Artikel "Utama" Terkini
Rakyat Turkiye Hargai Sumbangan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 April – Rakyat Turkiye yang menerima sumbangan melalui Tabung For Turkiye meluahkan rasa terharu, syukur dan menghargai usaha murni Kerajaan Negeri Terengganu baru-baru ini.
Salah seorang doktor pelatih di Hospital Bandar Raya Ankara, Nursima Dildali berkata, misi Tabung For Turkiye yang mempunyai nilaian lebih RM1.3 Juta itu merupakan perkara sangat luar biasa.
Katanya, penduduk di sini cukup terharu dan teruja apabila melihat kumpulan sukarelawan yang berasal daripada Terengganu menjalankan misi membantu mangsa gempa bumi.
“Kebaikan yang ditunjukkan bukan sahaja empati terhadap kami tetapi juga mengukuhkan ikatan antara komuniti Turkiye dan Malaysia (Terengganu).
“Belas kasihan dan sikap perpaduan pada saat krisis ini menunjukkan semangat kemanusiaan yang menyatukan kita semua," katanya ketika dihubungi oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman baru-baru ini.
Sementara itu, Pakar Fisioterapi Rehabilitasi Pediatrik, Dilruba Akat berkata, ini adalah bencana yang sangat dasyat bagi kami yang tidak dapat dibayangkan oleh sesiapa pun.
"Beribu orang mati, ribuan cedera, ribuan rumah musnah serta terdesak menunggu bantuan datang akibat kebuluran, wabak, kesejukan melampau dan banyak lagi trauma yang dialami oleh mangsa gempa bumi di sini.
"Kebanyakan mereka bekerja berhari-hari untuk mengeluarkan mayat anak perempuan, anak lelaki mereka yang masih hidup dan mengangkat konkrit dengan tangan mereka.
"Bantuan yang diterima amat memberi sinar harapan kepada kami untuk meneruskan kehidupan dan mewujudkan kekuatan rohani dalam diri kami.
“Kedatangan rakyat Terengganu memberikan sokongan psikologi terhadap mangsa di Turkiye.
“Keperihatinan yang ditunjukkan merupakan sumber motivasi yang sangat luar biasa bagi kami di sini," jelasnya.
Sementara itu, salah seorang rakyat Turkiye, Taha Fahmi berkata, sumbangan tersebut memberi manfaat pada kami untuk meneruskan kehidupan seharian di sini.
"Misi tersebut sangat menakjubkan sekali gus mengukuhkan lagi ikatan antara dua negara dan rakyatnya," ujarnya.
Untuk makluman, pada 17 Mac lepas delegasi kerajaan negeri telah bertolak ke Turkiye dan Syria bagi menyampaikan sumbangan lebih 1.3 Juta kepada mangsa gempa bumi di negara terbabit.
mage widget
17 Apr 23
285
Cahaya Al-Quran Penyuluh Pentadbiran Negeri
BESUT, 16 April – Peristiwa Nuzul Al-Quran dalam bulan Ramadan menjadi pengajaran bernilai buat umat Islam dalam mendepani kehidupan.
Penegerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata mukjizat tersebut meliputi sekecil perkara sehingga pemerintahan negara.
“Wahyu Al-Quran yang diturunkan kepada Nabi Muhammad merupakan mukjizat ilmu kepada segala lapangan, bahkan mengangkat satu kelompok di padang pasir sehingga menjadi tamadun besar.
“Cahaya Al-Quran juga mengeluarkan kita daripada era jahiliyah kepada zaman keemasan ilmu dunia. Penting kepada kerajaan dan rakyat menjadikan ia sebagai petunjuk dan pedoman,” kataya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam Perasmian Prihatin Ramadan Bersama Menteri Besar kawasan Besut di Masjid Ar-Raudhah, TUDM Gong Kedak, di sini semalam.
Pada masa yang sama, Nurkhuzaini yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera turut menyampaikan sumbangan kepada 20 orang asnaf terpilih melibatkan semua DUN di Besut.
Turut hadir Ahli Dewan Negara, Senator Dato’ Husain Awang, Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.
Besut menjadi destinasi terakhir jelajah Prihatin Ramadan bagi semua lapan daerah bagi Ramadan kali ini dalam usaha menyantuni rakyat Terengganu.
