lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

'Siasat Segera Pembelian Bas Amfibia, Aktiviti Sogok Pengundi'
'Siasat Segera Pembelian Bas Amfibia, Aktiviti Sogok Pengundi'
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Beberapa laporan telah dibuat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi meminta siasatan dilakukan terhadap isu sogokan pengundi dan salah guna kuasa kerajaan dahulu. Pengadu yang juga merupakan Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT), Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata kesemua laporan itu dibuat di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kira-kira jam 11 pagi, khamis hari ini. “Laporan pertama berkenaan calon daripada Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang yang melakukan tindakan berunsur sogokan kepada pengundi. “Sogokan tersebut dipercayai berlaku ketika aktiviti berkempen Pilihan Raya Umum (PRU) Negeri dan pada hari pengundian awal, 8 Ogos lepas. "Laporan itu dibuat kerana merasakan telah berlaku ketidakadilan dalam proses kempen, selain calon didakwa telah melanggar peraturan yang digariskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," jelasnya. Dia berkata demikian kepada pemberita bertempat di luar pekarangan pejabat SPRM, Kuala Terengganu di sini hari ini. Tambah Irsyad, beliau meminta siasatan dilakukan segera supaya rakyat tahu adakah perkara ini benar-benar berlaku. "Sekiranya berlaku, maka ia amat memalukan negara kita kerana perkara ini sering disebut oleh Perdana Menteri kita sendiri dari sudut tatakelola melawan rasuah sehabisnya. "Isu tersebut tidak sepatutnya berlaku terutama daripada calon yang bertanding atas tiket BN di Ladang," katanya. Menurut Muhammad Irsyad, laporan kedua adalah berkenaan bas dua alam yang telah dibeli oleh Kerajaan negeri Terengganu pada tahun 2014. "Terdapat maklumat baharu kita dapati ada beberapa keraguan berkaitan pelantikan kontraktor yang bertanggungjawab membeli bas tersebut iaitu syarikat Alam Perkasa Teknologi Sdn Bhd. "Untuk makluman, syarikat tersebut merupakan syarikat yang ditubuhkan pada tahun 2014 iaitu pada tahun yang sama ketika bas dua alam dibeli oleh kerajaan negeri waktu itu. "Ia menimbulkan keraguan kerana pendaftaran dibuat pada bulan 3 tetapi mereka telah menerima proposal daripada syarikat itu pada bulan Februari lagi. "Sedangkan syarikat tersebut belum didaftarkan lagi pada bulan Februari dan bagaimana syarikat itu boleh menghantar proposal kepada kerajaan negeri dan diluluskan oleh MMKN," katanya. Selain itu, perbincangan untuk membeli bas dua alam ini melibatkan Jabatan Kerja Raya (JKR) cawangan kejuruteraan Mekanikal, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Terengganu dan Pengarah JKR Negeri Terengganu. "Kesemua mereka sama-sama terlibat dalam persetujuan pembelian bas dua alam tersebut. "SPRM perlu siasat dengan teliti kerana pada bulan Disember 2018, JKR dan Jabatan Laut Negeri Terengganu mengesyorkan supaya bas ini tidak dioperasikan kerana tidak layak untuk berlayar," ujarnya. Dia berkata, macamana pada tahun 2014 bersetuju untuk membeli bersama MMKN tetapi pada tahun 2018 setelah kerajaan berubah timbul berlainan keputusan. "Minta siasat juga dalang syarikat Alam Perkasa Teknologi Sdn Bhd yang hanya ditubuhkan pada tahun yang sama pembelian Bas dua alam ini. "Kerana terdapat unsur-unsur sogokan sehingga terdapat tender RM3 juta lebih oleh Kerajaan Negeri. "Suatu jumlah yang besar jumlah dan tidak sepatutnya diberi kepada syarikat yang tidak sampai setahun. "Sampai hari ini juga, status bas dua alam masih lagi belum diserahkan kepada Kerajaan Negeri kerana masalah tertentu," ujarnya.  
