Artikel "Utama" Terkini
Rakyat Luar Puji Beras Ganu
KUALA TERENGGANU, 10 September – Beras keluaran anak syarikat negeri menerusi Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC) terus menjadi tumpuan bukan sahaja dalam Terengganu, bahkan turut mendapat permintaan daripada luar negeri.
Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) mendapati ramai antara mereka bersedia untuk menjadi pengedar bagi memasarkan beras tersebut di luar Terengganu.
Hasil tinjauan juga mendapati bahawa rakyat negeri lain seperti Selangor, Melaka, Pulau Pinang serta Kedah menyatakan hasrat untuk memiliki beras tersebut.
Mereka turut memuji usaha Terengganu bagi memastikan bekalan makanan kekal terjamin untuk manfaat kepada rakyat.
Akaun TikTok, AmyJohorean80's meminta untuk memasarkan beras Ganu ke Johor manakala Hasnah Isnin, berkata semoga beras Ganu dapat diperluaskan ke seluruh negeri dalam Malaysia.
Sulaiman Aziz yang berasal dari Perak mengucapkan tahniah kepada kerajaan Terengganu, terbaik rakyat Ganu pilih kerajaan.
Sementara itu, Nakin fd_ma12 mengucapkan tahniah kepada Dr Azman selaku exco pertanian yang banyak melakukan perubahan dalam industri makanan Terengganu.
Ini selari dengan usaha kerajaan negeri bagi memastikan negeri ini terus menjadi negeri gedung pengeluaran keperluan makanan.
Untuk rekod, Terengganu merupakan negeri pertama yang mengeluarkan beras sendiri dengan mempunyai Sijil Amalan Pertanian Baik Malaysia, MyGAP menerusi jenama Beras Ganu.
10 Sep 23
2691
Terengganu Dinobat Negeri Terbaik Amalan Pertanian
KUALA TERENGGANU, 10 September - Jabatan Pertanian Terengganu sekali lagi memenangi kategori negeri terbaik bagi pensijilan Skim Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) di Malaysia bagi tahun 2022.
Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Datuk Zulkepli Amin Mat Jusoh berkata, berkata pensijilan itu menjadi Petunjuk Prestasi Utama pelaksanaan Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) bagi menambah baik keselamatan dan nutrisi makanan rakyat.
“Sebanyak 566 ladang di bawah subsektor tanaman memperoleh pensijilan MyGAP sepanjang tahun 2022 dan telah meningkat dari tahun 2021 yang merekodkan hanya 416 buah sahaja.
“Kejayaan tersebut bukan kejayaan kami tetapi merupakan hasil usaha pengusaha dan para petani di Terengganu,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman ( UPDI) hari ini.
Tambahnya, dengan kemenangan tersebut, beliau yakin Terengganu akan lebih inovatif untuk menghasilkan produk-produk yang lebih berkualiti untuk bersaing dengan produk negeri lain termasuk dari luar negara..
Menurut beliau, kini ramai pengguna mencari produk yang selamat dimakan seperti produk organik sesuai dengan peningkatan taraf hidup terutama tahap kesihatan
"Semua nak kata produk mereka selamat bebas daripada racun dan logam berat tetapi siapa yang mengesahkannya… itulah diwujudkan pensijilan MyGAP melalui amalan pertanian baik (APB).
"Saya difahamkan terdapat lebih 100 produk di seluruh Malaysia yang dalam senarai menunggu termasuk ujian makmal untuk menerima pensijilan MyGAP yang mana syaratnya hampir sama seperti syarat-syarat sijil halal.
MyGAP merupakan merupakan skim pensijilan yang dirangka dan dilaksanakan sejak 2002 untuk mengiktiraf ladang yang mengamalkan amalan pertanian baik bagi mengeluarkan makanan yang selamat dan berkualiti, menjaga keselamatan alam sekitar, serta menjamin keselamatan dan kebajikan pekerja.
Untuk rekod pensijilan MyGap semakin meningkat, 2018 Terengganu hanya 141 sijil, kemudian bertamabah ke 211 pada 2019, manakalan 2020 (315, 2021 (416) dan 2022 (566).
