Artikel "Utama" Terkini
Kenapa Bagi Liridon Ambil Penalti?
KUALA NERUS, 26 Jun- Itu mungkin persoalan yang bermain di minda penyokong Terengganu FC, semalam.
Corak permainan Liridon Krasniqi sering menjadi igauan peminat musim ini dan kegagalan pemain pinjaman dari Johor DT itu menyempurnakan sepakan penalti dalam kekalahan Terengganu FC ke atas Kuala Lumpur City FC pada aksi separuh akhir Piala FA itu, menggores luka lebih dalam.
Pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner bagaimanapun ada jawapannya sendiri atas sebab itu.
"Saya sedikit marah kerana beberapa pemain saya yang lebih cergas, apabila diarahkan mengambil sepakan penalti, kebanyakan mereka enggan, takut.
"Pemain seperti Liridon yang bermain 120 minit, bekerja keras, mengambilnya dengan teruk dan sebelum itu, Nik Sharif (Haseefy), tetapi ok, penalti adalah penalti.
"Saya sendiri tanya Jordan (Mintah), tidak mahu. Saya tanya Faiz (Nasir), tidak mahu. Saya tanya Hakimi (Mohammad), seorang yang mempunyai sepakan bagus, juga tidak mahu," katanya dalam sidang media selepas Terengganu FC tumpas 4-2 dalam penentuan sepakan penalti, semalam.
Tambahnya, setiap pemain perlu yakin diri dan memikul tanggungjawab untuk mengambil sepakan penalti apabila berlaku situasi itu.
Menurut Tomislav, beliau tahu satu stadium penuh tekanan dan setiap orang mengharapkan sesuatu, iaitu menjaringkan gol.
"Disebabkan itu, saya letakkan Arif Fadzilah kerana saya tahu dia pemain berpengalaman dan melakukannya seperti dalam latihan.
"Saya tahu siapa yang sepak lebih baik. Tetapi biasanya, apabila terjadinya penentuan penalti, saya akan tanya siapa yang mahu ambil? Ada pemain muda, ada yang berpengalaman dan ini berlaku dalam bola sepak.
"Ini tidak bagus, kamu tahu siapa yang tidak pernah tersasar sepakan penalti? Hanya orang yang tidak mengambilnya," katanya hampa.
-Sebahagian gambar merupakan ehsan foto Terengganu FC.
26 Jun 23
1179
Bubar DUN : MB Menghadap Sultan Mizan Esok
KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan bahawa akan menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, pada hari Selasa (esok) bagi memohon perkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN).
Beliau berkata permohonan itu akan dibuat sebelum DUN terbubar secara automatik pada 30 Jun ini.
“Saya telah mendapat perkenan Tuanku untuk menghadap pagi esok pada jam 9 pagi di Istana Syarqiyyah, Chendering.
“Mengenai (tarikh pembubaran DUN), saya rasa lebih baik saya sembah maklum dulu kepada Tuanku, (jika tarikh itu dipersetujui), kemudian kita akan umum selepas itu,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Ditanya tentang agihan kerusi, Ahmad Samsuri berkata bagi pihak PAS, ianya telah selesai dan perkara tersebut telah diserahkan kepada Pesuruhjaya PAS untuk diuruskan.
Selain Terengganu, PRN juga akan diadakan di Selangor, Kelantan, Kedah, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Mengambil kira tempoh masa pembubaran itu, PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu serta Kelantan dijangka diadakan pada Julai atau Ogos ini.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), PAS menguasai 22 kerusi manakala BN memenangi 10 kerusi iaitu Jertih, Kuala Besut, Hulu Besut, Permaisuri, Langkap, Batu Rakit, Seberang Takir, Telemong, Bukit Besi dan Kijal.
26 Jun 23
249
Alukan Kedatangan 'Coldplay' Suburkan Budaya Hiburan Melampau
KUALA NERUS, 26 Jun - Mengalu-alukan kedatangan kumpulan penghibur antarabangsa seperti kumpulan 'Coldplay' dalam kalangan pemimpin negara adalah seolah-olah seperti menggalakkan budaya hiburan melampau terus subur dalam kalangan rakyat terutamanya anak muda negara ini.
