lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

JKR Sedang Nilai Struktur Tanah di Flat Bukit Kecil
JKR Sedang Nilai Struktur Tanah di Flat Bukit Kecil
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos – Jabatan Kerja Raya (JKR) dalam proses penilaian tanah terhadap dua runtuhan kecil di bukit berhampiran Flat Bukit Kecil, Kuala Terengganu di sini sebelum mengambil tindakan lanjut. Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata kejadian itu sudah berlaku pada musim tengkujuh tahun lepas. Katanya, pihaknya sudah menulis surat bagi permohonan peruntukan kepada Jabatan Kajian Tempatan (JKT). “Susulan itu, JKT akan turun melihat bukit tersebut pada 10 Ogos 2023, esok untuk membuat penilaian bagi tindakan selanjutnya. "Anggaran awal dibuat oleh JKR adalah sebanyak RM3.1 Juta kerana dikesan terdapat dua tempat berlaku runtuhan di bukit itu," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada hari ini. Tambah Rosli, penentuan kos sebenar pembaikan hanya boleh dibuat selepas kerja-kerja penyiasatan tanah (soil investigation) dilakukan. Seterusnya, pihak JKR akan menyediakan rekabentuk dan skop kerja perlindungan hakisan bukit berkenaan setelah kerja-kerja penyiasatan tanah dilakukan. "Segala tindakan dan perlindungan komponen hanya boleh dibuat setelah kerja-kerja penyiasatan tanah dilaksanakan. “Jadi tak semestinya Rm3.1 Juta, mungkin akan lebih atau berkurang daripada jumlah tersebut. “JKR memerlukan peruntukan sebanyak RM200 ribu untuk memulakan kerja-kerja penyiasatan tanah,” ujarnya.
09 Aug 23
442
Pendapatan Hotel Paya Bunga Meningkat 40 Peratus
Pendapatan Hotel Paya Bunga Meningkat 40 Peratus
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos - Hotel Paya Bunga (PB), milik penuh kerajaan Terengganu berjaya meningkatkan pendapatan bagi tahun 2022 sebanyak RM15.7 juta atau 40.2 peratus berbanding 2021. Pengerusi Lembaga Pengarah Hotel PB, Ahmad Shah Mohamed berkata, berdasarkan prestasi itu pihaknya menyasar pendapatan RM20.5 juta pada 2023 menerusi pelbagai pakej perkhidmatan yang ditawarkan. Katanya, setakat Julai lalu, Hotel PB mencatatkan jumlah pendapatan sebanyak RM10.3 juta dan jangkaan pendapatan itu realistik berdasarkan prestasi kewangan Hotel PB yang terus mencatatkan pertumbuhan memberansangkan. “Pada tahun 2022, jumlah pendapatan Hotel PB adalah sebanyak RM15.7 juta iaitu peningkatan sebanyak 40.2 peratus berbanding jumlah pendapatan pada tahun 2021 iaitu sebanyak RM11.2 juta. Disebalik kenaikan kos operasi seperti kenaikan harga barang dan gaji minimum, pihak pengurusan telah berjaya mengekalkan keuntungan sebelum cukai melebihi RM2 juta setahun,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. Menurut Ahmad Shah, Hotel PB mencatat keuntungan sebelum cukai sebanyak RM2.6 juta pada tahun 2022 dan RM2.7 juta pada tahun 2021. Beliau yang juga mantan ADUN Bandar memaklumkan, Hotel PB telah mendapat kontrak bekalan makanan dan minuman daripada salah satu anak syarikat Petronas pada Jun lalu. “Kontrak ini akan terus mengukuhkan lagi prestasi kewangan hotel pada tahun-tahun akan datang. Menurut beliau lagi, perkhidmatan yang terbaik dan kepuasan para tetamu hotel menjadi keutamaan kepada ahli lembaga pengarah, pengurusan serta semua kakitangan. “Baru-baru ini, Hotel PB telah mendapat anugerah Best City Hotel By Country oleh International Travel Award 2023 yang telah diadakan di Dubai. "Kami akan terus mencari peluang perniagaan di dalam bidang hospitaliti terutamanya perkhidmatan bekalan makanan dan minuman, kemudahan dan pengurusan acara serta lain-lain bagi mengukuhkan lagi kewangan," ujarnya.  
