lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

YPM Sasar Kumpul Dana RM10 Juta Tahun Depan
YPM Sasar Kumpul Dana RM10 Juta Tahun Depan
KUALA TERENGGANU,29 Mei- Yayasan Pendidikan Maidam mensasarkan kutipan dana sebanyak RM10 juta dapat dikumpul tahun depan menerusi pelancaran dana sumbangan pendidikan Yayasan Pendidikan Maidam (YPM). Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pendidikan Maidam, Dato’ Wan Ismail Wan Yusoh berkata, dana sumbangan pendidikan YPM yang diperkenalkan tahun ini merupakan program tambahan yang menawarkan ruang kepada masyarakat untuk sama-sama menghulur tangan dalam pembangunan pendidikan di Terengganu. Katanya, dana tersebut akan diagihkan untuk bantuan berterusan bagi menjayakan program Skim Anak Angkat, Prihatin@School, Prihatin@University, Boleh YPM Tolong serta Infra dan Fasiliti Pondok. “Setakat ini, jumlah terkumpul bagi dana sumbangan pendidikan YPM sebanyak RM1,009,189 dan antara penyumbang utama adalah Bank Islam Malaysia Berhad, Manfaat Wakaf Pendidikan Almarhum Baginda Sultan Omar, Program Kolobrasi Akses Fikrah Islami Permodalan Nasional Berhad-MAIDAM dan GNI Pharma Sdn Bhd.. “Harapan kami agar lebih ramai lagi yang sudi menyumbang sama ada agensi negeri atau swasta agar lebih ramai yang boleh di bantu dan tiada yang tercicir dalam pelajaran.” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Majlis Pelancaran Dana Sumbangan YPM yang disempurnakan oleh Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di Primula Beach Hotel, hari ini. Menurut beliau, fungsi YPM tidak bertindih dengan yayasan-yayasan yang sedia ada di Terengganu kerana fokus YPM untuk melengkapkan dan mengisi ruang-ruang penambahbaikan dalam pendidikan ke arah pendidikan berkualiti.  “Yayasan Pendidikan Maidam merupakan anak syarikat Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu yang beroperasi secara aktif bermula 1 Mac 2021 dimana agihan zakat bagi sektor pendidikan telah dimanahkan kapada YPM sebagai strategi fokus untuk memperkasakan pendidikan di Terengganu.  “Bagi tahun ini, sebanyak RM68.1 juta telah diperuntukkan di bawah agihan zakat dalam sektor pendidikan melalui YPM meliputi 13 program.  “Antaranya Bantuan Awal Pengajian, Bantuan IPT, Skim Ulama’, Bantuan Pengajian Islam, dan Bantuan Pengurusan Pondok. Fungsi kedua Yayasan Pendidikan MAIDAM adalah menguruskan Dana Tanggungjawab Sosial bagi tujuan pembangunan pendidikan,” ujarnya.  
29 May 23
281
50 Persatuan Motosikal Dalam, Luar Negara Sertai Terengganu Bike Week
50 Persatuan Motosikal Dalam, Luar Negara Sertai Terengganu Bike Week
KUALA TERENGGANU, 29 Mei – Lebih 50 Persatuan dari pelbagai negara, termasuk Thailand, Singapura dan Brunei menyertai Terengganu Bike Week 2023 (TBW2023) di Dataran Shahbandar di sini. Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Fadli Yusof berkata Zakaria berkata program Terengganu Bike Week 2023 ini menghimpunkan lebih 2,000 motosikal dari pelbagai jenis model klasik dan baharu. Katanya, penganjuran Terengganu Bike Week 2023 hasil kerjasama dengan JPNT dan East Coast Motorcycle Club (ECMC).  “Program yang berlangsung selama tiga hari bermula pada 26 hingga 28 Mei itu menerima penyertaan di luar jangka oleh pengunjung. “Pada hari terakhir program, kira-kira 400 pengunjung TBW2023 hadir bersama-sama Pengasas ECMC, Tengku Sri Temenggung Raja Terengganu ke Kampung Budaya Terengganu bagi memenuhi jemputan JPNT," katanya dalam kenyataan media semalam. Tambah Fadli Yusof, pelbagai aktiviti kebudayaan yang dipersembahkan dalam program itu antaranya pentunjukan membuat kuih loklik dan mas jemput serta penyampaian sumbangan kepada Orang Kurang Upaya (OKU). Beliau berkata, penglibatan tersebut pelbagai agensi dan persatuan motosikal di dalam dan luar negara itu sekali gus merancakkan agenda pelancongan dan ekonomi negeri Terengganu.  
