Artikel "Utama" Terkini
Tiga Bot, 41 Warga Vietnam Ditahan Ceroboh Perairan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 22 Mei- Tiga bot nelayan asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MARITIM Malaysia) Negeri Terengganu dalam rondaan bersepadu Op Kuda Laut dan Op Naga Barat di perairan negeri itu, Jumaat lalu.
Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, bot-bot berkenaan ditahan KM Redang pada kedudukan antara 123 batu nautika dari Kuala Terengganu kira-kira jam 10.00 hingga 10.30 pagi.
"Semasa dikesan, ketiga-tiga bot cuba melarikan diri dan hasil kecekapan kapal ronda Maritim, kita berjaya menahan mereka kurang dari satu jam.
"Ketika ditahan, terdapat 41 orang kru termasuk tiga tekong berumur antara 21 hingga 44 tahun dan kesemua mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. Akuan mulut dipercayai semuanya merupakan warga Vietnam.
"Ketiga-tiga bot ini didapati memiliki kira-kira 100 kilogram ikan campur dan bekalan diesel lebih kurang 1,500 liter," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Terengganu, hari ini.
Tambahnya, kesemua bot dan kru dibawa ke jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut.
Menurut Rashidilhadi, kes tersebut akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63.
"Kita syaki bot ini baru sahaja memasukit perairan negara dan hasil soal siasat mendapati mereka bertujuan 'transit' sebelum ke perairan Natuna, Indonesia.
"Keseluruhan rampasan bagi kes ini dianggarkan bernilai RM4.5 juta dan ia adalah kes ketujuh bagi Maritim Terengganu tahun ini," katanya.
22 May 23
525
'Jangan Jadikan Laut Tong Sampah'
DUNGUN, 22 Mei - Jabatan Perikanan Negeri Terengganu memberi peringatan kepada para nelayan di negeri ini agar tidak membuang sampah terutamanya plastik ke dalam laut kerana ia akan mendatangkan ancaman kepada kehidupan marin dan kesihatan manusia.
Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata, mengikut kajian Lourens J,J.Meijer bersama sekumpulan penyelidik lain mendedahkan Malaysia merupakan negara ketiga daripada 20 buah negara yang paling mencemarkan lautan dengan sampah plastik selepas Filipina dan India.
"Perlu disedari plastik yang dibuang di lautan boleh terurai menjadi mikro plastik yang selepas itu akan dimakan oleh ikan, selepas itu ikan yang ditangkap itu dimakan pula oleh kita, ia akan membawa kesan jangka masa panjang kepada kesihatan.
"Penting untuk dipastikan oleh nelayan supaya tidak menjadikan laut seumpama tong sampah dengan membuang segala sampah sarap ke dalamnya, sila lupuskannya di darat bukannya di laut bagi menjaga kelestarian hidupan marin," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan unjam dan Bantuan Kepada Nelayan Pantai, Nelayan Darat dan Pengusaha Akuakultur Daerah Dungun, di Pengkalan Rantau Abang, di sini, semalam.
Program berkenaan telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar bandar negeri, Dr Azman Ibrahim.
Dalam pada itu Ruzaidi mengharapkan agar nelayan di negeri ini menghargai setiap usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan negeri dalam meningkatkan pendapatan para nelayan serta usaha melabuhkan unjam dan tukun bagi memperkayakan sumber lautan.
22 May 23
309
Kerajaan Negeri Peruntuk RM540 Ribu Bagi Pembangunan Unjam
DUNGUN, 22 Mei - Kerajaan negeri melalui Pejabat Perikanan Negeri Terengganu memperuntukan RM540,000 bagi projek melabuhkan 794 unjam sejak 2018 hingga kini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, usaha dijalankan secara berterusan itu merupakan solusi setelah diadakan program dialog dengan seluruh nelayan di negeri ini.
"Pada waktu itu ada tiga isu besar telah dinyatakan, pertama perairan laut Terengganu kekurangan ikan terutamanya Zon A sudah berada pada kod amaran warna merah yang menunjukkan hasil sangat kurang, kedua isu nelayan pantai tidak memiliki lesen dan ketiga berlaku pencerobohan nelayan asing atau bot pukat tunda.
"Setelah mengenal pasti masalah utama berkenaan kita ambil jalan untuk menyelesaikannya, termasuk memperkayakan hasil laut dengan melabuhkan unjam yang berfungsi sebagai pengumpul ikan bagi memberikan peluang kepada nelayan untuk mendapat hasil tangkapan yang tinggi.
"Unjam yang dilabuh tidak melebihi lima batu nautika dari pantai ini telah mendatangkan manfaat kepada nelayan pantai yang menggunakan peralatan tradisional untuk menangkap ikan seperti pukat hanyut, bubu dan alatan mengail,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Unjam dan Bantuan Kepada Nelayan Pantai, Nelayan Darat dan Pengusaha Akuakultur bagi Daerah Dungun, di Pengakalan Rantau Abang, semalam.
