lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

JaPen Bakal Sambut Bulan Kemerdekaan Bersama Kerajaan Terengganu
JaPen Bakal Sambut Bulan Kemerdekaan Bersama Kerajaan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos – Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Terengganu akan mengadakan kolaborasi dengan Kerajaan Negeri bagi menjayakan program kibar jalur gemilang di masa akan datang. Pengarahnya, Sait Yaman berkata, jabatan itu berhasrat untuk mengadakan program bersama dengan kerajaan negeri serta semua pihak bagi menyemarakkan bulan kemerdekaan dan perpaduan di kalangan rakyat negeri Terengganu. “Sepatutnya keghairahan orang ramai mengibarkan jalur gemilang seperti kibar bendera parti politik dalam pilihan raya bagi memeriahkan bulan sambutan hari kemerdekaan 31 Ogos kali 66 tahun ini, namun ianya tidak berlaku sedemikian rupa,” katanya di Majlis Perasmian Langkah Madani Sempena Pelancaran Bulan Kemerdekaan Kibar Jalur Gemilang di Perkarangan Wisma Persekutuan di sini, hari ini. Turut hadir, Ketua Polis Negeri (KPN), Datuk Mazli Mazlan dan Pengarah-pengarah serta kakitangan Jabatan-jabatan di Wisma Persekutuan dan pemimpin komuniti setempat. Seramai 300 peserta diketuai oleh Datuk Mazli berjalan kaki sebanyak 10 ribu langkah, sejauh 5.1 kilometer bermula dari perkarangan Wisma Persekutuan menuju Bulatan Batu Bersurat, Dataran Batu Buruk, Simpang Lampu Isyarat TD1303 dan kembali semula ke perkarangan Wisma Persekutuan. Sementara itu, KPN itu ketika merasmikan majlis tersebut berkata program berkenaan disifatkan sebagai serampang dua mata termasuk untuk kecergasan dan menghidupkan semangat patriotisme di kalangan rakyat. Justeru tegasnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau aktiviti sambutan itu agar perpaduan dan keamanan terjamin tanpa diambil kesempatan oleh mana-mana pihak.  
24 Aug 23
2890
Keuntungan Anak Syarikat Terengganu Beri Manfaat Pada Rakyat
Keuntungan Anak Syarikat Terengganu Beri Manfaat Pada Rakyat
KUALA TERENGGANU, 23 Ogos – Keuntungan anak syarikat (GLC) Terengganu memberi pelbagai manfaat dalam membantu rakyat. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata urus tadbir anak syarikat yang baik akan mampu menterjemahkan Corporate Social Responsibility (CSR) yang lebih banyak kepada masyarakat di negeri ini. Katanya, Terengganu Inc dan anak-anak syarikat kumpulan telah banyak memberi sumbangan kepada rakyat dalam pelbagai bentuk insentif.  “Antaranya Kumpulan Terengganu Inc telah menyumbang RM1 juta bagi penajaan 10 pelajar tempatan daripada keluarga B40 untuk program ‘YT-TI Young Talent Scholarship Programme’. “RM300,000 telah dilaburkan dalam usaha sama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Islamic Investment Project. “EPIC Berhad juga telah menyumbangkan sebanyak RM200,000 kepada Yayasan Diraja Sultan Mizan bagi program akademik,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam kenyataan di laman Facebook rasmi miliknya. Tambah Ahmad Samsuri, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) telah menyumbang sebanyak RM2.06 juta untuk air percuma bagi surau dan masjid seluruh Terengganu. Selain itu, bagi Program Komuniti Ibu Tunggal di 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) turut menerima sumbangan sebanyak RM600 ribu oleh beberapa anak syarikat Terengganu. “Jutaan ringgit diberikan melalui penajaan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Terengganu Football Club (TFC), NGO dan agensi lain. “Kumpulan Terengganu Inc turut aktif memberi sumbangan kepada dalam dan luar negara yang ditimpa bencana. “Inilah yang saya selalu maksudkan bahawa rakyat akan dapat manfaat apabila anak-anak syarikat peroleh keuntungan, Alhamdulillah," ujarnya.
