lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

SPR Tetapkan Tarikh Mengundi 12 Ogos
SPR Tetapkan Tarikh Mengundi 12 Ogos
PUTRAJAYA, 5 Julai - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-15 (PRU DUN Ke-15) di enam negeri diadakan serentak pada 12 Ogos sebagai hari pengundian. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh dalam sidang medianya di menara SPR hari ini turut memaklumkan 29 julai merupakan hari penamaan calon. Manakala hari pengundian awal adalah pada 8 Ogos ini. PRN di enam negeri membabitkan Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
05 Jul 23
218
Tokoh Besar Bakal Diumum Sertai PN
Tokoh Besar Bakal Diumum Sertai PN
KUALA NERUS, 5 Julai – Naib Presiden Parti Islam Se-malaysia (PAS), Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mendedahkan bahawa akan ada tokoh besar bakal diumumkan menyertai Perikatan Nasional (PN).  Ahmad Samsuri berkata pengumuman tersebut bakal diadakan pada program Himpunan Teguh Pertahan Jelajah Mega PN pada 7 hingga 8 Julai ini. Beliau bagaimanapun tidak memperincikan latar belakang individu yang dimaksudkan itu. “Mari sama-sama kita hadir pada himpunan tersebut untuk menyaksikan siapa tokoh yang bakal diumumkan itu,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Perasmian Loji Rawatan Air bertempat di Bukit Berapit, Kuala Nerus di sini semalam. Tambah Ahmad Samsuri, program yang akan diadakan di Dataran Jambatan Angkat Kuala Terengganu itu bakal dihadiri oleh beberapa tokoh besar PN di seluruh Malaysia. "Perikatan Nasional (PN) akan mengetengahkan calon muka baharu dan muka lama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini. "Setakat ini senarai calon belum dimuktamadkan dan akan diputuskan tidak lama lagi. "Apa yang penting kita masuk pilihan raya bukan sekadar untuk menang, tetapi untuk menang besar dan mentadbir dengan penuh yakin," ujarnya.    
05 Jul 23
428
Tujuh Van Jenazah Bawa Pulang Jenazah Tragedi Kepala Air
Tujuh Van Jenazah Bawa Pulang Jenazah Tragedi Kepala Air
KUALA TERENGGANU, 5 Julai - Jenazah tujuh mangsa tragedi kepala air di Jeram Mawar, air putih telah dibawa pulang semalam untuk disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3, Gambang. Kesemua mangsa dibawa oleh tujuh van jenazah ihsan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan telah bertolak kira-kira jam 6.25 petang, semalam dengan diiringi kereta peronda polis. Jenazah ketujuh Puteri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, turut diberi pelepasa dari pihak polis untuk dibawa pulang bersama enam jenazah yang lain, iaitu Karim Abdullah, 39 dan isterinya Azizah Eyi, 40. Serta lima anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11 ; Putri Nurerina Natasya,10 ; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6 ; dan Putri Aryana Umaira Karim, 4. Kesemua mangsa tragedi kepala air itu tiba di Masjid Ubbudiah Felda Lepar Hilir 3, dari kuala Terengganu pada jam 10.02 malam untuk disembahyangkan. Dua yang masih belum ditemui adalah Putri Nor Fatin, 14, dan Muhammad Fikri Saliman, 24, yang merupakan tunang kepada Putri Balqis Izzati.   
