lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Dr. Sam Gembira Anak Muda Libat Diri Ibadah Korban
Dr. Sam Gembira Anak Muda Libat Diri Ibadah Korban
MARANG, 29 Jun- Penglibatan golongan muda dalam melaksanakan ibadah korban pada Hari Raya Aidil Adha mampu memberi pendedahan betapa pentingnya ibadah berkenaan dalam kehidupan Muslim. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata penglibatan golongan belia itu turut menjadi latihan untuk menyesuaikan diri mereka dalam masyarakat. "Saya amat gembira dengan anak-anak muda di Terengganu yang masih ramai melibatkan diri dalam aktiviti seperti ini. "Perlu kita ingat bahawa ibadah korban ini telah ada sejak dari zaman Nabi Ibrahim AS dan kepada umat Nabi Muhammad SAW, ada kaedah-kaedah yang digariskan sebagaimana saranan Baginda SAW. "Ibadah ini akan berterusan sehingga kiamat, jadi penglibatan semua pihak termasuk anak-anak muda di semua tempat, termasuk juga di negeri-negeri lain, haruslah sama-sama digerakkan supaya mereka mengetahui peri pentingnya ibadah ini dalam kehidupan mereka," katanya ketika ditemui selepas aktiviti ziarah di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Sungai Kerak, hari ini. Tambahnya, peranan yang mampu dimainkan oleh anak muda hakikatnya amat besar dan memberi kesan kepada negeri dan negara. "Kita semua memahami betapa pentingnya anak-anak muda dalam negara kita, termasuklah dalam sistem demokrasi. "Mereka ada peranan masing-masing, Sebab itu, saya menyeru kepada semua anak muda supaya bersama-sama melibatkan diri dalam program-program seperti ini, program-program kerajaan dan ini merupakan sumbangan mereka sendiri, sama-sama terlibat dalam mengurus tadbir sesebuah negeri," katanya. Terdahulu, deliau dan isteri, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman turun ke beberapa lokasi sembelihan lembu korban sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, pagi ini bagi menziarahi komuniti setempat yang melaksanakan ibadah tersebut. Tahun ini, sebanyak 93 ekor lembu dikorbankan di DUN Rhu Rendang. Dr. Samsuri sendiri menyumbangkan 43 ekor lembu untuk seluruh DUN berkenaan, melibatkan 28 kampung keseluruhannya selain ke surau-surau, taman perumahan dan agensi-agensi yang ada di DUN itu. "Tahun lepas kita buat secara besar-besaran di suatu tempat, tetapi tahun ini diagihkan kepada semua kampung supaya komuniti setempat dapat merasai kemeriahan suasana korban ini," ujarnya.    
29 Jun 23
370
Sultan Mizan Solat Aidiladha Bersama 2,000 Jemaah
Sultan Mizan Solat Aidiladha Bersama 2,000 Jemaah
KUALA TERENGGANU, 29 Jun - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Ladang bersama lebih 2,000 jemaah di sini. Turut mengiringi baginda, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Muhammad Mua’az. Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Solat Sunat Aidiladha itu telah diimamkan oleh Mufti Terengganu, Prof. Madya Dr. Mohamad Sabri Haron yang turut menyampaikan khutbah yang bertajuk Hakikat Hamba Dalam Ibadah Korban. Khutbah menyeru umat Islam untuk menyambut Hari Raya Aidiladha dengan sifat kesyukuran di samping mengutamakan pengagihan daging korban kepada golongan yang kurang berkemampuan. Sultan Mizan sempat meluangkan masa kira-kira 20 minit bersalaman dengan jemaah. Sebaik selesai menunaikan solat, Sultan Mizan Zainal Abidin berserta anakanda baginda kemudiannya menziarahi makam diraja yang terletak bersebelahan masjid.  