Ahli Akademik, Profesor Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah berkata, orang ramai yang masih tidak memiliki kefahaman islam sebenar pada hari ini tidak sewajarnya didedahkan dengan kumpulan menyokong golongan songsang lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
"Bukan tidak boleh berhibur, tetapi benda-benda yang tidak boleh membawa kebaikan (dihalang) terutamanya serangan budaya barat ini melalui program hedonisme, ini cara untuk melalaikan (umat Islam) kita hari ini.
"Kalau kita terus suburkan program sebegini dia tidak akan membantu anak muda kita (menjadi lebih baik) yang memiliki akidah yang rapuh," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menjadi panel pembentang di Simposium Milenial Negarawan : Idealisme dan Aktivisme Belia Dalam Membangunkan Negara, di Dewan Perdana Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Ridhuan Tee berkata tugas pemimpin mewujudkan suasana yang baik dengan menyediakan persekitaran yang tepat sebagai sebuah negara Islam.
"Kita kena ingat untuk jadi umat yang terbaik adalah dengan mencegah kemungkaran dan berimana kepada Allah, bukan tidak boleh berhibur tetapi perlu selari dengan syariat Islam," katanya.
26 Jun 23
153
Pengurus TFC Terima Pingat Kebesaran Negeri
KUALA TERENGGANU, 25 Jun – Pengurus Terengganu Football Club (TFC), Mohd Fadhil Wahab antara Penerima Pingat Kebesaran Negeri di Istana Syarqiyyah di sini semalam.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mengurniakan Pingat-Pingat Kebesaran Negeri kepada 166 individu terpilih.
Turut mengiringi baginda, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan semua paduka anakanda baginda.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman.
Istiadat yang berlangsung di Balairong Seri itu diadakan bersempena Hari Keputeraan Baginda ke-61.
Pada istiadat itu, seramai empat penerima dikurniakan Pingat Jasa Cemerlang (PJC), 147 individu menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), dua penerima Bintang Lama Berjawatan (BLB) dan 13 penerima Pingat Lama Berjawatan (PLB).
Untuk rekod, darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri Terengganu dikurniakan oleh Sultan Terengganu kepada mereka yang telah menyumbangkan jasa kepada masyarakat dan negeri Terengganu.
26 Jun 23
189
Sultan Dan Sultanah Terengganu Santuni 400 Fakir Miskin Dan OKU
KUALA TERENGGANU, 26 Jun -Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis santapan bersama warga istimewa dan fakir miskin sempena sambutan ulang tahun ke-61 hari keputeraan baginda di Istana Syarqiyyah, Kuala Terengganu.
Keberangkatan baginda diiringi
Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin
dan paduka-paduka anakanda.
Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat.
Baginda turut menyampaikan sumbangan kepada 400 penerima berbentuk wang tunai berjumlah RM200,000.Masing masing menerima sumbangan RM500 seorang.
Penerima melibatkan 100 yang berdaftar dibawah Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu, 200 Orang Kurang Upaya(OKU) bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri dan 100 golongan ibu tunggal bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu.
Salah seorang penerima OKU, Norhayati Mohamed, 43, dari Alor Serdang, Setiu, dia menyifatkan peluang menjejakkan kaki ke istana menjadi kenangan paling berharga buatnya.
"Rasa tu bercampur baur..takut dan gembira dalam satu masa tapi ini saat paling indah dalam hidup saya," ujar ibu tunggal yang bekerja sebagai pembantu kedai makan itu.
Sementara itu, Husna Abdullah, 43, berkata bantuan yang diterima pada hari ini akan digunakan untuk menampung perbelanjaan keluarganya.
"Kali pertama saya dijemput ke istana dan menerima kurnia dari Sultan dan Sultanah Terengganu, cukup membuatkan saya rasa gembira," katanya.
Ibu kepada tiga anak yang berusia lima hingga 16 tahun berkata suaminya, Abdullah Mohamad, 45, hanya bekerja sendiri menyebabkan dia meluangkan masa setiap Jumaat untuk sebagai tukang urut refleksologi dengan elaun RM400 sebulan.
26 Jun 23
165
Sang Penyu 'Menangis' di Halaman Sendiri
KUALA NERUS, 25 Jun- Terengganu FC terpaksa menelan kepahitan apabila tewas 4-2 kepada Kuala Lumpur City FC dalam penentuan sepakan penalti pada aksi separuh akhir Piala FA 2023, malam ini.
