lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Jet Pejuang Sukhoi Curi Tumpuan
Jet Pejuang Sukhoi Curi Tumpuan
KUALA TERENGGANU, 1 September - Kemuncak sambutan Hari Kebangsaan ke-66 Peringkat Negeri di sini turut dihidangkan dengan aksi pertunjukan udara jet pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Segmen pertunjukan udara TUDM tersebut dibarisi oleh dua pesawat pejuang sukhoi. Pada program itu, dianggarkan lebih 10,000 pengunjung memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Shahbandar, pada Khamis. Orang ramai turut hadir bagi menyaksikan perarakan dan perbarisan serta pertunjukan hari Kebangsaan dengan membawa Jalur Gemilang sepanjang laluan program itu. Terdahulu, Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan sambutan terbabit. Turut mengiringi baginda, Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Seri Utama Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra. Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri To’ Puan Seri Faezah Tuan Abd Rahman serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Seramai lebih kurang 3,949 peserta dari 109 Kontinjen menyertai perarakan yang penuh warna warni dengan iringan cuaca yang agak baik. Perbarisan lebih empat kilometer itu bermula dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah melalui Jalan Sultan Omar ke Wisma TNB, Jalan Engku Sar, Jalan Tok Lam, Jalan Sultan Sulaiman, Jalan Kolam, Jalan Sultan Zainal Abidin dan berakhir di Dataran Shahbandar.  
01 Sep 23
594
Budayakan Hari Jumaat Sebagai Hari Ilmu
Budayakan Hari Jumaat Sebagai Hari Ilmu
KUALA TERENGGANU, 1 September - Orang ramai digalakkan membudayakan setiap hari Jumaat sebagai Hari Ilmu serta meningkatkan rasa cintakan ilmu yang menjadi tonggak kepada pembangunan ketamadunan dan modal insan. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata semenjak PAS mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri, Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengisytiharkan hari Jumaat sebagai Hari Ilmu bermula tahun 2019. "Pengisytiharan ini juga mampu mewujudkan insan kualiti dan mengoptimumkan pengupayaan sumber manusia sebagaimana yang tertera dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030). "Oleh itu, marilah kita sama-sama membudayakan saranan Menteri Besar ini dengan menanamkan dalam diri kita dengan menterjemahkannya dengan mengikuti kuliah atau pengajian ilmu mahupun aktiviti-aktiviti seumpamanya yang berteraskan ilmu," katanya dalam satu hantaran di laman facebooknya hari ini. Tambah Dr. Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, orang ramai digalakkan untuk “membuka” Hari Ilmu pada Jumaat yang mulia ini dengan menghadiri Kuliah Dhuha di Masjid Rusila. "Walaupun ia boleh diikuti secara maya namun terdapat kelebihan mahupun fadhilat kepada yang menghadirinya," jelasnya.
01 Sep 23
214
Rakyat Terengganu Berperanan Kembalikan Identiti Negeri
Rakyat Terengganu Berperanan Kembalikan Identiti Negeri
KUALA TERENGGANU, 31 Ogos – Rakyat Terengganu mesti mengembalikan semula jati diri dan identiti negeri sebagai wilayah yang pernah ditadbir di bawah pemerintahan Islam secara syumul sebelum dirobek penjajah. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membuat seruan itu ketika menyampaikan perutusan pada Perarakan Perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2023 Peringkat Negeri Terengganu di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah di sini hari ini. Katanya, erti kemerdekaan sebenar adalah membabitkan kemerdekaan jiwa dan minda bukan sekadar luaran semata-mata. "Kita tidak mahu ada antara kita berwajah melayu tapi berhati penjajah. “Kita punya jati diri sendiri yang terakam kukuh dalam sejarah panjang bangsa ini. “Identiti dan jati diri kita telah dipupuk dan disemai sejak ratusan tahun dahulu berlandaskan Islam dan pemerintahan Islam,” jelasnya. Tambah Ahmad Samsuri, negeri Terengganu telah ditadbir dengan Islam sejak 700 tahun dahulu. Ujarnya, perkara itu dibuktikan melalui tulisan dalam bahasa Melayu lama yang terukir kukuh pada Batu Bersurat yang bertarikh 1303 masihi di Terengganu. Selain itu, Terengganu juga ditadbir dengan keadilan dan keindahan Islam oleh Sultan Zainal Abidin I, Baginda Omar dan Sultan Zainal Abidin III yang membangunkan Itqan al Muluk Bita’dil As-Suluk. “Sehingga datangnya penjajah mencabut akar jati diri kesyumulan Islam daripada pemerintahan di Terengganu dan Tanah Melayu," jelasnya. Maka ujarnya, menjadi tugas dan peranan rakyat Terengganu yang hidup pada hari ini untuk mengembalikan identiti dan jati diri yang sebenar bagi negara kita. “Selaras dengan tema hari kebangsaan kali ini 'Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan', jelas menggambarkan bahawa semangat perpaduan merupakan senjata yang amat penting yang perlu kita miliki dan pelihara. “Kita perlu akui dan menerima hakikat bahawa Malaysia sebuah negara berbilang kaum yang unik dan sebuah persekutuan daripada pelbagai negeri. "Keunikan inilah yang menjadikan kita istimewa dan terbilang di mata dunia,” ujarnya Terdahulu, Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan sambutan terbabit. Turut mengiringi baginda, Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Seri Utama Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra.  
