Artikel "Utama" Terkini
Proses Undi Awal Di Kem Padang Midin Berjalan Lancar
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos- Proses pengundian awal Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 membabitkan pegawai dan anggota Askar Wataniah Rejimen 512 AW serta pasangan mereka di Kem Padang Midin di sini berjalan lancar.
Pusat mengundi awal di kem itu dibuka pukul 8 pagi dan proses pengundian awal di situ dijangka berakhir sebelum pukul 5 petang berikutan hanya membabitkan seramai 53 pengundi daripada 176 jumlah asal.
Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman mendapati, suasana agak tenang memandangkan rata-rata anggota dan pasangan yang hadir tidak perlu menunggu lama untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing.
Difahamkan, sebahagian besar anggota telah menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih menerusi undi pos sekali gus mengurangkan jumlah yang berdaftar sebagai pengundi awal.
Terdahulu, calon PAS Alur Limbat, Ariffin Deraman turut meninjau proses pengundian awal di sini sekitar jam 8 pagi tadi.
Beliau berharap semua anggota dan pasangan yang layak untuk mengundi awal dapat hadir menunaikan tanggungjawab mereka hari ini.
“Saya yakin mereka akan datang untuk mengundi. Memandangkan masih awal pagi dan hari ini hari bekerja, masih ada yang belum dapat keluar mengundi, InsyaAllah sebelum pusat pengundian ditutup mereka akan buat pemilihan yang terbaik,” ujarnya ketika ditemui pemberita di kem tersebut.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), peratusan keluar mengundi bagi undi awal di Terengganu mencatat 59 peratus setakat 11 pagi ini manakala Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu mencatat 53 peratus.
Sebanyak 24 pusat mengundi awal dibuka di seluruh negeri ini dimana empat di Parlimen Besut, Setiu (tiga), Kuala Nerus (tiga), Marang (empat), Hulu Terengganu (dua), Dungun (tiga), Kemaman (empat) dan satu di Parlimen Kuala Terengganu.
08 Aug 23
654
Orang Awam Lapor Polis Calon BN Cuba Sogok Pengundi
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Satu laporan Polis telah dibuat terhadap calon daripada Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, Datuk Mohd Sabri Alwi atau lebih terkenal dengan gelaran 'Mat Kerak' kerana dikatakan telah melakukan satu unsur sogokan dalam kempen Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) ke-15.
Pengadu yang juga merupakan pengundi bagi DUN Ladang, Mohd Hilmi Jusoh, 33, membuat laporan berkenaan kerana merasakan telah berlaku ketidakadilan dalam proses kempen, selain calon didakwa telah melanggar peraturan yang digariskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Hari ini, saya membuat laporan berkenaan sogokan pilihan raya yang mana berdasarkan maklumat yang kita terima daripada facebook mengatakan bahawa satu unsur sogokan berlaku di Pangsapuri Ladang Gemilang pada 4 Ogos, baru-baru ini.
"Calon BN, Datuk Sabri yang berada di program tersebut iaitu program 'Tukar Minyak Hitam' bersama beberapa petugasnya yang dihadiri oleh 'rider-rider'.
"Calon itu berada di situ dan ada bukti bergambar menunjukkan beliau menuang sendiri minyak hitam ke dalam motosikal salah seorang penerima dan kita lihat ia satu unsur sogokan dan kita dapati ada dalam Seksyen 8,9, atau 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, yang melibatkan larangan program penjamuan, pemberian hadiah dan perkhidmatan yang berlaku dalam program tersebut.
"Di gambar itu jelas pemberian dan perkhidmatan daripada calon BN itu sendiri, saya membuat laporan bertujuan supaya tindakan diambil kepada pihak berkenaan," katanya yang menyifatkan bahawa tidak adil sekiranya satu pihak patuh, manakala satu pihak lagi yang bertanding tidak patuh.
Sebelum ini, BN merupakan parti yang lantang dengan mengemukakan petisyen pilihan raya bagi P036 Parlimen Kuala Terengganu, baru-baru ini dengan akta yang sama.
"Ini satu yang tidak adil bagi mereka melanggar akta yang mereka laungkan dan petisyenkan baru-baru ini," katanya.
Untuk rekod, bagi Seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 – Penjamuan.
