lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Pemimpin, Rakyat Perlu Saling Bantu Bangunkan Negeri - Dr Sam
Pemimpin, Rakyat Perlu Saling Bantu Bangunkan Negeri - Dr Sam
KUALA TERENGGANU, 7 September – Pemimpin dan rakyat perlu saling membantu dalam membangunkan negeri ini. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata mengemudi negeri ini, ibarat diamanahkan menjadi pemandu kepada sebuah bas. “Diminta menjadi pemandu bukanlah kerana sebab pandai memandu, tetapi atas sebab-sebab tertentu dengan izin Allah SWT. “Apabila membawa bas, maka ada syarat dan peraturan jalan raya yang perlu pemandu dan penumpang bas patuhi. "Destinasi yang dituju juga adalah dengan persetujuan bersama,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya pada semalam. Tambah Ahmad Samsuri, jika nampak saya bawa laju atau terlalu perlahan, pasti ada penumpang yang mengeluh. Maka, tanggungjawab penumpang juga untuk menasihati dan menyedarkan saya selaku pemandu. "Apabila bas rosak di tengah jalan, bukan tugas pemandu untuk membaiki, mungkin ada di kalangan penumpang yang boleh membaiki. "Setiap penumpang ada peranan masing-masing, sepertimana yang disebut di dalam Kitab Riyadhus Solihin, tajuk khusus 'Nasihat Kepada Pemerintah'. “Banyak isu berkaitan pemerintah terutamanya bab amanah, paling banyak nasihat ini adalah kepada pemerintah. “Doakan saya dan seluruh kepimpinan agar sentiasa dipandu dan diberi kemudahan dalam tindakan,” ujarnya.  
07 Sep 23
189
Pelumba Basikal Puji Penganjuran Tour Gateh D'Tranung
Pelumba Basikal Puji Penganjuran Tour Gateh D'Tranung
DUNGUN, 6 September – Peserta Tour Gateh D’Tranung 2023 (TGDT23) memuji penganjuran program berbasikal tersebut sebagai yang terbaik dan berprestij. Pelumba TSS Racing, Muhammad Nur Aiman Rosli berkata, laluan sepanjang pertandingan juga amat baik dan sesuai untuk laluan berbasikal. Katanya, dalam satu Malaysia, hanya di Terengganu sahaja yang dapat dia merasai pengalaman luar biasa ini dengan suasana yang cantik sepanjang laluan. “Saya sentiasa sokong penganjuran ini jika diadakan lagi untuk setiap tahun. “Program ini secara tidak langsung dapat meningkatkan motivasi dan semangat para pelumba berbasikal di seluruh Malaysia,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Penamat Kejohanan Tour Gateh D'Tranung Peringkat 2 di Pejabat Daerah dan Tanah Dungun di sini semalam. Aiman Rosli merupakan pelumba daripada TSS Racing yang telah memenangi jersi hijau (raja pecut) pada saingan kedua. Peringkat kedua TGDT23 bermula daripada bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus ke Pejabat Daerah Dungun yang melibatkan laluan sepanjang 157.3 km. Terdahulu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan peruntukan sebanyak RM600 ribu disediakan untuk meneruskan program berprestij dalam perlumbaan berbasikal jelajah Terengganu iaitu Tour Gateh D’Tranung. Pelumba TSS Racing, Muhammad Nur Aiman Rosli  
06 Sep 23
1260
Aiman Zariff Sasar Kekalkan Jersi Biru TGDT23
Aiman Zariff Sasar Kekalkan Jersi Biru TGDT23
