lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

MB Sambut PM Beraya di Terengganu
MB Sambut PM Beraya di Terengganu
KUALA NERUS, 14 Mei – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyambut kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di sini, semalam. Majlis yang diadakan di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA itu menerima kunjungan ribuan pengunjung. Orang ramai mula memenuhi lokasi majlis pada jam 8 malam, manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba pada jam 8.45 malam dengan diiringi Ahmad Samsuri. Program itu bermula dengan ucapan Menteri Besar selaku tuan rumah dan diteruskan dengan ucapan Perdana Menteri Malaysia. Anwar dan Ahmad Samsuri turut meluangkan masa beramah mesra dengan para pelajar serta pengunjung yang hadir pada malam itu. Ramai yang mengambil kesempatan untuk bersalaman dan berswafoto dengan kedua-dua pemimpin tersebut. Hadir sama, Ahli-Ahli Jemaah Menteri dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri. Pelbagai juadah yang disajikan kepada orang ramai pada majlis itu seperti nasi aneka lauk, masakan kambing, sate, lemang, ketupat, rendang, pelbagai jenis masakan mi dan laksa, kuih-muih dan sebagainya. Suasana kemeriahan itu turut diserikan dengan persembahan artis terkenal tanah air, Haqiem Rusli dan Zaki Yamani serta beberapa lagi persembahan yang memainkan lagu-lagu bertemakan Hari Raya Aidilfitri.        
13 May 23
373
TDM Bina Dua Hospital Baru
TDM Bina Dua Hospital Baru
KUALA TERENGGANU, 13 Mei- Selaras penjenamaan semula Kumpulan TDM Berhad, anak syarikat milik kerajaan negeri Terengganu itu bakal meningkatkan tumpuan kepada divisyen penjagaan kesihatan dengan pembinaan dua buah hospital baharu, bermula tahun depan. Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, strategi memperluaskan segmen itu bakal dijangka memberi pulangan lebih tinggi pada masa akan datang. "Antara lokasi dalam proses adalah di Chukai, Kemaman dan Kota Bharu, Kelantan yang dirancang.  "Kita juga hendak besarkan hospital di Kuantan yang mana sekarang dalam 155 bilik dan kita akan tambah 80 bilik lagi bermula dalam awal tahun depan," jelasnya di Wisma TDM, semalam. Menurut beliau, TDM telah merekodkan peningkatan 24 peratus dengan perolehan sebanyak RM278.7 juta yang merupakan pencapaian tertinggi dalam divisyen penjagaan kesihatan pada tahun lalu. "Namun, segmen perladangan juga mencapai tahap tertinggi sejak 13-14 tahun lepas dengan jumlah perolehan keseluruhan pada tahun 2022 adalah sebanyak RM614 juta. "Tahun 2021, sumbangan terbesar adalah perladangan tetapi kini kedua-dua divisyen saling bersaing. "Tetapi, kita jangkakan untuk segmen penjagaan kesihatan akan lebih tinggi selepas ini," katanya. Buat masa ini, TDM memiliki lima hospital pakar di bawah kelolaan Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd (KMI Healthcare) di Kelana Jaya, Selangor; Kuantan, Pahang; Kuala Terengganu; Taman Desa, Kuala Lumpur dan yang terbaru di Tawau, Sabah. 
