Artikel "Utama" Terkini
Piala FA: Terengganu FC Mara Ke Separuh Akhir
KUALA NERUS, 27 Mei- Terengganu FC mara ke peringkat separuh akhir Piala FA 2023 setelah menang 4-2 ke atas seteru pantai timur, Kelantan FC pada aksi suku akhir di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), hari ini.
Biarpun beraksi buat kali pertama pada waktu petang, anak-anak buah Tomislav Steinbruckner mempamerkan corak permainan agresif dan tidak menunggu lama untuk mencetak gol pertama perlawanan.
Azam Azmi Murad mencetak nama selaku penjaring gol pertama menerusi rembatan deras dari dalam kotak penalti pada minit ke-17, setelah menerima hantaran Liridon Krasniqi.
Pada minit ke-28, tuan rumah hampir menjarakkan kedudukan apabila penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut yang menerima hantaran Sony Norde melakukan sepakan 'volley' cantik melepasi kawalan penjaga gol pelawat, Nik Mohd Amin Ahmad.
Namun, jaringannya dibatalkan pengadil setelah beliau didapati berada pada kedudukan 'offside' terlebih dahulu.
Majoriti penguasaan bola dimiliki Terengganu FC yang lebih banyak merencana serangan.
Memasuki minit ke-41, Ivan berjaya merampas bola dari pertahanan Kelantan FC sebelum meledak jaringan menerusi rembatan kencang dari luar kotak penalti.
Tiga minit berselang, The Red Warrior kembali menghidupkan harapan penyokongnya setelah penyerang, Ismaheel Akinade merapatkan kedudukan menerusi rembatan leret melepasi Suhaimi Husin, hasil kesilapan barisan pertahanannya yang terlepas bola.
Separuh masa pertama tamat dengan Sang Penyu di harapan berbekal kelebihan satu jaringan.
Memasuki babak kedua, Terengganu FC meningkatkan momentum serangan bagi menjarakkan kedudukan.
Pada minit ke-52, Sony Norde yang menerima bola dari Habib Haroon menggelecek pertahanan dan penjaga gol lawan sebelum menolak masuk bola ke gawang untuk gol ketiga Sang Penyu.
Bagaimanapun, Kelantan FC kembali bangkit merapatkan jurang apabila Ismaheel menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-63 setelah kapten pasukannya, Mario Arques Blasco dijatuhkan Muhammad Shahrul Nizam.
Ketika kedudukan seakan-akan berakhir tanpa jaringan tambahan, Mohd Syafik Ismail berjaya menewaskan dua pertahanan lawan sebelum melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti untuk gol terakhir perlawanan pada minit ke-81.
Keputusan yang berpihak kepada Terengganu FC menyaksikan gergasi pantai timur itu sekali lagi lolos ke peringkat separuh akhir Piala FA buat kali ketiga berturut-turut.
Sang Penyu bakal menanti lawan seterusnya antara Sabah FC dan Kuala Lumpur City FC yang akan berentap esok.
27 May 23
654
JHEAT Tingkat Kualiti Pengamal Pengubatan Islam
KUALA TERENGGANU, 27 Mei - Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) melalui Unit Undang-Undang Keluarga (UUK) sedang meningkatkan kualiti pengamal pengubatan islam di negeri ini.
Ketua Penolong Pesuruhjaya Kanan Bahagian Undang-Undang Keluarga JHEAT, Moktar Salleh berkata setiap pengamal yang sah perlu melalui tapisan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama JHEAT sebelum mendapat kelulusan bagi merawat pesakit.
Katanya, ia bertujuan bagi mengelakkan penipuan dan penyelewengan dalam pengubatan Islam.
"JHEAT juga akan mengeluarkan senarai pengamal rasmi pengubatan Islam yang telah diiktiraf.
"Di samping, mendapat lesen daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di bawah Unit Perubatan Tradisional dan Komplimentari," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.
Tambah Mokhtar Salleh, pengubatan Islam ialah merujuk kepada kaedah dalam merawat kesihatan dan masalah spiritual yang selari dengan ajaran Islam.
"Rawatan yang dijalankan hendaklah tidak bercanggah dengan syariat Islam.
"Apa pun kaedahnya adalah tidak meragukan dari sudut kaedah merawat, termasuklah doa, wirid, ruqyah, dan penggunaan bahan-bahan semulajadi.