BESUT, 6 September- Pemenang jersi biru bagi kategori individu keseluruhan Tour Gateh D'Tranung 2023 (TGDT23) setakat ini, Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff berazam memastikan penguasaan mutlak ke atas jersi itu kekal menjadi miliknya, menjelang perlumbaan peringkat terakhir dari Kuala Terengganu ke Hulu Terengganu, esok. Sekalipun tidak berjaya menaiki podium pada peringkat ketiga TGDT23 hari ini, Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) itu menegaskan bahawa beliau bersedia untuk perlumbaan seterusnya. "Syukur Aiman masih berjaya mengekal jersi keseluruhan (jersi biru) selama tiga peringkat, esok penentuannya dan Aiman akan cuba kekalkannya. "Setakat ini, Aiman akan fokus kepada jersi biru sahaja, untuk yang lain Aiman tidak akan usiklah (beri tumpuan)," katanya ketika ditemui selepas perlumbaan TGDT23 peringkat ketiga di Pantai Peranginan Air Tawar, di sini hari ini. Namun, Aiman juga menyedari perlumbaan yang akan berakhir di Pulau Poh, Tasik Kenyir itu memiliki cabaran tersendiri. "Kami (pelumba) sedia maklum, laluan ke Tasik Kenyir ini mempunyai bukit yang tertinggi, cabaran lebih berliku dan ia merupakan 'Queen Stage' bagi TGDT23 kali ini. "Walau apa pun esok, Aiman akan cuba buat yang terbaik serta 'all out' untuk pasukan dan diri Aiman," ujarnya yakin. Dalam saingan hari ini, pelumba kesayangan rakyat Terengganu yang mewakili Armed Forces Cycling Team, Mohd Harrif Saleh mengungguli podium dengan catatan masa 3:20:21 saat. Harrif turut memenangi kategori 'sprint' hari ini, namun tidak berjaya merampas jersi hijau daripada rakan sepasukannya, Irwandie Lakasik yang mengekalkan jersi tersebut buat hari kedua berturut-turut.  
06 Sep 23
210
Bantuan Kerajaan Negeri Ringan Beban 166 Penternak
Bantuan Kerajaan Negeri Ringan Beban 166 Penternak
Oleh : Nasrullah Kamaruddin SETIU, 6 September - Bantuan input mampu meringankan beban 166 penternak di daerah dan Setiu yang terkesan akibat kenaikan harga harga makanan penternakan muktahir ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata kerajaan Terengganu memperuntukan bajet yang agak besar tahun ini bagi membantu pemain sektor pertanian. "Saya percaya lebih ramai penerima atau penternak yang akan menerima manfaat sekali gus membolehkan semua untuk terus aktif seperti biasa dan menghidupkan sektor pertanian dengan lebih besar lagi," katanya. Beliau berkata demikian dalam program Majlis Penyerahan Bantuan Input Penternakan Ruminan Tahun 2023 peringkat daerah Besut dan Setiu di Dewan Sivik Jabi, di sini hari ini. Mengulas lanjut, beliau berkata kesan daripada kos makanan yang meningkat menyebabkan binatang ternakan kurang berkualiti. "Program ini antara inisiatif untuk membantu para penternak supaya isu pemakanan binatang ternakan bertambah baik dan para penternak dapat menghasilkan binatang yang berkualiti, sihat dan gemuk," jelasnya. Tambah beliau lagi, sebelum ini dalam manifesto PAS tidak ada peruntukan untuk pertanian, tetapi untuk penggal baharu ini perkara tersebut dimasukkan. "Rakyat golongan sasar adalah mereka yang berhak mandapat manfaat daripada apa yang telah dibawa dalam manifesto untuk penggal baharu," jelasnya. Kata Dr Azman lagi, bagi meningkatkan mutu perkhidmatan petugas, seramai 31 petugas veterinar ditambah. "Dengan tujuan supaya mereka memberi fokus lebih kepada para penternak dan dapat mengenal pasti apa yang boleh dibantu. "Staf ini juga akan memastikan para penternak boleh terus memelihara binatang dengan baik, apa keperluan yang diperlukan oleh mereka akan ditangani dengan cepat dan berkesan," katanya.
