lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Sambutan Aidilfitri KWDI Meriah
Sambutan Aidilfitri KWDI Meriah
KUALA TERENGGANU, 10 Mei- Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kelab Wisma Darul Iman (KWDI) berlangsung penuh meriah di Dewan Besar, Wisma Darul Iman di sini, hari ini. Majlis diserikan dengan kehadiran warga kerja Wisma Darul Iman itu turut dihadiri Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri To' Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman. Turut sama memeriahkan majlis barisan kepimpinan kerajaan negeri, ketua-ketua jabatan serta para jemputan. Pada majlis itu, Ahmad Samsuri menyampaikan sumbangan raya kepada pelajar asnaf dan anak-anak yatim dari lima buah sekolah sekitar Kuala Terengganu. Malah, beliau turut meluangkan masa mengunjungi gerai-gerai yang menghidangkan pelbagai juadah raya yang dikendalikan oleh kelab yang bernaung dibawah KWDI. Pelbagai sajian dihidangkan antaranya aneka nasi, minuman, cendol, laksa, ketupat, lemang, rendang, mee jawa, kuih muih serta buah-buahan tempatan,   
10 May 23
394
El-Nino, Aktiviti Pertanian Padi di Terengganu Tidak Terjejas
El-Nino, Aktiviti Pertanian Padi di Terengganu Tidak Terjejas
KUALA TERENGGANU, 10 Mei - Aktiviti pertanian di Terengganu terutama padi tidak mengalami masalah bekalan air walaupun ketika ini mengalami musim kemarau. Ahli Jawatankuasa  Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, ia  berikutan usaha kerajaan negeri  secara intensif menaik taraf sistem pengairan dan saliran padi.  “Buat masa ini, tiada sebarang masalah dihadapi, malah kita tidak mempunyai sebarang laporan mengenai pesawah terjejas kerana musim kemarau sebab kita mempunyai sumber bekalan air yang mencukupi. “Kerajaan negeri telah membelanjakan RM2.5 juta bagi projek pembangunan padi pada tahun 2021 dan RM700,000 tahun 2022 dalam usaha memastikan infrastruktur sawah padi terutamanya sistem pengairan dilengkapi sebaiknya  bagi memastikan bekalan air  mencukupi walaupun berdepan keadaan kemarau yang panjang,” katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Menurut Azman, jumlah keluasan kawasan penanaman padi di Negeri Terengganu ialah 12,542 hektar dimana 5,323 hektar adalah kawasan dalam jelapang, sementara 7,221 hektar bagi kawasan luar jelapang.  Tambahnya lagi, kebanyakan sumber bekalan air bagi sawah padi berpunca dari takungan empangan yang berpunca dari aliran sungai  dan bukan aliran semulajadi yang mudah terkesan dengan perubahan iklim terutamanya kemarau. MetMalaysia baru-baru ini menjangka fenomena El Nino akan melanda negara pada bulan ini hingga Julai dengan kebarangkalian 62 peratus.
10 May 23
264
Bekalan Air Terengganu Stabil Berdepan El Nino
Bekalan Air Terengganu Stabil Berdepan El Nino
MARANG, 10 Mei – Terengganu dijangka tidak berdepan masalah untuk terus membekalkan air mentah ketika cuaca panas yang disebabkan oleh fenomena El-Nino. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata bekalan air termasuk di empangan mencukupi untuk terus membekalkan air mentah kepada penduduk ketika fenomena tersebut melanda negeri ini. "Setakat ini tiada kebimbangan terhadap pembekalan air mentah di seluruh Terengganu. “Sekiranya fenomena El Nino dengan keadaan cuaca yang kering ini menjangkau sampai Oktober pun, insya-Allah, bekalan air mencukupi,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Rhu Rendang di Pantai Peranginan Kelulut di sini semalam. Tambah Dr Samsuri, bekalan air mentah dijangka mencukupi berikutan permulaan musim monsun timur laut kebiasaannya berlaku pada awal bulan November. Beliau berkata, pihaknya juga akan mengambil langkah proaktif bagi memastikan rakyat di negeri ini tidak menerima kesan serius terhadap fenomena El Nino. “Pelbagai langkah diambil diperingkat agensi dan kerajaan negeri bagi memastikan tidak ada gangguan yang teruk pada rakyat kita terutama dari aspek air dan sebagainya,” ujarnya. Untuk rekod, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) telah meramalkan bahawa negara Malaysia akan berdepan dengan El Nino selama lima bulan bermula April.    