13 May 23
1672
TDM Berhad Berwajah Baru
TDM Berhad Berwajah Baru
KUALA TERENGGANU, 12 Mei- Kumpulan TDM Berhad memperkenalkan logo baharu syarikatnya dalam usaha memacu pertumbuhun lebih cemerlang pada masa akan datang. Seiring penjenamaan semula, anak syarikat milik kerajaan negeri Terengganu itu turut memperkenalkan Wisma TDM yang dirasmikan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, semalam. Dr Samsuri dalam ucapannya memaklumkan, TDM dilihat sebagai sebuah syarikat yang mempunyai kualiti dan integriti terhadap masyarakat dan alam sekitar yang telah menyumbangkan kepada penerimaan pelbagai pengiktirafan dan anugerah bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah antarabangsa.  "Menekuni perjalanan TDM, ada jatuh bangun, penuh rentak dan liku untuk sampai ke tahap yang ada pada hari ini. "Terkini, saya difahamkan TDM meraih pencapaian pendapatan tertinggi pada tahun 2022 iaitu RM614.2 juta. "Kita doakan dengan pengenalan wajah baharu TDM ini, TDM akan terus berkembang maju dan moga mendapat keberkatan disisi Allah SWT," katanya. Tambahnya, negeri Terengganu turut berbangga apabila bahagian perladangan TDM menjadi syarikat perladangan pertama di Terengganu diperakui dengan Pensijilan Kelestarian dan Karbon Antarabangsa (ISCC) yang diluluskan oleh Suruhanjaya Eropah (ISCC EU) pada tahun 2021 dan menerima pengiktirafan berkenaan untuk tahun kedua berturut-turut. "Bagi segmen penjagaan kesihatan pula, pada 29 Mac 2023 di Shangri-La Singapura, KMI Healthcare menerima dua anugerah bagi pelaksanaan program mesra ibadah untuk Pesakit bagi kategori Inisiatif Penjagaan Pesakit Terbaik dan Inisiatif Inovasi Penyampaian Perkhidmatan Terbaik di Healthcare Asia Awards 2023," katanya. Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin menyifatkan, konsep dan suasana 'segar' itu akan menyuntik semangat baru kepada seluruh warga syarikatnya. "Penjenamaan semula ini kita akan buat berterusan, di mana ia menggambarkan 'how we are moving forward' dengan reka bentuknya betul-betul ambil kira citarasa tempatan. "Kita mengharapkan ia akan selaras dengan produk-produk baharu kita akan datang. "Selain itu, sebelum ini kita menyewa berdekatan Masjid Abidin (Masjid Negeri Terengganu) dan kini kita lebih selesa dengan bangunan sendiri. "Jadi, kita ada penjimatan bulanan dan penjimatannya agak besar berbanding renovasi yang kita buat disini dengan pulangan modal sekitar tiga ke empat tahun," katanya.      
13 May 23
502
Sultan Terengganu Sertai 'RTES Endurance Ride' May 2023
Sultan Terengganu Sertai 'RTES Endurance Ride' May 2023
SETIU, 13 Mei- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menyertai RTES Endurance Ride May 2023, di Terengganu International Endurance Park (TIEP), di sini hari ini. Baginda yang memakai jersi nombor sembilan mewakili Royal Terengganu Endurance Stable (RTES), berlumba dalam kategori Championship Endurance National (CEN) 80km bersama 20 peserta lain. Pelepasan perlumbaan tersebut disempurnakan Menteri Besar Terengganu, Dato'Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada jam 5.00 petang tadi, diiringi Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri DUN Terengganu, Dato' Yahaya Ali serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah. Selain itu, turut dipertandingkan adalah CEN 40km melibatkan seramai 50 pelumba. Kejohanan kali ini juga disertai kira-kira tujuh pelumba antarabangsa iaitu satu pelumba dari Belarus, Great Britain(1), Jerman (3), Singapura (1) dan Indonesia (1). Berlangsung sejak semalam dengan ketibaan para pelumba, RTES Endurance Ride May 2023 memulakan perlumbaan hari ini dan akan berakhir pada esok.  
13 May 23
476
5,391 KIR Besut Terima Bantuan Banjir Sebelum Berakhir Mei
5,391 KIR Besut Terima Bantuan Banjir Sebelum Berakhir Mei
BESUT, 12 Mei -  Seramai 5,391 Ketua Isi Rumah (KIR) di daerah ini akan menerima bantuan banjir daripada kerajaan negeri sebelum berakhir Mei, ujar Menteri Besar Terengganu. Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, mangsa banjir berkenaan akan menerima RM1,000 sebagaimana dijanjikan sebelum ini. "Saya nak umumkan pemberian bantuan banjir kepada 5,391 KIR yang pada ketika banjir hari itu ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Daerah Besut. "(Membabitkan) Hulu Besut 2,364 (KIR), Jertih ada 1,187, Jabi 664, Kota Putera 613 serta Kuala Besut 563. "Insya-Allah kita akan bayar sebelum habis bulan ini, sebelum ini ramai yang tertanya jadi kita beri komitmen untuk melunaskannnya pembayaran ini setelah dilakukan sedikit proses,' ujarnya. Beliau berkata demikian ketika beucap pada Perasmian Himpunan Teguh Pertahan Kawasan Besut, di Dataran Jertih, di sini, semalam. Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata tempat agihan bantuan berkenaan akan ditentukan kemudian dalam masa terdekat. "Terima kasih kerana semua sabar menunggu walaupun saya dengar ada yang sedih, tertanya bila hendak menerimanya, tak apalah kesabaran tuan-tuan terjawab pada malam ini. "Semoga ini menjadi ubat kepada yang datang ke dalam program Teguh Pertahan pada malam ini," ujarnya.