09 Aug 23
272
"Pelik, Peguam Pendakwaan Zahid Digugurkan" - Tok Li
"Pelik, Peguam Pendakwaan Zahid Digugurkan" - Tok Li
KEMAMAN, 9 Ogos - Calon PAS-Perikatan Nasional (PN) Kijal, Dato' Razali Idris atau Tok Li mempersoalkan kenapa peguam pendakwaan yang lantang mendedahkan penyelewengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi digugurkan dengan tiba-tiba menjelang keputusan terhadap 47 kesnya. Katanya, perkara itu sangat pelik kerana tiba-tiba sahaja Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun mengeluarkan kenyataan Datuk Raja Rozela Raja Toran yang mengetuai kes Timbalan Perdana Menteri itu memohon untuk bersara awal pada 3 April lalu dan berkuatkuasa pada 1 November ini. "Semakin pelik apabila semua ini dikeluarkan pada ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-15, apa yang sudah berlaku sebenarnya?. "Adakah ada tangan-tangan ghaib yang memaksa atau ada tekanan sehingga tiba-tiba ketua pasukan pendakwaan kes berprofil tinggi melibatkan seorang Timbalan Perdana Menteri merangkap menteri kabiner kerajaan perpaduan ala madani tidak lagi mengendalikan kes berkenaan? "Rakyat semakin tertanya-tanya walaupun jawapan sudah dikeluarkan secara umum,"ujarnya melalui suatu kenyataan di facebooknya, di sini, hari ini. Calon PN Kijal itu mengajak rakyat di negeri yang menghadapi PRN khususnya di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang agar membuat pertimbangan yang terbaik untuk memilih pemimpin berintegriti berdasarkan kes yang dihadapi Zahid ini. Katanya, 47 kes dihadapi Zahid itu antaranya kes pecah amanah, didakwa menggunakan dana milik Yayasan Akal Budi untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadi. "Polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya,  memindahkan wang ke firma guaman dan membuat sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Diraja Malaysia. "Beliau dituduh melakukan perbuatan itu di Affin Bank Berhad Cawangan Jalan Bunus, Off Jalan Masjid India di sini, antara 13 Januari 2014 dan 23 Disember 2016. "Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara antara dua dan 20 tahun serta dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan," ujarnya.
09 Aug 23
295
Ahmad Said 'Tenggelam' Di Sebalik Tok Li
Ahmad Said 'Tenggelam' Di Sebalik Tok Li
KEMAMAN, 8 Ogos - Poster gergasi calon PAS, Tok Li atau Dato' Razali Idris yang dipasang penyokong PAS di Kampung Bukit Kuang, Kijal menenggelamkan poster calon BN sehingga mencuri tumpuan orang ramai. Pengarah Majlis Tindakan DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh berkata billboard bersaiz 40x40 itu dihasilkan menggunakan duit ahli dan penyokong PAS serta orang perseorangan. “Semangat penyokong PAS-Perikatan Nasional untuk merampas DUN Kijal daripada Dato’ Seri Ahmad Said cukup tinggi, ramai datang untuk sama-sama memasang poster in. “Kami mula memasang billboard ini pada jam 11 malam dengan tenaga dalam 50 orang. Kira-kira dalam masa lima jam poster dan kerangka siap dipasang,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini. Terdahulu, tular di media sosial poster gergasi yang memaparkan gambar Tok Li di sebelah poster Ahmad Said. Poster ini menarik perhatian orang ramai untuk bergambar dan memuji kekreatifan anak muda di DUN terbabit. Sementara itu, mengulas tentang peluang untuk menang di Kijal, Tok Li berkata Kijal kini bukan lagi kubu BN, walaupun Ahmad menang di kerusi itu selama sembilan penggal sejak 1990.  Ujarnya, sokongan terhadap Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu itu dilihat semakin berkurangan setiap kali pilihan raya.  “Sokongan terhadap Ahmad juga jelas menurun ketika beliau bertanding di kerusi Parlimen Kemaman tahun lalu.  “Ketika bertanding di kerusi Parlimen, beliau kalah bagi peti undi DUN Kijal, jadi DUN Kijal ini bukan lagi Kubu kuat BN dan sokongan rakyat mula berubah,” katanya.
