lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Dr Azman Sangkal Fitnah Jijik UMNO
Dr Azman Sangkal Fitnah Jijik UMNO
Oleh : Mazurea Deraman SETIU, 23 Jun - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim menyangkal fitnah jahat pendokong UMNO Setiu berhubung isu tempahan Dewan Sivik bagi program Tabika Kemas.  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri itu menegaskan pihaknya tidak pernah membatalkan tempahan dewan pada saat akhir sebaliknya Tabika Kemas DUN Jabi hanya menempah dewan tersebut pada 20 Jun.  "Pada 20 Jun pihak Tabika Kemas DUN Jabi telah mengadakan Program Bengkel Kemahiran Keibubapaan Siri 1 di sana dan dirasmikan oleh Mantan ADUN Jabi merangkap Penyelaras UMNO DUN Jabi.  "Oleh kerana Siri 1 berlangsung dengan baik, maka baru ada permohonan untuk mengadakan program siri kedua pada 22 Jun 2023. "Namun permintaan tersebut tidak dapat dipenuhi kerana adanya pertembungan tempahan yang telah dibuat lebih awal oleh pelajar-pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada tarikh yang sama," katanya.  Beliau berkata demikian di facebooknya bagi menjawab tuduhan songsang Malek Mat hari ini.  Menurutnya lagi, guru-guru Tabika Kemas sudah dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) Bakat dan mereka memahami.  "Jadi, program siri kedua telah dipindahkan ke lokasi lain, Pengerusi JPKK Kampung Bakat bermurah hati untuk untuk memberi pinjam kerusi kepada pihak Kemas untuk digunakan dalam program tersebut," ujarnya.  Oleh itu katanya, tuduhan kononnya tempahan Dewan Sivik telah dibatalkan pada saat akhir adalah sekadar fitnah berniat jahat semata-mata.  Sementara, Pegawai Khas Dr Azman, Mohd Amaturrahman Mat Jaafar berkata, pihaknya akan membuat laporan polis sekiranya Malek Mat tidak membuat permohonan maaf dalam tempoh 12 jam.   
23 Jun 23
8574
AJK Masjid Perlu Pastikan Penceramah Ada Tauliah MAIDAM - Sultan Mizan
AJK Masjid Perlu Pastikan Penceramah Ada Tauliah MAIDAM - Sultan Mizan
HULU TERENGGANU, 23 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru Jawatankuasa Masjid memastikan penceramah dan penyampai kuliah yang diundang mempunyai tauliah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM). Baginda bertitah setiap program yang dilaksanakan haruslah selari dengan setiap arahan dan peraturan yang dikeluarkan oleh MAIDAM dan undang-undang yang berkuatkuasa, terutama hal-hal berkaitan dengan tauliah mengajar.  "Peraturan yang dibuat bukan bermaksud untuk menyekat penyebaran ilmu di masjid dan surau tetapi ianya bagi memastikan setiap ilmu yang disampaikan bertepatan dengan aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi pegangan kita umat Islam di negeri ini," Titah Baginda ketika menyempurnakan perasmian Masjid Kampung Pelandan, di sini hari ini. Dalam masa yang sama , Baginda berharap pihak Pengurusan Masjid juga mempunyai minda yang terbuka dan berfikiran kreatif bagi merangka dan melaksanakan pelbagai program yang boleh melahirkan ummah yang cemerlang. "Usaha yang bersepadu bagi mempromosi dan menyemarakkan program-program di masjid perlu diperkasakan agar ianya mendapat tempat di hati setiap lapisan masyarakat.  "Kebolehan dan kepakaran para jemaah boleh digembeling bersama-sama jawatankuasa masjid untuk dimanfaatkan oleh anak kariah dan masyarakat setempat agar usaha ke arah mengoptimumkan fungsi masjid berjaya direalisasikan,"  Titah Baginda. Baginda bertitah, masjid  sebagai pangkalan pembangunan insan yang berpaksikan kepada akidah yang benar dalam membina masyarakat ke arah memiliki nilai-nilai hidup yang mulia. "Justeru sistem pengajian masjid dilihat penting dalam usaha mendidik jiwa manusia menjadi insan cemerlang dan bertaqwa," Titah Baginda. Baginda turut bertitah, masjid memainkan peranan yang sangat penting dalam membangunkan umat Islam dan menegakkan tamadun kehidupan Ummah. Justeru itu, Pengurusan Masjid diingatkan untuk memainkan peranan dalam merancang dan melaksanakan aktiviti-aktiviti atau program-program yang terbaik dengan nilai-nilai Islam sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW.  