Katanya, sebanyak 37 unit unjam telah dilabuhkan di daerah ini bagi memberi manfaat kepada 150 orang nelayan pantai.
Sementara itu Dr Azman juga berkata,kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM 1.8 juta bagi membantu nelayan pantai, nelayan darat dan pengusaha akuakultur.
"Bantuan peralatan bagi tahun 2023, sebanyak RM300,000 diperuntukkan kepada nelayan darat merangkumi peralatan 'fish finder', peralatan mengail dan tong insulasi (100 liter) kepada 468 orang nelayan pantai di seluruh daerah di Terengganu termasuk pada seramai 78 orang bagi Daerah Dungun.
"Peruntukan kepada nelayan darat sebanyak RM80,000 pula meliputi set pukat tangsi dan tong insulasi (75 liter) diserahkan kepada 140 orang nelayan darat seluruh negeri Terengganu.
"Manakala bantuan input akuakultur sebanyak RM700,000 untuk perolehan makanan rumusan, benih ikan, pukat. set pengudaraan (genset), peralatan penambahbaikan ladang, premis dan tangki sawah kepada 16 orang pengusaha di Daerah Dungun,"katanya.
22 May 23
594
Anak Terengganu Raih Emas ‘World Chef Championship'
KUALA TERENGGANU, 21 Mei - Anak kelahiran Kampung Jalan Tekukur Terengganu, Nazrul Hazel Mohd Nor telah melakar sejarah apabila meraih pingat emas dalam kejohanan World Chef Championship (WCC) (Pasta Challenge) baru-baru ini.
Menurutnya, dia menyifatkan kejayaan itu sebagai impian yang menjadi realiti serta telah mengembalikan begitu banyak kenangan indah.
“Kejohanan WCC itu telah berlangsung selama tiga hari bermula 18, 19 dan 20 Mei di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru.
“Kejayaan saya memperoleh juara dalam kategori ‘Pasta Challenge' ini adalah kerana kelainan dari sudut hidangan, penyediaan dan persembahan pasta,” katanya ketika dihubungi oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.
Tambah Nazrul, dia menggunakan dua warna pasta berbeza iaitu kuning dan hitam bagi menampakkan kelainan dan tarikan terhadap pasta itu.
“Di samping, pelbagai olahan yang diletakkan dalam pastanya bagi menampakkan warna-warni dalam persembahan yang terdiri daripada makanan laut, sayuran dan pelbagai lagi,” jelasnya.
Dia yang juga merupakan bekas Chef di Istana Terengganu telah mempunyai pengalaman yang luas dalam memasak aneka pasta.
“Resepi pasta ini adalah melalui ilham saya ketika berada di Itali ketika lawatan kerja pada 10 tahun lepas.
“Perasaan saya amat teruja dan tidak sangka dinobatkan sebagai juara sekali gus merupakan detik paling berharga bersama keluarga ketika berada di sana,” ujarnya.
21 May 23
779
FAMA Sasar Tambah 14 Pasar Tani Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 21 Mei- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan untuk menambah 14 lagi pasar tani di seluruh negara pada tahun ini.
Pemangku Ketua Pengarahnya, Abdul Rashid Bahri berkata, penambahan pasar tani itu bergantung kepada peruntukan dan juga kesesuaian tapak.
“Kajian Jabatan Perangkaan Malaysia telah mencadangkan FAMA untuk membuka lebih banyak outlet pasar tani mengunakan kaedah bilangan penduduk di satu-satu tempat.
“Bagi pihak FAMA kita mengucapkan terima kasih atas cadangan itu dan akan menggunakan data oleh Jabatan Perangkaan Malaysia untuk pembukaan pasar-pasar tani baru di masa hadapan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Penyerahan Bantuan Peralatan Sokongan Pemasaran Usahawan Negeri Terengganu di sini, hari ini.
Menurut Abdul Rashid, pelbagai faktor akan diambil kira sebelum pembukaan sesebuah pasar tani baharu.
“Setiap kali kita hendak membuka pasar tani, kita akan buat satu kajian pasaran yang melibatkan unsur-unsur seperti kepadatan penduduk, bilangan pasaraya yang berada di kawasan yang dicadangkan, budaya beli penduduk dan kebenaran daripada pihak PBT,” ujarnya.
Katanya, sehingga kini lebih 250 outlet pasar tani beroperasi di seluruh Malaysia.
Terdahulu, laporan media turut memaklumkan Kerajaan mengarahkan FAMA agar membuka lebih banyak pasar tani mengikut kepadatan penduduk di sesuatu kawasan.
Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, FAMA harus mempunyai perancangan dengan membuka 1,391 pasar tani dan pembukaan itu perlu mengikut nisbah penduduk.