24 Aug 23
1915
Projek Kampung Jelapang Setiu Diteruskan
Projek Kampung Jelapang Setiu Diteruskan
KUALA TERENGGANU, 23 Ogos - Kerajaan negeri akan meneruskan projek pembangunan padi di Kampung Jelapang, Langkap kerana ia bertetapan dengan visi menjadikan Setiu sebagai gedung pengeluar makanan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata sangat sayang jika usaha itu tidak diteruskan kerana kerajaan Barisan Nasional sebelum ini telah membelanjakan RM40juta dan belum menjadi kawasan penanaman padi. "Bagi memastikan hasrat itu berjaya dilaksanakan ada beberapa kertas kerja yang telah diangkat ke kementerian yang masih lagi tergantung antaranya kita mencadangkan untuk membina takungan air. "Sebab isu utamanya ialah masalah pengairan air, apabila diselesaikan isu ini yang lain-lain itu akan dapat diatasi dengan sendirinya," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap semasa mengadakan kunjung hormat ke Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, di sini, semalam. Mengulas lanjut katanya, Terengganu ingin memastikan Kadar Sara Diri (SSR) mencecah lebih 70 peratus. "Isu-isu yang lain termasuk berkait dnegan kilang padi semua Alhamdulillah kita dah selesaikan, kini ke arah berkeja untuk menaikkan SSR padi." katanya.
23 Aug 23
1178
Agih 2,000 Jalur Gemilang, Semarak Cinta Tanah Air
Agih 2,000 Jalur Gemilang, Semarak Cinta Tanah Air
KUALA TERENGGANU, 23 Ogos- Rasa cinta kepada negara perlu sentiasa disemarakkan dalam usaha generasi hari ini mengekalkan dan mengisi kemerdekaan yang dituai dari generasi terdahulu. Atas kesedaran itu, Konsortium Perumahan Rakyat Terengganu Sdn. Bhd. (KOPERAT) dan  GPQ Sdn. Bhd., anak syarikat kerajaan negeri bergabung mengadakan agihan sebanyak 2,000 bendera Malaysia, Jalur Gemilang kepada masyarakat setempat di Kuala Terengganu. Ketua Jabatan Pembangunan Perniagaan GPQ, Mohd Rizaini Ghazali berkata, program kolaborasi berkenaan bertujuan menyemarakkan bulan kemerdekaan dan menyemai semangat kecintaan kepada negara. Ahli lembaga pengarah KOPERAT itu menyifatkan bahawa perjuangan untuk mendapatkan kemerdekaan dan perjuangan untuk mengekalkan kemerdekaan itu berbeza yang mana bagi generasi muda, tekanan lebih tinggi dirasai dalam usaha mengisi dan mengekalkan kemerdekaan "Kalau kita lihat, kita ini generasi yang baru jadi, mungkin dari segi kefahaman tentang perjuangan para pejuang dan pemimpin terdahulu itu tidak terasa, tetapi dengan ada program sebegini kita boleh zahirkan kembali rasa cinta serta mengenang kembali jasa, pengorbangan pemimpin dan pejuang dahulu yang berkorban nyawa, masa, tenaga dan harta untuk mendapatkan kemerdekaan kita hari ini. "Jadi, apabila kita dapat lahirkan rasa cinta, kita akan dapat menghargai keamanan yang dikecapi hari ini dalam keharmonian negara berbilang bangsa," katanya ketika ditemui selepas Program Agihan Bendera Sempena Hari Kemerdekaan ke-66 di Dataran Batu Buruk, hari ini. Hadir sama, Pengurus Besar KOPERAT, Syed Abdul Rahman Engku Sulong yang turut turun padang mengagihkan bendera kepada kenderaan-kenderaan yang melalui daratan tersebut. Sayed Abdul Rahman menganggap, program seumpama itu boleh memberi kesedaran kepada rakyat Malaysia khususnya rakyat Terengganu tentang kebanggaan menjadi rakyat Malaysia dan peri pentingnya kemerdekaan. "Sebagai anak syarikat negeri, ini adalah antara tanggungjawab sosial kita kerana kita mewakili kerajaan negeri dalam membawa aspirasi melalui polisi dan sebagainya. "Ini adalah antara usaha kita yang bukan sahaja melalui program ini, tetapi juga program tanggungjawab sosial korporat (CSR) lain yang mana ia memberikan satu gambaran dan impak positif kepada kerajaan negeri itu sendiri," katanya.  
