Artikel "Utama" Terkini
Bahaya Pluralisme dan Liberalisme Agama
KUALA TERENGGANU, 5 September - Ancaman Pluralisme dan Liberalisme Agama lebih bahaya dari ajaran sesat lain kerana ia mengelirukan kefahaman umat Islam tentang tasawwur ajaran Islam yang sebenar.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, golongan muda paling ramai yang terpengaruh dengan fahaman tersebut kerana perkembangan media sosial yang bebas serta ceteknya kefahaman mereka tentang Islam.
"Dua fahaman itu sukar dijelaskan terutama (kepada) masyarakat awam dan umat Islam itu sendiri sehingga masuk dalam pemikiran mereka tanpa disedari," katanya ketika berucap dalam siri lawatan kerja di Jabatan Mufti, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di Kompleks Seri Iman dan Jabatan Kehakiman Syariah di Kompleks Mahkamah Syariah Terengganu di sini semalam.
Turut serta dalam lawatan tersebut, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, YB Ustaz Ridzuan Hashim, Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Ustaz Mohd Harun Esa dan Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT), Ustaz Mohd Zulkhairi Ngah.
Dr Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk seterusnya berkata umat Islam mestilah sentiasa diberikan peringatan dan kefahaman yang tepat tentang aqidah dan pemikiran Islam yang selari dengan Al-Quran dan al-Sunnah.
"Menjadi tanggungjawab semua pihak memberi kefahaman yang betul tentang Islam kepada semua lapisan masyarakat di negeri ini agar mereka tidak mudah terpengaruh dengan ancaman (pluralisme dan liberalisme) tersebut," katanya.
05 Sep 23
685
Lapangan Terbang Sultan Mahmud Dalam Perhatian Kerajaan Negeri
KUALA TERENGGANU, 4 September – Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) Terengganu sedang diteliti oleh Kerajaan Negeri bagi menarik lebih ramai pengunjung dan pelancong.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata pihaknya telah melakukan tinjauan di lapangan terbang tersebut yang dikatakan agak suram.
"Melalui tinjauan tersebut, kami mendapati bahawa LTSM ada sedikit kekurangan dari sudut pelancong asing untuk terus datang ke negeri Terengganu.
“Ramai pelancong asing yang transit di Singapura dan melalui jalan darat ke semenanjung Malaysia,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang media dan Penyerahan Penajaan Mount Tebu Climbathon Challenge (MTCC) 2023 bertempat di Aras Bawah, Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu (JPNT), Fadli Yusof Zakaria.
Tambah Razali, perbincangan juga telah dijalankan bersama pihak imigresen dan kastam untuk tindakan lanjut.
“Insya-Allah, dalam masa terdekat Kerajaan Negeri akan berusaha untuk meningkatkan lagi kualiti Lapangan terbang tersebut yang juga merupakan mercu tanda negeri Terengganu,” ujarnya.
Untuk rekod, LTSM merupakan lapangan terbang antarabangsa yang terkenal terutamanya pada musim haji.
04 Sep 23
4375
Aiman Bolot Tiga Jersi Saingan Pertama TGDT23
KEMAMAN, 4 September- Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff melaungkan cabaran awal kepada pelumba-pelumba lain apabila membolot tiga jersi yang dipertandingkan dalam saingan peringkat pertama Tour Gateh D'Tranung 2023 (TGDT23) dari Marang ke Kemaman, hari ini.
Pemegang jersi merah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 itu memenangi jersi biru (kategori individu terbaik), jersi hijau (raja pecut) dan jersi polkadot (raja bukit) setelah menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 3:46:32 saat.
Aiman menewaskan pelumba Armed Forces Cycling Team, Mohd Zawawi Azman di tempat kedua (3:46:34) dan pelumba TSS Racing Cycling Team, Muhammad Nur Aiman Rosli di tempat ketiga, juga dengan catatan masa 3:46:34.
Dalam pada itu, pelumba Terengganu SUKMA, Muhamad Aiman Haiqal Mohammad Khairul memenangi kategori pelumba terbaik bawah 21 tahun (jersi putih) bagi peringkat pertama.