Bermain di halaman sendiri, Terengganu FC sememangnya memiliki kelebihan apabila Kuala Lumpur City FC (KL City) turun tanpa kelibat, penjaga gol utama, Kevin Mendoza dan Edison Caion yang dilepaskan, baru-baru ini.
Namun, jaringan Paulo Josue, Romel Morales, Akram Mahinan dan Giancarlo Gallifuoco berjaya membawa 'The Citizen' ke pentas akhir.
Penjaga gol Sang Penyu, Mohd Suhaimi Husin menghidupkan harapan penyokong tuan rumah apabila menyelamatkan sepakan Matko Zirdum.
Bagaimanapun, Nik Sharif Haseefy dan Liridon Krasniqi gagal menyempurnakan penalti mengecewakan lebih 26,000 penyokong yang hadir.
Terengganu FC berpeluang mencetak jaringan awal apabila penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut yang menerima lorongan Engku Muhammad Nur Shakir melakukan percubaan dari jarak dekat dalam tempoh 52 saat perlawanan bermula.
Namun, bola muntah yang ditampan penjaga gol muda, Muhammad Azim Al-Amin gagal disambar Sony Norde.
Pada minit ke-8, anak-anak buah Bojan Hodak mendebarkan penyokong tuan rumah apabila sepakan sudut Paulo Josue tidak berjaya dikeluarkan pertahanan tuan rumah.
Bagaimanapun, rembatan Sebastian Avanzini sekadar menggegar sisi gawang.
Tuan rumah menguasai perlawanan dengan serangan bertali arus ke kubu pelawat, tetapi beberapa percubaan yang dihasilkan dinafikan penjaga gol bawah-23 kebangsaan itu.
Pada minit ke-38, KL City sekali lagi berpeluang mencipta kejutan apabila Tcheche Kipre yang menerima hantaran T. Saravanan, melakukan 'set' dihadapan pintu gol, bagaimanapun rembatan Paulo Josue sekadar melambung tinggi.
Pada masa tambahan, satu serangan balas oleh Sang Penyu melepaskan Ivan daripada perangkap offside, sayangnya rembatan penyerang tinggi lampai itu ditangkap kemas Muhammad Azim.
Pelawat yang terancam dengan serangan itu, melakukan transisi pantas menyerang dari sebelah kiri.
T. Saravanan dapat melakukan hantaran lintang dari sebelah kiri, tetapi tidak berjaya disudahkan Zhafri Yahya.
Keputusan kekal tanpa jaringan di separuh pertama.
Bersambung babak kedua, 'The Citizen' menukar 'gear' dengan lebih banyak menguasai bola.
Tomislav memasukkan Nik Muhammad Sharif, Jordan Mintah dan Mohd Faiz Nasir bagi menyuntik ketajaman serangan.
Pada minit ke-72, Nik Sharif melakukan rembatan dari luar kotak penalti setelah melepasi kawalan pertahanan, namun ditangkap kemas Muhammad Azim.
Tiada jaringan berjaya dihasilkan sehingga wisel dibunyikan, mengheret perlawanan ke masa tambahan dengan kedudukan 0-0.
Bersambung masa tambahan, Terengganu FC agresif memecah kebuntuan jaringan.
Pada minit ke-100 rembatan Nik Sharif sekali lagi dinafikan Muhammad Azim.
Lima minit kemudian, Faiz Nasir berjaya memasuki 'box' lawan sebelum melepaskan rembatan yang ditepis penjaga gol.
Terengganu FC mengharungi separuh masa kedua tanpa bantuan Sony Norde yang mengalami kecederaan dengan lebih banyak bertahan.
Bagaimanapun, wisel penamat dibunyikan dan kebuntuan jaringan berterusan menuju penentuan sepakan penalti.
Kecemerlangan Muhammad Azim yang menyelamatkan sepakan Nik Sharif dan Liridon menamatkan impian Terengganu FC untuk ke pentas akhir Piala FA buat tahun kedua berturut-turut.
25 Jun 23
313
PRN Platform Anak Muda Pilih Pemimpin Berkualiti
KUALA NERUS, 26 Jun - Seluruh anak muda perlu memiliki kesedaran melibatkan diri menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti kerana ia menjadi platform memilih pemimpin yang berkualti.
