lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Sambut Hari Kebangsaan di Laut
Sambut Hari Kebangsaan di Laut
KUALA TERENGGANU, 3 September – 'Luar biasa', itulah gambar sesuai bagi menterjemahkan semangat rakyat negeri ini meraikan Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-66 Peringkat Negeri Terengganu apabila ada antara mereka yang meraikannya di lautan. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memuji program tersebut yang mendapat sambutan baik dan kemeriahan lebih berganda pada tahun ini. Katanya, apabila negeri ini meraikan sambutan perarakan Kemerdekaan di darat mahupun di laut. "Inisiatif itu bertujuan bagi menyuburkan lagi semangat cintakan negara dalam diri rakyat seluruh negeri ini. "Memori perarakan bot merdeka itu melalui sekitar Pesisir Payang dan Jambatan Angkat Kuala Terengganu, pada Sabtu. “Semoga erti kemerdekaan kali ini lebih bermakna buat kita semua. “Tahniah kepada semua yang telah memeriahkan sambutan kemerdekaan pada tahun ini, Terbaik,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di laman Facebook Rasmi miliknya pada hari ini. Perarakan bot Merdeka tersebut dikehendaki melalui tiga 'checkpoint' yang penamatnya berkumpul di Jambatan Angkat Kuala Terengganu. 'Checkpoint' pertama di Pulau Kekabu, Marang, manakala 'checkpoint' kedua di Bukit Tunggal, Kuala Nerus dan 'checkpoint' terakhir di Pengkalan Kampung Tengah, Setiu. Program pada hari tersebut berjalan dengan lancar serta keadaan cuaca juga cerah sekali gus melancarkan kesemua pergerakan bot Merdeka.      
03 Sep 23
659
'Silap Kata Mundur, Terengganu Negeri Wajib Dikunjungi'
'Silap Kata Mundur, Terengganu Negeri Wajib Dikunjungi'
KUALA TERENGGANU, 3 September – Silap besar jika ada pihak mengatakan Terengganu sebagai sebuah negeri yang mundur dan patut diboikot, ujar pelancong dari Selangor. Sunaini Othman, 54, yang berasal dari Shah Alam berkata, Terengganu merupakan sebuah negeri yang wajib dan berbaloi untuk dikunjungi. Katanya, negeri pantai timur itu terus menjadi pilihan orang ramai menghabiskan masa bercuti sehingga beberapa lokasi popular dipenuhi pelancong, sepanjang tempoh cuti sekolah berlangsung baru-baru ini. "Ini merupakan kali kedua saya datang dan kalau boleh nak datang lagi. Bagi saya orang yang mengatakan Terengganu  mundur adalah silap, cakap orang yang tak fikir lebih jauh sekadar nak puaskan hati mereka sahaja. "Bagi saya Terengganu adalah tempat terbaik untuk datang tak kira lah apa orang nak kata sebab bagi saya semua best, rakyat bagus , bersopan santun, peramah dan banyak tempat menarik untuk dilawati,”ujarnya ketika ditemui di Pasar Payang di sini hari ini. Terdahulu, tinjauan pemberita di beberapa lokasi antaranya di Masjid Kristal, Jeti Pulau Redang, Taman Tamadun Islam, Pasar Payang dan banyak lagi lokasi meriah dengan kehadiran pelancong yang mengabadikan kenangan mereka di mercu pelancongan negeri itu. Sementara itu, pelancong asing dari Singapura, Reid Lim, 36 dan isteri Kit Shan 31 yang berasal Hong Kong berkata, Terengganu memiliki banyak tempat menarik berbanding negeri lain di Malaysia. Menurut beliau yang kali pertama datang bercuti ke negeri pesisir pantai itu, antara yang digemarinya adalah makanan, cuaca dan masyarakat Malaysia yang peramah dan menerima baik pelancong sepertinya. "Saya sangat sukakan Terengganu dan ketika datang di sini, saya paling gemar makan nasi dagang dan isteri lebih kepada keropok lekor. Di sini juga ada pelbagai makanan enak yang selalu dianggap pelancong sebagai 'syurga' makanan.Negeri ini bukan hanya ada pantai yang indah tetapi pantai itu juga bersih “Saya tak tahu apa yang orang lain fikirkan tapi saya sukakan tempat ini bila datang ke Terengganu. Jika ada yang mengatakan Terengganu tidak sesuai untuk bercuti, mungkin ada salah faham sebab segalanya menarik tentang negeri ini, termasuk binaan bangunan... pasti akan datang untuk kali kedua tidak lama lagi," katanya.  
