Artikel "Utama" Terkini
'Zahid Menipu' – Hanafiah Mat
KEMAMAN, 31 Julai – Pengerusi Bencana Negeri Terengganu, Hanafiah Mat menafikan kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Zahid Hamidi baru-baru ini.
Beliau yang juga merupakan bekas Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, melahirkan rasa dukacita atas ucapan Zahid Hamidi itu menyatakan duit yang dihantar oleh kerajaan pusat kepada kerajaan negeri.
Seterusnya ujar Hanafiah, Zahid menyatakan kerajaan negeri menghantar ke setiap daerah hanya dibahagikan kepada orang-orang Parti Islam Se-malaysia (PAS) sahaja.
“Hari ini saya nak menyatakan bahawa kenyataan tersebut adalah fitnah.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya dan duit tersebut tidak masuk dalam akaun kerajaan negeri Terengganu,” katanya dalam kenyataan di laman Tiktok rasmi miliknya kelmarin.
Tambah Hanafiah, tidak munasabah Timbalan Perdana Menteri bercakap 'plawok' (bohong).
Beliau berkata, duit bantuan banjir itu, kerajaan pusat berikan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) seterusnya diagihkan kepada mangsa-mangsa banjir.
“Data-data mangsa banjir diambil daripada Pejabat Daerah masing-masing.
“Di sana, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bersama Penghulu, Pejabat Daerah, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Mereka melihat dan menerima pendaftar mangsa-mangsa banjir di semua sekolah yang mereka pindah ataupun sebahagian mendaftar walaupun duduk di luar.
“Jadi duit tersebut melalui JPP yang mengagihkan terus dan mungkin sedang dibayar oleh APM.
“Tidak ada kena mengena dengan kerajaan negeri Terengganu, JPP yang membahagikan duit tersebut,” ujarnya.
31 Jul 23
2224
Hentikan Retorik, Rakyat Cerdik Menilai
KUALA TERENGGANU, 31 Julai- Ahli-ahli politik disaran mengemukakan realiti yang berpaksikan fakta dan berhenti mengalun retorik kerana rakyat telah cerdik untuk menilai mereka.
Calon PAS Ru Rendang yang juga mantan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, rakyat sekarang sangat cerdik, terbuka dan mudah mendapatkan banyak maklumat selain mendengar terus apa yang disampaikan ahli politik.
"Sebenarnya, apabila kita lihat sesuatu kita harus berpaksikan fakta dan bukan berpandukan sentimen semata-mata.
"Keputusan dan data menunjukkan buktinya, apabila kita boleh menunjukkan bahawa prestasi kerajaan yang ditadbir PAS bersama-sama rakan di negeri Terengganu jauh lebih baik.
"Sebagai contohnya, sepanjang tempoh 2004 sehingga 2017 di bawah kerajaan yang lalu, kita dapati pelaburan daripada luar menyumbang RM5.5 bilion kepada negeri. Tetapi, apabila kita ambil alih pada 2018 sehingga 2022, kita menerima pelaburan lebih sekali ganda kepada RM11 bilion," katanya.
Tambah beliau, sentimen yang dimainkan ahli-ahli politik akan mewujudkan suasana tidak harmoni dalam masyarakat.
"Ini yang merisaukan kita bila mana ahli-ahli politik di sebelah sana melakukan pembohongan demi pembohongan bagi menutup pembohongan mereka, saya harap rakyat boleh sedar.
"Saya percaya bahawa kerosakan yang dibuat oleh kerajaan yang lalu adalah sangat besar (di Terengganu), tetapi kita tidak mengungkit-ungkit sebaliknya, kita cuba menyelesaikan masalah rakyat.
"Apa yang penting, kita elakkan diri dari budaya ugut-mengugut, balas dendam sebagaimana di uar-uarkan kepimpinan kerajaan yang lalu, suara nada ugut ini sentiasa berkumandang. Rakyat harus sedar bahawa pendekatan yang kami bawa iaitu politik kasih sayang lebih menimbulkan keharmonian dalam masyarakat," jelasnya lagi.
Dr Samsuri turut menyifatkan, Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) di enam negeri kali ini memperlihatkan sambutan luar biasa kepada Perikatan Nasional (PN).
"Saya lihat perkembangan yang luar biasa. Kita sudah melalui banyak pilihan raya, termasuk pilihan raya kecil di pelbagai tempat tetapi trend yang ada sekarang ini, sambutan luar biasa bukan di sahaja di negeri yang tradisionalnya PAS kuat iaitu di Kedah Kelantan dan Terengganu, tetapi juga di negeri-negeri di Pantai Barat.
"Luar biasa itu, kita nampak gelombang rakyat memang lari dari kebiasaan dan kita harap kekal sehingga hari pengundian," katanya.
