Artikel "Utama" Terkini
Keputusan STPM Dikeluarkan Khamis Ini
KUALA TERENGGANU, 11 Julai - Keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Tahun 2022 akan dikeluarkan pada Khamis ini.
Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) menerusi kenyataan memaklumkan, semakan boleh dibuat menerusi tiga kaedah iaitu di sekolah masing-masing, pautan http://stpm.mpm.edu.my/stpmK dan sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPMNo.K/PAngka Giliran dan hantar ke 15888.
"Sistem ini akan diaktifkan mulai jam 11 pagi pada sehingga jam 12 tengah hari Ahad," kata kenyataan itu pada Selasa.
Seramai 41,701 calon telah menduduki peperiksaan STPM Tahun 2022 di 659 pusat peperiksaan di seluruh negara dengan 5,668 petugas peperiksaan dilantik.
11 Jul 23
254
Terengganu Milik Semua Rakyat
BANGI, 11 Julai - Setiap rakyat Terengganu memainkan peranan penting dalam memastikan negeri ini terus membangun dan maju dengan menyumbangkan kepakaran dalam bentuk idea, cadangan dan teguran kerana ia merupakan hak semua bukannya milik pihak-pihak tertentu.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, adalah diharapkan setiap rakyat berganding bahu memajukan negeri ini dari segi pembangunan, ekonomi untuk terus memacu kesejahteraan hidup rakyat.
Ujarnya, menjadi harapan besar juga agar golongan terpelajar daripada kalangan mahasiswa dan mahasiswi melontarkan pandangan untuk diambil perhatian dalam memastikan Terengganu terus memacu kejayaan serta mengekalkan kecemerlangan.
"Terengganu ini bukan hak saya, bukan hak mana-mana ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKN). dan bukan juga hak pegawai kerajaan tetapi milik kita semua sebagai rakyat Terengganu.
"Kerana itu setiap orang perlu memainkan peranan walaupun sekecil mana pun, semuanya itu menyumbang kepada (kejayaan) negeri Terengganu," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika program Town Hall Mahasiswa Perantau 2023 "MB Nok Juppe" di bangi Convention Centre, kelmarin.
Mengulas lanjut katanya, pertemuan berkenaan sangat bermakna untuk mendegar segala pandangan serta idea-idea baru yang dilontarkan sepanjang sesi dialog itu diadakan.
"Segala cadangan, buah fikiran yang disebur oleh saudara saudari (mahasiswa dan mahasiswi) sebentar tadi, semuanya masuk dalam kepada kami untuk dibuat pertimbangan dalam (membantu) mengurus tadbir negara dan negeri kita ini, insya-Allah,"ujarnya.
11 Jul 23
168
PAS Umum 10 Tawaran Hadapi PRN
KUALA TERENGGANU, 11 Julai – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menambah dua lagi tawaran sekali gus melengkapkan 10 tawaran bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lepas sebanyak 20 manifesto berjaya dilaksanakan dalam tempoh lima tahun mentadbir negeri ini.
Katanya, untuk lima tahun yang akan datang terdapat 10 tawaran yang ingin dilaksanakan.
"Antaranya, menaja caruman skim keselamatan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) untuk suri rumah.
“Seterusnya, menyediakan kemudahan pinjaman pembelian motosikal untuk kerjaya tanpa riba maksimum RM4,000,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Jelajah Mega Perikatan Nasional (PNBEST) dan Himpunan Teguh Pertahan di dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan beberapa lagi pemimpin Perikatan Nasional lain.
Tambah Ahmad Samsuri, sebelum ini parti itu telah mengemukakan lapan manifesto dalam beberapa siri program bertemu rakyat.
“Antaranya ialah membina ‘township mosque’ sebagai masjid yang baharu dan lengkap dengan fasiliti merangkumi ekonomi, sukan, rekreasi, pendidikan, sosial, komuniti, kesihatan dan kebajikan.
“Tujuh lagi tawaran iaitu menyediakan khairat kematian sebanyak RM500, menyediakan tabung geran usahawan belia sebanyak RM5 juta, menyiapkan jalan raya berkembar pantai Terengganu dari Kemaman hingga ke Besut dan menaja caruman skim keselamatan Perkeso untuk suri rumah,” ujarnya.
Beliau berkata, PAS turut berjanji untuk menyediakan tabung bantuan pertanian, penternak dan nelayan sebanyak RM5 Juta.
Selain itu, mewujudkan pusat tafaqquh fiddin di setiap daerah dan menjadikan Terengganu negeri pengeluar makanan negara dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.
