lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Rakyat Kuala Besut Inginkan Perubahan
Rakyat Kuala Besut Inginkan Perubahan
BESUT, 2 Ogos - Rata-rata rakyat di Kuala Besut ingin melakukan perubahan terhadap wakil rakyat yang dipilih dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) 12 Ogos nanti. Mohd Hazimazudin Che Haziz, 33, berkata, dia mahu memilih wakil rakyat baharu yang datang daripada parti lain selepas beberapa penggal ia hanya dikuasai satu parti. “Saya akan memilih wakil rakyat yang prihatin dan bertanggungjawab terhadap persoalan hidup rakyat, bukan hanya muncul ketika hampir denga musim pilihan raya.  “Ramai penduduk di sini mengeluh apabila wakil rakyat sebelum ini gagal membawa suara rakyat dengan baik menyebabkan permasalahan penduduk gagal diselesaikan,” kata pemandu bot pelancong itu ketika ditemui di Pulau Perhentian di sini semalam.   Sementara itu, bagi peniaga kedai runcit, Nik Suria Nik Mat, 52 berkata dia sudah tidak sabar untuk keluar mengundi pada 12 Ogos nanti bagi menunjukan rasa tidak puas hati dengan situasi semasa. “Keadaan ekonomi terutamanya melibatkan masalah kos sara hidup sangat teruk meskipun ketika ini tiada krisis seperti COVID-19 sebelum ini. “Saya mempunyai ramai kenalan yang berniaga, keadaan mereka sangat sukar, kuasa beli sudah merudum dalam kalangan rakyat hingga memaksa peniaga tertekan untuk mencari untung, jadi pilihan raya nanti ada sebagai penunjuk rasa tidak puas hati saya,” jelasnya. Bagi Rohani Yaacob yang juga peniaga, 34, katanya sudah lama DUN tersebut diwakili oleh parti yang sama, kini dia dan rakan-rakan membuat keputusan untuk mengundi parti berbeza kali ini.   Suasana di Pulau Perhentian menjelang PRUN15 "Angin perubahan di Kuala Besut makin terasa. Kita yakin penduduk sudah sedar bahawa, calon daripada parti lain lebih mesra penduduk, tambahan pula dia seorang pemurah, ramah dan mudah membantu jika kita meminta pertolongan. “Namun saya harap, jika dia dipilih menjadi wakil rakyat nanti, dia kekal dengan peribadinya intu, kita tidak mahu perkara sebaliknya berlaku, yang penting dia dapat membela rakyat Kuala Besut supaya kami hidup dengan keadaan selesa dan terbaik,” jelasnya.  Haji Azbi Salleh menyantuni rakyat Pulau Perhentian DUN N.01 Kuala Besut menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara   Azbi Salleh (PAS) dan Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman (BN). Pada PRU14 lalu, Tengku Zaihan menang dengan majoriti kecil iaitu sebanyak 143 undi, manakala jika mengikut rekod undian PRU15 (Parlimen) calon PAS menang di DUN terbabit.
02 Aug 23
401
SPR Dicadang Sediakan Bas Bawa Balik Pengundi
SPR Dicadang Sediakan Bas Bawa Balik Pengundi
KUALA TERENGGANU, 2 Ogos - Pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dicadang menyediakan bas bagi membolehkan perantau di setiap negeri terlibat Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) pulang mengundi pada 12 Ogos ini. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata, SPR perlu melakukan tindakan demikian bagi menyuburkan proses demokrasi setelah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyatakan penyediaan perkhidmatan bas merupakan rasuah termasuk membayar tiket bas. "Kita sebelum ini bercadang untuk menyediakan perkhidmatan tersebut, tetapi dengan syarat-syarat dikemukakan SPRM menyebabkan hasrat itu tidak dapat diteruskan. "Cuba bayangkan pada hari itu semua hendak balik sedangkan bas ekspress tidak mencukupi kerana tidak dapat menampung keperluan para pengundi," ujarnya. Beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu, berkata demikian pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS negeri, di sini semalam  Mengulas lanjut, pihaknya berharap akan ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin tentang demokrasi untuk membantu perantau pulang mengundi sebagai jalan terakhir. "Saya ingat kalau kerajaan tidak boleh (sediakan bas) NGO akan membantu untuk bawa pulang mengundi, perkara ini tidak menghairankan (boleh berlaku). "Kita juga memang telah mengerakkan kempen balik mengundi dengan berkongsi kenderaan," ujarnya lagi.
