbelanja, memilih sendiri baju baharu di sini dan juga dapat memilih warna tema untuk keluarga kami sempena raya kali ini. "Walaupun sambutan Aidilfitri tahun ini merupakan tahun kesedihan bagi kami sekeluarga yang baru kehilangan ayah di bulan puasa ini baru-baru ini, namun demi semangat kepada ibu dan adik-adik kami cuba meriahkan suasana Aidilfitri ini," katanya ketika ditemui media ketika program itu di Pasar Raya KTCC. Turut hadir Pengerusi Muafakat Sejahtera yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Yahaya Ali, Ketua Pengurusan Risiko TDM, Mohd Mardi Ismail dan Ketua Komunikasi Korporat TDM, Norfarizan Hashim. Sementara itu, Yahaya berkata, anak-anak yatim dan golongan asnaf berusia tujuh hingga 13 tahun terbabit dipilih dari daerah Marang dan Kuala Terengganu. "Apa yang telah kami lakukan adalah dengan membawa mereka ke Pasar Raya Pacific KTCC untuk membeli keperluan raya seperti pakaian, kemudian kami bawa mereka ke Hotel Paya Bunga untuk majlis berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan duit raya setiap seorang. "Saya merasa bersyukur dan seronok melihat anak-anak yatim dan golongan asnaf ini memilih dan membeli pakaian raya serta makan di majlis berbuka tadi," ujarnya ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa. Yahaya turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak TDM Berhad, Paya Bunga Hotel serta semua yang terlibat dalam menjayakan program tersebut. Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, TDM melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR), komited untuk sentiasa berkongsi rezeki bersama masyarakat setempat dan bertepatan dengan bulan Ramadan. "Dalam kita menyambut Ramadan dengan penuh kegembiraan dan juga meraikan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, kita juga mengambil kira golongan kurang bernasib baik yang jarang kali mendapat peluang menyambut bulan mulia ini dengan membeli atau memilih baju raya baharu mereka sendiri. "Kami berbesar hati dapat melibatkan diri dan berharap agar ia menjadi pengalaman serta memori yang indah dan tidak dapat dilupakan. Program ini merupakan salah satu cara untuk kami berbakti kepada masyarakat," katanya.
11 Apr 23
319
Dr Sam Tak Mahu Dabik Dada
Dr Sam Tak Mahu Dabik Dada
KEMAMAN, 11 April - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar enggan mendabik dada ataupun merasa selesa dengan sokongan rakyat dan pemerhati politik atas prestasi cemerlang sepanjang mentadbir negeri ini. Beliau sebaliknya berkata, usaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat akan terus ditingkatkan pada masa akan datang. Katanya, jika PAS terus diberi kepercayaan untuk penggal akan datang, parti itu akan terus meningkatkan mutu perkhidmatan agar segala agenda untuk rakyat akan dapat dijayakan. "Saya tidak memberi markah kepada diri sendiri apa yang penting kami (telah) laksanakan (segala amanah) dengan cara yang terbaik. Namun begitu, sudah tentulah masih ada ruang yang boleh kita tambah baik untuk dilaksanakan. "Sebab itu jika diberi amanah dan ruang oleh rakyat sekali lagi, insya-Allah kami akan memperbaiki segala kelemahan yang lalu serta akan menambah perkara yang tidak boleh dilaksanakan pada sesi (penggal) kali ini kita akan terusakn pada sesi akan datang dengan cara yang lebih baik," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri Program Prihatin Ramadan dan Majlis Perasmian Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Daerah Kemaman, di Masjid Batu 2 1/2, Mak Chili, Kemaman, semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat. Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada kali ini PAS telah melakukan persediaan terbaik termasuk akan membentangkan manifesto di luar jangka khusus untuk rakyat negeri ini. "Telah ada dalam jadual mengenai tarikh akan dilancarkan manifesto, jadi kepada semua tunggulah kedatangannya. "(Mengenai) pembahagian kerusi rundingan peringkat pertama telah dilakukan, ada sedikit lagi perkara yang belum selesai dan saya percaya dalam tempoh yang terdekat akan dapat diselesaikan dan ia telah berjalan," ujarnya lagi.