11 Jul 23
294
PRN, Pengamal Media Digalakkan Daftar Undi Pos
KUALA TERENGGANU, 10 Julai – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggalakkan pengamal media berdaftar sebagai pengundi pos bagi menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15).
Ketua Komunikasi Korporat SPR, Mohd Azlan Charles Abdullah berkata pendaftaran bagi petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, polis, tentera termasuk media akan berakhir pada 26 Julai ini.
“Kita memahami tugas pengamal media ketika hari penamaan calon dan sepanjang tempoh berkempen, jadi kita galakan supaya mendaftar sebagai pengundi pos.
“Hanya perlu mengisi borang 1A secara manual yang dimuat turun dari web SPR serta memberitahu pengawai pengurus pilihan raya bagi memaklumkan dan memudahkan proses pengundian nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program taklimat kepada petugas media sempena PRN15 di Dewan Utama Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Terengganu di sini, hari ini.
Sehubungan itu, SPR menggalakkan mereka untuk membuat pendaftaran akaun MySPR di pautan https://myspr.spr.gov.my lebih awal bagi membolehkan permohonan segera dapat dilakukan apabila tempoh permohonan undi pos dibuka kelak selain mengelakkan sebarang masalah sekiranya pendaftaran akaun MySPR pada saat akhir,
Permohonan undi pos dalam dan luar negara bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu dibuka mulai 15 Jun baru-baru ini.
Sementara itu, lebih 60 pengamal media daripada pelbagai agensi di negeri ini menyertai taklimat pilihan raya
Taklimat selama hampir empat jam anjuran SPR itu disampaikan Ketua Program (Pengurusan Strategik), Akademi Pilihan Raya, YM Raja Saera Dato' Raja Musa
Taklimat itu diadakan bagi memberi pendedahan mengenai tugas media sepanjang proses PRN yang bakal berlangsung.
10 Jul 23
1565
Menteri Saran Negeri Lain Contohi Terengganu
KUALA TERENGGANU, 10 Julai - Inisiatif kerajaan Terengganu dalam mewujudkan Urusetia Pekerjaan Negeri Terengganu (UPNT) bagi mengurangkan kadar pengangguran negara diharap dapat diikuti negeri lain.
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, strategi Terengganu dalam kolaborasi rentas agensi terbukti berjaya dalam mengurus isu pengangguran secara kolektif.
Katanya, kadar pengangguran di Terengganu pada suku tahun pertama tahun ini merekodkan penyusutan kepada 4.2 peratus berbanding 4.3 peratus dalam tempoh yang sama tahun lalu.
"Kerajaan Terengganu dan PERKESO aktif menjalankan aktiviti berkaitan dengan pasaran buruh pada Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia.
"Melalui penganjuran karnival yang dianjurkan oleh kerajaan Terengganu sejak tahun lalu berjaya mencatatkan kehadiran 4,748 pencari kerja.
"Daripada jumlah itu seramai 674 orang ditawarkan pekerjaan di pelbagai sektor termasuk sektor perkilangan," ujarnya.
Sivakumar.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Kerjaya Myfuturejobs dan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) peringkat negeri, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir adalah Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Seri Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Pengerusi Lembaga Pengarah PERKESO, Datuk Seri Subahan Kamal.
Pada karnival selama tiga hari bermula semalam, sebanyak 80 syarikat menyertai dan menawarkan lebih 5,000 peluang pekerjaan melalui temuduga terbuka.
10 Jul 23
361
Mantan Naib Canselor, Bekas Orang Kuat BN Sertai PAS
KUALA TERENGGANU, 9 Julai - Parti Islam Semalaysia (PAS) mengumumkan kemasukan tiga tokoh masyarakat ke dalam parti itu menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
Ketua Penerangan PAS Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata penyertaan itu dilakukan atas dasar keyakinan terhadap perjuangan parti yang berada di bawah Perikatan Nasional.
Katanya, kemasukan tokoh masyarakat itu dilihat sebagai satu kesedaran daripada pelbagai lapisan masyarakat.
“Antara tokoh masyarakat itu adalah beliau yang merupakan Mantan Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Datuk Dr Yahaya Ibrahim.
“Tokoh seterusnya merupakan Mantan Pengurus Besar Ketengah, Datuk Hamzah Ngah diikuti Mantan Timbalan Ketua Pengarah ICT Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) di Bawah Jabatan Perdana Menteri, Aziz Yusof,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Jelajah Mega Perikatan Nasional (PNBEST) dan Himpunan Teguh Pertahan di dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan beberapa lagi pemimpin Perikatan Nasional lain.