10 May 23
228
Bantuan Banjir Diagih Sepenuhnya Selepas Terima DKKP
Bantuan Banjir Diagih Sepenuhnya Selepas Terima DKKP
KUALA TERENGGANU, 10 Mei - Kerajaan negeri masih menunggu baki Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) atau royalti petroleum bagi menyelesaikan agihan bantuan banjir kepada mangsa yang belum menerima bantuan tersebut. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kelewatan penerimaan DKKP itu antara punca kerajaan negeri masih belum lagi dapat menyelesaikan bayaran bantuan banjir sepenuhnya terutama di daerah Besut yang paling terjejas.  "Selepas kerajaan negeri menerima wang itu daripada kerajaan pusat, barulah bantuan banjir yang belum diselesai akan diagihkan secara serentak pada tarikh yang ditetapkan "Terdapat dua jenis kategori bantuan yang dijanjikan untuk mangsa banjir iaitu satu daripada kerajaan pusat yang disalurkan kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) manakala satu lagi bantuan kerajaan negeri," ujarnya ketika ditemui pemberita di majlis sambutan hari raya Aidilfitri Kelab Wisma Darul Iman di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini. Pada Mac lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bahawa DKKP akan dibayar seperti biasa ke Terengganu iaitu pada bulan Mac dan September. Namun, sehingga kini Ahmad Samsuri berkata, Terengganu masih belum bayaran penuh DKKP bagi bulan Mac sebagaimana dijanjikan. Tambah beliau, selain masih menunggu wang daripada kerajaan pusat, masalah kelewatan agihan juga disebabkan masih ada lagi pertindihan tuntutan bantuan banjir. "Kita dapati masih ada lagi pertindihan tuntutan suami isteri...rumah yang sama tapi buat tuntutan berasingan di PPS berbeza menyebabkan kita terpaksa buat semakan yang sangat teliti," jelasnya. Katanya, bantuan banjir hanya akan dapat diselesaikan untuk semua mangsa selepas kerajaan negeri menerima duit DKKP dan selepas proses pemutihan yang kini sedang berjalan selesai sepenuhnya.     
10 May 23
2568
Terengganu Perkasa Kaum Lelaki
Terengganu Perkasa Kaum Lelaki
MARANG, 10 Mei – Pendekatan lelaki qawwam sebagai usaha memperkasa peranan golongan lelaki selaku pemimpin, pelindung serta pembela keluarga dan masyarakat. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata seminar ini diadakan bagi memberi tumpuan khusus pembinaan jati diri dan kualiti lelaki qawwam.  “Istilah qawwam berasal daripada perkataan qaim yang bermaksud bertanggungjawab, mengambil berat, memenuhi keperluan, mengurus, memimpin, mengawal dan membela. “Di samping, lelaki adalah insan yang diciptakan oleh Allah untuk memenuhi institusi kekeluargaan bagi memastikan keharmonian, kesejahteraan dan hala tuju sebuah keluarga terjamin," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Seminar Lelaki Qawwan Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Majlis Daerah (MDM) di sini semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah Negeri, Mohd Nor Hamzah dan Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin. Tambah Dr Samsuri, dalam ayat 34 surah An-Nisa’ ada menyebut ‘ar-rijal qawwamuna alan-nisa’ yang bermaksud lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita. “Ayat ini menunjukkan bahawa peranan lelaki sebagai pemimpin dan wali kepada ahli keluarga yang berada di bawah nafkah dan tanggungannya ke arah kebaikan dunia dan akhirat,” ujarnya. Di samping, wanita berkewajiban mentaati dan melaksanakan perintahnya selama itu bukan perintah maksiat. “Seandainya seorang lelaki tidak memiliki sifat-sifat sebagai pelindung kepada wanita, maka berlakunya kezaliman terhadap isteri dan keluarga. “Tugas seorang lelaki yang qawwam ialah melindungi keluarga daripada bahaya di dunia dan akhirat serta tidak mengabaikan keluarga. “Saya mengharapkan agar agenda pembangunan dan pembinaan lelaki qawwam di semua peringkat umur dapat disahut oleh semua pihak yang berkepentingan,” katanya.        