Setiap calon boleh dianggap melakukan rasuah dengan menawarkan makanan, minuman kepada bakal pengundi kerana tindakan tersebut menunjukkan penghargaan supaya pengundi mengundi mereka. Petikan Seksyen 8 adalah seperti berikut:
“...dan tiap-tiap orang yang secara rasuah… memberikan atau mengadakan atau membelanjakan apa-apa makanan, minuman, atau makanan atau minuman ringan atau bekalan itu atau mana-mana wang atau tiket itu atau yang menggunakan apa-apa cara atau tipu daya lain bagi maksud untuk mempengaruhi...supaya memberikan atau tidak memberikan undinya dalam pilihan raya itu….untuk membolehkan makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan itu didapatkan bersalah atas kesalahan menjamu.”
Kata kuncinya adalah ‘secara rasuah’, mempunyai niat dengan memberi makanan atau minuman yang ditawarkan tersebut. Sudah tentu modus operandi amalan sebegini kerap berlaku dalam politik Malaysia.
Manakala, Seksyen 9 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 - Pengaruh tidak wajar, merujuk kepada “pengaruh yang tidak wajar” yang boleh menjadi kesalahan jika seseorang menggunakan kekerasan atau keganasan atau menghalang sehingga memaksa seseorang mengundi dengan cara tertentu, atau tidak mengundi langsung.
Dan mengikut Seksyen 10 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 - penyogokan, penyogokan berlaku sekiranya calon atau mana mana individu menawarkan ‘pembelian undi’ sama ada secara langsung atau tidak langsung seperti memberikan atau menawarkan wang, hadiah,pekerjaan, atau pinjaman ketika proses pilihan raya.
08 Aug 23
2721
Polis Hulu Terengganu Tidak Terima Laporan Salah Laku, Khianat Sepanjang Kempen PRN15
HULU TERENGGANU, 8 Ogos - Polis Hulu Terengganu mengesahkan tidak menerima sebarang laporan berkaitan salah laku proses berkempen yang dilakukan oleh parti yang bertanding sepanjang berkempen pada Pilihan Raya Dewan Undangan Negeri ke 15 (PRN DUN Ke 15) hingga hari ini.
Pemangku Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, YM ASP Raja Saripah Robiah Raja Sulaiman berkata, bagi Parlimen Hulu Terengganu tidak ada kes atau kertas siasatan dibuka.
"Setakat ini tidak ada aduan bersabit kesalahan PRU, perbuatan khianat atau apa-apa kes jenayah yang berlaku sepanjang tempoh berkempen daripada mana-mana parti politik yang bertanding.
"Secara keseluruhannya, kesemua parti yang bertanding menunjukkan pematuhan dan prestasi baik dalam tempoh berkempen dengan mematuhi peraturan dan undang-undang Akta Pilihan Raya... saya berharap momentum ini dapat dipertahankan sehingga hari pengundian nanti," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuang undi di Pusat Pengundian Awal di Dewan Kelah, Kompleks PDRM, di sini.
Menurut Raja Saripah Robiah, proses pengundian awal ini dijalankan bermula jam 8 pagi hingga 5 petang di dua lokasi iaitu Dewan Kelah, Kompleks Perumahan PDRM Hulu Terengganu (220 anggota) dan Balai Polis, Ajil (12 anggota).
"Alhamdulillah proses pengundian awal berjalan lancar yang mana pegawai dan anggota telah keluar menunaikan kewajipan masing-masing sejak jam 8 pagi tadi," ujarnya.
08 Aug 23
523
Ariffin Harap Majoriti Kemenangan PAS di Alur Limbat Bertambah
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos- Calon PAS Alur Limbat, Ariffin Deraman berharap pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut dapat memberi majoriti kemenangan yang lebih besar kepada PAS-Perikatan Nasional (PN) di hari pengundian Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 pada 12 Ogos ini.
Pada PRU Ke-14, Ariffin daripada PAS menang dengan mendapat 13,330 undian ketika menentang Saiful Bahri Baharuddin daripada parti Barisan Nasional (BN) yang mendapat 9,136 undi dengan majoriti undi sebanyak 4,194.
Sebelum itu semasa PRU-13, beliau yang pertama kali bertanding atas tiket PAS turut menang dengan majoriti 645 undi ketika menentang calon BN, Alias Abdullah.