23 Aug 23
393
Peruntukan Tambahan RM3 Juta Selesai Isu Pelabuhan Chendering
Peruntukan Tambahan RM3 Juta Selesai Isu Pelabuhan Chendering
KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - Kerajaan negeri bersetuju untuk memperuntukkan RM3 juta kepada Jabatan Pengairan Saliran (JPS) bagi menyelesaikan isu Pelabuhan Chendering. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata jumlah berkenaan merupakan peruntukan tambahan menjadikan jumlah keseluruhan RM7 juta. "Ini merupakan perbelanjaan awal sebagai memberikan ransangan sementara menunggu peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM196 juta. "Ini bagi memastikan usaha ini terus bergerak untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan Pelabuhan Chendering yang merupakan satu-satunya pelabuhan perikanan yang ada di Terengganu kerana yang lainnya itu merupakan jeti pendaratan ikan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjung hormat ke JPS negeri, di sini, hari ini. Mengulas lanjut katanya, jumlah peruntukan sebanyak RM7 juta secara keseluruhan kepada jabatan berkenaan sebagai usaha serius untuk memastikan segala agenda kebaikan kepada rakyat melalui sektor pertanian dapat dijayakan. "Apabila ada peruntukan ini semua jabatan yang berada di bawah Kementerian Pertanian ataupun yang membantu kita sebagaimana JPS yang perlu turut sama-sama memikul beban dan menyuntik kekuatan untuk berkerja. "Kita berterima kasih kepada JPS kerana menjadi antara jabatan yang sangat cepat membelanjakan peruntukan dan cepat memberikan respon kepada setiap isu serta aduan dan mengendalikannya dengan cepat," katanya.
22 Aug 23
370
Peluang Cerah Bangunkan IADA KETARA Fasa 2
Peluang Cerah Bangunkan IADA KETARA Fasa 2
KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - Peluang kerajaan negeri untuk ningkatkan pengeluaran padi melalui Projek kawasan Bersepadu (IADA) Terengganu Utara (KETARA) Fasa 2 kini semakin cerah. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata mandat rakyat yang diberikan kali ini dengan mencapai kemenangan besar tidak akan dipersiakan bagi memastikan segala perancangan untuk kebaikan rakyat dapat diteruskan. "RM30 juta untuk projek IADA KETARA Fasa 2 nampak macam cerah dan apabila menang ini semakin cerah untuk menjadikan ia sebagai 'prioriti' supaya kawasan-kawasan yang berada di luar jelapang dapat kita salurkan sumber air dari takungan yang memang berlebihan. "Di empangan Paya Peda kita ada tiga 'wave' yang ada dibuka baru satu, dan ia berpotensi untuk dimanfaatkan untuk IADA KETARA Fasa 2, kerana selama ini air dibuang daripada empangan lebih banyak dibuang daripada yang digunakan," ujarnya. Beliau berkata demikian semasa beliau mengadakan kunjung hormat ke Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Terengganu, di sini, hari ini. Ujarnya, kerajaan negeri mempunyai hala tuju serta matlamat yang jelas  dengan cadangan pembangunan IADA  KETARA Fasa 2 sebagai perancangan bagi meningkatkan sekuriti makanan dan mengekalkan kawasan tanaman padi sedia ada. "Sebelum ini kawasan-kawasan padi yang berhadapan masalah pengairan, pemilik tanah menjadikannya sebagai tapak bagi menanam kelapa sawit sehingga menjadi punca utama apabila berada di sebelah padi dia akan menjadi tikus dan sarang perosak. "Kini permohonan untuk menukar syarat tanah terutamanya di kawasan padi aktif tidak diluluskan lagi, kerana kita tengok kehilangan kawasan padi begitu ketara dalam tempoh 10 tahun yang terakhir sebelum daripada ini," ujarnya.    