08 Aug 23
1115
Pasangan Lena Dibuai Mimpi Dicekup Pejabat Agama
Pasangan Lena Dibuai Mimpi Dicekup Pejabat Agama
DUNGUN, 8 Ogos – Sepasang kekasih yang kononnya berhenti untuk tidur antara tiga pasangan yang ditahan oleh Pejabat Agama Daerah Dungun dalam satu Operasi Bersepadu di sekitar Pantai Dungun di sini. Ketua Unit Penguatkuasaan (KUP) Pejabat Agama Daerah (PAD) Dungun, Ahmad Mohsein Zakaria berkata kesemua pasangan tersebut dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 34 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana melakukan perbuatan tidak sopan di tempat awam. Beliau yang mewakili Pegawai Agama Daerah Dungun berkata mengikut pertuduhan, dua pasangan ditangkap melakukan perbuatan tidak sopan di sekitar pesisir pantai manakala satu pasangan di dalam kereta. “Berdasarkan fakta kes pasangan dalam kereta, sepasukan pegawai dan anggota penguatkuasa syariah daerah melakukan rondaan dan ternampak sebuah kereta mencurigakan di tepi pantai berkenaan. “Anggota kemudian menghampiri kenderaan itu bagi tujuan pemeriksaan sebelum mendapati sebuah pasangan sedang tidur di dalam kenderaan,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika siang media selepas Operasi Bersepadu Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah bersama Pejabat Agama Daerah (PAD) Dungun bertempat di sekitar pantai Dungun baru-baru ini. Tambah Mohsein, pemeriksaan lanjut mendapati lelaki adalah seorang duda manakala perempuan mempunyai status janda. Susulan itu, pasangan terbabit ditahan dan dikenakan tindakan kaunseling serta diminta hadir ke Pejabat Agama Daerah Dungun untuk tindakan lanjut. Sementara itu, tinjauan turut dilakukan hotel-hotel di sekitar Dungun, namun tiada kes yang berjaya dikesan oleh pihak Penguatkuasa. “Hotel-hotel yang diperiksa juga memberi kerjasama yang baik sepanjang operasi dijalankan. “Operasi yang bermula pada jam 10 malam itu melibatkan tujuh orang pegawai penguatkuasaan Syariah (PPS) (PAD) Dungun serta seorang PPS sukarela. "Pola kes dalam Daerah Dungun menunjukkan perkembangan positif dari sudut pengurangan kes tangkapan. “Hal ini kerana, timbulnya kesedaran atas usaha kekerapan penguatkuasa PAD Dungun melakukan operasi, pemantauan dan sebagainya dalam daerah berkenaan,” ujarnya. Beliau berharap, agar kes tangkapan sentiasa berkurang sehingga mencapai angka sifar kes tangkapan khalwat dalam Daerah ini.      
08 Aug 23
718
Berbaki Tiga Hari Kempen, PAS Sedang Mendahului
Berbaki Tiga Hari Kempen, PAS Sedang Mendahului
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Pengarah Pilihan Raya PAS Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, Perikatan Nasional (PN)-PAS sedang mendahului dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 ketika tempoh berkempen berbaki tiga hari sahaja lagi. Katanya, dengan meletakkan sasaran untuk menyapu bersih 32 kerusi DUN Terengganu pada PRU (DUN) 12 Ogos ini, jentera parti perlu terus fokus kepada usaha menyantuni seramai mungkin masyarakat. “Alhamdulillah, saya sangat seronok bila saya dah pusing satu negeri, kempen kita berjalan dengan baik. “Semakin dekat dengan hari mengundi, nak kata agresif pun tidak, kita ‘steady’ je, sebab kita ada jadual kempen bermula selepas penamaan calon 29 Julai lepas. “Sebahagian besar calon-calon kami (PAS) mula menyantuni rakyat sejak awal pagi bermula dengan solat subuh di masjid, aktiviti ziarah serta lain-lain. Pada sebelah malam pula adakan ceramah dengan keizinan pihak berkuasa,” ujarnya. Beliau yang juga calon PAS Alur Limbat berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas meninjau proses undi awal pegawai dan anggota Askar Wataniah Rejimen 512 AW serta pasangan di Kem Padang Midin, di sini, hari ini. Ariffin berkata, berdasarkan pertemuan yang diadakan sokongan rakyat dilihat berpihak kepada PAS dan jentera parti juga mematuhi peraturan yang telah ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh berkempen. “Ini termasuk tidak boleh melakukan sebarang pemberian yang boleh dianggap rasuah, petugas kita memahami, kita hanya rayu undi dengan bawa risalah serta beri penjelasan dan pencerahan berhubung agenda untuk rakyat. “Secara zahirnya, pendekatan kita diterima baik masyarakat dan tiada sebarang provokasi. Saya lihat di setiap DUN, dari segi undi kita tidak tahu, tetapi dari segi kempen kita mendahului,” ujarnya.  
