lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

600 Terima Manfaat Kad Sejahtera di Permaisuri
600 Terima Manfaat Kad Sejahtera di Permaisuri
SETIU, 12 Mac : 600 orang penerima Kad Sejahtera peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri bakal terima manfaat pembiayaan rawatan kesihatan. Pegawai Penyelaras, Zul Bhari A Rahman berkata, penerima Kad Sejahtera yang terpilih menerima inisiatif ini adalah mereka yang bertuah dan sebaiknya dimanfaatkan semaksima mungkin. "Alhamdulillah, hasil usaha pimpinan kerajaan hari ini memikirkan usaha yang terbaik bagi memberikan kesejahteraan kepada rakyat melalui pembiayaan rawatan kesihatan,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Penyerahan dan Taklimat yang diadakan di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, Sungai Tarom semalam. Sebanyak RM 500 diperuntukkan setahun dengan 13 jenis rawatan asas dan pembedahan kecil melalui klinik panel yang terpilih bagi tujuan tuntutan rawatan. Kad Sejahtera adalah manifesto yang ditawarkan oleh PAS Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu dan telah berjaya ditunaikan. Rata-rata ditemui mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas inisiatif yang baik ini dan berharap usaha ini diteruskan pada masa akan datang.  
12 Apr 23
279
'Insya-Allah Masalah Sampah Tidak Berulang Waktu Perayaan'
'Insya-Allah Masalah Sampah Tidak Berulang Waktu Perayaan'
KUALA TERENGGANU, 11 April - Kerajaan negeri kini bersiap bersedia menguruskan penambahan sampah sarap sempena sambutan Hari Raya Aidifitri tidak lama lagi dan memberi jaminan masalah longgokan sampah tidak berlaku. Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya menjangkakan jumlah janaan sampah menjelang perayaan Aidilfitri tahun ini meningkat sehingga tiga kali ganda daripada hari biasa susulan kepulangan perantau ke kampung halaman masing-masing. "Kita sudah melakukan perancangan dan persiapan rapi malah saya sudah sebut dalam mesyuarat supaya exco terlibat (Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak) mengambil langkah menghadapi potensi peningkatan sampah seperti tahun-tahun lalu. "Datuk Dr Alias maklumkan beberapa tindakan sudah dirangka dan akan dibuat bagi mengatasi masalah ini, kita harap tahun ini lebih berjaya dalam mengawal sampah," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pelan Tindakan Khas Muara KTCC ( Garis Panduan Reka Bentuk Bandar Dan Lanskap) di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Jelasnya, kerajaan negeri juga tidak bercadang untyk menggunakan khidmat luar seperti tahun lalu kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) telah memberi jaminan bahawa mereka mampu menguruskan sendiri sampah sarap tersebut. "Kita jangka sekurang-kurangnya tiga kali ganda peningkatan (sampah) dan ia memerlukan kerjasama semua pihak sama ada pengguna atau PBT. Harap semua berdisiplin masukkan sampah ke dalam tong dan tidak baling merata-rata," katanya. Sementara itu Dr Alias ketika ditemui berkata, hanya tiga zon iaitu dua di Kuala Terengganu dan satu di Marang yang berdepan dengan masalah pengurusan sampah berikutan kontraktor dilantik tidak kompeten dalam melaksanakan tanggungjawab. Jelas beliau, kontraktor terlibat sudah ditamatkan kontrak dan pengurusan sampah di tiga zon berkenaan kini diambil alih semula oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Majlis Daerah Marang (MDM). "MBKT dan MDM beri komitmen dan sentiasa bersedia dengan situasi ini, jadual bertugas telah digandakan, fasiliti tong sampah ditambah termasuk jentera. "Oleh itu kita harap pengurusan sampah pada Aidifitri kali ini dapat diuruskan dengan baik agar tiada lagi aduan dari masyarakat," katanya.
