lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Piala FA: TFC 'Ratah' Melaka
Piala FA: TFC 'Ratah' Melaka
KUALA NERUS, 15 April – Terengganu FC (TFC) memanfaatkan kelebihan beraksi di halaman sendiri apabila menundukkan Melaka FC 4-0 pada aksi Piala FA, malam tadi. Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), skuad kendalian Tomislav Steinbruckner turun dengan hasrat mencari kemenangan pertamanya dalam saingan Piala FA pada musim ini. Pada aksi tersebut, TFC tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan pada minit ke-4 menerusi penyerang import, Ivan Mamut yang melakukan rembatan dari dalam kotak penalti untuk TFC mendahului 1-0. TFC yang bermula garang itu terus melancarkan serangan ke kubu pertahanan lawan, namun pada minit ke-34 percubaan Ivan Mamut berjaya digagalkan penjaga gol lawan, Muhammad Daniel. Bersambung babak kedua, skuad tuan rumah hampir memecah kebuntuan gol pada minit ke-57 apabila rembatan Muhammad Safwan diselamatkan penjaga gol lawan hasil hantaran cantik Arif Fadzilah. Pada minit ke-70, Stadium Sultan Mizan kembali bergema apabila Mohamad Hakimi berjaya menambah jaringan kedua menerusi rembatan padu dari dalam kotak penalti membolosi pintu gol pelawat. Berselang 12 minit, Jordan Mintah menggamatkan sorakan lebih 5,000 penyokong tuan rumah dengan gol ketiga Terengganu FC melalui umpanan cantik pemain tengah, Omid Nazari. Memasuki masa tambahan, Jordan terus menambah derita Melaka FC apabila melengkapkan gol keempat bagi memastikan kemenangan bergaya 4-0 memihak TFC.  
14 Apr 23
406
Madinah Ramadan ‘Bercahaya’ Dengan Qiamulail
Madinah Ramadan ‘Bercahaya’ Dengan Qiamulail
KUALA TERENGGANU, 14 April - Madinah Ramadan di Tapak Jambatan angkat (Drawbridge), Kuala Terengganu pagi tadi dihidupkan dengan Program Qiamullail Perdana anjuran Kerajaan Negeri. Program tahunan itu turut dihadiri Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman. Ahmad Samsuri dalam ucapan perasmian berharap agar program demikian menjadi pemangkin terhadap semua lapisan masyarakat mengejar ganjaran mengidupkan malam dengan ibadat. “Moga apa yang kita lakukan ini menjadi penyebab untuk kita terus melakukan aktiviti ini pada masa akan datang secara istiqamah. “Semoga turut menjadi penyebab kita punyai keazaman bagi kita teruskan dan tidak semata sempena menyambut Ramadan sahaja,”  katanya. Program yang bermula seawal jam 4 pagi itu kemudian diteruskan dengan sahur sehingga kuliah Subuh. Madinah Ramadan berlangsung sejak 8 Ramadan dan bakal tamat pada 29 Ramadan dalam usaha kerajaan negeri membawa rakyat Terengganu memaknai Ramadan.  
14 Apr 23
316
Aidilfitri: Terengganu Sedia Hadapi Peningkatan Penggunaan Air
Aidilfitri: Terengganu Sedia Hadapi Peningkatan Penggunaan Air
SETIU, 14 April - Kerajaan negeri telah mengatur pelan dan bersiap siaga dalam menghadapi peningkatan penggunaan bekalan air semasa cuti perayaan Aidilfitri minggu depan. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, langkah itu dilakukan bagi memastikan kemeriahan menyambut Syawal tidak terjejas. "Kita telah mengarahkan Syarikat Air Terengganu Utara (SATU) supaya menyediakan tangki-tangki statik dan juga kita telah menyediakan sebanyak tujuh Lori untuk bergerak di kawasan yang dijangka akan berlaku masalah ini membabitkan kawasan Marang. "Jadi penguna di Marang diharapkan dapat menggunakan air secara berjimat cermat dan berhemah," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas merasmikan Program Prihatin Ramadan dan Nuzul Al-Quran Peringkat Daerah Setiu, di Masjid Sungai Lerek, semalam. Turut hadir, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir. Sementara itu menurutnya, di Setiu dijangka tidak akan mengalami masalah bekalan air kecuali di Pulau Redang. "Kerana paip kita di sana (Pulau Redang) belum sempurna daripada masalah pecah, jadi kita akan sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa. "Kerajaan negeri serta SATU telah berbincang supaya masalah berkaitan air di negeri ini dapat diatasi dan akan sentiasa melakukan tindakan proaktif," ujarnya. Terdahulu, SATU memaklumkan pihaknya akan melaksanakan Pelan Kontingensi Air bagi membendung masalah tersebut berlaku. Dalam pada itu beliau sempat menitipkan pesanan kepada semua anak Terengganu yang berada di perantauan agar sentiasa mengambil langkah memandu dengan berhati-hati agar selamat pulang ke negeri ini dan meraikan hari lebaran dengan penuh ceria. "Kita tahu bahawa cuti sekolah bermula Khamis sudah tentu perantau akan pulang bermula Rabu dan pada Khamis dijangkakan akan berlaku kesesakan jalan raya. "Jadi saya nasihatkan semua pengguna jalan raya pandulah dengan lebih berhati-hati, serta mengamalkan sikap toleransi dan bertolak ansur menghadapi pelbagai karenah pemandu yang lain," ujarnya.