16 Apr 23
121
Hubungan Negeri, Pusat Diperkukuh Demi Pembangunan Seimbang
KUALA NERUS, 16 April – Hubungan proaktif antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan perlu diperkukuhkan demi mewajarkan hasrat pembangunan wilayah yang seimbang.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata hubungan kedua-dua ini telah terpahat dalam perlembagaan Persekutuan menerusi konsep muafakat kuasa Kerajaan Pusat dan negeri.
Katanya, hubungan proaktif itu perlu diteruskan dalam mewujudkan pelbagai kerjasama demi kepentingan rakyat.
“Kunjungan Perdana Menteri pada hari ini jelas memberi gambaran kesungguhan semangat antara negeri dan Persekutuan.
“Di samping, hubungan akrab antara Pusat dan negeri memberi gambaran bahawa suatu kerjasama mesti berlaku yang memerlukan libat urus.
“Pertemuan, perbincangan dan perkongsian maklumat mesti dilakukan atas semangat saling percaya mempercayai antara satu sama lain,”jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Berbuka Puasa Malaysia Madani petang semalam yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semalam.
Majlis yang dirasmikan Anwar yang juga merupakan Menteri Kewangan itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Tambah Dr Samsuri, teladan profesional kepimpinan negeri dan Persekutuan atas konsep 'federalisme' akan memberi pengharapan kepada seluruh rakyat.
“Pemimpin tempat rakyat mengadu nasib, dan pemimpin jua lah yang bertanggungjawab memimpin rakyat untuk masa depan yang lebih baik," ujarnya.
16 Apr 23
185
Operasi Bazar Aidilfitri Dibenar Hingga 29 Ramadan
KUALA TERENGGANU, 16 April - Kerajaan negeri akan terus mengekalkan tempoh operasi Bazar Aidilfitri yang dilaksanakan ketika ini iaitu sehingga malam 29 Ramadan sahaja sebagaimana perjanjian yang ditandatangani peniaga ketika memohon permit.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Dr Alias Razak berkata, peniaga Bazar Aidilfitri diingatkan agar mematuhi peraturan itu bagi mengelakkan mereka disaman.
Katanya, operasi Bazar Aidilfitri pada malam 1 Syawal adalah tidak dibenarkan bagi memberi laluan kepada kerja pembersihan sebelum Hari Raya Aidilfitri.
"Sekiranya pengumuman rasmi tarikh Aidilfitri jatuh pada Sabtu, maka waktu pengoperasian Bazar Aidilfitri dibenarkan sehingga jam 12 tengah malam, hari Khamis.
"Sama juga, sekiranya Aidilfitri jatuh pada hari Jumaat, waktu operasi Bazar Aidilfitri tetap dibenarkan sehingga Khamis sehingga jam 12 tengah malam," katanya pada sidang media di Pejabat Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) di sini, hari ini.
Katanya, tindakan akan dikenakan kepada peniaga yang tidak mematuhi peraturan tersebut.
“Selain tindakan kompaun terhadap peniaga yang berniaga melepasi masa dihadkan, nama mereka juga akan disenaraikan hitam daripada berniaga pada tahun depan.
"Kami berharap para peniaga dapat memberikan kerjasama bagi membolehkan pekerja pembersihan dapat menjalankan kerja membersihkan sampah di bazar terbabit," katanya.
Tambah beliau, ketika ini seramai 2,224 pekerja pembersihan ditugaskan untuk mejalankan operasi pembersihan di Bazar Aidilfitri seluruh Terengganu.
16 Apr 23
1204
Gelandangan Dikejutkan Rezeki Sahur
KUALA TERENGGANU, 16 April – Seramai lebih 100 orang gelandangan dan pekerja syif malam mendapat manfaat melalui program kongsi rezeki oleh Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Negeri Terengganu semalam.
Pegawai Media dan Tugas Khas PERKIM Terengganu, Amer Imran berkata, aktiviti santuni berbentuk agihan juadah sahur itu bermula sekitar Hentian Bas Kuala Terengganu.
Katanya, pihaknya mendapat makluman agak ramai golongan gelandangan yang berlindung di situ khususnya lewat malam.
“Menurutnya, program santuni gelandangan itu bermula pada 12 tengah malam hingga jam 3 pagi.
“Bungkusan makanan dan minuman untuk bersahur itu diagihkan kepada mereka yang ditemui, termasuk yang sudah tidur untuk berkongsi rezeki” katanya ketika dihubungi oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.
Tambah Amer, program amal itu telah menjadi aktiviti rutin PERKIM sejak tujuh tahun lalu sebagai tanda keprihatinan PERKIM kepada kelompok masyarakat yang tidak bernasib baik.