10 Aug 23
255
Selesai Segera Isu Runtuhan Tanah Flat Bukit Kecil- Rosli
Selesai Segera Isu Runtuhan Tanah Flat Bukit Kecil- Rosli
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos- Kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan beberapa agensi terbabit akan memuktamadkan kaedah penyelesaian sementara bagi kejadian tanah runtuh di Flat Bukit Kecil sebaik mendapat laporan penilaian daripada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR). Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif berkata, penyelesaian segera perlu dilakukan sebelum musim tengkujuh kerana dikhuatiri akan berlaku lagi runtuhan yang boleh menjejaskan keselamatan penghuni di kawasan itu. Katanya, beliau telah meminta pihak JKR untuk membuat anggaran kos pembaikian segera itu dan dijangka laporan tersebut akan diperoleh dalam tempoh dua minggu lagi. “Untuk menghadapi musim tengkujuh yang akan datang, saya hendak tahu daripada JKR apakah penyelesaian sementara sehingga kita menerima peruntukan daripada Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) untuk kerja-kerja pembaikan penuh cerun tersebut. “Tanah runtuh ini kita perlu buat ‘protection’, jadi saya minta pihak JKR buat anggaran kos dan setelah laporan tersebut siap, kita akan tengok beberapa kaedah penyelesaian yang dapat dilakukan untuk menjaga kepentingan penduduk di sini,” ujarnya kepada pemberita ketika meninjau kawasan runtuhan terbabit bersama wakil JKT dan JKR, hari ini. Rosli berkata, runtuhan tanah itu berlaku pada musim tengkujuh tahun lalu dan pihaknya telah mengambil tindakan awal sebaik menerima aduan penduduk. “Kita terima aduan daripada penduduk dan segera kita turun bersama dengan JKR, bomba, polis dan agensi-agensi lain. Pada masa itu, kita ambil tindakan dengan meletakkan kanvas untuk elak berlaku runtuhan lagi. “Dalam masa yang sama kita telah minta JKR pusat untuk buat penilaian runtuhan yang berlaku dan akhirnya pada Mac lalu, JKR pusat telah turun dan buat penilaian dan mendapati ada dua lokasi runtuhan, satu yang kita nampak sekarang ini dan yang sebelah sana juga ada pergerakan tanah,” ujarnya. Katanya, berdasarkan anggaran awal oleh JKR, sebanyak RM3.1 juta diperlukan untuk kos pembaikian cerun ini. “Tetapi anggaran awal itu perlu dimulakan dengan kerja-kerja penyiasatan terlebih dahulu. Melalui data-data penyiasatan tanah (soil investigation) dilakukan, barulah JKR boleh tentukan skop metadologi dan komponen ‘protection’ cerun tu macam mana,” ujarnya. Menurut Rosli, pihaknya telah mendapat laporan daripada pihak JKR dan beliau telah memohon peruntukan pembaikian dengan JKT. “Alhamdulillah, pasukan JKT telah turun hari ini untuk menilai runtuhan yang berlaku dan kita berharap JKR dan JKT dapat membantu menyelesaikan masalah penduduk di sini,” ujarnya. Mengulas lanjut, punca kejadian tersebut kemungkinan disebabkan hujan lebat yang menyebabkan pergerakan air di dalam tanah seterusnya berlaku runtuhan. Justeru, beliau meminta kerjasama penduduk supaya sentiasa berhati-hati dan segera melaporkan kepada pihak berwajib sekiranya ternampak runtuhan yang berlaku.  