10 Sep 23
3015
Melon Manis Terengganu Akan Dipaten
KUALA TERENGGANU, 10 September - Melon Manis Terengganu (MMT) kini dalam proses pendaftaran sebagai penunjuk geografi harta intelek (GI) dan setelah diluluskan, nama MMT tidak boleh digunakan oleh negeri lain.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, apabila kelulusan ini diperolehi, MMT akan menjadi ‘signature’ produk ataupun ikon kepada pertanian Terengganu.
Menurutnya, proses ini sedang berjalan dan kertas ke arah itu telah diangkat setelah mendapat kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.
“Ada dua produk pertanian yang dalam proses untuk dipatenkan dan inysa-Allah selepas diluluskan maka rasmilah secara inteleknya bahawa nama Melon Manis Terengganu dan Sweet Nira Terengganu adalah milik negeri Terengganu.
“Selepas dipatenkan seperti Harum Manis Perlis, penggunaannya akan jadi lebih meluas lagi,”katanya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Darul Iman baru-baru ini.
Tambah Dr Azman, kini Terengganu turut memasarkan hasil Melon Manis untuk pasaran antarabangsa berikutan banyak permintaan daripada penduduk di beberapa negara seperti Dubai, Singapura dan Hong Kong .
Katanya, MMT yang dihasilkan di tempatnya boleh mencapai kemanisan sehingga skala 14 dan buahnya juga rangup serta tahan lama.
Buah yang direka khas untuk industri pertanian Terengganu juga mempunyai khasiat tersendiri termasuk bersifat antioksida, baik untuk kesihatan kulit, menguatkan antibodi badan, mengandungi vitamin A dan C, serta pencegah penyakit kronik seperti kencing manis, angin ahmar dan jantung.
10 Sep 23
1541
'RXZ Members' : Kerajaan Negeri, Polis Berunding Cari Solusi
KUALA NERUS, 10 September - Kerajaan Terengganu akan terus berunding dengan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung penganjuran Himpunan 'We Are RXZ Members 5.0'.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya sentiasa menghormati bidang kuasa agensi penguatkuasa termasuk PDRM.
Namun katanya, pihak kerajaan negeri serta penganjur masih mengharapkan pertimbangan istimewa terhadap peserta-peserta yang hadir dari seluruh negara ke program terbabit.
"Tetapi pihak kerajaan tidak boleh melangkaui kuasa pihak PDRM dan kita tidak meminta untuk batalkan sekatan jalan raya sebab itu merupakan bidang kuasa mereka.
"Jadi, kita tidak berlawan dengan polis, cuma mengharapkan pertimbangan jadi rundingan itu terus berlaku.
"Secara dalamannya pihak penganjur memang sudah memaklumkan kepada peserta supaya tidak melakukan perarakan, mematuhi peraturan jalan raya untuk diambil perhatian kepada setiap peserta yang inginn hadir ke program ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menghadiri Majlis Penutup "We Are RXZ Members 5.0" di Litar Permotoran Gong Badak, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut mengenai acara berprestij yang telah memasuki tahun kelima itu, Hishamuddin memaklumkan, selama ini pihak kerajaan telah memberikan kerjasama baik terhadap penganjurannya bagi memastikan ia terus diadakan di negeri ini.
"Pihak kerajaan selama telah melibatkan semua pihak termasuk PDRM untuk mengadakan mesyuarat.
"Pihak penganjur juga selama ini telah kerap kali mengadakan kunjungan hormat dan buat perbincangan secara khusus dengan pihak berkuasa.
"Pada saya itu merupakan satu langkah positif daripada pihak penganjur selama ini dimana mereka tidak pernah mengabaikan kuasa yang ada pada pihak berkuasa malah telah memohon bimbingan termasuk meminta nasihat daripada PDRM dan JPJ juga turut terlibat dalam mesyuarat," ujarnya.
Sementara itu pihak penganjur, Mohamad Faizal Mat Ali berkata apa yang berlaku adalah di luar jangkaan pihaknya.
"Saya telah pergi untuk berunding namun apabila berjumpa dengan pihak berkuasa mereka mengatakan bahawa ini adalah arahan, insya-Allah saya cuba bertanggungjawab.