29 May 23
1158
Raja Muda Berkenan Sempurnakan Majlis Pelancaran Dana Sumbangan YPM
Raja Muda Berkenan Sempurnakan Majlis Pelancaran Dana Sumbangan YPM
KUALA TERENGGANU, 29 Mei - Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat merasmikan pelancaran dana sumbangan pendidikan Yayasan Pendidikan Maidam (YPM) di Primula Beach Hotel, hari ini. Baginda diiringi Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Rozali Salleh; Yang Dipertua Maidam, Dato' Shaikh Harun Shaikh Ismail. Turut mengiringi baginda, Mufti Terengganu, Dato’ Dr. Mohamad Sabri Haron; Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Pendidikan Maidam, Dato’ Wan Ismail Wan Yusoh serta Ketua Pegawai Eksekutif Maidam, Dr Ahmad Azrin Adnan. Pada majlis itu, baginda bertitah dan seterusnya berkenan menyempurnakan perasmian. Tengku Muhammad Ismail turut berkenan menyampaikan dana sumbangan pendidikan YPM kepada para penerima. Program dana sumbangan pendidikan YPM merupakan ruang untuk masyarakat bersama-sama menghulur tangan dalam pembangunan pendidikan khususnya di negeri ini bagi memastikan semua mempunyai peluang untuk mendapat pendidikan sempurna dan tiada yang tercicir dalam pelajaran.
29 May 23
227
Cadangan Teknokrat Mampu Seimbangkan Pentadbiran
Cadangan Teknokrat Mampu Seimbangkan Pentadbiran
KEMAMAN, 29 Mei - Masyarakat dan parti-parti politik perlu lebih terbuka terhadap penglibatan pemimpin dari latar belakang teknokrat dalam pentadbiran kerajaan Persekutuan dan negeri bagi memanfaatkan kepakaran serta pengalaman mereka demi kebaikan rakyat. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Yahaya Ali berkata justeru itu cadangan keanggotaan Dewan Negara menjadi 140 iaitu 88 lantikan YDPA dan 52 mewakili negeri-negeri selari dengan penambahan anggota Dewan Rakyat. “Cadangan ini  dapat meningkatkan ruang penglibatan teknokrat untuk pelantikan ke jawatan Menteri atau Timbalan Menteri. “Selain itu, satu  pindaan Perlembagaan Negeri-negeri dicadangkan bagi mewujudkan dan menambah jumlah ADUN secara lantikan pada kadar sekitar 15 peratus  dari bilangan ADUN yang dipilih dan membenarkan ADUN secara lantikan diberi kepercayaan menjadi anggota pentadbiran kerajaan negeri,”katanya. Beliau berkata demikian ketika membacakan teks ucapan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sempena Majlis Perasmian Resolusi Konvensyen Pendemokrasian Cendekiawan dan Umarak Terengganu di DITC Kemaman Terengganu.  Katanya lagi, satu ‘blue print’ sistem Pendidikan Rakyat Terengganu (PRT) yang berteraskan sistem pendidikan Islam dan berintegrasi secara komprihensif dengan sistem pendidikan arus perdana bermula daripada peringkat pra-sekolah sehingga ke peringkat universiti perlu diwujudkan. “Selain itu, matapelajaran sistem kekeluargaan Islam hendaklah diwujudkan di setiap peringkat pengajian dan dijadikan matapelajar wajib lulus. “Ini termasuk mengadakan sekolah satu sesi selama 8 jam bagi semua sekolah di Terengganu untuk memudahkan integrasi bidang duniawi, ukhrawi dan beriadah di samping membantu ibubapa yang bekerja menguruskan anak-anak mereka,” ujar beliau. Tambahnya, bagi meningkatkan ekonomi, satu  rangkaian kerjasama aktiviti ekonomi rakyat yang menuruti syariat sebagai satu jihad ekonomi rakyat di samping meneruskan promosi ‘buy muslim first’ (BMF). “Kita perlu mewujudkan satu eko-sistem ekonomi berkonsepkan hub halal yang bekerjasama dan saling menyokong di antara satu sama lain, bagi mempertingkatkan daya saing produk di pasaran global. “Termasuk membentuk makanisma wakaf ekonomi rakyat bagi menyediakan akses kepada latihan dan kemahiran, modal awal dan pebinaan infrastruktur business di dalam sektor perniagaan dan perusahaan,” ujarnya.  
