Artikel "Utama" Terkini
Amzad Yakin Menang Majoriti Lebih Besar
MARANG, 28 Julai - Setelah kembali diumumkan sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Ahmad Amzad yakin mampu mencapai kemenangan dengan majoriti yang lebih besar berbanding sebelum ini 40,907 undi.
Beliau yang merupakan Mantan Timbalan Menteri Sains, Tenaga dan Inovasi Malaysia itu berkata momentum gelombang rakyat tidak mampu dihalang dengan apa cara sekalipun.
''Saya rasa majoriti rakyat Kuala Terengganu sudah tidak sabar lagi untuk memberikan jawapan yang terang benderang mengenai sokongan (kepada Perikatan Nasional) sebagaimana Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.
''Dengan menatijahkan majoriti yang cukup besar dan kita menjangkakan kemenangan yang lebih besar lagi kali ini,''ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas Majlis Pengisytiharan Calon PN/PAS Terengganu Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) dan PRK Kuala Terengganu, di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, malam tadi.
Menjawab dakwaan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menyentuh mengenai pembatalan kemenangannya, beliau berkata keputusan penghakiman jelas menyebut Yang Arif tidak menamakan sesiapa terlibat dalam dakwaan rasuah.
''Saya rasa Rafizi malas membaca sepatutnya dia baca tentang kandungan keputusan penghakiman itu ada perkataan oleh hakim bahawa tiada dinamakan mana-mana pihak berhubung isu rasuah.
''Jadi bukan PN, bukan saya dan bukan mana-mana pihak, jadi dia malas membaca (harap) tolong rajin membaca,'' ujarnya.
Dalam pada itu ujarnya bagi mengerakkan kempen bagi mendekati pengundi, pihaknya tiada sebarang masalah malah tidak kekok bertemu rakyat kerana itu merupakan rutin harian yang sudah sebati dengan beliau.
''Setiap hari bertemu rakyat cuma dalam rangka kempen saya oleh kerana berlakunya petisyen sebagaimana baru-baru ini sudah tentu semua pihak perlu mengambil langkah berhati-hati.
''Kerana setiap kali berlaku PRK seperti ini ia membabitkan kos yang besar sudah tentu terpaksa ditanggung oleh kerajaan dan menyusahkan rakyat sebenarnya, jadi sebagai calon kita akan berhati-hati,''ujarnya lagi.
28 Jul 23
230
564 Rumah Bakal Dibina di Alor Limbat
MARANG, 28 Julai- Sebanyak 564 unit rumah mampu milik (RMM) dan bercampur akan dibina di Kampung Alor Limbat, di sini menjadikannya projek perumahan terbesar dalam daerah Marang.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek yang dimajukan secara usaha sama di antara KOPERAT sebagai pemaju dan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) selaku pemilik tanah itu dibangunkan di atas tanah yang berkeluasan 49 ekar.
"Ini adalah satu komitmen kerajaan negeri untuk kenyediakan RMM dan kediaman kepada rakyat.
"Ini juga salah satu cara mengerakkkan ekonomi di kawasan yang tak jauh dengan stesen ECRL selain pembangunan ECRL stesen itu sendiri dan kawasan sekitar betul-betul yang 'attach' dengan stesen itu sendiri.
"Kita berharap pembangunan projek ini akan menyumbang pembangunan sosioekonomi pendiduk setempat dan berharap penduduk kawasan ini dapat mengambil manfaat selain terlibat dalam aktiviti ekonomi yang berlangsung," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pecah Tanah Pembangunan RMM dan Bercampur di tapak projek, di sini semalam.
Jelasnya, projek berkenaan merangkumi pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) Jenis A (119 unit) dan RMM Jenis B (175 unit).
Selain itu terdapat juga Rumah Teres Jenis C (147 unit), Rumah Berkembar 1 Tingkat (112 unit) dan juga Rumah Kedal Dua Tingkat (12 unit).
Tambahnya, perumahan tersebut akan dibangunkan di bersama kemudahan infrastruktur termasuk tangki air menara, loji rawatan kumbahan, pencawang TNB, taman permainan dan pembesaran jalan masuk.
Projek perumahan itu akan dimulakan pada September ini dan dijangka siap sepenuhnya pada 2027.
28 Jul 23
836
Ahmad Samsuri Pertahan Kerusi Rhu Rendang
MARANG, 28 Julai – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bakal mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang pada Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri, 12 Ogos ini.
Seramai lapan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) juga akan mempertahankan kerusi di DUN masing-masing.