08 Aug 23
127
30 Vs 10, Kupas Realistik Dalam Retorik
30 Vs 10, Kupas Realistik Dalam Retorik
BESUT, 8 Ogos- Sekalipun Tawaran 30 Akujanji Barisan Nasional (BN) Terengganu dilihat lebih 'menggiurkan' rakyat negeri itu, parti PAS yang menjadi lawan tunggal dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (PRU DUN) ke-15 merasakan Manifesto PAS lebih realistik. Calon PAS bagi kerusi DUN Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pengundi perlu menilai realiti dalam retorik yang dibentangkan. "Tawar sebanyak 30 atau lebih, terpulang kepada mereka. Tetapi, seperti mana yang diputuskan kepimpinan kita, manifesto yang kita buat ini berpijak di bumi nyata kerana kita menyedari kemampuan dan menyelaraskan tawaran dengan sumber pendapatan kita. "Kalau hendak komen kepada akujanji mereka, contohnya mahu memberi RM1,500 sebulan kepada lepasan ijazah yang tidak bekerja (Skim Latihan Graduan). "Ia suatu angka yang tidak jelas kos dan nilainya tanpa mengambil kira kantung kewangan negeri. "Bagi saya, ini menimbulkan kerisauan ia tidak akan dapat dilaksanakan (kerana jumlahnya tidak jelas)," katanya. Tambah Nurkhuzaini, perkara itu jelas memperlihatkan perbezaan antara tawaran daripada kedua-dua pihak. Jelasnya, walaupun ada sumber kewangan sebagai pentadbir negeri, tetapi tidak boleh sewenang-wenangnya membelanjakan wang begitu sahaja. "Apabila kita sebut dalam manifesto, kita jelaskan, contohnya geran sebanyak RM5 juta untuk Tabung Geran Usahawan Belia dan Tabung Bantuan Pertanian, Penternak dan Nelayan sebanyak RM10 juta. "Di sini, perbezaan jelas antara kedua tawaran berdasarkan logik akal dan disebabkan itu, manifesto yang kita tawarkan lebih nyata untuk dilaksanakan," katanya. Kenyataan beliau itu diperkukuhkan lagi dengan rekod PAS Terengganu ketika mentadbir negeri pada penggal 2018-2023.   Sepanjang pentadbiran, PAS berjaya melaksanakan 20 manifesto yang dijanjikan secara berperingkat walaupun berdepan tempoh kritikal ketika pandemik COVID-19 dan 20 manifesto itu akan terus berjalan. "Sebelum ini, kita sudah berjaya melaksanakan 20 manifesto dan kali ini kita menggunakan penelitian yang sama oleh pakar-pakar yang sama dikepalai Dato' Dr Alias Razak," katanya.
08 Aug 23
251
Kempen PH-BN Londeh Niat Jahat Sendiri
Kempen PH-BN Londeh Niat Jahat Sendiri
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Kempen PH-BN yang menyatakan pentingnya memilih Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan daripada parti politik sama adalah strategi 'melondehkan kejahatan' sendiri. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata hujah kononnya bagi memastikan peruntukan dan pembangunan akan sampai ke Terengganu sebenarnya amat lemah kerana Terengganu adalah salah sebuah negeri yang membentuk Persekutuan dan hubungan ini dijamin oleh asas perlembagaan yang kukuh. Katanya, Pemberian Persekutuan kepada negeri juga sudah pun termaktub dalam Perlembangaan Persekutuan ini. “Secara umumnya Terengganu menerima 10 jenis pemberian daripada Persekutuan yang kesemuanya berjumlah sekitar RM400 juta setahun. “Pemberian ini termasuklah Pemberian Penyelenggaraan Jalan Negeri, Pemberian Di Bawah Senarai Bersama, Pemberian Berdasarkan Tahap Pembangunan Ekonomi, Infrastruktur dan Kesejahteraan Hidup. “Geran Tahunan Kepada Pihak Berkuasa Tempatan (GTBKK) dan Pemberian Mengikut Bilangan Penduduk,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Isu Semasa bertempat di Pusat Media PAS Terengganu, Lot 9k Plaza Padang Negara Terengganu di sini hari ini. Tambah Dr Alias, secara demokrasinya pula, tidak disyaratkan sedemikian (kerajaan sama parti di peringkat negeri dan Persekutuan). Bahkan, dalam sesebuah kerajaan pun boleh terdiri daripada parti-parti yang bervariasi ideologi sementelah lagi kerajaan yang dibentuk di peringkat yang berbeza. Selain itu, meletakkan syarat peruntukan akan disalurkan jika Kerajaan Negeri dan Persekutuan daripada parti yang sama merupakan suatu pencabulan demokrasi dan penafian hak yang nyata. Seterusnya, sejarah juga menunjukkan bahawa sejak sekian lama Terengganu diperintah oleh BN di peringkat negeri dan Persekutuan sebelum ini. “Terengganu masih terkebelakang pada aspek sosioekonomi dan pembangunan berbanding negeri-negeri lain. “Harus diketahui juga bahawa sejak 2018 sehingga 2022, Kerajaan Negeri menerima Dana Khas / Pemberian Khas daripada Persekutuan berjumlah lebih RM6.3 bilion atau secara purata RM1.2 bilion setahun. “Pemberian yang sudah menjadi amalan sejak lebih 20 tahun ini sepatutnya diteruskan dan ditambah baik,” ujarnya. Namun, PM ke-10 menerusi Ucapan Belanjawan 2023 dan sikapnya sehingga kini secara terang- terangan cuba untuk mengelak daripada Kerajaan Negeri menerima sepenuhnya dana ini.