29 May 23
184
TDM Berhad Miliki Dua Loji Biogas
TDM Berhad Miliki Dua Loji Biogas
KEMAMAN, 29 Mei – TDM Berhad (TDM) melalui anak syarikatnya, TDM Plantation Sdn. Bhd. kini memiliki dua loji Janakuasa Biogas yang telah berjaya dihidupkan dan beroperasi sepenuhnya. Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja berkata kedua-dua Loji Jana kuasa Biogas itu terletak di Kampung Padang Kubu di sini dan Sungai Tong, Setiu. Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Loji Janakuasa Biogas bertempat di Loji Janakuasa Biogas TDM, Kemaman di sini semalam. Keberangkatan tiba baginda disambut, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Tengku Seri Bijaya Raja berkata, kesemua Loji Jana Kuasa tersebut bernilai hampir RM50 juta yang menggunakan sistem lagun tertutup itu mampu menjana 2 MegaWatt (MW) setiap jam ke grid Tenaga Nasional Berhad (TNB). Di samping, dapat menghasilkan 29,784,000 kilowatt per jam (kWj) tenaga boleh diperbaharui setiap tahun. “Loji Janakuasa Biogas ini merupakan hasil kerjasama antara TDM dan Concord Biotech Sdn. Bhd. yang bermula pada tahun 2019. "Kedua-dua pihak ini bekerjasama dalam membangun, mengendali dan mengekalkan penjanaan kuasa berasaskan tenaga yang boleh diperbaharui," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmikan Loji Janakuasa Biogas semalam. Tambah Bijaya Raja, Biogas merupakan sejenis gas yang dijana melalui pencernaan bahan-bahan organik dan boleh digunakan sebagai bahan bakar kenderaan atau sebagai pengganti gas asli bagi proses penjanaan tenaga elektrik.  “Pembinaan Loji Biogas ini merupakan salah satu strategi TDM bagi mengoptimumkan pengurusan rawatan effluen kilang sawit, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau yg terhasil daripada sistem rawatan effluen Kilang sawit. "Sekali gus, mengurangkan jejak karbon (carbon footprint) dalam menuju ke arah memacu pembangunan mampan.  "Pelaksanaan inisiatif berdasarkan teknologi hijau ini akan dapat memastikan penjagaan alam sekitar yang mampan serta mengukuhkan lagi sistem rawatan olahan kilang Sawit yang sedia ada supaya tidak mencemarkan alam sekitar," ujarnya. Beliau berkata, Loji Biogas ini juga akan Meningkatkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui bagi menjamin bekalan tenaga negara yang mampan Pada masa hadapan," ujarnya. Sementara itu, projek ini turut menerima pengiktirafan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).      
28 May 23
542
Sultan Mizan Cemar Duli Rasmi Loji Janakuasa Biogas Kemaman
Sultan Mizan Cemar Duli Rasmi Loji Janakuasa Biogas Kemaman
KEMAMAN, 29 Mei – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Loji Janakuasa Biogas melalui usahasama di antara TDM Berhad dan Concord Group di sini. Keberangkatan tiba baginda disambut, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Majlis yang diadakan di Loji Janakuasa Biogas TDM, Kemaman itu bermula pada jam 10.30 pagi dihadiri lebih 500 orang tetamu yang terdiri daripada agensi-agensi, penjawat awam, polis, tentera dan sebagainya. Dr Samsuri berkata, Malaysia menyasar untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu atau renewable energy kepada 31 peratus menjelang 2025 selain turut komited mencapai neutral karbon menjelang 2050.  Justeru, Kerajaan Negeri memandang positif projek usahasama antara TDM dan Concord Group bagi penghasilan biogas dan penjanaan kuasa elektrik ini. "Projek ini mampu memberikan manfaat ekonomi kepada rakyat dan Negeri Terengganu,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmikan Loji Janakuasa Biogas semalam. Sementara itu, Pegawai Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, TDM juga dalam usaha menghijaukan operasi perniagaannya dengan menjadi perintis dalam industri janakuasa biogas di Terengganu.  “Pembinaan Loji Biogas ini merupakan salah satu strategi TDM bagi mengoptimumkan pengurusan rawatan efluen kilang sawit, mengurangkan pelepasan gas rumah hijau. "Iaitu yang terhasil daripada sistem rawatan effluen kilang sawit sekaligus mengurangkan jejak karbon (carbon footprint) dalam menuju ke arah memacu pembangunan mampan.  “Pelaksanaan inisiatif berdasarkan teknologi hijau ini akan dapat memastikan penjagaan alam sekitar yang mampan," ujarnya. Di samping, meningkatkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui bagi menjamin bekalan tenaga negara yang mampan pada masa hadapan.  