10 Aug 23
665
Pengundi Pengkalan Berangan Beri Petanda Positif Kepada PAS
Pengundi Pengkalan Berangan Beri Petanda Positif Kepada PAS
MARANG, 10 Ogos - Calon PAS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan pada Pilihan Raya Umum DUN ke-15 , Sulaiman Sulong menerima respon yang amat baik daripada para pengundi sepanjang tempoh kempen. Ujar beliau, faktor itu memberi peluang yang besar kepada PAS untuk terus mengekalkan kemenangan di DUN terbabit. “Kami melihat respons yang baik daripada para pengundi. Insya-Allah mereka terus memberikan peluang PAS untuk mewakili mereka di DUN ini dan juga seluruh Terengganu. “Kelmarin kami juga menyantuni 353 pengundi awal di Pangkalan Unit No.6, Pasukan Simpanan Persekutuan, Polis Diraja Malaysia, Wakaf Tapai, sambutan daripada mereka terhadap kita sangat baik,” katanya ketika dihubungi media hari ini. Jelas Sulaiman, dalam tempoh beberapa hari lagi berkempen, pihaknya telah menyusun gerak kerja bertemu dengan para pengundi di kawasan DUN Pengkalan Berangan. “Alhamdulillah, kami PAS Pengkalan Berangan telah menyusun gerak kerja ini dari pagi, petang hingga malam untuk bertemu dengan pengundi di sini. “Kami merancakkan lagi dari sudut gerak kerja, bertemu dengan pengundi di semua tempat seperti pasar, kedai kedai dan sebagainya, yang dibantu dari kawasan-kawasan lain,” katanya. Untuk rekod, DUN Pengkalan Berangan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Sulaiman dengan Nik Dir Nik Wan Ku. Sebelum ini, Nik Dir adalah calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Ru Rendang pada PRU Ke-14, namun tewas kepada calon PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Kini Nik Dir selaku Ketua UMNO Bahagian Marang mencuba nasib di Pengkalan Berangan.
10 Aug 23
309
Orang Lama UMNO Beralih Sokong PAS
Orang Lama UMNO Beralih Sokong PAS
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Trend terbaru pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 menyaksikan orang-orang lama UMNO telah beralih sokongan kepada PAS. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata, maklum balas yang diterima itu merupakan perkembangan yang sangat menarik sekali gus menyumbang kepada kemenangan besar. "Sokongan daripada orang-orang lama yang merupakan pengundi teras UMNO/BN ini nampaknya dah bersedia untuk meninggalkan ataupun tidak lagi menyokong parti tersebut dan memberi sokongan kepada PN/PAS. "Ini merupakan satu perkembangan yang sangat menarik dan positif kepada PN insya-Allah semoga dengan trend terbaharu ini akan menjadi satu lagi petanda ataupun hasilnya kita akan melihat kejatuhan UMNO/BN di Terengganu," ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang medianya, di Pusat Media PAS, di sini, baru-baru ini. Tambah beliau, dengan perkembangan terbaru itu ia mendatangkan keyakinan kepada PAS untuk menang di kesemua Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini serta Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Terengganu. Dalam perkembangan sama, dalam tempoh kempen yang masih berbaki tiga hari memperlihatkan calon PAS terus bekerja keras mendekati pengundi. "Mereka telah turun hampir kesemua kampung dalam DUN masing-masing untuk menyantuni para pengundi sama ada calon yang lama ataupun pertama kali telah bekerja keras untuk menawan hati-hati pengundi," ujarnya.
10 Aug 23
704
'Jangan Cetus Huru Hara Rai Kemenangan di Jalan Awam'
'Jangan Cetus Huru Hara Rai Kemenangan di Jalan Awam'
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Penyokong dan ahli PAS diingatkan agar tidak mencetuskan sebarang huru hara dan mengadakan perarakan konvoi sama ada malam menjelang hari mengundi atau meraikan kemenangan Perikatan Nasional di negeri ini nanti. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata, ia bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku. "Kita telah membuat arahan kepada penyokong-penyokong dan ahli kita supaya tiada apa-apa konvoi kerana dikhuatiri akan menganggu ketenteraman awam apatah lagi menganggu lalu lintas. "Sama ada sebelum malam (mengundi) atau selepas menerima kemenangan, itu merupakan arahan yang telah jelas," ujarnya. Beliau berkata demikian semasa sidang medianya, di Pusat Media PAS, di sini, semalam. Tegasnya, ahli PAS dan penyokong diharapkan terus menjaga disiplin agar tidak dilihat sebagai pihak yang mencetuskan keadaan huru hara. "Kita tidak mahu dilihat sebagai pihak yang terlalu 'excited' sehingga boleh membahayakan pengguna jalan raya ataupun menghuru-harakan keadaan dan kehidupan orang ramai khususnya. "Boleh bergembira, mungkin boleh berkumpul di Dataran Jambatan Angkat itu tiada masalah jangan kita menganggu lalu lintas sahaja kerana ia mengundang bahaya bukan sahaja kepada diri sendiri tetapi juga kepada orang awam," ujarnya lagi.  
