Artikel "Utama" Terkini
Bot Penambang Solar Kejutan Baru Pengunjung ke Payang Walk
KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - Bot penambang solar bakal meningkatkan jumlah pengunjung dan pelancong untuk datang ke destinasi Payang Walk Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata kerajaan negeri menerusi Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) akan mengaktifkan semula perkhidmatan bot penambang.
Katanya, bot penambang akan dinaiktaraf menggunakan tenaga solar.
"Bot tersebut bakal menelusuri sungai Terengganu pada waktu malam sempena Program Payang Walk dalam tempoh terdekat.
"Inisiatif itu dijangka mampu meningkatkan jumlah pelancong tempatan dan luar negara," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan pertama sebagai exco Kerajaan Negeri pada Program Payang Walk, di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong, Datuk Bandar MBKT, Rosli Latif dan Pengarah JPNT, Fadli Yusof Zakaria.
Tambah Razali, usaha itu perlu dilakukan memandangkan peningkatkan pengunjung ke Payang Walk semakin meningkat pada setiap minggu.
"Pada minggu pertama mencatatkan rekod jualan lebih RM57,000 dan pada minggu seterusnya mencatat hasil RM100,000," ujarnya.
Untuk rekod, Payang Walk merupakan program mingguan yang diadakan pada setiap hari jumaat bertempat di pesisir muara Sungai Terengganu berhampiran Pasar Besar Kedai Payang, Kuala Terengganu.
22 Aug 23
1431
Utamakan Rakyat Seiring Revolusi Industri 4.0
KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - Warga Kerja Yayasan Terengganu diseru agar mengutamakan rakyat dalam memberikan perkhidmatan secara profesional, progresif dan berintegriti seiring zaman Revolusi Industri 4.0 .
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, di mana pada zaman ini mobiliti, kepantasan dan kecekapan memainkan peranan sangat signifikan kepada kerajaan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
Ujarnya, sebagai nadi penggerakan kerajaan sudah tentu langkah tersebut sangat diharapkan untuk terus berperanan sebagai sebuah agensi kerajaan negeri yang bertanggungjawab bagi membangunkan modal insan termasuk menyediakan kemudahan melanjutkan pelajaran kepada rakyat Terengganu.
"Maka sistem penyampaian perkhidmatan produktif serta berkualiri adalah imperatif bagi memastikan rakyat Negeri Terengganu terus mendapat manfaat.
"Sebagaimana dihasratkan oleh pimpinan negeri, sekali gus menjadikan perkhidmatan kerajaan kekal relevan serta diyakini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Yayasan Terengganu Tahun 2023, di Pusat Konvesyen Taman Tamadun Islam, di sini, kelmarin.
Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu Dato' mohd Azmi Mohamad Daham.
Mengulas lanjut, Tengku Seri Bijaya Raja turut memberi peringatan kepada warga kerja untuk mencipta budaya kerja kelas pertama.
"Insya-Allah dengan gabungan elemen progresif, integriti, disiplin dan tanggungjawab setiap warga kerja akan membawa Yayasan Terengganu ke arah sebuah organisasi cemerlang, dinamik serta bermindakan 'par excellence'." ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada seramai 33 orang penerima anugerah perkhidmatan cemerlang serta 22 orang yang telah menerima anugerah 'Jasamu Dikenang' bagi meraikan kakitangan yang telah bersara.
"Harapan saya agar pengiktirafan serta penghargaan seumpama ini dapat melonjakkan motivasi pekerja seterusnya menjadi 'role model' dan mentor terbaik kepada rakan sekerja yang lain, secara langsung membentuk ekosistem pekerjaan cemerlang," ujarnya.
22 Aug 23
156
"32-0, Kerajaan Terengganu Tak Boleh 'Menyederhanakan' Prestasi"
KUALA TERENGGANU, 21 Ogos - Kemenangan besar PAS/PN pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 lalu bukan alasan untuk parti itu berpuas hati dengan prestasi lepas, ujar Dr Azman Ibrahim.
