lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Stadium Terengganu Cipta Sejarah Baru Harimau Malaya
Stadium Terengganu Cipta Sejarah Baru Harimau Malaya
KUALA NERUS, 21 Jun – Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) melakar sejarah baru sebagai kubu terkuat Harimau Malaya, selepas berjaya mencatat kemenangan terbesar di halaman sendiri. SSMZA menjadi saksi amukan skuad Harimau Malaya setelah membenam Papua New Guinea 10-0 dalam aksi Perlawanan Persahabatan Antarabangsa Tier 1, malam tadi. Minggu lalu, skuad kendalian, Kim Pan Gon berjaya merakam kemenangan 4-1 ke atas negara yang menghuni tangga ke-134 dunia, Kepulauan Solomon. Seramai 9,592 orang penyokong hadir semalam dan kebanyakan mereka mula membanjiri perkarangan gelanggang sekitar jam 5 petang semalam. Skuad Harimau Malaya dilihat tidak berdepan masalah untuk mendominasi permainan sejak wisel permainan dibunyikan. Kemenangan sempurna Harimau Malaya itu dibantu empat jaringan Arif Aiman Hanapi serta hatrik Paulo Josue pada babak kedua. Papua New Guinea bagaikan tiada jawapan terhadap kerakusan Harimau Malaya yang berpesta gol pada perlawanan itu. Kesemua penyokong di seluruh negara yang hadir pada malam itu menunjukkan reaksi positif dan berpuas hati terhadap prestasi yang ditunjukkan oleh pasukan Harimau Malaya.  
21 Jun 23
378
EPIC Catat Peningkatan Perolehan Kepada RM343.1 Juta
EPIC Catat Peningkatan Perolehan Kepada RM343.1 Juta
KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) mencatatkan perolehan sebanyak RM343.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, peningkatan 17 peratus berbanding RM292.2 juta yang direkodkan pada tahun sebelumnya. EPIC dalan satu kenyataan berkata, perolehan paling tinggi  sebanyak RM179.1 juta (52 peratus ) adalah daripada perkhidmatan pangkalan bekalan Selain itu katanya,perolehan juga dijana oleh perkhidmatan kejuruteraan sebanyak RM93 juta (27 peratus); operasi pelabuhan sebanyak RM60 juta (18 peratus); dan segmen tenaga solar sebanyak RM11 juta (tiga peratus). “EPIC Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih selepas cukai (PAT) kepada RM3.9 juta berbanding RM2.8 juta pada tahun sebelumnya.“Pertumbuhan perolehan direkodkan adalah sumbangan pencapaian yang memberangsangkan oleh Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB) yang mencatatkan perolehan yang tinggi berikutan peningkatan aktiviti minyak dan gas di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB).,”menurut kenyataan itu. Terdahulu, EPIC Berhad mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke 42 syarikat yang dipengerusikan oleh  , Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar merangkap Pengerusi EPIC Berhad. Semua resolusi telah diluluskan oleh pemegang saham yang hadir. Justeru itu, bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023,, Kumpulan EPIC mensasarkan perolehan sebanyak RM387.2 juta, 13 peratus  lebih tinggi berbanding tahun 2022.  “Dengan sasaran perolehan yang lebih tinggi, peningkatan keuntungan sebelum cukai (PBT) dianggarkan naik 14 peratus, daripada RM21.7 juta kepada RM24.7 juta, manakala PAT pula dianggarkan meningkat lebih daripada 2 kali ganda atau lebih daripada 100 peratus kepada RM9.3 juta berbanding rekod RM3.9 juta bagi TK2022.  “Dalam masa yang sama, PBKSB dijangka mencatatkan perolehan dan keuntungan yang lebih tinggi berikutan peningkatan dalam aktiviti onshore dan offshore serta peningkatan dalam kadar sewaan fasiliti hartanah,” menurut kenyataan itu lagi. Tambahnya, pemasangan dua kren gantri (gantry cranes) di Dermaga Timur atau East Wharf yang bakal dijalankan pada hujung tahun 2023 akan meningkatkan jumlah pengendalian kargo bagi operasi pelabuhan oleh Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB).  “EPIC Berhad kekal komited untuk mengikuti rancangan perniagaan strategik syarikat sambil memanfaatkan peluang kerjasama perniagaan bersama pemain-pemain industri yang muncul daripada pemulihan aktiviti sektor minyak dan gas, selain daripada pelaburan berpotensi bagi memajak tanah milik syarikat di kawasan perindustrian Teluk Kalong serta memanfaatkan kemudahan di Pelabuhan Kemaman,” katanya.