“Saya telah diberi peluang oleh parti PAS untuk bertanding dalam PRU Ke-13, pertama kali masuk bertanding saya mendapat kemenangan tipis iaitu majoriti 645 undi. Ketika penggal pertama saya masih lagi jadi pembangkang.
“Pada PRU Ke-14, alhamdulillah diberikan undi yang besar iaitu saya menang lebih daripada 4,000 majoriti. Satu jumlah yang besar, bila saya menang kali kedua, saya diamanahkan sebagai exco kerajaan negeri iaitu sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri,
“Terima kasih kepada parti, kerajaan negeri yang telah beri peluang kepada saya untuk menjadi sebahagian penggubal dasar Negeri Terengganu. Banyak yang saya belajar sepanjang lima tahun mentadbir negeri,” ujarnya.
Justeru katanya, beliau mengharapkan majoriti kemenangan pada kali ini akan lebih bertambah berbanding PRU Ke-14.
“Alur Limbat ini kawasan exco, macam-macam kelebihan yang boleh dibawa ke kawasan ini.
"Jadi kalau dulu kita dah undi PAS, dah beri kemenangan, kali ini saya berharap kita dapat tambah lagi majoriti kita," ujarnya.
Arinffin berkata, beliau yakin pengundi DUN Alur Limbat akan membuat pilihan yang bijak dengan terus memilih kerajaan yang dapat mentadbir Terengganu selari dengan prinsip maju, berkat dan sejahtera.
07 Aug 23
180
Undi di Enam Negeri, Isyarat Kepada Putrajaya
BESUT, 7 Ogos - Parti Islam Semalaysia (PAS) menyeru semua pengundi di enam negeri yang bakal menunaikan tanggungjawab, 12 Ogos ini supaya menzahirkan isyarat amaran kepada Putrajaya dengan memberikan undi kepada Perikatan Nasional (PN)/PAS.
Calon PAS yang bertanding bagi kerusi N02 DUN Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman menyifatkan, undi untuk Perikatan Nasional (PN) adalah lontaran suara rakyat terhadap kesombongan dan kerakusan kepimpinan kerajaan hari ini.
"Kita bukan setakat mengundi calon sahaja, kesan undi kita akan mencorakkan pemerintahan bukan setakat negeri Terengganu, tetapi kita menghantar satu signal kepada Persekutuan bahawa kita tidak bersetuju dengan pemerintahan sekarang.
"Asasnya adalah prinsip perjuangan, yang kita lihat adakah kita mahu mengekalkan pemimpin sebegini? Bercakap bohong, janji tidak ditepati? Itu asasnya," katanya.
Menurutnya, setiap pengundi harus berfikiran jauh, bukan sekadar pada calon semata-mata, sebaliknya menilai misi dan ke mana sokongan serta dokongan calon dipilih yang akan dibuat.
Beliau mengajak seluruh pengundi, terutama di kerusi DUN Kota Putera supaya berfikir tentang perkara yang diutarakan.
"Bukan sekadar tentang Dato'Pehimi (calon BN) sahaja, tetapi masalahnya jika dia menang, dia akan memberikan sokongan kepada kepimpinan sedia ada yang kita tahu korup, melakukan pembohongan, ugutan dan melanggar peraturan sesuka hati.
"Adakah Dato'Pehimi seorang boleh mengubah Dato' Seri Zahid (Hamidi)? Kena jentik sajalah.
"Saya rasa, lebih berbaloi kita (pengundi) bawa satu agenda lebih besar iaitu perpaduan ummah dan juga usaha menjatuhkan kepimpinan yang penipu itu," katanya.
07 Aug 23
246
Gelombang Ahli UMNO Sokong PAS Bakal Gugat Kerajaan Persekutuan
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Perubahan Kerajaan Persekutuan yang disebutkan bukanlah khayalan ataupun mimpi di siang hari, Perlembagaan Persekutuan membolehkan ia berlaku mengikut aturan yang ditetapkan.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata apatah lagi jika perubahan itu diinginkan oleh majoriti rakyat.
Katanya, petanda itu semakin memuncak dari hari ke hari.
“Sebagai bukti, dalam waktu kempen, gelombang perubahan itu mula menular dari satu tempat ke tempat yang lain, ramai akar umbi UMNO menzahirkan sokongan kepada PAS/PN.