22 Aug 23
496
Ada Pihak Mahu Jadikan Malaysia Negara Sekular
Ada Pihak Mahu Jadikan Malaysia Negara Sekular
KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - Ada usaha pihak tertentu mahu menjadikan Malaysia sebagai negara sekular dengan mempertikaikan enakmen jenayah syariah negeri Kelantan di Mahkamah Sivil. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Permerkasaan Syariah Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata pihak berkenaan berusaha untuk menghapuskan mahkamah syariah dengan mengiktiraf mahkamah sivil sahaja. Katanya pihak tersebut mempertikaikan mahkamah syariah kerana menganggap wujudnya pertembungan antara mahkamah sivil dan mahkamah syariah. "Tindakan tersebut bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 3 (1) yang menyebut bahawa Islam adalah agama rasmi Persekutuan. "Perkara ini ada kaitan dengan sejarah undang-undang tubuh negeri-negeri dan wilayah Islam dalam Persekutuan Tanah Melayu," jelasnya ketika diwawancara TV Darul Iman di sini hari ini. Beliau berkata sebelum terbentuk Perlembagaan Persekutuan sudah ada kanun dan undang-undang tubuh negeri-negeri berteraskan Islam. "Sebelum wujudnya Perlembagaan Persekutuan, Jawatankuasa Lord Reid mengambil kira undang-undang tubuh negeri-negeri dan wilayah Islam dalam Tanah Melayu yang bergabung dalam Persekutuan Malaysia," jelasnya. Menjelas lanjut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata antara undang-undang tersebut termasuk Kanun Laut Melaka, Kanun Kota Setar, Kanun Pahang dan Undang-undang Tubuh Negeri Terengganu, Itqanul Muluk Bi Ta' Dil Lis Suluk. "Penemuan Batu Bersurat di Kuala Brang Hulu Terengganu bukan sahaja menunjukkan orang Melayu menerima Islam bahkan telah terbukti berlakunya melaksanaan syariat Islam di negeri Terengganu," ujarnya.  
22 Aug 23
273
KMI Kuantan Terima Anugerah SOHELP DOSH
KMI Kuantan Terima Anugerah SOHELP DOSH
KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - KMI Kuantan Medical Centre (KMI Kuantan) telah dianugerahkan tempat pertama bagi Tempat Kerja SOHELP (Systematic Occupational Health EnhancementLevel Programme) DIY Terbaik (Kategori 3).  Majlis penganugerahan telah berlangsung di Konvensyen SOHELP DIY Kebangsaan bertempat di IDCC, Shah Alam, Selangor. Anugerah berprestij ini telah disampaikan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia merangkap Pengerusi Majlis Negara Bagi Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan, Ts. Mustapha Sakmud.  Pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan KMI Kuantan, Mohd Nashriqbin Ismail yang juga Enabler kepada SOHELP DIY telah dijemput untuk menyampaikan pembentangan dan mewakili KMI Kuantan Medical Centre bagi menerima anugerah tersebut. SOHELP telah diperkenalkan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) atau DOSH dalam usaha untuk meningkatkan tahap pengurusan higien industri di tempat kerja terutamanya dalam aspek kawalan pendedahan bunyi bising, pengurusan bahan kimia dan ergonomik. KMI Kuantan telah mengambil langkah penambahbaikan dalam menguruskan beban untuk mengelakkan masalah ergonomik kepada pekerja. Kawasan bunyi bising berlebihan dikenalpasti seterusnya langkah kawalan diambil untuk memastikan pekerja tidak terdedah kepada bunyi bising.  Mengelakkan pendedahan bahan kimia kepada pekerja dengan mengambil kira kawalan kejuruteraan antara usaha yang dilakukan bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja di hospital sehingga berjaya memenangi anugerah tersebut. KMI Kuantan salah satu di antara lima buah hospital dibawah rangkaian Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) bahagian penjagaan kesihatan TDM Berhad. Sejak penubuhannya pada 1996, KMI Kuantan telah berkembang pesat menjadi hospital pakar mesra komuniti yang menawarkan perkhidmatan rawatan dan penjagaan kesihatan berkualiti tinggi dengan kapasiti 176 katil serta kini lengkap dengan akreditasi MSQH. Jumlah tersebut bakal ditambah melalui pembinaan sayap baharu yang akan menempatkan 80 katil tambahan serta fasiliti lain yang lebih moden dan canggih.