"Sama ada program ini akan terus diadakan atau ini merupakan kali terakhir saya akan cuba fikirkan balik atau macam mana nanti untuk kita meneliti kembali untuk dilakukan penambahbaikan pada masa akan datang,"ujarnya lagi.
10 Sep 23
3322
Lebih 60,000 Hadir RXZ Members 5.0
KUALA Nerus, 10 September - Lebih 60,000 pengunjung hadir memeriahkan program RXZ Members 5.0 yang diadakan di negeri ini pada kali ini.
Malah tidak hanya peserta dari dalam negara, bahkan turut dihadiri pemilik dan peminat RXZ dari Thailand, Singapura dan Indonesia.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, ia telah memberikan satu limpahan ekonomi untuk rakyat Terengganu.
"Walaupun dalam tempoh dua hari ini berlalu kesulitan kerana rakyat terpaksa hadapi kesesakan, tetapi bagi kita itu adalah perkara biasa (kerana Terengganu sering dikunjungi dan didatangi ramai pelancong).
"Setakat saya difahamkan oleh pengusaha pelancongan, pusat-pusat perniagaan sangat meriah termasuk kedai-kedai makan yamh menerima limpahan ekonomi daripada penganjuran 'We Are RXZ Members 5.0" ini sehingga peniaga berkata buat banyak kali pun tidak apa, " ujarnya
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menghadiri Majlis Penutup "We Are RXZ Members 5.0", di Litar Permotoran Gong Badak, di sini, semalam.
Perasmian penutup program berkenaan telah disempurnakan oleh Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Yahaya Ali.
Mengulas lanjut Hishamuddin berkata, selama ini kerajaan negeri sentiasa menyokong apa jua bentuk program termasuk RXZ Members 5.0 berkenaan kerana mendatangkan impak yang sangat baik.
"Ini bukan program kerajaan negeri tetapi dianjurkan oleh NGO RXZ Members ini yang mana acara seumpama ini tidak pernah dibuat di negeri lain.
"Pada asasnya kita menyokong sebab ini merupakan agenda tahunan bukan dibuat tiap-tiap minggu dan ia telah menerima kehadiran pengunjung yang begitu ramai," ujarnya.
Tambah beliau, kerajaam negeri akan sentiasa menyokong kepelbagai program yang ingin diadakan di Terengganu.
"Sama ada aktiviti anak muda atau mana-mana aktiviti yang positif pihak kerajaan negeri akan menyokong," ujarnya.
10 Sep 23
1840
Penganjuran Tour Gateh D’Tranung Raih Pujian Ramai
KUALA TERENGGANU, 9 September – Penganjuran Tour Gateh D’Tranung 2023 (TGDT23) menerima pujian ramai apabila berjaya mengadakan perlumbaan berkonsepkan 'Sport Tourism'.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata 'Sports Tourism' itu dengan melaksanakan siri jelajah berbasikal merangkumi semua daerah dalam negeri ini.
Katanya, ia sekali gus dapat mempromosikan Terengganu di mata dunia melalui sukan berbasikal.
“Penganjuran sebegini amat penting bagi para atlet kita terutamanya yang masih muda supaya dapat menimba ilmu dan pengalaman sebelum ke peringkat yang lebih tinggi.
“Terengganu sentiasa mengalu-alukan sukan sebegini yang memberi manfaat kepada para atlet tempatan dan kerajaan negeri Terengganu,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika diwawancara oleh pengacara ketika siaran langsung di laman Facebook Tour Gateh D’Tranung 2023 bertempat di Jabatan Angkat Kuala Terengganu di sini, semalam.
Turut hadir Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Yahaya Ali, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim dan Presiden, Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun.
Terdahulu ketika sidang media Tour Gateh D’Tranung 2023, Hishamuddin berkata program ini melibatkan seramai 164 orang pelumba dengan laluan sepanjang 650 kilometer.
"Pertandingan disertai 27 pasukan antaranya sembilan kelab tempatan, 10 pasukan Sukan Malaysia (Sukma) dan lapan pasukan elit antarabangsa dari Eropah, Qatar, Singapura dan Indonesia.