29 Jun 23
754
Cuti Umum Arafah Ruang Penghayatan Ibadah
Cuti Umum Arafah Ruang Penghayatan Ibadah
KUALA TERENGGANU, 28 Jun – Kerajaan negeri telah menetapkan bahawa hari Arafah sebagai hari kelepasan bagi negeri Terengganu sejak 2020 lagi. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah berkata ia bertujuan bagi memberi ruang kepada rakyat negeri ini untuk menghayati peristiwa besar tersebut. Katanya, Rasulullah S.A.W meletakkan kedudukan hari Arafah sangat besar sehingga baginda memberikan khabar gembira kepada orang yang berpuasa pada hari itu. “Pelbagai ganjaran diperolehi bagi mereka yang melaksanakan ibadah sedemikian seperti Allah S.W.T menghapuskan dosanya setahun sebelumnya dan setahun selepasnya. “Gambaran ini menunjukkan betapa agungnya kedudukan hari Arafah berbanding hari-hari yang lain,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Program Sambutan Penghayatan Hari Arafah Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman 1444H/2023 bertempat di Masjid Al-Muhtadin, Kampung Peradong, Manir di sini semalam. Program tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Tambah Mohd Nor, puasa juga merupakan didikan terbaik dalam diri kita supaya dapat meningkatkan lagi ketakwaan kita terhadap Allah S.W.T. Beliau mengajak seluruh rakyat negeri ini agar menghidupkan hari Arafah yang besar kelebihan serta keistimewaan di sisi Allah Azza Wajalla. “Semoga kita boleh menjadikan penghayatan peristiwa besar benar-benar hidup di dalam diri masyarakat kita melalui program yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri seperti ini. “Tahniah diucapkan kepada jawatankuasa program serta pihak masjid atas persiapan, kelancaran dan kecekapan sepanjang program berlangsung,” ujarnya.  
27 Jun 23
298
Program Hari Arafah Disambut Meriah Seluruh Terengganu
Program Hari Arafah Disambut Meriah Seluruh Terengganu
KUALA TERENGGANU, 28 Jun - Kerajaan Negeri melaksanakan sambutan Hari Arafah di seluruh negeri Terengganu melalui dua peringkat iaitu Negeri dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata sambutan di peringkat negeri pada malam semalam adalah bagi menyeru kaum muslimin dan muslimat supaya berpuasa pada 9 Zulhijjah iaitu merupakan hari wukuf di Arafah. Katanya, sambutan Hari Arafah di peringkat DUN pula akan dilaksanakan secara serentak di seluruh kawasan pada esok hari. “Ia bertujuan bagi meraikan para jemaah muslimin dan muslimat yang turun ke masjid untuk berbuka puasa beramai-ramai sebagai tanda kesyukuran kerana berjaya melaksanakan ibadah yang dituntut tersebut. “Semoga setiap perkata yang kita lakukan mampu memberatkan pahala amal kita di hari akhirat kelak, di samping mendapat keredhaan daripada Allah Subhanahu wata’ala," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Program Sambutan Penghayatan Hari Arafah Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman 1444H/2023 bertempat di Masjid Al-Muhtadin, Kampung Peradong, Manir di sini semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Penerangan dan Dakwah Negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Tengku Bijaya Raja. Tambah Ahmad Samsuri, bulan Zulhijjah merupakan salah satu bulan yang penuh dengan keistimewaan dan kelebihan yang tersendiri. “Keistimewaan tersebut ada pada 10 hari terawal Zulhijjah yang perlu kita ketahui keistimewaannya agar ianya menjadi motivasi dalam meningkatkan lagi amal ibadah kita,” ujarnya. Mengulas lanjut, program yang bermula pada 7.30 itu diawali dengan Ceramah Khas Hari Arafah yang disampaikan oleh Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron. Program tersebut berjalan lancar dengan kehadiran jemaah sekitar 300 orang pada malam itu.  
27 Jun 23
630
Amzad Fail Rayuan Pembatalan Kemenangan ke Mahkamah Persekutuan
Amzad Fail Rayuan Pembatalan Kemenangan ke Mahkamah Persekutuan
KUALA TERENGGANU, 27 Jun - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim akan memfailkan notis rayuan kepada Mahkamah Persekutuan berhubung pembatalan kemenangannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Peguamnya, Wan Rohimi Wan Daud berkata, rayuan itu akan dikemukakan secepat mungkin selepas Hari Raya Aidiladha.  "Kami juga akan membuat permohonan rasmi untuk menggantung keputusan mahkamah supaya Pilihan Raya Kecil tidak diadakan sehingga rayuan diputuskan oleh mahkamah dalam tempoh enam bulan.  "Jadi kalau Hakim bagi penggantungan penuh, keputusan hari ini tidak berkuat kuasa, jadi tidak akan ada pilihan raya bagi Parlimen Kuala Terengganu sehingga Mahkamah Persekutuan memutuskan kembali," jelasnya ketika ditemui media di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.  Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membatalkan kemenangan calon PAS selepas calon BN, Mohd Zubir Embong mengemukakan petisyen pilihan raya di parlimen itu. Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan keputusan selama 14 hari bagi membolehkan responden membuat rayuan dan memfailkan permohonan rasmi pergantungan responden sebagai Ahli Parlimen Kuala Terengganu. Pada PRU15, Amzad memenangi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk calon BN, Mohd Zubir Embong.  Dalam perkembangan sama, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menolak petisyen BN Marang untuk membatalkan kemenangan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.  Mahkamah menolak petisyen itu selepas menilai pihak pempetisyen gagal membuktikan wujud rasuah kepada pengundi Marang.