Beliau berkata, di samping memberi pendedahan kepada sukarelawan untuk terlibat dalam kerja-kerja kebajikan.
"Program itu anjuran bersama PERKIM Terengganu, kerjasama Kelab PERKIM UniSZA dan Majlis Belia PERKIM Terengganu.
“Agihan juga dilakukan kepada pekerja-pekerja yang bertugas larut malam dibeberapa lokasi kerja berdekatan.
"Program pada malam itu berakhir di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) sebagai lokasi terakhir perkongsian juadah sahur," jelasnya.
Menerusi program ini, pelbagai pengalaman berharga diraih khususnya di kalangan remaja Kelab PERKIM dan Majlis Belia dalam kesusahan hidup sebahagian masyarakat serta nilai keprihatinan yang perlu dipraktikkan dalam kehidupan.
“Pembabitan dan pendedahan tentang kesedaran tersebut secara tidak langsung dapat membentuk keperibadian dan nilai-nilai murni yang baik,” ujar Amer lagi.
16 Apr 23
243
TAPAi Ubah Hidup OKU Lebih Berdikari
MARANG, 16 April- Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di sekitar daerah ini boleh menarik nafas lega apabila mampu meningkatkan taraf hidup selepas mengikuti kelas jahitan dan kraftangan di Bengkel dan Butik Kraftangan, TAPAi yang terletak di Bangunan Perkedaian Wakaf Tapai.
Merupakan anak syarikat Koperasi Komuniti Cakna Wakaf Tapai Marang Berhad, TAPAi yang memberi peluang OKU berdikari dan memahirkan diri di bengkel jahitan itu mula beroperasi pada tahun 2017 selepas menerima geran ‘one off’ sebanyak RM18,000 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang disalurkan kepada Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Wakaf Tapai.
Pengurusnya, Wan Nur Akmal Wan Ibrahim berkata, peruntukan tersebut kemudiannya digunakan untuk membeli mesin dan peralatan menjahit selain menambah baik susun atur bengkel untuk keselesaan pelatih.
“Sebelum itu, kita hanya latih pelajar di PPDK, apabila dapat geran kita buka bengkel jahitan TAPAi di salah satu lot kedai di bangunan ini. Di awal permulaan, kita ajar peserta untuk buat jahitan ringkas seperti bekas pensil, beg kecil dan lain-lain sehingga mereka mahir.
“Kita juga buat pemasaran secara ‘online’, apabila menerima banyak tempahan, JKM sarankan untuk mendaftar dengan Suruhanjaya Koperasi, bermula dari situ perniagaan kita semakin meluas,” ujarnya ketika ditemui di bengkel TAPAi, baru-baru ini.
Menurut Wan Nur Akmal, lebih membanggakan apabila dua pelatih TAPAi ketika ini sudah berjaya membuat produk berasaskan jahitan kraf sendiri di rumah tanpa perlu bimbingan daripada guru-guru di sini.
“Kita hanya menyasarkan golongan OKU sekitar daerah Marang. Setakat ini, kita ada tujuh orang pelajar, tiga daripadanya sudah mahir menjahit dan selebihnya dalam proses belajar.
Menurut beliau, fokus utama bengkel jahitan TAPAi adalah mempromosikan warisan negeri terutamanya batik Terengganu dengan menawarkan versi eksklusif dan mampu milik kepada peminatnya.
“Hasil ketekunan pelatih, dimana ada antara mereka OKU fizikal, pekak dan bisu, down sindrom dan lain-lain telah membawa beg-beg ini ke Dubai dan mendapat permintaan tinggi daripada duta-duta dan pelancong luar.
“Selain itu, hasil kerja tangan mereka juga ditempah oleh jabatan kerajaan, swasta untuk digunakan pelbagai program termasuk sebagai cenderahati,” ujarnya.
Katanya, TAPAi menyediakan dua orang guru khas untuk jahitan dan lima orang guru dari PPDK dimana tujuh orang guru ini yang bertanggungjawab membimbing pelatih untuk menyiapkan tempahan yang diterima.
“Cara mereka menerima arahan berbeza bergantung kepada prestasi masing-masing, tidak semua mampu menjahit, ada yang mampu menggunting, mengawal kualilti, jadi perkerjaan mereka berbeza bergantung kepada kemahiran.
“Untuk berkerja disini tiada tempoh masa, mana-mana OKU yang berminat untuk menjalani latihan dekat ini wajib ada kad OKU sahaja. Koperasi akan bayar mengikut hasil kerja mereka disamping elaun bulanan yang diterima daripada JKM,” jelasnya.