22 Aug 23
573
Anak Jati Terengganu Juara Muay Thai
Anak Jati Terengganu Juara Muay Thai
KEMAMAN, 22 Ogos - Wan Muhammad Sabri Wan Zuki (Sabri Thai V6), 20 tahun telah menjuarai Kejohanan Terbuka Muay Thai Amatur dan Pro Melaka baru-baru ini. Muhammad Sabri berjaya merebut kemenangan Tali Pinggang Yang Amat Berhormat (YAB) Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof. Kejuaraan itu diraih setelah dia berjaya menewaskan Fabian Farhan daripada Indonesia dalam kategori Pro (60kg) yang berlangsung pada 18 hingga 20 Ogos 2023 di Dataran Menara Taming Sari Melaka. Muhammad Sabri merupakan anak jati Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemasik yang merupakan atlet kebanggaan di sini. Selain itu, dia juga banyak menempa nama dan mengharumkan nama DUN Kemasik sendiri dalam pelbagai kejohanan Muay Thai yang disertainya. Perjumpaan di Pejabat ADUN Kemasik. Hari ini, Muay Thai Club Visix (Thai V6) Kampung Ranggon Estate Kerteh membuat kunjungan hormat ke Pejabat DUN Kemasik berjumpa ADUN Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili bagi meraikan kemenangan Muhammad Sabri dan berbincang untuk perancangan akan datang. Turut bersama, Pengasas Thai V6, Mokhtar Che Lah dan Pengurus Thai V6, Muhammad Safar Makhtar. Saiful Azmi melahirkan ucapan tahniah kepada Muhammad Sabri kerana berjaya merangkul gelaran juara di Kejohanan itu. "Tidak dilupakan juga tahniah buat mereka yang mendokong di belakang beliau yang banyak berjasa memberi komitmen sehingga kini," ujarnya. Wan Muhammad Sabri (Sabri Thai V6), 20 tahun. Sementara itu, Muhammad Sabri bersyukur kerana dapat menghabiskan perlawanan pada malam itu. "Alhamdulillah dengan usaha saya namun saya perlu berlatih lebih lagi kerana ada perlawanan yang lebih besar menanti selepas ini. "Pertandingan dalam masa terdekat iaitu perlawanan bertarung dengan Kapten Malaysia, Muhammad Ali Yaakub," katanya.
22 Aug 23
3657
Bantuan Baiki Rumah Terbakar Akan Disegerakan
Bantuan Baiki Rumah Terbakar Akan Disegerakan
KEMAMAN, 22 Ogos - Bantuan baiki rumah bagi mangsa kebakaran di Rumah Murah Binjai, Air Putih di sini akan disegerakan sebaik sahaja proses penilaian selesai dibuat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata, sumbangan awal bencana kebakaran buat keluarga mangsa telah disampaikan dalam ziarah baru-baru ini. "Penilaian kerosakan rumah-rumah yang terlibat sedang diproses oleh Pejabat Daerah Kemaman dan permohonan baiki rumah melalui Tabung Darul Iman akan dihantar selesai sahaja nilaian tersebut," katanya ketika ditemui media semasa aktiviti gotong-royong membersihkan rumah terbakar terbabit kelmarin. "Program Gorong-Royong Bersih Tapak Kebakaran merupakan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Air Putih melibatkan kerjasama beberapa agensi kerajaan, sukarelawan serta penduduk setempat yang turut hadir," ujarnya. Mengulas mengenai program gotong-royong itu, beliau berkata pihaknya turun padang bersama beberapa agensi kerajaan dan sukarelawan. “Saya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam gotong-royong hari ini antaranya pihak Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) yang menyediakan peralatan dan membantu dalam urusan kerja-kerja pembersihan. “Terima kasih juga buat JPKK, Lujnah Kebajikan PAS DUN Air Putih, Khidmat Malaysia, Jabatan Amal dan penduduk setempat yang hadir membantu," jelasnya. Mohd Hafiz berkata, kebakaran rumah itu berlaku dipercayai berpunca daripada litar pintas. Katanya, kejadian itu berlaku pada 17 Ogos telah mengakibatkan sebanyak tiga buah rumah mengalami kerosakan yang teruk. "Semoga Allah SWT membalas kebaikan di atas kerja amal kalian kerana membantu mereka yang sedang ditimpa musibah. "Moga-moga terubat sedikit kesedihan yang menimpa saudara kita ini," katanya.
22 Aug 23
359