14 Apr 23
193
World #QuranHour Disambut Seluruh Terengganu
World #QuranHour Disambut Seluruh Terengganu
KUALA TERENGGANU, 13 April – Program World #QuranHour peringkat Negeri Terengganu disambut dan diadakan di seluruh daerah. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah Negeri, Ridzuan Hashim berkata, kesemua Perpustakaan Awam di setiap daerah mengadakan program itu pada jam 11 pagi secara serentak. Katanya, program tersebut merupakan satu kempen yang bertujuan meningkatkan interaksi individu dengan Al-Quran melalui konsep baca, faham dan amal. “Ia bagi membentuk masyarakat yang mematuhi segala ajaran atau suruhan agama dan menjauhi segala larangannya yang berlandaskan Al-Quran,” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Perasmian Program World #QuranHour 2023 peringkat negeri Terengganu bertempat di Perpustakaan Awam Negeri di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS), Kamaruzaman Abdullah. Tambah Ridzuan Hashim, tema bagi World #QuranHour pada tahun ini ialah 'Memanusiakan Ummah' daripada surah Al-Insan. “Penghayatan surah tersebut diharapkan dapat memberi persediaan dan perspektif fizikal, emosional, intelek dan spiritual kepada masyarakat dalam menangani dunia,” katanya. Beliau yang juga merupakan Pengerusi Perpustakaan Awam Terengganu berkata, program tahunan ini bermatlamat untuk mengajak dan menggalakkan umat islam membaca, mendalami isi dan maksudnya serta mengamalkan segala ajaran yang terkandung dalam Al-Quran. Tambahnya lagi katanya, program yang berskala besar ini sememangnya memberi impak yang besar jika dilihat setelah menganjurkannya beberapa kali sebelum ini. Program itu diserikan dengan alunan bacaan Al-Quran Surah Al-Insan oleh Qari, Mohamad Syakir Asyraf Shohaimi diikuti sesi tadabbur bersama Ustaz Muhammad Syafiq Mohd Sakri. "Program yang menerima kunjungan lebih 500 peserta itu diteruskan dengan pembahagian hadiah kepada pemenang yang menyertai pertandingan World #QuranHour dan berakhir sekitar jam 1 petang. "Al-Quran memberi petunjuk, jalan yang paling lurus, adil dan benar untuk kebaikan hidup di dunia dan akhirat kepada manusia," ujarnya.          
13 Apr 23
344
Sultan Mizan Kurnia Sumbangan Aidilfitri
Sultan Mizan Kurnia Sumbangan Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 13 April - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan mengurniakan bantuan kewangan bagi meringankan golongan miskin sempena Hari Raya Aidilfitri 1444H yang akan disambut tidak lama lagi. Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM) Datuk Mohd Fadli Yusof berkata, yayasan itu membelanjakan sebanyak RM255,000 untuk membantu meringankan bebanan golongan kurang bernasib baik membuat persiapan menyambut Aidilfitri. “Sepanjang Ramadan, memang menjadi satu tugas yang biasa dilaksanakan YDSM bagi mengimarahkan bulan penuh keberkatan ini sejak ditubuhkan 18 tahun lalu. “Justeru itu, dengan sedikit sumbangan yang disediakan ini diharapkan mereka dapat menjalani ibadah puasa  dengan sempurna dan seterusnya merayakan Aidilfitri dengan penuh kesyukuran,” katanya kepada media selepas majlis Pengurniaan Sumbangan Sempena Hari Raya Aidilfitri 1444 Hijrah anjuran bersama YDSM dan Yayasan Tuanku Nur Zahirah (YTNZ) di Istana Syarqiyyah di sini, hari ini. Turut berangkat adalah Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta Yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu; Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja. Hadir sama Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Shamsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Negeri Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pengerusi YTNZ Datuk Radzuan Radziwill. Dalam majlis tersebut Sultan Mizan berkenan mengurniakan bantuan kepada 200 fakir miskin terpilih dari seluruh daerah Terengganu berupa wang tunai selain hamper barangan keperluan harian melalui YDSM termasuk 30 penggiat seni dan budaya negeri serta 30 veteran polis turut untuk menerima kurniaan yang sama. Di samping itu, 210 pelajar dari keluarga miskin dari tujuh buah sekolah dipilih menerima kurniaan berupa wang tunai termasuk tiga buah madrasah dan pusat pengajian Islam turut dianugerahkan kurniaan yang sama melibatkan 30 pelajar bagi setiap madrasah. Pada majlis yang sama, seramai 500 fakir miskin wanita menerima kurnian daripada YTNZ  bagi persediaan menyambut Aidilfitri. Sementara itu, salah seorang penerima, Haishah Subair, 50, berasal dari Kemaman berkata, dia rasa terharu kerana terpilih sebagai salah seorang penerima  bantuan kali ini. Dia yang bekerja sebagai tukang bersih di Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai berkata duit yang diterima akan digunakan untuk membeli keperluan hari raya buat enam anaknya yang salah seorangnya merupakan anak istimewa dan dua orang anak yatim piatu yang kini berada dibawah jagaannya.