Manakala, dua lagi EXCO kerajaan negeri, Dato’ Dr Alias Razak (Bukit Tunggal) dan Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (Ladang) tidak mempertahankan kerusi berkenaan.
PAS juga mengekalkan Datuk Ahmad Amzad Hashim yang akan bertanding di Parlimen Kuala Terengganu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) nanti.
Pengumuman itu disampaikan oleh Pesuruhjaya Parti Islam Se-malaysia (PAS), Senator Dato’ Husain Awang pada Majlis Pengumuman calon Perikatan Nasional (PN) Terengganu di Dewan Rusila, Marang di sini semalam.
Turut hadir pada majlis itu, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Pada Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri ke-14, Ahmad Samsuri menang kerusi di DUN Rhu Rendang dengan jumlah majoriti sebanyak 6,028.
Beliau menewaskan pesaingnya ketika itu, Nik Dir Nik Wan Ku (Barisan Nasional-UMNO) dan Zarawi Sulong (Pakatan Harapan-PH).
28 Jul 23
280
Hanya PAS Tampilkan Calon Wanita di Terengganu
MARANG, 27 Julai - Hanya PAS yang menampilkan calon wanita bagi bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu pada 12 Ogos nanti.
Perkara tersebut disahkan selepas semua parti mengumumkan calon masing-masing termasuk Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) yang menyaksikan semua calon lelaki.
Sebentar tadi, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Hussain Awang mengisytiharkan Zuraida Md Noor, 43, sebagai calon PAS di DUN Ladang di hadapan 30 ribu penyokong di Dewan Tok Guru, Rusila.
Pengisytiharan itu menyaksikan Zuraida bakal menggantikan Dato' Tengku Hassan Tengku Omar yang menjadi wakil rakyat di DUN terbabit pada penggal lepas.
Zuraida ketika ditemui media berkata, beliau bertekad untuk meneruskan legasi Tengku Hassan dan menambah baik segala perancangan terdahulu.
"Banyak sektor yang akan diberi perhatian, bukan hanya berkait soal wanita, tetapi isu sosial, pendidikan, pekerjaan, kebajikan, agama dan belia," katanya.
Mantan ADUN Wanita (dilantik) itu turut berkata, pelantikannya sebagai calon PAS membuktikan parti itu mengiktiraf peranan wanita dalam pentadbiran
"Ini bukti PAS percaya dengan apa yang boleh disumbangkan kaum wanita, PAS mengangkat martabat wanita untuk terlibat sama untuk mengurus kerajaan," jelasnya.
27 Jul 23
333
Kerajaan Negeri Komited Perkasa Golongan Wanita
KUALA TERENGGANU, 27 Julai – Kerajaan Terengganu sentiasa memartabatkan golongan wanita di negeri ini yang memainkan peranan penting dalam pembangunan keluarga dan masyarakat demi kemajuan negara.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata keprihatinan itu dizahirkan melalui Dasar Wanita Terengganu yang telah dilancarkan pada September 2022.
Katanya, dasar itu digubal untuk memelihara, melindungi, memperkasa dan membangunkan wanita serta menjadi panduan dalam memperkasa kaum wanita dengan ilmu dan menjamin hak mereka dilindungi.
“Ini termasuk Penubuhan Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) yang merupakan salah satu portfolio di bawah saya, menunjukkan kecaknaan kerajaan negeri terhadap wanita Terengganu dalam menggerakkan pengisian-pengisian buat mereka termasuklah program kita pada hari ini.
”Selain itu, kerajaan negeri turut membantu rakyat khususnya wanita dengan memberikan insentif kelahiran, bantuan RM 150 kepada ibu tunggal, dan mengumumkan RM 200 baucar pakej berpantang termasuklah memberi cuti bergaji 30 hari kepada kakitangan kerajaan negeri yang kematian suami dan membuka pusat nurseri di setiap jabatan Kerajaan Negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Seminar Wanita Inspirasi Terengganu “Wanita Dambaan Syurga” (WINTER 2023) di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Dalam masa yang sama, bagi membuktikan kecaknaan kerajaan negeri, seorang ADUN Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor dilantik dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-14 secara tidak langsung dapat membawa suara berkaitan isu-isu wanita dan kekeluargaan sekaligus berkhidmat kepada semua lapisan masyarakat terutamanya wanita.
Tambahnya lagi, kerajaan negeri juga tidak menghalang wanita Terengganu untuk berhibur namun perlu mengikut garis panduan dan ini dibuktikan melalui program Alamanda Fun Run, Sukan Untuk Wanita (SUKWA), dan Terengganu Hijab Day (THD).