31 Aug 23
493
SMK Padang Midin Juara Perbarisan Hari Kebangsaan
SMK Padang Midin Juara Perbarisan Hari Kebangsaan
KUALA TERENGGANU, 31 Ogos - Kontinjen Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Padang Midin muncul Johan Keseluruhan Perarakan dan Perbarisan Sempena Sambutan Hari Kebangsaan ke-66 di sini. Anugerah itu diraih apabila kontinjen SMK Padang Midin berjaya memenangi johan bagi kategori Pasukan Sekolah Menangah Kebangsaan Tidak Beruniform. Pejabat Daerah Dan Tanah Dungun pula berjaya muncul juara dalam Pertandingan bagi kategori Jabatan Kerajaan Tidak Beruniform. Pada masa yang sama, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mengungguli kategori Badan Berkanun Tidak Beruniform. Selain itu, Kolej Universiti Tati pula pemenang bagi kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Swasta, Anak Syarikat Terengganu (GLC), Perasatuan serta NGO Tidak Beruniform. Turut memenangi bagi kategori Pasukan Sekolah Menengah Beruniform adalah dari Pasukan Kadet Bersatu Malaysia (PKBM) Darat SMK Bukit Payung, Besut Terengganu. Kesemua hadiah tersebut dikurniakan oleh Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli menghadiri acara yang diadakan di Dataran Shahbandar, di sini pagi tadi. Turut mengiringi baginda, YAM Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Muhammad Mua’az dan YAM Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra. Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri, Toh Puan Seri Faezah Tuan Abd Rahman serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat Negeri Terengganu dimulai dengan perarakan dan perbarisan oleh jabatan kerajaan, badan beruniform, anak syarikat negeri (GLC) serta institusi pendidikan. Perbarisan lebih 4 kilometer itu bermula dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah melalui Jalan Sultan Omar ke Wisma TNB, Jalan Engku Sar, Jalan Tok Lam, Jalan Sultan Sulaiman, Jalan Kolam, Jalan Sultan Zainal Abidin dan berakhir di Dataran Shahbandar.    
31 Aug 23
445
Perarakan Hari Kebangsaan di Terengganu Pukau Pengunjung
Perarakan Hari Kebangsaan di Terengganu Pukau Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 31 Ogos - Sambutan Hari Kebangsaan ke- 66 Peringkat Negeri Terengganu  disambut meriah dengan pelbagai acara dan pertunjukan yang memukau rakyat di sini. Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Sambutan Hari Kebangsaan dan Perarakan Perbarisan Sambutan Hari Kebangsaan Tahun 2023 Peringkat Negeri Terengganu. Turut mengiringi baginda, Tengku Sri Setia Mahkota Raja, Tengku Muhammad Mua’az dan Tengku Seri Utama Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra. Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri To' Puan Seri Faezah Tuan Abd Rahman serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Perarakan Kemerdekaan bermula di Stadium Sultan Ismail Nasaruddin Shah pada jam 7.45 pagi dan berakhir di Dataran Shahbandar pada jam 11.00 pagi. Seawal 6.30 pagi orang ramai mula berkumpul di sepanjang jalan untuk melihat sendiri perarakan semua 109 kontinjen yang terlibat dengan sambutan meriah diberi kepada pasukan pancaragam Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Ramai yang datang dengan membawa bayi dan anak kecil, malah suasana semakin meriah dengan pelbagai busana menarik berkonsepkan Jalur Gemilang serta mengibarkan bendera Malaysia dengan penuh semangat. Dengan tema Malaysia Madani, Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan, para peserta bersemangat menyertai kawat perbarisan pasukan masing-masing sehingga selesai. Sejak awal pagi kontinjen perarakan sudah mula memenuhi ruang stadium mengikut Jabatan dan kategori yang ditetapkan oleh penganjur. Pasukan perarakan siap mengambil tempat masing-masing di dalam stadium pada jam 7.15 pagi. Acara bermula dengan penyerahan Bendera Jalur Gemilang oleh Menteri Besar Ahmad Samsuri kepada Tentera Laut Diraja Malaysia untuk dinaikkan. Seterusnya, acara nyanyian lagu ‘NegaraKu’ secara beramai-ramai, diiringi dengan lagu negeri, ‘Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera’. Penolong Pesuruhjaya Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Ustaz Mohd Faizul Mohd Kesah memimpin bacaan Surah Al-Fatihah dan doa untuk disedekahkan kepada ruh para pejuang kemerdekaan negara. Sejurus itu, Ahmad Samsuri menyampaikan Perutusan Hari Kebangsaan yang menegaskan bahawa jangan ada antara rakyat Malaysia berwajah melayu tapi berhati penjajah.  “Bicara lidah loghatnya Terengganu namun bahasanya menjulang naratif penjajah.  “Kita punya jati diri sendiri yang terakam kukuh dalam sejarah panjang bangsa ini,” ujarnya. Selepas itu, Stadium Sultan Ismail Nasarudin Shah bergema dengan laungan ‘Merdeka’ sebanyak tiga kali menandakan kerajaan dan rakyat bersatu hati serta berhasrat mengisi kemerdekaan berpaksikan Al-Quran dan Sunnah. Seterusnya, Ahmad Samsuri dan isteri beredar dari majlis dan perarakan bermula dari stadium itu menuju Dataran Shahbandar untuk acara terakhir. Kira-kira 3,949 peserta dari 109 Kontinjen pelbagai kategori menyertai perarakan yang penuh warna warni dengan iringan cuaca yang agak baik. Perbarisan lebih empat kilometer itu bermula dari Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah melalui Jalan Sultan Omar ke Wisma TNB, Jalan Engku Sar, Jalan Tok Lam, Jalan Sultan Sulaiman, Jalan Kolam, Jalan Sultan Zainal Abidin dan berakhir di Dataran Shahbandar.              
31 Aug 23
1119
Pewaris Negara Merdeka Perlu Berjiwa Besar
Pewaris Negara Merdeka Perlu Berjiwa Besar
KUALA NERUS, 31 Ogos - Generasi hari ini yang merupakan pewaris negara yang merdeka perlu sentiasa berjiwa besar dan bersemangat patriotik mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri berkata, ia bagi memastikan nikmat kemerdekaan yang dikecapi pada hari ini akan dapat diwariskan kepada generasi masa hadapan. ''Ingatlah, perpaduan yang terbina semenjak usaha memperolehi kemerdekaan perlu diteruskan dan disemai supaya kejituan perpaduan dalam kalangan rakyat menjadi semakin kukuh. ''Marilah kita 'teguh bersama' berusaha menyumbang tenaga, akal fikiran dan doa untuk kita sama-sama menyumbang demi kemajuan, keberkatan dan kesejahteraan negara Malaysia tercinta,''ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Sambutan Malam Ambang Merdeka Peringkat Negeri Terengganu, di Dataran Muara Utara, Tapak Foodtruck, Dataran Jambatan Angkat, di sini, semalam. Dalam pada itu beliau turut merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada penganjur serta seluruh jawatankuasa yang terlibat dalam memastikan acara itu disambut dengan penuh meriah. ''Diharapkan dengan sambutan hari kebangsaan tahun ini dapat mengukuhkan lagi semangat patriotisme di kalangan masyarakat di negeri Terengganu. ''Marilah sama-sama kita mengibarkan jalur gemilang tanda rasa kasih dan sayang kita kepada negara Malaysia, saya ingin berpesan kepada diri sendiri dan seluruh rakyat Terengganu khasnya, pupuklah semangat perpaduan dan ukhwah sesama kita. Hargailah keamanan dan peliharalah keharmonian demi negara yang tercinta,''ujarnya. Dalam pada itu sambutan ambang merdeka telah turut diserikan dengan pertunjukkan bunga api diiringi dengan nyanyian lagu Tanggal 31 Ogos dan jalur Gemilang. Terdahulu majlis turut diserikan dengan persembahan lagu patriotik oleh artis jemputan Furqan Fawwaz, Hafiz Hamidun dan Aiman Sidek sebaik sahaja forum kemerdekaan Ukhwah Islamiah Melestarikan Intipati Kemerdekaan. Manakala persembahan sajak kemerdekaan telah disampaikan oleh Asiah Hanim dan Saifuldhari. Persembahan koir lagu negaraku telah dipersembahkan oleh pelajar-pelajar dari Institut Pendidikan Guru Kampus Dato Razali Ismail ketika upacara menaikkan Jalur Gemilang. Sebelumnya, upacara perarakan masuk anggota Rejimen 512 Askar Wataniah membawa Jalur Gemilang dan penyerahan Jalur Gemilang oleh Menteri Besar kepada Pasukan Simpanan Tentera Laut DiRaja Malaysia (PSTLDM) .    