13 Apr 23
503
Bantuan Banjir Terengganu Mula Diagih Berperingkat
Bantuan Banjir Terengganu Mula Diagih Berperingkat
KUALA TERENGGANU, 13 April - Bantuan tunai kerajaan negeri RM1,000 kepada 17,000 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas banjir baru-baru ini mula diagihkan melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing sejak dua hari lepas. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pembayaran tersebut diberikan secara berperingkat kepada mangsa yang tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dahulu. "Pembayaran ini akan mengambil masa tiga atau empat hari untuk diselesaikan dan saya bagi pihak kerajaan negeri memohon maaf atas kelewatan menyalurkan bantuan ini kerana faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan. "Kita melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terpaksa melakukan pemutihan senarai mangsa semula selepas berlaku tuntutan bertindih. "Contohnya, kita mengesan ada pasangan yang mendaftar PPS berlainan seperti suami di PPS A dan isteri di PPS B," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pengurusan Kelab Warga Emas YPKT Tahun 2023 di Dewan Utama YPKT di sini semalam. Jelasnya, baki 17,000 lagi melibatkan mangsa yang tidak berpindah ke PPS akan dibayar selepas menerima kewangan yang dijanjikan Kerajaan Persekutuan. "Mereka ini tidak berpindah atau tinggal di PPS tetapi tetap akan menerima bayaran RM1,000 selepas kerajaan negeri mendapat dana tersebut," ujarnya. Sementara itu, mengulas tentang bantuan kerajaan pusat sebanyak RM50 juta, Hanafiah berkata Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) telahpun membuat agihan bayaran. Namun katanya, peruntukan itu tidak mencukupi dan masih ramai mangsa yang belum menerimanya. "Saya difahamkan pembahagian bantuan mengikut data yang ada dengan pihak NADMA dan bukan dari pihak kerajaan negeri menjadi salah satu faktor masih ramai yang belum menerimanya. "JPP ada membuat permohonan dana tambahan kepada kerajaan pusat dan masih menunggu keputusan tersebut," katanya.
13 Apr 23
3387
Duit Raya Untuk Rakyat Terengganu Dibayar Mulai 17 April
Duit Raya Untuk Rakyat Terengganu Dibayar Mulai 17 April
KUALA TERENGGANU, 12 April – Bayaran duit raya atau i-Fitri 2023 kepada rakyat negeri ini yang layak akan dibuat bermula 17 April depan secara tunai di peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata bantuan melibatkan peruntukan berjumlah RM43.452 juta akan dibayar kepada 144,840  ketua isi rumah (KIR). “Ketua Isi Rumah (KIR) yang layak akan menerima bantuan i-Fitri antara RM300 dan pengagihan secara tunai akan dilakukan secara berperingkat. “Hampir 148 ribu yang telah memohon dan hanya tiga peratus ditolak permohonan mereka kerana tidak mematuhi syarat seperti pemohon merupakan penjawat awam kerana mereka mendapat bonus khas sebanyak RM700 daripada kerajaan…ada juga kes yang ditolak kerana kesilapan nombor kad pengenalan,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pengurusan Kelab Warga Emas YPKT Tahun 2023 di Dewan Utama YPKT di sini hari ini. Sementara itu bagi i-Perantau , pembayaran akan dibuat selepas hari raya kerana buat masa sekarang ia masih dalam proses pendaftaran. "Pengagihan bantuan i-Perantau kepada mereka yang layak akan dilakukan selepas sambutan Aidilfitri seperti tahun-tahun sebelumnya,” ujarnya. Antara syarat utama i-Fitri Perantau, bagi salah seorang KIR, mestilah rakyat Terengganu yang menetap di luar, juga merupakan pengundi berdaftar di Terengganu.  
