lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Wabak Kuku Dan Mulut Masih Terkawal
Wabak Kuku Dan Mulut Masih Terkawal
DUNGUN, 29 Ogos - Wabak penyakit mulut dan kuku (FMD) melibatkan ternakan lembu di Terengganu kini masih terkawal dan tidak membimbangkan apabila mencatatkan penurunan dari lapan kes pada 2022 kepada lima kes pada tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata berdasarkan penurunan tersebut beliau menyasarkan sifar kes FMD pada masa akan datang. Katanya melalui program simulasi yang diadakan, ia lebih kepada langkah pencegahan dari pelbagai aspek sehingga kepada sekatan jalan raya untuk mengawal pemindahan ternakan disamping pemberian vaksin. "Ini adalah antara langkah pencegahan yang diambil Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk mengelakkan dari penyakit yang boleh menjejaskan industri penternakan kita," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Program Simulasi Penyakit FMD di Institut Veterinar Wilayah Timur, di sini hari ini. Justeru itu katanya, fokus JPV lebih kepada  pencegahan dan untuk merawat ternakan dari dijangkiti wabak dan seterusnya merebak. " Buat masa sekarang keadaan terkawal dan tindakan segera akan diambil JPV sekiranya ada laporan berkaitan dengan kes yang melibatkan ternakan," ujarnya. Jelasnya lagi, hampir 16,000 ekor lembu di negeri ini telah menerima vaksin setiap tahun melalui peruntukan negeri dan kerajaan pusat  terutama di kawasan yang berisiko.
29 Aug 23
145
82 Agensi Bersama Sesi Libat Urus Banci Pertanian 2024
82 Agensi Bersama Sesi Libat Urus Banci Pertanian 2024
KUALA TERENGGANU, 29 Ogos- Sebanyak 82 agensi berkaitan dari Negeri Terengganu, Pahang dan Kelantan berhimpun di Primula Beach Hotel, hari ini bagi menjayakan Sesi Libat Urus Banci Pertanian 2024 Zon Timur. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, Jabatan Perangkaan Malaysia yang berperanan sebagai agensi utama dalam urus tadbir data negara dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan Banci Pertanian 2024 selama tiga bulan bermula Julai tahun hadapan. “Data-data dalam bidang pertanian ini adalah data yang sangat penting untuk kita merangka dasar serta merancang pembangunan. “Justeru data yang berintegriti daripada peringkat paling bawah sampai ke peringkat paling atas diperlukan untuk tujuan ini,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Sesi Libat Urus Banci Pertanian 2024 Zon Timur di Primula Beach Hotel, hari ini. Katanya, sektor pertanian, penternakan, perikanan, perladangan serta perhutanan yang menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi untuk Pantai Timur ini menjadi fokus utama dalam sesi libat urus banci pertanian kali ini.  “Dalam merancang satu pelan tindakan yang betul kita perlukan ketepatan data. Dan data-data ini perlu melalui satu proses kajian yang teliti, pungutan dapatan daripada lapangan dan sebagainya sebelum dirangkumkan. “Seterusnya, barulah boleh kita lihat daripada setiap sektor ini, dimana maklumat yang kita perlu dan inilah bank data yang diperlukan oleh kerajaan dan rakyat,” ujarnya. Menurut beliau, banci pertanian kali terakhir dilakukan pada tahun 2005 dan kemungkinan data-data pada tahun tersebut sudah tidak valid sekarang ini. “Adalah satu langkah yang tepat pihak Jabatan Perangkaan Malaysia melakukan banci untuk bidang pertanian secara menyeluruh yang merangkumi semua sektor dan kelompok masyarakat. “Daripada dapatan banci pertanian 2024 nanti, Insyaallah kita akan dapat satu data perangkaan yang berintegiri dan tepat yang akan jadi bank data untuk kita merancang pelbagai agenda pembangunan negeri dan negara khususnya dalam usaha kita memperkukuhkan sektor keterjaminan makanan,” jelasnya.  