"Program ini anjuran bersama Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan Persatuan Lumba Basikal Terengganu (PLBT) serta beberapa agensi yang turut terlibat," ujarnya.
09 Sep 23
605
Aiman Zariff Takluk Tour Gateh D'Tranung
KUALA TERENGGANU, 9 September - Pelumba pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff menepati ramalan apabila berjaya memenangi juara keseluruhan kategori individu terbaik (jersi biru) semalam.
Aiman berjaya mempertahankan kategori individu terbaik (jersi biru) sepanjang lima hari perlumbaan Tour Gateh D’Tranung 2023 (TGDT23).
Anak jati Terengganu itu juga berjaya mempertahankan gelaran raja bukit (jersi polkadot) selama tiga kali pertandingan iaitu pada saingan pertama, keempat dan kelima.
Beliau berjaya mencatat masa cemerlang 0:57:23 sekali gus membolot dua gelaran pada hari ini.
Peringkat kelima perlumbaan Tour Gateh D’Tranung 2023 (TGDT23) bermula dan berakhir di tengah Jambatan Angkat Kuala Terengganu.
Perlumbaan melibatkan laluan di Jambatan Angkat Kuala Terengganu ke tangki air, berpatah balik ke KTCC Mall melalui Pasarnita dan kembali semula ke Jambatan Angkat Kuala Terengganu sebanyak 12 kali.
Perjalanan tersebut melibatkan laluan sepanjang 145 km.
Pelumba TSS Racing, Muhammad Nur Aiman Rosli pula berjaya mempertahankan jersi hijau (raja pecut) sepanjang pertandingan.
Bagi jersi putih (pelumba terbaik bawah 21 tahun) dan jersi merah jambu (kelab tempatan terbaik) masing-masing dimenangi oleh pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Muhammad Syawal Mazlin dan pelumba TSS Racing, Anuar Manan.
Untuk rekod, Tour Gateh D'Tranung melibatkan lima peringkat perlumbaan dengan melalui semua daerah di negeri ini serta menawarkan lima kategori utama.
Lima kategori tersebut iaitu Elit, Raja Pecut, Raja Bukit, Kelab Tempatan dan Bawah 21 Tahun.
09 Sep 23
386
Kursus Intensif Khas Dedah Pelajar Dengan Timur Tengah
KUALA TERENGGANU, 7 September- Seramai 143 pelajar yang mengikuti Kursus Intensif Khas Pelajar Terengganu Ke Timur Tengah Sesi 2023 bakal berangkat ke institusi pengajian masing- masing termasuk di Jordan dan Mesir bermula 9 September ini.
Kesemua pelajar yang terlibat adalah lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dari seluruh negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, kursus selama tiga hari itu bertujuan meningkatkan penguasaan pelajar dalam mempelajari Bahasa Arab melalui penulisan dan komunikasi serta memahami adat budaya dan nilai-nilai masyarakat di Timur Tengah.
"Saya mewakili kerajaan negeri mengucapkan terima kasih kepada jabatan yang terlibat dengan penganjuran program ini termasuk Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT), Yayasan Terengganu, Maidam serta UniSZA yang telah memberikan kerjasama yang baik.
"Melalui program khas ini, pelajar mendapat pendedahan awal dalam mempelajari ilmu berkenaan 'bahasa pasar' dan juga budaya Timur Tengah kerana perkara ini tidak diterapkan semasa pembelajaran di sekolah," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyempurnakan Majlis Penutup Kursus Intensif Khas Pelajar Terengganu Ke Timur Tengah Sesi 2023 di Dewan Dato' Seri Tuan Guru, DITC Kemaman, hari ini.
Satiful berkata, kerajaan negeri amat komited dalam membantu anak Terengganu yang cemerlang meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.
"Ini termasuk peruntukan sebanyak RM5 juta setahun yang kita peruntukkan kepada pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran bermula tahun 2018.
"Hasrat kita adalah untuk memastikan tiada pelajar cemerlang yang tidak dapat melanjutkan pelajaran disebabkan masalah kewangan," ujarnya.