10 Aug 23
414
Redah Hutan Lebih 5 Jam Cari Pengundi Orang Asli
Redah Hutan Lebih 5 Jam Cari Pengundi Orang Asli
HULU TERENGGANU, 10 Ogos - Dua hari sebelum menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri ke 15 (PRN15), Ibrahim Awang, 57, sanggup meredah perjalanan lebih tiga jam menaiki bot dan berjalan kaki selama dua jam untuk mencari penduduk Orang Asli Sungai Berua yang bekerja jauh di pedalaman sempadan Terengganu-Pahang untuk pulang mengundi pada 12 Ogos nanti. Dia yang juga pembantu Tok Batin Orang Asli Semaq Beri di Sungai Berua turut dibantu oleh beberapa orang asli lain termasuk anak-anaknya sendiri. "Bagi memastikan semua 270 pengundi Orang Asli Kampung Sungai Berua menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih, saya nekad untuk mencari mereka di Gunung Bewah dan hutan sempadan Terengganu-Pahang. "Usaha itu dilakukan sejak beberapa lalu bagi memastikan semua mereka datang mengundi pada hari Sabtu ini dan saya melihat usaha itu amat berbaloi kerana semua Orang Asli kawasan ini pulang untuk mengundi," katanya kepada pemberita. Katanya, walaupun mengambil masa lama berikutan jarak yang jauh selain bentuk muka bumi yang perlu ditempuhi, ia tidak mematahkan semangat untuknya menjejak anak-anak buahnya yang berada di luar kawasan bekerja mencari hasil hutan. Ibrahim berkata, agak sukar untuk menjejak semua Orang Asli yang bekerja jauh di pedalaman, tetapi dengan kaedah tertentu mereka dapat ditemui dan dipujuk untuk pulang awal sebelum hari pengundian. "Syukur Alhamdulillah, mereka memberi kerjasama yang baik dan insya Allah pada hari pengundian nanti kami akan berkumpul terlebih dahulu sebelum bergerak ke pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Tapah, menggunakan kenderaan sendiri selain bantuan kenderaan daripada perayu undi," katanya.  
10 Aug 23
449
Rekod Bukti Rasuah, Segera Lapor SPRM
Rekod Bukti Rasuah, Segera Lapor SPRM
KUALA TERENGGANU, 10 Ogos - Orang ramai dinasihatkan merakam gambar atau video sekiranya melihat berlakunya sogokan atau aktiviti merasuah pengundi sepanjang kempen pilihan raya ini. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata semua pihak perlu berperanan bagi memantau insiden tidak sihat itu di tempat masing-masing. "Dijangkakan pada hari akhir menjelang hari pengundian akan ada lebih banyak lagi aktiviti berupa sogokan dan politik wang ini, aktiviti rasuah akan berlaku secara berleluasa. "Suka saya mengingatkan kepada pengundi sekalian untuk terus memantau insiden ini jika berlaku di tempat-masing sila rakam gambar ataupun bukti-bukti yang lain serta segera laporkan perkara tersebut kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika sidang medianya, di Pusat Media PAS, di sini, semalam. Tegasnya, adalah penting bagi setiap rakyat bagi memastikan mereka yang menang sebagai calon pilihan raya adalah mereka yang bersih dan berintegriti untuk dijadikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN). "Kita tidak mahu calon itu menang kerana rasuah dan politik wang, pada ketika ini PAS Terengganu sendiri sedang meniliti beberapa insiden yang berlaku untuk dilaporkan kepada pihak berkuasa. "Kita juga ada membuat laporan polis dan SPRM dan ini akan menjadi bukti selepas Pilihan Raya. Kemungkinan petisyen akan berlaku, adalah lebih baik perkara ini dihentikan sekarang. "Jadi saya serulah kepada pihak sebelah sana jangan mengamakan budaya rasuah ini kerana kita ada mata-mata ataupun wakil kita yang sedang mengekori dan menyiasat perkara ini," ujarnya.