"(Perkara) ini ditentukan kawasan berpendudukan tinggi di Semenanjung.
"Manakala untuk Sabah dan Sarawak, Fama telah cuba untuk (membuka) pasar tani tapi penduduk Sabah dan Sarawak lebih berminat menggunakan pasar tamu mereka,” jelasnya.
Beliau berkata, penyelarasan mengenai perkara itu harus dilakukan sekarang.
21 May 23
751
El-Nino, FAMA Sedia Bantu Pasarkan Hasil Tani
KUALA TERENGGANU, 21 Mei- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) komited untuk membantu mana-mana usahawan atau petani yang mengalami masalah pemasaran pertanian termasuk yang disebabkan El Nino untuk memasarkan hasil tani masing-masing.
Pemangku Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata, petani yang mengalami masalah pemasaran pertanian boleh berhubung dengan pejabat FAMA berdekatan bagi mendapat pandangan seterusnya peluang pemasaran yang lebih luas hasil pertanian mereka.
“Tak kira musim banjir atau musim panas, FAMA sedia membantu sepanjang masa jika diperlukan kerana pihak kami punyai banyak sumber untuk membantu mereka memasar hasil tani seperti mengadakan aktiviti Pasar Tani, Jualan Agro Madani dan outlet peruncitan FAMA di seluruh negara atau lokasi terpilih di negeri Terengganu.
"Malah, apa sahaja masalah yang dibangkitkan usahawan tani kita akan cuba selesaikan, jumpa mereka untuk mengetahui punca...kita ada pelbagai solusi penyelesaian.
"Setakat ini, kita dah selesaikan banyak isu-isu yang dibangkitkan usahawan tani termasuk (aduan masalah) di media sosial antaranya Johor, Selangor Negeri Sembilan dan Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Penyerahan Bantuan Peralatan Sokongan Pemasaran Usahawan Negeri Terengganu di sini hari ini.
Justeru itu katanya, beliau berharap petani yang mengalami masalah pemasaran pertanian dapat berhubung dengan pejabat FAMA berdekatan bagi mendapat pandangan seterusnya peluang pemasaran yang lebih luas hasil pertanian mereka.
Beliau juga berkata, seramai 5,696 usahawan di seluruh negara telah menerima manfaat dari pelbagai program yang diadakan FAMA termasuk aktiviti pemasaran, program intervensi dan latihan bagi tempoh Januari hingga April lalu.
“Manakala di Terengganu, terdapat 483 usahawan yang telah FAMA bantu dalam tempoh tersebut bagi tahun ini,” ujarnya.
21 May 23
244
Pulau Redang, Perhentian Terima Bot Ambulans Baharu
KUALA TERENGGANU, 21 Mei – Perkhidmatan kesihatan di Pulau Perhentian dan Pulau Redang kini bertambah baik dengan adanya dua bot ambulans baharu dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, dua bot ambulans membabitkan peruntukan sebanyak RM1.4 juta itu bagi menggantikan bot sedia ada yang sudah usang dan sering mengalami kerosakan.
"Perkhidmatan bot ambulans bukan sahaja diperlukan oleh orang tempatan, tetapi untuk memindahkan pelancong yang memerlukan rawatan di hospital.
"Dengan purata kekerapan bilangan pergerakan pergi dan balik bot ambulans sebanyak 10 hingga 20 kali sebulan, perkhidmatan pengangkutan yang cekap adalah sangat penting di kedua-dua pulau itu," katanya selepas Majlis Perasmian Bot Ambulans Klinik Kesihatan Pulau Redang dan Pulau Perhentian di Jeti Duyong Marina di sini, semalam.
Lukanisman berkata saiz bot ambulans baharu itu juga lebih besar, selain boleh digunakan pada musim tengkujuh kerana mampu meredah ombak setinggi dua meter.
"Bot ambulans baharu itu mampu memuat 12 penumpang dan sesuai digunakan untuk musim tengkujuh.
"Bot ambulans ini dibina mengikut piawaian Jabatan Laut serta dilengkapi peralatan keselamatan termasuk alat penerima Sistem Kedudukan Sejagat (GPS), radio VHF dan kompas magnetik," katanya.
Dalam masa yang sama, beliau berkata, KKM turut menimbang kemudahan bot ambulans di beberapa pulau di kawasan pedalaman Sabah.
21 May 23
445
FAMA Peruntuk Lebih RM200 Ribu Bantu 12 Usahawan Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 21 Mei – Seramai 12 usahawan di negeri Terengganu menerima bantuan peralatan sokongan pemasaran bernilai RM202,250 melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Pemangku Ketua Pengarahnya, Abdul Rashid Bahri berkata bantuan itu merangkumi Geran Agropreneur Muda, Signature Produk Terengganu, bantuan peralatan sokongan pemasaran Industri Makanan & Asas Tani serta Insentif Peralatan bagi Program Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran.
