lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Malaysia Tiada Hala Tuju di Bawah Anwar
Malaysia Tiada Hala Tuju di Bawah Anwar
KUALA NERUS, 7 Julai - Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat tiada hala tuju yang jelas dalam mengemudi ekonomi negara ketika situasi semakin mencabar. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata, sehingga kini tidak ada sebarang tanda ke mana Malaysia hendak dibawa oleh PH dan BN. “Dalam keadaan ekonomi yang merudum, nilai ringgit terus menyusut, saham jatuh dan pelabur-pelabur asing menjual saham di Bursa Malaysia, kita masih belum nampak apa pelan kerajaan. “Ramai merungut kepada saya yang mereka sangat risau dengan situasi semasa, mereka bertanya adakah kita mempunyai kerajaan dan Menteri Kewangan, kerana nampak seperti tiada apa-apa tindakan,” katanya ketika berucap di Himpunan Teguh Pertahan peringkat negeri malam ini. Sehubungan dengan itu menurut beliau, rakyat Malaysia yang terlibat dalam Pilihan Raya Umum (PRU) di enam negeri nanti mesti menghantar isyarat yang jelas kepada kerajaan Persekutuan. “Tunjukkan ketidakkpuasan hati kita terhadap kerajaan pusat pada PRU negeri nanti, tambahkan bilangan kerusi yang kita menang di setiap negeri khususnya di Terengganu, pastikan PN menang di negeri lain. “Insya-Allah itu merupakan satu signal kita menolak kelakuan kerajaan Persekutuan sedia ada, inilah formula berkesan untuk kita jamin masa depan kita supaya tidak terus terumbang-ambing,” katanya.
07 Jul 23
302
KMI Healthcare Lancar Hospital Pakar Ke-5 di Tawau
KMI Healthcare Lancar Hospital Pakar Ke-5 di Tawau
KUALA TERENGGANU, 7 Julai - Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare” atau KMI)bahagian penjagaan kesihatan TDM Berhad (TDM) terkini melancarkan KMI Tawau Medical Centre (KMI Tawau), hospital swasta yang terbaharu di Tawau, Sabah. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah merangkap Pengerusi KMI Tawau, Dr. Aliakbar Gulasan berkata terdahulu pengambilalihan Tawau Specialist Hospital telah selesai sepenuhnya pada Mei 2022, dan telah dijenamakan semula kepada KMI Tawau Medical Centre.  Katanya, ia melibatkan pembinaan bangunan lima tingkat baharu dengan tambahan 52 katil dan peningkatan kemudahan berjumlah RM10 juta "Dengan rangkaian lima hospital di bawah jenama KMI Healthcare, ia sudah tentu memberi nilai tambah dalam menyediakan perkhidmatan yang sistematik dan meniru kejayaan yang dicapai oleh hospital lain di bawah KMI sebagai pemangkin dalam membentuk pengurusan terbaik untuk hospital KMI Tawau. “Perkhidmatan Pesakit Antarabangsa (International Patient Service) akan menjadi agenda seterusnya bagi KMI Tawau sebaik sahaja bangunan baharu siap," katanya ketika merasmikan pelancaran hospital berkenaan. Tambahnya, susulan pengambilalihan itu, pembangunan sebuah lagi bangunan enam tingkat akan meningkatkan kapasiti kepada 59 katil, yang dijangka siap menjelang suku ke-empat 2024. "Idea kreatif dan inovatif serta keberanian mencuba sesuatu yang baharu telah memberi pilihan kepada pelanggan untuk menikmati perkhidmatan kesihatan terbaik yang mereka inginkan. "Pembaharuan ini juga penting untuk memastikan daya saing negara terutamanya dalam usaha kita mempromosikan industri pelancongan kesihatan atau Health Tourism," ujarnya lagi. Antara disiplin dan kemudahan perubatan yang ditawarkan ialah Perubatan Am, Pembedahan Am, Obstetrik & Ginekologi, Ortopedik, Pediatrik, Anestesia,Otorinolaringologi, Radiologi, Perkhidmatan Kecemasan 24 jam, Makmal, Farmasi, Pengimejan Diagnostik: Imbasan CT, Mamogram Digital, Pemeriksaan Ultrasound dan X-ray am. Sementara itu, Pengurus Besar KMI Tawau, Zainulalim Samsudin berkata usaha menaik taraf kemudahan di KMI Tawau bagi meningkatkan kepuasan dalam pengalaman pesakit sedang dijalankan. "Ini termasuk migrasi sistem maklumat hospital(HIS), pembelian beberapa peralatan perubatan termasuk MRI, CT-scan serta C-arm dan Autoklaf yang akan digunakan untuk pembedahan dengan kosnya yang berjumlah RM10 juta,” jelas beliau.  
