Artikel "Utama" Terkini
Jijoe, 'The Komodo' Serikan Karnival TMBS
KUALA LUMPUR, 20 Mei- Jaguh berbasikal trek negara, Dato' Azizulhasni Awang dan bekas pemain nombor satu skuasy lelaki kebangsaan, Muhammad Nafiizwan Adnan atau lebih dikenali sebagai 'The Komodo' sepanjang kariernya, hadir menyerikan Majlis Sambutan Hari Raya Anak Terengganu di Perantauan sempena Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (TMBS) di MAEPS Serdang, hari ini.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika menyempurnakan perasmian majlis, sempat menjemput kedua-dua atlet berkenaan untuk menyampaikan ucapan di pentas utama.
"Pada kesempatan ini, saya hendak buat sesuatu yang berbeza. Bagi mengiktiraf peranan mereka yang telah menaikkan nama negeri Terengganu,bukan sahaja di persada negara, bahkan di persada dunia dan antarabangsa.
"Ramai sebenarnya yang telah bertanggungjawab menaikkan nama Terengganu dan dua daripadanya berada di sini bersama tuan-tuan.
Bagi pihak pemain-pemain dari negeri Terengganu yang mewakili negara dan berada di persada antarabangsa, saya beri kesempatan kepada mereka untuk bercakap sepatah dua dan mengucapkan selamat hari raya kepada tuan-tuan," katanya.
Kehadiran kedua-dua ikon sukan tempatan itu menarik perhatian sekitar 10,000 pengunjung yang hadir.
Pada kesempatan itu, Azizulhasni sempat berpesan kepada para hadirin supaya sentiasa mengangkat nama Terengganu.
"Saya sebenarnya baru lepas berlumba, semalam. Dato' Seri (menteri besar) telefon saya menjemput hadir bersama rakyat Terengganu hari ini.
"Ini pertama kali saya menghadiri majlis hari raya anak Terengganu di perantauan.
"Sedikit nasihat saya, walaupun kita berada di mana sahaja, di Australia atau United Kingdom, jangan lupa menabur bakti kepada negeri tercinta ini," katanya.
Atlet kelahiran Dungun itu baru segar dengan kemenangan pingat emas dalam acara keirin pada Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2023 di Nilai, semalam.
Manakala, Nafiizwan yang merupakan pemain Malaysia pertama memenangi pingat individu dalam Sukan Komanwel apabile memenangi pingat Perak pada 2018 di Australia, kini menabur bakti sebagai jurulatih skuasy kebangsaan.
20 May 23
364
TDM Bantu 400 Asnaf Marang
MARANG, 20 Mei- TDM Berhad mengambil kesempatan program TDM Bersama Masyarakat yang berlangsung selama dua hari, berakhir hari ini untuk berkongsi rezeki kepada penduduk setempat.
Bertempat di Masjid Padang Mengkuang, agihan bantuan disampaikan kepada 400 keluarga golongan asnaf terpilih dari daerah Marang.
Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, pemberian sumbangan disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar itu merupakan usaha meringankan beban penerima.
"Kami warga TDM, sedar bahawa masih wujud sebilangan masyarakat yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan seharian.
"Kami mengambil peluang berkongsi rezeki kurniaan-Nya dengan harapan ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan-golongan yang terkesan dengan konsep, 'Yang sedikit, sama sedikit, Yang banyak, sama banyak' agar semua saling merasa rezeki yang ada," katanya.
Tambahnya, penganjuran program berbentuk kemasyarakatan dan ilmiah itu merupakan sebahagian usaha syarikat untuk mendekati komuniti setempat dalam meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penghayatan Islam.
"Pengisian program berbentuk perkongsian ilmu dan penghayatan nilai Islam yang diadakan secara tidak langsung dapat melahirkan masyarakat yang holistik seimbang di antara duniawi dan juga ukhrawi," katanya.
20 May 23
296
Membaca Simbolik Kemajuan Bangsa Dan Budaya
KUALA TERENGGANU, 18 Mei - Program Jom Baca Bersama 10 Minit merupakan satu simbolik ke arah membentuk masyarakat minat membaca walaupun dalam tempoh yang singkat.
Isteri Menteri Besar Terengganu, Toh Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman berkata program Jom Baca mampu menjadi batu loncatan dan membuka mata masyarakat betapa pentingnya pembacaan dalam kehidupan seharian.
