lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Kerusi DUN Ajil, Maliaman Yakin Peroleh Undi Majoriti Lebih Besar
Kerusi DUN Ajil, Maliaman Yakin Peroleh Undi Majoriti Lebih Besar
HULU TERENGGANU, 6 Ogos - Calon PAS yang mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN) pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) ke 15 (PRN DUN Ke 15 ), Maliaman Kassin yakin mampu mendapat majoriti yang lebih tinggi berbanding PRU14 lalu. Beliau yang juga Mantan Pegawai Pendidikan memperoleh 8,132 undian ketika menentang Ghazali Taib daripada parti Barisan Nasional yang mendapat 8,128 undi dengan perbezaan majoriti empat undi sementara calon PKR, Zamani Mamat sekadar mendapat 679 undi. “Kita dah ada ‘fixed deposit’  sebanyak empat undi dan bergerak sejak kemenangan pada PRU14  lagi untuk berkhidmat kepada masyarakat. “Masyarakat dah melihat bagaimana khidmat sepanjang satu penggal dan  kita juga berlaku adil tanpa mengira status politik dari sudut agihan bantuan, khidmat bakti masa Covid-19 dan lain-lain gerak kerja ketika bergelar wakil rakyat. “Saya dapat lihat penerimaan rakyat diterjemahkan pada PRU15 baru ni di atas kertas undi yang mana di DUN Ajil sahaja kita dapat kemenangan untuk Ahli Parlimen Datuk Rosol Wahid yang bertanding atas tiket PAS lebih kurang 4,500 majoriti,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini, hari ini. Tambahnya, keputusan PRU15 adalah bukti penerimaan rakyat kepada PAS dan perubahan itu tidak boleh diabaikan pada PRN DUN kali ini. “Untuk PRN akan datang, kita harap momentum ataupun 'mood' pengundi itu  masih lagi kekal dan mengharapkan pengundi luar khususnya  akan balik mengundi. “Apapun, kita letakkan sandaran kepada Allah Taala... Insya-Allah lagipun kami bukan ego, yakin seratus peratus… tidak sebab kenyakinan ini berdasarkan takdir Allah Taala. “Sasaran asasnya kita nak mengekalkan kemenangan PAS di DUN Ajil selain menambah jumlah majoriti berdasarkan gerak kerja parti, masalah yang berlaku pada parti lawan, diharapkan kemenangan memihak pada PAS,” ujarnya. Kerusi DUN Ajil menyaksikan pertembungan dua penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) yang diwakili bekas timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Jailani Johari serta penyandang kerusi tersebut daripada PAS, Maliaman Kassim dalam PRN DUN pada 12 Ogos depan.  
06 Aug 23
366
KMIKT Komited Tawarkan Perkhidmatan Lebih Komprehensif
KMIKT Komited Tawarkan Perkhidmatan Lebih Komprehensif
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos- KMI Kuala Terengganu Medical Centre (KMIKT), anak syarikat bahagian penjagaan kesihatan TDM Berhad (TDM) di bawah kelolaan Kumpulan Medic Iman Sdn. Bhd. terus komited dalam memastikan perkhidmatan yang lebih komprehensif dapat disediakan kepada masyarakat setempat. Pengurus Besar KMIKT, Salina Long berkata, ianya termasuk dengan pembukaan satu pusat dialisis di dalam fasiliti KMIKT pada tahun hadapan.  "Dengan adanya pusat dialisis ini, KMIKT yakin ia dapat menampung keperluan pesakit yang memerlukan rawatan buah pinggang.   "Usaha ini selari dengan visi syarikat untuk menempatkan pelbagai perkhidmatan kesihatan dibawah satu bumbung sahaja,” ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di KMIKT. Selain itu katanya, antara perancangan pada tahun hadapan juga adalah penawaran perkhidmatan baru seperti onkologi dan neurologi untuk menyokong perkhidmatan sedia ada. "KMIKT juga bersedia untuk melabur dalam teknologi yang moden dan terkini untuk memastikan tahap perkhidmatan yang diberikan adalah bermutu tinggi dan berkembang mengikut peredaran zaman, " ujarnya. Tambah beliau, dalam memantapkan mutu perkhidmatan pelanggan juga, KMIKT berusaha untuk menyediakan perkhidmatan yang berkualiti bagi semua pelanggannya selari dengan pengiktirafan ISO: 9001:2015 dan BrandLauerate BestBrand Award yang telah di terima pada tahun 2022. "Justeru itu, KMIKT kini terus komited untuk mendapatkan pensijilan Malaysian Society for Quality in Health (MSQH) yang merupakan satu akreditasi yang mengikut piawaian dan kualiti antarabangsa untuk sektor kesihatan.  "Dengan adanya akreditasi ini, perkhidmatan penjagaan kesihatan yang selamat dan berkualiti adalah jaminan KMIKT kepada semua pelanggannya, " jelas Salina.  Mengulas lanjut, Salina memaklumkan, sejak penubuhan Servis Kardiologi dan Makmal Kateterisasi pada tahun 2020, seramai 3027 pesakit jantung telah berjaya dirawat sehingga Jun 2023.  "Angka ini dijangka akan terus meningkat berdasarkan permintaan yang sangat memberangsangkan daripada komuniti Pantai Timur.  "Antara rawatan bukan invasif yang ditawarkan di KMIKT adalah Angiogram & Angioplasti Koronari serta Kajian Elektrofisiologi Jantung, " ujarnya.  Menurut beliau, KMIKT merupakan satu-satunya hospital swasta yang menawarkan perkhidmatan jantung di Negeri Terengganu.
04 Aug 23
190
Laporan Sudah Dibuat, Bila Zahid Akan Disiasat?
Laporan Sudah Dibuat, Bila Zahid Akan Disiasat?
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Setelah empat hari laporan dilakukan berkenaan ucapan berbaur rasuah yang dilakukan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, rakyat Malaysia masih menunggu tindakan daripada pihak berkuasa. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata, tindakan ke atas Zahid wajar dilakukan segera kerana ucapannya jelas bermatlamat meraih undi. "Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu telah membuat laporan berkenaan isu ini kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ahad lepas. "Hari ini (semalam) sudah hari Khamis, kami masih belum menerima sebarang makluman dan perkembangn sama ada laporan ini sudah bermula siasatan atau pun tidak," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika sidang medianya, di Pusat Media PAS semalam. Katanya, perkembangan semasa mengenai kes tersebut sangat ditunggu-tunggu oleh rakyat kerana ia membabitkan imej negara. "Saya harap kes ini perlu disiasat segera, sebagaima segeranya siasatan dan pendakwaan terhadap Menteri Besar Kedah sebelum daripada ini," katanya lagi.
04 Aug 23
243
Terengganu Berkabung Selama Lima Hari
Terengganu Berkabung Selama Lima Hari
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin telah mengampuni perkenan tempoh berkabung selama lima hari bermula hari ini, setelah kemangkatan Bonda Baginda, Yang Teramat Mulia (YTM) Tengku Besar Terengganu Fatimah @ Sharifah Nong Alsagoff Abdillah awal pagi ini. Melalui kenyataan dikeluarkan Dato' Pengelola Bijaya DiRaja, Pejabat DYMM Sultan Terengganu, tempoh berkabung adalah sehingga 7 Ogos 2023. Sehubungan itu, lelaki beragama Islam hendaklah memakai satu inci lilitan kain putih pada songkok, dan bagi lelaki bukan beragama Islam hendaklah memakai satu inci lilitan kain putih pada songkok serta selilit kain hitam selebar tiga inci di lengan kiri baju dan memakai tali leher berwarna hitam. Manakala, bagi perempuan beragama Islam hendaklah memakai tudung berwarna putih dan perempuan bukan beragama Islam hendaklah memakai selilit kain hitam selebar tiga inci di lengan. Allahyarhamah YTM Tengku Besar Terengganu mangkat pada jam 3.17 pagi, di Kuala Lumpur. Jenazah Allahyarhamah dibawa ke Kuala Terengganu dengan menaiki pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan tiba di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) pada jam 2.45 petang tadi. Jenazah Allahyarhamah selamat dimakamkan pada jam kira-kira jam 6.10 petang di Makam DiRaja Masjid Muktafi Billah Shah. image widget