10 Aug 23
175
Terengganu Bangunkan Semula Strawberry Park Terbiar
Terengganu Bangunkan Semula Strawberry Park Terbiar
KEMAMAN, 10 Ogos – Pusat peranginan terkenal yang terbengkalai sejak 10 tahun lalu, Strawberry Park, Kijal bakal berubah wajah menjadi sebuah resort lima bintang selepas perjanjian membangunkan projek itu dimeterai. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata projek itu akan dimulakan pada suku pertama tahun hadapan dan dijangka siap pada 2026. Katanya, ketika ini kerja-kerja kelulusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sedang dilaksanakan. "Penjenamaan semula fasiliti resort yang berkeluasan lebih lapan hektar itu dilakukan oleh kerajaan negeri menerusi Terengganu Inc dengan kerjasama pemilik tapak iaitu Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT). “Projek bernilai RM150 juta itu akan dibangunkan oleh syarikat pembangunan hartanah dan hotel iaitu iKHASAS Land Sdn Bhd dan pengoperasian resort oleh Courtyard by Marriot. “Insya-Allah, apabila siap nanti, resort ini akan dilengkapi 10 blok dan 220 bilik jenis bilik premium dan pelbagai ‘suite’ berlatar belakang laguna yang sangat cantik," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Pembangunan Semula Strawberry Park, Kijal bertempat di Hotel World Kijal semalam. Tambah Ahmad Samsuri, resort tersebut juga akan dilengkapi dua ruang makan, bilik mesyuarat berkapasiti 200 orang dan pelbagai kelengkapan lain seperti spa, ruang rekreasi air serta trek hutan. Menurutnya, resort baharu itu dijangka menjadi pilihan bagi urusan perniagaan dan percutian mewah sekali gus dapat mempromosikan Terengganu sebagai destinasi teko-pelancongan. “Strawberry Park sebelum ini merupakan sebuah resort persendirian dibeli oleh kerajaan negeri pada tahun 2010 dengan nilai kira-kira RM27 juta selepas resort tersebut bermasalah. “Hasrat kerajaan negeri terdahulu untuk menjadikan resort itu juga sebagai institut jantung negara tidak berjaya dilaksanakan menyebabkan resort tersebut terbengkalai,” ujarnya. Pada majlis itu, Ahmad Samsuri turut menyaksikan dua memorandum persefahaman (MoU) melibatkan projek di atas tanah milik LTAWNT yang ditandatangani Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zulkifli Ali dan iKHASAS Land Sdn diwakili Pengarah Utusan Kumpulannya, Ir Tan Chee Kian.  MoU kedua mengenai kerjasama projek ditandatangani Pengarah Eksekutif Terengganu Inc Burhanuddin Hilmi Mohamed@Harun dan Tan Chee Kian.    
10 Aug 23
1729
'Perantau Pulanglah Mengundi'
'Perantau Pulanglah Mengundi'
KUALA TERENGGANU, 9 Ogos - Anak-anak perantau dinasihat untuk pulang mengundi bagi menunaikan tanggungjawab kepada negeri dan negara. Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Alias Razak berkata beliau yakin rakyat Terengganu memiliki semangat demokrasi yang tinggi lebih-lebih lagi Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) pada kali ini merupakan pungutan suara rakyat bagi menyatakan kekecewaan kepada parti pemerintah di Persekutuan. "Pengundi akan (tetap) balik mengundi untuk memastikan 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) serta Parlimen Kuala Terengganu akan dimenangi dengan majoriti yang lebih besar. "Ini akan memberi penekanan kepada Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim untuk meletakkan jawatan bagi diberikan kepada yang lebih berkeupayaan ataupun kepada parti yang lebih mampu mentadbir negara dengan lebih baik," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika sidang medianya, di Pusat Media PAS, hari ini, Menurutnya lagi, beliau mendapat maklum balas daripada anak Terengganu yang tinggi bersedia untuk pulang menunaikan tanggungjawab. "Dengar khabarnya telah ramai yang ingin pulang dengan menyertai konvoi, berkongsi kereta dan beli tiket bas. "Insya-Allah saya rasa melihat kepada trend pengundi awal semalam mencatatkan peratusan tinggi iaitu 97 peratus saya rasa ia akan mempengaruhi orang awam untuk melunaskan tanggungjawab mereka. "Apatah lagu pengundi-pengudi PN sekarang ini benar-benar ingin menzahirkan sikap tidak puas hati dan sudah 'Fed up' dengan PMX ini, setelah lapan bulan tidak tahu ke mana hala tuju ekonomi, ini merupakan kegagalan kerana dalam tempoh lapan bulan tiada apa perubahan tanpa ada pelan 100 hari," katanya.