27 Jun 23
896
Tiada Bukti Rasuah, Kemenangan Presiden PAS Sah - Mahkamah
Tiada Bukti Rasuah, Kemenangan Presiden PAS Sah - Mahkamah
KUALA TERENGGANU, 27 Jun - Kemenangan Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang di Parlimen Marang pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu adalah sah.  Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, Datuk Hassan Abdul Ghani ketika membacakan keputusan hari ini berkata, pihak pempetisyen gagal membuktikan terdapat unsur rasuah dalam aktiviti kempen pilihan raya Ahli Parlimen Marang itu.  Susulan itu, Hakim turut memerintahkan pihak pempetisyen yang mewakili calon BN Parlimen Marang, Jasmira Othman membayar kos sebanyak RM50,000 kepada Abdul Hadi.  Sementara itu, Peguam Pempestisyen, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya sangat berpuas hati dengan penghakiman yang diberikan.  "Alasan-alasan oleh hakim mengambil kira pelbagai aspek dan meneliti dengan cermin keterangan setiap 10 saksi pempetisyen dan 3 saksi responden.  "Yang Arif turut melihat isu perundangan dengan begitu teliti sekali sehingga perkara yang kecil pun diambil kira," katanya ketika ditemui media di sini hari ini.  Dalam pada itu, keputusan bagi petisyen Parlimen Kuala Terengganu sedang dibacakan oleh Hakim.  Berita lanjut menyusul. 
27 Jun 23
553
Konsert Gema Islami Gamit Kehadiran Ribuan Rakyat
Konsert Gema Islami Gamit Kehadiran Ribuan Rakyat
KUALA NERUS, 27 Jun - Kerajaan Terengganu sekali lagi berjaya menganjurkan acara hiburan penuh berprestij melalui penganjuran Konsert Gema Islami hingga mengamit kehadiran ribuan rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat di negeri ini. Bertempat di Stadium Tertutup Gong Badak lebih 1,000 rakyat hadir bagi memeriahkan acara muzikal Islami yang menampilkan selebriti tanah air iaitu Aiman Sidek, Iwan Syahman dan Ali XPDC. Konsert itu turut menampikan tiga selebriti dakwah terkenal dan tidak asing lagi dalam negara iaitu Ustaz Haslin Baharin, Ustaz Abdullah Khairi dan Ustaz Zul Ramli. Rata-rata rakyat sangat teruja dengan penganjuran konsert tersebut dan membuktikan kerajaan negeri tidak menghalang sebarang penganjuran hiburan berdasarkan garis panduan. Dalam pada itu Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzzaman Abdullah menyifatkan program yang dianjurkan pihaknya dengan kerjasama Didik Ulama dan Amilin Terengganu (DUAT) itu menjadi model terbaik bagaimana bentuk program yang boleh dianjurkan di negeri ini. "Mudah-mudahan program ini akan dapat diteruskan lagi untuk mendidik jiwa rakyat dan memberikan teladan dan juga menjadi model ikutan, berhibur tidak salah tetapi perlu ada caranya," ujarnya.  
27 Jun 23
182
UAI Bakal Gegarkan TMBS Wakaf Mempelam Malam Ini
UAI Bakal Gegarkan TMBS Wakaf Mempelam Malam Ini
KUALA TERENGGANU, 27 Jun – Daie Sejuta Umat, Ustaz Azhar Idrus (UAI) akan hadir bagi mengisi slot Forum Khas Bersempena Hari Arafah di Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera (TMBS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Wakaf Mempelam, malam ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata Karnival TMBS itu diadakan bersempena dengan Hari Raya Aidiladha yang akan disambut tidak lama lagi. “Program yang bertempat di Dataran Surau Al Iman Kampung Losong Panglima Perang itu akan berlangsung selama dua hari bermula 26 sehingga 27 Jun ini. “Pelbagai aktiviti yang disediakan khusus buat kaum lelaki mahupun perempuan serta pelbagai hadiah dan cabutan bertuah menarik menanti pengunjung yang hadir.  “Hadiah utama iaitu beberapa buah motosikal, peti sejuk dan pelbagai lagi,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook rasmi miliknya pada hari ini. Tambah Wan Sukairi, semua aktiviti dan acara yang dipertandingkan sesuai kepada semua lapisan umur dengan pengisian yang menarik disediakan. “Antaranya pertandingan sukaneka berasingan lelaki dan wanita, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak dan pelbagai lagi pengisian. “Turut disertakan pengisian rohani di tapak program itu yang akan disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim yang akan membawa tajuk kuliah iaitu ‘Lambaian Mekah Tetamu Allah' pada malam ini. “Pada hari akhir karnival turut diadakan Jamuan Rakyat dan Forum Khas Bersempena Hari Arafah yang akan disampaikan Ustaz Azhar Idrus bersama Moderator, Ustaz Kamaruzzaman Abdullah," ujarnya.    