Manakala, jersi merah jambu; yang diperkenalkan dalam kejohanan ini bagi kategori kelab tempatan terbaik dimenangi bekas pelumba kebangsaan, Anuar Manan dari TSS Racing yang menamatkan perlumbaan dalam masa 3:49:56 saat.
Perlumbaan peringkat pertama bermula dari Pulau Kekabu yang berakhir di Pantai Teluk Mak Nik itu melibatkan laluan sepanjang 157. 30 kilometer.
04 Sep 23
429
Hasrat Jadikan Terengganu 'Land Of Cycling' Mampu Dicapai
MARANG, 4 September - Kerajaan negeri optimis impian untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri kayuhan basikal mampu dicapai.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, hasrat menjadikan Terengganu sebagai 'Land Of Cycling' merupakan sebagai sebahagian daripada promosi pelancongan negeri Terengganu.
"Di mana destinasi yang menjadi tempat atau hentian program sebagaimana yang diadakan hari ini (Tour Gateh D'Tranung) akan lebih memperkenalkan lagi lapan daerah iaitu dari Marang, Dungun, Kemaman , Hulu Terengganu sehingga ke Besut.
"Kita akan meneruskan program seperti hari ini bagi memastikan hasrat kerajaan untuk mengangkat sukan basikal ini juga menjadikan Terengganu 'Negeri Kayuhan Basikal' akan mampu tercapai dan akan menjadi satu faktor pelancong dari dalam dan luar negara datang ke negeri ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan pelepasan Kejohanan Tour Gateh D'Tranung Peringkat 1, di Pulau Kekabu di sini hari ini.
Katanya hari ini sebanyak 27 pasukan hebat antara benua terlibat, serta penyertaan dari Singapura, Indonesia serta Brunei.
"Selain kita turut menerima peserta antarabangsa yang pada awalnya ingin turut menyertai namun membatalkan penyertaan pada saat akhir.
"Insya-Allah kita akan ulangi lagi pada tahun hadapan dengan menjadikan ia sebagai acara antarabangsa.
"Sebenarnya bagi menjadikan negeri Terengganu sebagai negeri kayuhan basikal ia turut dibantu dengan reputasi Terengganu yang selama ini telah melahirkan ramai jaguh-jaguh dalam sukan basikal yang mencipta nama bukan sahaja dalam negara tetapi di peringkat antarabangsa," ujarnya lagi.
04 Sep 23
814
592 Peserta Bakal Tawan Gunung Tebu
KUALA TERENGGANU, 4 September - Seramai 592 Peserta Mount Tebu Climbathon Challenge 2023 (MTCC’23) bakal menawan puncak Gunung Tebu pada 9 September 2023 di Taman Eko Rimba, Lata Belatan, Besut, Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata penganjuran itu diadakan bertujuan mengajak orang ramai bagi membudayakan aktiviti bersukan yang cergas melalui elemen pendakian gunung.
Katanya, acara ini menjadi platform untuk mempromosikan pelbagai keindahan dan keunikan hutan lipur, air terjun dan gunung ganang yang ada di Negeri Terengganu dengan mempromosikan pelancongan sukan ‘Sports Tourism’.
“Program MTCC ini adalah acara berkonsep ‘Trail Run/Perlumbaan gunung yang dihidupkan semula dalam membawa elemen penghayatan alam semulajadi dan ‘Sport & adventure tourism’ di Besut, Terengganu.
“Gunung Tebu yang berketinggian 1,039 meter dari paras laut semestinya merupakan destinasi gunung Terengganu yang menjadi tumpuan para pendaki di Malaysia.
“Di kaki gunung yang merupakan Hutan Lipur Lata Belatan sentiasa menjadi tarikan pengunjung untuk aktiviti rekreasi keluarga terutamanya disetiap hujung minggu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang media dan Penyerahan Penajaan Mount Tebu Climbathon Challenge (MTCC) 2023 bertempat di Aras Bawah, Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu (JPNT), Fadli Yusof Zakaria dan Pengarah Program, Mohd Rafi Kori.