12 Apr 23
294
Paduka Anakanda Sultan Terengganu Bertemu Rakyat di Bazar Ramadan
Paduka Anakanda Sultan Terengganu Bertemu Rakyat di Bazar Ramadan
KUALA TERENGGANU, 12 April- Para pengunjung serta peniaga-peniaga di Bazar Ramadan Dataran Shahbandar, begitu teruja apabila Anakanda-anakanda Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli lokasi tumpuan itu, petang semalam. Pengusaha makanan Putu Bambu, Muhamad Hafizul Hakim Mohd Afzal,28, bersama rakan-rakannya, Muhammad Nur Irsyad Mohd Amran,18 dan Abdul Azim Wais Zamri,18 amat berterima kasih atas kunjungan baginda itu. "Kami rasa bangga dengan kedatangan tuanku, lebih-lebih lagi baginda turut berkenan menjual putu bambu di gerai kami kami," katanya. Selain beramah mesra ingin mengetahui akan juadah-juadah yang dijual, paduka anakanda -anakanda turut menyampaikan kurnia kepada kanak-kanak serta berkenan berswafoto bersama sebahagian pengunjung ketika bertemu rakyat yang berada di sana. Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin pada sekitar jam 5.30 petang diiringi kekandanya, Tengku Puteri Utama Raja serta adinda-adindanya, Tengku Sri Setia Mahkota Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja. Keberangkatan tiba baginda disambut Setiausaha Kerajaan Negeri; Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT); Rosli Latif, pegawai daerah Kuala Terengganu, Ahmad Faris Abdul Razak serta pegawai-pegawai kerajaan negeri. Yang di-Pertuan Muda Terengganu bersama paduka anakanda -anakanda berangkat pada pada jam 6.10 petang.        
12 Apr 23
973
Disiplin Tinggi Kunci Kejayaan Atlet Terengganu
Disiplin Tinggi Kunci Kejayaan Atlet Terengganu
KUALA TERENGGANU, 12 April – Disiplin diri dan sifat sabar yang tinggi dalam diri setiap atlet Terengganu sama ada di dalam atau di luar gelanggang menjadi kunci kejayaan dalam setiap kejohanan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, disiplin itu boleh dilihat dalam bulan Ramadan kerana ia sangat mencabar  bagi setiap atlet dalam menjalani latihan, perlawanan dan sebagainya. "Namun, ia bukanlah halangan bagi atlet, kita boleh nampak melalui perkongsian panel-panel yang berpengalaman pada hari ini yang sangat memberi inspirasi kepada kita semua. "Panel-panel terdiri daripada pemain Pasukan Terengganu Football Club (TFC1), Muhammad Rahadi Azli Rahalim, Muhammad Azam Azmi Murad dan Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Salleh. “Selain itu, bersukan dalam bulan puasa ini juga merupakan cabaran yang luar biasa bagi seseorang atlet untuk menguji diri sekali gus menunaikan tuntutan wajib dalam ajaran Islam,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika menghadiri Himpunan Atlet Terengganu sempena Madinah Ramadan bertempat di Dataran Jambatan Angkat, Kuala Terengganu di sini semalam. Tambah Wan Sukairi, melalui usaha yang luar biasa dapat menjadikan seseorang itu lebih ke depan. "Setiap atlet perlu memanfaatkan setiap peluang yang ada untuk berjaya dalam bidang sukan," jelasnya. Program yang bermula pada jam 6.00 petang itu berjalan dengan lancar serta mendapat sambutan yang meriah oleh peserta-peserta dan pengunjung yang hadir. Peserta tersebut terdiri daripada pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Sukan Bukit Nenas dan Sekolah Sukan Gong Badak. Program yang menerima kehadiran lebih 1,000 orang itu berakhir pada jam 7.10 petang dan diteruskan dengan majlis berbuka puasa serta solat maghrib berjemaah bersama.    
