Artikel "Utama" Terkini
PRK Kuala Terengganu Diadakan Serentak PRN
KUALA TERENGGANU, 18 Julai- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu (P036) akan diadakan pada 12 Ogos, serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi enam negeri iaitu Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, Dewan Banquet, Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan dijadikan sebagai pusat penamaan Calon (PPC) bagi PRK, berkongsi premis dengan DUN N15 Ladang.
Manakala, PPC bagi DUN N13 Wakaf Mempelam, N14 Bandar dan N16 Batu Buruk kekal di lokasi yang telah ditetapkan sebelum ini.
"Pusat penjumlahan rasmi undi (PPRU) bagi keempat-empat DUN berkenaan dan Parlimen Kuala Terengganu pula adalah berpusat di Menara MBKT," katanya pada sidang media di ibu pejabat SPR, hari ini.
Menurut Abdul Ghani, sebanyak RM465,000 diperlukan bagi melaksanakan PRK tersebut yang membabitkan 123,575 pemilih.
Terdahulu, calon PAS, Ahmad Amzad memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dengan memperoleh majoriti 40,907 undi selepas menewaskan tiga pencabar lain termasuk pihak pempetisyen, iaitu calon Barisan Nasional (BN) Datuk Mohd Zubir Embong.
Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu, diketuai Hakim, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membatalkan kemenangan Datuk Ahmad Amzad Hashim dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setelah pihak pempetisyen membuktikan wujud unsur rasuah dalam kempen PRU-15.
Bagaimanapun, Ahmad Amzad tidak didakwa atas kesalahan rasuah dan membolehkan beliau kembali bertanding dalam PRK.
Pada 8 Julai, PAS memutuskan tidak akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan, membolehkan PRK diadakan segera.
18 Jul 23
351
Kenapa Perlu Tangkap Sanusi Pukul 3 Pagi?
MARANG, 18 Julai – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempersoalkan kewajaran Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor ditangkap pada jam 3 pagi.
Ahmad Samsuri berkata, sedangkan Menteri Besar Kedah tersebut telah ditetapkan hadir ke Mahkamah pada jam 9 pagi.
Menurutnya, tindakan sedemikian tidak perlu dilakukan kerana beliau bukan pelarian yang mahu lari ke mana-mana.
“Kami para pimpinan tidak akan lari, jadi kenapa perlu ditahan dan dibawa pada jam 3 pagi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu bertempat di Tapak SMIYT Marang, Kampung Tok Muchong di sini hari ini.
Mengulas mengenai sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional (PN) susulan isu itu, Ahmad Samsuri berkata tindakan tersebut tidak akan menjejaskan sokongan rakyat.
Apabila ditanya mengenai pelbagai halangan dan sekatan yang dikenakan terhadap PN terutama dari sudut media sosial.
Beliau menjawab itu tekanan dan aturan biasa yang dilakukan oleh mereka.
"Insya-Allah, kita masih boleh mengatasinya dan akan bangkit sepenuhnya," ujarnya.
18 Jul 23
935
Rakyat Puji Kerajaan Negeri Perbanyak Peluang Pekerjaan
KUALA TERENGGANU, 18 Julai – Rakyat Terengganu menyambut baik usaha kerajaan negeri dalam membuka lebih banyak peluang pekerjaan di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata pelbagai usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan dalam membantu rakyat mencari pekerjaan.
Katanya, kerajaan negeri juga akan terus memberikan fokus utama untuk menurunkan kadar pengangguran.
"Program pada hari ini menghimpunkan sebanyak 77 Syarikat yang mengambil bahagian termasuk beberapa anak syarikat Terengganu (GLC) seperti Terengganu Incorporated, Kolej Yayasan Islam Terengganu dan banyak lagi.
“Terima kasih kepada syarikat-syarikat yang mengambil bahagian dalam memberi peluang pekerjaan kepada anak-anak Terengganu," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Walkabout bagi Program Karnival Kerjaya Myfuturejobs Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat Negeri Terengganu 2023 bertempat di Aras 2 KTCC Mall, Kuala Terengganu baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Perkeso Negeri Terengganu, Farihah Che Husin.
Tambah Nurkhuzaini, karnival ini bukan sahaja menjadi platform menemukan para majikan dan pencari kerja menerusi temu duga terbuka, malah pihak Perkeso menyediakan perkhidmatan pekerjaan termasuklah kaunseling kerjaya.
Di samping, memberi bantuan penyediaan resume, profil pencari kerja dan kursus asas komunikasi yang bertujuan untuk meningkatkan keboleh pekerjaan dan keboleh pasaran pencari kerja.