02 Aug 23
424
Gelombang Rakyat Bakal Tawan 32 DUN
Gelombang Rakyat Bakal Tawan 32 DUN
HULU TERENGGANU, 1 Ogos - Tsunami Perikatan Nasional (PN) pada enam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini dijangka jauh lebih besar berbanding Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu terutama di Terengganu. Ketua Pemuda PAS DUN Telemong, Mohamad Yusuf Abdullah, 33, berkata, momentum PRN  kali ini dengan gelombang hijau memperlihatkan angin perubahan rakyat untuk terus menyokong PN. Menurut beliau, antara sebab rakyat menyokong PN apabila wujudnya kerjasama antara UMNO dan Pakatan Harapan (PH). "Jelas bahawa sentimen kaum dan agama sentiasa menjadi faktor penentu dalam pilihan raya melibatkan parti-parti bersifat komunal dan normal. "Ini termasuk undi protes terhadap BN bakal menjadi faktor penyumbang kepada kemenangan besar PN pada PRN DUN ke 15 tidak lama lagi" ujarnya kepada pemberita. Tambahnya lagi, Gelombang Sanusi di Kedah juga menjadi salah satu penyumbang penolakan terhadap BN/PH pada PRN nanti. Jelas beliau, pencapaian PN pada PRU ke 15 lepas,  jelas menunjukkan peralihan pengundi Melayu Islam menghantar isyarat gelombang besar bahawa mereka menolak BN. Mohamad Yusuf juga  berkata, rakyat semakin cerdik dengan politik dan semakin bijak memilih parti dan calon yang mana kriteria utama pemilihan pengundi adalah mahukan pemimpin yang bersih.  
02 Aug 23
281
Peluang PAS Menang Seberang Takir Cerah
Peluang PAS Menang Seberang Takir Cerah
KUALA NERUS, 2 Ogos - Gelombang rakyat memilih Perikatan Nasional (PN) meningkatkan peluang parti itu untuk memenangi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir dalam Pilihan Raya Umum (PRU) DUN nanti. Calon PAS-PN Seberang Takir,  Khazan Che Mat berkata, analisis PRU peringkat Parlimen pada November lalu menunjukkan Seberang Takir bukan lagi kubu kuat Barisan Nasional (BN) apabila calon PAS menang bergaya dengan Seberang Takir mencatatkan 5,000 lebih majoriti memihak PAS. "Jadi saya lihat PAS-PN berpeluang utnuk menang, ditambah lagi sekarang ini banyak isu berkaitan parti kerajaan di Peringkat Persekutuan, gabungan mereka (UMNO) dengan PKR, terutamanya DAP ini menyentuk sensitiviti dan perasaan orang Melayu. "Apa yang berlaku di peringkat pusat selepas PRU yang lalu itu akan membentuk gelombang yang lebih besar di Terengganu," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa berkempen sempena PRU DUN di sini, hari ini. Beliau bersama pasukan kempennya hari ini telah menyantuni rakyat di warung-warung sekitar jeti Seberang Takir, pengusaha bot, orang ramai yang menggunakan bot penambang serta para peniaga dari DUN berkenaan. Katanya, penerimaan rakyat sepanjang kempen terhadap PAS-PN adalah sangat baik dan para pengundi sedia untuk melaksanakan tanggungjawab mengundi pada 12 Ogos nanti. "Insya-Allah saya yakin dan percaya PAS-PN mampu menang, kita cuma perlu terus memberikan penerangan kepada masyarakat terutamanya pengundi-pengundi di Seberang Takir agar mereka tidak lagi memilih BN namun memberikan undi kepada PN-PAS," ujarnya.  