21 Jun 23
338
Hotel Paya Bunga Dinobat 'Best City Hotel'
Hotel Paya Bunga Dinobat 'Best City Hotel'
KUALA TERENGGANU, 21 Jun – Hotel Paya Bunga yang merupakan milik kerajaan Terengganu berjaya memenangi anugerah 'Best City Hotel' mengatasi 4,000 penyertaan di Waldoft Astroria Palm Jumeirah, Dubai. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, 4,000 penyertaan itu terdiri daripada 70 negara yang mengambil bahagian dalam International Travel Award. Katanya, hotel yang dahulunya mempunyai pelbagai masalah dari sudut kerugian dan tidak dapat beroperasi kerana kerosakan teruk kini menjadi tumpuan dunia. "Setelah kerajaan negeri mengambil alih pada tahun 2018, pelbagai kejayaan diperolehi sehingga diiktiraf di peringkat antarabangsa selepas pelbagai perubahan dan pembaharuan yang dilaksanakan. “Hotel ini juga telah diperkenalkan dengan konsep patuh syariah pada awal pembukaannya dan pernah menerima Anugerah Standard Kualiti Islam (IQS) daripada Universal Crescent Standard Center (UCSC) pada tahun 2022,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi miliknya semalam. Tambah Ahmad Samsuri, ia merupakan satu pencapaian yang amat membanggakan bagi seluruh negeri Terengganu. Beliau melahirkan ucapan tahniah kepada pihak pengurusan dan kakitangan Hotel Paya Bunga yang berjaya membawa kegemilangan tersebut. “Semoga terus cemerlang dalam menggapai pelbagai anugerah sekali gus memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini,” ujarnya.    
21 Jun 23
523
Harimau Malaya Berpesta Gol Di Terengganu
Harimau Malaya Berpesta Gol Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 21 Jun- Gandingan pemain sayap Mohd Faisal Abdul Halim dan Arif Aiman Hanapi menjadi tumpuan dalam kemenangan besar pasukan Malaysia ke atas Papua New Guinea di Gong Badak, malam tadi. Pada aksi terakhir perlawanan antarabangsa Tier 1 yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), skuad kendalian Kim Pan Gon mencatat kemenangan 10-0 setelah menjaringkan sembilan gol di babak kedua perlawanan. Harimau Malaya mempamerkan aksi 'garang' apabila mengancam lawan dengan tampanan kapten pasukan, Shahrul Saad yang ditepis penjaga gol, Ronald Warisan seawal minit ketiga. Dalam tempoh 20 minit pertama, Malaysia melakukan lebih empat percubaan ke gawang lawan, namun Papua New Guinea yang menerapkan taktikal bertahan sukar ditembusi. Memasuki minit terakhir separuh masa pertama, Muhammad Akhyar Abdul Rashid berjaya melakukan gerakan solo ke kawasan penalti lawan, tetapi dijatuhkan Solomon Rani sekaligus menghadiahkan sepakan penalti kepada tuan rumah. Sepakan itu disempurnakan Muhammad Safawi Rasid untuk gol pertama perlawanan untuk skuad kebangsaan mendahului 1-0 sebelum babak pertama ditamatkan. Bersambung separuh masa kedua, Kim Pan Gon melakukan pertukaran dengan memasukkan Faisal, Arif dan Daniel Ting untuk mengukuhkan cengkaman ke atas pelawat. Kemasukan Faisal-Arif memberikan dimensi baru kepada serangan Harimau Malaya apabila kedua-dua pemain itu terlibat dalam hampir kesemua gol yang dijaringkan pada separuh masa kedua. Pada minit ke-52, lorongan Azam Azmi Murad disudahkan Paulo Josue untuk gol kedua tuan rumah. Empat minit kemudian, Arif yang melepasi perangkap offside, menyempurnakan hantaran jauh bintang baru, Nooa Laine untuk menjarakkan kedudukan kepada 3-0. Pada minit ke-58, benteng Papua New Guinea sekali lagi ditembusi, kali ini menerusi Faisal yang tenang menumpaskan pertahanan lawan untuk gol keempat setelah menerima hantaran lambung Arif. Seminit kemudian, pemain kelahiran Pulau Pinang itu pula melakukan bantuan gol dengan hantaran lintang dari sebelah kirin gawang yang mudah disudahkan Arif untuk gol kelima perlawanan. Harimau Malaya terus menyerang untuk menggandakan jaringan.  