12 Apr 23
8811
Peruntukan RM64 ribu untuk Kelab Warga Emas
Peruntukan RM64 ribu untuk Kelab Warga Emas
KUALA TERENGGANU, 12 April – Kerajaan negeri memperuntuk RM64 ribu  kepada 32 Kelab Warga Emas Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu ( YPKT) di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tahun 2023. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata, bantuan sebanyak RM2,000 untuk pengurusan kelab di peringkat DUN dan menggerakkan perancangan sebagaimana yang telah digariskan dengan lebih efektif. “Saya harapkan pengerusi dan ahli jawatankuasa kelab dapat bergerak bersama merancang agar aktiviti kelab dapat dijalankan seterusnya memberi faedah kepada komuniti kearah kebaikan di peringkat bawahan,”ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pengurusan Kelab Warga Emas YPKT Tahun 2023 di Dewan Utama YPKT di sini hari ini. Hanafiah juga berkata, dengan adanya kelab di bawah YPKT, pengurusan dan bimbingan serta penyelarasan dapat dilaksanakan dengan teratur. “”Peranan Kelab Warga Emas ini sudah tentu dapat memberi impak kearah penyampaian perkhidmatan kepada komuniti dan kumpulan sasar sebaiknya,” ujar beliau.   
12 Apr 23
775
Giliran Warga Kuala Terengganu Berbuka Bersama Dr Sam
Giliran Warga Kuala Terengganu Berbuka Bersama Dr Sam
KUALA TERENGGANU, 12 April – Prihatin Ramadan Bersama MB menjelajah ke setiap daerah bagi aktiviti berbuka puasa bersama rakyat semalam diteruskan di Kuala Terengganu. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hadir ke Masjid Sultan Muhammad, Bukit Besar ditemani isteri, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman. Seramai kira-kira 700 penduduk sekitar tanpa mengira umur dan bangsa tidak melepaskan peluang menyertai majlis tersebut. Dalam masa yang sama, Ahmad Samsuri turut menyampaikan sumbangan buat fakir dan asnaf terpilih selain masjid tersebut sebagai tuan rumah. Pengerusi Masjid Sultan Muhammad, Tuan Ahmad Tuan Besar merakamkan penghargaan buat pihak kerajaan negeri melaksanakan majlis berbuka di sana. “Terima kasih buat pihak kerajaan negeri atas sumbangan yang diberikan, insha-Allah akan digunakan bagi program imarah masjid,” katanya. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Rozali Salleh dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman, Mohd Soud Said.  
12 Apr 23
699
Primula Rai Anak Yatim Dan OKU Berbuka Puasa
Primula Rai Anak Yatim Dan OKU Berbuka Puasa
KUALA TERENGGANU, 12 April - Bersempena kedatangan bulan Ramadan, Primula Beach Hotel meraikan seramai 50 orang anak yatim termasuk  guru pengiring dari lima buah sekolah sekitar daerah Kuala Terengganu Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata, Majlis Berbuka Puasa bersama Anak Yatim merupakan acara tahunan yang diadakan bagi meraikan anak-anak yang telah kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya.  Katanya, ini merupakan usaha pihak hotel untuk menyemarakkan harapan dan keceriaan dalam kalangan kanak-kanak yang tidak bernasib baik membawa mereka menikmati majlis berbuka puasa yang penuh kemeriahan ini. "Saya berbesar hati kerana tahun ini dapat meneruskan majlis berbuka puasa bersama kanak-kanak yang kurang bernasib baik...melalui usaha ini sekurang-kurangnya keceriaan dapat dikongsi bersama sekali gus peluang untuk mereka menikmati Ramadan dengan penuh bermakna," “Selain menjamu selera, Primula Beach Hotel juga berbesar hati memberi sumbangan berupa ‘Duit Raya’ bukan sahaja untuk anak-anak yang istimewa ini malah juga untuk golongan ibu bapa tunggal dan asnaf dikalangan warga kerja hotel,” katanya ketika ditemui. Terdahulu, Primula turut meraikan 25 anak-anak istimewa dan 15 pengiring dibawah jagaan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sungai Rengas. Tambah Suaibah, beliau berharap program ini dapat menjadi platform terbaik untuk merapatkan hubungan antara anak-anak istimewa juga wakil persatuan bersama Primula Beach Hotel untuk jangka masa yang berterusan. “Tangan yang memberi sememangnya lebih baik daripada yang menerima. Ketika tangan yang menerima rasa terharu dan gembira, tangan yang memberi turut bahagia. “Biarpun ia berpaksikan kepada tanggungjawab korporat sosial, tiada yang lebih bahagia apabila melihatkan golongan kurang bernasib baik menerima bantuan dan kegembiraan sepatutnya,”ujarnya.  
12 Apr 23
351