"Saya kurang setuju kalau dikatakan kerajaan ini perlu kekalkan prestasi semasa, yang sepatutnya ialah kerajaan ini perlu tingkatkan prestasi.
"Kita tidak boleh menyederhanakan prestasi kerja sekadar berpuas hati dengan kejayaan sesi lepas," ujar Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri itu melalui satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut kata beliau, pihaknya mengambil pendekatan melihat ke hadapan tanpa menoleh ke belakang untuk mengulas apa yang telah berlaku sepanjang kempen.
"Perkara besar ialah untuk memahami bagaimana tingginya harapan rakyat kepada PAS/PN yang perlu dipenuhi setelah pengundi menjatuhkan hukuman 32-0 kepada BN/PH.
"Lima tahun yang berlalu, rakyat telah membuat penilaian dan mereka memilih untuk mengundi dengan keputusan badi kerajaan sepenggal telah berakhir," ujarnya.
Tambahnya, berlakunya peralihan penggal pertama kepada penggal kedua merupakan waktu yang yang sangat kritikal terpaksa ditempuhi dengan cabaran yang tersendiri.
"Tapi kini setelah badi ini berjaya dilepasi ia bukan bermakna kita sudah boleh 'slow down' sebaliknya gear perlu dinaikkan lagi dan momentum graf perlu menaik ke atas.
"Naik kereta kalau main gear sama, boleh 'lokoh' gear," ujarnya lagi.
21 Aug 23
272
Dr Sam Jumpa Mantan Menteri Ekonomi Bincang Hala Tuju Pembangunan
KUALA TERENGGANU, 21 Ogos - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengadakan perjumpaan dengan mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Dato' Seri Mustapa Mohamed bagi membincangkan kesenjangan pembangunan di empat negeri 'Malay Belt' .
Menurut Ahmad Samsuri, antara perkara yang turut dibincangkan dalam satu pertemuan khas bersama dengan tokoh negara tersebut yang lebih mesra dikenali sebagai Tok Pa adalah membabitkan isu-isu mikro di negeri turut fokus mengenai pembangunan aset negeri.
"Bagi meningkatkan hasil, peningkatan tahap ekonomi negeri, peningkatan pelaburan, dan bagaimana empat negeri di bawah PAS/PN dapat mengadakan kerjasama bagi menanganinya.
"Dalam kerangka kuasa Kerajaan Negeri di bawah Jadual Sembilan Perlembagaan Persekutuan," ujarnya melalui satu kenyataan di facebook rasminya, di sini, semalam.
Mengulas lanjut katanya, pengalaman bekas Menteri kewangan Kedua pada tahun 1998 itu mahu dimanfaatkan bagi membantu Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
"Pengalaman luas Tok Pa sejak sekian lama dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan pelbagai kementerian seperti Kementerian Kewangan, Kementerian Pembangunan Usahawan, Pengajian Tinggi dan sebagainya diharap dapat membantu kami di empat negeri.
"Insya-Allah perbincangan lanjut akan diadakan sesama pimpinan negeri," ujarnya.
Untuk rekod, Mustapa berkecimpung dalam dunia politik lebih 25 tahun dan pernah menyaksikan ketika beliau menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, pelaburan asing pernah mencapai tahap memberasangkan.
21 Aug 23
519
MAIDAM Agih Zakat Melebihi Pendapatan Tahun Lalu
KUALA TERENGGANU, 21 Ogos - Agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) berjumlah kira-kira RM232 juta melebihi pendapatan RM228,034,116 tahun lalu.
Yang Dipertua MAIDAM, Dato' Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata sementara tahun ini pula MAIDAM menyasarkan pungutan sebanyak RM260 juta melebihi pencapaian pungutan tahun lalu sebanyak kira-kira RM30 juta.
"Haul (tempoh setahun) pungutan zakat dikira dari Januari hingga Disember setiap tahun namun saya menyarankan agar umat Islam negeri Terengganu menjadikan bulan Ramadhan (tahun hijrah) sebagai haul kerana ia lebih tepat," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama Seminar Kebangsaan 'Scammer Islamic': Wadah atau Padah di Pusat Konvensyen Duyong, Duyong Marina & Resort di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu Wan Abd Malek Wan Sidek, pegawai majlis agama Islam dan Adat Melayu serta pengamal undang-undang syarie seluruh negara.