"Rawatan ini bukan sekadar mengamalkan doa dan ruqyah sahaja bahkan melibatkan amalan dalam Islam secara menyeluruh dan seimbang dalam menjaga kesihatan tubuh badan dan rohani," ujarnya.
27 May 23
351
'War' Inisiatif SPRM Didik Generasi Bebas Rasuah
SETIU, 26 Mei - Program Perkasa Wira Anti Rasuah (WAR) merupakan usaha berterusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi melahrikan generasi bebas rasuah.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata, sehingga kini ia telah diadakan di 162 buah sekolah.
"Program ini dirangka dengan tujuan memberikan pendedahan awal kepada murid-murid di sekolah yang terlibat untuk membudayakan sikap membenci rasuah serta menerapkan nilai-nilai integriti yang tinggi dalam jati diri mereka.
"Program yang diadakan ini adalah selaras dengan tuntutan inisiatif 2.4.6 Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 iaitu memperkukuhkan pendidikan di peringkat rendah dan menengah yang berteraskan pembentukan sahsiah, jati diri dan kepimpinan yang utuh,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Perkasa Wira Anti Rasuah (WAR), di Sekolah Kebangsaan Pulau Redang, di sini, kelmarin.
Turut hadir, Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun.
Sementara itu, Norazlan berkata program berkenaan yang telah disertai oleh Terengganu Inc telah melayakkan syarikat korporat tersebut menjadi yang pertama akan mendapat inisiatif potongan cukai oleh SPM kerana melaksanakan program Pendidikan Rasuah.
"Saya mengucapkan tahniah kepada Terengganu Inc yang telah turut bersama kami (SPRM) semoga ia menjadi contoh kepada syarikat korporat yang lain untuk turut membua program mengenai pendidikan rasuah ini,"ujarnya,
Untuk rekod, Pelaksanaan program CSR berbentuk pencegahan dan pendidikan antirasuah di negara ini membolehkan syarikat swasta mendapat potongan cukai di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967.
Menerusi program berkenaan ia akan memberi manfaat kepada masyarakat umum, termasuk pelajar di institusi pengajian tinggi dan sekolah.
26 May 23
1183
Jaringan Engku Shakir Legakan Penyokong Terengganu FC
KUALA NERUS, 24 Mei- Jaringan tunggal pemain gantian, Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob membantu Terengganu FC menewaskan Penang FC pada aksi Liga Super Malaysia, sebentar tadi.
Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Shakir yang masuk menggantikan Omid Nazari memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-74 bagi membolehkan tuan rumah memungut tiga mata.
Bermula dari serangan balas yang digerakkan Sony Norde, Syakir menerima lorongan Sony sebelum melakukan rembatan leret membolosi kawalan Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri untuk gol tunggal perlawanan.
Pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner berpuas hati dengan kemenangan tersebut.
"Kemasukan pemain-pemain simpanan bagi memberikan tenaga baru kepada pasukan berhasil.
" Kita dapat lihat Nik Sharif berjaya melakukan beberapa percubaan cuma tidak berjaya menghasilkan gol.
"Engku Shakir banyak mengisi posisi sayap sebelum ini, tetapi bermain baik di belakang penyerang dan mendapatkan kita tiga mata," katanya.
Hasil perlawanan ini, Terengganu FC naik ke tangga ketujuh dengan mengumpul 17 mata dari 12 perlawanan.
24 May 23
655
Terengganu Bina Kilang Baja Bernilai RM40 Juta
KEMAMAN, 24 Mei - Kerajaan Terengganu melalui anak syarikatnya, East Coast Fertilizer Sdn Bhd akan membina sebuah kilang baja berteknologi tinggi yang pertama di negeri ini.
Kilang yang akan dibangunkan di atas tanah yang berkeluasan lebih 50,000 kaki per segi itu akan berupaya menghasilkan kapasiti pengeluaran baja berjumlah 50,000 metrik tan bagi setiap tahun dan mampu mencapai kapasiti maksima sehingga 100,000 tan metrik setahun.
Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, kilang berkenaan yang akan dibina pada tahun ini dan dijangka akan memulakan operasinya pada tahun hadapan akan mewujudkan 250 peluang pekerjaan di negeri ini.
"Dengan adanya kilang ini nanti ia akan memberi peluang dan membantu golongan petani dan pengusaha di negeri ini untuk mendapatkan baja yang berkualiti bagi meningkatkan hasil pertanian mereka dengan cara yang lebih berkesan.