07 Sep 23
271
Pelumba TSG Rampas Gelaran Raja Bukit
HULU TERENGGANU, 7 September – Pelumba pasukan Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff berjaya merampas kembali gelaran raja bukit (jersi polkadot) saingan peringkat keempat setelah kali terakhir dimenangi olehnya pada saingan pertama.
Pada saingan pertama, beliau berjaya mempamerkan aksi cemerlang dengan membolot tiga jersi iaitu jersi biru (kategori individu terbaik), jersi hijau (raja pecut) dan jersi polkadot (raja bukit).
Pada saingan keempat, Aiman juga berjaya mempertahankan gelaran individu terbaik keseluruhan (jersi biru) selama empat hari pertandingan berlangsung.
Beliau yang juga merupakan pemegang jersi merah Le Tour De Langkawi (LTDL) 2022 berjaya mencatat masa cemerlang 3:15:28 sekali gus membolot dua gelaran pada hari ini.
Aiman berkata perjalanan perlumbaan pada hari ini sangat mencabar dengan laluan berbukit melalui tiga pendakian yang sukar.
"Saingan terhadap pelumba lain juga kuat sekali gus bagus bagi semangat dan motivasi saya dalam persediaan untuk ke Langkawi nanti.
"Di samping, saya berharap jersi biru (kategori individu terbaik) terus menjadi milik saya sehingga saingan terakhir pada hari esok," katanya ketika ditemubual oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman di Pulau Poh, Tasik Kenyir pada hari ini.
Peringkat keempat perlumbaan Tour Gateh D’Tranung 2023 (TGDT23) bermula daripada Taman Tamadun Islam (TTI), Kuala Terengganu ke Pulau Poh, Tasik Kenyir yang melibatkan laluan sepanjang 147.65 km.
Pelumba TSS Racing, Muhammad Nur Aiman Rosli pula berjaya mempertahankan jersi hijau (raja pecut) sepanjang pertandingan.
Bagi jersi putih (pelumba terbaik bawah 21 tahun) dan jersi merah jambu (kelab tempatan terbaik) masing-masing dimenangi oleh pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Muhammad Syawal Mazlin dan pelumba MIFH Cycling Group, Mohd Hafiz Rozli.
07 Sep 23
512
Langkah Segera Diambil Selesai Isu ‘Tol’ Pulau Kapas
MARANG, 7 September - Kerajaan negeri telah mengambil langkah segera bagi menyelesaikan aduan pelancong berhubung isu ‘tol’ atau bayaran berganda di beberapa kaunter sebelum dibenar masuk ke Pulau Kapas.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pihaknya mengambil maklum rintihan rakyat yang berbangkit di media sosial.
Katanya, sebarang kesulitan dan birokrasi akan diatasi secara berhemah dan tidak membebankan pelbagai pihak termasuk pemegang taruh yang mempunyai kepentingan berkaitan Pulau Kapas.
“Perjumpaan dengan pemegang taruh telah berjalan di Majlis Daerah Marang dan perbincangan berlangsung secara harmoni.
“Saya ambil maklum soal harga tiket bot dan pembayaran 'fee' yang dicajkan dan setiap jalan penyelesaian akan dipermudahkan agar pengunjung tidak terbeban,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Razali dan Timbalannya, Sulaiman Sulong berbincang bersama Majlis Daerah marang bagi menyelesaikan isu itu.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menegaskan, setiap permasalahan prasarana seperti caj tempat letak kereta, penyediaan letak kenderaan yang tidak mencukupi serta tandas rosak dan tidak bersih akan diberi perhatian.
“Begitu juga dengan fasiliti pulau yang perlu diperbaiki dan dinaik taraf serta tahap keselamatan akan diambil perhatian utama dan khusus.
“Saya akan berhubung dengan kementerian berkaitan di Kerajaan Persekutuan untuk berbincang lebih lanjut serta langkah susulan terbaik dicapai kelak,” jelas beliau.
Dalam masa yang sama, beliau turut berterima kasih kepada pengunjung kerana memilih Pulau Kapas untuk datang bercuti dan beriadah bersama keluarga serta prihatin dalam menambah nilai fasiliti sedia ada.
07 Sep 23
783