lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Kerajaan Terengganu Nokhtahkan Penantian Rakyat
Kerajaan Terengganu Nokhtahkan Penantian Rakyat
SETIU, 25 Julai - Kerajaan Terengganu berjaya menokhtahkan penantian penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi yang menunggu puluhan tahun untuk memiliki tanah. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, isu berkenaan tiada kesudahan di era pentadbiran lalu dan seolah-olah ia hanya dijadikan modal politik. Malah katanya, ada rakyat yang menerima ketika zaman PAS memerintah dinafikan hak atau tanah mereka ditarik balik. "Sebagai contoh apabila kita mula menjadi kerajaan 2018, Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Bukit Tasek di Jabi yang telah dibuat (dibuka) di zaman Barisan Nasional sejak sekian lama sehingga berganti tiga wakil rakyat sebelum ini masih tidak selesai dan ada 170 kekosongan. "Kenapa tidak diisi dalam tempoh yang begitu lama (ketika mentadbir), bermakna setiap kali pilihan raya mereka keluarkan borang (untuk tanah), sebaik habis pilihan raya senyap begitu sahaja. "PAS bukan begitu, kalau boleh hendak selesaikan seberapa segera yang mungkin, sebagai contoh RTB untuk tapak tanah rumah Felda Selasih yang dianggap mustahil, kita berjaya selesaikan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Majlis Agihan Geran Hak Milik RTB DUN Jabi, di Dewan Sivik Jabi, di sini, semalam. Mengulas mengenai majlis agihan tanah itu, Dr Azman berkata, sebagai penutup tirai untuk siri terakhir bagi penggal ini, geran hak milik tanah telah berjaya diagihkan lagi kepada 83 penerima membabitkan RTB Felda Selasih, RTB Anak Ikan, RTB Pasir Tawar, RTB Belimbing Api dan RTB Bukit Tasek bagi tapak rumah dan pertanian. "Kita tidak berdiam diri sepanjang tempoh lima tahun ini bagi memastikan rakyat kembali menerima hak mereka, kita lakukan kerja mengikut aturan dan lunas-lunas yang ada dalam peraturan tanah. "Selama ini Pejabat DUN Jabi mengambil sikap sama-sama bekerjasama dengan Pejabat Tanah Daerah Besut kerana ada keterbatasan dihadapi mereka kekurangan kakitangan, saya juga membantu menyewa alat ukur tanah dan sebagainya supaya boleh diagihkan segera untuk rakyat majukannya. "Apa yang utama ialah kita hendak agihan ini dapat dilakukan secepat mungkin dan rakyat kita mendapat manfaat dan boleh majukan tanah dengan seberapa segera dan akhirnya rakyat kita menuai hasil," katanya. Ujar Dr Azman lagi, untuk penggal seterusnya kerajaan komited untuk meneruskan kesinambungan bagi menyelesaikan segala urusan berkait tanah. "Matlamat kita isu pokok rakyat, sebagaimana isu tanah ini kita akan 'all out' kita cuba buat yang terbaik untuk menyelesaikannya hasilanya hari ini kita dapat lihat wajah-wajah ceria penerima geran yang ada antaranya menunggu sejak puluhan tahun yang lalu," ujarnya.  