29 Aug 23
350
Jaga Kebersihan, Terengganu Kini Destinasi Pilihan Pelancong
Jaga Kebersihan, Terengganu Kini Destinasi Pilihan Pelancong
BESUT, 28 Ogos - Rakyat Terengganu digesa menjaga kebersihan dengan meninggalkan budaya membuang sampah di merata-rata tempat bagi memastikan kebersihan di negeri ini memuaskan pelancong. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong berkata, setiap rakyat perlu berperanan dalam menjadikan amalan kebersihan satu budaya yang perlu ada dalam diri setiap anggota masyarakat. "Pelancongan merupakan salah satu cabang pendapatan ekonomi negeri Terengganu, seluruh negara hari ini apabila sebut di mana lokasi untuk 'healing' maka ramai yang memilih untuk datang ke negeri ini. "Sekiranya aspek kebersiham tidak dijaga sudah tentu ia akan memberikan imej yang negatif  apabila dicemari sampah sarap seperti plastik, botol mineral, dan sisa-sisa makanan. "Kerana itu, menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan semua lokasi yang ada dalam negeri ini berada dalam keadaan bersih di samping kita mempromosikan Terengganu untuk terus dikunjungi orang ramai," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Program International Air Festival (TIAF), di sini, semalam. Kata Sulaiman, kebanjiran ramai pelancong dari dalam dan luar negara telah merancakkan ekonomi negeri kerana itu sektor pelancongan dijadikan tumpuan utama. "Agenda memperkasakan pelancongan ini bukan sahaja untuk menguntungkan kerajaan negeri tetapi memberikan pulangan ekonomi yang lumayan kepada komuniti setempat. "Sebagai contoh kita cukup bangga dengan Bukit Bubus ini yang mengamit kehadiran peserta dari luar negara yang menyertai acara TIAF ini. di mana lokasi diadakan acara ini  telah menyumbangkan impak yang positif kepada penduduk setempat. "Acara 'meluncur udara' ini telah dijadikan sebagai acara tahunan yang telah menjadikan Besut sebagai salah satu tarikan pengunjung serata dunia untuk hadir," ujarnya.  
28 Aug 23
1879
Projek Terbengkalai Diteruskan Elak Pembaziran Duit Rakyat
Projek Terbengkalai Diteruskan Elak Pembaziran Duit Rakyat
KUALA TERENGGANU, 28 Ogos – Pembangunan semula projek terbengkalai diteruskan oleh kerajaan negeri sekarang bagi mengelakkan pembaziran duit rakyat daripada terus berlaku. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata jika kita selidik dalam tempoh 20 tahun yang lampau sehingga hari ini, projek terbengkalai yang dibuat oleh kerajaan negeri sebelum ini telah mencapai anggaran jumlah keseluruhan RM1 billion. Katanya, kesemua duit tersebut merupakan duit rakyat yang boleh diperuntukkan untuk perkara-perkara lain seperti pendidikan, bantuan kebajikan dan sebagainya. “Bila kita tengok kenapa terbengkalai kerana berlaku pertukaran Menteri Besar, sedangkan mereka dari parti yang sama cuma masing-masing tidak mahu teruskan kerana mahu ada (legasi) sendiri. “Punca segala masalah apabila orang politik menganggap membina sesuatu projek adalah suatu legasi masing-masing,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh DJ Manis FM, Fad dan Ifa di konti Manis FM di sini baru-baru ini. Tambah Ahmad Samsuri, projek terbengkalai tersebut perlu ada penerusan seperti pembangunan semula projek ‘Strawbery Park’. “Strawberry Park sebelum ini merupakan sebuah resort persendirian dibeli oleh kerajaan negeri pada tahun 2010 dengan nilai kira-kira RM27 juta selepas resort tersebut bermasalah. “Hasrat kerajaan negeri terdahulu untuk menjadikan resort itu juga sebagai institut jantung negara tidak berjaya dilaksanakan menyebabkan resort tersebut terbengkalai. “Ini antara salah satu projek terbengkalai dan terdapat banyak lagi projek yang ditinggalkan sehingga menyebabkan kerosakan, tiada 'maintenance', bangunan runtuh dan sebagainya. “Bagi pandangan saya, sebarang projek yang dilaksanakan tidak boleh ditinggalkan kerana ia akan berlaku kerugian yang besar kepada rakyat,” ujarnya.    