27 Jul 23
224
Pusat Autisme Sejahtera Terengganu Penuhi Keperluan Anak Istimewa
KUALA TERENGGANU, 26 Julai - Hasrat ibu bapa yang memiliki anak autisme agar sebuah pusat khas yang menawarkan pendidikan terbaik untuk anak istimewa mereka diwujudkan di negeri ini berjaya direalisasi dengan pembukaan Pusat Autisme Sejahtera Terengganu sejak sebulan lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata, pusat autisme pertama di Terengganu yang terletak di Jalan Ibrahim, Pasir Panjang itu dibiayai kerajaan negeri manakala aspek pengurusan dikendalikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik.
“Kerajaan negeri telah bersetuju untuk membiayai pusat autisme ini dengan dana permulaan sebanyak RM200,000 dan juga dana pengurusan dimana hampir RM20,000 diperlukan setiap bulan.
“Ini adalah ‘pilot projek’ dan jika ianya berjaya kita akan perluaskan ke kemaman atau Besut,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pembukaan Pusat Autisme Sejahtera Terengganu, di Jalan Ibrahim, Pasir Panjang disini, semalam.
Turut hadir, Penasihat Pusat Autisme Sejahtera Terengganu, Zuraida Md Noor dan Pengerusi Persatuan Autisme Terengganu, Engku Mohd Hairulnizam Tuan Ahmad.
Sementara itu, Engku Mohd Hairulnizam berkata, pusat tersebut diwujudkan sebagai tempat sokongan moral kepada ibu bapa dalam menghadapi cabaran membesarkan anak-anak autisme.
"Seramai 40 orang anak autisme telah mendaftar untuk mendapatkan latihan di pusat ini sejak ianya beroperasi.
“Antara program yang diajar termasuk program perkembangan awal kanak-kanak, program vokasional, pendidikan agama dan moral, pendidikan jasmani dan kegiatan kokurikulum yang mana modul pembelajaran disini disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” ujarnya.
Tambah beliau, ibu bapa yang kurang berkemampuan juga boleh mendapatkan khidmat terapi secara percuma sekaligus meringankan bebanan kewangan yang ditanggung mereka.
“Pusat Autisme Terengganu Sejahtera ini juga menjadi tempat sokongan psikososial kepada ibu bapa dan menjadi tempat perbincangan serta tambahan ilmu kepada ibu bapa mengenai penjagaan anak-anak autisme,” katanya.
26 Jul 23
781
Jangan Guna Jentera Kerajaan, PAS Tegur PH BN
KUALA TERENGGANU, 26 Julai - Parti Islam Se-malaysia (PAS) membidas tindakan parti politik yang menggunakan jentera dan premis kerajaan bagi tujuan politk sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata, lebih malang lagi terdapat juru kempen parti politik yang memasuki kawasan sekolah untuk berucap di hadapan para pelajar.
“Contohnya seperti yang berlaku pada program rasmi Kementerian Kesihatan baru-baru ini yang disertai oleh pemimpin berpakaian parti dalam program itu.
“Tindakan tersebut seolah-olah menggunakan penjawat awam untuk kepentingan dan tujuan politik,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Pengumuman calon Perikatan Nasional di Pejabat Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu, Jalan Sultan Omar di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Pilihan Raya PAS negeri Terengganu, Ariffin Deraman.
Tambah Dr Alias, pada esok hari pula akan diadakan pelancaran jentera Perpaduan Terengganu ketika Jelajah Perpaduan Madani di sebuah sekolah di negeri ini.
“Kita ingin tanya, adakah larangan penggunaan aset atau premis kerajaan sudah dibatalkan.
"Pihak berkuasa atau pihak yang bertanggungjawab perlu memberi penjelasan, mengenai perkara itu” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, PAS Terengganu dijangka mengumumkan calon yang akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu pada esok, 27 Julai 2023.
Senarai calon itu akan diumumkan oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bertempat di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang.
26 Jul 23
414
Terengganu Salur Hampir RM10 Juta Kepada Sekolah Agama Negeri
KUALA TERENGGANU, 25 Julai - Kerajaan Terengganu menyalurkan bantuan kewangan tahunan sebanyak RM9.9 juta kepada Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) pada tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata, peruntukan itu melibatkan 10 buah SMAN termasuklah SMA Sultan Zainal Abidin Ladang, SMA Khairiah, SMA Sultan Zainal Abidin, SMA Maarif Besut, SMA Setiu, SMA Mahmudiah, SMA Al Falah dan SMA Marang yang beroperasi di negeri terbabit.
“Dana itu kita salurkan setiap tahun bermula 2018, jumlahnya berbeza mengikut keperluan masing-masing.