03 Sep 23
6615
Camper Rally Gathering Pecah Malaysia Book Of Records
Camper Rally Gathering Pecah Malaysia Book Of Records
KUALA TERENGGANU, 3 September - Kerajaan Negeri melalui Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu berjaya menghimpunkan 250 campervan dan motorhome (CRM) dengan penglibatan lebih 700 ahli keluarga sempena program Camper Rally Gathering 2023 di Pulau Poh, Kenyir. Penganjuran program selama tiga hari berakhir semalam itu mendapat kerjasama Persatuan Campervan & Motorhome Malaysia (PCMM) dan turut melibatkan penyertaan terbesar pemilik CRM Malaysia iaitu sebanyak 231 buah kenderaan rekreasi (RV), termasuk 12 dari Thailand, Jerman (6), sebuah dari United Kingdom.  Jumlah itu berjaya dicatatkan dalam The Malaysia Book of Records sebagai Most Recreational Vehicle (RV) in a Rally Gathering, sekaligus memecahkan rekod tahun lalu di mana program sama diadakan di Taman Wetland Putrajaya yang membabitkan 122 RV.  Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Tun Faisal Tun Abdul Razak berkata, kerajaan negeri komited untuk mambangunkan kawasan RV di setiap daerah. “Telah ada beberapa lokasi yang berpontensi dijadikan kawasan pelancongan RV seperti Pantai Peranginan Rhu 10, Setiu, Pulau Kekabu, Marang serta Pantai Teluk Kalong, Kemaman termasuk di Tasik Kenyir.    “Keindahan dan keunikan lokasi di Terengganu merupakan kawasan tarikan pelancong sedia ada dan mempunyai nilai pelancongan semulajadi.  “Dengan penambahan nilai tambah prasarana kemudahan RV ini. Kita yakin ia mampu menarik minat pelancong dari pelbagai segmentasi pelancong khasnya segmentasi pelancong berasaskan kekeluargaan yang kini menggunakan RV untuk melancong,” ujarnya.  Menurut beliau, program berkonsepkan terbuka kepada orang awam itu juga memberikan peluang kepada pengunjung dan peminat RV untuk mengenali jenis-jenis RV, DIY RV serta turut berpeluang mengalami percutian dengan kenderaan rekreasi tersebut. 
03 Sep 23
724
Festival Muay Thai Gegar Terengganu Bermula 29 September
Festival Muay Thai Gegar Terengganu Bermula 29 September
KUALA TERENGGANU, 3 September - Persatuan Muay Thai Terengganu dengan kerjasama Kerajaan Negeri akan menganjurkan Terengganu Fight (T-FIGHT) Festival 2023 di Kompleks Sukan Negeri Terengganu Gong Badak pada 29 dan 30 September ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya akan memantau konsep perjalanan festival tersebut supaya mesra syariah dan akan dijadikan sebagai garis panduan bagi sukan bela diri berasaskan Muay Thai lain. “Sehubungan itu saya akan memohon kerjasama dari Jabatan Mufti Negeri Terengganu supaya menghantar satu pasukan pemantau dengan menyaksikan festival secara lebih dekat dan mengambil maklumat dari pihak penganjur secara langsung pada hari kejadian bagi memastikan festival itu mesra syariat,” katanya dalam Sidang Media di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Katanya kerajaan negeri akan memberi sokongan kepada festival tersebut di atas semangat kesukanan dan akan melaksanakan tambah baik dengan penyertaan pasukan pemantau dari jabatan tersebut. Sementara itu Pengarah Teknikal T-FIGHT, Muhd Haslizak Hashim berkata kejohanan itu merupakan kesinambungan kepada penganjuran sebelum ini namun kali ini dirancang lebih besar dengan pengisian dan acara yang lebih hebat. Katanya acara utama ialah Cabutan Bertuah T-FIGHT berupa sebuah kereta Proton SUV X50, Motosikal Yamaha RXZ Restore, Pakej Percutian Empat Hari Tiga Malam Ke Sabah dan beberapa barangan lain. “Program yang dirancang ini adalah acara yang memfokuskan sukan tempur (gelanggang) MuayThai dan acara Malaysia ‘Book Of Records’ sebagai acara utama program. "Serta pengisian acara sampingan yang tidak kurang menariknya yang mampu menjadi tarikan para pengunjung dari dalam dan luar Terengganu serta pelancong asing,” jelasnya. Menurutnya, pelbagai pengisian acara utama dan acara sampingan yang mempunyai elemen tarikan tersendiri bakal ditonjolkan dalam program yang akan diadakan bermula jam 9 pagi hingga 11 malam selama dua hari dua malam itu.