28 Aug 23
2108
Rafizi Asyik Berpolitik, Tidak Fikir Soal Rakyat
Rafizi Asyik Berpolitik, Tidak Fikir Soal Rakyat
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos - Menteri Besar Terengganu melalui tulisannya jelas memaparkan kekecewaannya terhadap Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang gemar berpolitik setiap masa daripada memikirkan soal rakyat dan negara. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, amat jarang Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menulis artikel dengan nada sebegitu kecuali ia benar-benar serius. ''Jika melihat bait-bait tulisannya dan memahami maksudnya, ia menjelaskan apa itu politik, ketika dan saat mana berpolitik, peranan serta fungsi sebagai pentadbir serta tugas untuk memaju dan memakmurkan negeri/negara secara kolektif sebagaimana termaktub dalam perlembagaan. ''Namun selepas tamatnya PRN (Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Ke-15), seolah-olah kelihatan seperti negeri yang diterajui Perikatan Nasional (PN) mahupun penyokong serta pendokong PN bakal dihukum kerana pegangan politiknya. ''Malaysia adalah sebuah negara berdaulat, begitu juga negeri-negeri yang menjunjung kesatuan yang membina Malaysia. Hormatilah perbezaan pandangan,''ujarnya. Beliau berkata demikian melalui hantaran di facebooknya, di sini, hari ini. Tambah Khalil, ketika sebelum ini Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi pembangkang meminta semua pihak menghormatinya serta dilayan dengan adil, begitu juga PN pada ketika ini. ''Jangan cakap tak serupa bikin dan 'double standart' kerana sikap beginilah ramai rakyat muak dan memandang hina kepada ahli politik dan pentadbir,''ujarnya.
26 Aug 23
242
'HT Anniversary Ride' Tarik Lebih 600 Peserta
'HT Anniversary Ride' Tarik Lebih 600 Peserta
HULU TERENGGANU, 26 Ogos – Program berbasikal 'Hulu Terengganu Anniversary Ride 2023' yang melibatkan laluan sejauh 42 kilometer berjaya menarik lebih 600 penyertaan. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata program itu diadakan bertujuan bagi menarik penglibatan lebih ramai para 'rider' sama ada di dalam mahupun luar negeri. Katanya, program ini anjuran Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) bersempena dengan sambutan Ulang Tahun MDHT yang ke 41 tahun bersama Terengganu Polygon Cycling Team (TSG). “Berkonsepkan kayuhan santai, program yang pertama kali dianjurkan sempena Ulang Tahun 41 tahun ini bukannya satu perlumbaan sebaliknya aktiviti riadah yang menyihatkan bagi semua peringkat usia. “Kayuhan hari ini memberikan satu pengalaman kayuhan basikal yang kita kira jarak jauh bagi menguji ketahanan serta stamina di samping menghirup suasana segar kampung yang berlatarkan pemandangan keindahan alam semula jadi,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas menyempurnakan perasmian program 'HT Anniversary Ride 2023' bertempat di Dataran Kuala Berang di sini hari ini. Turut bersama menyempurnakan majlis perasmian, Yang Dipertua MDHT, Tuan lukema meri salleh@abd latif. Hadir sama, Ahli Dewan Dewan Undangan (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh, Timbalan Setiasaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak. Tambah Tengku Seri Bijaya Raja, kayuhan hari ini juga adalah untuk mempromosikan Kenyir Geopark yang baru diiktiraf di peringkat kebangsaan pada 30 Mei 2023 yang lalu. Tambahnya, laluan kayuhan merupakan sebahagian daripada kawasan Kenyir Geopark.  “Kalau kita tengok pada Kenyir Geopark ini, banyak aspek yang kita boleh lihat, kita ada geotapak yang melibatkan warisan. “Sebelum kita sampai penamat tadi, kita melalui kawasan bersejarah iaitu Kampung Buluh yang merupakan penemuan batu bersurat dan juga makam Tok Gajah di Kamung Pasir Nering yang merupakan antara geotapak di bawah Kenyir Geopark. “Saya berharap program seumpama ini diteruskan lagi bagi menggalakkan aktiviti riadah melalui berbasikal yang mana dapat mengurangkan pembebasan karbon dioksida. “Sekali gus menjadikan kawasan Bandar Kuala Berang ini sebagai Bandar rendah karbon selaras dengan dasar Negara dan juga usaha MDHT untuk menjadikan bandar Kuala Berang sebagai bandar sihat dan komuniti sejahtera. “Program ini juga merupakan salah satu daripada pelaksanaan program di bawah sustainable Development Goal yang kita duk sebut-sebut SDG. “Iaitu untuk memastikan kehidupan yang sihat dan menggalakkan kesejahteraan pada semua peringkat umur dan menjadikan bandar dan penempatan manusia sebagai menyeluruh, selamat, berdaya tahan dan mampan,” ujarnya. Beliau berkata, bagi merancakkan lagi kemeriahan program hari ini, pihak penganjur turut menyediakan pelbagai cabutan bertuah yang menarik seperti yang kita dapat lihat di pentas utama iaitu dua buah motosikal.      