“Data yang dinyatakan ini juga bagi menjawab tohmahan pihak tertentu yang mengatakan tiada bantuan fiskal/infrastruktur kepada SMAN sejak PAS mentadbir Terengganu tahun 2018,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.
Sementara itu, Satiful turut berkata, kerajaan negeri telah membelanjakan RM13.7 juta bagi pengoperasian Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan RM3.9 juta untuk Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI).
“Manakala Madrasah Moden Terengganu, Maahad Tahfiz dan Tafaqquh Fi Din Tok Syeikh Duyong pula masing-masing menerima bantuan RM10.9 juta, RM4.9 juta dan RM0.7 juta.
"Walaupun kerajaan sebelum ini telah menyerahkan SMAN dan Imtiyaz kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dengan status SABK pd tahun 2015, tetapi kerajaan negeri masih lagi menanggung lebih 32 guru mengajar serta guru tasmi' bahkan terus membantu sekolah-sekolah ini demi melihat kecemerlangan anak-anak Terengganu terus dipertahankan.
“Ini antara komitmen kita untuk terus mengangkat dunia pendidikan agama di Terengganu, setiap tahun kita beri peruntukan kepada sekolah-sekolah yang ada di bawah kita,” katanya.
Dalam pada itu, menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu, kerajaan negeri turut menyalurkan zakat pendidikan bernilai RM46.83 juta pada 2018, RM41.2 juta (2019) RM32.1 juta (2020), RM33.7 juta (2021) dan RM39.3 juta (2023).
26 Jul 23
204
Terengganu Terima Kunjungan Duta Besar Korea
KUALA TERENGGANU, 25 Julai – Kerajaan Terengganu hari ini menerima kunjungan Duta Besar Republik Korea, Tuan Yang Terutama (TYT) Yeo Seung-Bae.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kunjungan tersebut bertujuan bagi membincangkan isu kepentingan bersama dan kerjasama memperkukuh hubungan Terengganu-Korea Selatan.
"Duta Besar Republik Korea bersama delegasi itu sempat singgah di Kertih Industrial Park sebelum ke sini.
"Semoga ada kerjasama yang dapat dijalinkan antara kedua-dua pihak yang memberi manfaat kepada yang terlibat khususnya rakyat Terengganu," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan di laman Facebook Rasmi miliknya pada hari ini.
Ahmad Samsuri sempat berseloroh, untung orang Korea tahun ini, jadi muda setahun atau dua.
“Sebelum ini, Korea mempunyai sistem mereka tersendiri dalam pengiraan umur.
“Biasanya akan lebih tua setahun atau dua berbanding usia di peringkat global atau biasa disebut ‘international age’. Unik sungguh budaya yang berbeza ini,” ujarnya.
25 Jul 23
103
Bilangan Pelancong Ke Terengganu Lebih 10 Juta
KUALA TERENGGANU, 25 Julai – Usaha Kerajaan Negeri dan pemain industri pelancongan membuahkan hasil apabila bilangan pelancong ke negeri ini meningkat sehingga 10.23 juta orang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata pada tahun 2022, jumlah pelancong itu meningkat sehingga 175.2 peratus iaitu sebanyak 10.23 juta orang pelancong.
Katanya, berbanding pada tahun sebelumnya yang hanya menerima 3.7 juta orang pelancong.
“Sepanjang lima tahun mentadbir negeri, Terengganu berjaya mencatatkan tren peningkatan yang konsisten saban tahun apabila merekodkan kadar pertumbuhan KDNK sebanyak 2.5 peratus pada 2018, 3.3 peratus (2019), 3.7 peratus (2021) dan 5.9 peratus (2022).
“Sudah pasti industri pelancongan sedikit sebanyak memberikan sumbangan yang signifikan kepada peningkatan kadar pertumbuhan KDNK ini,” katanya melalui kenyataan di laman Facebook Rasmi miliknya semalam.
Tambah Ariffin, selari dengan data ini, Negeri Terengganu berjaya menggondol tujuh anugerah di dalam Majlis Anugerah Emas Lembaga Pelancongan Malaysia 2022 pada akhir Disember 2022.
“Segala hasil dan kejayaan di dalam industri pelancongan ini bertitik tolak antaranya daripada perlaksanaan Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Negeri Terengganu 2021-2025.
"Selain itu, ia turut membuktikan bahawa perlaksanaan Garis Panduan Hiburan, Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan tidak menjadi batu penghalang kepada kedatangan pelancong ke negeri Terengganu Darul Iman,” ujarnya.
25 Jul 23
617