31 Jul 23
208
Wan Hassan Sangkal Tuduhan Jahat Presiden UMNO
KUALA TERENGGANU, 31 Julai - Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli menafikan sekeras-kerasnya berhubung tiga perkara yang dibangkitkan Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu video dan menyifatkannya sebagai tuduhan fitnah.
Dalam video tersebut, Ahmad Zahid mendakwa Wan Hassan menaiki kapal terbang bersamanya bagi melawat mangsa banjir di Dungun, memakai pakaian tidak sesuai ketika menyantuni mangsa banjir serta dakwaan Wan Hassan ahli Umno.
Wan Hassan menegaskan ketiga-tiga tuduhan yang dinyatakan Presiden Umno itu adalah tidak berasas dan pembohongan secara terang-terangan.
"Kalau perkara sekecil ini pun kita dapati sudah tidak betul, bagaimana dalam perkara-perkara yang lebih besar.
“Saya nafikan sekeras-kerasnya tidak pernah saya bercakap dengan Ahmad Zahid berkait dengan urusan banjir di Dungun dan saya tidak naik kapal terbang bersama dengannya.
“Mengenai pakaian pula, saya turun ke kawasan banjir, menyantuni mangsa banjir dan juga menyampaikan sumbangan dengan pakaian yang layak untuk berada di kawasan dan tempat banjir,” ujarnya.
Katanya, beliau merupakan ahli PAS tulen dan pernah menjawat beberapa jawatan penting di bawah pentadbiran PAS termasuk sebagai Exco Kerajaan Negeri Terengganu pada tahun 1999
“Pada tahun 2008 saya dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura serta tahun 2013, 2018 serta 2022 Ahli Parlimen Dungun,” jelasnya.
31 Jul 23
1395
PAS Angkat Calon Profesional Pertahan Kubu Bukit Tunggal
KUALA TERENGGANU, 31 Julai – Parti Islam Se-malaysia (PAS) meletakkan calon Profesional Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Sr Zaharuddin Zahid bagi mempertahankan kubu Bukit Tunggal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos nanti.
Zaharuddin berkata, beliau sangat menghormati jasa dan pengorbanan yang telah dilaksanakan oleh Mantan ADUN Bukit Tunggal, Dato’ Dr Alias Razak sepanjang bekerja untuk rakyat di DUN ini.
Katanya, beliau akan memastikan Bukit Tunggal tidak akan ketinggalan dalam arus pembangunan.
“Pelbagai perkara yang ingin saya mengambil perhatian lebih awal jika diberi mandat untuk saya menjadi pemimpin di sini.
"Antaranya berkaitan Klinik Kesihatan Bukit Tunggal, membangunkan industri di pesisiran pantai dan pelbagai lagi," katanya ketika Wawancara Bersama Calon N12 Bukit Tunggal di sini, semalam.
Tambah Sr Zaharuddin, harapannya agar semua pengundi di N12 DUN Bukit Tunggal bersama-sama mempertahankan kemenangan PAS dalam usaha memberi 'signal' sebagai reaksi rakyat terhadap kerosakan yang berlaku dalam negara sekarang.
“Walaupun kita bertanding di peringkat negeri namun keputusan enam negeri ini mampu memberi kejutan kepada kerajaan pusat.
“Sekali gus, ia dapat memberi amaran kepada kerajaan pusat agar segera memperbaiki perkara yang menjadi harapan rakyat.
"Saya memohon sekali lagi kepada semua pengundi yang berada di dalam dan luar negeri supaya pulang mengundi.
"Di samping, kita dapat menunaikan tanggungjawab kita kepada agama, negara dan juga negeri," ujarnya.
31 Jul 23
1881
BN Kota Putera Langgar Arahan Polis, PAS Gesa Tindakan Tegas
BESUT, 30 Julai- Belum pun tamat hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU DUN 15), telah ada ketidakakuran yang dilakukan oleh calon yang bertanding, apabila Barisan Nasional (BN) dikatakan mengadakan perarakan bersama calonnya, Dato’ Muhammad Pehimi Yusof semasa hari penamaan calon bahagian Pilihan Raya N02 Kota Putera, semalam.
Calon lawannya dari parti PAS, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman menggesa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengambil tindakan tegas terhadap perbuatan yang jelas melanggar arahan pihak Polis itu.
Jelasnya, tindakan melanggar peraturan ditetapkan ketika berkempen tidak wajar dibenarkan sama sekali.
“Namun, sekiranya ia dilanggar dan tiada tindakan yang diambil, ia menghantar satu ‘signal’ bahawa peraturan yang dibuat hanyalah sekadar atas kertas dan pihak-pihak bertanggungjawab boleh diperkotak-katikkan,” katanya.