26 Aug 23
430
MB Terengganu Nasihat Rafizi Henti Berpolitik
MB Terengganu Nasihat Rafizi Henti Berpolitik
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos- "Saya jadi malas nak melayan suara yang siang malam nak berpolitik, walau atas urusan negeri atau negara yang perlu komitmen serius dan menjangkaui politik," ujar Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli tentang ada negeri diberi keutamaan dalam belanjawan Persekutuan, tetapi tiada perancangan ekonomi yang baik termasuk Terengganu. Katanya, tidak mustahil lama kelamaan rakyat akan muak dan benci spesies ahli politik yang hanya mementingkan diri semata.  "Ya ada perkara berpolitik, dan ada perkara yang kena keluar dari politik. Jiwa besarlah sikit kawan. Kita perlu jiwa besar, bukan merasa diri besar atau merasa 'superiority complex'.  "Pandangan kita walau hebat macam mana pun, ada kalanya kena berpijak di alam nyata. Tidak rugi untuk duduk mendengar pandangan rakyat di bawah," ujarnya di laman facebook rasmi beliau hari ini. Ahmad Samsuri berkata Rafizi seumpama 'mengail ikan tetapi mata kail di kaki sendiri' atau disebut sebagai 'shooting your own foot' dalam bahasa yang lain apabila membangkitkan isu tersebut. Tambahnya, semua rakyat membayar cukai dikenakan dan hasil dari negeri diangkut ke Persekutuan, dalam bentuk yang dipersetujui bersama dan bukannya rampasan. "Maka semua negeri ada harga diri dan peranannya, kerana yang bernama Malaysia adalah dibina dari semua negeri-negeri ini. "Semua kena ingat, hasil yang diperolehi dan dikumpulkan oleh negara adalah diperolehi dari semua rakyat dan semua negeri. Saya ulang... semua rakyat dan negeri," ujarnya lagi Beliau juga berkata pihak menteri sepatutnya membaca angka-angka dan peratusan berkaitan serta melihat nama fail sebelum membuat kenyataan sedemikian. Justeru itu katanya, mengapa tidak diwujudkan satu hubungan yang lebih harmoni di negeri-negeri atau Putrajaya melalui perbincangan dengan semangat Federalisme yang mengukuh terutama selepas pilihanraya dijalankan. "Kalau itu pun tidak boleh, negara kita tidak akan bergerak ke hadapan. Bye-bye keharmonian dan kesejahteraan yang diimpikan oleh rakyat semua. "Jika ada YB Menteri yang marahkan rakyat Negeri Terengganu kerana memilih kami dalam pilihan raya baru ini, biarlah saya jadi galang ganti untuk dimarahi. Jangan dera rakyat kerana pilihan mereka," ujar Ahmad Samsuri.