02 Aug 23
583
Calon PAS Kemasik Hantar Notis Tuntut Pengfitnah Minta Maaf
Calon PAS Kemasik Hantar Notis Tuntut Pengfitnah Minta Maaf
KUALA TERENGGANU, 2 Ogos - Calon PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili menuntut permohonan maaf daripada beberapa media dan Ezza Suria Muda berhubung laporan serta kenyataan yang mempunyai unsur fitnah. Dalam surat yang dihantar oleh peguam Ir Saiful, Nordin Kassim & Aziz pada semalam itu menyatakan bahawa, bekas ADUN Kemasik itu memberi tempoh selama 24 jam dari tarikh penerimaan notis tersebut untuk menarik semua kenyataan itu. Nordin Kassim & Aziz berkata, anak guamnya turut memohon memadamkan penyiaran-penyiaran kenyataan tersebut daripada semua laman web, portal, akhbar dan mana-mana platform yang menyiarkan isu berkenaan kerana telah menyebabkan Ir Saiful menanggung ‘distress’, aib dan kerosakan reputasi. “Bahawa Puan (Ezza) perlu membuat permohonan maaf tanpa syarat dan terbuka secara bertulis kepada anak guam kami dan menyiarkan (penyataan maaf) yang sama dalam semua media yang menyiarkan isu ini. “Bahawa Puan (Ezza) perlu memberikan aku janji yang puan tidak akan mengulangi kenyataan fitnah terbabit dan membayar ganti rugi.  “Sekiranya gagal, anak guam kami akan meneruskan tindakan undang-undang dan menuntut ganti rugi atau perintah injuksi tanpa sebarang rujukan lanjut pihak puan,” ujar peguam Ir Saiful. Dalam pada itu, menurut surat berkenaan, Nordin Kassim & Aziz menegaskan bahawa dakwaan yang dibuat itu adalah tidak benar, mengelirukan dan tidak wajar sama sekali. “Kenyataan-kenyataan tersebut dibuat secara terancang lebih-lebih lagi selepas anak guam kami telah sah dicalonkan sebagai calon PAS di DUN kemasik. “Ia bersifat skandal, sensasi dan satu cubaan  pembunuhan karakter yang terancang sekali gus menimbulkan persepsi negatif terhadap anak guam kami yang juga calon PAS,” katanya. Difahamkan tuntutan sama turut diserahkan kepada Berita Harian, Harian Metro dan Utusan Malaysia. Sebelum ini, seorang wanita didakwa tiba-tiba muncul sebelum hari penamaan calon dan mendakwa 'digantung tidak bertali' oleh suaminya yang juga salah seorang calon PAS pada Pilihan Raya Umum DUN ke-15.
02 Aug 23
3211
Kerajaan Kakistokrasi Perlu Dihapuskan
Kerajaan Kakistokrasi Perlu Dihapuskan
KEMAMAN, 2 Ogos - Kerajaan yang mempunyai pemimpin yang tidak berkelayakan atau dikenali sebagai kakistokrasi perlu diturunkan bagi membangunkan sesebuah negara.  Calon N30 Kijal daripada parti Parti Islam Se-malaysia (PAS), Datuk Razali Idris menyatakan bahawa ramai di kalangan menteri yang bersama Kerajaan Persekutuan sekarang tidak menjalankan tugas dengan baik. "Kakistokrasi adalah pemimpin yang tidak kompeten ataupun tidak layak dan tidak cekap didalam menguruskan sesuatu terutama negara kita. "Di dalamnya ada yang bila dia bercakap, dia bohong, apabila dia berjanji dia mungkir dan apabila diberikan amanah dia khianati," katanya. Datuk Razali Idris atau Tok Li Beliau berkata demikian ketika Majlis Ceramah Perkenal Calon PRU Negeri ke-15 yang dianjurkan oleh PAS Kawasan Kemaman di Kampung Pengkalan Cicar, Kemaman pada 31 Julai lalu. Turut hadir berceramah adalah Hazri Jusoh, Ir Saiful Azmi Suhaili dan Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli. Beliau yang juga dikenali sebagai Tok Li, berpegalaman dalam bidang pembangunan sistem telekomunikasi dari Parti BERSATU telah dipilih oleh kepimpinan Pusat sebagai calon dan bertanding diatas tiket PAS bagi menentang Ahmad Said dari Barisan Nasional di DUN Kijal.  Senator itu juga mengupas beberapa isu negara diantaranya isu LGBT, 3R, perjanjian maritim dengan Indonesia dan akhirnya menyeru kepada yang hadir supaya bersama bekerja dan mengundi PAS. "Saya menyeru kepada semua yang hadir agar tidak memangkah BN sebaliknya mengundi PAS pada 12 Ogos nanti sebagai isyarat kepada Putrajaya bahawa seluruh rakyat telah menolak mereka," ujarnya.  