12 May 23
348
Besut Bakal Dibangunkan Setara Daerah Lain
Besut Bakal Dibangunkan Setara Daerah Lain
BESUT, 12 Mei - Kerajaan negeri komited membangunkan sebuah kawasan industri bagi mewujudkan peluang pekerjaan khusus untuk rakyat di daerah ini. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selama ini pihaknya mengambil maklum mengenai suara hati anak Besut termasuk yang berada di perantauan untuk melihat Besut pesat membangun serta wujudnya peluang pekerjaan. "Saya hendak beri komitmen kepada semua rakyat Besut, penggal kedua nanti kita (PAS) mentadbir Negeri Terengganu kita akan naikkan penggunaan tanah peratus daripada 0.2 peratus (keluasan Besut 10 peratus daripada keseluruhan negeri Terengganu) sekurang-kurangnya setara dengan Daerah Dungun 0.3 peratus. "Bunyi sedikit naik 0.1 peratus (tetapi) lening (sekarang ini) kita lebih rendah daripada daerah lain, (kerana itu) kita akan buat pelbagai perkara kita akan bincang dengan agensi di peringkat Persekutuan untuk membolehkan pembukaan tanah Industri," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap ketika Perasmian Program Himpunan Teguh Pertahan Kawasan Besut, di Dataran Jerteh, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut, Ahmad Samsuri berkata, tidak mustahil untuk dibangunkan Industri kecil dan Sederhana di daerah ini kerana laluan ECRL terdekat akan siap. "ECRL di Terengganu ini sudah mencapai kemajuan 62 peratus lebih cepat berbanding negeri lain kerana kita begitu cakna dan sangat cekap menguruskannya. "Yang kedua dengan adanya Lebuhraya Pantai Timut (LPT) 3 fasa pertama yang menghubungkan Gemuroh sehingga Tok Bali sejauh 90 Kilometer (KM) yang telah mencapai persetujuan dengan Kerajaan Persekutuan (untuk disiapkan segera) . "Ini akan dilaksanakan dengan lebih mendalam dengan pihak Kerajaan Persekutuan dimana pembinaan ECRL (dan LPT 3) ini akan memudahkan perancangan bagi membangunkan kawasan Industri di Besut ini yang akan membukan peluang pekerjaan," katanya. Justeru tegasnya, penting untuk Kerajaan yang ditadbir oleh PAS dipertahankan oleh rakyat dan dikurniakan mandat bagi meneruskan segala agenda yang telah dirancang yang terbukti pada penggal lalu dapat menunaikan 20 manifesto yang dijanjikan. "Kalau diserahkan kuasa kepada orang (parti) lain berjanji macam-macam tapi tak boleh hendak buat, (jadi)sudah tentulah hendak  diberikan kepada orang yang boleh berjanji berjanji dan buat kerja," katanya.  
12 May 23
350
Hari Tanpa Hujan Dijangka Bermula Minggu Depan
Hari Tanpa Hujan Dijangka Bermula Minggu Depan
KUALA TERENGGANU, 11 Mei - Monsun Barat Daya dijangka bermula pada 15 Mei 2023 dan akan berterusan sehingga bulan September. Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi (METMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, semasa Monsun Barat Daya berlaku, lazimnya angin akan bertiup secara konsisten dari arah barat daya. Katanya, dengan kelembapan udara yang lebih rendah dan keadaan atmosfera yang lebih stabil. “Sehubungan itu, akan menyebabkan kurangnya pembentukan awan hujan sepanjang tempoh ini. “Kebanyakan tempat di seluruh negara akan mengalami bilangan hari tanpa hujan yang lebih banyak berbanding bilangan hari hujan," katanya dalam kenyataan media baru-baru ini. Tambah Helmi Abdullah, Keadaan ini menyebabkan taburan hujan yang lebih rendah. "Sepanjang dalam tempoh Monsun Barat Daya itu, fenomena jerebu boleh berlaku sekiranya pembakaran terbuka tidak terkawal terutamanya pada Julai hingga September," ujarnya. Beliau juga menasihatkan agar pembakaran terbuka harus dielakkan bagi mengurangkan kesan jerebu dan pencemaran alam sekitar di negeri ini. Di samping itu, orang ramai juga disaran menggunakan air secara berhemat sepanjang tempoh itu.    