25 Aug 23
1619
Iktibar Kemerdekaan Terselit Air Mata, Keringat dan Nyawa
Iktibar Kemerdekaan Terselit Air Mata, Keringat dan Nyawa
KUALA NERUS, 25 Ogos – Kerajaan Negeri mengajak rakyat supaya menghargai pengorbanan warga para pejuang dan ulama’ terdahulu dalam mempertahan negara sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke- 66 tahun. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato' Yahaya Ali berkata apabila mengimbau kembali sejarah, nusa dan bangsa kita sudah dijajah dan ditakluk sejak berabad-abad lamanya. Katanya, asal usul penjajahan berlaku apabila Portugis menawan kota Melaka. “Apa yang dapat kita saksikan, mereka datang dengan motif mentamadunkan bangsa Melayu yang dianggap primitif, malas dan berpuas hati dengan apa yang dimiliki, hal berkenaan berdasarkan slogan “beban orang putih”. “Adakah dakwaan yang dilontarkan mereka benar? Mana mungkin sebuah bangsa primitif mempunyai institusi kesultanan dan perundangannya sendiri. “Mana mungkin masyarakat malas dapat memajukan ekonomi perdagangannya menjadi pelabuhan entrepot dan mana mungkin rakyat yang berpuas hati dengan apa yang dimiliki sentiasa berkembang empayarnya demi penyebaran Islam,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Solat Hajat, Bacaan Yasin dan Doa Selamat sempena Sambutan Hari Kebangsaaan Tahun 2023 di Masjid Seberang Takir, Kuala Nerus di sini semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Tambah Yahaya Ali, dalam era globalisasi ini, intelektual barat yang kononnya ‘masyarakat bertamadun’ giat berdebat perkara asas seperti masalah jantina (apa itu lelaki dan perempuan). Bahkan, perkara yang seobjektif demikian masih tidak selesai, impaknya adalah kecelaruan identiti. Sehubungan dengan itu, kita bersyukur oleh kerana negara ini mempunyai peruntukan meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan dalam perkara tiga Perlembagaan Persekutuan. “Menurut data Indeks Keamanan Global (GPI) 2023 yang dikeluarkan oleh Institute For Economics and Peace (IEP). “Sebuah badan pemikir bebas berpangkalan di Sydney Australia, telah meletakkan negara Malaysia di tangga ke-19 daripada keseluruhan 163 negara dan tempat keempat bagi negara Asia Pasifik.  “Malaysia juga antara lima negara paling aman dari segi domain ketenteraan dan konflik dalaman dan antarabangsa. “Perkara ini jelas menunjukkan semangat perpaduan yang kuat antara rakyat Malaysia menghadapi konflik dalaman serta hubungan diplomatik Malaysia dengan negara-negara lain adalah baik,” katanya. Walau bagaimanapun jelasnya, masih terdapat ruang untuk penambahbaikan justeru, adalah menjadi tanggunggjawab setiap warganegara untuk sentiasa memperbaiki dan mengisi ruang tersebut. "Ayuh sama-sama kita menelusuri sirah perjuangan Baginda Nabi Muhammad SAW.  “Perjuangan Baginda dan para sahabat RAnhum dalam membina dan membangunkan negara Islam Madinah sehingga menjadi sebuah negara yang disegani oleh kuasa besar yang lain di zaman Baginda SAW. “Tidakkah kita juga teringin untuk melihat tanah air Malaysia yang kita cintai menjadi sedemikian rupa? “Semangat cintakan tanah air memerlukan kita agar mendahulukan kepentingan negara melebihi kepentingan individu sepertimana yang boleh diteladani dari para pejuang kemerdekaan,” katanya. Namun demikian tambah beliau, semangat cintakan negara tersebut haruslah seiring dengan perilaku bukannya hanya sekadar terlafaz dimulut.  "Tidak dapat tidak, kita mestilah menjaga dan memelihara asas-asas kenegaraan seperti institusi Raja-Raja Melayu, kedudukan agama Islam serta keistimewaan Melayu dan Bumiputera, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. "Marcapada ini, kita mengetahui bahawa pelbagai isu dan cabaran yang sedang dihadapi oleh seluruh dunia. Begitu juga keadaannya di Malaysia yang terdedah kepada sebarang ancaman dan anasir buruk yang boleh menggugat kestabilan negara.  “Maka dengan itu, bersamalah kita mengenepikan jurang perselisihan dan perbezaan pendapat antara sesama kita rakyat Malaysia bagi menangani isu-isu yang berlaku di negara kita. “Sikap cintakan agama, bangsa dan negara haruslah menjadi sumber kekuatan bagi rakyat Malaysia untuk terus bekerjasama membangunkan dan memajukan tanah tumpah darah kita meski pelbagai cabaran dan dugaan yang menghalang kerana negara kita adalah tanggungjawab kita,” ujarnya.        