11 Apr 23
768
Kerajaan Terengganu Serah Semula 7,601 Tanah ‘Dirampas’
Kerajaan Terengganu Serah Semula 7,601 Tanah ‘Dirampas’
KUALA TERENGGANU, 11 April - Sebanyak 7,601 lot tanah di negeri ini yang didakwa ‘dirampas’ atau ditarik balik haknya oleh kerajaan terdahulu sudah dikembalikan semula kerajaan sedia ada kepada rakyat sejak 2019 hingga 2022. Menurut Pejabat Tanah dan Galian (PTG) negeri, bilangan itu menjadikan penyelesaian tanah terkilan tersebut mencecah 86 peratus daripada 8,834 permohonan. Berdasarkan data itu, Kemaman mencatatkan jumlah penyelesaian tertinggi apabila merekodkan 2,195 lot tapak rumah dan pertanian berbanding daerah-daerah lain. Manakala, Setiu (1,707), Dungun (1,516), Besut (1,165), Marang (452), Hulu Terengganu (353), Kuala Nerus (152) dan Kuala Terengganu (41). Perkembangan ini menyaksikan kerajaan Terengganu yang ditadbir PAS kini berjaya menunaikan janji manifesto pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 iaitu mengembalikan tanah-tanah yang dirampas kerajaan terdahulu selepas 2004 dan membuka permohonan tanah baru dengan memberi geran kekal. Sebelum ini Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, manifesto adalah janji kerajaan kepada rakyat dan bukan suatu perkara yang menjadi mainan. Katanya, secara keseluruhan jumlah tanah terkilan  yang layak dimohon seluruh negeri dari tahun 1999 hingga 2004 adalah seramai 12,946 orang. Beliau turut mengumumkan peserta terkilan hanya perlu membayar premium tanah sebanyak 10 peratus pada harga asal tahun 1999 hingga 2004. “Sebagai satu contohnya, di kawasan Sungai Toman. Menurut Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, jika dahulunya nilaian tanah di situ pada kadar RM6,300 satu lot pada tahun 1999-2004, tetapi sekarang kadar (harga) semasa ialah RM28,000 satu lot. “Namun premium sebenar yang perlu dijelaskan oleh peserta terkilan ini hanya 10 peratus daripada nilaian lot lama, dan ini merupakan penjimatan yang amat besar diterima oleh rakyat berbanding nilaian semasa. “Kita faham bagaimana rakyat perlu kepada tanah dan tentunya perlu kepada rumah. Kita hendak beri belaka kepada rakyat Terengganu yang cukup syarat. Tetapi, cara pembahagiannya memakan masa dan kita buat setakat mana sempat dalam tempoh setahun ini,” jelasnya dalam satu majlis agihan tanah di Besut.
11 Apr 23
1136
300 Pelajar Teruja Terima 'Duit Raya' Daripada MB
300 Pelajar Teruja Terima 'Duit Raya' Daripada MB
KEMAMAN, 11 April - Seramai 300 pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, SMK Mak Lagam, Sekolah Menengah Agama Al-Falah, Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (AYTK) serta Maahad Tahfiz menerima 'duit raya' atau sumbangan khas daripada Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semalam. Ahmad Samsuri berkata, agihan sempena Program Prihatin Ramadan dan Majlis Berbuka Puasa serta sambutan Nuzul Al-Quran peringkat daerah itu bertujuan meringankan bebanan pelajar kurang berkemampuan. "Seramai 300 orang pelajar menerima sumbangan ini bertujuan untuk membantu mereka bagi meneruskan pelajaran," ujarnya kepada media. Turut bersama dalam program Prihatin Ramadan Bersama MB di Kemaman, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat. Sebelum ini program seumpama itu telah diadakan di Marang, Kuala Nerus dan Dungun sekali gus menjadikan Kemaman merupakan daerah keempat ia diadakan. Dalam pada itu, Ahmad Samsuri menzahirkan perasaan gembira kerana dapat bersama dengan masyarakat di daerah tersebut. "Saya telah bersama dengan masyarat di sini untuk sambutan Prihatin Ramadan dan juga pada hari ini saya turut merasmikan sambutan Nuzul al-Quran bagi peringkat Kemaman. "Selepas ini akan ada (empat) lagi daerah yang akan saya turun untuk bersama-sama seluruh masyarakat Terengganu," ujarnya.  
