Artikel "Utama" Terkini
Kerajaan Negeri Ajak Rakyat Sapu Bersih Terengganu
KUALA NERUS, 16 Julai- Kerajaan negeri menasihatkan seluruh rakyat Terengganu supaya menggiatkan usaha menjaga kebersihan rumah dan persekitaran masing-masing bagi mencegah pembiakan nyamuk Aedes.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak berkata, usaha memastikan rumah dan persekitaran bersih adalah tanggungjawab yang perlu dipikul bersama.
"Memang program sebegini dibuat sentiasa kerana ini merupakan antara inisiatif sempena Hari Denggi Asean yang disambut saban tahun.
"Namun, yang wajib bagi kita adalah jaga persekitaran dan rumah kita, itu nasihat saya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Gotong-royong Mega Perangi Aedes Peringkat Negeri Terengganu 2023 di Gong Kijang, di sini hari ini.
Dalam program bertema Terengganu Bersih, Sapu Bersih itu jelasnya, kecaknaan bersama akan membantu objektif mengurangkan kes dan mengelakkan kematian dapat dicapai.
Menurut Ahli Parlimen Kuala Nerus itu, Terengganu merekodkan 130 kes denggi sehingga Jun, dengan peningkatan 11.7 peratus berbanding tahun lalu (111 kes).
"Kalau semua menjaganya, tiada tempat nyamuk membiak.
"Diluar persekitaran, kita ada kontraktor kebersihan yang mana kerajaan negeri membelanjakan lebih RM30 juta setahun untuk mengekalkan kebersihan persekitaran," jelasnya.
Dr. Alias menambah, kempen secara besar-besaran dengan usahasama kerajaan negeri, anak-anak syarikat dan pihak berkuasa tempatan adalah untuk mengingatkan rakyat supaya peka dalam menjaga kebersihan persekitaran kediaman masing-masing.
"Seperkara lagi, jika dapat demam cepatlah ke klinik. Sekarang tiada sebab untuk beralasan tidak mahu ke klinik.
"Kita ada klinik kesihatan, tambahan pula kepada golongan B40 kerajaan negeri telah berikan Kad Sejahtera sebagai suntikan kewangan dan kita ada kemudahan wad percuma kelas ketiga," katanya.
16 Jul 23
516
Terengganu Rancakkan Aktiviti Pelancongan Berasaskan Penyu
KEMAMAN, 16 Julai - Kerajaan negeri melalui Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman komited merancakkan aktiviti sektor pelancongan berasaskan penyu di daerah ini.
Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata usaha itu adalah wajar kerana kegiatan tersebut akan memberi impak yang besar di daerah terbabit.
"Ini akan memberikan tarikan kepada pelancong luar dan juga domestik untuk datang ke Kemaman dengan tujuan melihat penyu.
"Dengan itu industri hiliran sektor pelancongan di daerah ini juga perlu dilibatkan seperti menyediakan bilik penginapan yang baik, tempat makan yang dipantau kebersihannya serta menjaga mutu makanan yang disajikan,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Kempen Penggalakkan 'Terengganu Turtle Tourism' Peringkat Daerah Kemaman Sempena Sambutan Hari Penyu Sedunia Tahun 2023, di Pantai Teluk Mak Nik, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut katanya bersempena dengan sambutan hari penyu sedunia, kerajaan Terengganu bertekad merancakkan aktiviti pelancongan berasaskan pengalaman bersama reptilia itu di negeri ini.
"Justeru dalam mengalakkan aktiviti pelancongan ini sebagai sumber ekonomi kita perlulah menjaga ekosistemnya agar tidak tergugat yang akan mengakibarkan kerugian kepada kita semua.
"Matlamatnya adalah untuk terus melihat sepanjang pantai di negeri Terengganu ini di Kemaman ini akan terus menjadi lokasi paling banyak berlaku pendataran penyu dan terus kekal di masa akan datang,"ujarnya.
16 Jul 23
335
STPM: Anak Peniaga Kuih Tradisional Hadiahkan Keputusan Cemerlang Untuk Ibu Ayah
KUALA TERENGGANU, 14 Julai- Anak pembuat kuih tradisional antara 112 pelajar cemerlang negeri ini yang memperoleh 4A dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 yang diumumkan, semalam.
Bekas pelajar Tingkatan Enam Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman Aqilah Talib, 20, berkata, melihat kegigihan ayahnya Talib Abdul Rahman, 70 yang telah dimamah usia tetapi masih berusaha membantu ibunya Mariam Chik, 60, berniaga kuih ropal dan roti keramat menjadi perangsang kepadanya untuk mengubah nasib keluarga.
“Sudah menjadi rutin harian, saya akan bangun awal sekitar 4 pagi untuk belajar selama sejam kemudian pada pukul 5 pagi sambung pula bantu mak buat kuih untuk ayah hantar ke kedai.