05 Jul 23
409
Pesanan Terakhir Mangsa Tragedi Jeram Mawar 'Tunggu Azizah Pulang'
Pesanan Terakhir Mangsa Tragedi Jeram Mawar 'Tunggu Azizah Pulang'
KUALA TERENGGANU, 5 Julai - ibu kepada Allahyarham Azizah Eiyi, mangsa tragedi kepada air di Jeram Air Putih, Halimah Kasim, 63,  berkata pesanan terakhir anaknya itu agar menunggu kepulangannya masih menghantui dirinya sehingga saat ini. Menurut Halimah arwah anaknya sekeluarga sempat singgah di rumahnya di Felda Lepar Hilir 3, sebelum bertolak puang ke kawasan perkelahan itu namun tidak menyangka itu merupakan detik terakhir pertemuan dan takdir telah merubah segalanya-galannya dalam sekelip mata. "Waktu itu mereka ada pelawa saya untuk ikut bersama tetapi terpaksa menolak kerana tidak dapat sertai mereka yang bercadang untuk bermalam. "Tambahan pula suami (Elyi Johari,60) pula bekerja dan ketika mereka bertolak itu, dia tidak ada di rumah," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, pada semalam. Tambahnya, dia teringat permintaan Allahyarham anaknya agar menunggu kepulangan mereka sekeluarga dan tidak menyangka itu menjadi ungkapan terakhir namun reda dengan ketentuan Allah adalah lebih baik mengatasi perancangan manusia. Ujarnya lagi, Azizah yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik juga tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara ketika bertemu kali terakhir. "Seminggu sebelum ini Azizah dan anak-anaknya jarang datang ke rumah. Kalau tidak, boleh dikatakan setiap hari mereka datang, pagi dan petang kerana cucu-cucu sangat suka datang ke rumah untuk bermain di sini,"katanya. Sementara itu menurut kakak ipar mangsa, Rosilawati Kassim sejak hari pertama mengetahui tragedi yang meragut anak menantu serta cucu-cucunya emaknya itu tidak berhenti menanggis. "Apa yang berlaku adalah satu kehilangan besar buat kami sekeluarga, kali terakhir bertemu (arwah adik ipar) dua minggu lalu dan tidak sempat bertemu pada Aidiladha,"ujarnya.    
05 Jul 23
258
Pasar Besar Kedai Payang Baharu Bakal Operasi Tidak lama Lagi
Pasar Besar Kedai Payang Baharu Bakal Operasi Tidak lama Lagi
KUALA TERENGGANU, 5 Julai- Kompleks baharu Pasar Besar Kedai Payang, telah siap sepenuhnya dan dijangka akan memulakan operasi selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.  Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Rosli Latif memaklumkan, pihak kontraktor akan menyerahkan projek pembinaan semula pusat sehenti produk Terengganu itu yang telah bermula sejak lima tahun lalu kepada Kementerian Pembangunan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 19 Julai ini.  "Setakat ini, jumlah peniaga yang akan berpindah ke kompleks baharu belum diperincikan dan kita akan melihat semula mengenai perancangan dan aktiviti peniaga yang beroperasi di kompleks sementara ketika ini, "ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada taklimat pelaksanaan Program Payang Walk dan Operasi Beca Warisan di Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman. Rosli dalam laporan media sebelum ini menyatakan, projek pembinaan Pasar Besar Kedai Payang yang menelan belanja RM69.3 juta itu bakal menempatkan semula 500 peniaga yang kini berada di kompleks sementara yang terletak bersebelahan. Jelas beliau, wajah baharu pusat sehenti yang menjadi destinasi wajib kunjungan pelancong ke bandar raya tersebut turut dilengkapi pelbagai kemudahan seperti penyaman udara, lif, tandas, eskalator dan bilik persalinan bayi. “Sebuah menara jam yang pernah menjadi mercu tanda Pasar Besar Kedai Payang pada awal kewujudannya juga dibina semula bagi membangkitkan nostalgia lama. “Kompleks ini akan mengukuhkan peranan Pasar Besar Kedai Pa¬yang sebagai pusat sehenti bagi kegiatan ekonomi, pelancongan dan kebudayaan Terengganu,” ujarnya. Pasar besar itu yang mula beroperasi pada 31 Ogos 1968 telah dirasmikan oleh Sultan Terengganu ke-16 iaitu Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah yang ketika itu merupakan Yang di-Pertuan Agong keempat. Sejak itu, ia menjadi tarikan utama pelancong untuk membeli produk warisan Terengganu seperti batik, songket, makanan tradisional, tembaga dan kraf tangan. Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang ketika itu diterajui Tan Sri Noh Omar meluluskan pembinaan semula Pasar Besar Kedai Payang yang agak uzur demi keselesaan pengunjung pada tahun 2018.  