03 Sep 23
694
Empat Menteri Besar PN Bertemu Dua Tokoh Negarawan
Empat Menteri Besar PN Bertemu Dua Tokoh Negarawan
KUALA TERENGGANU, 3 September - Empat Menteri Besar daripada Perikatan Nasional (PN) mengadakan pertemuan dengan dua tokoh negarawan baru-baru ini. Tokoh negarawan tersebut merupakan bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Islam Se-malaysia (PAS), Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Pertemuan tersebut diadakan di kediaman Tun Dr Mahathir pada jam 5.30 petang, Sabtu. Kesemua Menteri Besar tersebut terdiri daripada Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli. Ahmad Samsuri berkata pertemuan tersebut bertujuan bagi memperkukuhkan kerjasama empat negeri ini. "Di samping, meningkatkan lagi tahap sosioekonomi, peningkatan hasil negeri dan kesejahteraan rakyat,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di laman Facebook Rasmi miliknya pada hari ini. Turut hadir dalam pertemuan tersebut, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan. Sebelum ini, Dr Mahathir dilihat menyokong parti berkenaan ketika kempen pilihan raya Umum (PRU) Negeri yang telah berlangsung 12 Ogos lalu. Beliau meminta kepada pengundi untuk memberikan sokongan dan kemenangan kepada PN. Untuk rekod, PN berjaya mempertahankan tiga negeri iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu pada (PRU) Negeri baru-baru ini.  
03 Sep 23
214
TSG Shimano Fellowship Ride Realisasikan Terengganu Negeri Basikal
TSG Shimano Fellowship Ride Realisasikan Terengganu Negeri Basikal
KUALA TERENGGANU, 3 September - Penganjuran TSG Shimano Fellowship Ride 2023 yang menjadi acara terbesar setiap tahun berupaya menjelmakan Terengganu sebagai Negeri Kayuhan Basikal. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, program yang dianjurkan oleh Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) tersebut selaras dengan teras utama dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) bagi menjadikan negeri ini terkenal dengan aktiviti berbasikal. "Kalau kita tengok hari ini ia menjadi program terbesar yang melibatkan 3,500 peserta malah menghimpunkan seluruh peminat basikal yang datang dari seluruh negara termasuk Singapura, Indonesia dan Thailand. "Saya turut difahamkan bahawa hasrat TSG sangat bertepatan dengan kehendak kerajaan negeri bagi menjadikan acara ini sebagai pengerak kepada ekonomi negeri Terengganu dengan menyasarkan pendapatan RM2.1 juta setiap tahun pada setiap kali acara ini diadakan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui menyempurnakan pelepas program berkenaan, di Dataran Batu Burok, di sini semalam. Mengulas lanjut katanya, reputasi Terengganu selama ini berjaya melahirkan atlet berbasikal juga telah menarik perhatian dunia kerana itu sangat bertepatan menjadikan negeri ini sebagai lokasi popular untuk kayuhan basikal. "Kita berharap agar usaha-usaha ini diteruskan oleh pelbagai pihak kerana untuk menarik lebih ramai lagi rakyat terutama peminat-peminat sukan basikal samada dari dalam negara mahupun luar negara," ujarnya lagi.  