03 Aug 23
1492
'Anthony Ke Terengganu, Undi BN Dapat DAP' - PAS
'Anthony Ke Terengganu, Undi BN Dapat DAP' - PAS
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Kehadiran Setiausaha Agong DAP, Anthony Loke ke Terengganu bagi program ramah mesra pada hari ini membuktikan undi BN dapat DAP. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata, tidak pemimpin BN sepatutnya marah kerana itu merupakan hakikat yang perlu diterima berdasarkan kerjasama politik yang berlaku antara PH-BN sekarang. "Saya nak ucapkan selamat datang kepada Anthony Loke ke Terengganu Darul Iman.  "Saya lihat pemimpin dan calon-calon UMNO/BN begitu gembira dan teruja sekali untuk menyambut kedatangan pemimpin utama DAP ini sehingga banyak sekali banner yang dipasang di seluruh Bandar Kuala Terengganu," ujarnya. Beliau berkata demikian, semasa sidang medianya di Pusat Media PAS, di sini, hari ini. Ujar Dr Alias, sebagaimana diketahui umum DAP merupakan parti tunggal dalam gabungan PH-BN yang mempunyai kerusi terbanyak. "Barangkali kerana itulah pemimpin UMNO begitu ghairah menyambut beliau. "Kehadiran beliau ke Terengganu sekali gus mengiyakan (membenarkan) dan memudahkan penjelasan kita tentang undi BN dapat DAP," ujarnya lagi.
03 Aug 23
618
Sogok Pengundi : 130 NGO Gesa SPRM Siasat Zahid
Sogok Pengundi : 130 NGO Gesa SPRM Siasat Zahid
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - 130 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam di bawah Sekretariat Ummah menggesa agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan segera terhadap Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa menyuburkan amalan rasuah. Pengerusi Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI), Wan Faizul Wan Abas berkata SPRM perlu bertindak dan jangan mengamalkan sikap pilih kasih kerana tindakan Timbalan Perdana Menteri tersebut cuba menyogok belia bagi memastikan kemenangan parti pemerintah dalam pilihan raya pada 12 Ogos nanti merupakan satu kesalahan. "Apa yang kami laporkan hari ini kepada SPRM mengenai ucapan Presiden UMNO ketika program  Himpunan Belia Lestari Generasi Ungggul (LesGU) sempena program sentuhan Kasih di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) di mana beliau dengan jelas menyogok belia. "Dengan mengumumkan peruntukan geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), dan RM250,000 untuk Majlis Belia Negeri Terengganu serta RM200,000 untuk pasukan bermotosikal dan berjanji bantuan itu akan ditambah jika belia membantu parti pemerintah menang. "Ini jelas adalah satu bentuk sogokan yang berlaku secara terang-terangan oleh parti pemerintah dan kita meminta pihak SPRM menyiasat dengan setelus-telusnya dan sebera segera perkara ini supaya rakyat diberikan hak yang sepatutnya dalam menentukan pemerintah secara demokrasi yang adil," ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang medianya selepas membuat laporan kepada SPRM atas kes rasuah Zahid Hamidi, di Ibu Pejabat SPRM Terengganu, di sini, hari ini. Tegas Wan Faizul, tindakan Zahid itu merupakan satu kesalahan besar kerana pemberian itu diumumkan pada 21 Julai dan berkemungkinan bersabit dengan kesalahan di bawah Seksyen 16 (b) Akta SPRM 2009. "Iaitu menawarkan atau menyogok serta boleh disabitkanjuga dengan Seksyen 23 kerana menyalahgunakan kuasa. "Kami menyeru SPRM mengambil tindakan seberapa segera kerana kesalahan yang dilakukan ini tidak bermoral serta dilakukan secara awam dan terang-terangan sehingga tular di media sosial serta telah diketahui umum," ujarnya.  