"Semua usaha yang dilakukan haruslah dilihat sebagai kesempatan terbaik untuk martabatkan ilmu di negeri ini.
"Harapan saya Terengganu akan muncul sebagai negeri maju di mana teras pembangunan negeri ini juga berpaksikan ilmu pengetahuan, " katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Perasmian Program Jom Baca Bersama 10 minit Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu bertempat di Dewan Serbaguna, Perpustakaan Awam Negeri Terengganu di sini hari ini.
Tambahnya lagi, program Jom Baca juga memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk menjadikan amalan membaca sebagai satu budaya bagi membentuk masyarakat berpengetahuan, berilmu dan bermaklumat.
18 May 23
587
Sembilan Bapa Dipenjara Gagal Bayar Nafkah Anak
KUALA TERENGGANU, 18 Mei - Statistik oleh Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu menyatakan, sembilan lelaki dipenjarakan dari 2012 hingga 2019 kerana mengingkari perintah mahkamah untuk membayar nafkah anak-anak mereka.
Ketua Hakim Syarie Terengganu, Dato’ Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, mereka yang ingkar itu telah menjalani hukuman penjara paling minima tujuh hari dan maksima selama 30 hari mengikut Peruntukan Tindakan Notis Penghakiman yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah.
Katanya, mahkamah syariah tidak memandang ringan terhadap kesalahan tersebut dan tindakan sewajarnya boleh diambil sekiranya pihak lelaki masih culas untuk membuat pembayaran nafkah.
“Masih ramai yang culas membayar nafkah ditambah keadaan semasa suami itu yang tidak mampu membayar sebagimana yang diperintahkan.
Walau bagaimanapun mahkamah memerintahkan berdasarkan kepada keperluan sebenar anak tersebut dan kemampuan pihak bapa untuk menanggung nafkah anak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu Siri 1 Tahun 2023.
Majlis perasmian penyampaian bantuan berjumlah RM52,470 kepada 32 penerima itu telah disempurnakan oleh yang Dipertua, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail di Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, hari ini.
Wan Mohd Zakri berkata, antara tindakan yang dikenakan kepada mereka yang culas membayar nafkah anak termasuk arahan pemotongan gaji bagi bapa yang bekerja dan kegagalan meeka melakukan pembayaran nafkah juga boleh dipenjarakan.
“Namun ada juga gagal dikesan untuk diambil tindakan selepas gagal melunaskan tuntutan nafkah,” ujarnya.
Menurut beliau, tujuan Dana Pendahuluan Nafkah Anak diberikan bagi meringankan beban bekas isteri kerana keculasan pihak bekas suami membayar nafkah yang telah diperintahkan.
“Jadi bagi meringankan beban ibu-ibu yang menjaga anak ini maka kami mengagihkan awal sebagai pendahuluan dan duit ini kami menerimanya daripada sumbangan pihak MAIDAM dan penerima-penerima ini telah dipilih berdasarkan kategori-kategori yang telah ditetapkan.
“Sebenarnya dalam BSK Mahkamah Syariah kita ada dua jenis dana iaitu Dana Bantuan Nafkah Anak dan satu lagi Dana Pendahuluan Nafkah Anak, Dana Pendahuluan Nafkah Anak yang dikatakan duit daripada sumbangan MAIDAM itu, mereka (bekas suami) tidak perlu lagi membayar balik.
“Berbeza dengan Dana Pendahuluan Nafkah Anak, suami sebaliknya perlu membayar balik dana yang disalurkan kepada bekas isteri menerusi Dana Bantuan Nafkah Anak.
Bagaimanapun katanya, ada golongan yang mendapat dana itu tetapi mereka (bekas isteri) masih lagi dalam proses tindakan pelaksanaan perintah untuk mendapatkan balik nafkah daripada suami yang culas membayarnya.
18 May 23
739
Jaga Kebajikan Pekerja Resepi Kejayaan Tokoh Usahawan
KUALA TERENGGANU, 18 Mei - Menjaga kebajikan pekerja untuk melahirkan semangat serta kerjasama berpasukan menjadi rahsia kejayaan Aminuddin Mat Yusof, 57, yang terlibat dalam menguruskan perniagaan perkapalan.