03 Sep 23
678
Kerajaan Bakal Bina Kompleks Stesen Bas Bernilai RM17 Juta di Jerteh
Kerajaan Bakal Bina Kompleks Stesen Bas Bernilai RM17 Juta di Jerteh
KUALA TERENGGANU, 2 September - Kerajaan Negeri dalam usaha untuk membina projek mega di bandar Jerteh iaitu Kompleks Stesen Bas dan Kereta Sewa yang bernilai anggaran RM17 juta. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor berkata projek tersebut dijangka bakal dijalankan pada Januari 2024. Katanya, Kompleks Stesen Bas dan Kereta Sewa itu bakal menjadi mercu tanda baru bagi bandar Jerteh sekali gus merancakkan lagi sosio ekonomi di daerah itu. “Jalan empat lorong juga akan dibina bermula daripada 'Nasken Coffee' sehingga ke Seberang Jerteh bagi memudahkan orang ramai. “Selain itu, penambahbaikan juga akan dijalankan terhadap jambatan-jambatan utama Jerteh yang kebiasaannya mengalami jem yang teruk terutamanya pada musim cuti,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemubual dalam Bicara Khas TV Darul Iman di sini baru-baru ini. Tambah Dr Riduan, Jerteh juga akan dibangunkan dengan lebih terancang dan efektif. Katanya, banyak pembangunan pasar raya atau gedung perniagaan milik muslim yang berpatutan dengan syariat Islam akan diwujudkan. “Pembangunan tersebut seperti pasaraya Mydin, Sabasun dan sebagainya yang akan dibina di bandar Jerteh. “Saya berharap segala aktiviti perniagaan akan berjalan dengan baik di bandar ini. “Segala ungutan yang kami terima akan ditangani dengan baik dan saksama,” ujarnya.
02 Sep 23
3975
Ahli MKT UMNO Perlu Muhasabah Diri
Ahli MKT UMNO Perlu Muhasabah Diri
KUALA TERENGGANU, 2 September - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Lokman Adam perlu bermuhasabah bagi mengelakkan diri daripada mengeluarkan kenyataan yang naif. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, tindakan Lokman menggelar anak-anak kecil dengan panggilan seekor dan mengaitkannya dengan PASTI adalah sangat tidak bertanggungjawab. Mohd Fadhli turut mempersoalkan kenapa Lokman seakan terlalu takut dengan institusi pendidikan awal kanak-kanak itu. "Tidak sukakah dia (Lokman) apabila PASTI setelah sekian lama melahirkan generasi yang faham agama, baik akhlaknya sejak awal usia dan mampu menjadi pelapis kepada kepimpinan negara. "Lagipun sudah menjadi tanggungjawab kepada setiap ibu bapa memilih institusi pendidikan yang baik untuk anak-anak, mereka berhak menentukan masa depan mereka. "Jadi jangan diberikan gambaran yang buruk kepada PASTI yang bukannya baru ditubuhkan, tetapi telah lama bertapak dalam negara sehingga menjadi alternatif kerana selama ini melalui silibusnya dilihat berkesan sewal usia menghafal al-Quran, doa dan juga hadis-hadis," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir menyempurnakan Pelepasan Program Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) Shimano Fellowship, di Dataran Batu Burok, di sini, hari ini. Mengulas lanjut Timbalan Ketua Pemuda PAS Terengganu itu turut berkata, Pengarah Komunikasi UMNO itu perlu muhasabah diri serta jangan diikutkan sangat kekecewaan sehingga mengeluarkan kenyataan mengarut. "Insya-Allah saya yakin dan percaya PASTI ini akan tetap menjadi pilihan, apa yang dinyatakan itu hanyalah suara kekecewaannya sahaja yang tidak akan memberi apa-apa kesan. "PASTI akan terus menjadi pilihan kepada ibu bapa yang mahu anak-anak mereka menjadi 'Generasi Rabbani' yang beriman dan beramal soleh yang akhirnya akan membentuk warganegara yang bertanggungjawab yang akan menjamin keharmonian negara Malaysia yang tercinta ini," ujarnya. Terdahulu, Lokman dikecam netizen gara-gara memanggil 4.2 juta orang melayu sebagai bodoh dan menggelar anak-anak kecil sebagai seekor dalam satu program kerajaan Perpaduan di Duyong Marina & Resort kelmarin.