“Selepas itu, saya solat subuh dan bersiap ke sekolah. Walaupun agak penat, namun semua itu berbaloi apabila mendapat keputusan cemerlang hari ini dan ia adalah hadiah untuk ibu dan ayah saya," katanya ketika ditemui pemberita selepas pengumuman keputusan STPM Terengganu 2022 di SMK Sultan Sulaiman, semalam.
Anak bongsu daripada 10 beradik yang memasang impian untuk bergelar peguam itu berkata, dia mengikut nasihat kedua ibu bapanya untuk menyambung pelajaran dan memilih tingkatan enam walaupun memperolehi 4A, 1B dan 2C pada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Aqilah berkata, dia menolak tawaran menyambung pengajian di peringkat diploma dalam jurusan pelancongan di Universiti Teknolagi Mara (UiTM) Dungun kerana enggan menanggung hutang pinjaman dan mendorongnya memilih mengambil STPM.
"Walaupun ramai yang memberitahu STPM susah termasuk kakak sendiri, namun saya tetap dengan keputusan untuk menyambung pelajaran di Tingkatan Enam kerana tidak mahu menyusahkan kedua orang tua.
"Selepas ini, kalau ada rezeki saya mahu menyambung pengajian dalam jurusan undang-undang di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)," ujarnya.
13 Jul 23
796
Isu Tanah Tiga Lot : Fakta Sebenar Sengaja Diseleweng
KUALA TERENGGANU, 13 Julai - Fakta sebenar mengenai tanah tiga lot milik Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) sengaja diseleweng pihak tertentu bagi meraih keuntungan politik.
Ketua Pegawai Eksekutif PMINT, Dato' Wan Adnan Wan Derahman berkata, tidak berlaku sebarang isu salah guna kuasa atau rasuah sebagaimana didakwa pihak tertentu.
Ini kerana katanya, pada awalnya anak syarikat kerajaan negeri itu membeli satu lot tanah berkeluasan 1.887 Ha pada tahun 2005 dengan nilaian tanah, upah juruukur dan bayaran lain sebanyak RM930,000 di Pekan Kuala Berang.
“Lot berkenaan telah dipecahkan kepada 31 lot untuk pembangunan 27 lot kediaman, tiga lot kedai atau pejabat dan 1 pencawang.
“Setelah pembangunan perumahan siap dan kesemua lot berkenaan telah dijual, PMINT mula merancang untuk membangunkan perkedaian di atas tiga lot tanah yang masih berbaki.
“Namun, setelah menjalankan Kajian Kemungkinan (Feasibility Study), didapati projek itu tidak ‘viable’ disebabkan permintaan untuk lot kedai tidak mendapat sambutan pada ketika itu,” jelasnya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.
Kenyataan rasmi PMINT.
Mengulas lanjut, Wan Adnan berkata susulan kajian kemungkinan itu, PMINT bercadang untuk membuat pembangunan berkonsepkan gudang untuk disewa kepada usahawan-usahawan tempatan.
Namun ujarnya, kajian mendapati usaha itu tidak mampu dilaksanakan sehinggalah pada 18 November 2019, Mesyuarat Lembaga Pengarah PMINT Kali ke 4/2019 bersetuju untuk menjual tiga lot tanah berkenaan bagi mengelakkan ia terbiar dan tidak mendatangkan hasil disamping terpaksa membayar cukai tanah yang tidak berpotensi dibangunkan.
“Pengurusan PMINT telah mencadangkan untuk menjual tiga lot tanah (Lot 50136, 50137, dan 50138) tersebut dengan kaedah promosi jualan melalui iklan di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Terengganu, media sosial serta papan tanda jualan," jelasnya.
13 Jul 23
3349
Pelbagai Usaha Tingkat Ekonomi Terengganu
KUALA TERENGGANU, 13 Julai – Pelbagai usaha dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi Terengganu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri berkata beberapa potensi sedang dipertimbangkan supaya mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat negeri ini.
Katanya, pelbagai perancangan diperolehi yang bakal dilaksanakan melalui perbincangan bersama Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
“Perbincangan tersebut diadakan di Pejabat Menteri, Menara MITI di sini," katanya dalam kenyataan di laman Facebook Rasmi miliknya pada hari ini.
Tengku Zafrul melahirkan ucapan terima kasih atas kunjungan hormat Menteri Besar Terengganu ke Pejabat MITI.
“Kami telah bertukar pandangan mengenai peranan kerajaan negeri untuk membawa matlamat pembangunan ekonomi di Terengganu agar manfaatnya dapat dirasai oleh rakyat.
“Kami juga turut membincangkan halatuju pembangunan ekonomi untuk meningkatkan peluang pekerjaan dan menghasilkan pendapatan baharu kepada Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman," ujarnya.