“Program yang telah berlangsung selama tiga hari bermula 6 hingga 8 Julai 2023 menerima sambutan menggalakkan oleh pengunjung di sini,” ujarnya.
18 Jul 23
156
Pemimpin Bertukar, Projek Dibatal, Rakyat Merana
KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Kerajaan Terengganu di bawah pimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berjaya menamatkan budaya pembatalan projek yang dibuat oleh kerajaan terdahulu.
Naib Presiden PAS itu berkata, langkah itu dijayakan beliau bagi mengelakkan rakyat di bawah terus merana akibat pertikaian politik yang tiada kesudahan.
“Pada Mei 2018, malam sebelum mengangkat sumpah saya telah ditanyakan oleh wartawan tentang apa yang saya nak buat dan pendekatan yang ingin dilaksanakan.
“Saya tekankan dua perkara iaitu Budaya Politik Matang dan Sejahtera serta Politik Kasih Sayang. Ia memberi gambaran bahawa segala program, projek dan inisiatif yang dibuat kerajaan sebelum ini, mana yang elok kita perbaiki. Mana yang buruk kita tamatkan dan tidak mencari kesalahan orang lain,” kata beliau di Facebook rasminya hari ini.
Menurut beliau, di era pentadbiran sebelum ini, jika seorang pemimpin bertukar, inisiatif atau projek tertentu akan dihentikan.
Katanya, apabila perkara itu berlaku, maka projek dan program yang dibuat oleh orang lain tidak ada penerusan dan akan menjadi gajah putih.
“Naik orang lain jadi Menteri Besar walaupun dari parti yang sama, (projek) tidak diteruskan kerana dia kata itu legasi orang lain, bukan dia punya. Dia nak ada yang sendiri.
“Politik sebegini berlaku di peringkat atas, rakyat di bawah semakin tertekan, perbalahan menebal. Maka politik jadi alat untuk berseteru dalam masyarakat.
“Maka kita menekankan Budaya Politik Matang dan Sejahtera. Sebab itu kita betulkan projek-program bermasalah, menyelesaikan projek terbengkalai dan memulihkan projek yang rosak teruk seperti Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang runtuh dan pengoperasian Hotel Paya Bunga,” tambahnya.
17 Jul 23
1601
Terengganu Belanja RM3.95 Bilion Pembangunan Rakyat, Pulih Projek 'Sakit'
KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Sebanyak RM3.95 bilion telah dibelanjakan dan diluluskan untuk pembangunan di Terengganu sejak tahun 2018, sekaligus menepis dakwaan bahawa tiada pembangunan yang dilaksanakan sepanjang Parti PAS mentadbir negeri berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr. Alias Razak menegaskan, sepanjang lima tahun pentadbiran pelbagai pembangunan telah dilaksanakan.
"Pertama kena faham, pembangunan itu tak semestinya 'mega structure' (bangunan besar). Apa pun saiz pembangunan yang dibuat, yang penting ialah berorientasikan rakyat dan untuk memenuhi keperluan penduduk.
"Untuk makluman, daripada 15,681 projek dirancang sepanjang empat tahun pentadbiran, sebanyak 14,934 projek disiapkan bersamaan 95.2 peratus pelaksanaan.
"Secara khususnya pada tahun 2018, sebanyak 4,266 projek dirancang dan berjaya menyiapkan 4,094 projek. Tahun 2019 (rancang 5,094 projek, siap 4,858 projek). Manakala, pada 2020 (rancang 4,426 projek, siap 4,294 projek) dan 2021 (rancang 1,895 projek, siap 1,688 projek)," jelasnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.
Tambah Dr. Alias, sebanyak 15 projek pembinaan rumah mampu milik (RMM), 3,165 unit RMM telah siap dibina dan diagihkan. Manakala, 12,660 unit rumah lagi sedang dalam pembinaan.
Selain itu menurutnya, banyak projek infrastruktur melibatkan pengairan dan saliran telah digerakkan oleh kerajaan negeri dengan bantuan persekutuan antaranya pembinaan jambatan, tebatan banjir, kawalan hakisan pantai dan pemuliharaan muara.
"Kerajaan Negeri juga terpaksa berbelanja untuk memulihkan beberapa projek tinggalan kerajaan terdahulu antaranya Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Hotel Paya Bunga, jambatan dan hotel di Pulau Poh serta penstrukturan semula beberapa anak-anak syarikat negeri (GLC).
"Pembangunan yang tidak semestinya mencakar langit, tapi pembangunan yang menjejak bumi," katanya.
17 Jul 23
283
Hospital KMI Keenam Dibina di Kemaman
KEMAMAN, 17 Julai - Syarikat berkaitan kerajaan negeri, Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare atau KMI) bahagian penjagaan kesihatan TDM Berhad (TDM) akan membina hospital keenam milik syarikat itu di daerah ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata penambahan sebuah lagi hospital swasta bakal menggalakkan lebih banyak perkembangan positif serta meningkatkan kepelbagaian pilihan perkhidmatan kesihatan.