“Contohnya di DUN Tepoh, orang kuat UMNO di beberapa cawangan seramai hampir 100 orang telah mengisytiharkan keluar UMNO dan memberikan sokongan kepada PAS,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Isu Semasa bertempat di Pusat Media PAS Terengganu, Lot 9k Plaza Padang Negara Terengganu di sini hari ini.
Tambah Dr Alias, keluarnya mereka daripada UMNO adalah kerana merasakan dikhianati oleh pemimpin atasan sendiri dan kerana tidak rela bersekongkol dengan PH terutamanya DAP.
“Begitu juga di kebanyakan DUN lain dan gelombang penolakan terhadap BN-PH ini tidak terhenti di situ, ramai lagi dijangka akan keluar daripada UMNO sama ada secara zahir di pentas ceramah ataupun sebaliknya.
“Kita juga mendapat banyak maklum balas daripada ahli UMNO yang masih kekal dalam UMNO,” katanya.
Beliau berkata, mereka juga memilih untuk memberikan undi kepada PAS dalam pilihan raya ini supaya menjadi isyarat dan teguran kepada kepimpinan UMNO untuk kembali kepada perjuangan asal UMNO.
“PAS Terengganu sangat mengalu-alukan kehadiran dan sokongan mereka dan semoga ia mampu menguatkan PAS/PN bagi membina negeri yang sejahtera,” ujarnya.
07 Aug 23
188
Pengundi Awal Perlu Buat Pilihan Bijak
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos- Pengundi awal yang akan menunaikan tanggungjawab pada Selasa (esok) diharap membuat keputusan tepat demi menentukan masa depan negeri pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15.
Calon PAS Alur Limbat, Ariffin Deraman berkata, anggota dan pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta polis bersama pasangan masing-masing perlu membuat pertimbangan sewajarnya dengan bijak sebelum memilih calon.
“Esok adalah hari mengundi awal. Dalam DUN Alur Limbat terdapat lebih daripada 100 pengundi awal, saya mendoakan pengundi-pengudi awal kita dapat buat pilihan yang terbaik tanpa takut kepada sesiapa.
“Fikirkan sejenak apa yang berlaku dalam negara dan negeri kita, saya yakin sahabat-sahabat semua bijak pandai dan tahu untuk buat pemilihan yang sebaiknya,” ujarnya.
Katanya, PRU (DUN) Ke-15 amat penting bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang mampan, berkebajikan, stabil dan bersih.
“Untuk itu, kita semua perlu memilih pemimpin dan parti yang benar-benar dapat bekerja buat rakyat dan negeri ini,” ujarnya.
SPR menetapkan tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi PRU (DUN) Ke-15 membabitkan enam negeri dan Pilihan Raya Kecil Kuala Terengganu masing-masing pada 29 Julai dan 8 Ogos, manakala hari pengundian pada 12 Ogos ini.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari penamaan calon pada 29 Julai lepas dan akan berakhir pada 11.59 malam, 11 Ogos.
07 Aug 23
105
UMNO Terdesak, Guna Warga Emas Cetus Perang Saraf
SETIU, 7 Ogos - Tindakan UMNO BN yang memanipulasi kesihatan seorang wanita tua demi membangkitkan isu takfiri disifatkan sebagai terdesak untuk menyekat sokongan rakyat terhadap Perikatan Nasional.
Timbalan Presiden PAS, Dato' Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ketandusan idea menyebabkan taktik perang saraf tidak bermoral itu dilakukan sebagai kempen jelik bagi mengalih perhatian rakyat terhadap masalah yang berlaku di peringkat nasional.
"Perkara itu sengaja dicetuskan kerana tiada modal (bagi meraih undi rakyat) akhirnya ia ditimbulkan bagi mengalih tumpuan orang Melayu.
"Dari segi untuk menyelesaikan masalah ekonomi, hilang hala tuju jadi dialihkan kepada isu-isu sebegini.
"Sebenarnya makcik (yang dipergunakan) ini ramai yang kenal dan diketahui masalah nyanyuk kerana itu keluarga dia minta supaya jangan diviral untuk tujuan jahat, dirakam kemudian disebarkan jadi keluarganya sangat dukacita dengan pihak-pihak sebelah sana (PH-BN)," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir Ceramah Perdana, di Pasar Wakaf Tengah, Batu Rakit, di sini, semalam.