Tengku Zafrul sempat berseloroh, waktu datang ke Terengganu tempoh hari, Menteri Besar belanja makan nasi dagang ikan aya, minta maaf, kat MITI tak ada menu istimewa.
13 Jul 23
378
Agenda Patuh Syariah Terengganu Berteraskan Pendidikan
KUALA TERENGGANU, 13 Julai – Terengganu melaksanakan agenda pemerkasaan syariah Islam dengan berteraskan ilmu pendidikan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata semasa program ‘Townhall Bersama Mahasiswa Anak Terengganu’, saya telah ditanyakan beberapa soalan mengenai garis panduan patuh syariah.
Katanya, iaitu dari sudut pencapaian untuk sukan, pelancongan, kebudayaan dan hiburan di Terengganu.
“Apabila kita melaksanakan benda baru dalam masyarakat kita maka tentunya ada cabaran terutamanya dari sudut perubahan minda.
“Yang kedua ialah kefahaman masyarakat dalam kes melibatkan panduan pemakaian semasa serta cabaran kepada ahli-ahli sukan.
“Di samping, cabaran memahamkan industri sukan itu sendiri termasuklah regulator, persatuan sukan dan lain-lain supaya faham,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook Rasmi miliknya pada hari ini.
Tambah Ahmad Samsuri, sebelum melaksanakan sesuatu perkara hendaklah kita menilai terlebih dahulu dari sudut kefahaman masyarakat, kefahaman industri sukan, kefahaman pengamal industri hiburan dan sebagainya.
“Segala respon yang diterima hendaklah diadaptasi dan dilakukan penambah baikan selepas itu,” jelasnya.
Beliau berkata, apabila kita diberikan amanah sebagai khalifah untuk menegakkan agama dan mentadbir urus dunia ini dengannya (agama).
“Maka perjalanan kita sebagai sebuah kerajaan tidak dapat tidak, melalui proses yang akan ditanya oleh Allah SWT.
“Allah SWT dah sebut bahawa kita sebagai khalifah akan ditanya tentang apa jua yang kita buat,” jelasnya.
13 Jul 23
164
PRN: Polis Kenal Pasti 59 Kawasan Panas Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 13 Julai - Sebanyak 59 lokasi panas atau hotspot telah dikenal pasti polis kontinjen Negeri Terengganu sepanjang tempoh berlangsungnya Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata ia melibatkan 13 kawasan di Kuala Terengganu, Dungun (11), Setiu (10), Kemaman (sembilan), Hulu Terengganu (lapan), Besut (empat) dan Marang (empat).
Sehubungan itu, beliau berkata, sebagai langkah persediaan, seramai 4,468 orang pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di seluruh negeri ini bagi memastikan proses pilihan raya itu berjalan lancar.
“Isu-isu yang sering berlaku berkaitan merosakkan bendera parti, cuba untuk mengawal kawasan tertentu agar membenarkan pihak lain memacak bendera dan mencabut bendera.
“Berdasarkan pemerhatian pihak PDRM, isu kecil yang sering menjadi punca perbalahan ini, boleh dikurangkan atau dihindarkan pada PRN kali ini,” katanya di sidang media selepas mengerusikan Taklimat PRN di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Terengganu, di sini hari ini.
Tambahnya lagi, kesemua pegawai dan anggota pelbagai pangkat itu termasuk bantuan dari negeri berhampiran akan ditugaskan bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman semasa tarikh penamaan calon, tempoh berkempen dan hari pengundian.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh mengundi bagi PRN di enam buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu adalah pada 12 Ogos dengan tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 29 Julai.
13 Jul 23
534
STPM: Terengganu Catat PNGK 3.04 Atasi PNGK Nasional
KUALA TERENGGANU, 13 Julai- Terengganu mencatat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.04 mengatasi PNGK nasional iaitu 2.82 dengan perbezaan 0.22 dalam Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022.
Timbalan Pengarah (Sektor Pembelajaran) Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu Kasman Embong berkata, 2,178 calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan STPM 2022 berbanding tahun sebelumnya iaitu 2,142 calon.
Menurutnya, pencapaian semua A (PNGK 4.00) dalam mata pelajaran yang diambil bagi 2022 ialah 112 calon berbanding 2021 iaitu 64 calon. Ia adalah peningkatan 2.18 peratus.
Katanya, prestasi PNGK sekolah di Terengganu juga menunjukkan peningkatan yang mana pada 2021 ia mencatatkan 3.03, dan 3.04 bagi 2022.
"Manakala bagi keputusan semua A bagi 2021, 64 calon memperoleh semua A dan pada 2022, ia meningkat kepada 112 calon.