Tambah Hishamuddin, ketiga-tiga tokoh diraikan keanggotaannya dengan penyarungan vest Perikatan Nasional oleh Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
“Kalau dulu orang melihat yang menyertai PAS adalah golongan agamawan tetapi sekarang ini datang dari pelbagai latar belakang yang hebat dan professional,” ujarnya.
09 Jul 23
1614
PRN: PN Ada Strategi Tersendiri-Ahmad Samsuri
KUALA TERENGGANU, 9 Julai- Perikatan Nasional (PN) telah bersiap sedia dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 12 Ogos depan.
Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, PN mempunyai strategi tersendiri dan tidak gentar terhadap keyakinan BN bersama rakan gabungannya untuk menawan Terengganu dan Kedah pada PRN kali ini.
"Masa PRU 2018 dikatakan PAS hanya menang satu kerusi di Kelantan dan akan lenyap di Terengganu tetapi apa yang berlaku sebaliknya. Jadi saya tak ambil 'port' apa yang dikatakan oleh mana-mana sama ada Pakatan Harapan (PH) atau BN yang mengatakan mereka mendapat momentum.
"Bagi kami, kita ada kerja-kerja yang perlu dibuat dihadapan. Ada kajian yang dibuat dan kita tidak 'syok sendiri' dengan kajian-kajian itu," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu di Wisma Darul Iman.
Bagaimanapun katanya, seluruh jentera PN termasuk PAS diingatkan untuk tidak berasa selesa dengan kemenangan pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu.
“Apa yang penting ketika ini adalah kerja keras bagi mengekalkan momentum yang ada dalam berdepan pilihan raya di enam negeri.
“Apapun saya berharap semua jentera daripada PN dan PAS dan lain-lain supaya tidak selesa dengan kedudukan yang ada, dengan momentum yang ada.
“Kita teruskan... Insya-Allah kita akan mencapai kejayaan yang lebih baik daripada pilihan raya lalu,” ujarnya.
09 Jul 23
116
Kerajaan Negeri Tubuh 'Pusat Cari Kerja' Bantu Rakyat Terengganu
KUALA TERENGGANU, 9 Julai – Kerajaan Negeri mengorak satu langkah ke hadapan dalam menambah baik perkhidmatan kepada rakyat dengan menubuhkan Pusat Cari Kerja Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna Terengganu, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata pusat itu ditubuhkan dalam Bajet 2023 Negeri Terengganu yang diumumkan oleh Menteri Besar.
Katanya, pusat itu telah mula beroperasi sejak Januari 2023, bertempat di Galeri Kerjaya Terengganu di hadapan lapangan terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu.
“Saya yakin pusat ini bakal menjadi one-stop centre bagi menyediakan perkhidmatan kepada pencari kerja dan majikan.
“Ia juga akan memberi fokus kepada gerak kerja pemadanan kerjaya bersasar yang lebih berkesan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas sesi menghadiri Walkabout bagi Program Karnival Kerjaya Myfuturejobs “Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Negeri Terengganu 2023” bertempat di Aras 2 KTCC Mall, Kuala Terengganu di sini semalam.
Turut hadir, Pengarah Perkeso Negeri Terengganu, Farihah Che Husin.
Tambah Nurkhuzaini, Kerajaan Negeri sentiasa berikhtiar untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat dan program ini adalah satu satu daripada inisiatif yang diambil untuk membawa peluang-peluang pekerjaan kepada seluruh penduduk negeri.
“Jadi, saya amat berharap program ini memberi hasil yang positif kepada rakyat Terengganu terutamanya golongan belia yang sedang mencari peluang pekerjaan.
“Bagi membantu mereka supaya mendapat sumber pendapatan yang kukuh bagi masa depan mereka,” ujarnya.
09 Jul 23
664
Pas Tampil 30 Peratus Calon Baharu Pada PRN
KUALA TERENGGANU, 8 Julai - Pas akan mempertaruhkan sebanyak 30 peratus calon muka baharu untuk bertanding di 126 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan berlangsung pada 12 Ogos depan.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, di samping muka baharu, Pas juga akan pertaruhkan 70 peratus calon muka lama yang telah dimuktamadkan.
Katanya, Pas juga akan meletakkan calon wanita di PRN enam negeri nanti sebagai pengiktirafan terhadap jasa dan sumbangan golongan tersebut.