02 Sep 23
583
3,500 Peserta Meriahkan TSG Shimano Fellowship Ride 2023
3,500 Peserta Meriahkan TSG Shimano Fellowship Ride 2023
KUALA TERENGGANU, 2 September - Seramai 3,500 peserta telah memeriahkan program berbasikal atau TSG Shimano Fellowship Ride 2023. Penganjuran berprestij oleh kerajaan negeri melalui Terengganu Polygon Cycling Team itu bukan hanya disertai peserta dalam negara bahkan juga turut menerima penyertaan dari Singapura, Indonesia dan Thailand. Pada pagi tadi, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli telah menyempurnakan pelepasan program berkenaan, di Dataran Batu Burok. Program berbasikal tersebut yang dijayakan pihak TSG itu turut melibatkan kerjasama dengan Majlis Sukan Negeri Terengganu. Jarak yang perlu dilalui oleh peserta adalah sejauh 94 kilometer membabiitkan dua hentian pertama iaitu Bandar Baru Kuala Nerus dijadikan sebagai 'Water Station 1' dan Terengganu International Indurance park dijadikan 'Water Station 2'. Bermula dari dataran peserta akan melalui jalan ke Masjid Terapung dan akan menggunakan Bypass Tok Adis dan kemudian akan melalui Jambatan Manir dan Kampung Wakaf Mesira untuk sampai ke 'Water Station 1'. Kemudian peserta akan ke 'Water Station 2', dari situ peserta akan bergerak untuk menamatkan kayuhan melalui Bulatan Batu Rakit, Pantai Teluk Ketapang seterusnya ke Dataran Jambatan Angkat sebelum berakhir dinDataran Rekreasi Batu Burok melalui Jambatan Angkat. Program berkenaan turut menyediakan pelbagai hadiah cabutan bertuah dengan hadiah utamanya adalah sebuah Kereta Perodua Bezza.
02 Sep 23
550
Warga Emas Tetap Bersemangat Berarak Sambut Merdeka
Warga Emas Tetap Bersemangat Berarak Sambut Merdeka
KUALA TERENGGANU, 2 September - Menjangkau usia 64 hingga 85 bukan penghalang untuk Geng Surau Padang Luar, mengambil inisiatif tersendiri menyambut kemerdekaan negara. Penyelaras Program, Datuk Mohd Adnan Abdullah berkata, kalangan peserta terdiri daripada pesara kerajaan termasuk guru semuanya bersemangat menzahirkan perasaan penuh cinta kepada negara. "Walaupun ada yang uzur mereka tetap hadir namun mereka tidak sama-sama berarak seperti yang lain hanya berada di surau. "Tujuan kami adalah untuk menyemarakkan semangat dan mengimbau kembali erti kemerdekaan sebenarnya dalam konteks negara Malaysia, dimana inilah dahulunya dikenali sebagai Tanah Melayu yang perlu dipelihara dan dipertahankan," ujarnya ketika dihubungi, di sini, baru-baru ini. Mengulas lanjut katanya, pesanan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar agar jangan ada kalangan rakyat yang bermuka Melayu tetapi memiliki jiwa penjajah bagi memastikan negara ini terus harmoni bagi diwariskan dari satu generasi kepada generasi yang lain. "Kenangilah jerit perih orang dahulu berjuang, ada yang terkorban kerana sanggup bergadai nyawa menentang penjajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun. "Tidak boleh dipadamkan daripada sejarah bahawa ulama, tok guru dan orang-orang alim yang 'istiqamah' memperjuangkan kemerdekaan demi menjaga agama, bangsa dan tanah air," ujarnya. Caption Dalam pada itu katanya, generasi hari ini perlu insaf dan sedar bahawa kemerdekaan sebenar adalah memiliki keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT agar menyedari peranan sebenar berada di dunia ini. "Kemerdekaan sebenar adalah menjadi khalifah di atas muka bumi ini dan menyeru manusia untuk menyembah Allah SWT Tuhan yang Maha Esa dan tiada sekutu dengan-Nya," ujarnya lagi.
02 Sep 23
500