11 Apr 23
483
‘Influencer’ Bukan Lesen Langgar Syariat
‘Influencer’ Bukan Lesen Langgar Syariat
KUALA TERENGGANU, 11 April – ‘Influencer’ atau pempengaruh dipesan agar tidak terperangkap dengan populariti sehingga sanggup menggadai prinsip agama. Penulis buku, Norli Madlan atau lebih dikenali sebagai Bonda Nor turut mengingatkan para penggiat media sosial agar memanfaatkan ruang tersebut dengan dakwah. “Sangat besar tanggungjawab yang digalas oleh seorang pempengaruh, jangan sekadar pandang seronoknya jadi ‘glamour’, mampu jana pendapatan dan sebagainya. “Namun, betulkan niat agar mampu memberi manfaat kepada orang lain terutamanya buat pengikut kita. Gunakan jawatan tersebut untuk berkongsi kebaikan, nescaya Allah membuka lebih banyak cabang kebaikan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Program Himpunan Influencer Terengganu di Dataran Jambatan Angkat, Kuala Terengganu di sini kelmarin. Bonda Nor turut memuji sikap influencer anak muda Terengganu, Sukri Sulaiman kerana tegas dalam pemilihan pelakon serta jalan cerita agar tidak melanggar batas agama.  
11 Apr 23
368
Mahasiswa Kagum Pengisian Madinah Ramadan Terengganu
Mahasiswa Kagum Pengisian Madinah Ramadan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 April – Seramai 70 orang mahasiswa yang terlibat dengan street dakwah di sini meluahkan rasa kagum terhadap pengisian Madinah Ramadan sepanjang bulan puasa di Terengganu. Muhammad Attif Hannan Arifin, 22, berkata Madinah Ramadan pada tahun ini menunjukkan kelainan dari pelbagai sudut khususnya tempat yang luas, strategik dan sesuai bagi semua lapisan masyarakat untuk berhimpun di sini. Di samping itu katanya, pelbagai kemudahan yang disediakan oleh penganjur seperti penghawa dingin di dalam khemah, tandas yang selesa dan letak kereta yang luas untuk pengunjung datang ke tempat program. “Program Madinah itu perlu dilaksanakan dan diteruskan pada setiap tahun kerana ia merupakan medan terbaik untuk berdakwah. “Ia seiring dengan dasar kerajaan iaitu Terengganu Maju Berkat dan Sejahtera (TMBS),” katanya ketika dihubungi oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini. Dia yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Terengganu, bersetuju dan menyokong segala pelan tanduk yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri. “Inisiatif itu juga merupakan akses terbaik bagi golongan belia, anak muda dan siswa untuk berhubung antara satu sama lain bagi menukar pendapat dan idea untuk menyebarkan dakwah di negeri ini. Sementara, seramai lebih 70 orang mahasiswa GAMIS terlibat dalam menjayakan program Street Dakwah di sekitar kawasan Madinah Ramadan. “Ia bertujuan untuk berdakwah kepada orang awam sekali gus mengajak dan menerangkan kepada mereka tentang pengisian program yang ada di Madinah Ramadan ini. “Program yang bermula pada Jumaat lepas sekitar jam 5.00 petang itu berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang baik oleh pengunjung yang hadir ke sekitar tapak program,” ujarnya.  