06 Sep 23
197
Ahmad Amzad Angkat Sumpah Ahli Dewan Rakyat
Ahmad Amzad Angkat Sumpah Ahli Dewan Rakyat
KUALA TERENGGANU, 6 September- Parlimen Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, Dato' Ahmad Amzad Hashim telah mengangkat sumpah sebagai Ahli Dewan Rakyat bagi kawasan Parlimen Kuala Terengganu.  "Ahmad Amzad memenangi Pilihan Raya Kecil P.036 pada 12 Ogos lalu. "Upacara Mengangkat Sumpah dilafazkan di hadapan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dato' Johari Abdul bertempat di Kamar Khas, Blok Utama, Parlimen Malaysia, hari ini (5 September), " ujar kenyataan itu.  Dalam kenyataan tersebut, Johari turut mengucapkan setinggi-tinggi tahniah atas kejayaan Ahmad Amzad dan berharap agar beliau dapat melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi.
06 Sep 23
278
Dua Anak Jati Terengganu Cipta Nama di Qatar
Dua Anak Jati Terengganu Cipta Nama di Qatar
KUALA TERENGGANU, 5 September - Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin mengharumkan nama Malaysia khususnya Terengganu di Qatar sempena Kejohanan Debat Bahasa Arab Sekolah-Sekolah Antarabangsa yang berlangsung pada  2 hingga 4 September baru-baru ini. Dua pelajar sekolah tersebut membuktikan keupayaan mereka apabila Wan Amzar Izzuddin Wan Mohd Azlan  berjaya merangkul kejayaan sebagai Pendebat Terbaik Kategori Bukan Penutur Jati Bahasa Arab manakala rakannya, Abdul Muiz  Hasanulddin meraih tempat kedua terbaik dalam kategori yang sama. Kejayaan itu secara tidak langsung mengubat kesedihan pasukan Malaysia yang tidak berjaya melangkah ke peringkat akhir selepas tewas kepada pasukan Bahrain di pusingan ketiga. Menurut Wan Amzar, mereka berdua telah terpilih menganggotai pasukan debat Malaysia selepas berjaya menjuarai pertandingan debat bahasa Arab kebangsaan pada tahun lalu. Tambahnya, mereka telah menjalani latihan intensif yang dikendalikan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia bersama dua orang lagi murid dari Maahad Pontian Johor yang turut terpilih. Wan Amzar turut melahirkan rasa syukur atas kejayaan tersebut dan berkongsi terima kasih kepada kedua ibu-bapa, guru-guru, jurulatih-jurulatih dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kerajaan Negeri Terengganu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu serta Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu. Sementara itu, Pengetua SMA(A)SZA , Engku Abdullah Engku Dalam Ahmad yang bersama dengan kedua pelajar tersebut turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang tenaga dan kewangan bagi menjayakan perjalanan mereka ke Qatar.  Dia juga berharap kejayaan itu menjadi motivasi kepada anak-anak Terengganu untuk terus cemerlang di peringkat antarabangsa. Dalam masa yang sama, Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar melalui laman facebook rasminya mengucapkan ucapan tahniah dan penghargaan buat kedua-dua pelajar SMA(A)SZA yang meraih kejayaan sekali gus meletakkan nama Terengganu di persada dunia. "Syabas dah tahniah juga buat dua orang lagi ahli pasukan debat dari negeri Johor, para ibu bapa, guru-guru, jurulatih dan semua pihak di atas kejayaan yang membanggakan ini. "Kejayaan ini tidak akan berhasil tanpa sokongan dan dorongan semua pihak, Alhamdulillah,"ujar beliau.  