08 Aug 23
256
Malapetaka Buat Negara Jika Pengundi Diugut, Dipaksa
Malapetaka Buat Negara Jika Pengundi Diugut, Dipaksa
KUALA TERENGGANU, 8 Ogos - Malapetaka besar buat negara jika benar dakwaan wujud anggota keselamatan beruniform di Terengganu dipaksa untuk mengundi parti tertentu dalam proses pengundian awal pada hari ini, ujar Menteri Besar Terengganu. Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, beliau berharap pendedahan anggota keselamatan diugut tentang kerja dan imbuhan yang dibuat di media sosial itu tidak benar. “Saya berharap berita seperti ini tidak betul kerana aktiviti sebegini adalah layak dicemuh seluruh warga manusia dan merupakan satu kemunduran kepada sistem demokrasi negara.  “Sesungguhnya, manusia yang merdeka mungkin boleh dipaksa, ditahan dan diugut, tetapi jangan ingat ia boleh dilupakan begitu sahaja kepada yang terbabit atau menjadi pelaksananya,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini. Mengulas lanjut beliau berkata, jika benar perkara itu terjadi, Malaysia akan bergerak ke belakang. “Pada zaman yang sukar untuk menyembunyikan sebarang operasi rahsia seperti ini, maka nantilah saat negara kita yang dicintai ini terpelosok ke zaman lampau yang jauh daripada perpaduan, keharmonian dan sejahtera,” tambahnya. Terdahulu, tular satu gambar duit di dalam sampul beserta kapsyen daripada pengadu yang mengatakan anggota polis di sebuah IPD di Terengganu menerima RM200 seorang daripada calon Barisan Nasional N31. Ujar pengadu itu lagi, semasa proses penerimaan duit anak calon BN turut hadir bersama dan telefon perlu diletakkan di tempat luar bilik. Selain itu, semua anggota polis yang menerima duit itu diugut supaya mengundi calon BN jika tidak akan dipindahkan temoat kerja dan dikenakan tindakan, kata pengadu tersebut.
08 Aug 23
340
PRN Referendum Rakyat Kecewa, Tolak Kerajaan Madani
PRN Referendum Rakyat Kecewa, Tolak Kerajaan Madani
KUALA NERUS, 8 Ogos - Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 ini menjadi medan terbaik kepada 9.7 juta rakyat untuk mengemukakan referendum atau pungutan suara di enam negeri bagi menolak kerajaan Madani hari ini. Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemenangan besar PN akan menjadi isyarat bahawa rakyat mahukan perubahan setelah kecewa dengan kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim. "Ditambah dengan pembohongan sepanjang masa, kerana itu kita kena sedarkan rakyat agar mereka membuat pertimbangan bagi membuat keputusan lebih baik. "Saya yakin mereka akan membuat keputusan yang betul kerana sudah tidak tahan dengan kerajaan sekarang ini. "Rakyat menunjukkan kebencian kerana tidak ada usaha bersungguh-sungguh (dilakukan) untuk membantu rakyat jelata," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Santai Petang, di The Payang Scout Hotel, di sini, semalam. Turut hadir, calon PN DUN Seberang Takir, Khazan Che Mat. Mengulas Lanjut, Muhyiddin berkata selama ini penerangan PN kepada seluruh rakyat adalah berlandaskan fakta yang tepat dan benar. "Dalam berkempen kita bercakap perkara yang benar supaya rakyat faham dengan kita memberikan penerangan yang jelas untuk membolehkan rakyat membuat keputusan yang tepat. "Kita jelaskan kegagalan, mereka nak kekal tetapi mereka tidak (berusaha) untuk buat apa-apa (menyelesaikan masalah rakyat)," katanya lagi. image widget
08 Aug 23
273