28 May 23
378
Terengganu Inc Mendukung Pembudayaan 'Benci Rasuah'
Terengganu Inc Mendukung Pembudayaan 'Benci Rasuah'
SETIU, 28 Mei -  Syarikat pelaburan induk strategik kerajaan negeri, Terengganu Incorporated Sdn Bhd ( Terengganu Inc) sentiasa mendukung pembudayaan 'benci rasuah' serta pematuhan integriti di dalam gerak kerja. Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, polisi etika kerja yang baik telah dibangunkan serta dijadikan amalan. Kemudiannya polisi terbabit menurutnya, dilanjutkan kepada anak syarikat yang lain untuk diguna pakai oleh TDM Berhad, EPIC Berhad juga Ladang Rakyat Terengganu. "Polisi seperti Anti-Rasuh dan Penyelewengan, Kod Etika Perniagaan, 'Whistleblowing', 'No-gift' dan 'Sponsorship and Donation' telah dirangka dan dilanjutkan kepada anak syarikat. "Untuk mempertingkatkan kawalan dalaman, Terengganu Inc turut mewujudkan kerangka kawalan dalaman dan bagi memudahkan rujukan, Buku Panduan Anti-Rasuah dan penyelewengan juga telah dilancarkan secara rasmi. "Sebelum ini, Terengganu Inc tidak asing lagi memberi kerjasama penuh dengan SPRM dengan menganjurkan 'Integriti-tea Talk With SPRM' pada awal Mac lalu dan Ikrar Bebas Rasuah semasa Bulan Integriti Peringkat Negeri 2022,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Perkasa Wira Anti Rasuah (WAR) di Sekolah Kebangsaan Pulau Redang, di sini, kelmarin. Turut hadir, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Norazlan Mohd Razali. Dalam pada itu Burhanuddin memaklumkan ' WAR ' merupakan program tanggungjawab sosial korporat pertama Terengganu Inc dengan pihak SPRM dan telah menjadikan Sekolah Kebangsaan Pulau Redang sebagai sekolah angkat Terengganu Inc. "Dengan adanya program seumpana ini diharapkan agar ia dapat membentuk generasi pelajar yang peka terhadap isu rasuah, serta memupuk semangat integriti dan kejujuran dalam diri mereka,"ujarnya.  
28 May 23
316
Hospital Pengajar UniSZA Mula Dibuka Julai
Hospital Pengajar UniSZA Mula Dibuka Julai
KUALA NERUS, 27 Mei - Hospital Pengajar Universiti Sultan Zainal Abidin (HPUniSZA) dijangka bakal memulakan operasinya pada Julai depan. Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Fadzli Adam berkata, hospital itu akan dibuka secara berperingkat dalam tempoh bermula Julai ini sehingga beroperasi sepenuhnya. Katanya, HPUniSZA mempunyai kekuatan sendiri dan mempunyai kepakaran dalam rawatan jantung, kardiologi, ortopedik, oftalmologi (mata) dan psikiatri bagi pesakit dewasa serta kanak-kanak. “Pada peringkat, kita bermula dengan menerima pesakit luar sebelum menjalankan pengoperasian penuh kemasukan ke wad. “Manakala bilik bedah pula dijangka beroperasi pada penghujung tahun ini,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Berbasikal Institut Jantung Negara (IJN) Ride For Your Heart 2023 yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bertempat di Hospital Pengajar UniSZA, di sini hari ini.  Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Akmal Arief Mohamed Fauzi dan Pengarah HPUniSZA, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi A Latif. Tambah Fadzli Adam, HPUniSZA juga memiliki sembilan klinik pakar dan 10 wad yang mampu menempatkan 100 pesakit dalam satu masa. Manakala katanya, klinik pakar pula boleh menerima rawatan di antara 30 hingga 50 pesakit sehari. Beliau berkata, pihaknya juga akan menambah jumlah katil kepada 200 buah dan 12 bilik pembedahan selain melantik 10 orang doktor pakar di hospital berkenaan.      