Wan Nur Akmal berkata, besar harapan beliau dan guru-guru di TAPAi agar masyakarat di luar sana membuka mata dan hargai hasil kerja tangan OKU ini dengan terus menyokong produk yang mereka hasilkan.
“Mereka ini insan terpilih dan jika diberi peluang mereka boleh buat lebih baik daripada kita manusia normal,” ujarnya.
Sementara itu, Siti Zulaikha Abdul Muin, 32, yang telah tiga tahun menjadi pelatih TAPAi berkata, dia amat bersyukur kerana dapat mempelajari ilmu jahitan kraf di bengkel tersebut.
“Disini ada guru-guru yang tidak jemu tunjuk ajar, kalau dulu saya ambil masa yang lama untuk menyiapkan sebiji beg kecil, alhamdulillah, kini saya boleh siapkan kira-kira 30 biji sehari hasil dorongan mereka,” katanya yang berazam untuk membuka kedai jahitan sendiri pada masa akan datang.
16 Apr 23
356
AKRAB, MAIDAM Santuni 100 Murid Sambut Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 16 April - Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyantuni 100 orang murid tidak berkemampuan sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja, berkata program tersebut yang juga mendapat kerjasama Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (PUSPANITA) melibatkan murid-murid kurang berkemampuan dari dua daerah iaitu Hulu Terengganu dan Marang.
“MAIDAM telah menyumbang RM300 dan ibu bapa angkat yang dipilih akan bawa anak-anak ini berbelanja apa yang dia orang nak beli di Mydin Mall Gong Badak, Kuala Nerus.
“Sebelum ini, kita juga anjurkan Program “Back To School” bagi menyantuni 100 orang murid membeli pelbagai peralatan sekolah bagi memulakan sesi persekolahan baharu tahun 2023 bagi meringankan golongan yang memerlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman(UPDI) selepas merasmikan Projek baju Raya Di Wisma Darul Iman, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Puspanita Cawangan Terengganu.To’ Puan Nor Zaini Abd. Latiff, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM. Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan). Anuar Awang) dan Pengerusi AKRAB, Zuwislan Awang
Sejurus majlis perasmian, ibu bapa angkat mengiringi anak-anak angkat ke pasar raya berkenaan seterusnya memilih sendiri pakaian raya yang diperlukan.
Sementara itu, Tengku Seri Bijaya berkata selain membantu golongan tidak berkemampuan, penubuhan AKRAB sebenarnya bertujuan sebagai rakan pembimbing kepada penjawat awam yang mempunyai masalah.
“Sekarang ni semua tahu keadaan kita bekerja hari ini, ada kakitangan kita terlibat dengan masalah mental dan kesihatan fizikal di tempat kerja.
“Jadi AKRAB bertindak sebagai kaunselor atau pembinmbing kepada mereka yang punyai masalah berkaitan dengan mental contohnya tekanan di tempat kerja atau lain-lain bagi kakitangan ini keluar dari belenggu tersebut,”ujarnya,
16 Apr 23
236
MB Iring PM Berbuka Puasa Bersama Rakyat
KUALA NERUS, 16 April - Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbuka puasa bersama rakyat Terengganu di Dewan Sultan Mizan, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) semalam.
Terdahulu Menteri Kewangan itu tiba di Terengganu dan disambut Ahmad Samsuri sekitar jam 4.45 petang.
Kemudian kedua-dua pemimpin tersebut terus bergerak ke Bazaar Ramadan Gong Badak bagi beramah mesra bersama peniaga dan pengunjung di sana.
Majlis Berbuka Puasa Malaysia Madani bermula pada jam 6 petang bersama ribuan rakyat Terengganu yang hadir.
Program itu bermula dengan ucapan Menteri Besar selaku tuan rumah dan diteruskan dengan ucapan Perdana Menteri Malaysia.
Anwar dan Ahmad Samsuri kemudiannya menyempurnakan penyampaian zakat, dermasiswa, geran penyelidikan dan bakul Rahmah kepada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) dan masyarakat setempat.
Anwar turut meluangkan masa beramah mesra dengan para pelajar, warga UMT dan masyarakat setempat yang hadir sebelum menunaikan solat Maghrib secara berjemaah di Masjid Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT.
Beliau kemudiannya meneruskan solat Isyak dan tarawih berjemaah di Masjid Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA) sebelum bertolak ke LTSM.