07 Jul 23
392
Usaha Gigih Anak Soleh Pintar Imtiaz Diiktiraf
Usaha Gigih Anak Soleh Pintar Imtiaz Diiktiraf
KUALA TERENGGANU, 7 Julai- Seramai 336 pelajar diraikan sempena Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Kali Ke-13 Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu 2022. Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, majlis yang diadakan secara tahunan itu merupakan platform utama kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu dalam menghargai serta mengiktiraf anak-anak soleh pintar yang telah bersungguh-sungguh menimba ilmu pengetahuan dan menghafal al-Quran sepanjang di Imtiaz. "Pada hari ini seramai 325 orang pelajar Tingkatan 5 dan sebelas pelajar Tingkatan 6 telah berjaya menamatkan pelajaran di Imtiaz. "Daripada  jumlah tersebut, 62.8 peratus atau 211 orang pelajar telah khatam 30 juzuk al-Quran, " ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Kali Ke-13 Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu 2022 yang dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan Dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat. Katanya, statistik membanggakan itu secara jelas membuktikan bahawa Imtiaz berasa di landasan yang tepat dalam merealisasikan matlamat penubuhannnya iaitu sebagai pusat melahirkan profesional huffaz.  "Anak soleh pintar Imtiaz seorang pelajar yang bukan sahaja cemerlang dari segi daya intelektualnya malah mampu menjiwai nilai- nilai Islam untuk dijadikan sebagai panduan dalam kehidupan seharian. "Ianya dibuktikan dengan peningkatan jumlah khatam al-Quran setiap tahun disamping kejayaan merangkul pelbagai anugerah pertandingan pelajar peringkat negeri, kebangsaan mahupun antarabangsa, "ujarnya. Mohd Azmi berkata, majlis graduasi tersebut merupakan titik permulaan mengorak langkah yang lebih tinggi kepada para pelajar.  "Semoga para pelajar dapat meneruskan momentum kecemerlangan ketika menyambung pengajian di pusat pengajian tinggi, terus mengekalkan amalan hafazan al-Quran dan berusaha mengaplikasikan pelbagai pengalaman yang dipelajari di Imtiaz demi sumbangan kepada pembangunan ummah, " jelasnya. Beliau juga merakamkan ucapan terima kasih kepada para pendidik dan ibu bapa yang sentiasa bertungkus lumus dalam memastikan kemenjadian anak-anak soleh pintar ini.
07 Jul 23
137
Jangan Kaitkan Mangsa Tragedi Kepala Air Jeram Mawar Dengan Pembalakan - MB
Jangan Kaitkan Mangsa Tragedi Kepala Air Jeram Mawar Dengan Pembalakan - MB
KUALA TERENGGANU, 6 Julai - Jangan kaitkan pekerjaan ketua isi rumah (KIR) mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman dengan aktiviti pembalakan haram di sekitar kawasan tersebut. Itu tegas Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkaitan tragedi menyayat hati yang menimpa sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Pahang dan bakal menantu ahli keluarga itu dari Batu Pahat, Johor pada Sabtu lepas. "Saya rasa tiada kaitan (aktiviti pembalakan sebagai punca tragedi) kerana saya difahamkan ketua keluarga tersebut memang pernah bekerja di kawasan pembalakan. "Bila kata pembalakan, jangan kata semua haram. Ada yang mendapat lesen yang sah dan sebagainya. Jadi, oleh sebab dia pernah berada di kawasan itu untuk masuk ke dalam kawasan pembalakan dia agak mahir selok belok kawasan tersebut. "Mungkin dia ambil peluang untuk membawa semua ahli keluarganya berkelah pada waktu itu (ketika cuti hari raya Aidiladha, namun berlaku tragedi kepala air)," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi & Anugerah Hafazan Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini. Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata pihaknya percaya ketua keluarga tersebut, Karim Abdullah, 39 yang bekerja sebagai pemandu jengkaut di Hutan Air Putih mahir dengan laluan di lokasi sehingga mampu untuk masuk ke kawasan itu menggunakan kenderaan yang kurang sesuai. Dalam kejadian kira-kira pukul 5 hingga 6 petang pada Sabtu lalu, sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Pahang dan bakal menantu ahli keluarga itu dari Batu Pahat, Johor dihanyutkan kepala air berikutan hujan lebat berlaku. Setakat pukul 12 tengah hari ini, lapan mangsa telah ditemui sejak hari Ahad lalu.  Lapan mangsa yang ditemui ialah Karim dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim,6 dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.  Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18 dan adik tirinya, Putri Alleya Maisarah, 16, ditemui pada Selasa. Dua lagi mangsa yang masih belum, ditemui ialah Putri Nur Fatin Karim 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24.  