09 Aug 23
128
T-HRDC Bantu Lebih 20,000 'Job Hunter' Sepanjang Penubuhan
T-HRDC Bantu Lebih 20,000 'Job Hunter' Sepanjang Penubuhan
BESUT, 9 Ogos - Lebih 20,800 rakyat Terengganu berjaya mendapatkan pekerjaan melalui inisiatif Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (T-HRDC) yang diwujudkan kerajaan negeri pada penggal lalu. Calon PAS bagi kerusi DUN Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman yang diamanahkan menerajui agensi berkenaan sebelum ini berkata, T-HRDC menjadi medium antara pencari kerja dan nelayan yang sangat berjaya. "Data itu (20,800 penerima) adalah data sahih di dalam MYFutureJob, satu sistem yang dikendalikan PERKESO dan dikongsikan bersama selepas kita mengadakan perjanjian persefahaman dengan kerajaan negeri melalui T-HRDC. "Tenaga kerja Terengganu sangat berdaya saing dan kebanyakannya mempunyai kelayakan yang tinggi. "Namun, tidak timbul isu kerja tidak menepati kelayakan sebagaimana dakwaan sesetengah pihak, kerana majikan sudah pasti mengambil orang yang layak dengan peluang ditawarkan. "Ini kerana, mereka ada penilaian untung rugi syarikat," katanya. Tambahnya, sebahagian 'job hunter' yang diterima oleh majikan-majikan sebelum ini turut mendapat peluang kenaikan pangkat sekalipun mereka bermula pada peringkat bawah. "Contohnya, Panasonic Appliances Air-conditioning Malaysia Sdn Bhd (PAPAMY), antara syarikat terawal yang bekerjasama dengan T-HRDC. "Mereka ambil operator pada awalnya, tetapi mereka sangat menggunakan pakai kenaikan dalaman dan ramai tenaga kerja yang kita hantar berjaya dinaikkan ke kedudukan yang sesuai dengan kelayakan mereka," ujarnya. Dalam pada itu, Nurkhuzaini menyifatkan, kritikan berkenaan tenaga kerja yang dihantar keluar berbanding bekerja di dalam negeri mempunyai asas yang longgar. Mengakui peluang yang agak terhad bagi menampung semua tenaga kerja dalam negeri, beliau menyeru semua pihak menggunakan satu sifir yang betul dalam menilai perkara itu. Menurutnya, penghantaran tenaga kerja secara proaktif tanpa menanti peluang yang hanya ada dalam Terengganu, sebenarnya turut menyumbang peningkatan aliran tunai ke dalam negeri. "Apabila kita hantar 400 orang ke Shah Alam dan 380 pekerja ke Senai, kita telah ada 780 tenaga kerja. "Mereka diberi tempat tinggal, pengangkutan disediakan dan gaji mereka hanya untuk belanja dan makan. "Kalau 780 orang ini menghantar sebahagian gaji mereka ke kampung setiap bulan, bayangkan pengaliran duit masuk ke dalam negeri boleh bernilai puluhan dan ratusan ribu. "Ia realistik dalam meningkatkan taraf hidup keluarga di kampung sekaligus memberi suntikan kepada ekonomi setempat," jelasnya.  
09 Aug 23
190