Tambah Razali, program tersebut menawarkan tiga kategori utama sejauh 18.5 km melibatkan penyertaan terbuka lelaki dan wanita.
Antaranya, veteran lelaki dan wanita (KATEGORI CENGAL) serta tertutup Terengganu lelaki dan wanita (KATEGORI MERANTI) yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM19,300.
Manakala, satu lagi kategori sebagai ‘Fun Run’ dikenali KATEGORI NYATUH sejauh 5 km ditawarkan untuk peserta yang ingin merasai kemeriahan larian dalam suasana secara santai.
"Pelepasan MTCC yang melibatkan pelbagai kategori akan berlangsung pada 7.30 pagi, 9 September 2023.
"Peserta kategori utama akan mengharungi cabaran denai gunung sejauh 18.5 km naik dan turun dan akan melibatkan Had Masa (Cut Of Time) tiba di Puncak Gunung Tebu dalam tempoh 5 jam sahaja.
"Rekod peserta terpantas sebelum ini adalah 1 jam 43 minit 47 saat (Peserta Kenya), manakala rekod peserta tempatan adalah 2 jam 10 minit 09 saat (Peserta MTCC Tahun Lepas) dari Terengganu," katanya.
Melalui acara ini katanya, impak ekonomi pelancongan akan terus bermanfaat kepada penduduk dan industri pelancongan setempat di daerah Besut.
"Sama ada melibatkan hotel dan rumah penginapan, restoran, kedai kedai runcit, pulau perhentian dan sebagainya.
"Secara tidak langsung juga dapat membuka minda penduduk setempat dalam mengambil seberapa banyak peluang ekonomi disebalik bertandang di Daerah Besut," jelasnya.
Selain itu, acara ini juga bertujuan salah satu usaha bagi menggerakkan peranan Malim Gunung Perhutanan (MGP) Terengganu yang telah dijayakan pada tahun 2022.
“Terima kasih rakan rakan penaja iaitu Syarikat Air Terengganu, EPIC Group, Universal Fitness Leisure (UFL), F&N, Minyak Herba Asma, Atwa Stolen, My Coklat, Arena Sports, Brooks, Manis FM.
"Acara ini melalui anjuran bersama Kelab Kembara Terengganu (Terengganu Backpackers) dan TAC Outdoor dengan sokongan Tourism Malaysia, Kerajaan Negeri Terengganu dan Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu.
"Dijemput kepada semua yang berdekatan untuk hadir ke Taman Eko Rimba Lata Belatan Jumaat dan Sabtu ini," ujarnya.
Sementara itu, pelbagai aktiviti sampingan yang diadakan sempena program tersebut antaranya pameran dan jualan sukaneka air bersama pengunjung, busking, mewarna kanak kanak, kuiz pelancongan serta ‘Outdoor Challenge’.
04 Sep 23
266
Pecutan 'Tour Gateh D'Tranung' Bermula Hari Ini
MARANG, 4 September - Perlumbaan Jelajah Terengganu (Tour Gateh D'Tranung) hari ini telah memulakan cabaranya membabitkan 27 pasukan bertaraf benua.
Peringkat pertama kejohanan berbasikal berkenaan hari ini telah bermula dari Pulau Kekabu (Marang) dan akan melalui perjalanan sejauh 157.3 kilometer ke Pantai Teluk Mak Nik (Kemaman).
Pelepasan pelumba-pelumba basikal berkenaan telah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris, di sini, hari ini.
Penganjuran edisi kedua Tour Gateh D'Tranung ini selain turut disertai Polygon Cycling Team ia turut disertai pelumba daripada Europe Trip Cycling, Sd Mavervicks Singapore dan Nusantara Pro Cycling Team yang semuanya merupakan pasukan bertaraf benua.
Pelumba-pelumba berkenaan akan merebut gelaran jersi biru untuk juara keseluruhan, jersi hijau (raja pecut), jersi polka dot (raja bukit) dan jersi putih (pelumba muda terbaik).
Selain itu turut menerima penyertaan daripada pasukan negeri yang dalam persiapan ke Sukan Malaysia (SUKMA).