Pada minit ke-63 dan ke-69, Paulo Jouse berjaya menjaringkan dua gol (keenam dan ketujuh) untuk merekodkan hatriknya buat skuad kebangsaan sebelum digantikan dengan Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi. Ronald yang ampuh mengawal gawang Papua New Guinea pada separuh masa pertama bolos lima gol hanya dalam tempoh 10 minit, mengalami mimpi ngeri apabila Malaysia terus-menerus melakukan serangan. Gol kelapan Malaysia dijaringkan Daniel Ting pada minit ke-75 apabila hantaran lintang Arif tidak berjaya dikeluarkan Ronald. Memasuki minit ke-86, Arif Aiman berjaya mencari hatrik peribadinya menerusi serangan balas yang digerakkan Dion Cool dan Faisal. Dua minit kemudian, gerakan Faisal dan Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi memecahkan blok pertahanan di dalam kotak penalti lawan sebelum bola dilorongkan kepada Arif yang meledak gol keempatnya dalam perlawanan itu. Kemenangan besar itu menyaksikan pasukan Malaysia bakal mendaki dua anak tangga dari kedudukan 138 ke kedudukan 136 dunia selepas turut menang ke atas Solomon Islands, minggu lalu. Malaysia kini berupaya merapati Rwanda di kedudukan 135 dunia serta memintas kedudukan Filipina (136) dan Turkimenistan (137).    
21 Jun 23
275
Sultan, Sultanah Berkenan Mencemar Duli Hadir Ke Jamuan Negeri
Sultan, Sultanah Berkenan Mencemar Duli Hadir Ke Jamuan Negeri
KUALA TERENGGANU, 21 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli ke Majlis Jamuan Negeri yang diadakan di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, semalam bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 Hari Keputeraan Baginda. Mengiringi baginda, Sultanah Nur Zahirah, yang Di-Pertuan Muda Terengganu serta Yang Amat Mulia Paduka anakanda-anakanda Sultan Terengganu ; Yang Amat Mulia Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Utama Raja,Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja. Turut hadir mengiringi, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman, Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan isteri To' Puan Hajah Nor Zaini Abd Latif dan Pengerusi Majlis Jamuan negeri, Dr Azman Ibrahim  Selain kehadiran para pegawai tertinggi pentadbiran negeri, para ahli sidang Dewan Undangan negeri, perwakilan pengarah dari pelbagai jabatan serta agensi negeri dan persekutuan turut hadir. Sebaik sahaja Sultan dan Sultanah Terengganu tiba di Meja Santapan DiRaja dan sebelum bersemayam, lagu 'Selamat Sultan' telah dipersembahkan. Dalam pada itu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri telah menyampaikan persembahan ucapan kemudian Menteri Besar Terengganu itu bersama isteri, To' Puan Serti Tuan Faizah memohon limpah perkenan Sultan dan Sultanah Terengganu untuk menyempurnakan acara pemotongan pulut kuning. Majlis Jamuan Negeri ini juga telah diserikan dengan persembahan daripada artis jemputan terkenal tanah air iaitu Datuk Ramli Sarip dan Syamel.    