10 Apr 23
314
Pesta Pelita Raya Iringi Malam Tujuh Likur
Pesta Pelita Raya Iringi Malam Tujuh Likur
KUALA TERENGGANU, 10 April – Kemeriahan acara tahunan kalendar pelancongan negeri iaitu Pelita Raya Terengganu 2023 (PeliTer) diteruskan menjelang 10 hingga 18 April dalam 10 akhir Ramadan. Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria berkata, acara berkenaan menjadi produk pelancongan buat negeri ini sejak 2020 bermula jam 9 malam sehingga 12 tengah malam. “Kita memilih untuk mengekalkan Kampung Budaya di Muzium Negeri sebagai lokasi PeliTer 2023 dengan menjanjikan kemeriahan melalui penyertaan lapan daerah yang terlibat. “Kelainan bagi edisi ini adalah penampilan pelbagai variasi pelita raya yang mungkin tidak pernah dilihat oleh masyarakat moden,” katanya dalam siri Bicara Jabatan Kerajaan di Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini. Beliau turut memaklumkan, Pihak Berkuasa Tempoatan (PBT) akan menyediakan juadah tradisional berkonsepkan moreh sepanjang acara berlangsung. Terdahulu, PeliTer 2022 menjadi bualan ramai di media sosial kerana keunikan terhadap pelita raya berasaskan buah kekabu termasuklah dengan jumlah kehadiran pengunjung seramai 20,000 orang. Kemeriahan Malam Tujuh Likur menjadi tradisi yang kembali dihidupkan dalam menerangi laluan bagi Muslim yang pulang lewat dalam beribadah mengejar ganjaran Lailatul Qadar.
10 Apr 23
462
Remaja 18 Beradik Sebak Dapat Baju Raya
Remaja 18 Beradik Sebak Dapat Baju Raya
KUALA TERENGGANU, 10 April - Seorang remaja daripada 18 beradik, Mohd Amirul Najmie Nordin 13, sebak ketika meluahkan rasa gembira apabila menerima sumbangan baju raya di Mydin Mall Kuala Terengganu baru-baru ini. Anak ke-16 itu terharu dan bersyukur atas sumbangan yang dijayakan bersama Epic Berhad, Iman Partner Consult dan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan. "Saya tidak tahu bagaimana nak mengucapkan terima kasih kepada yang menyumbang.  "Saya hanya ingin mengucapkan terima kasih sebanyak-banyaknya atas sumbangan baju raya ini. Ini benar-benar membantu saya dalam persiapan menyambut lebaran tahun ini," katanya kepada pemberita semasa program Kasih Ramadan bersama Anak Yatim dan Asnaf.   Amirul, yang masih bersekolah tingkatan satu tinggal bersama keluarganya di sebuah rumah kecil di Kampung Bukit Jetit, Marang. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong menyatakan selain Amirul, ramai lagi golongan asnaf dan anak yatim yang menerima sumbangan berkenaan. "Alhamdulillah, kita mengadakan program Kasih Ramadan, meraikan anak-anak yatim dan juga asnaf dalam DUN Pengkalan Berangan dengan memberi sumbangan pakaian raya kepada 144 orang penerima dengan peruntukkan RM150 seorang," ujar beliau.   Sulaiman juga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada para penyumbang yang banyak membantu golongan kurang berkemampuan. "Sumbangan ini ditaja oleh Epic Berhad, Iman Partner Consult dan PKM DUN Pengkalan Berangan. Terima kasih diucapkan kepada para penyumbang dan semua yang terlibat termasuklah pihak MYDIN yang turut mengambil bahagian dengan memberikan sumbangan beg untuk setiap seorang," jelasnya.