05 Sep 23
5616
Pelumba SUKMA, TSG Terus Pamer Aksi Cemerlang
Pelumba SUKMA, TSG Terus Pamer Aksi Cemerlang
DUNGUN, 5 September- Pelumba Terengganu SUKMA, Muhamad Aiman Haiqal Mohammad Khairul dan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff terus mempamerkan aksi cemerlang dalam peringkat kedua Tour Gateh D’Tranung 2023 (TGDT23). Kedua-dua pelumba tersebut berjaya mempertahankan jersi biru dan jersi putih dalam saingan hari ini. Peringkat kedua TGDT23 bermula daripada bandar Al-Wathiqu Billah, Kuala Nerus ke Pejabat Daerah Dungun yang melibatkan laluan sepanjang 157.3 km. Pelumba TSG yang juga merupakan pemegang jersi merah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2022 itu berjaya memenangi jersi biru (kategori individu terbaik) dalam saingan hari kedua. Semalam pada aksi saingan pertama, beliau membolot tiga jersi iaitu jersi biru (kategori individu terbaik), jersi hijau (raja pecut) dan jersi polkadot (raja bukit) setelah menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 3:46:32 saat. Manakala, Aiman Haiqal pula berjaya memenangi kategori pelumba terbaik bawah 21 tahun (jersi putih) bagi peringkat kedua. Semalam, dia juga mempamerkan aksi cemerlang dengan memenangi jersi putih pada saingan pertama. Manakala, jersi merah jambu, yang diperkenalkan dalam kejohanan ini bagi kategori kelab tempatan terbaik dimenangi oleh pelumba MIFH Cycling Group, Mohd Hafiz Rozli. Seterusnya, bagi jersi hijau (raja pecut) dan jersi polkadot (raja bukit) masing-masing dimenangi oleh pelumba TSS Racing, Muhammad Nur Aiman Rosli dan pelumba Armed Forces Cycling Team, Irwandie Lakasek.    
05 Sep 23
594
1,000 Sertai Sesi Libat Urus Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam
1,000 Sertai Sesi Libat Urus Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam
KUALA TERENGGANU, 5 September- Seramai 1,000 penjawat awam negeri ini menyertai Sesi Libat Urus Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam Bersama Penjawat Awam Negeri Terengganu yang diadakan di Dewan besar, Wisma Darul Iman, hari ini. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, sesi libat urus itu amat signifikan untuk membantu pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengkaji semula sistem saraan perkhidmatan awam dengan mengambil kira cabaran semasa dan merangka keperluan di masa akan datang. “Susulan daripada pengumuman Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa majlis perhimpunan hari pekerja pada 1 Mei lalu yang menekankan keperluan untuk diteliti semula berkaitan sistem saraan perkhidmatan awam, satu mesyuarat penyelarasan khas berkaitan dengan bengkel kajian sistem saraan perkhidmatan awam telah dianjurkan oleh pihak JPA pada bulan Julai yang lepas. “Sistem saraan ini dilihat terdapat keperluan untuk disemak semula memandangkan kajian terakhir berkaitan sistem saraan secara menyeluruh dilaksanakan pada tahun 2002,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan di sesi libat urus tersebut yang mana ucaptamanya telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Dr. Anesee Ibrahim. Tambah beliau, untuk tujuan tersebut pihak JPA akan melaksanakan kajian sistem saraan perkhidmatan awam dan untuk mengumpulkan input dan juga maklumat daripada pelbagai pihak terutamanya daripada semua agensi kerajaan. “Objektif kajian ini adalah untuk meningkatkan efisiensi penjawat awam, mengoptimumkan kos pengurusan agensi kerajaan, menigkatkan produktiviti dan kesejahteraan semua penjawat awam,” ujarnya. Katanya, penjawat awam perlu sentiada menyokong inisiatif kerajaan dan diharapkan semua ketua jabatan dan pegawai dapat mengemukakan input dan justifikasi bagi memastikan kajian sistem saraan perkhidmatan awam bersifat inklusi serta mengambil kira keperluan sumber manusia pada masa kini dan akan datang. “Diharapkan pengumpulan input yang diperolehi pada hari ini dapat dirangkumkan menjadi satu hasil yang positif sebelum ianya dapat dipanjangkan kepada pihak JPA,” ujarnya.  