05 Jul 23
739
Kerosakan Benteng Pemecah Ombak Dalam Perhatian Kerajaan Negeri
Kerosakan Benteng Pemecah Ombak Dalam Perhatian Kerajaan Negeri
KUALA TERENGGANU, 5 Julai- Runtuhan penghadang ombak berhampiran jambatan angkat atau 'drawbridge' di sini yang belum dibaik pulih sepenuhnya berada dalam perhatian kerajaan negeri, ujar Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman. Bagaimanapun Ariffin berkata, ianya memerlukan masa untuk proses pembaikian memandangkan projek berkonsepkan benteng hakisan pantai memerlukan peruntukan yang agak besar. “Kebimbangan masyarakat terhadap kerosakan benteng pemecah ombak tersebut yang tular di media sosial kerana dikhuatiri membahayakan keselamatan orang ramai termasuk pelancong memang dalam perhatian kita. “Kerajaan sememangnya melihat perkara ini, ia tidaklah terlalu bahaya cuma menjadi tumpuan apabila ianya tular, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) juga telah mengambil tindakan dengan meletakkan garisan kuning di lokasi terbabit tetapi dibuang oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat pelaksanaan Program Payang Walk dan Operasi Beca Warisan di Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT). Turut hadir, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Rosli Latif. Ariffin memaklumkan, menerusi laporan yang dikeluarkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), tidak kurang RM5 juta diperlukan untuk kos baik pulih kerosakan benteng pemecah ombak itu. “Bila jumlah terlalu besar, kita memerlukan masa untuk baiki dan juga kajian yang lebih terperinci oleh pihak konsultan yang dilantik,” ujarnya.  
05 Jul 23
417
Adinda Sultan Mizan Selamat Dimakamkan
Adinda Sultan Mizan Selamat Dimakamkan
KUALA TERENGGANU, 4 Julai- Jenazah Yang Amat Mulia Tengku Norhana Almarhum Sultan Mahmud, 59, selamat dimakamkan di Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah, pada kira-kira jam 7.20 petang ini. Almarhumah merupakan adinda kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, kembali ke rahmatullah pada awal pagi tadi di Kuala Lumpur dan telah dibawa pulang sekitar jam 3.45 petang ke Kuala Terengganu. Jenazah Almarhumah Tengku Norhana dibawa dengan van jenazah dari Balai Islam Istana Syarqiyyah selepas selesai penghormatan terakhir dan tiba di Makam Diraja Masjid Abidin kira-kira 6.13 petang. Sultan Mizan berkenan mencemar duli menziarahi pemakaman diiringi Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan paduka-paduka anakanda serta kerabat DiRaja. Kedua-dua anakanda Sultan Mizan iaitu Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail dan Tengku Setia Mahkota Raja Tengku Muhammad Mua'az turut berkenan mencemar duli membantu istiadat pemakaman. Bacaan talkin diimamkan Mufti Terengganu, Dato' Dr Mohamad Sabri Haron. Sultan Mizan diiringi Sultanah Nur Zahirah berangkat pulang dari Makam DiRaja Masjid Al-Muktafi Billah Shah kira-kira 7.25 petang.  
04 Jul 23
750
Loji Air Baharu Lengkapkan Keperluan di Tiga Daerah
Loji Air Baharu Lengkapkan Keperluan di Tiga Daerah
KUALA NERUS, 4 Julai – Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Berapit yang berkapasiti penuh 120 juta liter sehari (JLH) dijangka dapat memberi manfaat dan melengkapi keperluan di tiga daerah. Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Air Terengganu (SATU) Sdn Bhd, TS Abdul Karim Endut berkata pembinaan LRA itu akan memenuhi keperluan bekalan air terawat di daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan sebahagian Setiu. “Dari sudut kepenggunaan semasa, LRA ini memenuhi keperluan air terawat untuk 160,000 pengguna semasa dan berupaya memenuhi keperluan sehingga 480,000 pengguna di masa hadapan.  “Pembinaan projek LRA Bukit Berapit ini merupakan sebahagian daripada komponen utama projek bekalan air Kuala Terengganu Utara (KTU),” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Loji Rawatan Air bertempat di Bukit Berapit, Kuala Nerus di sini hari ini. Perasmian itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh. Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri telah melakukan pelbagai usaha yang efektif bagi menyelesaikan isu air dengan kaedah yang paling baik. “Kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM249.17 juta bagi Perbelanjaan Bekalan Air menerusi belanjawan 2023. “Perbelanjaan ini merangkumi penaiktarafan infrastruktur dan kemudahan awam bekalan air di Negeri Terengganu secara keseluruhannya. “Penaiktarafan aset bekalan air di dalam skop Projek Kuala Terengganu Utara (KTU) pula menelan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM1.3 billion.  “Sekali gus meletakkan sistem perkhidmatan perbekalan air di Negeri Terengganu pada tahap yang lebih baik dan mapan,” ujarnya.  