30 Aug 23
381
Bersatu Bina Negara Berasaskan Semangat Federalisme
Bersatu Bina Negara Berasaskan Semangat Federalisme
KUALA TERENGGANU, 30 Ogos - Semua pihak khususnya rakyat digesa bersatu dan bergerak ke hadapan untuk membina negara berasaskan semangat federalisme dan patriotisme. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata sekarang bukan masa untuk rakyat saling berbalah satu sama lain serta berpolitik siang dan malam yang tidak menguntungkan dan mengheret kepada persengketaan. "Sebaliknya semua rakyat terus mara ke hadapan untuk membina negara berasaskan perpaduan nasional, semangat federalisme dan patriotisme. ''Alhamdulillah hari ini negara kita mampu berdiri teguh sebagai negara merdeka, berdaulat dan majmuk dengan pelbagai kaum. ''Sebagai rakyat Malaysia, perlunya kita bersatu padu bagi mengekalkan keamanan yang kita nikmati ini agar tidak diganggu-gugat oleh anasir yang boleh merosakkan perpaduan negara tercinta,'' ujarnya. Beliau berkata demikian menerusi Perutusan Hari Kebangsaan 2023 Menteri Besar, di sini, hari ini. Mengulas lanjut katanya, generasi pada hari beruntung atas kesungguhan generasi terdahulu memperjuangkan kemerdekaan negara setelah dijajah dan ditakluk sekian lama. ''Sungguh generasi hari ini amat beruntung kerana perjuangan, perit dan jerih generasi terdahulu telah menghadiahkan kita sebuah nikmat kemerdekaan yang amat bermakna. ''Kita perlu akui dan menerima hakikat bahawa Malaysia sebuah negara yang unik dengan rakyatnya terdiri daripada pelbagai kaum hasil penyatuan daripada 14 buah negeri. Keunikan inilah yang menjadikan kita istimewa dan terbilang di mata dunia,''ujarnya. Dalam pada itu beliau turut menyeru seluruh rakyat Terengganu agar sentiasa mensyukuri nikmat kemerdekaan ini untuk bersatu padu membangunkan negeri dan negara tercinta ini. ''Selamat menyambut Hari Kebangsaan 2023 kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya rakyat Terengganu.  ''Merdeka! merdeka ! Merdeka !,'' Ujarnya lagi.
30 Aug 23
148
'Jangan Main Politik Dalam Sukan'
'Jangan Main Politik Dalam Sukan'
KUALA TERENGGANU, 30 Ogos – Kepimpinan sukan diingatkan tidak membawa sentimen politik kepartian dalam menguruskan sukan termasuk bola sepak agar usaha memajukan sukan negeri Terengganu tidak terbantut. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata Kerajaan Terengganu hanya membenarkan bendera hitam putih (bendera Terengganu) sahaja 'dikibarkan' dalam pengurusan sukan supaya pembangunan sektor itu dapat diberi tumpuan sepenuhnya oleh semua pihak. “Kita tidak boleh membawa sentimen politik kepartian dalam menguruskan sukan bola sepak, tanggalkan bendera hijau atau biru dan angkat bendera hitam putih (Terengganu) dalam pengurusan bola sepak, barulah kita boleh fokus destinasi yang ingin kita tuju dengan mengangkat dan menjulang jati diri negeri kita,” katanya ketika diwawancara TV Darul Iman di sini hari ini. Katanya dalam masa yang sama, kerajaan tidak boleh memberi tumpuan untuk memajukan sukan bola sepak semata-mata, tetapi pemantauan untuk membangunkan sukan negeri Terengganu mesti dibuat secara menyeluruh termasuk juga sukan lain. Jelasnya, sukan negeri Terengganu dikelolakan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) secara keseluruhan manakala persatuan sukan mempunyai peranan masing-masing dalam membangunkan sukan negeri itu mengikut kapasiti sukan yang dipertanggungjawabkan. “Kita (kerajaan) lebih suka melihat persatuan-persatuan sukan bergerak lebih bebas dan aktif, ada kebebasan dan mereka membuat sesuatu dengan keupayaan dan kemampuan masing-masing. “Saya akan berjumpa dengan pemegang taruh dalam sukan bola sepak termasuk TFC, PBSNT dan bekas pemain-pemain Terengganu yang mencipta nama suatu ketika dahulu untuk mengambil pandangan dan meneliti komen-komen mereka terhadap pasukan bola sepak kita,” ujarnya lagi.