27 May 23
567
Cubaan Lelaki Larikan Diri Daripada Operasi Khalwat Gagal
Cubaan Lelaki Larikan Diri Daripada Operasi Khalwat Gagal
KUALA NERUS, 27 Mei – Cubaan seorang lelaki melarikan diri bagi mengelak ditangkap Penguatkuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) terbantut apabila dia menyerah diri selang beberapa minit selepas itu. Penolong Ketua Operasi Penguatkuasaan Syariah Pejabat Agama Daerah (PAD) Kuala Nerus, Fadhlan Mohamad berkata lelaki itu disyaki melakukan kesalahan jenayah syariah ketika operasi khalwat JHEAT dan PAD Kuala Nerus baru-baru ini. Katanya, sebanyak dua pasangan berjaya ditangkap dalam serbuan tersebut melibatkan lapan hotel yang diperiksa. “Pasangan itu masing-masing mempunyai status janda dan lelaki kesemuanya status bujang. “Operasi yang bermula pada jam 12 malam itu melibatkan lebih 20 orang anggota Penguatkuasa yang terdiri daripada JHEAT dan PAD Kuala Nerus,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Operasi Khalwat di Hotel-Hotel Sekitar Daerah Kuala Nerus di Pejabat Agama Daerah Kuala Nerus di sini baru-baru ini. Tambah Fadhlan, hotel-hotel yang diperiksa juga memberi kerjasama yang baik sepanjang operasi dijalankan. Sementara itu, pola kes dalam Daerah Kuala Nerus ini juga menunjukkan perkembangan positif dari sudut pengurangan kes tangkapan. “Hal ini kerana, timbulnya kesedaran atas usaha kekerapan penguatkuasa PAD Kuala Nerus melakukan operasi, pemantauan dan sebagainya dalam daerah berkenaan,” ujarnya. Beliau berharap, agar kes tangkapan sentiasa berkurang sehingga mencapai angka sifar kes tangkapan khalwat dalam Daerah Kuala Nerus ini.
27 May 23
761
IJN Tarik Lebih 600 Peserta Berbasikal
IJN Tarik Lebih 600 Peserta Berbasikal
KUALA NERUS, 28 Mei - Institut Jantung Negara (IJN) Ride For Your Heart 2023 menarik lebih 600 peserta berbasikal di Terengganu. Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Akmal Arief Mohamed Fauzi berkata acara ini bertujuan untuk memupuk kesedaran kepada semua golongan terhadap kesihatan dalam kehidupan. Katanya, IJN sentiasa aktif dalam melaksanakan program sebegini bagi memberikan ilmu kepada masyarakat setempat terhadap pentingnya bersenam bagi mengelakkan sebarang penyakit dalam ada badan kita. “Progran yang bermula pada jam 7.00 pagi itu turut menerima penyertaan dari seluruh negara dengan pelbagai lapisan umur. “Penganjuran kali ini membabitkan tiga kategori iaitu 30 kilometer (km) Fun Ride serta 88km dan 120km di mana kedua-dua kategori itu formatnya adalah perlumbaan,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Berbasikal Institut Jantung Negara (IJN) Ride For Your Heart 2023 yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bertempat di Hospital Pengajar, UniSZA di sini semalam. Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Datuk Akmal Arief Mohamed Fauzi, Pengarah HPUniSZA, Prof Datuk Dr Ahmad Zubaidi A Latif dan Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja. Tambah Akmal, penganjuran ini sentiasa mendapat sambutan setiap kali diadakan di samping dapat mendidik diri kita untuk kekal sihat dengan aktiviti bersukan. Katanya lagi, Terengganu menjadi pilihan penganjuran edisi ketiga IJN Ride 4 Your Heart itu kerana mahu memberi pengalaman bermakna kepada setiap peserta. “Dengan 2023 adalah tahun melawat Terengganu, ia juga adalah peluang terbaik untuk menganjurkan aktiviti berbasikal ini. “Acara yang berakhir pada jam 12 tengahari itu berjalan dengan lancar dan tiada perkara yang tidak diingini berlaku,” ujarnya.      
27 May 23
475