25 Jul 23
1215
Pemanah OKU Buktikan Kebolehan
Pemanah OKU Buktikan Kebolehan
KUALA TERENGGANU, 24 Julai- Salah seorang wakil Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Terengganu yang akan menyertai Cabaran Panahan Dinamik 3D Muhibah 2023 di Kampung Budaya Terengganu, Sabtu ini memasang impian untuk membawa pulang kemenangan. Di sebalik status diri sebagai Orang kelainan Upaya (OKU) Penglihatan, Saharudin Zakaria, 54, yang berasal dari Dungun mahu buktikan dirinya berupaya memperlihatkan aksi memanah setanding golongan normal. Katanya, minat terhadap sukan memanah tradisional mula timbul apabila aktiviti itu diperkenalkan PERTIS bagi membolehkan ahli persatuan beriadah selain mengamalkan sunah Nabi Muhammad. Menurut Saharudin, aktiviti memanah bagi OKU sepertinya memerlukan bantuan jurupandu arah untuk memberikan panduan terhadap sasaran yang tepat sebelum anak panah dilepaskan. “Sejak bersama PERTIS, saya selalu memasuki pertandingan memanah dan terbaru di Perkaya, Marang. “Untuk pertadingan kali ini, saya akan buat yang terbaik dengan bantuan juru pandu arah, walaupun sedar kekurangan diri tapi bagi saya dalam pertandingan lawan tetap lawan,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui pada sesi sidang media Cabaran Panahan Dinamik 3D Muhibah 2023 di Kampung Budaya Terengganu, Kompleks Muzium Negeri Terengganu, semalam.  Katanya, bagi bersaing dalam kategori Kumpulan Cacat Penglihatan yang juga akan disertai 10 wakil PERTIS, dia akan meningkatkan latihan untuk memantapkan lagi stamina sebelum hari pertandingan. Sementara itu, jurupandu arah memanah PERTIS, Alauddin Omar,43, yang akan berpasangan dengan Saharudin pada hari pertandingan memberitahu, sukan memanah memang tidak asing dengan warga PERTIS kerana setiap bulan akan diadakan liga memanah antara mereka.   “Setiap bulan akan ada liga, jadi tidak ada masalah untuk menyertai pertandingan ini kerana mereka sentiasa bersedia. “Sebagai jurupandu arah, cabaran terbesar kita adalah untuk membina keserasian bersama pemanah OKU penglihatan. “Mereka bukan macam orang normal, tetapi bila sudah biasa dan selalu bersama, kita boleh bekerjasama dengan baik,” ujarnya.
25 Jul 23
497
Terengganu Semarak Kempen Kibarkan Jalur Gemilang
Terengganu Semarak Kempen Kibarkan Jalur Gemilang
KUALA TERENGGANU, 24 Julai – Kerajaan Negeri melaksanakan kempen mengibarkan Jalur Gemilang peringkat Negeri Terengganu bagi merancakkan lagi sambutan bulan kemerdekaan. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata langkah tersebut secara tidak langsung akan menyemai semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat kita. Katanya, dalam beberapa minggu sahaja lagi, negara kita akan menyambut ulang tahun kemerdekaan kali ke-66. "Sepanjang tempoh ini, kita telah dilimpahi dengan pelbagai nikmat kebebasan, keamanan dan perpaduan dalam kalangan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum mahu pun agama. “Dalam konteks negeri Terengganu, kita melihat setiap penduduknya tanpa mengira keturunan, agama dan budaya masing-masing bebas melaksanakan tugas dengan aman dan makmur. “Sekiranya perpaduan tidak wujud seperti kita perhatikan kini, mungkin keadaan sedemikian tidak akan berlaku,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Kempen Kibar Jalur Gemilang 2023 bertempat di Dewan Besar Wisma Darul Iman di sini hari ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Dr Alias Razak. Tambah Dr Mamad, melalui kempen dan majlis yang diadakan ini, kita berharap ramai masyarakat yang sedar bahawa betapa pentingnya semangat cintakan negara melalui pengibaran jalur gemilang dan aktiviti-aktiviti yang diadakan. “Dengan adanya pelbagai aktiviti yang diadakan, akan wujud satu perpaduan dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum dan agama dan seterusnya akan mewujudkan semangat perpaduan negara yang mantap dan kukuh. “Saya menyeru kepada semua rakyat Terengganu kibarkanlah jalur gemilang dengan perasaan bangga sebagai tanda kecintaan dan ketaatsetiaan kita kepada negara kita Malaysia. “Mudah-mudahan dengan cara ini kita dapat membina warga Malaysia yang bersatu tanpa mengira perbezaan warna kulit, anutan agama atau budaya. “Sambutan hari kebangsaan yang dianjurkan pada setiap tahun ini bukan hanya untuk mengenang kembali detik-detik perjuangan menuntut kemerdekaan. “Namun, apa yang lebih utama adalah keupayaan mengisi ruang kemerdekaan itu sendiri dalam diri setiap rakyat Malaysia,” ujarnya.  