06 Jul 23
289
Pegawai Maritim Cedera Parah Ditetak Nelayan Vietnam
Pegawai Maritim Cedera Parah Ditetak Nelayan Vietnam
KUALA TERENGGANU, 6 Julai - Seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu cedera parah di kepala akibat ditetak oleh salah seorang nelayan asing warga Vietnam. Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Khairul Anuar Abd Majid berkata kejadian itu berlaku ketika pasukan berkenaan menjalankan operasi di kawasan perairan pada jarak lebih kurang 148 batu nautika dari Kuala Terengganu sekitar pukul 11.30 pagi tadi. Katanya, mangsa iaitu Leftenan Muda Maritim Shakir Zufayri Azizul Rahman, 27, ditetak dengan parang oleh salah seorang nelayan ketika melakukan pemeriksaan dalam bot nelayan terbabit. “Serangan itu berlaku setelah pasukan Maritim Malaysia menahan Bot Nelayan Asing (BNA) berkenaan kerana melakukan aktiviti tangkapan ikan secara haram di perairan Malaysia. “Ketika nelayan warga Vietnam itu diperiksa telah berlaku tindakan kasar dan menyerang pegawai penguatkuasa,” katanya dalam kenyataan media pada hari ini. Tambah Khairul, ketika kejadian itu, pasukan penguatkuasa Maritim dapat mengawal keadaan seterusnya menahan 16 orang kru bot terbabit. Tambahnya lagi, 16 orang itu terdiri daripada seorang tekong dan 15 orang awak-awak. Beliau berkata, mereka yang cedera dalam pergelutan itu ialah tekong bot dan tiga orang awak-awak. “Kesemua mereka telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan Pahang dengan menaiki helikopter Maritim Malaysia bagi mendapatkan rawatan segera. “Terdahulu, mangsa bersama-sama 18 orang pegawai dan anggota Kapal Maritim (KM) Gemia telah menahan sebuah bot yang disyaki BNA yang sedang leka melakukan aktiviti tangkapan ikan di kawasan perairan berkenaan. “Semasa siasatan dilakukan, kesemua kru bot berkenaan didapati tidak memiliki permit serta lesen yang sah.  “Rentetan kejadian itu, kesemua kru bot berkenaan telah melakukan tindakan nekad dengan menyerang pegawai dan anggota Maritim Malaysia yang berada di dalam bot berkenaan. “Kesemua kru BNA terbabit ditahan dibawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa memiliki sebarang pas yang sah,” ujarnya.    
05 Jul 23
342
MB Lancar Kad Laporan Prestasi, Buku Kejayaan Terengganu
MB Lancar Kad Laporan Prestasi, Buku Kejayaan Terengganu
Oleh - Suhaimi Taib KUALA TERENGGANU, 5 Julai – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melancarkan Kad Laporan Prestasi dan Buku Kejayaan Kerajaan Negeri Terengganu 2018-2023 hari ini. Katanya, pelancaran kad laporan dan buku itu bertujuan menyampaikan maklumat sebenar pencapaian kerajaan kepada rakyat.  Ujarnya, kedua-dua penerbitan itu tersedia dalam versi digital untuk sebaran kepada umum. "Kedua-dua penerbitan yang disediakan oleh Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) dan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ini saya berharap seluruh rakyat dan penduduk negeri Terengganu serta semua pihak berkepentingan mendapat maklumat yang sebenar dan menyeluruh tentang rancangan, usaha dan pencapaian Kerajaan Negeri Terengganu bagi tempoh 2018 hingga 2023,” katanya. Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada media selepas melancarkan dua penerbitan tersebut di Damai Lounge, U2 Wisma Darul Iman di sini.  Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato’ Haji Yahaya Ali, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Dato’ Mohd Nor Hamzah dan Pengarah UPDI Ustaz Mohd Soud Said. Ahmad Samsuri seterusnya berkata penerbitan dan penyebaran prestasi serta pencapaian Kerajaan Negeri itu menggambarkan kerjasama secara kolektif semua pemegang taruh dalam memberi perkhidmatan terbaik buat rakyat dan negeri Terengganu. Katanya penerbitan itu juga disifatkan sebagai satu penghargaan kepada para pemimpin, pegawai dan seluruh jentera Kerajaan Negeri serta semua pihak yang telah memberi sokongan dan dukungan sepanjang tempoh tersebut. “Saya percaya, hanya menerusi konsep ta’awun (kerjasama) antara pihak kerajaan, swasta dan orang awam seperti yang telah kita amalkan ini, kita boleh pergi lebih jauh dan menjadi lebih baik supaya disegani dan diredhai Tuhan, Insya-Allah,” ujarnya.  