Untuk rekod dari jumlah RM228,034,116 pungutan tersebut sebanyak RM123,542,724 diagih kepada asnaf miskin, RM34,083,999 (fisabilillah), RM32,443,225 (amil), RM23,719,554 (fakir) RM7,615,254 (muallaf), RM6,327,860, (Al Gharimin), dan RM301,500 (Al Riqab).
Tiada agihan dibuat untuk ibnu sabil tahun lalu dan tahun sebelumnya.
21 Aug 23
401
Generasi Muda Pertahan Tradisi Wau Bulan
KUALA TERENGGANU, 21 Ogos - Tradisi permainan Wau Bulan terus dipelihara oleh golongan muda di Kampung Sungai Derhaka.
Ahli Dewan Undangan Negeri Terengganu (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor memuji penganjuran Pertandingan Wau Bulan Naik Tertutup Kg. Sungai Derhaka 2023 yang beliau sifatkan sebagai satu usaha kreatif masyarakat tempatan dalam memelihara seni warisan bangsa.
Zuraida turut bersama-sama memberikan sokongan dalam pertandingan tersebut.
"Pertandingan sebegini selain dapat menyambung ukhuwah sesama komuniti, dapat juga kita mengekalkan warisan kita," ujarnya.
Sementara itu pengarahnya, Mohd Idrus Jusoh berkata pertandingan tersebut telah diadakan di Padang Perumahan Taman Residensi Bayas dan menerima sambutan yang agak menggalakkan daripada penduduk setempat.
Salah seorang peserta bersama wau bulannya.
"Kami menerima sebanyak 64 penyertaan dengan kehadiran pengunjung seramai 300 orang.
"Apa yang kami harapkan ialah program sebegini dapat diadakan setiap tahun dengan sokongan daripada ADUN dan masyarakat setempat," ulasnya.
Antara aksi peserta pertandingan.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada ADUN Ladang atas kesudian meluangkan masa untuk turut bersama-sama dalam pertandingan tersebut.
21 Aug 23
345
Tiada Kes Wabak Pertussis Direkodkan di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 21 Ogos – Tiada kes wabak pertussis atau batuk kokol direkodkan berlaku di Terengganu sehingga hari ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong berkata wabak itu bukanlah penyakit baharu.
Katanya, tetapi ia merupakan penyakit yang kita cegah melalui pengambilan vaksin.
“Kes ini jarang berlaku, setakat ini di Terengganu, walaupun ada wabak di negeri lain tapi kita tiada jangkitan wabak itu.
“Pihaknya akan sentiasa menjalankan pemantauan semasa bagi mengelak penularan penyakit tersebut,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Jelajah ANMS Peringkat Negeri Terengganu 2023 bertempat di Dataran Shahbandar di sini kelmarin.
Turut hadir, Setiasaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif.
Tambah Kasemani, wabak Influenza di negeri ini juga masih terkawal susulan pemantauan yang sentiasa dijalankan secara mingguan.
“Pesakit yang mempunyai simptom segera dirujuk kepada hospital bagi mengelak penularan kes itu,” ujarnya.
Untuk rekod, pertussis adalah penyakit cegahan vaksin yang disebabkan oleh bakteria Bordetella pertussis dengan kuman disebarkan melalui udara semasa pesakit bersin atau batuk dan menjangkiti mulut, hidung dan tekak.
Ia boleh dielakkan dengan pemberian imunisasi yang diberi kepada kanak-kanak pada umur dua, tiga, lima, dan 18 bulan, dan kanak-kanak yang mendapat pelalian lengkap hanya akan mengalami gejala ringan tanpa risiko komplikasi jika dijangkiti.