Timbalan Ketua Unit Penyelidik Pejabat Menteri Besar Terengganu, Mohd Harun Esa berkata,kerana golongan muda hari ini merupakan pengundi baharu terdiri daripada komposisi berusia 18 hingga 21 tahun.
Justeru katanya, holongan itu perlu sedar mengenai pendidikan politik dengan mengambil cakna serta mempunyai kesedaran akan tanggungjawab memilih pemimpin yang akan mentadbir negeri.
"Kalau tidak mahu terlibat sedangkan boleh mengundi pada usia 18 tetapi tidak mahu terbabit, tidak memiliki kesedaran bahawa pendidikan politik itu penting dalam memilih seorang pemimpin.
"Maka waktu itu kita akan serahkan kepada sesiapa sahaja malah kepada bangsa lain yang masuk dalam negara sehingga tidak sedar usaha untuk mejajah negara," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Himpunan Milenial, yang diadakan di Dewan Perdana Kompleks pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah Shah, di sini, semalam.
Mengulas lanjut katanya, anak muda Terengganu yang terbukti merupakan golongan cerdik pandai sudah tentu tidak mengambil mudah peranan sebagai warga negara Malaysia yang berada dalam sebuah negara yang mengamalkan demokrasi berpelembagaan.
"Pastikan ada semangat yang kuat kerana kita hendak jaga (negeri), hendak pilih pemimpin yang terbaik bagi mengurusa dengan tulus dan ikhlas serta metadbir negeri supaya rakyatnya dekat dengan Allah SWT,"ujarnya.
Tambahnya, hasil daripada kepercayaan yang diberikan oleh rakyat pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 negeri ini telah ditadbir dengan baik.
"(Sebagai contoh) bagaimana stadium negeri kita kini menjadi kebanggan kepada anak muda Terengganu ini hasil daripada pentadbiran yang baik dan keikhlasan yang ada di pihak kerajaan sehingga dan pujian dan pengiktirafan daripada badan-badan berautoriti.
"Telah dinyatakan bahawa pengrusan kewangan negeri Terengganu adalah pengurusan yang terbaik dalam negara,"ujarnya.
25 Jun 23
70
PBKSB Jalin Kerjasama Dengan PETRONAS, Pengendali Petroleum
KUALA TERENGGANU, 25 Jun - Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB), anak syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) telah menandatangani kontrak bersama PETRONAS Carigali Sdn Bhd (PCSB) dan lapan Kontraktor Pengendali Petroleum (PACs) lain.
EPIC Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan, jalinan kerjasama strategik tersebut bagi perkhidmatan fasiliti pangkalan bekalan dan sewaan di Pangkalan Bekalan Kemaman (KSB).
Menurut kenyataan itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat dalam ucapan beliau menyatakan, pihaknya menghargai sokongan tidak berbelah bahagi PETRONAS dan PAC lain yang terlibat.
“Kontrak ini adalah penting bagi PBKSB kerana ia bukan sahaja mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai penyedia kemudahan pangkalan bekalan tetapi juga menggalakkan pembangunan bakat tempatan dalam bidang aktiviti operasi.
“Kami berharap untuk terus menjalin hubungan kerjasama yang akan memacu pertumbuhan industri minyak dan gas tempatan,” ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi PBKSB berkata demikian ketika berucap di Majlis Menandatangani Perjanjian Penyediaan Fasiliti, Perkhidmatan Dan Sewaan Antara PBKSB dan Kontraktor- Kontraktor Pengendali Petroleum di Mandarin Oriental, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Hadir bagi menyaksikan majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ridzuan Ali serta Pengurus Besar Kanan PETRONAS, Wan Asmawadi Wan Mohd.
Pada majlis itu, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan EPIC, Muhtar Suhaili menandatangani kontrak-kontrak bersama Pemangku Pengurus Besar PBKSB, Suhardi Akil Awang @ Hassan mewakili pihak syarikatnya dan Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan EPIC, Wan Mohd Azilah Wan Abdullah.
Ujar kenyataan itu, KSB adalah fasiliti bekalan minyak dan gas berintegrasi terbesar di Semenanjung Malaysia merangkumi keluasan 200 hektar secara keseluruhan, dengan tambahan 60 hektar yang ditetapkan untuk pertumbuhan di masa hadapan.