05 Jul 23
304
Elak Pasang Bendera di Tempat Undang Bahaya
Elak Pasang Bendera di Tempat Undang Bahaya
MARANG, 5 Julai - Semua parti politik yang bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) diingatkan agar tidak memasang bendera di tempat yang boleh mengundang bahaya kepada orang awam. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dato' Dr Alias Razak berkata, pihaknya menasihatkan setiap parti untuk tidak menaikkan bendera di tempat-tempat yang boleh menggangu keselamatan. "Walau bagaimanapun di musim pilihan raya ini ada budi bicara, kalau kita dapati tidak mendatangkan bahaya dan tidak membawa masalah kita benarkan dan beri pengecualian di mana-mana tempat yang difikirkan sesuai bagi menaikkan bendera. "Kita tidak boleh kompromi tentang nyawa manusia, jadi perlu dipastikan tempat itu benar-benar selamat. Semangat rakyat terutamanya anak muda waktu ini kita tidak boleh halang, dia akan jadi perkara tidak sihat seandainya berlaku pertembungan di antara Pihak Berkuasa Temptan (PBT) dengan orang awam,"ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang media Jelajah Mega PNBEST dan Himpunan Teguh Pertahan di Masjid Rusila, di sini, hari ini. Tegasnya, sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, beliau akan memastikan pegawai-pegawai PBT akan melakukan pemantauan bagi mencegah sebarang perkara tidak diingini berlaku. "Mana-mana yang kita dapati terlibat memasang bendera di tempat yang tidak selamat akan diberikan nasihat kepada mana-mana parti yang terlibat supaya menurunkkannya dengan sukarela ataupun meletakkannya di tempat yang lebih selamat,"ujarnya.  
05 Jul 23
224
Rakyat Terengganu Matang Nilai Wibawa Calon Bertanding
Rakyat Terengganu Matang Nilai Wibawa Calon Bertanding
KUALA TERENGGANU, 5 Julai - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yakin rakyat negeri ini matang dalam memilih pemimpin berasaskan kepada rekod prestasi, khidmat kepada rakyat dan wibawa calon serta parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti. Katanya, orang ramai boleh menilai kepimpinan kerajaan negeri melalui Kad Laporan Prestasi serta Buku Kejayaan Terengganu sepanjang tempoh lima tahun ini. "Sepanjang tempoh kempen kritikal ini, kita memahami pelbagai kempen dan propaganda politik diluncurkan ke tengah-tengah masyarakat, Saya yakin rakyat kita bijak untuk tidak mudah terjerumus dalam perangkap media dan persepsi yang cuba dimainkan setengah pihak. "Adalah lebih wajar pihak yang bertanding, berkempen dengan cara yang matang, menawarkan khidmat dan membentangkan tawaran sebagai salah satu cara kita membawa politik dan demokrasi yang lebih sihat," ujarnya melalui kenyataan di facebook rasminya semalam. Dalam perkembangan sama, beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) bagi enam negeri. "Saya ingin mengajak dan menyeru kepada seluruh rakyat Terengganu terutamanya anak muda untuk turut serta dan menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi nanti. Ruang yang diberikan dalam sistem demokrasi ini perlu dimanfaatkan demi masa depan yang lebih baik. "Manakala, kepada semua perantau yang bakal pulang mengundi nanti, suka untuk saya sarankan membuat perancangan yang awal bagi memastikan perjalanan pulang berjalan lancar dan selamat sampai di destinasi masing-masing. "Akhirnya, carilah dan jadilah pemimpin yang ibaratnya seperti kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan, uratnya tempat bersila (dan) batangnya tempat bersandar," katanya. Sementara itu katanya,pada 8 Julai 2023 PAS akan turut melengkapkan 10 tawaran PAS Terengganu bagi dimumkan di porgram Jelajah Mega PN Best dan Himpunan Teguh Pertahan yang akan diadakan di Dataran Jambatan Angkat. "Saya dengan penuh sukacitanya menjemput semua rakyat Ternegganu untuk turut bersama dalam program ini," ujarnya lagi.