01 Aug 23
518
Ahli Politik Dalang 'Drama Murahan' Jatuhkan PAS
Ahli Politik Dalang 'Drama Murahan' Jatuhkan PAS
KUALA TERENGGANU, 1 Ogos - PAS Terengganu menegaskan isu 'drama murahan' membabitkan calon PAS Kemasik dengan seorang wanita yang ditimbulkan menjelang hari pengundian didalangi ahli politik tertentu. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata pihaknya percaya perkara itu telah dirancang lama dan ia dimainkan bagi menimbulkan persepsi negatif terhadap PAS. "Perkara ini tiba-tiba muncul, kami mendapat maklumat drama ini didalangi oleh pihak tertentu, pada kebiasaan apabila mereka kehabisan modal, akan timbulkan isu-isu peribadi dan saya yakin sebaik sahaja selesai pilihan raya dia akan berakhir begitu sahaja. "Sejarah sebelum ini membuktikan, pada PRU ke-4, PRU ke-13 pimpinan PAS diserang isu-isu peribadi tetapi akhirnya tiada tindakan pun diambil setelah berakhir pilihan raya. "Kalau ada isu boleh bawa ke Pejabat Agama untuk tindakan pihak berwajib, jadi ini satu tindakan yang tidak 'gentleman', sangat tidak bertamadun, madani jauh sekali dalam kempen untuk meraih undi rakyat Terengganu," ujarnya. Beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu, berkata demikian pada sidang media di Pejabat Perhubunagn PAS negeri, di sini, hari ini. Mengulas lanjut katanya, memang kempen murahan itu bermatlamat untuk menjejaskan kredibiliti calon untuk mengalihkan sokongan rakyat yang pada ketika ini berpihak kepada PAS. "Mainan politik menjelang pilihan raya, kalau ada bukti kukuh boleh terus ke pejabat agama, buat masa ini (didapati) ia hanya isu politik yang direka, kalau betul kenapa isu ini sebelum ini tidak didedahkan dan hanya ditimbulkan selepas penamaan calon. "Saya rasa rakyat Terengganu cerdik dan setiap kali menjelangnya pilihan raya isu ini ditimbulkan bagi mengaibkan calon-calon, ini strategi kotor daripada pihak musuh, kita tidak pernah gunakan isu sebegitu untuk lawan calon musuh, kita hanya bagitahu apa yang telah dibuat dan akan dibuat untuk rakyat," ujarnya. Tambah Dr Alias, pemilihan calon Kemasik itu telah melalui tapisan ketat dan segala perkara mengenai dirinya telah diteliti dengan sangat mendalam sebelum dipilih oleh kepimpinan. "Isu ini jika dipanjangkan akan mengaibkan orang tidak bersalah jadi ia merupakan perkara yang tidak baik sebagai orang Islam. "Saya difahamkan beberapa tindakan telah diambil oleh calon, sekiranya tidak berhenti menyebarkan berita palsu ini dia akan mengambil tindakan saman, calon berani buat tindakan tersebut bermakna dia (menyatakan) tidak bersalah," ujarnya.    
01 Aug 23
700
GLC Tengganu Terima Anugerah Peringkat Nasional
GLC Tengganu Terima Anugerah Peringkat Nasional
KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Anak syarikat kerajaan negeri, Epic Berhad menerima anugerah Company of the Year (Oil & Gas Integrated Services) CSR Leadership Award for Outstanding Community Support sempena Sustainability & CSR Malaysia Awards 2023 di sini. Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad, Ir Mukhtar Suhaili berkata EPIC Berhad merupakan salah satu daripada 55 syarikat yang terpilih menerima anugerah itu. Katanya, ia berkaitan inisiatif kemampanan, kelestarian dan CSR. “Ini termasuk pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dilaksanakan oleh syarikat sepanjang 2022. "Majlis tersebut diadakan di Mandarin Oriental Hotel, Kuala Lumpur di sini," katanya dalam kenyataan di laman Facebook Rasmi miliknya baru-baru ini. Tambah Mukhtar, anugerah telah disampaikan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Sri Nancy Shukri. “Tahniah dan terima kasih kepada semua pasukan Kumpulan EPIC yang menjayakan usaha ini. “Doakan semoga saya dan pasukan terus mampu menggalas tugasan ini dengan cemerlang. “Semoga tanggungjawab dapat ditunaikan dengan sebaiknya dalam mencari bekal khidmat untuk dibawa sampai ke Akhirat,” ujarnya.  
01 Aug 23
505
Anwar Pertahan Zahid Suburkan Politik Wang?
Anwar Pertahan Zahid Suburkan Politik Wang?