21 Aug 23
280
Jelajah ANMS Bawa Masyarakat Hidup Sihat
KUALA TERENGGANU, 20 Ogos - Program Jelajah Agenda Nasional Malaysia (ANMS) Sihat Peringkat Negeri Terengganu mendapat sambutan baik oleh rakyat di negeri ini.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata program yang berlangsung selama dua hari bermula 18 hingga 19 Ogos itu mengajak rakyat membudayakan amalan cara hidup sihat.
Katanya, dengan membimbing dari sudut kawalan kesihatan kendiri serta menyediakan persekitaran sihat yang menyokong ke arah mencapai kesejahteraan kesihatan secara holistik.
“Melalui pembudayaan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong kepada amalan cara hidup sihat.
“Agenda ini berusaha untuk menjadikan kita sihat sejahtera sepanjang hayat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Jelajah ANMS Peringkat Negeri Terengganu 2023 bertempat di Dataran Shahbandar di sini semalam.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT), Datuk Dr Kasemani Embong dan Datuk Bandar Kuala Terengganu, Rosli Latif.
Tambah Bijaya Raja, pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang dua hari aktiviti berlangsung seperti sembang santai ANMS, ANMS Fun Ride Drawbridge Tour dan banyak lagi.
Tambahnya, ANMS yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri pada 7 Ogos 2020 merupakan tawaran baharu atau new deal kerajaan yang bertujuan menjadikan Rakyat Malaysia Sihat Sejahtera.
“Pendekatan Whole of Nation iaitu penglibatan secara menyeluruh agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan swasta serta rakyat adalah penting bagi memastikan agenda ini dilaksanakan secara komprehensif.
“Sepanjang tempoh dua tahun ini, sebanyak 25 agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan swasta telah dilantik sebagai rakan strategik ANMS Negeri Terengganu.
“Program Townhall Libat Urus ANMS, Jelajah ANMS Peringkat Daerah dan Bengkel Technical Working Group ANMS bersama Rakan Strategik telah dilaksanakan dengan jayanya bagi memastikan pelaksanaan program ANMS di negeri ini tercapai,” katanya.
Beliau berkata, lima Sambutan Hari-Hari Khas Kesihatan Peringkat Negeri Terengganu iaitu Hari Kesihatan Sedunia, Hari Tanpa Tembakau, Hari Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sedunia, Minggu Imunisasi Sedunia dan Minggu Promosi Kesihatan Pergigian juga diadakan bersekali dengan Program Jelajah ANMS Negeri Terengganu.
“Sambutan ini bertepatan dengan empat teras utama ANMS iaitu mempromosikan budaya hidup sihat, memantapkan perkhidmatan kesejahteraan kesihatan, memperkasa kawalan kesihatan kendiri dan memantapkan kebersihan persekitaran.
“Program tersebut telah menjadikan kesihatan sebagai satu keutamaan dengan memberikan komitmen sepenuhnya dalam pelaksanaan ANMS di negeri Terengganu.
“Besarlah harapan saya agar kerjasama yang padu dan akrab ini akan dapat diteruskan demi memastikan pelaksanaan ANMS ini dapat dijayakan sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat.
“Akhir kata, syabas dan tahniah kepada semua Jawatankuasa Pelaksana Program Jelajah ANMS Negeri Terengganu yang terlibat dalam menjayakan sambutan jelajah pada kali ini,” ujarnya.
20 Aug 23
395
PTT Jamborace & Funrace Tasik Kenyir Tawar Ganjaran RM100,000
KUALA TERENGGANU, 20 Ogos- Peminat sukan basikal lasak bakal menerima durian runtuh RM100,000 menerusi anjuran program berbasikal lasak, PTT Jamborace & Funrace Tasik Kenyir 2023 yang akan diadakan di Pulau Poh, Tasik Kenyir, Hulu Terengganu pada 6 dan 7 Oktober ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim berkata, program anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Terengganu Inc (TISAW), Terengganu Inc itu bakal menarik lebih 1,000 penyertaan dari seluruh negara.