Susulan itu, satu laporan Polis telah dibuat oleh Ketua Penerangan PAS DUN Kota Putera, Nik Mazli Mat Yusof berkenaan perkara itu sekitar jam 5.30 petang semalam.
Tambah Nurkhuzaini, sebarang peraturan yang digariskan adalah untuk memastikan proses pilihan raya berlangsung secara adil, lancar dan selamat.
“Kami berharap pihak bertanggungjawab dapat bersikap adil dalam perkara ini dan masih menunggu keputusan dari pihak Polis,” katanya.
Setakat ini, pihak Polis memaklumkan siasatan masih dijalankan berhubung perkara tersebut di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan, iaitu bagi mereka yang terlibat dalam sesuatu perhimpunan yang menyalahi undang-undang.
Sekiranya disabit kesalahan, pesalah hanya dihukum penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau keduanya sekali.
30 Jul 23
1063
Buat Kajian, Pilih Calon Terbaik- Ariffin
MARANG, 30 Julai- Rakyat Terengganu dinasihatkan membuat pilihan bijak memilih calon dan parti yang mempunyai rekod serta pencapaian baik pada hari pengundian Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke-15, 12 Ogos nanti.
Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, setiap satu undi mereka penting dalam menentukan kerajaan yang memerintah untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Rakyat Terengganu perlu memilih calon yang terbaik untuk diangkat sebagai pemimpin dengan membuat kajian terlebih dahulu.
“Jangan terima bulat-bulat apa yang dijanjikan oleh calon yang bertanding di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, kaji dulu, buat kajian,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas proses penamaan calon bagi DUN Alur Limbat, di Kolej Al-Quran Terengganu, semalam.
Terdahulu, Ariffin yang juga calon PAS Alur Limbat berkata, beliau bersyukur proses penamaan calon di DUN tersebut lancar tanpa sebarang provokasi daripada penyokong PAS dan Barisan Nasional (BN).
“Saya bersyukur kepada Allah S.W.T kerana proses penamaan calon berjalan dengan baik. Peringkat awal kiranya sudah selesai, maknanya DUN Alur Limbat hanya dua calon bakal bertanding iaitu saya mewakili PAS dan Yuseri Isa (BN).
“Saya mengharapkan proses kempen juga dapat berjalan dengan baik. Kita yakin dapat mempertahankan DUN Alur Limbat untuk penggal kali ini,” ujarnya.
30 Jul 23
232
Tempoh Kelulusan Permit Kempen Hanya Dua Hari
KUALA TERENGGANU, 30 Julai – Polis Terengganu akan memendekkan tempoh kelulusan permit bagi parti yang ingin mengadakan ceramah sepanjang tempoh kempen pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK) di Terengganu kepada dua hari sahaja.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, tempoh permohonan itu disingkatkan berbanding selama lima hari sebagaimana ditetapkan sebelum ini.
“Saya percaya semua parti yang bertanding adalah parti-parti yang sudah lama dan memahami perundangan dalam negara untuk memastikan PRN berjalan lancar dan selesa tanpa sebarang insiden,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan di pusat penamaan calon Parlimen Kuala Terengganu dan Dewan Undangan Negeri Ladang di pekarangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu kira-kira 2,200 anggota ditugaskan memantau dan mengawal keselamatan di 32 pusat penamaan calon seluruh negeri.
Katanya, hasil tinjauan di beberapa pusat penamaan di sekitar Kuala Terengganu dan Marang mendapati semua penyokong dan pemimpin parti mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.
“Terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi kerjasama baik sepanjang proses penamaan pagi ini. Kita berharap suasana baik ini akan berpanjangan hingga proses pengundian 12 Ogos depan.
“Ada 14 hari lagi sebelum hari pengundian, kita harap semua parti ikut garis panduan yang ditetapkan kerana pihak polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah beri taklimat panjang lebar mengenai peraturan yang ditetapkan,” ujarnya.
30 Jul 23
422
PAS Terengganu Tampil Calon Wanita Raih Pujian Ramai
KUALA TERENGGANU, 30 Julai – Keberanian PAS mengetengahkan calon wanita pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Terengganu mendapat pujian ramai.
Nurul Syuhada Abd Karim, 40, Kampung Tanjung berkata sudah tiba masanya wanita harus diberikan ruang untuk terlibat dalam proses membuat keputusan tertinggi dalam negeri mahupun negara.
“Kehadiran wanita dalam memimpin politik seharusnya dilihat sebagai pelengkap kepada kaum lelaki bukannya sebagai pesaing bagi memantapkan lagi organisasi politik.
“Usaha untuk mengupayakan wanita dalam parti dalam membuat keputusan perlu dilakukan dengan komitmen yang tinggi dan bersungguh-sungguh dan PAS telah membuktikannya,” katanya ketika ditemui pemberita.