25 Aug 23
210
Terengganu Laksana Solat Hajat Sempena Hari Kemerdekaan
Terengganu Laksana Solat Hajat Sempena Hari Kemerdekaan
KUALA NERUS, 25 Ogos – Kerajaan Terengganu mengadakan solat hajat dan doa selamat di Masjid Seberang Takir, Kuala Nerus sempena sambutan Hari Kemerdekaan tahun ini. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Yahaya Ali berkata program tersebut dirancang bagi memeriahkan lagi sambutan Bulan Kemerdekaan dengan penuh keberkatan. Katanya, Malaysia telah melalui zaman keemasan serta dicalit dengan pelbagai cabaran dari corong politik, ekonomi dan sosial. “Malaysia hingga kini mampu berdiri teguh sebagai negara merdeka, berdaulat dan negara majmuk yang merangkumi pelbagai kaum. “Sebagai rakyat Malaysia, perlunya kita bersatu padu dalam mengekalkan kemerdekaan dan keamanan selama 66 tahun ini,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Solat Hajat, Bacaan Yasin dan Doa Selamat sempena Sambutan Hari Kebangsaaan Tahun 2023 di Masjid Seberang Takir, Kuala Nerus di sini semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Tambah Yahaya Ali, generasi kini telah menikmati kurniaan kemerdekaan yang melimpah ruah daripada Allah swt.  “Pengorbanan dan perjuangan generasi terdahulu bagi mendapatkan kemerdekaan perlulah kita hargai. “Seluruh jerih perih mereka menunjukkan betapa mereka cintakan negara ini,” katanya. Jelas beliau lagi, hari kebangsaan perlulah disambut dengan penuh penghayatan dan bukanlah semata-mata dipenuhi hari itu dengan laungan kosong ketika menyambutnya. “Marilah seluruh rakyat Malaysia bersama-sama kita berganding bahu mempertahankan kemerdekaan dan kedaulatan tanah air yang tercinta ini,” ujarnya.      
25 Aug 23
790
Hospital Dungun Tingkatkan Kualiti Perkhidmatan
Hospital Dungun Tingkatkan Kualiti Perkhidmatan
KUALA TERENGGANU. 24 Ogos – Kerajaan negeri berharap perkhidmatan perubatan di Terengganu bertambah baik apabila Hospital Dungun yang bakal menjadi hospital pakar ketiga selepas Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan Hospital Kemaman beroperasi kelak. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata dengan adanya hospital pakar yang dilengkapi peralatan moden dan canggih, rakyat Terengganu tidak perlu lagi mendapatkan rawatan pakar di luar, sekaligus mengurangkan kesesakan di HSNZ dan Hospital Kemaman. "Orang ramai tidak perlu lagi menunggu untuk mendapatkan rawatan sebagaimana biasa dari segi masa termasuk jarak perjalanan lebih singkat. “Hospital yang kini dalam fasa persiapan akhir pembinaannya juga akan menjadi pusat rujukan kepada klinik kesihatan dan klinik desa di sekitar kawasan Daerah Dungun. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman( UPDI ) ketika dihubungi hari ini. Tambahnya,  kerajaan negeri juga mengeluarkan banyak perbelanjaan bagi membiayai rawatan pesakit kronik agar penduduk negeri ini mendapat rawatan terbaik melalui Tabung Darul Iman. Hospital Dungun yang dibina di atas tapak seluas 6.13 hektar pada 2016 itu sepatutnya siap pada 2019 namun tertangguh disebabkan beberapa faktor termasuk perubahan reka bentuk bagi menepati spesifikasi Kementerian Kesihatan. Bangunan itu mampu mencapai kapasiti 110 katil dengan 10 kepakaran disediakan antaranya kecemasan, perubatan, pediatrik, obstetrik dan ginekologi, anestesiologi, ortopedik, psikiatri, pergigian dan patologi membabitkan kos RM125 juta.
24 Aug 23
1083