12 Apr 23
381
SATU Laksana Pelan Kontingensi Air Menjelang Aidilfitri
SATU Laksana Pelan Kontingensi Air Menjelang Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 12 April – Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) melaksanakan Pelan Kontingensi Air menjelang Aidilfitri nanti bagi menangani kemungkinan gangguan bekalan air. Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ts Abdul Karim Endut berkata, pihaknya telah mengenalpasti lapan kawasan di daerah Marang sebagai kawasan yang berpotensi mengalami bekalan tidak stabil atau bertekanan rendah menjelang Aidilfitri tidak lama lagi. Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ts. Abdul Karim Endut berkata ia melibatkan Kampung Gong Kasim, Bukit Kecil, Durian Pahit, Gong Balai, Pasir Putih, Alor Ketitir, Fakir dan Felda Rantau Abang 1. “Ini berikutan kerja-kerja projek menaiktaraf paip utama dari LRA Kepong ke tangki utama MIEL dan Gondang belum siap sepenuhnya dan mencapai tahap 90 peratus. “Justeru itu, SATU telah membuat perancangan proaktif dengan menempatkan tangki-tangki statik di 32 lokasi yang sudah dikenal pasti bagi memudahkan para pengguna mendapat bekalan air bersih sepanjang perayaan ini,”katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Iftar Dan Apresiasi Bersama Para Pengamal Media di Hotel Paya Bunga, semalam. Tambahnya lagi, pihaknya juga meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air bagi memastikan pengoperasian yang lebih efisien, dinamik serta memberi keselesaan kepada pengguna terutama menjelang Aidilfitri.  “Untuk makluman seminggu sebelum hari raya dan seminggu selepas raya, kita akan hentikan sementara kerja-kerja yang boleh mengganggu operasi logi supaya kita boleh kekalkan operasi loji itu,” ujar beliau. Dalam masa yang sama, Abdul Karim turut  berkongsi pencapaian dan kejayaan penambahbaikan yang dilaksanakan SATU bagi meningkatkan tahap perkhidmatan bekalan terutamanya menjelang musim perayaan menerusi beberapa projek utama seperti projek Kuala Terengganu Utara (KTU) yang merangkumi pembinaan LRA Losong Pakej dan LRA Berapit.  “Pihak SATU turut memfokuskan kerja-kerja penambahbaikan di beberapa daerah utama seperti di Setiu menerusi projek penaiktarafan LRA Kemudu, projek pemasangan sistem pam penggalak di Jerteh, Besut serta rehabilitasi sistem pengepaman LRA Hulu Terengganu yang telah berjaya disempurnakan sekaligus menyelesaikan situasi bekalan di daerah-daerah tersebut,”katanya.
12 Apr 23
824
KDN Rampas 4,320 Naskah Al-Quran
KDN Rampas 4,320 Naskah Al-Quran
KUALA TERENGGANU, 11 April – Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 4,320 naskah al-Quran tanpa kelulusan dalam Op Mulia yang diadakan bermula awal Ramadan sehingga semalam. Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata nilai rampasan tersebut dianggarkan berjumlah RM250,000 di seluruh negara. Menurutnya, naskhah dan bahan al-Quran itu dipercayai dicetak serta dibawa masuk dari negara jiran tanpa kelulusan Lembaga Pengawalan dan Perlesanan Percetakan al-Quran KDN.  “Di Terengganu, pelbagai naskhah al-Quran turut dirampas yang tidak mempunyai kelulusan membabitkan nilai RM36,870. “Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 7(1) dan Seksyen 8(1) Akta Percetakan Teks al-Quran (APTQ) 1986,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Sidang media rampasan Al-Quran dan bahan teks Al-Quran di bawah akta APTQ 1986 dan akta AMCP 1984 bersama setiausaha bahagian penguatkuasaan dan kawalan (PK) bertempat di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Dan Kawalan Negeri Terengganu di sini hari ini. Tambah Nik Yusaimi, modus operandi premis yang diperiksa adalah mereka mengedar dan menjual al-Quran termasuk al-Quran digital sebagai sumber pendapatan utama secara fizikal serta melalui atas talian. Beliau berkata, hasil risikan yang dijalankan terdapat premis yang sudah beroperasi dan menjalankan perniagaan tanpa perakuan sejak tahun lalu termasuk seorang lelaki yang ditahan di daerah Besut. Sementara itu, Op Mulia dibuat bertujuan membanteras pengedaran dan penjualan al-Quran serta bahan al-Quran tanpa perakuan yang menyalahi Akta Percetakan Teks al-Quran (APTQ) 1986. “Amalan membaca al-Quran tanpa kelulusan dibimbangi boleh mengelirukan masyarakat berkaitan sebutan, bacaan dan maksud yang tidak tepat,” katanya.        