10 May 23
382
Terengganu Lancar 10 Manifesto Depani PRN
Terengganu Lancar 10 Manifesto Depani PRN
MARANG, 9 Mei - Pelancaran 10 manifesto PAS Terengganu secara berperingkat merupakan kesinambungan daripada kejayaan yang dicapai dalam pelaksanaan 20 tawaran semasa. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya sedang menyusun langkah untuk memastikan setiap tawaran itu sampai ke akar umbi. “Bermula sekarang hingga pilihan raya negeri nanti usaha itu digarap supaya mesej itu diterima rakyat,” katanya. Beliau yang juga Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Terengganu berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Pantai Peranginan Kelulut di sini hari ini. Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS negeri, Senator Datuk Husain Awang sudah mengumumkan dua daripada 10 janji yang ditawarkan dalam manifesto negeri itu jika menang dan mengekalkan pentadbiran pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. Menurut Husain, lapan lagi janji dalam manifesto itu akan diumumkan secara berperingkat kepada rakyat Terengganu. Katanya, dua manifesto awal ditawarkan PAS adalah rakyat Terengganu yang bekerja dengan pendapatan maksimum RM4,000 sebulan layak membuat pinjaman pembelian motosikal tanpa faedah. “Kita akan sediakan kemudahan pinjaman pembelian motosikal secara Qardul Hassan untuk kerjaya maksimum RM4,000 dan khairat kematian RM500 untuk setiap kematian. “Setakat ini, saya boleh maklumkan dua janji sahaja, manakala lapan lagi akan diumumkan pada Program Himpunan Teguh Pertahan (HTP) akan datang,” tambah beliau.
09 May 23
1106
‘Jangan Gundah Gulana Dengan Angka 126’
‘Jangan Gundah Gulana Dengan Angka 126’
MARANG, 9 Mei - Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menasihatkan semua pihak agar tidak gundah gulana dengan angka 126 yang didakwa boleh meruntuhkan kerajaan Persekutuan sedia ada. Naib Presiden PAS itu berkata, beliau sendiri tidak mengetahui hujung pangkal angka tersebut sehingga boleh menimbulkan keresahan pihak tertentu. “Saya tidak tahu daripada mana datang nombor itu jadi tak saya pun tak boleh komen lebih sebab tak tahu hujung pangkal. “Tapi pada saya ini adalah satu perkara biasa, sejak 10-15 tahun dulu kita dah dengar perkara seperti ini, kejadian 16 September, mempunyai jumlah kerusi yang cukup dan pelbagai lagi dakwaan. “Jadi tak kan lah bila kita dengar perkara serupa pada waktu ini kita gundah gulana dan sedih,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Pantai Peranginan Kelulut di sini hari ini. Beberapa hari lalu tular angka 126 yang dibayangkan sebagai akuan bersumpah (SD) 126 ahli parlimen untuk menyokong Perdana Menteri baharu. Ia mendapat reaksi pelbagai pihak terutamanya pihak kerajaan dan penyokongnya yang rata-ratanya risau jika benar. Terdahulu, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menegaskan tiada sebarang usaha digerakkan Perikatan Nasional (PN) bagi mengumpul SD Ahli Parlimen untuk menukar Kerajaan Perpaduan. Beliau berkata, tumpuan dan istiqamah PN adalah menjalankan tanggungjawab sebagai pembangkang berwibawa dan memberi tumpuan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Terengganu dan Kelantan.
09 May 23
1589
PAS Mahu Buat Kejutan Penyertaan Nama-Nama Besar
PAS Mahu Buat Kejutan Penyertaan Nama-Nama Besar
MARANG, 9 Mei - Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mahu membuat kejutan penyertaan nama-nama besar ke dalam parti itu di seluruh negara. Naib Presiden PAS yang juga Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya sedang merangka strategi sebelum mengisytiharkan kemasukan individu-individu terbabit. “(Kemasukan nama-nama besar) insya-Allah ada, kita akan menyusun gelombang ini untuk seluruh negeri. “Nama individu itu tak boleh diumumkan lagi, nanti tak ‘supsrise’, benda ni kena ada kejutan,” katanya selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Pantai Peranginan Kelulut di sini hari ini. Mengulas mengenai agihan kerusi antara komponen Perikatan Nasional (PN), Ahmad Samsuri memaklumkan ia belum selesai sepenuhnya sekali gus menafikan Bersatu Terengganu hanya diperuntukkan empat kerusi. “Libat urus antara negeri-negeri telah dilakukan, tinggal lagi perbincangan kesemua kepimpinan tertinggi daripada setiap parti dalam PN untuk memuktamadkan agihan keseluruhan kerusi itu. “Kita sedang cari tarikh yang sesuai untuk membincangkan perkara itu memandangkan kita masih dalam suasana Aidilfitri, visi PN adalah untuk memastikan kemenangan yang maksimun,” katanya.