KUALA TERENGGANU, 1 Ogos - Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa menyuburkan amalan rasuah dan politik wang sangat memalukan negara. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata, perkara tersebut bukan hanya mengundang kecaman rakyat tetapi turut mengheret bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Presiden parti MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk turut menentang budaya tidak sihat itu. "Beberapa hari lepas Zahid Hamidi tanpa segan silu mengumumkan pemberian wang lebih 'setengah juta ringgit' kepada belia Terengganu sambil mengharapkan anak muda mengikut Gelombang Biru (BN) dan Gelombang Merah (PH). "Perkara ini sangat memalukan, ia mencabul proses demokrasi, namun malangnya Anwar Ibrahim dengan tegas mempertahankan Zahid Hamidi," ujarnya. Beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu, berkata demikian pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS negeri, di sini, hari ini. Tegasnya, Malaysia akan rosak jika budaya tidak sihat tersebut terus disuburkan serta tidak dibendung. "Masyarakat akan hilang rasa hormat terhadap agensi kerajaan dan kerajaan jika acuh tidak acuh dalam perkara ini," katanya. Ujarnya, kini di Terengganu rentetan daripada tindakan Zahid itu, amalan rasuah tersebut sudah menjadi ikutan di peringkat bawahan UMNO itu sendiri. "Tersebar di media sosial, calon BN di beberapa DUN di Terengganu menghulurkan wang kepada orang ramai. "Kelakukan itu seolah-olah seperti mahu mencabar pihak berkuasa dan undang-undang negara, beberapa isu ini juga menunjukkan betapa tidak 'madaninya' PH-BN dalam berkempen. Kami berharap agar tindakan tegas dapat diambil oleh pihak berkuasa," ujarnya. Tambah belau, kelakuan tersebut menjadi bukti nyata betapa kerajaan campuran hari ini gagal serta hanya sekadar bercakap tentang ketelusan serta menentang rasuah. "Jika diimbas sebelum ini mereka jugalah yang lantang bersuara agar isu rasuah dan politik eang dijauhkan dalam kempen pilihan raya. Namun kini kita boleh melihat siapa sebenarnya bercakap benar dan siapa hanya pandai bermain kata-kata. "Kita yakin rakyat Terengganu dan lima negeri lagi menolak budaya politik kuno sebegini dan akan menghukum PH-BN dalam PRU DUN kali ini," ujarnya.
01 Aug 23
166
TDM Sasar 100 Peratus Pekerja Am Tempatan Menjelang 2027
TDM Sasar 100 Peratus Pekerja Am Tempatan Menjelang 2027
KUALA TERENGGANU, 1 Ogos- TDM Berhad melalui anak syarikatnya, TDM Plantation Sdn. Bhd. (TDMP) menetapkan sasaran untuk mencapai kadar 100 peratus pekerja am dan 70 peratus penuai tempatan di ladangnya menjelang 2027. Ketua Pegawai Eksekutif TDMP, Hamdan Ibrahim, berkata, ianya merupakan sebahagian pelaburan TDM demi memartabatkan keupayaan dan potensi masyarakat tempatan, sekaligus membuktikan kadar kebergantungan industri perladangan terhadap pekerja asing dapat dikurangkan dengan usaha bersama serta meningkatkan sosio-ekonomi rakyat Terengganu.  “Kami yakin bahawa usaha ini adalah penting dalam memastikan kejayaan perniagaan kami dan kesejahteraan komuniti setempat, terutamanya pada kadar jangka masa yang panjang.” “Pelan hala tuju strategik TDMP ke arah masa depan yang lebih mampan menjadi contoh progresif terutamanya dalam industri perladangan, yang juga mencerminkan komitmen syarikat terhadap tanggungjawab sosial,” ujarnya dalam satu kenyataan. Sementara itu Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, bagi mencapai matlamat tersebut, TDMP merangka pelbagai strategi serta pendekatan yang efektif. “Syarikat merancang untuk meningkatkan penggunaan mekanisasi dan teknologi pertanian tepat (Precision Agriculture) di ladang-ladang sawit bagi meningkatkan kecekapan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh manusia. “Penggunaan mekanisasi ini juga diharapkan dapat menarik minat pekerja tempatan untuk menyertai industri perladangan. Selain itu, program latihan berterusan juga akan disediakan kepada pekerja tempatan untuk memperkasakan kemahiran dan teknik-teknik moden menggunakan peralatan-peralatan yang terkini,” jelasnya. Katanya, sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), TDM akan menggunakan ruang dan peluang yang ada untuk bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan bagi mempromosikan peluang pekerjaan di ladang-ladang sekaligus meningkatkan kesedaran masyarakat tentang manfaat serta kelebihan menjadi sebahagian kakitangan perladangan di TDMP.  “Syarikat juga komited dalam menyediakan insentif yang menarik buat para penuai tempatan, termasuk gaji berasaskan prestasi, penghargaan atas usaha kerja keras dan dedikasi para penuai,” ujarnya.  
01 Aug 23
207