Tour Gateh D'Tranung melibatkan lima peringkat perlumbaan dengan melalui daerah-daerah ini di negeri dan menawarkan lima kategori utama bagi kejohanan berprestij ini.
04 Sep 23
668
Penjagaan Kesihatan Sumbang Kejayaan Prestasi TDM Keseluruhan
KUALA TERENGGANU, 4 September - Bahagian penjagaan kesihatan Kumpulan TDM Berhad (TDM) meningkat 16 peratus dari tahun ke tahun daripada RM62.2 juta kepada RM72.0 pada suku kedua tahun ini.
Pengarah Eksekutif TDM, Najman kamaruddin berkata, pencapaian luar biasa itu sangat mengembirakan pihak syarikat.
"Kami gembira dengan kemajuan luar biasa yang dibuat oleh bahagian penjagaan kesihatan kami pada suku ini.
"Objektif kami adalah untuk meluaskan jejak kumpulan ke kawasan yang penting secara strategik, sebagai tindak balas kepada permintaan yang meningkat daripada pesakit global.
"Juga menjadi aspek penting dalam inisiatif strategik kami yang akan datang," ujarnya melalui satu kenyataan, baru-baru ini.
Dalam pada itu katanya, pihaknya pada masa akan datang tetap teguh dalam dedikasi bagi meningkatkan kelestarian Bahagian Perladangan.
"Kami komited untuk memanfaatkan teknik inovatif dalam menambahbaik kecekapan operasi, meningkatkan mekanisasi dan mencapai hasil jangka panjang yang optimum," ujarnya.
04 Sep 23
151
Tourism Terengganu Nafi Kutip Deposit Peniaga Karnival Jom Heboh
KUALA TERENGGANU, 4 September - Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (Tourism Terengganu) menafikan dakwaan terlibat dengan kutipan deposit peniaga-peniaga bagi program Jom Heboh yang didakwa diadakan pada 17 hingga 21 Ogos lalu sepertimana telah tular di media sosial.
Pengarah Tourism Terengganu, Fadli Yusof berkata, pihaknya memandang serius mengenai isu kutipan wang deposit ini dan menafikan sekeras-kerasnya tindakan individu tersebut yang dipercayai dilakukan demi kepentingan peribadi.
“Kami meminta kepada orang awam yang terbaca iklan di mana-mana laman sosial, ditawarkan atau sudah membuat bayaran bagi tujuan itu dinasihatkan agar membuat laporan polis dan menyerahkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa,”ujarnya dalam satu kenyataan.
Untuk rekod, kali terakhir penganjuran Jom Heboh Omnia di Terengganu diadakan pada 7 dan 8 Oktober 2022 di Perkarangan Stadium Gong Badak, Kuala Nerus.
Justeru itu, Tourism Terengganu menasihati semua pihak terutama peniaga untuk sentiasa berwaspada dengan segala modus operandi yang digunakan oleh “scammer” bagi tujuan penipuan dan seterusnya mengelak menjadi mangsa.
Tambah Fadli, orang ramai boleh mendapatkan perkembangan aktiviti-aktiviti menarik pelancongan negeri Terengganu menerusi laman sosial rasmi di Facebook, Instagram, dan Telegram dengan nama BEAUTIFUL TERENGGANU MALAYSIA, dan ikuti Tiktok kami di @tourismterengganu
04 Sep 23
1015
Pelancong Luar Puji Terengganu
KUALA TERENGGANU, 4 September - "Dalam hidup kami tidak pernah tengok pantai sebersih ini, kami dapat jumpa banyak ikan, coral. Kalau tanya saya, ya, Terengganu adalah salah satu tempat tercantik di Malaysia,” ujar pelancong dari Selangor.
Punitha, 48, yang berasal dari Shah Alam berkata, mereka sekeluarga sangat teruja ketika pertama kali menjejakkan kaki di Pulau Redang.
“Kami banyak mendengar tentang Terengganu antaranya kecantikan pulau dan pelbagai warisan yang terdapat di sini.