11 May 23
2336
Genap Lima Tahun Tadbir Terengganu, MB Lakukan Terbaik
Genap Lima Tahun Tadbir Terengganu, MB Lakukan Terbaik
KUALA TERENGGANU, 11 Mei – Genap 5 tahun memegang tampuk pemerintahan negeri, kerajaan negeri telah melakukan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat Terengganu. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, selama tempoh tersebut, kerajaan negeri telah berusaha sedaya upaya dan berganding bahu untuk membangunkan negeri ini ke arah yang lebih baik. “Selama lima tahun ini juga, tentulah ada salah silap, terkasar bahasa di sana sini dan saya percaya semuanya itu tidak disengajakan. “Di samping, telah ramai kakitangan yang telah bersara dalam perkhidmatan iaitu 5 hingga 10 peratus sepanjang kami memerintah," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri KWDI 2023 bertempat di Tingkat U2 Wisma Darul Iman di sini semalam. Tambah Dr samsuri, kirimkan salam dan sampaikan ucapan selamat hari raya kepada mereka semua. “Walaupun mereka tidak bersama dengan kita tetapi semua telah menjalankan amanah, berganding bahu bersama sama dalam membantu membangunkan negeri ini," ujarnya. Untuk rekod, Kerajaan negeri yang diterajui oleh Parti Islam Semalaysia (PAS) telah memerintah Terengganu selama lima tahun bermula 10 Mei 2018 sehingga hari ini.    
11 May 23
154
Lebih Lima Ribu Meriahkan Rumah Terbuka PKM Kijal
Lebih Lima Ribu Meriahkan Rumah Terbuka PKM Kijal
KEMAMAN, 11 Mei - Lebih 5,000 pengunjung hadir di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal di sini semalam. Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh menzahirkan ucapan terima kasih kepada para pengunjung dan petugas yang telah menjayakan majlis tersebut. Katanya, majlis itu menerima kunjungi daripada masyarakat setempat, wakil setiap Pejabat DUN dan Parlimen, Ketua-ketua Jabatan, semua agensi kerajaan pusat dan negeri yang sudi sama-sama memeriahkan majlis ini. "Tak lupa juga kepada semua agensi swasta, anak syarikat kerajaan negeri, Perguruan Silat, Penghulu Mukim, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan seluruh jawatankuasa panatia program dan para petugas, pada majlis tersebut," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal bertempat di Perkarangan Kompleks Paya Lasir, Bandar Baru Kijal semalam. Diantara sebahagian tetamu yang hadir.  Tambah Hazri Jusoh, beliau mengharapkan agar majlis ini dapat merapatkan lagi ukhwah islamiyah sesama insan dengan tidak mengira fahaman politik. "Politik-politik juga tapi silaturrahim sebagai umat Nabi Muhammad SAW perlu diteruskan bagi membentuk sebuah negara, negeri dan masyarakat yang harmoni," katanya. Beliau juga menyatakan bahawa pilihanraya negeri (PRN) akan diadakan dalam masa terdekat dan mengharapkan ianya akan berlaku dengan aman. "Tidak lama lagi PRN akan diadakan bagi memilih kerajaan untuk penggal baru dan kita mengharapkan agar setiap penyokong parti perlu berlapang dada supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini," ujarnya.
11 May 23
246
Bertanding Atau Tak, MB Serah Kepada Parti
Bertanding Atau Tak, MB Serah Kepada Parti
MARANG, 10 Mei – Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyerahkan sepenuhnya kepada kepimpinan tertinggi parti bagi menentukan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti. Beliau yang merupakan Naib Presiden Parti Islam Semalaysia (PAS) berkata, setiap penggerak ataupun jemaah kepimpinan haruslah mengikut segala apa yang ditetapkan keputusan tertinggi parti. Katanya, beliau sedia bertanding di mana-mana kawasan yang akan ditetapkan nanti. “Saya tidak boleh untuk membuat keputusan itu walaupun saya naib Presiden PAS kerana apa jua keputusan adalah ditentukan oleh kepimpinan tertinggi Parti,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Majlis Hari Raya Aidilfitri DUN Rhu Rendang bertempat di Pantai Peranginan Kelulut, di sini semalam. Tambah Dr Samsuri, agihan kerusi DUN bagi Perikatan Nasional (PN) di enam negeri melibatkan PAS, Bersatu dan Gerakan belum selesai dan masih di peringkat perundingan. “Perbincangan terakhir agihan kerusi itu akan diadakan dalam tempoh terdekat selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri,” ujarnya. Untuk rekod, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, Ahmad Samsuri memenangi kerusi DUN Rhu Rendang selepas memperoleh 13,851 undi menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Nik Dir Nik Wan Ku (7,823 undi) dan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sarawi Sulong (729 undi).        
10 May 23
445