05 Jul 23
206
KOPERAT Untung RM1.794 Juta Tahun Lalu
KOPERAT Untung RM1.794 Juta Tahun Lalu
KUALA TERENGGANU, 5 Julai – Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu Sdn Bhd (KOPERAT) mencatatkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM1,794,108 bagi tahun kewangan 2022 berbanding RM758,977 tahun sebelumnya. Pengerusinya, Hishamuddin Abdul Karim berkata perkembangan itu sekaligus merekodkan peningkatan penjualan rumah sebanyak 11.4 peratus iaitu RM18.5 juta tahun lalu berbanding RM16.2 juta, tahun sebelumnya. Menurutnya rekod penjualan yang meningkat itu, hasil daripada jualan unit-unit rumah, dibina di Taman Rakyat Bistari, Bukit Kuang, Kemaman dan Taman Koperat Ukhwah, Dungun. Katanya keuntungan pada tahun lalu membolehkan KOPERAT membayar dividen berjumlah RM580,055 kepada pemegang sahamnya termasuk GPQ Sdn Bhd (GPQ) dan Pesama Timber Corporation Sdn Bhd (PESAMA). “Pada hari ini kita (KOPERAT) telah membuat bayaran dividen kepada dua pemegang saham syarikat iaitu GPQ berjumlah RM377,036 dan PESAMA RM203,019 di mana masing-masing memegang pegangan saham sebanyak 65 peratus dan 35 peratus,” katanya ketika bercakap kepada media selepas Majlis Penyerahan Dividen Tahun Kewangan 2022 di Permai Hotel di sini semalam. Turut hadir Pengerusi GPQ, Dr Mamad Puteh, Pengerusi PESAMA, Ir Saiful Azmi Suhaili dan Pengurus Besar KOPERAT, Syed Abdul Rahman Engku Sulong. Hishamuddin seterusnya berkata kini KOPERAT sedang menyiapkan 237 Unit di Kemaman, Besut dan Kuala Nerus. Katanya bagi prospek hadapan, KOPERAT akan membangunkan 924 unit rumah dan bakal disiapkan dalam tempoh empat tahun. Menurutnya, daripada jumlah tersebut 564 unit akan dibangunkan di Alor Limbat yang dijangka akan dilancarkan akhir bulan ini oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. “Projek perumahan yang kita (KOPERAT) bina sentiasa mendapat sambutan daripada orang awam di samping kita turut mencari alternatif baharu untuk mendapatkan tanah baharu bagi membina lebih banyak unit rumah di masa hadapan di semua daerah di negeri Terengganu,” ujarnya. Sementara itu PESAMA sebagai pemegang saham kedua terbesar KOPERAT menyerahkan sumbangan pampasan insurans dan khairat kematian kakitangan syarikat berjumlah RM62,000 kepada waris keluarga kakitangan berkenaan. Penerima-penerima tersebut termasuk Noriza Embong dan Azizoah Mohd Arifin balu kepada dua kakitangan syarikat yang meninggal dunia akibat penyakit kegagalan buah pinggang. “Jumlah pampasan insurans yang diterima oleh kedua-dua keluarga mangsa adalah daripada dua syarikat insurans masing-masing sebanyak RM21,000 dan RM10,000,” jelasnya.
05 Jul 23
509
Rakyat Terengganu Lebih Tahu – MB
Rakyat Terengganu Lebih Tahu – MB
KUALA NERUS, 5 Julai – Rakyat Terengganu lebih mengetahui maklumat yang tepat mengenai negeri ini dari sudut pembangunan, kemajuan ekonomi dan sebagainya. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tohmahan beberapa pihak yang menuduh ekonomi Terengganu tidak berkembang adalah tidak tepat. Katanya, mereka perlu meneliti laporan mengenai kejayaan yang dicapai negeri itu terlebih dahulu sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan. “Tak perlu jadi seorang yang pintar untuk memahami perkembangan ekonomi yang berlaku, pihak yang buat dakwaan itu tidak lihat apa yang berlaku,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Perasmian Loji Rawatan Air bertempat di Bukit Berapit, Kuala Nerus di sini semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh. Tambah Ahmad Samsuri, Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Negeri Terengganu bagi tahun 2022 mencatatkan nilai berjumlah RM37.3 bilion iaitu peningkatan 5.9 peratus berbanding sasaran awal 3.5 hingga 4.5 peratus sahaja. “kadar pertumbuhan yang positif ini menandakan ekonomi negeri kita dalam keadaan sihat dan semakin berkembang. “Sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya ekonomi Terengganu tak berkembang sejak PRU14 yang lalu,” ujarnya.    
05 Jul 23
589