Katanya, selaras dengan usaha Kerajaan Negeri Terengganu dalam memastikan penyediaan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi dan mencukupi di negeri ini.
"KMI Healthcare dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) sebelum ini telah menandatangani Perjanjian Jual Beli serentak dengan acara itu untuk tanah seluas 5.4 ekar.
"Tanah tersebut terletak di Kampung Jaya, Mukim Chukai, dengan kos RM14.1 juta bagi pembangunan hospital pakar itu.
“Hospital KMI bukan sahaja mampu memenuhi permintaan dan meningkatkan pilihan perkhidmatan perubatan, malah mampu menjadikan Terengganu sebagai hab perubatan di rantau ini," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah KMI Chukai Medical Centre bertempat di Tapak KMI Chukai Medical Centre di sini semalam.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pengerusi TDM, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar.
Tengku Seri Bijaya Raja berkata, KMI Healthcare telah meletakkan dirinya sebagai penyedia penjagaan kesihatan pilihan yang dipercayai terutamanya di jajaran pantai timur.
"Fasa pertama apabila hospital ini dibuka dijangka membuka lebih 150 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang kepada mereka yang berkelayakan.
"Keunikan yang terdapat di keenam KMI ini adalah setiap pesakit mempunyai satu bilik dengan fasiliti yang lengkap.
“Inisiatif ini bagi memberikan keselesaan dan privasi yang lebih kepada pesakit serta memudahkan pesakit melakukan ibadah dengan lebih tenang dan selesa,” ujarnya.
Di samping ujar beliau, pegawai agama juga tersedia di setiap KMI bagi membantu pesakit dari sudut kerohanian, pertanyaan persoalan agama dan sebagainya.
17 Jul 23
2064
Wisma Darul Iman Diiktiraf di Peringkat Nasional
KUALA TERENGGANU, 17 Julai – Wisma Darul Iman diiktiraf di peringkat nasional apabila menerima anugerah 'Special Mention Award' bagi kategori ’10 Years & Above' (Specialised Category) baru-baru ini.
Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, anugerah itu disampaikan oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kepada kerajaan Terengganu.
Katanya, anugerah itu diberikan dalam majlis ‘The Edge Malaysia Best Managed & Sustainable Property Awards 2023 di Hotel Hilton, Kuala Lumpur pada 4 Julai lepas.
"Sebanyak 39 projek hartanah seluruh negara telah disenarai pendek di peringkat awal dan hanya 30 projek yang diberikan pengiktirafan dalam majlis anugerah ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Dan Penyampaian Anugerah Cemerlang (APC) Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman (WDI) 2023 bertempat di Dewan Besar WDI di sini hari ini.
Tambah Tengku Seri Bijaya Raja mengenai program itu, sebanyak 19 orang penerima APC WDI yang terdiri daripada pelbagai jabatan, bahagian, unit dalam Wisma Darul Iman.
“Penerima-penerima ini akan menerima insentif kecemerlangan sebanyak RM500 berserta sijil penghargaan.
“Sumbangan dan komitmen ke arah kecemerlangan ini serta usaha keras di dalam tugas yang tuan puan laksananakan telah diterjemahkan dalam APC bulanan bagi warga kerja WDI.
“Penganugerahan pekerja cemerlang ini sebagai penyuntik semangat dan pencetus azam untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang.
“Khususnya dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan,” ujarnya.
17 Jul 23
566
Ramai Terkejut Bil Hospital Percuma
BESUT, 17 Julai - Tular di media sosial satu video daripada TikTok Ameerah Kawasan Besut berkaitan bil pesakit wad kelas 3 hospital kerajaan yang ditanggung kerajaan negeri.
Video itu mendapat reaksi positif daripada kalangan rakyat Terengganu hingga meraih 906,500 ribu tontonan, 46,500 tanda suka dan 4,995 perkongsian setakat semalam.
Menurut perkongsian itu, seorang individu terkejut selepas dimaklumkan pihak hospital bahawa kos rawatan bersalin isterinya adalah percuma dan ia ditanggung kerajaan Terengganu.
Menerusi pendedahan tersebut, rata-rata pengguna media sosial juga berkongsi pengalaman sama dan meluahkan keterujaan dengan keistimewaan yang dinikmati oleh rakyat Negeri Terengganu sejak pelaksanaan manifesto pada Julai 2021.
Pengguna Tiktok yang bernama Ejiey berkata dia terharu dan bersyukur kerana ibunya dapat menikmati manfaat dan rawatan percuma.