05 Sep 23
266
Beras Mahal : 'Penjual Perlu Patuh Harga Siling' - Dr Azman
Beras Mahal : 'Penjual Perlu Patuh Harga Siling' - Dr Azman
KUALA TERENGGANU, 5 September - "Harga beras adalah bawah bidang kawal selia padi beras negara. Siapa pun pengedar dan pembungkus perlu patuh kepada siling harga yang ditetapkan," ujar Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim. Katanya, anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) hanya bertanggungjawab membungkus dan mengedar beras MyGAP yang berkualiti tinggi dari sawah padi tempatan yang mempunyai Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia, MyGAP. "Kerajaan negeri terus bekerja keras bagi meningkatkan pengeluaran beras negeri dengan beberapa strategi termasuk pembukaan sawah padi baru, mengekalkan sawah padi sedia ada tanpa ditukar syarat, menaik taraf infrastruktur ladang, sistem pengairan dan kesuburan tanah serta kawasan bertanam sekali setahun ditingkatkan kepada dua kali setahun," katanya. Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan yang dikeluarkannya di akhbar Harian Metro yang menyatakan TADC akan meningkatkan pengeluaran beras sebanyak 100 tan metrik sebulan, berbanding hanya 60 tan metrik sebulan sejak Julai lalu. Dalam kenyataan akhbar tersebut beliau memaklumkan, TADC akan bekerjasama dengan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) untuk mendapatkan tambahan beras berikutan penanaman padi musim pertama sudah berakhir Jun lalu. “Pembelian beras tempatan daripada kilang Bernas diperlukan bagi menampung permintaan beras di negeri ini. "Bagi memastikan bekalan beras tempatan dikeluarkan TADC mencukupi untuk menampung keperluan penduduk di Terengganu sementara menunggu pengeluaran padi musim kedua, kita akan membeli beras tempatan dikeluarkan beberapa kilang Bernas di negeri ini," jelasnya. Mengulas lanjut, Dr Azman dalam laporan tersebut memberitahu, TADC membelanjakan RM270,000 untuk pembelian beras daripada beberapa kilang padi di negeri ini untuk proses pembungkusan sebelum dibekalkan kepada pengedar tunggal yang dilantik untuk dipasarkan. "Walaupun berlaku kenaikan harga beras putih import berkuat kuasa Jumaat lalu, tapi kita akan memastikan tiada kenaikan harga bagi beras Super Special Tempatan (SST) dikeluarkan TADC. "Kita akan pastikan Berasganu My GAP dikeluarkan TADC dijual pada harga RM12.90 bagi setiap lima kilogram dan RM25.60 bagi setiap pek 10 kilogram," katanya memetik laporan Harian Metro.  
05 Sep 23
1810
Peringkat Kedua TGDT23 Saji Lebih Cabaran
Peringkat Kedua TGDT23 Saji Lebih Cabaran
KUALA NERUS, 5 September- Laluan perlumbaan peringkat kedua Tour Gateh D'Tranung 2023 (TGDT23) bakal memberi cabaran lebih besar kepada pelumba-pelumba yang bersaing hari ini. Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ahmad Shahrizal Yahaya berkata, laluan beralun dan berbukit di pertengahan perlumbaan itu akan mewujudkan lebih banyak drama dan aksi kayuhan oleh para pelumba. "Kalau ikut laluan perlumbaan peringkat kedua ini, permulaannya adalah laluan landai. "Tetapi, apabila memasuki daerah Dungun iaitu ke Bukit Besi, akan sedikit berbukit dan beralun. "Jadi, saya harap segalanya berjalan lancar dan semua pelumba dapat menamatkan perlumbaan dengan selamat," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelepasan pertingkat kedua di Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini hari ini. Majlis berkenaan disempurnakan ahli parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr. Alias Razak yang turut dihadiri ahli dewan undangan negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr Zaharuddin Zahid. Ahmad Shahrizal dalam pada itu berharap perlumbaan hari ini berjalan lancar sebagaimana peringkat pertama yang berlangsung semalam. "Cuma, semalam berlaku kemalangan kecil selepas permulaan iaitu di Alor Tumat, ada melibat sedikit kecederaan tetapi, Alhamdulillah perlumbaan dapat diteruskan "Untuk perlumbaan kali ini kita melantik 'respon team' yang berpengalaman daripada pihak kerajaan mahupun swasta yang pernah terlibat dalam acara lebih besar seperti Le Tour de Langkawi (LTdL), jadi ia berjalan lancar," katanya.
05 Sep 23
207