"Secara tidak langsung akan mengurangkan kebergantungan pengusaha ladang, pekebun dan petani kepada baja dari luar, sebaliknya akan mendapatkan baja yang berkualiti untuk mengaplikasikan pertanian yang lebih berkualiti dan sesuai untuk keadaan tanah di Terengganu dan Wilayah Pantai Timur," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Tapak Pembinaan Kilang Baja ECFSB dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara ECFSB dan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) di Teluk Kalong, di sini, baru-baru ini.
Pada majlis tersebut, EPIC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Ridzuan Ali dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulannya, Ir Muhtar Suhaili manakala ECFSB pula diwakili oleh Pengarahnya, Muhammad Ramizu Mustaffa dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zaman Abdullah.
Memorandum yang ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak adalah berkaitan pajakan tanah untuk projek pembinaan kilang baja milik ECFSB itu di Teluk Kalong, Kemaman.
Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata MoU berkenaan merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan sektor pertanian di negeri ini.
"Kerjasama antara ECFSB dan EPIC akan membawa manfaat yang besar kepada industri pertanian dan penternakan di negeri ini dalam memastikan hasrat Terengganu untuk menjadi negeri pegeluar makanan dan menjadikan negeri ini sebagai pusat pertanian yang berdaya saing tinggi,"ujarnya.
Dalam pada itu Ridzuan pula menyifatkan lokasi pembinaan kilang tersebut adalah strategik, sekali gus akan membuka pintuk kepada ECFSB untuk menerokai pasaran Pantai Timur dan seterusnya berkembang ke peringkat negara-negara jiran dan juga pasaran serantau.
24 May 23
2142
Hotel Paya Bunga Rangkul Dua Emas Kejohanan 'Chef' Dunia
Oleh : Akid Hafriz
KUALA TERENGGANU, 24 Mei – Hotel Paya Bunga mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul dua pingat emas dan satu pingat perak dalam Kejohanan Chef Dunia [World Chefs Championship (WCC)] Malaysia 2023 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, baru-baru ini.
Mohd Fadzil Ismail yang merupakan Chef Eksekutif Hotel Paya Bunga merangkul pingat emas dalam acara ‘Fruit & Vegetable Carving’ dan pingat perak dalam acara ‘Fruit Curving Individual’.
Manakala Kapten Jabatan Food & Beverage (F&B) Hotel Paya Bunga, Zulhilmi Hadi Zulkurnain telah merangkul pingat emas dalam acara ’Latte Art’.
”Alhamdulillah, kejayaan ini bukan kejayaan saya seorang tetapi kejayaan bersama dengan rakan-rakan serta keluarga yang banyak memberikan sokongan dan dorongan.
”Saingan dalam pertandingan ini sangat sengit dengan peserta-peserta dari Taiwan, China dan lain-lain yang kebanyakkannya membuat persiapan lebih awal untuk pertandingan ini.
”Saya rasa terharu dengan pencapaian ini kerana dapat menaikkan nama Malaysia dan khususnya Hotel Paya Bunga itu sendiri,” kata Chef Mohd Fadzil ketika ditemui pemberita.
Tambah beliau lagi, pencapaian ini juga akan memberikan galakan kepada kakitangan hotel yang lain untuk menyertai kejohanan seperti ini pada masa akan datang.
Manakala, Zulhilmi Hadi pula berasa terkejut dengan kejayaan yang diperoleh kerana beliau tidak meletakkan sebarang sasaran dalam kejohanan tersebut.
”Ini merupakan kejohanan pertama yang saya sertai dan saya tidak meletakkan apa-apa harapan pada awalnya cuma fokus untuk memberikan yang terbaik.
”Hampir sebulan saya berlatih untuk mencari ’skill’ yang lebih sempurna.
”Apabila diumumkan sebagai pemenang, saya terkejut dan rasa bersyukur kerana segala usaha dan kerja keras selama ini membuahkan hasil,” kata Zulhilmi.
Tambah beliau, sokongan yang berterusan daripada isteri, keluarga dan rakan-rakan sekerja juga telah memberikan motivasi kepadanya untuk terus berusaha.
Seramai 1,498 chef dari dalam dan luar negara mengambil bahagian dalam World Chefs Championship Malaysia 2023 dengan 19 pertandingan telah dilangsungkan membabitkan sembilan kategori.
Kejohanan tersebut merupakan penganjuran kali kedua dengan penglibatan chef dari Thailand, Indonesia, China, Hong Kong, Taiwan, Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan India.