Sementara itu, Salimah Ismail, 49, yang berasal dari Kampung Pasir Panjang berkata PRN DUN Ke15 kali ini amat berbeza daripada PRU terdahulu kerana rakyat diberi peranan sebagai tonggak untuk bersama-sama menentukan arah dan corak pentadbiran negeri bukan lagi sebagai pemerhati saja.
"Kami turut menilai semua aspek terhadap kemampuan calon dan parti sebelum membuat keputusan, walaupun calon wanita..jika layak apa salahnya," katanya.
Tambahnya lagi, dia juga mahu memilih calon dan parti yang mempunyai rekod cemerlang yang mendahului rakyat daripada kepentingan peribadi.
Terdahulu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Hussain Awang mengisytiharkan Zuraida Md Noor, 43, sebagai calon PAS di DUN Ladang di Dewan Tok Guru, Rusila.
Pengisytiharan itu menyaksikan Zuraida bakal berdepan dengan calon BN, Dato’ Mohd Sabri Alwi. pada PRN DUN Ke 15 pada 12 Ogos nanti.
30 Jul 23
147
Perebutan Kerusi DUN Kijal Diramal Paling Sengit
KEMAMAN, 29 Julai - Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N30 Kijal, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Parti Islam Se-malaysia (PAS) dan Barisan Nasional (BN).
Calon daripada PAS yang merupakan bekas Pengerusi Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Senator Datuk Razali Idris akan berhadapan calon BN, Datuk Seri Ahmad Said yang merupakan Pengerusi Ketengah sekarang.
Razali yang juga merupakan Ketua Bersatu Terengganu menyerahkan borang penamaan calon pada jam 9.10 pagi semalam
Manakala, Ahmad said yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri merangkap penyandang DUN Kijal menyerahkan borang penamaan pada jam 9.04 pagi.
Pegawai Pengurus Pilihanraya N30 Kijal, Hanum Isa@Ghazali secara rasmi mengumumkan dua calon yang bertanding itu tepat jam 10.20 pagi.
"Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan dan setelah selesai disemak saya berpuas hati, memutuskan tiada yang ditolak.
"Dengan ini saya mengumumkan calon-calon disahkan bertanding dalam pilihan raya negeri N30 Kijal adalah seperti berikut.
"Pertama Razali Idris daripada parti PAS dan Kedua, Ahmad Said daripada BN," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Penamaan Calon N30 DUN Kijal bertempat di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Sivik Kijal di sini semalam.
Proses penamaan calon bagi N30 Kijal berjalan lancar hasil kawalan ketat oleh pihak polis, RELA dan Jabatan Amal manakala penyokong kedua-dua parti bertanding berada pada jarak 25 meter daripada pagar pusat penamaan calon.
Kerusi DUN Kijal yang terletak di bawah Parlimen Kemaman mempunyai populasi 98 peratus pengundi Melayu manakala baki, dua peratus lagi adalah kaum Cina di mana pengundinya seramai 29,419 orang.
Razali yang berkelulusan Diploma Pengurusan Perniagaan dari Stamford College Kuala Lumpur mengenakan nama mesranya 'Tok Li' pada kertas undi di petak pertama dalam mengeratkan hubungannya dengan pengundi di Kijal.
Turut hadir di penamaan tersebut adalah bekas calon N30 Kijal yang lepas iaitu Ustaz Hazri Jusoh sebagai wakil calon bagi membantu kemenangan PAS di Kijal yang dijangka menjadi tumpuan penganalisa politik tanah air.
30 Jul 23
1273
Ghazali Taruhan PAS Tawan Bukit Besi
DUNGUN, 29 Julai - Ghazali Sulaiman sekali lagi dipertaruhkan PAS bagi menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi melawan Calon Barisan Nasional, Dato' Din Adam.
Kedua-dua mereka disahkan layak bertanding setelah diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Azrul Faiz Shairudin.
Pusat Penamaan Calon DUN Bukit Besi diadakan di Dewan Al-farabi, Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) dengan tempoh masa diberikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi calon bertanding mengemukakan kertas penamaan calon masing-masing.
Terdahulu, Din menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.10 pagi diikuti Ghazali pada jam 9.11 pagi.
Pertembungan dijangka sengit memandangkan sebelum ini Din pernah menjadi ADUN Bukit Besi selama dua penggal dari 2008-2013.
Manakala Ghazali hanya kalah tipis sebelum ini kepada calon BN, Roslee Daud pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu dengan majoriti 46 undi.
Sebelumnya, kedua-dua calon diiringi ratusan penyokong yang memenuhi perkarangan Pusat Penamaan Calon.
Paling mencuri tumpuan adalah penyokong dari PAS yang paling ramai dengan 700 lebih mengiringi calon dengan perarakan sambil mengalunkan zikir munajat, selawat serta doa.
29 Jul 23
759