27 Jun 23
1266
DUN Terengganu Dijangka Bubar Esok
DUN Terengganu Dijangka Bubar Esok
KUALA TERENGGANU, 28 Jun- Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bagi penggal ke-14 dijangka dibubarkan secara rasmi, esok. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, pembubaran itu akan diumumkan selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri.  "Tiada sidang media, kita akan keluarkan satu kenyataan sahaja selepas mendapat perkenan Tuanku, mungkin dalam tengah hari. "Selepas ini, pentadbiran akan dipikul kerajaan 'caretaker' dan mana-mana mesyuarat yang tidak memerlukan keputusan dasar, mesyuarat pelaksanaan akan terus dilaksanakan sebagaimana di peringkat persekutuan," katanya dalam sidang media ringkas di luar perkarangan istana, hari ini. Tambahnya, Pilihan Raya adalah proses demokrasi bukan sahaja kepada memilih kepimpinan sesebuah negeri atau negara tetapi juga peluang kepada rakyat untuk membuat pemilihan. "Sebagai pemegang taruh yang paling besar, rakyat perlu bersikap adil dan mengambil maklumat yang tepat sebelum membuat sebarang pertimbangan. "Kini, kita serahkan kepada rakyat untuk membuat pertimbangan mereka," katanya. Mempunyai 32 kerusi DUN, Pilihan Raya Umum ke-14 lalu menyaksikan PAS menguasai 22 kerusi, sekali gus merampas tampuk pentadbiran, manakala selebihnya dimiliki Barisan Nasional (BN). Terengganu antara enam negeri yang akan mangadakan PRN bersama Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sambilan, Kedah dan Kelantan.                        
27 Jun 23
252
Geng Plastik Ija Diiktiraf Di Peringkat Antarabangsa
Geng Plastik Ija Diiktiraf Di Peringkat Antarabangsa
KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Penat lelah Geng Plastik Ija (GPI) mengadakan program 'kutip sampah' saban minggu bersama agensi-agensi kerajaan, sekolah dan swasta diiktiraf selepas menerima penghargaan di peringkat antarabangsa. Ketua GPI Kuala Terengganu, Dr Mohd Ariff Hafizi Fouzi berkata, GPI terpilih mewakili Malaysia mengetuai program permbersihan 'Plogging Bersama AKRAB KPWKM Bersama Geng Plastik Ija dan IPPTAR ' sempena  International Symposium Global Trade of Solid Waste.  "Simposium antarabangsa yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah di negara USA, Malaysia, Mexico, Ecuador dan Jepun dan dan sekolah yang terpilih adalah Sekolah Menengah Sains Kuala Terengganu (SESTER)," ujarnya kepada UPDI. Dr Ariff berkata demikian ketika ditemui selepas program selama dua hari iaitu 23 dan 24 Jun yang diadakan di kawasan bermula dari pantai sekitar KTCC sehingga ke benteng pemecah ombak di Dataran Drawbridge.  Beliau turut gembira dengan peningkatan penglibatan agensi-agensi kerajaan yang menunjukkan kesedaran dalam aktiviti menjaga alam sekitar itu.  "Program ini juga mendapat kerjasama Cafeteria Culture yang berpengkalan di New York USA serta pasukan AKRAB LPPKN, Kementerian Wanita, Keluarga dan masyarakat dari ibu pejabat di Putrajaya, CIMB Bank Kuala Terengganu, Green Ranger UMT, dan Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak Kuala Lumpur. "Keseluruhan jumlah kutipan sampah yang didapati adalah satu tan sampah dengan sekitar seribu botol plastik dikutip sepanjang program dua hari tersebut," ujarnya lagi. Pegawai Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah itu juga turut merakamkan penghargaan kepada Datuk Bandar Majlis Perbandaran Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dengan menubuhkan 'Clean up Comittee' untuk memastikan kawasan pesisir Pantai Kuala Terengganu terjaga.
26 Jun 23
1251