“Sepanjang tempoh kontrak, PBKSB akan menyediakan kemudahan dan perkhidmatan seperti peralatan pengendalian bahan (MHE), tenaga kerja berkaitan MHE, pengurusan pangkalan bekalan dan perkhidmatan sokongan gudang, serta perkhidmatan bersepadu bagi operasi PETRONAS di Semenanjung Malaysia dan lapan PACs lain,” jelas kenyataan itu.
25 Jun 23
379
Konsert di Universiti Undang Kebimbangan
KUALA NERUS, 25 Jun - Tindakan beberapa pihak yang mahu membenarkan konsert di dalam institusi pengajian dilihat usaha terdesak menarik undi anak muda yang boleh mencetuskan kebimbangan.
Penulis dan Pendakwah, Dr Riduan Mohd Nor berkata, langkah itu dikhuatiri mengakibatkan gedung ilmu-ilmu tidak akan lagi dihormati bahkan akan mengundang pelbagai idealisme yang boleh merosakkan pemikiran anak muda kerana tidak selari dengan syariat Islam
"Kampus merupakan ruang intelektual, tempat perbincangan ilmua dan juga merupakan tempat untuk melahirkan pemimpin-pemimpin masa hadapan.
"Bukannya dengan menyediakan pentas untuk menari, bercampur gaul antara lelaki dan perempuan, ke arah mana kita hendak bawa (bimbing) anak-anak muda ini?," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menjadi panel pembentang di Simposium Milenial Negarawan : Idealisme dan Aktivisme Belia Dalam Membangunkan Negara, di Dewan Perdana Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini, semalam.
Turut berperanan sebagai ahli panel Pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr. Ridhuan Tee Abdullah.
Tambah Dr Riduan, anak muda hari ini terutamanya golongan terpelajar diberi didikan agar menyedari peranan mereka sebagai pelapis kepimpinan di masa akan datang.
"Kamulah yang akan memimpin masa depan ummah, menjuarai isu-isu rakyat dan berjuang untuk mengangkat agama (Islam) ini.
"Maka, bekalkan diri dengan ilmu dengan menghidupkan budaya membaca dan ketagih dengan ilmu serta libatkan diri dengan gerakan mahasiswa,"katanya.
Dalam pada itu beliau turut memberi peringatan kepada kepimpinan hari ini agar bertanggungjawab mengikut apa yang telah dipraktikkan oleh Rasullah bagi membina anak muda dan remaja.
"Kata almarhum Maulana Al-Maududi kalau hendak tengok Islam di masa hadapan tengok anak muda hari ini dan anak muda mengikut akhlak pemimpin," ujarnya.
25 Jun 23
451
Sultan Mizan Rasmi Jambatan Pulau Poh
HULU TERENGGANU, 23 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan berkenan merasmikan Jambatan Pulau Poh, Tasik Kenyir sempena Sambutan Ulang Tahun Ke 61 baginda di sini, hari ini.
Sultan Mizan berangkat tiba pada jam 9.00 malam, diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan semua paduka anakanda baginda.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman, serta barisan ahli Exco yang lain.
Dr Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata dengan rekaan bermotifkan kepala bangau, jambatan ikonik ‘cable stayed’ sepanjang 133 meter dengan empat lorong dua hala melibatkan kos sebanyak RM150 juta telah siap sepenuhnya 24 Oktober 2021.
"Projek ini diserahkan kepada Kerajaan Terengganu pada 22 Disember 2021 dan diuruskan secara sementara oleh Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu .
"Projek ini juga akan memberikan impak pembangunan ekonomi di kawasan sekitar terutamanya pembangunan di Tasik Kenyir dan Hulu Terengganu," katanya.
Dalam masa yang sama, kerajaan negeri telah mengenalpasti kawasan-kawasan yang berpotensi untuk dibangunkan bagi meningkatkan ekonomi setempat.
Tambah beliau, adanya jambatan ini juga telah memberi peluang ekonomi baharu kepada rakyat tempatan dengan penganjuran pelbagai program dan acara pelancongan di kawasan ini.
"Ini termasuk kewujudan perniagaan-perniagaan kecil seperti kiosk-kiosk jualan di kawasan sekitar sudah pasti akan memberi peluang kepada lebih ramai usahawan - usahawan di negeri ini," katanya.
23 Jun 23
288