Mengulas lanjut katanya, tohmahan mendakwa bahawa Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menkafirkan UMNO adalah tidak berasas kerana isu takfiri itu terbit daripada kenyataan bekas pimpinan yang pernah bersama PAS dan telah pun menyertai UMNO.
"Kita sentiasa berjumpa UMNO berbincang termasuk telah agenda menyatukan ummah dibincang secara bersama.
"Dari segi logiknya di mana kita mengkafirkan UMNO? kalau kita boleh duduk berbincang sekali, malah pernah mengajak untuk bersama dalam Perikatan Nasional (PN)," ujarnya.
Justeru katanya, rakyat jangan terpedaya dengan isu-isu serta provokasi murahan yang dicetuskan di kala rakyat pada ketika ini mahu melakukan perubahan besar negara bagi memastikan pentadbiran lebih baik dapat dicapai selepas Pilihan Raya Umum Dewan (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas 12 Ogos nanti.
07 Aug 23
307
Calon PAS Bukit Tunggal Terima Sokongan Padu Rakyat
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos – Pemilihan calon baharu Parti Islam Se-malaysia (PAS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal, Sr Zaharuddin Zahid dilihat bertepatan dengan aura yang dibawa beliau di sini.
Ini terbukti apabila sambutan hangat diterima Zaharuddin sepanjang sembilan hari berkempen sempena Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri pada 12 Ogos ini.
Zaharuddin berkata walaupun kempen baharu memasuki hari kesembilan, namun sambutan diterima PAS begitu memberangsangkan dan amat positif.
Katanya, sambutan tersebut bukan sahaja dari kalangan orang dewasa malah golongan muda.
“Kita akan terus bekerja kuat sepanjang tempoh berkempen untuk meyakinkan pengundi tentang kemampuan serta keupayaan PAS mentadbir negeri ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas program bertemu rakyat di Kampung Pulau Ketam, Pulau Duyong semalam.
Tambah Zaharuddin, kawasan Bukit Tunggal ini telah lama dimenangi oleh PAS sejak daripada 2004 sehingga sekarang yang diterajui oleh mantan ADUN, Dato’ Dr Alias Razak.
"Antara yang perlu kita buat untuk menguatkan lagi sokongan rakyat di sini ialah dengan menambahkan lagi cawangan serta keahlian PAS di seluruh DUN ini.
“Ia bagi memastikan kekuatan akar umbi dapat diperkuatkan sebaik-baiknya,” ujarnya.
Hal ini kerana, kekuatan sesuatu parti itu dipengaruhi oleh ramainya bilangan ahli dan banyaknya cawangan yang berada di sesuatu kawasan.
07 Aug 23
536
Calon PAS Rantau Abang Berpotensi Raih Majoriti Besar
DUNGUN, 6 Ogos – Rakyat yakin calon Parti Islam Se-malaysia (PAS) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang berpotensi memperoleh majoriti terbesar pada Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri, 12 Ogos ini.
Salah seorang pengundi DUN Rantau Abang, Muhammad Attif Hannan Arifin, 23, berkata, rakyat di DUN itu telah lama mengenali calon tersebut yang merupakan golongan agamawan.
Katanya, calon tersebut pernah belajar di Yaman dan sekarang berkhidmat untuk masyarakat di DUN ini.
“Ustaz Mohd Fadhli terkenal dengan sifat lemah lembut dengan senyuman manis serta mudah mesra dengan penduduk kampung di sini.
“Saya juga bersetuju bahawa PAS meletakkan pemuda untuk menerajui kepimpinan di negeri ini,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada hari ini.
Terdahulu ketika pengumuman calon PAS, Mohd Fadhli berkata sokongan hebat orang muda terhadap PAS memberi keyakinan kepadanya untuk menjalankan amanah menerajui pimpinan.
“Suasana politik tanah air di negeri ini dapat dilihat bahawa golongan muda lebih cenderung memilih Parti PAS.
“Hal ini kerana, golongan muda zaman sekarang bijak dalam memilih parti yang mengajak ke arah kebaikan dan mencegah keburukan.
“Saya sebagai calon baharu banyak lagi yang perlu dipelajari dan saya akan rujuk mereka yang telah lama dalam kepimpinan,” ujarnya.
06 Aug 23
568