16 Apr 23
459
5,000 Pelita Raya Terangi Kampung Budaya
KUALA TERENGGANU, 15 April - Lebih 5,000 pelita raya menerangi Kampung Budaya Terengganu (KBT) bersempena Pelita Raya Terengganu (PeliTer) 2023 bermula semalam hingga 18 April.
Pengarah Pelancongan Terengganu, Fadli Yusof Zakaria berkata, PeliTer 2023 menjadi anjuran kali ketiga yang kini menjadi salah satu produk pelancongan negeri.
“Tahun ini kita bawa kelainan berbanding tahun sebelum ini. Yang lepas kita tumpukan pelita raya sahaja namun bagi tahun ini kta gabungkan sekali dengan persembahan serta makanan tradisional.
“Bagi tahun ini kita turut gabungkan 30 peratus lampu eletrik iaitu lampu raya moden dan juga 70 peratus daripada pelita raya tradidisional daripada barang terpakai,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melakukan tinjauan awal PeliTer 2023 di KBT, Muzium Negeri, di sini malam tadi.
Pelbagai variasi pelita raya tradisional dipamerkan oleh lapan daerah yang terlibat seperti pelita kekabu dan pelita ‘nyior’.
Bermula malam ini, para pengunjung boleh berkunjung ke PeliTer 2023 dengan bayaran hanya RM1 bagi dewasa dan percuma bagi kanak-kanak, orang kelainan upaya serta warga emas.
Bermula malam ini, para pengunjung boleh berkunjung ke PeliTer 2023 dengan bayaran hanya RM1 bagi dewasa dan percuma bagi kanak-kanak, orang kelainan upaya serta warga emas.
15 Apr 23
573
Rakyat Teruja Jumpa MB
HULU TERENGGANU, 15 April - Rata-rata rakyat di Hulu Terengganu sangat gembira menghadiri program Prihatin Ramadan kerana dapat bertemu dengan Menteri Besar Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Seorang penduduk yang hadir, Ahmad Tarmizi Abdul Razak, 33, berkata kehadiran pemimpin nombor satu Terengganu itu telah mengubah persepsi serta desas desus yang menyatakan bahawa Menteri Besar Terengganu itu sukar bertemu rakyat.
"Sebenarnya MB tidaklah sebagaimana yang didakwa oleh segelintir pihak yang cuba untuk memadamkan rekod kecemerlangan MB dalam pentadbiran.
"Hari ini dengan kehadiran beliau ke sini membuktikan beliau tidaklah sebagaimana yang disangka, sebaliknya menunjukkan beliau merupakan seorang yang sangat mesra dengan orang ramai dengan memperlihatkan sikap bersahaja serta tidak kekok bersama rakyatnya," ujarnya.
Dia berkata demikian ketika ditemui ketika Program Prihatin Ramadan Bersama MB, di Masjid Al-Amin Kampung Buloh, semalam.
Sementara itu, bagi Muhammad Syahir Zainaripin, 32, pula berkata program Prihatin Ramadan yang diadakan itu sangat bertepatan dengan kehendak bulan yang penuh kemuliaan ini.
"Melalui program seumpama ini hubungan erat antara pemimpin dengan rakyat, mungkin dengan peluang yang ada ini akan diambil kesempatan oleh rakyat untuk mengenali pemimpin mereka sendiri yang selama ini telah berjaya mentadbir negeri ini dengan baik
"Cuma saya mengharapkan juga di masa akan datang, MB boleh pergi bertemu dengan rakyat yang berada jauh di pedalaman sebagai contoh kalau di Hulu Terengganu ini Kampung Betong, mungkin perlu ada program MB bersama penduduk di kawasan pedalaman ini.
"Di samping akan melahirkan perasaan gembira penduduk di situ, mungkin juga akan melahirkan idea-idea yang baru untuk MB untuk membangunkan kawasan luar bandar agar seiring dengan bandar," katanya.
Shamsiah Mohd Hassan, 62, turut berharap agar program seumpama Prihatin Ramadan membabitkan pemimpin dengan rakyat itu terus diadakan secara konsisten.
"Apabila dapat bertemu seumpama ini, orang kampung sangat gembiralah jiwa terasa dekat dengan pemimpin, terasa dicaknai.
"Walau bagaimanapun saya mewakili masyarakat kampung serta penduduk sini sangat berterima kasih dalam keterbatasan masa kerana sibuk dengan pelbagai urusan masih sempat untuk bertemu masyarakat di sini," katanya.
15 Apr 23
308