"Senarai calon-calon Pas sudah diteliti, namun hanya akan dimuktamadkan menjelang hari penamaan calon pada 29 Julai depan.
“Rundingan agihan kerusi bagi parti-parti komponen dalam Perikatan Nasional (PN) telah selesai dan kini,fokus adalah untuk menyenaraikan calon-calon bagi kerusi yang akan kita tandingi.
“Pada dasarnya, Pas ada dua atau tiga calon bagi setiap kerusi dan kesemua mereka mesti lulus setiap kriteria yang ditetapkan Majlis Syura Ulama, namun pada akhirnya hanya seorang yang akan dipilih,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat di sini, hari ini.
Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan gabungan itu akan bertanding di 245 kerusi pada PRN kali ini.
Daripada jumlah itu, 83 kerusi akan ditandingi Bersatu, 126 (Pas) dan 36 (Gerakan).
Takiyuddin juga berkata, jentera parti itu kini telah bersiap siaga dalam memastikan kelancaran sepanjang tempoh kempen dan hari pengundian.
"Dari segi persiapan PRN pula, enam negeri telah buat persiapan dan sudah mantap. Kita akan gabungkan jentera pilihan raya Pas dengan jentera Bersatu dan Gerakan yang akan bersama-sama bekerja untuk PN," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya pada Rabu lepas mengumumkan PRN di keenam-enam negeri diadakan serentak pada 12 Ogos dengan penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.
08 Jul 23
279
PAS Cadang PRK Kuala Terengganu Diadakan Serentak Dengan PRN
KUALA TERENGGANU, 8 Julai -Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dicadangkan diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) enam negeri, susulan keputusan PAS tidak mengemukakan rayuan terhadap petisyen pilihan raya bagi Parlimen tersebut.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, keputusan PAS tersebut dicapai dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat di sini, hari ini.
Katanya, PAS juga berbincang tentang perkara tersebut mengikut aspek perundangan dan berharap pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mengadakan PRK itu serentak dengan PRN.
“Kita ada tiga minggu lagi sebelum penamaan calon. Kita yakin SPR mempunyai kemahiran dan kecekapan untuk selesaikan serentak pada tarikh sama,” katanya ketika demikian kepada pemberita selepas Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat di sini, hari ini.
Takiyuddin memberitahu, PAS mengambil keputusan tidak mahu mengemukakan petisyen tersebut kerana tempoh untuk menyelesaikan rayuan pestisyen itu mengambil masa lima hingga enam bulan dan rakyat di kawasan tersebut akan terabai.
“Kita ada dua pilihan sama ada kita merayu atau kita tidak merayu, sekiranya kita merayu, kita perlu menunggu masa lebih lama lagi, untuk tempoh enam bulan pada tarikh dimansuhkan baru boleh diselesaikan di peringkat Mahkamah Persekutuan.
“Jadi kita merasakan sebagai sebuah parti yang bertanggungjawab dan sebuah kerajaan yang memerintah negeri ini, kita tidak mahu rakyat terabai.
“Sebab dalam tempoh lima atau enam bulan ini, tidak ada Ahli Parlimen (Kuala Terengganu). Itu antara salah satu sebab (tak buat rayuan), menunjukkan Perikatan Nasional (PN) mempertimbangkan kepentingan rakyat,” katanya.
Mengulas tentang peluang PAS mengekalkan kemenangan di Parlimen Kuala Terengganu, beliau berkata pihaknya optimis parti itu akan terus mendapat sokongan rakyat.
“Kita bukan takbur, tapi berdasarkan sokongan di peringkat rakyat jelata, memang kita optimis (boleh menang). Kita mengharapkan apabila kita buat keputusan tidak merayu, pihak SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) boleh mengadakan PRK itu serentak dengan PRN.
“Kita ada tiga minggu lagi sebelum penamaan calon. Kita yakin SPR mempunyai kemahiran dan kecekapan untuk selesaikan serentak pada tarikh sama,” katanya.
Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan calon PAS, Ahmad Amzad Hashim di Parlimen Kuala Terengganu pada PRU15.
Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd. Firuz Jaffril, membenarkan petisyen pilihan raya difailkan calon Barisan Nasional (BN), Mohd. Zubir Embong, selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.
Bagaimanapun, dalam satu lagi petisyen, parti itu mengekalkan kemenangannya bagi kerusi Parlimen Marang yang dimenangi oleh Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Suruhanjaya Pilihan Raya pada Rabu lepas mengumumkan PRN di keenam-enam negeri diadakan serentak pada 12 Ogos dengan penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.
08 Jul 23
894