21 Jun 23
230
Kajian Buktikan Pentadbiran Kerajaan Negeri Berjaya
Kajian Buktikan Pentadbiran Kerajaan Negeri Berjaya
KUALA TERENGGANU, 19 Jun – Kejayaan kerajaan negeri telah dibuktikan melalui kajian yang dihasilkan oleh Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) dan beberapa penyelidik yang lain. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali berkata kejayaan itu juga dapat dibuktikan melalui pelancaran Buku Penyelidikan Strategik TSIS 2023 serta Buku Merealisasi Terengganu Maju Berkat Sejahtera. “Kerajaan Negeri pada hari ini menekankan aspek kajian dan penyelidikan berkualiti dalam membangunkan sesebuah dasar dan menghasilkan suatu keputusan. “Bagi kerajaan, kaedah seumpama kajian dan penyelidikan ini dapat memberikan gambaran situasi sebenar berkenaan keperluan rakyat. “Secara lebih mendalam dan terperinci melibatkan pelbagai isu sosial, ekonomi, dan politik yang sebenarnya mempengaruhi kehidupan mereka,” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas menyempurnakn Program Perasmian Simposium Kajian Pembangunan Terengganu Sejahtera & Pelancaran Buku Penerbitan Penyelidikan TSIS 2023 bertempat di Duyong Marina di sini semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah Negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah. Tambah Yahaya, kajian dan penyelidikan juga dapat membantu pihak kerajaan untuk mengenal pasti aspek yang memerlukan perubahan serta peningkatan kualiti pentadbiran sebuah Kerajaan Negeri. Beliau berkata, selain dapat mengetahui kelemahan dan cabaran semasa, suatu tindakan susulan yang sesuai dapat diambil. "Pembuatan sesuatu dasar dan strategi kerajaan yang efisyen sebenarnya bermula dengan kajian berkualiti yang mampu membekalkan ketepatan maklumat. "Dari aspek pengagihan sumber kerajaan seperti kewangan, tenaga kerja, dan aset pula, penglibatan penyelidikan mampu meningkatkan kecekapan dan keberkesanan dalam pengurusan sumber. “Apa yang lebih utama, wasilah penyelidikan ini memainkan peranan penting dalam meningkatkan akauntabiliti dan transparansi pentadbiran Kerajaan Negeri," ujarnya.  
20 Jun 23
361
Harimau Malaya Kembali Lebih Garang Malam Ini
Harimau Malaya Kembali Lebih Garang Malam Ini
KUALA NERUS, 19 Jun – Harimau Malaya bersedia kembali dengan aksi yang lebih garang pada aksi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam ini. Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan Gon menuntut anak buahnya mempamerkan aksi yang lebih cemerlang menentang Papua New Guinea. Beliau menasihatkan supaya para pemain konsisten dalam mendominasi permainan, mengekalkan rentak selain tidak melakukan kesilapan mudah. Ketika ditanya berkenaan sejarah yang dimiliki oleh pasukan Papua yang berjaya mengikat pasukan singapura, Kim Pan Gon memuji prestasi baik yang ditunjukkan oleh pasukan itu. Namun, beliau yakin anak buahnya itu akan cuba terus melakar kemenangan di laman sendiri dan menjadikannya