24 Jul 23
308
100 Pemanah Berbusana, OKU Bersaing Dalam Cabaran Panahan
100 Pemanah Berbusana, OKU Bersaing Dalam Cabaran Panahan
KUALA TERENGGANU, 24 Julai- Seramai 100 pemanah termasuk 10 orang Kelainan Upaya (OKU) penglihatan akan bersaing dalam Cabaran Panahan Dinamik 3D Muhibah 2023 di Kampung Budaya Terengganu, Sabtu ini. Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria berkata, acara tahunan anjuran jabatan pelancongan melalui Kampung Budaya Terengganu itu bertujuan mempromosikan aktiviti memanah berbusana sebagai aktiviti menarik yang sinonim dengan Negeri Terengganu. “Pertandingan yang turut mendapat kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu, Kelab Memanah Al-Istiqamah dan Persatuan Taekwon-do Negeri ini juga disertai peserta luar dari Terengganu antaranya Kelantan, Pahang dan Selangor. “Selain menarik kedatangan pelancong ke Kampung Budaya Terengganu, penganjuran acara memanah tradisional ini juga dapat menerapkan semangat bersaing secara sihat, berkeyakinan dan fokus terhadap apa jua yang dilakukan di kalangan peserta terutamanya OKU penglihatan,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media Cabaran Panahan Dinamik 3D Muhibah 2023 di Kampung Budaya Terengganu, Kompleks Muzium Negeri Terengganu, semalam.  Menurut Fadli Yusof, sebanyak enam kategori dipertandingankan iaitu lelaki dewasa, wanita dewasa, remaja, cilik, begin rolan snake dan kumpulan cacat penglihatan yang disertai oleh wakil Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Cawangan Terengganu. “Semasa pertandingan, semua peserta hendaklah berpakaian busana dan berkasut dan difahamkan peserta paling muda yang bakal bersaing berusia enam tahun. “Terdapat 20 ‘check point’ iaitu taktikal (objek bergerak) dan 10 dinamik (objek statik) yang perlu dihabiskan oleh peserta memanah,” ujarnya.  
24 Jul 23
604
MB Harap Semua Parti Bersaing Secara Harmoni
MB Harap Semua Parti Bersaing Secara Harmoni
KUALA TERENGGANU, 23 Julai – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berharap semua parti yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum Negeri nanti mewujudkan suasana harmoni ketika berkempen khususnya di negeri ini. Ahmad Samsuri berkata dalam apa jua pertandingan tentulah ada saingan cuma berharap suasana lebih terkawal dan bertambah baik pada kali ini. Di samping katanya, ia mampu mewujudkan suasana baru politik ke arah matang dan sejahtera dalam negara kita. Apabila ditanya mengenai muka baharu yang akan bertanding di bawah Parti Islam Se-malaysia (PAS), Ahmad Samsuri menjawab PAS akan meletakkan beberapa muka baharu terutamanya golongan muda. “Tahniah kepada mereka dari parti komponen yang dipilih menjadi calon dan selamat bertanding dalam pilihanraya,” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas Menyempurnakan Majlis Perasmian Payang Walk dan Operasi Beca Warisan bertempat di Pesisir Payang, Kuala Terengganu di sini kelmarin. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Dr Alias Razak. Dalam perkembangan sama, Pas Terengganu dijangka mengumumkan calon yang akan bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu pada 27 Julai ini. Senarai calon itu akan diumumkan oleh Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bertempat di Dewan Tok Guru, Rusila, Marang.    
23 Jul 23
218
‘Janji Manis’ Kerajaan Lama Dikota Kerajaan Baharu
‘Janji Manis’ Kerajaan Lama Dikota Kerajaan Baharu
MARANG, 23 Julai - ‘Janji manis’ kerajaan lama untuk memberikan tanah kepada penduduk kampung akhirnya dikota kerajaan baharu di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Petani, Mohd Bakhtimi Mohd Ali, 56, berkata sebelum ini dia pernah dijanjikan untuk diberi tanah bagi tujuan pembinaan rumah. “Dua minggu sebelum hari membuang undi ketika zaman BN dulu ada dibuat majlis mengundi lot tanah namun selepas itu akhirnya diam seribu bahasa,” katanya pada majlis kesyukuran sempena pembinaan rumah baharunya di Bukit Perpat semalam. Menurut Mohd Bakhtimi, impiannya untuk memiliki tanah akhirnya ditunaikan kerajaan PAS pada tahun lalu. “Alhamdulillah, pentadbiran lama hanya berjanji, namun janji itu dikotakan kerajaan sekarang. “Hasilnya di atas tanah pemberian kerajaan ini, saya berjaya membina rumah untuk didiami enam anak dan isteri yang bekerja membuat kuih. “Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak terlibat, boleh tinggal di rumah sendiri selepas 16 tahun menyewa,” jelasnya.  Sementara itu, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong yang bertanggungjawab dalam urusan pemberian tanah itu berkata, beliau hanya menjalankan tugas dan tanggungjawab untuk menjaga kebajikan rakyat. “Saya rasa gembira di atas keberjayaannya untuk buat rumah sendiri, semoga dengan rumah baru yang berjaya dibina di atas tanah ini keluarga Mohd Bakhtimi boleh hidup dengan lebih selesa,” katanya.