"Mak saya, bulan lepas 'operate' kaki, seminggu dalam wad. Tiba masa nak keluar bayar bil, diorang cakap kerajaan negeri tanggung, alhamdulillah," jelasnya pengguna TikTok di ruangan komen video terbabit semalam.
Sementara, seorang pengguna TikTok, Nurfuzaemy turut meninggalkan komen menyatakan rakyat Terengganu beruntung berada di bawah pemerintahan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar.
"Untung la orang Terengganu. Kekalkan Menteri Besar sekarang. Kalau ubah umpama menolak tuah di depan mata," ujarnya.
Dalam perkembangan sama, keistimewaan yang dirasai oleh rakyat Terengganu turut meraih perhatian rakyat luar Terengganu,
"Terbaiklah kerajaan Terengganu, saya rakyat Sabah 'respect'. Tahniah anda ada pemimpin yang baik," katanya.
17 Jul 23
1183
Setiu Wetlands Bakal Jadi Produk Pelancongan Terkenal
SETIU, 16 Julai – Setiu Wetlands bakal menjadi produk Pelancongan terkenal di negeri ini dengan pelbagai pengisian yang menggambarkan tradisi budaya dan gaya hidup tradisional.
Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata Setiu Wetlands adalah tempat menarik bagi mereka yang ingin merasai kehidupan yang tenang.
Katanya, keindahan alam, keanekaragaman ekosistem, kehidupan desa tradisional dan warisan budaya yang kaya menjadikan ia sebagai destinasi pelancongan menarik.
“Terutamanya bagi mereka yang ingin mencari pengalaman yang berbeza dan dekat dengan alam semulajadi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Perasmian Penutup Program Mini Alami Budaya Setiu Wetlands 2023 bertempat di Boardwalk Setiu,Kampung Pengkalan Gelap Setiu, Terengganu di sini kelmarin.
Turut hadir, Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu, Tengku Mohd Ariffin Tengku Dato’ A Rahman.
Mohd Ariffin berkata program yang berlangsung selama dua hari bermula 14 dan 15 Julai itu menerima sambutan meriah oleh para pengunjung dan komuniti setempat di sini.
“Pada petang tadi telah berlangsung beberapa sukaneka bersama komuniti seperti gasing kecut, wau gasing, wau kepis dan pelbagai lagi.
“Tujuan aktiviti tersebut diadakan bagi mempamerkan budaya-budaya tradisional yang terdapat di negeri ini supaya sentiasa segar dalam ingatan komuniti setempat,” katanya.
Sementara itu, keistimewaan program pada kali ini adalah pihak penganjur dapat mengumpulkan sebanyak 10 Mahaguru Persilatan daerah Setiu.
“Sebanyak 40 Mahaguru Pesilatan yang terdapat di daerah ini namun hanya 10 sahaja yang dapat kami himpunkan untuk membuat persembahan pada malam ini,” ujarnya.
16 Jul 23
345
Wau Bulan Gergasi Zahir Semangat 'Teguh Pertahan'
MARANG, 16 Julai - Pembinaan replika wau bulan gergasi yang berukuran 21 meter lebar dan 24 meter tinggi mengambarkan semangat rakyat khususnya golongan anak muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong untuk mempertahankan kerajaan negeri di bawah pentadbiran PAS.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata beliau sendiri secara peribadi tersentuh dengan kesungguhan masyarakat yang berusaha menyiapkan replika itu dalam masa dua minggu.
"Sayu hati melihat kesungguhan kesemua mereka yang terlibat khususnya anak muda dengan duit dan tenaga mereka sendiri bersungguh-sungguh menyiapkan wau yang sangat besar mengambarkan mahu PAS terus memerintah Terengganu," ujarnya.
Beliau berkata demikian melalui video ucapan pendek di facebook rasminya, di sini, kelmarin.
Dalam pada itu beliau yang juga merupakan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong berkata, besar harapannya agar semangat yang ditunjukkan oleh masyarakat serta anak muda berkenaan akan mengamit kepulangan anak-anak perantau untuk turut bersemangat menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).
"Ambil semangat orang kampung untuk anak-anak muda dan pengundi di perantauan agar pulang menunaikan tanggungjawab, balik bertemu keluarga juga bertemu dengan anak-anak muda yang ada di kampung untuk turut bersama membangkitkan semangat 'raya' yang hanya berlangsung lima tahun sekali," ujarnya.
Katanya, dengan adanya replika wau gergasi berkenaan tempat tersebut akan menjadi tumpuan serta dikunjungi ramai untuk diabadikan kenangan dengan bergambar sepanjang PRN ini.
16 Jul 23
346