11 Apr 23
360
'Fun Ride Sahur' Bantu Golongan Asnaf
'Fun Ride Sahur' Bantu Golongan Asnaf
MARANG, 11 April - Seramai hampir 100 orang asnaf mendapat manfaat melalui program 'Fun Ride Sahur’ peringkat Daerah Marang semalam. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, sebanyak tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlibat dalam program itu. Katanya, DUN Bukit Payong selaku tuan rumah di samping turut melibatkan DUN Alur Limbat dan DUN Pengkalan Berangan.  "Program yang bermula pada jam 10 malam itu berjalan dengan lancar serta mendapat sambutan yang meriah oleh masyarakat setempat sepanjang program itu berlangsung. “Ia bertujuan untuk mendekatkan golongan muda seterusnya menarik orang ramai untuk beriadah sambil beramal pada bulan yang mulia ini," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika program 'Fun Ride Sahur' yang bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Sena Rendang di sini semalam. Tambah Mohd Nor, pihak keselamatan juga mengawal dengan baik perjalanan berbasikal mengelilingi kawasan yang ditetapkan menuju ke tempat program. “Program tersebut berakhir pada jam 1.00 pagi dan diakhiri dengan cabutan bertuah bernilai RM 5000 disediakan kepada peserta dan pengunjung bertuah beserta jamuan moreh,” ujarnya. Sementara itu, program itu anjuran bersama Unit Perancang Ekonomi Terengganu (UPEN), Pejabat Daerah Marang, Polis Daerah Marang, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Marang dan Pejabat Dun Bukit Payong.        
11 Apr 23
152
Projek Muara KTCC Bakal Dibangunkan Dengan Lebih Teratur
Projek Muara KTCC Bakal Dibangunkan Dengan Lebih Teratur
KUALA TERENGGANU, 11 April - Sebarang projek Muara Kuala Terengganu City Centre (KTCC) bakal dibangunkan mengikut Pelan Tindakan Khas supaya lebih teratur bagi memastikan pembangunan yang seimbang dan moden. Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya komited dalam meningkatkan potensi pembangunan dan pertumbuhan ekonomi khususnya bagi menjadikan muara KTCC sebagai sebuah zon khas ekonomi, kawasan pembangunan pelaburan berimpak tinggi di Terengganu. "Oleh sebab itu, Pelan Tindakan Khas yang bermula beberapa bulan lepas telah diperhalusi dari susun atur supaya menjadi panduan utama dalam pelaksanaan perancangan dan kawalan pembangunan bagi kawasan muara KTCC tidak caca marba (tidak teratur). "Kesemua pembangunan mesti diambil kira terutama susun atur dan ketinggiannya supaya tidak menenggelamkan jambatan ikonik iaitu jambatan angkat Kuala Terengganu," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pelan Tindakan Khas Muara KTCC ( Garis Panduan Reka Bentuk Bandar Dan Lanskap) di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Tujuh agensi yang terlibat ialah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Terengganu Incorporated Sdn Bhd dan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT). Tambahnya, penyediaan kajian di kawasan seluas 255 hektar melibatkan tiga presint utama iaitu hiburan dan riadah, pusat perdagangan serta warisan dan budaya sebagai bandar pesisir air yang dinamik, berdaya huni dan mampan. Ahmad Samsuri juga berkata, pihaknya akan mengutamakan pelabur-pelabur daripada syarikat-syarikat swasta terlebih dahulu kerana faktor kos kewangan yang tinggi bagi tujuan tersebut. "Kalau ada, mungkin anak syarikat seperti Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan LTAWNT yang akan bekerjasama membangunkan projek di situ," katanya.