23 Jun 23
215
Sultan Mizan Rasmi Masjid Kg Pelandan
Sultan Mizan Rasmi Masjid Kg Pelandan
HULU TERENGGANU, 23 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berangkat menyempurnakan majlis perasmian Masjid Kampung Pelandan dekat sini yang menelan belanja RM5.5 juta. Turut berangkat pada upacara itu Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan Tengku Sri Setia Mahkota Raja Tengku Mua’az Sultan Mizan Zainal Abidin. Turut mengiringi Sultan Mizan ialah Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Datuk Mohd Nor Hamzah, Ahli-ahli Dewan Pangkuan Diraja dan barisan Exco. Sejurus selesai majlis perasmian, Sultan Mizan bersama hadirin menunaikan solat Jumaat berjemaah di masjid berkenaan seterusnya ke majlis santapan tengahari di pekarangan masjid sebelum berangkat meninggalkan majlis. Dalam pada itu, Masjid Kampung Pelandan itu siap dibina pada 2019 sekali gus menggantikan masjid lama yang dibina pada awal 1970. Masjid yang mampu memuatkan 750 jemaah pada satu masa itu turut mempunyai pelbagai kemudahan antaranya bilik jenazah, dewan serbaguna selain keluasan ruang letak kenderaan.   
23 Jun 23
253
Sultanah Nur Zahirah Berkenan Lawat Hospital Hulu Terengganu
Sultanah Nur Zahirah Berkenan Lawat Hospital Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 22 Jun - Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Hospital Hulu Terengganu (HHT), di sini, hari ini. Keberangkatan tiba baginda  diiringi oleh kedua paduka anakanda iaitu Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja dan Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja. Turut mengiringi baginda, isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman dan isteri Ahli Dewan Pangkuan Diraja, To' Puan Hajjah Azizah Aziz. Baginda yang tiba di perkarangan hospital pada pukul 9.30 pagi disambut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Datuk Dr Alias Razak, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Kasemani Embong, serta kakitangan hospital berkenaan. Baginda meluangkan masa selama satu jam melawat wad bersalin, wad kanak-kanak dan wad psikiatri di hospital tersebut dan menyampaikan cenderamata serta sumbangan kepada pesakit. Sultanah Nur Zahirah turut berkesempatan mendengar persembahan taklimat oleh Datuk Dr Kasemani mengenai pembangunan HHT. Baginda kemudian berangkat pulang pada kira-kira jam 11.30 pagi. Hospital Hulu Terengganu yang mula beroperasi pada tahun 1 Disember 1994 mempunyai kapasiti 105 katil pesakit, lima wad termasuk satu bilik bersalin. Hospital itu juga mempunyai kakitangan seramai 366 orang, termasuk 25 pegawai perubatan, 133  jururawat, 23 pegawai farmasi dan 38 penolong pegawai perubatan.
23 Jun 23
655
Sultan Mizan Berkenan Hadir Forum Perdana
Sultan Mizan Berkenan Hadir Forum Perdana
HULU TERENGGANU, 22 Jun- Sultan Terengganu, Sultan Mizan berkenan berangkat ke Majlis Forum Perdana di tapak Pasar Tani, Kuala Berang, di sini, malam ini. Keberangkatan Baginda turut diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Di Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan paduka-paduka anakanda. Forum anjuran Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu  (JHEAT) itu diadakan bersempena Hari Keputeraan Rasmi Baginda tahun ini. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman; Yang Dipertua Dewan Undangan Rakyat, Dato Yahaya Ali dan isteri; Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan isteri; ahli-ahli Dewan Pangkuan Diraja dan isteri; serta barisan ahli Exco yang lain. Forum bertajuk ‘Islam Di Martabat Rakyat Muafakat’ itu turut dihadiri lebih 2,000 penonton, selain disiarkan secara langsung di saluran TerengganuFM. Forum itu menampilkan Ustaz Mohd Hariri  Mohamad Daud  sebagai moderator bersama tiga panel, Prof Madya Dr Syarifah Hayati  Syed Ismail, Datuk Dr Haji Zahazan Mohamad dan Prof Madya Dato' Dr Hj Mohd Izhar Arif  Mohd Kashim. Intipati forum selama sejam bermula 9.00 malam itu, antara lain memfokuskan kehebatan pendidikan Terengganu serta masyarakat yang bersatu padu melahirkan generasi hebat dan akhirnya membentuk negeri yang kuat dalam semua aspek.  