10 Apr 23
402
Ibadah Puasa Terbukti Baik Untuk Kesihatan
Ibadah Puasa Terbukti Baik Untuk Kesihatan
KUALA TERENGGANU, 10 April - Pelbagai kajian yang telah dijalankan dan terbukti banyak kebaikan yang diperolehi oleh badan melalui ibadah berpuasa khususnya dari sudut kesihatan. Pakar Perubatan Keluarga, Dr Suhazeli Abdullah berkata, kajian yang dijalankan membuktikan bahawa sebanyak 10 hingga 30 peratus penyakit dapat dikurangkan melalui berpuasa. Katanya, penyakit itu terdiri daripada kencing manis, strok, darah tinggi dan lain-lain penyakit. "Manakala, penurunan berat badan pula dapat dikurangkan sebanyak lima hingga 10 peratus akibat menahan diri daripada makan dan minum pada siang hari. “Hal ini kerana, badan kita dapat berehat dengan lebih baik pada bulan puasa ini setelah 11 bulan menjalani pemprosesan makanan yang berat. “Perut kita ibarat enjin iaitu apabila kita makan selama enam kali setiap hari selama 11 bulan menyebabkan perut tidak dapat berehat dan timbul pelbagai penyakit,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Program Madinah Ramadan yang berlangsung di Dataran Drawbridge di sini baru-baru ini. Tambah Dr Suhazeli, orang luar juga mengkaji dan menemui pelbagai penemuan, kebaikan dan keajaiban melalui ibadah puasa ini. Beliau berkata, khusunya dalam melibatkan pelbagai jenis penyakit yang ada dalam badan kita. “Setiap kali makanan masuk dalam badan kita, perut bahagian atas sekali akan menahan makanan itu terlebih dahulu dalam dua hingga empat jam sebelum turun ke bawah. “Proses itu mengambil masa dalam lebih kurang lapan jam untuk hadam sesuatu makanan,” katanya. Sementara itu, manusia menggunakan tenaga melalui makanan yang dimakan seperti nasi dan seterusnya nasi itu akan diserap dalam badan kita untuk menjanakan tenaga. Namun, apabila berpuasa, tenaga yang digunakan oleh manusia diperolehi melalui simpanan lemak di pelbagai sudut bahagian dalam badan kita. “Iaitu melalui pembentukan glukosa baru yang akan memecahkan lebihan lemak dalam badan untuk digunakan menjadi tenaga. “Pelbagai kajian yang dijalankan dan terbukti bahawa setiap perkara yang dibawa oleh ajaran Islam memberi kebaikan untuk manusia,” ujarnya.      
10 Apr 23
203
Nuzul Al-Quran : Mesej Tersirat, Penuh Hikmah
Nuzul Al-Quran : Mesej Tersirat, Penuh Hikmah
KUALA NERUS, 9 April -Sambutan Nuzul al-Quran yang disambut pada 17 Ramadan oleh seluruh umat Islam mengandungi rahsia serta mesej tersirat penuh hikmah di sebalik peristiwa agung tersebut. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, perlu disedari peristiwa besar yang berlaku dalam sejarah itu menunjukkan al-Quran perlu dijadikan panduan utama serta rujukan terpenting umat Islam sepanjang zaman. Kerana itu katanya, isi kandungannya bukan hanya sekadar untuk dibaca semata-mata tanpa diketahui maksudnya, sebaliknya perlu difahami dengan jelas untuk mencapai kejayaan hidup di dunia dan akhirat. "Mengandungi seluruh aspek daripada sekecil perkara sehingga sebesar perkara kita dididik melaluinya. "Proses Pendidikan berteraskan al-Quran ini adalah sepanjang hayat bagi mendapatkan jiwa yang suci untuk kembali kepada Allah. Setiap kandungannya perlu diambil pelajaran dan dipraktikkan dalam diri," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran, Peringkat Negeri Terengganu, di Masjid Kampung Tok Jembal, di sini, semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah. Mengulas lanjut Satiful berkata, masyarakat Melayu lazimnya sejak kecil mengambil berat mengenai pendikan al-Qur'an namun hanya sekadar mementingkan kemahiran membacanya sahaja. "Semenjak dahulu dalam masyarakat ibu-bapa akan menghantar anak-anak ke kelas al-Quran dan terehenti apabila sudah khatam dan disambut dengan tradisi 'pulut kuning' yang telah sinonim sejak dahulu. "Tanpa melalui satu peringkat lagi untuk memahaminya sehinggakan walaupun sudah berusia Masih tidak memahami 'kalamullah' sedangkan ia turut dibaca dalam solat. "Alangkah malunya kita kepada Allah jika kita boleh belajar, menguasai serta memahami bahasa Inggeris, Mandarin, dan pelbagai bahasa lagi tetapi al-Qur'an yang sering dibaca ini kita tidak fahami maksudnya," ujarnya. Justeru itu katanya, umat Islam pada hari ini perlu gunakan masa dan kesempatan yang ada untuk meneliti mesej yang terkandung di dalamnya untuk dijadikan panduan utama dalam mengamalkan Islam yang syumul dalam kehidupan.    
09 Apr 23
283