03 Aug 23
1307
KMIKT Catat Pendapatan Tertinggi Pada 2022
KMIKT Catat Pendapatan Tertinggi Pada 2022
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Syarikat berkaitan kerajaan negeri, KMI Kuala Terengganu Medical Centre (KMIKT) berjaya menamatkan tahun kewangan 2022 dengan pendapatan tertinggi sepanjang masa sejak beroperasi di premis baru berlokasi di Batu Buruk.  KMIKT dalam satu kenyataan memaklumkan, anak syarikat bahagian penjagaan kesihatan TDM Berhad di bawah kelolaan Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd itu mencatatkan keuntungan pertama dan tertinggi sejak beroperasi di premis baru itu sejak lima tahun lepas. “Ini merupakan rekod baru dan tertinggi sejak syarikat ini di tubuhkan 17 tahun yang lalu.  “Sebelum ini keuntungan hanya dicatat pada tahun 2013 di premis lama,” ujar kenyataan itu. Kenyataan tersebut berkata, faktor utama penyumbang kepada prestasi cemerlang KMIKT adalah peningkatan dalam bilangan pesakit dalam dan pesakit luar serta pertambahan kadar penghunian bilik sebanyak 82 peratus.  “Prestasi yang konsisten ini membuktikan KMIKT kekal cemerlang sebagai hospital pakar swasta pilihan dan dipercayai,” jelasnya. Sementara itu, Pengerusi KMIKT, Mazli Zakuan Mohd Noor berkata, dalam usaha untuk meningkatkan prestasi syarikat, KMIKT akan memberi tumpuan untuk meningkatkan perkhidmatan dan sub-kepakaran dengan menawarkan pelbagai servis kesihatan yang memenuhi permintaan pelanggan. “Selain itu, fokus turut diberikan dalam meningkatkan penembusan pasaran kepada segmen pasaran baharu dan sedia ada di Pantai Timur,” ujarnya. Tambah beliau, usaha berterusan untuk mewujudkan kerjasama dengan kedua-dua sektor awam dan swasta juga akan terus diperhebat.  “Setakat ini, kerjasama di antara KMIKT dan LPPKN masih lagi diteruskan untuk Program Saringan Mammogram dimana pencarum Wanita PERKESO yang berumur 40 tahun keatas layak untuk mendapatkan ujian saringan mammogram secara percuma di premis KMIKT,” jelasnya.  
03 Aug 23
287
Portal Berita Turunkan Artikel Fitnah Terhadap Calon PAS
Portal Berita Turunkan Artikel Fitnah Terhadap Calon PAS
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos - Satu portal berita menurunkan satu artikel berbaur fitnah terhadap calon PAS bagi Dewan Undangan Negeri Kemasik selepas menerima notis tuntutan (LOD) daripada calon terbabit. Ir Saiful Azmi Suhaili berkata, peguamnya Tetuan Nordin Kassim & Aziz telah menghantar LOD pada 1 Ogos 2023 supaya artikel ‘wanita dakwa digantung tidak bertali’ ditarik balik. “Setelah pelbagai tuduhan dan fitnah yang bergelumang di dalam ruang maya telah mencemarkan imej dan kredibiliti saya, tindakan mahkamah akan diambil segera. “Ini bagi memastikan budaya politik kotor dan jijik ini dapat dihentikan melalui saluran mahkamah,” katanya dalam kenyataan di Facebook rasminya hari ini. Sebelum ini, Tetuan Nordin Kassim & Aziz turut menghantar LOD kepada wanita yang menimbulkan fitnah terbabit. Dalam tuntutan itu, Tetuan Nordin & Kassim berkata, anak guamnya menegaskan kenyataan yang bersifat skandal, sensasi adalah satu cubaan pembunuhan karakter yang terancang. Justeru, anak guam kami mahu kenyataan itu diturunkan dalam tempoh 24 jam. “Fitnah berkenaan telah menyebabkan Ir Saiful menanggung ‘distress’, aib dan kerosakan reputasi. “Sekiranya gagal, anak guam kami akan meneruskan tindakan undang-undang dan menuntut ganti rugi atau perintah injuksi tanpa sebarang rujukan lanjut pihak puan,” ujar peguam Ir Saiful.