22 Jun 23
448
Sultan, Sultanah Berangkat Ke Jamuan Teh Bersama Rakyat Hulu Terengganu
Sultan, Sultanah Berangkat Ke Jamuan Teh Bersama Rakyat Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 22 Jun- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis Jamuan Teh bersama lebih 3,000 rakyat daerah ini  bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 Hari Keputeraan baginda di Tapak Pasar Pagi Kuala Berang, hari ini. Sultan Mizan berangkat tiba pada jam 3.00 petang, diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Di Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan paduka-paduka anakanda baginda.  Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman,  serta barisan ahli Exco yang lain. Majlis bermula jam 3 petang hingga 4 petang itu turut diserikan dengan persembahan alunan muzik, tarian dan nyanyian, selain mempersembahkan buah-buahan tempatan dari daerah Hulu Terengganu. Meskipun hujan lebat, ia tidak menghalang lebih 3,000 rakyat jelata pelbagai lapisan membanjiri dataran berkenaan dan mengambil peluang bersalaman dengan Sultan Mizan serta Sultanah Nur Zahirah. Baginda meluangkan masa selama satu jam bersama rakyat sebelum berangkat pulang pada  4.05 petang. Orang ramai turut dihidangkan dengan pelbagai sajian tempatan seperti  kuih-muih, roti jala, pulut dakap, karipap dan mee goreng.
22 Jun 23
491
Ribuan Anak Muda Dijangka Hadiri Himpunan Milenial Terengganu
Ribuan Anak Muda Dijangka Hadiri Himpunan Milenial Terengganu
KUALA TERENGGANU, 22 Jun - Kerajaan negeri melalui Urus Setia Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri Terengganu (UBSNT) menjangkakan ribuan anak muda akan menghadiri Himpunan Mileneal Terengganu yang dianjurkan oleh pihaknya. Himpunan tersebut akan diadakan pada Sabtu di Dewan Perdana Komplekas Pentadbiran Al-Wathiqu Billah Kuala Nerus bermula jam 8 pagi sehingga 1.30 petang. Sepanjang program berkenaan diadakan lbagai acara menarik diadakan antaranya pertandingan video pendek TikTok, Simposium Milenial Negarawan di samping akan ada pameran jabatan dan agensi. Paling istimewa turut diadakan Town Hall Belia Bersama Menteri Besar Terengganu yang akan menjadi platform yang tepat untuk generasi milenial  menyuarakan pendapat dan pandangan sentiasa tidak langsung memberi gambaran kerajaan hari ini sangat meraikan pandangan golongan berkenaan untuk turut terlibat memajukan negeri ini. Sementara itu UBSNT melalui kenyataan yang dimuat turun di Facebook rasminya menyatakan takrifan mengenai golongan milenial berdasarkan Pew Research Centre bahawa golongan milenial secra umumnya merujuk kepada individu yang lahir antara 1981 hingga 1996 yang berusia antara 27 hingga 42 tahun. Manakala yang lahir antara 1997 hingga 2012 pula dikenali sebagai Gen Z yang kini berusia antara 11 hingga 26 tahun. Menurut UBSNT, sebenarnya tiada takrifan yang jelas mengikut disiplin ilmu kerana terdapat pelbagai pandangan justeru mengajak mana-mana anak muda tanpa mengira mana-mana kelompok hadir bagi memeriahkan program berkenaan. Kehadiran anak muda ke program ini juga akan turut menjadi signal bahawa seluruh anak muda negeri ini mahu kerajaan hari ini terus kekal dipertahankan.