Kerana itu beliau telah dinobatkan sebagai Tokoh Usahawan Terengganu 2022 oleh Yayasan Pembagunan Usahawan (YPU) Terengganu pada malam Anugerah Usahawan Terengganu (AUT2022) kelmarin.
Katanya, selama 25 tahun berkecimpung dalam bidang berkenaan, itulah yang diamalkannya bagi melahirkan sebuah pasukan kerja yang mantap terdiri hampir 700 kakitanganmya.
"Selain itu setiap bulan kita amalkan bacaan yassin dan solat hajat membabitkan semua staf juga meraikan sambutan hari lahir sebagai penghargaaan kepada meraka, supaya semua berkerja dalam suasana gembira.
"Saya juga turut menubuhkan Yayasan Sulaiman Al-Haj yang diberi nama sempena datuk saya untuk disalurkan bantuan pendidikan kepada anak kakitangan juga kepada sekolah-sekolah (yang terpilih di Terengganu) sebagai Program Tangggungjawab Sosial (CSR),"ujarnya lagi.
Beliau yang juga merupakan Pengarah Urusan Amir Vision Sdn Bhd itu berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di AUT, di Taman Tamadun Islam di sini, kelmarin.
Majlis penyampaian AUT 2022 itu telah disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.
Mengulas lanjut, Aminuddin berkata tiada jalan mudah yang lalu untuk mengecapi kejayaan itu kerana pernah berhadapan dengan pelbagai cabaran yang terpaksa ditempuhi beliau.
"Cabaran terbesar ialah ketika kejatuhan industri minyak dan gas (sekitar tahun 2015) dimana setelah kapal disiapkan, kelima-lima kapal tidak disewa, jadi bayangkan bagaimana kita hendak bayar kepada bank jadi saya berunding dengan PETRONAS.
"Ketika itu saya melihat Duyong Marina juga dalam keadaan tidak bergerak, daripada situ timbul idea untuk mewujudkan pelabuhan untuk kakitangan Petronas ke pelantar minyak, jadi alhamdulillah Petronas berjaya menjimatkan kos RM2 bilion apabila menggunakan kapal menggantikan helikopter.
"Bukan satu benda yang mudah kerana perlu memikirkan bagaimana hendak bayar hutang bank dan gaji pekerja yang secara keseluruhannya mencecah RM2.8 juta setahun," katanya.
Tambah beliau, kerana berkat kesabaran dan sikap tidak berputus asa serta membentuk kerja berpasukan yang mantap menyebabkan apa jua halangan berjaya ditempuhi.
Untuk rekod, Aminuddin kini memiliki lima kapal utiliti yang bernilai RM125 juta dan sebuah kapal nelayan moden yang diperbuat daripada besi berharga RM10 juta.
Selain perusahaan dalam sektor perkapalan, beliau juga berjaya mengembangkan perniagaan dengan menubuhkan 15 syarikat dalam pelbagai bidang termasuk perikanan, industri halal serta pendidikan.
18 May 23
362
PERKESO Sasar 300 Ribu Suri Rumah Carum SKSSR Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 18 Mei - Seramai 300,000 suri rumah disasarkan mencarum dalam Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), di seluruh negara sehingga akhir tahun ini.
Ahli Lembaga PERKESO, Datuk Ahmad Nadzaruddin Abd Razak berkata, sejak SKSSR dilaksanakan 1 Disember tahun lalu , 160,000 suri rumah sudah mencarum di bawah skim itu, yang memberi perlindungan bencana domestik dan keilatan kepada golongan berkenaan.
Namun katanya, jumlah itu masih rendah berbanding anggaran terdapat kira-kira 3 juta suri rumah di seluruh negara dan PERKESO kini sedang berusaha meningkatkan penyertaan golongan tersebut dalam SKSSR.
“Daripada maklum balas yang diterima, antara punca pendaftaran SKSSR masih rendah adalah suri rumah atau pencarum sukar untuk membuat bayaran caruman.
“Oleh itu kita bercadang untuk menambah kaedah dan saluran bayaran caruman, contohnya menerima penggunaan kad kredit, e-wallet atau pembayaran secara dalam talian,” katanya ketika hadir ke Sambutan Aidilfitri PERKESO Terengganu di sini semalam.