04 Jul 23
525
Enam Jenazah Mangsa Kepala Air Disemadikan Dalam Satu Liang Lahad
Enam Jenazah Mangsa Kepala Air Disemadikan Dalam Satu Liang Lahad
KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Enam jenazah mangsa tragedi kepala air Jeram Mawar, akan dibawa balik ke Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Kuantan bagi urusan pengebumian dan akan disemadikan dalam satu liang lahad pada malam ini di Tanah Perkuburan Islam Felda Lepar Hilir 3. Kakak ipar mangsa, Rosilawati Kassim, 49, berkata enam jenazah yang ditemui pada Ahad dan Isnin itu akan dibawa balik dari Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). "Setakat ini kita telah dapat pelepasan dari polis untuk membawa pulang enam jenazah ini yang telah selesai melalui proses pengecaman dan 'post morterm'. "Jenazah dimandikan dan dikapankan di HSNZ kira-kira jam 3 petang dan akan dibawa terus ke Masjid Felda Lepar Hilir 3 untuk disembahyangkan. "Semua persiapan untuk urusan pengebumian jenazah telah siap diatur dan kita hanya tunggu masa sahaja jenazah tiba untuk proses disemadikan,"ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Jabatan Forensik HSNZ, di sini, hari ini. Dalam pada itu Rosilawati mengharapkan agar proses mencari empat lagi anak saudaranya serta tunang anak saudaranya berjalan lancar. Rosilawati merupakan kakak ipar kepada Allahyarham Azizah Eiyi,40 yang merupakan mangsa pertama yang ditemui lemas dalam tragedi kepada air di Jeram Air Putih, Kemaman. Turut ditemukan adalah suami kepada Azizah, Allahyarham Karim Abdullah, 39. LIma lagi mangsa yang turut ditemukan ialah anak pasangan iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11 ; Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6 ; Putri Aryana Umaira Karim, 4 dan Putri Nurerina Natasya Karim, 10. Perkembangan terkini, mayat ketujuh mangsa tragedi kepala air iaitu Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, disahkan ditemui orang awam kira-kira jam 7.45 pagi tadi. Setakat ini, tiga lagi mayat masih belum ditemukan adalah Puteri Alleya Maisarah Karim, 16 ; Putri Nor Fatin Karim, 14 dan Muhammad Fikri Saliman, 24. Terdahulu, 10 individu dengan sembilan daripadanya sekeluarga berasal dari Felda Lepar Hilir 3, datang berkelah di Jeram Mawar pada Sabtu sebelum dihanyutkan arus deras kepala air.    
04 Jul 23
418
Adinda Sultan Mizan Kembali ke Rahmatullah
Adinda Sultan Mizan Kembali ke Rahmatullah
KUALA NERUS, 4 Julai-  Jenazah Yang Amat Mulia Tengku Norhana Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud untuk dimakamkan di Makam Diraja Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini, petang ini. Jenazah Almarhumah tiba dari Kuala Lumpur pada kira-kira 3.45 petang dengan menaiki pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Ketibaan jenazah disambut DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bersama Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta paduka-paduka Anakanda. Jenazah kemudian diiringi ke Istana Syarqiyyah untuk disemayamkan bagi penghormatan terakhir di Balai Islam, sebelum dibawa ke Makam DiRaja Masjid Al-Muktafi Billah Shah dengan van jenazah. Almarhumah Tengku Norhana, 59, mangkat pada jam 4.52 pagi, hari ini di Gleaneagles Hospital, Kuala Lumpur.
04 Jul 23
1335