09 May 23
399
Proklamasi Melayu Tiada Kaitan Dengan Kejatuhan Kerajaan
Proklamasi Melayu Tiada Kaitan Dengan Kejatuhan Kerajaan
MARANG, 9 Mei - Proklamasi Orang Melayu cetusan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tiada sebarang kaitan dengan ura-ura pertukaran kerajaan di peringkat Persekutuan. Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, proklamasi 12 perkara itu digerakkan oleh bukan ahli parlimen atau pihak yang mempunyai kuasa untuk merubah kerajaan. “PAS menyokong proklamasi itu dan ia jelas tidak ada kaitan dengan apa yang didakwa. “Orang yang ada dalam jawatankuasa tersebut semuanya bukan ahli parlimen, tak ada kena mengena dengan dewan rakyat dan dewan negara, ini tak memberi kesan kepada kedudukan kerusi-kerusi dalam parlimen,” katanya. Naib Presiden PAS itu berkata demikian selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Pantai Peranginan Kelulut di sini hari ini. Menurut Ahmad Samsuri, proklamasi berkenaan bertujuan membincangkan isu kepentingan kaum Melayu. “Kita menyokong dan bertemu Tun M bagi membincang 12 perkara (untuk menyelamatkan orang Melayu di negara ini dan menggesa perpaduan dalam kalangan orang Melayu bagi tujuan itu),” jelasnya. Baru-baru pemimpin kanan DAP mendakwa, Proklamasi Orang Melayu hanya bermatlamat untuk menukar Kerajaan Perpaduan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Dr P Ramasamy, menyifatkan proklamasi itu hanya propaganda politik untuk meraih sokongan orang Melayu dan tiada kaitan dengan usaha memartabatkan orang Melayu. "Proklamasi Orang Melayu tidak lain selain propaganda politik untuk meraih sokongan orang Melayu untuk menggugat kerajaan perpaduan,” dakwanya.
09 May 23
352
RM1.08 Juta Bantu Nelayan Tingkat Pendapatan
RM1.08 Juta Bantu Nelayan Tingkat Pendapatan
SETIU, 9 Mei - Untuk tahun 2023, Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM1.08 juta khusus untuk program bantuan langsung bagi sektor perikanan daripada RM4.7 juta bajet kerajaan negeri kepada sektor ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata, dalam tempoh lima tahun, ia merupakan bajet terbesar kerajaan negeri kepada Jabatan Perikanan Malaysia (Perikanan), hampir tiga kali ganda berbanding dana persekutuan iaitu sebanyak RM1.3 juta. Jelasnya dari jumlah itu, sebanyak RM300,000 diagihkan sebagai bantuan peralatan kepada 468 nelayan pantai, RM80,000 untuk perolehan bantuan peralatan nelayan darat (dan RM700,000 untuk bantuan input akuakultur negeri Terengganu. "Setiu menjadi lokasi pertama sebelum kita menjelajah seluruh negeri untuk program sama.  "Merangkumi bajet pembangunan dan program, ini titik mula dan akan menyusul program labuh unjam dan tukun dengan beberapa pengkalan nelayan dalam negeri menjadi tuan rumah, kita akan turun ke laut sebagaimana tahun-tahun sudah," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan kepada Nelayan Pantai, Nelayan Darat dan Pengusaha Akuakultur di Pejabat Perikanan Setiu, semalam. Hadir sama, Pengarah Perikanan Terengganu, Ruzaidi Mamat, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir dan Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Setiu, Ahmad Rizal Mamat. Dr. Azman menambah, daripada jumlah tersebut, seramai 56 nelayan pantai, 15 nelayan darat dan 24 pengusaha akuakultur di Setiu menjadi penerima pertama dana berkenaan. Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri ADUN Jabi itu turut berpesan kepada para nelayan untuk sentiasa menjaga kesihatan dan keselamatan diri. "Berdepan fenomena tidak dijangka khususnya cuaca panas terik dan El-Nino yang sedang melanda, kita nasihatkan nelayan kita mengambil langkah berhati-hati, minum air secukupnya dan jaga kesihatan untuk mengelakkan kita terlibat sindrom strok haba. "Dalam masa kita mencari rezeki, kerajaan negeri bantu dengan peralatan dan sebagainya, kita harap nelayan kita dapat turun ke laut dengan lancar dan selamat. Kita sama-sama bekerja untuk memperkayakan sumber makanan daripada sektor perikanan," katanya.  
09 May 23
408