Hadir sama Pengarah PERKESO Terengganu, Farihah Che Husin.
Ahmad Nadzaruddin berkata, PERKESO juga akan lebih proaktif dalam menyampaikan semua maklumat berkaitan kebaikan SKSSR kepada golongan sasar termasuk dengan kerjasama bersama agensi kerajaan lain.
“PERKESO sedang meningkatkan kesedaran dan penyertaan golongan sasaran dalam SKSSR, termasuk melalui kerjasama dengan CUEPACS dan pelbagai saluran lain.
Katanya, usaha itu penting kerana maklumat inisiatif yang dilaksanakan kerajaan buat golongan suri rumah belum sampai hingga ke peringkat akar umbi.
SKSSR memberi perlindungan kepada suri rumah menerusi faedah hilang upaya kekal, perubatan dan pemulihan, elaun keuzuran, bantuan dialisis, pencen penakat dan pengurusan mayat.
Semua suri rumah berusia bawah 55 tahun dan menguruskan rumah tangga sepenuh masa atau separuh masa, serta berkahwin atau bujang, layak untuk menyertai skim itu, dengan caruman RM120 bagi tempoh 12 bulan, yang dibayar secara lebih awal.
18 May 23
297
Tiga Bas Elektrik Beroperasi Di Terengganu Tahun Depan
KUALA TERENGGANU, 17 Mei- Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) melalui anak syarikatnya Cas Ligas Sdn. Bhd. (Cas Ligas) bakal menyediakan tiga bas elektrik untuk penumpang di bandar raya ini bermula awal tahun hadapan
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu PMINT, Wan Adnan Wan Derahman berkata, bas yang mengaplikasikan teknologi hijau tanpa petroleum tersebut menelan belanja RM3 juta dan akan memuatkan 32 penumpang pada setiap masa.
"Ketika ini terdapat tujuh buah bas penumpang di Kuala Terengganu manakala sebuah lagi di Kemaman.
“Tiga bas ekspres yang akan mula beroperasi pada tahun depan ini akan menampung keperluan pengguna di negeri ini,” katanya pada majlis Aidilfitri Cas Ligas Sdn. Bhd. (Cas Ligas) baru-baru ini.
Dalam majlis tersebut, seramai 20 anak yatim Baitul Sakinah diraikan dengan menyusuri Sungai Terengganu dengan Teksi Air Payang diusahakan Cas Ligas.
Tambahnya lagi, bas Singgah-Singgah berkonsepkan bas pelancongan yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya dilihat mempunyai daya tarikan tersendiri selain mengaplikasikan teknologi hijau bebas tanpa karbon monoksida.
Dalam pada itu, beliau memberitahu PMINT juga bercadang untuk memiliki bas berkonsep dek terbuka yang akan menyediakan perkhidmatan minum petang bagi merancakkan sektor pelancongan tempatan.
18 May 23
441
'Flyover' Akan Dibina di Jerteh
BESUT, 17 Mei - Sebuah Jejambat (flyover) baru akan dibina di Jerteh bagi menggantikan Jambatan Sungai Besut di bandar Jerteh yang sudah tidak dapat menampung pengguna jalan raya terutamanya di musim perayaan dan cuti persekolahan.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai perkara tersebut melalui rakyat yang sudah tidak tahan berhadapan kesesakan lalu lintas.
Katanya ia bukan hanya sekadar janji, namun merupakan komitmen kerajaan negeri untuk terus berunding dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan projek berkenaan dapat direalisasikan.u.
"Satu perkara saya hendak sebut yang disuarakan di media sosial terutama apabila tibanya musim perayaan sebagaiman baru-baru ini telah disebut keana Jerteh tidak ada jambatan satu lagi kerana berlaku 'jem'.
"Memang kita faham apabila sampai musim perayan sama juga cuti sekolah akan berlaku perkara demikian, saya hendak sebutkan di sini bahawa kerajaan negeri telah memasukkan pembinaan 'flyover' bagi menggantikan jambatan sedia ada ini ke dalam senarai keutamaan kerajaan negeri yang telah dihantar kepada Kerajaan Persekutuan,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada perasmian Program Himpunan Teguh Pertahan Kawasan Besut, di Dataran Jerteh, baru-baru ini.