30 Aug 23
221
Dr Sam Rakam Tahniah Hakim Danish Rangkul Anugerah SAM
Dr Sam Rakam Tahniah Hakim Danish Rangkul Anugerah SAM
KUALA TERENGGANU, 30 Ogos - Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan tahniah kepada pelumba motosikal muda negara Muhammad Hakim Danish Ramli yang berjaya merangkul anugerah Atlet Muda Terbaik pada majlis Anugerah SAM-100PLUS 2022 yang berlangsung di Sunway Resort Hotel, semalam. Anak kelahiran Terengganu yang kini mewakili pasukan ZK Racing itu terus menempa nama apabila beliau terpilih sebagai penerima anugerah tersebut oleh Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) berdasarkan prestasi konsisten yang dipamerkan dan kejayaan demi kejayaan yang diperoleh. Kejayaan Muhammad Hakim atau lebih dikenali sebagai Hakim Danish bergelar juara keseluruhan saingan perlumbaan Asia Talent Cup (ATC) 2022 turut menjadi faktor utama pelumba berusia 16 tahun itu dipilih sebagai penerima anugerah. “Syabas adik Hakim Danish, teruskan mengharumkan nama negara dalam sukan permotoran ini,” tulis beliau dalam laman facebooknya. Foto Ihsan: Facebook Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia
30 Aug 23
889
Kebun Durian Terbiar Akan Dipulihkan
Kebun Durian Terbiar Akan Dipulihkan
HULU TERENGGANU, 30 Ogos – Kerajaan negeri melalui Jabatan Pertanian akan membantu melaksanakan pemulihan dusun-dusun durian yang banyak terdapat di seluruh daerah dalam keadaan terbiar. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata  justeru itu, Terengganu bakal memiliki lebih banyak durian kampung berkualiti tinggi, untuk dipasarkan secara lebih meluas setanding durian yang sudah dijenamakan. "Dipenuhi dengan semak samun, tidak dihiraukan dari aspek pembajaan, pengairan sehingga pokok ini menghasilkan buah yang sangat rendah kualitinya dan terbukti apabila kita pulihkan, antara hasilnya, durian kampung berkualiti. Jadi durian kampung sebenarnya bukan jaguh kampung tapi jaguh antarabangsa. "Apabila kita memberikan hak yang sepatutnya kepada pokok durian dari segi pembajaan, pengairannya, ia juga mampu menghasilkan buah pada tahap kualiti premium setanding dengan durian klon yang lain," ujarnya. Beliau berkata demikian pemberita di Pertandingan Durian Kampung Premium Peringkat Negeri Terengganu 2023 sempena Bulan Kebangsaan di Dewan Kompleks Pertanian Ajil, di sini hari ini. Pada pertandingan itu, durian milik pekebun dari Marang diumumkan sebagai johan yang membawa pulang hadiah tunai sebanyak RM3,000 manakala naib johan dan tempat ke tiga masing-masing dimenangi pekebun dari daerah Besut dan Setiu dengan hadiah RM2,000 dan RM1,000. Menurutnya, durian baka terbaik yang terpilih akan didaftarkan oleh Jabatan Pertanian Negeri sebagai variati baharu menggunakan kod nombor. Tambahnya lagi,  perubahan minda adalah kunci kepada mereka yang ingin menjadikan durian sebagai satu sumber ekonomi. “Bukan sekadar meneruskan kebun yang ditinggalkan oleh arwah tok, arwah ayah malah ada yang terbiar dengan semak samun cuma pergi tebas  setahun sekali bila durian mula berbunga. “ Ini adalah kesilapan  yang telah berlangsung sejak puluhan tahun  lalu, dan kita perlu mengorak langkah ke hadapan sekiranya nak durian kampung dikomersialkan ke peringkat lebih tinggi,” ujar Dr Azman.
30 Aug 23
2807