22 Jun 23
506
Ketua Pemuda PAS ‘Sekolahkan’ Ketua Pemuda Umno
Ketua Pemuda PAS ‘Sekolahkan’ Ketua Pemuda Umno
KUALA TERENGGANU, 22 Jun - Ketua Pemuda PAS Terengganu, Mohd Harun Esa membidas kenyataan Ketua Pemuda UMNO Terengganu berhubung laporan prestasi kerajaan negeri yang disifatkan tak tepat. Mohd Harun berkata, Tengku Haphiz Tengku Putera seolah-olah tidak membaca dengan betul data yang dikeluarkan oleh Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) sehingga menyebabkan beliau ‘tersalah tulis’. “Sebelum tu, saya rasa hairan sebenarnya. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk merangkap Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam posting beliau menyenaraikan empat perkara. Tapi kenapa perkara keempat sahaja yang YM Tengku respon.   “Kalau YM Tengku betul-betul buka dan baca ‘Laporan Prestasi Tahunan Malaysia’ atau yang diterbitkan MIDA dari tahun 2013 hingga 2022, YM Tengku akan temui daripada mana datangnya angka RM11.59 bilion (2018-2022) dan RM5.34 bilion (2013-2017),” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Menurut Mohd Harun, Ketua Pemuda UMNO Terengganu itu mungkin sibuk membuat persiapan sebagai bakal calon pilihan raya negeri sehingga tidak sempat menyemak dengan teliti. “Tapi tak apalah, saya tolong nyatakan siap-siap. Pada 2013 pelaburan berjumlah RM0.18 bilion, 2014 (RM1.57 bilion), 2015 (RM1.40 bilion), 2016 (RM2.11 bilion), 2017 (RM0.07 bilion), jumlahnya RM5.34 bilion. “Kemudian pada 2018 (RM4.90 bilion), 2019 (RM0.64 bilion), 2020 (RM1.91 bilion), 2021 (RM3.83 bilion), 2022 (RM0.31 bilion), boleh rujuk muka surat 133,139, 143, 145 dan 155 dalam laporan itu,  jumlah keseluruhan RM11.59 bilion. “Data ini ialah nilai pelaburan bagi ‘Projek Perkilangan yang Diluluskan’ atau ‘Approved Manufacturing Projects’,” jelasnya.   Tegas Mohd Harun, sangkaan melulu Tengku Haphiz bahawa PAS Terengganu nak mengatakan laporan MIDA itu palsu atau sabotaj sangat tidak betul. “YB Batu Buruk memang merujuk kepada laporan rasmi yang diterbitkan oleh MIDA. Padahal yang YM Tengku rujuk tu bukanlah ‘Laporan’ sebaliknya adalah ‘Pengumuman/Siaran Media’. “Sepatutnya YM Tengku rujuklah laporan yang sebenar. Untuk mudahkan YM Tengku, ini linknya : https://www.mida.gov.my/report/. Tapi kalau YM Tengku rasa berat nak baca laporan tebal-tebal ni, Pemuda PAS Terengganu sedia hantar wakil berjumpa YM Tengku untuk bantu YM Tengku baca dan fahami laporan-laporan ni. “Lepas tu, kalau YM Tengku nak buat perbandingan, buatlah secara adil. Janganlah banding prestasi 10 tahun (2007-2016) dengan prestasi lima tahun.  Kaedah perbandingan sebegitu tak betul dan buruk sekali rupanya,” ujarnya. Mohd Harun turut berkata, data pelaburan yang diterbitkan oleh ECERDC dan MIDA ada perbezaannya.  “Masing-masing ada definisi, klasifikasi yang berbeza. Jadi, jangan campur aduk. Jangan hentam data MIDA atas data ECERDC dan sebaliknya,” tambah beliau. Terdahulu, Tengku Haphiz menafikan pelaburan projek perkilangan di era kerajaan PAS Terengganu lebih tinggi berbanding tahun 2013-2017.