sebagai kubu kuat yang menjadi tumpuan utama. “Kita lihat mereka bermain menentang singapura lebih baik dari apa yang kita jangkakan. “Fokus utama saya adalah untuk meneruskan rentak kemenangan, jadi tugas pemain perlu melaksanakannya dengan sebaik mungkin. “Di samping, mengikut taktikal dan perancangan yang diatur, kita pernah dikalahkan skuad itu, tapi kita juga pernah menang, namun kali ini pemain lebih bersedia,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Pra-Perlawanan antara Malaysia vs Papua New Guinea di Ar Ridayah Residence, Gong Badak di sini semalam. Sementara itu, Kapten Papua New Guinea, Raymond Gunemba memuji skuad Harimau Malaya apabila menunjukkan peningkatan berbanding pasukan yang pernah dikalahkan oleh mereka pada 2016 itu. “Saya rasa malaysia telah banyak meningkat dari tahun sebelumnya selepas menonton perlawanan menentang solomon. “Ia akan menjadi satu cabaran yang sukar buat kami. Kami perlu melakukan persiapan yang rapi untuk perlawanan esok hari,” ujarnya    
20 Jun 23
334
Tahap Kualiti Perkhidmatan Awam Terengganu Terhadap Kepuasan Pelanggan Sederhana
Tahap Kualiti Perkhidmatan Awam Terengganu Terhadap Kepuasan Pelanggan Sederhana
KUALA TERENGGANU, 20 Jun- Tahap kualiti perkhidmatan terhadap kepuasan pelanggan di jabatan mahupun agensi kerajaan masih di tahap sederhana. Ketua Pusat Pengajian (Sains Kejururawatan), Fakulti Perubatan UniSZA, Prof. Madya Dr. Zainab Mohd Shafie berkata, dapatan itu berdasarkan Kajian Tahap Kualiti Perkhidmatan Terhadap Kepuasan Pelanggan Di Jabatan/Agensi Kerajaan Negeri Terengganu yang diketuainya bersama tiga rakan penyelidik. Menurut beliau, keseluruhan kajian mendapati bahawa kualiti perkhidmatan dalam kajian ini adalah sederhana.  “Pihak jabatan perlu sedar masih lagi terdapat aspek lain yang perlu diperbaiki dari masa ke masa kerana masih wujud jurang antara perkhidmatan yang ditawarkan dengan persepsi pelanggan terhadap kualiti perkhidmatan yang sepatutnya diterima,” ujarnya.  Beliau berkata demikian ketika membentangkan hasil kajian tersebut sempena Program Simposium Kajian Pembangunan Terengganu Sejahtera dan Pelancaran Buku Penerbitan Penyelidikan TSIS 2023 di Duyong Marina, semalam. Katanya, hasil laporan kajian tersebut juga mendapati, masih banyak rungutan terhadap penyampaian kualiti perkhidmatan oleh Kerajaan Negeri Terengganu tidak memenuhi jangkaan pelanggan dan akan mempengaruhi tahap kepuasan pelanggan.  Katanya, kepuasan pelanggan merupakan isu penting dan kritikal bagi menjamin kejayaan sesebuah organisasi perkhidmatan.  “Malah kualiti sesuatu perkhidmatan adalah suatu proses berterusan untuk mengekalkan hubungan antara sesebuah organisasi perkhidmatan dengan pelanggan,” ujarnya. Justeru katanya, kajian ini membuktikan bahawa kualiti perkhidmatan merupakan strategi perkhidmatan yang penting bagi meningkatkan tahap kepuasan pelanggan terhadap perkhidmatan yang disediakan.