03 Aug 23
404
Tidak Sukar PN Tembusi Kubu Kuat BN Di Telemong
Tidak Sukar PN Tembusi Kubu Kuat BN Di Telemong
HULU TERENGGANU, 2 Ogos –  Tidak mustahil Perikatan Nasional (PN) boleh menang di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong  pada pilihan raya negeri (PRN) nanti jika fenomena gelombang hijau atau peningkatan sokongan pengundi terhadap PN berterusan seperti berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). Calon Perikatan Nasional (PN) di Telemong, Zawawi Ismail berkata kejayaan PN menawan 31 daripada 32 DUN di Terengganu disifatkan rakyat dahagakan pemimpin yang membawa politik bersih, stabil dan prihatin. “Kalau kita lihat keputusan Pilihan Raya Umum ke 15 baru-baru ini iaitu peringkat  palimen dan kita klasifikasikan dalam kontek DUN.. yang mana PAS/PN memenangi 31 kerusi daripada 32.. satu je kerusi yang PAS/PN kalah iaitu Telemong. “Untuk PRN DUN, ini adalah cabaran berat bagi saya kerana saya  perlu buktikan bersama kepimpinan penyelaras DUN dengan dibantu oleh kawasan dan negeri serta pusat.. untuk pastikan kita sapu bersih. selaras slogan PAS  32-0... Insya Allah, “ katanya kepada pemberita ketika ditemui.     Tambahnya, tindakan UMNO bergabung dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk Kerajaan Persekutuan juga tidak disenangi ahli-ahli parti berkenaan menyebabkan akan berlakunya undi protes. Ini kerana, dalam gabungan PH terdapat juga parti DAP di mana bagi konteks negeri Terengganu, pengundi Melayu terlalu sukar untuk bekerjasama dan bersekongkol dengan DAP. Justeru itu katanya,  gelombang pada hari ini berlaku sebahagian penolakan ke atas UMNO itu sendiri yang tidak dapat menerima perubahan perjuangan. “Kita juga dapat melihat golongan muda pada hari sudah bosan dengan telatah-telah  UMNO  yang banyak berlaku perkara-perkara  yang tidak sesuai.Rakyat dah jemu dengan yang dilakukan pimpinan parti itu sendiri.. yang mereka rasakan UMNO ini perlu ditolak.. dan hasil itu kita lihat pada PRU ke 15.. gelombang tsunami. dan gelombang muda terutamanya,” ujarnya.
03 Aug 23
335
Bonda Sultan Terengganu Mangkat
Bonda Sultan Terengganu Mangkat
KUALA TERENGGANU, 3 Ogos- Bonda kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, Paduka Bonda Yang Teramat Mulia (YTM) Tengku Besar Terengganu Fatimah @ Sharifah Nong Assegoff Abdillah telah kembali ke rahmatullah, awal pagi hari ini. Paduka Bonda YTM Tengku Besar Terengganu, 84 tahun, diberitakan mangkat pada jam 3.17 pagi di Kuala Lumpur. Jenazah Allahyarhamah YTM Tengku Besar Terengganu dibawa pulang ke Terengganu dan tiba pada kira-kira jam 2.45 petang dengan menaiki pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Ketibaan jenazah disambut DYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bersama Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta paduka-paduka Anakanda. Jenazah kemudian diiringi ke Istana Al-Muktafi Billah Shah Batu Buruk untuk disemayamkan bagi penghormatan terakhir sebelum dibawa ke Masjid Al-Muktafi Billah Shah dengan van jenazah. Mufti Terengganu, Dato' Dr Mohamad Sabri Haron mengimamkan solat jenazah YTM Tengku Besar Terengganu selepas solat Asar. Pada jam 5.00 petang, Allahyarhamah YTM Tengku Besar Terengganu dimakamkan di Makam DiRaja Masjid Al-Muktafi Billah Shah. Sultan Mizan berkenan mencemar duli menziarahi pemakaman diiringi Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan paduka-paduka anakanda serta kerabat DiRaja. KDYMM Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan mencemar duli menziarahi pemakaman. Bacaan talkin diimamkan Mufti Terengganu sehingga selesai istiadat permakaman pada jam 6.10 petang. Sultan Mizan diiringi Sultanah Nur Zahirah berangkat pulang dari Makam DiRaja Masjid Al-Muktafi Billah Shah kira-kira 6.19 petang.      
03 Aug 23
497