23 Jul 23
266
Terengganu Peruntuk RM240,000 Bantu Pengusaha Beca
Terengganu Peruntuk RM240,000 Bantu Pengusaha Beca
KUALA TERENGGANU, 23 Julai – Kerajaan Negeri menerusi Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memperuntukkan sebanyak RM15,000 untuk setiap beca yang beroperasi di Payang Walk di sini. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata buat masa sekarang terdapat 12 beca yang telah menjalankan beroperasi. Katanya, empat lagi beca dalam proses ubah suai menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 16 beca bakal beroperasi nanti. "Beca tersebut akan dinaik taraf secara berperingkat dengan rupa bentuk yang lebih menarik dan dilengkapi kemudahan solar. "Usaha itu melalui kerjasama pihak MBKT, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dengan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM). “Saya dah maklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman untuk tambah lagi 10 beca sekiranya mendapat sambutan yang memberangsangkan,” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas Menyempurnakan Majlis Perasmian Payang Walk dan Operasi Beca Warisan bertempat di Pesisir Payang, Kuala Terengganu di sini kelmarin. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak, Yang Dipertua Dewan Undangan (DUN) Terengganu, Datuk Yahaya Ali dan Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri. Tambah Ahmad Samsuri, para peniaga yang ramai juga turut membantu penarik beca dalam mempertingkatkan lagi pendapatan mereka. “Sebanyak 100 peniaga diberi peluang dalam menjalankan operasi perniagaan di Payang Walk ini. “Jumlah tersebut akan ditambah hingga maksimum 400 orang sekiranya mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pengunjung," ujarnya. Sementara itu, pihak MBKT juga telah menyediakan hentian dan laluan khas beca warisan serta lain-lain kemudahan berkaitan di sekitar Pasar Kedai Payang sejauh kilometer.    
23 Jul 23
450
Payang Walk Tingkat Pendapatan 400 Peniaga Kecil
Payang Walk Tingkat Pendapatan 400 Peniaga Kecil
KUALA TERENGGANU, 22 Julai – Payang Walk dan Operasi Beca Warisan membuka peluang buat sekitar 400 peniaga kecil termasuk pengusaha beca untuk menambah pendapatan. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata buat masa sekarang, sebanyak 100 peniaga diberi peluang untuk menjalankan operasi perniagaan di Payang Walk. Katanya, jumlah tersebut akan bertambah sehingga mencapai maksimum 400 orang sekiranya mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada pengunjung. “Program ini dianjurkan bagi menggerakkan sektor pelancongan sebagai ekonomi daerah Kuala Terengganu. “Secara tidak langsung meningkatkan lagi imej Pasar Kedai Payang sebagai ikon pelancongan Terengganu. “Di samping, menghidupkan kembali warisan kesenian dan kebudayaan negeri kita yang makin lama makin pudar ditelan arus modenisasi,” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Payang Walk dan Operasi Beca Warisan bertempat di Pesisir Payang, Kuala Terengganu di sini semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato’ Dr Alias Razak, Yang Dipertua Dewan Undangan (DUN) Terengganu, Datuk Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif. Tambah Ahmad Samsuri, cadangan itu dapat mengalakkan aktiviti 'retail street culture' dan juga dapat mengekalkan warisan tradisi tempatan. “Pelbagai segmen aktiviti yang akan ditonjolkan seperti aktiviti jualan barangan tempatan, aktiviti jualan makanan tradisional tempatan dan juga persembahan kebudayaan dan kesenian," katanya. Beliau berkata, berkuatkuasa hari pada setiap hari Jumaat, tiga jalan utama iaitu Jalan Sultan Zainal Abidin, Jalan Bandar dan Jalan Kampung Cina akan ditutup kepada semua kenderaan bermotor. "Penutupan itu berlaku selama sembilan jam bermula 3 petang sehingga 12 tengah malam. “Pengunjung hanya dibenarkan menaiki beca untuk membeli belah di sepanjang pinggiran Payang Walk. “Semoga usaha Kerajaan Negeri bersama Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) ini dapat merancakkan lagi sektor pelancongan di negeri kita sekali gus membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat," ujarnya.  