Dalam pada itu, Pengurus Besar Paya Bunga Hotel, Abdul Hadi Alias, beliau berhasrat untuk menghantar lebih ramai kakitangan hotel tersebut ke pelbagai kejohanan di peringkat yang lebih tinggi selepas ini.
24 May 23
532
Arkeo Pelancongan Bawah Air Tarikan Baharu di Terengganu
SETIU, 24 Mei - Terengganu bakal memperkenalkan segmen baharu dalam sektor pelancongan iaitu arkeo pelancongan bawah air di Pulau Bidong, Setiu di sini.
Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Hasrizal Shaari berkata, segmen tersebut bertujuan untuk menarik kedatangan peminat skuba, warisan kebudayaan dan sejarah maritim dari seluruh dunia.
“Terengganu juga bakal menjadi negeri pertama yang memperkenalkan arkeo-pelancongan bawah air di Malaysia.
“UMT bersama Jabatan Warisan Negara (JWN) dan kerajaan negeri Terengganu sedang menjalankan usaha bagi merealisasikan hasrat tersebut,” jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program melawat tapak kapal karam itu bersama Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak di Pulau Bidong, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria dan Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri (MPTN) Terengganu, Tengku Mohd Arifin Tengku A Rahman.
Tambah Dr Hasrizal, arkeo pelancongan di Pulau Bidong itu akan merangkumi komponen latihan, pemeliharaan dan pemuliharaan artifak yang ditemui di tapak kapal karam.
“Pada permulaan, dana sebanyak RM1.5 juta diperlukan untuk melakukan proses eskavasi (penggalian) membawa keluar artifak di dasar laut.
"Seperti kapal karam ‘The Bidong Shipwreck' untuk dipamerkan dalam galeri arkeologi yang bakal dibina tidak lama lagi.
“Proses eskavasi kali pertama telah dilakukan pada tahun 2017 diikuti proses kedua pada akhir tahun lalu dan berjaya menaikkan kira-kira 10 peratus artifak atau sebanyak 366 tembikar.
“Ia terdiri daripada pasu besar, kotak kecil dan botol bertangkai dipercayai untuk kegunaan harian yang kebanyakan sudah pecah serta rosak akibat terlalu lama berada di dalam dasar laut," ujarnya.
Sementara itu, pihaknya juga mendapati terdapat lebih banyak artifak yang belum ditemui dan bercadang untuk meneruskan fasa ketiga eskavasi pada akhir tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.
24 May 23
667
Zakir Naik Antara Tokoh Hadir Pada Persidangan Antarabangsa Terengganu 2023
KUALA TERENGGANU 23 Mei - Pendakwah terkemuka, Dr Zakir Naik adalah tokoh yang akan hadir pada Persidangan Antarabangsa Terengganu atau Terengganu International Summit (TIS) 2023 anjuran kerajaan negeri bakal berlangsung di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam pada 1 Jun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, penganjuran pertama kali itu turut mendapat kerjasama Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Yayasan Permata Ummah serta Menteri Besar Incorporated (MBI).
“Bertemakan ‘Kesyumulan Islam dalam Mendepani Cabaran Global’,TIS 2023 akan menghimpunkan para sarjana, pakar dan pembuat dasar bagi membincangkan isu- isu kritikal berkaitan peranan Islam dalam masyarakat majmuk kontemporari, politik dan kesatuan ummah, serta meneroka penyelesaian bagi cabaran yang dihadapi oleh umat Islam.
“Ia juga akan menampilkan tokoh-tokoh ilmuan, ahli politik dan pendakwah Islam antaranya Senator Dato' Seri Dr. Hj. Zulkifli Mohamad al-Bakri (Malaysia), Dr. Zakir Abdul Karim Naik (India), Dr. Hj. Muhammad Hidayat Nur Wahid (Indonesia) dan Prof. Dr. Abdel Rahim Ali Mohammed Ibrahim (Sudan) selain Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang akan menyampaikan ucaptama,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Antarabangsa Terengganu 2023 di Pejabat TSIS, hari ini.
Katanya, menyedari pelbagai isu dan cabaran serta ancaman terhadap agama Islam yang berlaku seperti Islamaphobia dan sebagainya, persidangan kali ini dilihat amat relevan bagi membincangkan perkara berkaitan Ta'ayush dalam Masyarakat Majmuk Kontemporari, Uslub Dakwah dalam Masyarakat Majmuk Kontempori serta Politik Islam dan Perpaduan Ummah dan lain-lain lagi.