11 Apr 23
1190
PeliTer 2023 : Sasar 20,000 Pengunjung
PeliTer 2023 : Sasar 20,000 Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 11 April – Jabatan Pelancongan Terengganu meletakkan sasaran seramai 20,000 orang pengunjung sepanjang program Pelita Raya Terengganu (PeliTer) 2023 di Kampung Budaya Terengganu, Muzium Negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata sasaran tersebut adalah melebihi angka pengunjung pada tahun lepas. “Program ini diadakan selama lima hari bermula 14 April hingga 18 April dengan tema Comeynya PeliTer itu mengetengahkan konsep ‘1 Pejabat Daerah 1 Rumah Tradisi’. “Ini adalah kesinambungan daripada program lepas dengan penambahbaikan dan kita yakin program kali ni lebih baik serta meriah dengan sambutan orang awam,” katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media dan lawatan tapak ke PeliTer @KBT di Kampung Budaya Terengganu, Muzium Negeri, di sini hari ini. Ariffin juga memaklumkan caj kemasukan ke PeliTer adalah RM1 bagi dewasa manakala percuma bagi orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak bawah umur enam tahun. Pertandingan fotografi serta video Tik Tok di tapak program juga dibuka buat orang awam dengan keseluruhan hadiah berjumlah RM2,500.  
11 Apr 23
528
Raya Mengejut?
Raya Mengejut?
KUALA TERENGGANU, 11 April - Isu raya awal seperti tahun lalu sedang menjadi perbincangan hangat dalam kalangan netizen pada hari ini kerana khuatir akan berlaku kekalutan sepertimana sambutan hari kebesaran umat Islam itu sebelum ini. Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof. Madya Dr Baharrudin Zainal berkata, pengalaman tahun lalu telah menjadi faktor kenapa ia begitu rancak diperkatakan. "Ramalan ini juga berlaku kerana ramai masyarakat pada hari ini memiliki kemahiran dan kecenderungan menggunakan perisian yang boleh menerbitkan maklumat melihat anak bulan syawal tanpa memadankannya dengan kaedah dan hukum syarak yang terpakai di negara kita. "Perkara ini juga menjadi kecoh mungkin disebabkan mendapat maklumat bahawa satu kumpulan Islam terbesar di negara jiran (Indonesia) telah menetapkan tarikh hari raya pada Jumaat, kena ingat dalam kaedah ini negara kita tidak menggunakan 'hisab hakiki wujudul hilal'. "Negara kita menggunakan kaedah hisab dan rukyah, kena faham perbezaan sistem hukum yang terpakai ataupun menepati kriteria astronomi yang digunakan di negara kita," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, hari ini. Dalam pada itu katanya, perkara itu diperhangatkan lagi apabila Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpengkalan di Emeriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan kemungkinan penghujung Ramadan adalah 20 April. "Kita mengamalkan sunnah 'Imkanur Rukhyah', di mana negara lain yang menggunakan kaedah 'hisab hakiki' mereka mengumumkan awal perkara itu hanya daripada badan-badan astronomi bukan pihak berkuasa agama. "Saya rasa masyarakat kena belajar banyak perkara bukan sahaja tahu untuk menggunakan perisian dan mendapat maklumat melalui internet tanpa mengetahui cara dan kaedah yang terpakai di ngeara kita. "Kemungkinan berlaku raya awal di negara kita amat tipis sebab tidak ada dalam rekod anak bulan dijangkakan penampakannya sangat muda dan dijangka berada rendah di ufuk dua darjah lebih rendah daripada apa yang dapat dilihat pada tahun lepas,"ujarnya. Terdahulu, 20 April telah ditetapkan sebagai tarkh melihat anak bulan membabitkan Bukit Besar (Kuala Terengganu), Batu Geliga (Kemaman), Pulau Perhentian (Besut), Balai cerap KUSZA, Mukim Merang (Setiu).
11 Apr 23
1551