“Acara sukan ini menawarkan nilai ganjaran keseluruhan mencecah RM100,000, di antara yang tertinggi dalam sejarah pertandingan sukan berbasikal lasak dalam negara, dengan RM50,000 disediakan dalam cabutan bertuah manakala selebihnya adalah hadiah wang tunai bagi kategori-kategori pertandingan.
"Di samping menawarkan 10 kategori terbuka kepada peminat basikal berumur seawal 12 tahun ke atas sehingga 'otai-otai' berusia 56 tahun, hadiah yang ditawarkan juga menarik untuk dimenangi bagi setiap kategori," katanya pada sidang media Majlis Soft Lauching XCO Jamboree & Funrace Tasik Kenyir 2023 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Sementara itu, Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed berkata, program berbasikal tersebut merupakan acara yang julung kalinya diadakan di Pulau Poh memandangkan kawasan hutan dara tersebut baru dibuka secara rasminya pada bulan lalu.
Katanya, dengan wujudnya fasiliti dan kemudahan penginapan, restoran dan jeti, anjuran ini bukan sahaja dapat melonjakkan lagi sektor pelancongan tempatan malah berpotensi menarik minat peminat basikal ke trek berbasikal hutan yang bakal dijadikan kawasan trek tetap.
"Program yang diadakan ini secara tidak langsung dapat membantu rakyat untuk menjana pendapatan tambahan di samping menggalakkan sektor eko-pelancongan di Pulau Poh menerusi pelbagai aktiviti sukan lasak seperti basikal bukit, trek hutan, jet ski dan sebagainya, hasil kedudukan dan bentuk muka bumi strategik" katanya.
Dalam pada itu katanya, Terengganu Inc sentiasa mengalu-alukan penajaan daripada anak-anak syarikat Kumpulan Terengganu Inc serta syarikat-syarikat besar lain untuk mengadakan anjuran kesukanan seperti ini untuk kelestarian sukan berbasikal.
“Terima kasih kepada PTT Synergy Group Berhad, sebuah syarikat pemaju dan infrastruktur yang tersenarai di papan utama Bursa Saham di atas kesudian menaja program ini.
"Kita juga berbangga PTT Synergy Group Berhad telah melahirkan rakyat Terengganu yang berjaya dan kejayaan yang dikecapi ini telah disalurkan melalui program- program CSR di dalam Negeri Terengganu juga," ujarnya.
20 Aug 23
919
MPD Tawar Diskaun Kompaun Tempat Letak Kereta 75 Peratus
KUALA TERENGGANU, 20 Ogos - Majlis Perbandaran Dungun menawarkan pengurangan kompaun sebanyak 75 peratus kepada orang ramai untuk melunaskan tunggakan khusus kepada kompaun Tempat Letak Kereta bermula esok hingga 15 September 2023.
Yang Dipertuanya, Tuan Azizul Ab Hadi berkata, tawaran pengurangan itu bersempena Sambutan Ulang Tahun Pemasyhuran MPD kali ke 11, Sambutan Hari Kemerdekaan Dan Hari Malaysia 2023.
Katanya, pembayaran kompaun boleh dibuat di kaunter Bersepadu MPD dan kaunter D’ Gate Walk.
"Kempen ini adalah inisiatif MPD untuk menggalakkan Orang Kena Kompaun (OKK) menyelesaikan tunggakan kompaun pada kadar tidak membebankan.
"Orang ramai dinasihatkan untuk mengambil peluang keemasan ini bagi menjelaskan tunggakan kompaun agar dapat mengelakkan tindakan undang-undang dikenakan melalui mahkamah," katanya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Tuan Azizul berkata, tawaran itu hanya khusus kepada kesalahan berkaitan tidak mempamerkan kupon, tidak membayar 'parking' atau meletakkan kenderaan di luar petak sahaja.
Tambah beliau, promosi tersebut tidak termasuk kes-kes yang dalam proses pendakwaan dan telah disabitkan oleh mahkamah.
Katanya, untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Penguatkuasaan MPD melalui talian 09-8481931/ 1932 atau melawati laman web http://mpd.terengganu.gov.my
20 Aug 23
659