22 Jul 23
416
Payang Walk Bakal Jadi Tumpuan Utama Pelancongan Terengganu
Payang Walk Bakal Jadi Tumpuan Utama Pelancongan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 22 Julai - Payang Walk dan Operasi Beca Warisan dijangka menjadi tumpuan utama dalam meningkatkan lagi industri pelancongan di negeri Terengganu. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata inisiatif itu merupakan salah satu usaha untuk memperkasa Pasar Kedai Payang yang juga merupakan aset pelancongan utama negeri ini. Katanya, secara tidak langsung ia juga akan menjadi tarikan baharu Pasar Kedai Payang yang telah sedia terkenal sebagai salah satu tempat pelancongan yang popular. “Antara strategi yang telah dirangka adalah melalui inisiatif pembangunan produk-produk pelancongan baharu selain memberi nilai tambah pada kawasan pelancongan sedia ada. “Payang Walk ini diwujudkan bertujuan untuk memperkasakan imej Kuala Terengganu sebagai Bandaraya Warisan Pesisir Air,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Menyempurnakan Majlis Perasmian Payang Walk dan Operasi Beca Warisan bertempat di Pesisir Payang, Kuala Terengganu di sini semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman dan Datuk Bandar dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif. Tambah Ahmad Samsuri, dengan adanya payang walk dan laluan khas beca ini, dijangka akan meningkatkan kedatangan pelancong dan pengunjung ke kawasan ini. “Sekali gus, meningkatkan populariti beca kepada mereka. “Selaras dengan tagline 'Bandar Raya Warisan Pesisir Air', cadangan payang walk dan laluan beca warisan di sekitar Pasar Kedai Payang ini akan dapat menarik lebih ramai lagi pelancong untuk datang ke Terengganu,” ujarnya.  
22 Jul 23
519
Fiesta Candat Sotong Marang Tarik Lebih 300 Peserta
Fiesta Candat Sotong Marang Tarik Lebih 300 Peserta
MARANG, 22 Julai – Seramai lebih 300 peserta menyertai Fiesta Candat Sotong 2023 Marang yang merupakan aktiviti tahunan di sini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata apabila tiba musim mencandat, orang ramai akan membuat tempahan bot untuk merasai sendiri pengalaman mencandat sotong di tengah laut. Katanya, sebanyak 33 bot berdaftar yang terdiri daripada Jabatan-Jabatan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan sebagainya. “Marang sekali lagi menjadi tuan rumah pada tahun ini kerana mempunyai daya tarikan tersendiri sebagai tempat ikonik aktiviti itu. “Acara tahunan ini juga secara tidak langsung mempromosikan negeri Terengganu sebagai destinasi tumpuan pelancong bagi merasai pengalaman mencandat sotong,” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas Menyempurnakan Majlis Pelepasan Fiesta Candat Sotong 2023 bertempat di Jeti LKIM Marang di sini semalam. Turut hadir Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria dan Pegawai Daerah Marang, Lizan Che Mat. Program ini anjuran bersama Kerajaan Negeri, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Pejabat Daerah Marang serta beberapa lagi agensi dan NGO terlibat. Tambah Ariffin Deraman, program ini berlangsung selama dua hari iaitu bermula 21 dan 22 Julai 2023. “Pada hari terakhir akan diadakan sesi penyampaian hadiah kepada para pemenang dari pelbagai kategori yang dipertandingkan seperti sotong terberat, terpanjang dan sebagainya. “Hadiah bernilai lebih RM10,000 ditawarkan kepada para pemenang dalam fiesta kali ini. “Program ini juga secara tidak langsung dapat menyumbang kepada peningkatan ekonomi penduduk tempatan menerusi aktiviti rantaian pelancongan. “Untuk rekod, Program candat sotong Terengganu pernah diiktiraf sebagai Program Pelancongan Terbaik pada tahun 2019 daripada Majlis Pelancongan Malaysia,” ujarnya.  
22 Jul 23
301