Mengulas lanjut katanya, projek pembinaan infrastruktur itu menjadi keutamaan dalam senarai projek-projek untuk dibangnkan di negeri ini.
"Kita akan terus mengadakan perjumpaan, terus bincang dan mesyuarat di Putrajaya bagi memastikan projek membina jejambat itu dapat dilaksanakan sepertimana yang kita buat (perjuangkan) untuk mendapatkan Jambatan marang (sedang dibina)," ujarnya.
Sementara itu belau yang juga merupakan Naib Presiden PAS menjelaskan program Himpunan Teguh Pertahan yang diadakan menjadi satu isyarat yang membawa makna ingin mempertahankan kerajaan yang sedia ada di negeri ini.
"Kerana agenda kita untuk dilaksanakan di negeri Terengganu ini masih banyak, selama ini telah terbukti selama kita diamanahkan untuk mentadbir negeri Terengganu selama lima tahun telah dapat melaksanakan amanah denan baik serta telah mengotakan setiap janji dengan sepenuhnya sebagaimana yang dijanjikan,"ujarnya lagi.
17 May 23
1003
Terengganu Mahu Lahir Lebih Ramai Usahawan
KUALA TERENGGANU, 17 Mei - Kerajaan Terengganu mahu memastikan lebih ramai usahawan dapat dilahirkan serta lebih banyak peluang pekerjaan dapat diwujudkan di negeri ini.
Menteri Besarnya, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, untuk mencapai hasrat tersebut kerajaan negeri akan terus bersedia membantu dan menyokong golongan usahawan melalui pelbagai inisiatif dan program yang dilaksanakan dengan mengambil kira perkembangan ekonomi semasa.
"Yayasan Pembangunan Usahawan dan Urusetia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) diharapkan dapat menjadi nadi penggerak dan memainkan peranan yang penting dalam usaha pembangunan semua golongan usahawan.
"Adalah menjadi harapan saya, YPU dengan kerjasama PEUTER dapat menganjurkan lebih banyak program dan menjalankan inisiatif secara kolaboratif bagi memastikan usahawan Terengganu terus mendapat manfaat serta sokongan dan terus Maju, Berkat dan Sejahtera,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Anugerah Usahawan Terengganu 2022 (AUT2022) di Pusat Konvesyen, Taman Tamadun Islam, di sini, kelmarin.
Dalam pada itu Ahmad Samusi berkata, Perusahaan Mikro Kecil Sederhana (PMKS) boleh dianggap sebagai tulang belakang ekonomi negeri kerana itu pelbagai inisiatif diperkenalkan bagi memastikan sektor keusahawanan kekal berdaya saing.
"Kerajaan Terengganu melalui YPU telah menyediakan dana Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) bagi membantu meringankan beban usahawan Terengganu dimana seramai 2002 usahawan telah memperolehi dana TUGAS berjumlah keseluruhan sebanyak RM5.157 juta pada tahun 2022.
"Setakat April 2023 pula, seramai 1,428 usahawan telah memperolehi dana TUGAS dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM4.36 juta,"ujarnya.
17 May 23
350
Sultan Mizan Cemar Duli Pecah Tanah Projek Silika
MARANG, 17 Mei – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Pecah Tanah Projek Cristobalite dan Ultra Purity Industrial Silica Trg Silica (Marang) di sini semalam.
Turut mengiringi baginda, Tengku Sri Temenggong Raja, Dato’ Seri Tengku Baharuddin Sultan Mahmud.
Keberangkatan tiba baginda disambut, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Majlis yang diakdakan di Lot 53483 Mukim Merchang, Marang itu bermula pada jam 2.45 petang.
Tengku Baharuddin berkata, produk silika ultra tulen dan kristobalit ini adalah komposisi utama bagi keperluan pengeluaran produk industri hiliran kaca teknologi maju ‘Glass World’.
Katanya, seperti batu hasil kejuruteraan, kaca seramik dan kaca oftalmik yang mempunyai rintangan tinggi terhadap haba dan sebagainya.
“TRG Silica (Marang) Sdn Bhd (TSM) akan menjadi pemangkin bagi pelaburan langsung asing (FDI) menerusi kewujudan industri hiliran silika seperti kaca telefon bimbit, televisyen dan sebagainya di Terengganu dan Malaysia,” ujarnya.
17 May 23
556