“Ini kali pertama kami datang ke negeri ini dan berada di sana (Pulau Redang) selama dua malam, kami pergi snorkeling, bermain pantai dan lain-lain aktiviti,” katanya ketika ditemui di Terminal Feri Pulau Redang di Taman Tamadun Islam, semalam.
Terdahulu, tinjauan pemberita di jeti tersebut mendapati ramai ibu bapa yang mengambil peluang membawa anak-anak berkunjung ke Pulau Redang sempena cuti penggal persekolahan minggu lalu.
Punitha berkata, dia dan suami Sivamaran, 51, serta anak-anak akan kembali mengunjungi Terengganu pada masa akan datang bersama ahli keluarga yang lain.
“Pasti lepas ini saya akan datang lagi, walaupun saya sudah tinggal di Malaysia lebih 40 tahun, tapi mungkin selama ini saya tidak pernah dapat peluang berkunjung ke sini,” ujarnya.
Sementara itu, Nur Atikah Mohd Maliki ,28, dari Kulim, Kedah memilih untuk bercuti ke Pulau Redang bersama 10 ahli keluarganya kerana tertarik dengan kecantikan alam semula jadi pulau tersebut.
Difahamkan, antara tarikan utama pelancong ke Pulau Redang adalah dapat melihat sendiri hidupan marin dan terumbu karang melalui aktiviti snorkelling dan menyelam serta merakam gambar dan video di lokasi menarik pulau itu selain melihat rutin harian penduduk tempatan di Kampung Baru Pulau Redang.
04 Sep 23
5787
Aiman Sasar Rampas Jersi Tour Gateh D'Tranung
KUALA TERENGGANU, 3 September- Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff menyuarakan keinginan untuk memenangi salah satu jersi peringkat yang dipertandingkan di Tour Gateh D'Tranung 2023 (TGDT23), yang bermula esok.
Sekalipun masih mencari kecergasan kerana baru pulang dari perlumbaan di Iran, pemenang jersi merah Raja Bukit Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 itu akan cuba memberikan aksi terbaik dalam TGDT23.
"Pasukan yang datang bertanding kali ini semuanya memberikan saingan yang kuat dan saya kena lebih berusaha dan semangat untuk memenangi peringkat serta cuba memenangi jersi-jersi yang dipertandingkan.
"Sebenarnya, ejohanan ini adalah persiapan terakhir saya untuk LTdL pada hujung bulan ini, jadi untuk TGDT ini saya cuba untuk cari rentak serta kecergasan selepas balik dari perlumbaan di Iran yang agak berbeza masa dan cuaca.
"Rehat kurang cukup jadi saya akan ambil masa untuk memulihkan dan menyesuaikan diri dalam sehari dua ini. Sebab selalunya, selepas bertanding di luar, saya selalunya agak kurang cergas. Tetapi, dalam masa itu saya akan cuba mendapatkan sesuatu untuk pasukan.
"Insya-Allah, saya akan buat yang terbaik dan cuba dapatkan (kejuaraan) peringkat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Memperkenalkan Penaja Pasukan TGDT23 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Pada majlis yang disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja itu, seramai 145 pelumba mewakili 25 pasukan melibatkan pelumba elit, tempatan dan pelumba bawah 21 tahun.
Dalam pada itu, salah satu pasukan luar negara yang turut bertanding, Nusantara Cycling Team berjanji memberikan saingan sengit sepanjang kejohanan.
Pengurus pasukan, Mohammad Rezza Adytya menyifatkan kehadiran kali pertama ke Terengganu akan mencabar kemampuan pasukannya,
"Saingan tampak seimbang dan cabaran cukup kuat, namun kita juga tidak mahu kalah sepertimana pasukan-pasukan lain.
"Kita (pasukan) sudah mengadakan persiapan yang cukup baik dan kita juga berusaha menjadi yang terbaik, kami menyasarkan 'rider' untuk cuba memenangi setiap peringkat ditambah kelebihan 'rider' kami dari Malaysia yang juga anak Terengganu iaitu Muhammad Afiq Huznie Othman dan Muhammad Hakimi Haikal Ahmad Sabri," katanya.
03 Sep 23
481