“Perlu difahami bahawa Islam adalah agama rahmatan lil'alamin. Berteraskan asas akhlak, kesatuan ummah, kedamaian dan progresif, Islam berkembang ke seluruh pelusuk alam.
“Kedudukan Islam yang merentasi pelbagai bangsa dan budaya menyebabkan ia menjadi agama yang sarat dengan nilai bahkan penerimaan Islam terhadap nilai tempatan sebagai sebahagian cara hidup, selagi menepati akidah menjadikan Islam agama amat 'comprehensive',” jelasnya.
Katanya, besar harapan beliau agar impak serta resolusi yang akan diperolehi daripada program ini dapat memberi manfaat kepada seluruh masyarakat Malaysia.
23 May 23
695
EPIC, ECF Jalin Kerjasama Bina Kilang Baja di Kemaman
KEMAMAN, 23 Mei - Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) dan East Coast Fertilizer Sdn Bhd (ECF) telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) bagi membina sebuah kilang baja di Kawasan Perindustrian Telok Kalong, Kemaman di sini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ridzuan Ali berkata projek ini menjadi titik permulaan bagi mengembangkan pasaran kepada pemain industri di Pantai Timur seterusnya ke seluruh negara.
"Tapak seluas sekitar 6.7 ekar milik EPIC ini adalah lokasi paling strategik untuk memulakan langkah dan membuka pintu kepada ECF untuk menerokai pasaran di Pantai Timur seterusnya berkembang ke negara jiran dan pasaran serantau.
"Dengan MOU ini, ECF akan memberi fokus kepada pembinaan kilang di tapak ini yang dijangkakan bermula pada 2024 dan akan memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat sekitarnya," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Menandatangani Memorandum persefahaman antara EPIC dan ECF di sini baru-baru ini.
Majlis yang diadakan di Kawasan Perindustrian Telok Kalong berhampiran kilang Bitumen Kemaman itu telah disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja yang mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim, Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Nasional, Hanafiah Mat serta Ahli Lembaga Pengarah EPIC dan ECF.
Tambah Ridzuan Ali, pihaknya akan memberi sepenuh sokongan dari segi pengendalian kargo yang ada di Pelabuhan Kemaman dan perkhidmatan logistik mengikut keperluan ECF.
22 May 23
1221
PRN : PAS Pertaruh Calon Terbaik, 'Fresh'
KUALA TERENGGANU, 22 Mei - PAS dan Perikatan Nasional akan meletakkan calon terbaik dan 'fresh' pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti bagi memastikan kemenangan maksima dapat dicapai di enam negeri yang akan ditandingi.
Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, melihat kepada 'mood rakyat' bukan sahaja Terengganu, Kedah dan Kelantan akan mengekalkan kemenangan, bahkan kejutan dijangka berlaku di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.
"Saya yakin melihat kepada 'mood' di bawah terutama kalangan rakyat pada waktu ini menunjukkan suasana agak positif kepada PAS dan PN.
"Kerana itu saya percaya di Terengganu, Kelantan dan Kedah kita akan mempertahankan serta mencapai kemenangan lebih baik (manakala) untuk tiga negeri lagi kita akan melakukan kejutan, insya-Allah," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Terengganu di Dataran Shahbandar, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut katanya, pada 23 Mei nanti akan berlaku perbincangan senarai agihan kerusi tidak lagi ditentukan calon-calon.
"Akan dibawa kepada Majlis Presiden mungkin dalam seminggu atau dua minggu selepas pada itu barulah kita sahkan kerusi dan serahkan kepada parti masing-masing untuk menentukan calon yang paling sesuai untuk menang.
"Semua senarai yang akan ditentukan nanti semua nama itu kita akan hantar (untuk) mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa bagi melakukan tapisan," ujarnya.
Mengenai calon wanita yang akan diketengahkan, Ahmad Samsuri berkata perkara tersebut sebelum ini telah dibawa oleh Dewan Muslimat ke Muktamar Tahunan PAS agar 50 peratus merupakan calon wanita.
"Walaupun pernah dibawa ia tidak menjadi satu keputusan, yang paling penting kita tengok kesesuaian di tempat-tempat berkenaan.
"Paling penting masing-masing boleh memberikan sumbangan Dan menyumbang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)," ujarnya.
Dalam pada itu beliau yang juga Menteri Besar Terengganu menyatakan akan mengadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin selepas minggu ketiga bulan Jun bagi mendapat perkenan membubarkan DUN.
22 May 23
473