22 Jun 23
720
Sultan Terengganu Berkenan Rasmi Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin
Sultan Terengganu Berkenan Rasmi Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin
KUALA TERENGGANU, 21 Jun – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan pelancaran Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 Hari Keputeraan Baginda. Turut mengiringi baginda, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Dato Seri Muhammad Mua’az, YAM Tengku Puteri Utama Raja, Tengku Nadhirah Zahrah dan YAM Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra. Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Majlis yang diadakan di Istana Syarqiyyah, Chendering itu turut dihadiri Qari Antarabangsa, Dr Ahmed Nuaina bagi mengalunkan bacaan Al-Quran. Majlis yang bermula pada jam 10.45 pagi itu berjalan dengan lancar dengan dihadiri sekitar 500 orang tetamu jemputan. Mushaf Sultan Mizan Zainal Abidin terhasil setelah usaha gigih yang dilakukan oleh pasukan khas selama tiga tahun. Pasukan khas itu diketuai Penulis Mushaf, Ahmad Zafuan Dato’ Embong bersama empat lagi individu yang terdiri daripada Penulis, Pereka Seni Hiasan dan Pewarna Seni Hiasan Mushaf. Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah Mushaf Terengganu bukan hanya sekadar penukilan malah ia turut diakui pengkaji kerana mempunyai keunikan serta motivasi atau nilai tersendiri. “Susunan tulisan lebih kemas dan mewah dengan perada emas selain kaya dengan lorekan seni bina rumah Terengganu yang bermotifkan bunga bungaan. “Ini menggambarkan nilai tatatertib kehidupan dan budaya bangsa Melayu Terengganu dan menjadi identiti penting Terengganu di Nusantara," titah baginda.    
21 Jun 23
627
Pelaburan Perkilangan di Terengganu Naik Lebih 100 Peratus
Pelaburan Perkilangan di Terengganu Naik Lebih 100 Peratus
KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Nilai pelaburan projek perkilangan di Terengganu bagi tempoh 2018 hingga 2022 meningkat lebih 100 peratus berbanding tempoh lima tahun sebelumnya. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, pada 2018 hingga 2022 kerajaan Terengganu merekodkan RM11.59 bilion nilai pelaburan membabitkan 51 projek. Katanya, nilai itu meningkat lebih sekali ganda berbanding ketika Barisan Nasional menjadi kerajaan pada 2013 hingga 2017 iaitu hanya mencatatkan RM5.33 bilion dengan 41 projek. “Secara umumnya ada lima sektor atau industri yang menyumbang kepada pelaburan di Terengganu iaitu pertanian, pembuatan, minyak, gas dan petrokimia, pelancongan dan logistik. “Sejak tahun 2018, nilai pelaburan ini menunjukkan trend peningkatan saban tahun, pada 2018 sebanyak RM0.210 bilion, RM0.770 bilion (2019), RM2.950 bilion (2020), RM2.930 bilion (2021) dan RM3.740 bilion (2022),” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Muhammad Khalil menepis dakwaan songsang pemimpin UMNO. Tambah Muhammad Khalil, kos pelaburan yang dibuat oleh anak-anak syarikat Kumpulan Terengganu Inc. seperti Golden Pharos, Primula Beach Hotel, TDM Berhad, Ladang Rakyat dan beberapa syarikat lagi sejak tahun 2018 sehingga sekarang sudah pun mencecah RM387.05 juta. “Pelaburan ini adalah dalam pelbagai segmen antaranya ialah penjagaan kesihatan (RM178 juta), industri perladangan (RM150 juta), dan infrastruktur & kejuruteraan (RM40 juta),” jelasnya. Dalam sektor pertanian pula ujarnya, ada 10 projek yang melibatkan nilai pelaburan berjumlah lebih RM850 juta. “Bermacam-macam projek, antaranya lada hitam, benih kerapu, ladang napier, kambing tenusu, nanas MD2, kelapa, lembu semi-feedlot dan durian Musang King,” katanya. Daripada data ini  beliau merasakan agak lucu jika masih ada pemimpin UMNO mengatakan ‘tiada pelaburan di Terengganu’, ‘PAS tak pandai tarik pelabur’, sebab statistik rasmi menunjukkan sebaliknya.   “Saya tahu bahawa kata-kata itu sekadar tuduhan semberono dan berniat jahat untuk menjatuhkan reputasi Kerajaan Negeri dan PAS menjelang pilihan raya nanti,” katanya.
21 Jun 23
1153