”Objektif program ini adalah untuk membantu meningkatkan pendapatan usahawan melalui pemberian bantuan projek ekonomi yang melibatkan aktiviti pengeluaran, pemprosesan, pengedaran dan pemasaran.
“Selain itu, FAMA mahu meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta daya saing usahawan melalui latihan-latihan di bawah program FAMA,”katanya kepada pemberita selepas Program Penyerahan Bantuan Peralatan Sokongan Pemasaran Usahawan Negeri Terengganu di sini hari ini.
Sementara itu, pihaknya juga menggalakkan para petani untuk mendaftar di bawah program Ladang Kontrak kerana pelbagai kemudahan dan manfaat boleh diperolehi.
“Sebagai contoh, FAMA menyediakan kemudahan kenderaan untuk menghantar hasil pertanian berkenaan, merupakan antara perkhidmatan yang disediakan FAMA kepada petani yang merupakan peserta ladang kontrak,”tambahnya.
21 May 23
359
'Maaf Atas Kekurangan Sepanjang Lima Tahun'
KUALA LUMPUR, 21 Mei - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengambil kesempatan hari terakhir Syawal bagi memohon maaf atas sebarang kelemahan barisan kepimpinannya dalam mentadbir negeri sepanjang sepenggal pemerintahan PAS Terengganu.
"Sedar atau tidak sedar, sudah genap lima tahun saya bersama rakan-rakan telah diamanahkan menjaga dan mentadbir negeri Terengganu yang kita kasihi.
"Tanpa kita nafikan, dalam proses ini pasti ada kekurangan di peringkat pentadbiran kerajaan samada ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri, kelemahan menteri besar. Kita semua sedar bahawa kita adalah manusia biasa yang diamanahkan untuk mengurus tadbir penuh dengan kelemahan.
"Oleh demikian, saya dan rakan-rakan yang diamanahkan sepanjang lima tahun ini memohon maaf pada tuan-tuan," katanya dalam ucapannya ketika merasmikan sambutan Hari Raya Anak Terengganu di Perantauan sempena Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera TMBS di MAEPS Serdang, semalam.
Hadir sama meraikan majlis berkenaan ialah Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato'Seri Abdul Hadi Awang; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato'Yahaya Ali dan sebahagian besar kepimpinan menyertai 10,000 anak-anak Terengganu di perantauan.
Dr. Samsuri juga berharap dapat meneruskan fasa pembangunan sebagaimana yang dirancang dan dibentangkan kepada umum sejak 2018 lalu.
"Saya mengambil kesempatan pada hari ini untuk mengucapkan terima kasih kepada anak-anak Terengganu di perantauan yang telah bersama-sama dengan kerajaan ini, memberi pelbagai cadangan dan idea untuk proses pembangunan negeri Terengganu yang kita sayangi.
"Insya-Allah, pada penggal akan datang kita akan menggerakkan fasa yang berikutnya untuk pembangunan dan rakyat negeri Terengganu berdasarkan perancangan yang telah diuar-uarkan dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030," katanya.
21 May 23
1234
Pulau Bidong Bakal Diwarta Taman Negeri Terengganu
SETIU, 21 Mei – Kerajaan negeri akan mewartakan Pulau Bidong sebagai Taman Negeri Terengganu sebagai langkah untuk mengekalkan khazanah alam dan pemuliharaan warisan, arkeologi, flora dan fauna di pulau berkenaan.
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata proses pewartaan tersebut dijangka selesai pada Julai depan.
"Majlis Pengurusan Taman Negeri (MPTN) akan memulakan operasinya di Pulau Bidong menjelang September dengan pembukaan sebuah pejabat di pulau itu.
“Usaha ini bertujuan untuk menjadikan Pulau Bidong antara produk pelancongan dan daya tarikan di Terengganu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menyempurnakan Program Lawatan Kerja ke Tapak Penemuan Shipwreck bertempat di Pulau Bidong semalam.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Fadli Yusof Zakaria dan Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri (MPTN), Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman.
Tambah Ahmad Faisal, Pulau Bidong merupakan Taman Negeri Terengganu keempat selepas Kenyir, Hulu Terengganu; Tanah Bencah Setiu dan Pulau Tenggol, Dungun.
"Pelbagai tarikan pelancongan yang terdapat di pulau tersebut antaranya peninggalan sejarah pelarian Vietnam, flora dan fauna, 11 monumen negara Asean dan kewujudan galeri dasar laut pertama di Malaysia," katanya.
Beliau berkata, pihaknya berharap, melalui pengisytiharan tersebut akan meningkatkan lagi usaha memelihara dan memulihara ekosistem dan diversiti alam di Pulau Bidong nanti.
21 May 23
387