"Sebanyak 29 daripada 46 buah sekolah mencapai PNGK 3.00 ke atas manakala pada tahun sebelumnya, 27 buah sekolah memperoleh keputusan yang sama," katanya ketika Pengumuman Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia STPM 2022 Negeri Terengganu di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman di sini, hari ini.
Menurutnya, 38 daripada 46 sekolah di negeri ini mengatasi PNGK nasional (2.82) manakala 43 daripada 46 sekolah mendapat keputusan lulus penuh 100 peratus dalam peperiksaan STPM 2022.
Katanya, bagi keputusan tahun ini, 1,203 iaitu 55.21 peratus calon memperoleh PNGK 3.00 ke atas berbanding 2021 iaitu 1,187 iaitu 56.60 peratus calon yang memperoleh keputusan sama.
Tambah beliau, Sekolah Menengah Kebangsaan Penarek, Setiu mencatat PNGK terbaik iaitu 3.43 dan 100 peratus terbaik pencapaian semua prinsipal (5P/4P).
13 Jul 23
732
Ahmad Said Akui Kerajaan Terengganu Tunai Janji
KUALA TERENGGANU, 12 Julai - Mantan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Said mengakui kerajaan Terengganu di bawah pemerintahan PAS berjaya melunaskan manifesto PRU14.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu itu berkata, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri sudah mengagihkan banyak tanah kepada rakyat negeri itu.
“Saya akui (manifesto) yang berjaya (adalah) bagi tanah, sebab bagi tanah tak keluar modal,” ujar beliau dalam program Wacana Sinar yang disiarkan secara langsung, melalui platform media sosial semalam.
Dalam program yang sama, memetik sumber Jabatan Penerangan PAS Negeri Terengganu (JPENT), Ahmad Said turut akur usaha parti itu melaksanakan beberapa perkara lain.
Namun, beliau mempersoalkan janji PAS untuk menyedikan 20,000 peluang pekerjaan dan membina 20,000 unit rumah tetapi tiada satu pun dibina untuk rakyat sepanjang satu penggal.
Mengenai isu peluang pekerjaan, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman sudah memberikan penjelasan konkrit pada tahun lalu.
"Berdasarkan data Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) yang dikongsikan daripada Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan PERKESO, sebanyak 10,122 penempatan pekerjaan telah dibuat di negeri ini pada 2019.
"Kemudian, pada 2020 sekitar 3,487 kerja kosong diwujudkan dan 8,368 sehingga Oktober 2021, menjadikan jumlahnya sebanyak 21,977 pekerjaan," jelas Nurkhuzaini dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, menjawab isu pembinaan rumah, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim mengajak Ahmad Said untuk melihat sendiri projek RMM Tempinis Sejahtera yang telah dibina dan disiapkan kerajaan negeri.
“Ahmad Said jemput datang ke Jabi ni, rumah 100 buah dah siap di Tempinis, rumah di Benting Lintang pun hampir siap, marilah ke Jabi ni,” ujarnya.
12 Jul 23
605
GLC Terengganu Terima Pengiktirafan
KUALA TERENGGANU, 12 Julai – Anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Inc menerima pengiktirafan daripada Kerajaan Persekutuan sebagai ‘Majikan Prihatin dengan Pengambilan 100 peratus Warga Tempatan’.
Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata pengiktirafan tersebut disampaikan oleh Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar.
Katanya, ia bersempena hari kedua Karnival Kerjaya MYFutureJobs “Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Negeri Terengganu 2023”.
“Dalam menyokong agenda pembangunan modal insan negeri, Terengganu Inc percaya memperkasakan tenaga kerja tempatan dapat menyumbang kepada kemakmuran dan pembangunan komuniti di negeri ini.
“Terengganu Inc sebagai syarikat induk pelaburan strategik kerajaan negeri akan terus menggembleng tenaga dan sumber bersama-sama dengan sektor awam dan swasta," katanya dalam kenyataan media baru-baru ini.
Tambah Burhanuddin, usaha ini bertujuan bagi membasmi kemiskinan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi pekerjaan yang stabil dan pendapatan tetap selaras dengan slogan kami ‘Memanfaatkan Pelaburan Untuk Rakyat".
Mengulas lanjut mengenai Karnival Kesejahteraan Pekerjaan Negeri Terengganu, gerai pameran Kumpulan Terengganu Inc telah menerima ribuan pengunjung sepanjang tiga hari Karnival berlangsung.
"Karnival yang bermula pada 6 hingga 8 Julai itu merupakan anjuran Kerajaan Negeri Terengganu dengan kerjasama Kementerian Sumber Manusia (KSM) di KTCC Mall, Kuala Terengganu di sini baru-baru ini.
“Dalam majlis penutup, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman turut melawat booth Terengganu Inc di sini,” ujarnya.
12 Jul 23
786