20 Jun 23
193
'Bertanding Secara Berhemah Dalam PRN' - Titah Sultan Mizan
'Bertanding Secara Berhemah Dalam PRN' - Titah Sultan Mizan
KUALA TERENGGANU, 19 Jun - Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru setiap parti supaya bertanding secara sihat dan berhemah. Baginda bertitah, mereka yang bertanding itu nanti turut perlu mempamerkan akhlak dan teladan yang baik. "Beta berharap agar tidak berlaku budaya yang melampaui batas seperti memaki hamun, caci mencaci dan seumpanya. "Beta juga berharap agar selepas sahaja tamat pilihan raya dan apa jua keputusannya nanti, keseluruhan rakyat beta akan kembali sepenuhnya kepada kehidupan yang harmoni dan saling hormat menghormati antara satu sama lain," titahnya. Baginda bertitah demikian ketika berucap sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 Hari keputeraan Baginda, di Istana Syarqiyyah, di sini semalam. Sultan Mizan turut bertitah kepada rakyat negeri ini agar perbezaan fahaman politik tidak membawa kepada perpecahan dan menggugat asas penyatuan rakyat yang terdiri daripada 98 peratus merupakan Melayu Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah yang bermazhab Syafie. "Kedudukan ini seharusnya menjadi asas penyatuan rakyat majoriti umat Islam Terengganu, berteraskan akidah yang satu dan teguh serta menjadi teladan kepada yang bukan Islam. "Ini bersesuaian dengan negeri Terengganu yang diberi gelaran 'Darul Iman," titah baginda. Dalam pada itu, baginda mengucapkan terima kasih kepada setiap rakyat yang telah mendoakan kesejahteraannya beserta keluarga dan seluruh kaum kerabat baginda. "Terima kasih juga kepada para penjawat awam, baik di peringkat negeri mahupun persekutuan, khasnya mereka yang berada di barisan hadapan serta anggota-anggota pasukan keselamatan, di atas tahap dedikasi dan komitmen yang tinggi dalam menjalankan tugas masing-masing. "Akhirnya, beta berdoa agar rakyat dan Negeri Terengganu Darul Iman akan terus dilindungi oleh Allah Subhanahu Wata'ala dan sentiasa dilimpahi rahmat-Nya. Kepada Allah beta berserah," titah Sultan Mizan. Terdahulu, bersempena Sambutan Ulang Tahun Ke-61 keputeraan, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin turut berkenan mengurniakan Gelaran dan Darjah Kebesaran Bintang-Bintang serta Pingat kepada 111 individu di Istana Syarqiyyah, di sini, hari ini.  
19 Jun 23
645
Sultan Mizan Sukacita Perkembangan Pelaburan di Terengganu
Sultan Mizan Sukacita Perkembangan Pelaburan di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 19 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menzahirkan perasaan sukacita melihat perkembangan pelaburan di Terengganu di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika ini.  Baginda bertitah, projek 'Cristobalite' dan 'Ultra Purity Industrial Silica' di Marang dan Perjanjian Persefahaman (MoU) bagi pembangunan perindustrian baharu berasaskan produk seramik kuarza di Cheneh, Kemaman merupakan pelaburan berimpak tinggi dijayakan kerajaan.  Titah baginda, kedua-dua pelaburan dalam bidang silika dan seramik itu bernilai RM3 bilion akan mewujudkan sebanyak 4,050 peluang pekerjaan. "Beta menyeru agar kerajaan negeri meningtkatkan usaha dalam mempelbagaikan sektor industri berimpak tinggi termasuk dalam bidang teknologi hidrogen, bioteknologi, petrokimia, besi keluli dan industri revolusi 4.0. "Tidak hanya bergantung kepada sumber petroleum dan gas, kerajaan perlu memberi penumpuan kepada pelaburan baharu seperti penerokaan sumber boleh diperbaharui yang berpotensi di negeri Terengganu," titah baginda ketika berucap Sempena Ulang Tahun Ke-61 Hari Keputeraan Baginda, di Istana Syarqiyyah, di sini, semalam. Terdahulu, Sultan Mizan turut menyarankan agar pihak kerajaan dapat menyakinkan para pelabur tentang potensi dan kelebihan negeri Terengganu. "Terengganu telah bersedia menerima penggunaan teknologi secara 'precise agriculture' dalam membangunkan sektor pertanian. "Sektor perindustrian (juga) merupakan komponen yang penting dalam pembangunan ekonomi di sesebuah negeri. Negeri Terengganu juga amat mementingkan pembangunan sektor ini memandangkan permintaa yang tinggi oleh pelabur dari dalam dan luar negeri yang diterima oleh kerajaan. "Peningkatan pelaburan ini sekali gus merancakkan pertumbuhan ekonomi serta memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat setempat dan kawasan sekitar dengan limpahan ekonomi yang lebih komprehensif," titah Sultan Mizan.  
19 Jun 23
2325