Artikel "Utama" Terkini
Terengganu Tarik Pelaburan, Cipta Pekerjaan
KUALA TERENGGANU, 13 September – Terengganu kini komited melaksanakan beberapa pelaburan, program dan projek berimpak tinggi yang memberi manfaat kepada negeri dan rakyat.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia bakal memberi kesan ekonomi ketara kepada negeri menerusi pelaburan yang dibawa masuk dari dalam dan luar negara yang seterusnya mewujudkan peluang pekerjaan serta perniagaan.
Dalam masa sama, beliau menzahirkan penghargaan atas usaha ECERDC dalam menarik pelaburan dari pelbagai sektor ke Terengganu.
“ECERDC membuka peluang pertumbuhan (ekonomi) dengan menarik pelaburan dalam pelbagai sektor termasuk minyak, gas dan petrokimia.
“Saya juga berbesar hati kerana Terengganu berjaya mengekalkan daya saing dalam menarik pelabur melalui kerjasama erat kerajaan negeri,” katanya dalam satu hantaran di laman facebook rasminya semalam.
Tambah Ahmad Samsuri, terdahulu beliau telah mempengerusikan mesyuarat pelaksana East Coast Economic Region untuk Negeri Terengganu.
“Mesyuarat tersebut dihadiri oleh pegawai-pegawai dari ECERDC, Kementerian Kewangan (MoF), Kementerian Ekonomi (MoE) serta Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
“Hadir sama beberapa Jabatan dari Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Unit Kerjasama Awam Swasta dan Jabatan Perdana Menteri di Menara PJH, Putrajaya," ujarnya.
Terdahulu, Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memuji negeri Terengganu yang mempunyai banyak potensi termasuk kemasukan dan peluang pelaburan.
13 Sep 23
1730
96 Pelajar Terpilih Duta Kelestarian Alam Sekitar INSTEP
KUALA NERUS, 11 September – Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) telah melantik 96 pelajar dari lapan buah sekolah rendah sekitar Mukim Batu Rakit sebagai di bawah program Menyemai Masa Hadapan: Edu-Lestari 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP, Idris Ibrahim berkata, setiap peserta terpilih akan dibekalkan dengan ilmu asas pendidikan alam sekitar bagi meneruskan usaha menyemai kesedaran melestarikan alam sekitar di kalangan generasi muda.
Katanya, program pendidikan alam sekitar tersebut merupakan kesinambungan daripada program sama yang dilaksanakan pada tahun lalu.
“Sebagai duta, pelajar terbabit diharapkan mampu membuat perubahan peningkatan kesedaran alam sekitar disekeliling mereka melalui pelaksanaan amalan memulihara alam sekitar di dalam diri di samping berkongsi amalan tersebut kepada rakan sebaya dan masyarakat setempat.
“Setiap peserta didedahkan dengan pembelajaran berterusan di dalam aspek kitar semula dan kelestarian ekosistem.
“Selain daripada perkongsian berkenaan pengelasan sisa buangan, mereka juga turut mengikuti aktiviti pembelajaran interaktif mengenai kepentingan menghijaukan bumi.
“Menyemai Masa Hadapan: Edu-Lestari 2023 adalah salah satu daripada komitmen berterusan INSTEP ke arah masa hadapan yang lebih lestari melalui perubahan minda hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Idris, INSTEP sebagai organisasi yang mementingkan kelestarian alam sekitar, sentiasa komited di dalam misinya ke arah pencapaian taraf Kampus Hijau.
“Di samping pemasangan bumbung solar di dalam kampus, INSTEP juga giat menjalankan aktiviti penanaman pokok di sekitar kampus.
“Penjagaan pokok tersebut dilaksanakan secara semula jadi melalui kaedah siraman air hujan yang dikumpul melalui sistem penuaian air hujan dan juga menggunakan baja kompos yang dihasilkan oleh mesin pengompos makanan INSTEP,” ujarnya.
12 Sep 23
255
RM3,000 Untuk Peserta Explorace Beliawanis Merdeka 2.0
KUALA TERENGGANU, 12 September - Pertandingan Explorace Beliawanis Merdeka 2.0 yang diadakan pada jumaat ini menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM3,000 untuk peserta terbaik.
Pengarah program, Sumayyah Hamzah berkata, program ini memasuki tahun ke dua penganjurannya berjaya menghimpunkan para peserta yang terdiri daripada kaum wanita.
"Hadiah untuk pemenang tempat pertama RM800,00, hadiah kedua RM600,00 dan hadiah ke tiga RM400, 00.
"Manakala seramai 80 orang mendapat saguhati," jelasnya.
Beliau yang juga Setiausaha Nisa' Kawasan Kemaman berkata demikian ketika dihubungi pada hari ini.
Katanya, program ini merupakan tahun kedua diadakan dan kali ini bertempat di Bandar Al- Wathiqu Billah, Kuala Nerus.
"Tahun ni aktiviti lebih santai, cabaran dari segi kreativiti peserta untuk menyelesaikan tugasan explorace.
"Kalau tahun lepas, pergerakan peserta menggunakan kereta tetapi tahun ini peserta ditempatkan di satu kawasan dan pergerakan peserta berjalan kaki sahaja," ujar beliau.image widget
12 Sep 23
354
Empat Negeri PN Bersetuju Wujudkan SG4
KUALA TERENGGANU, 11 September - Empat buah negeri di bawah Perikatan Nasional bersetuju untuk mewujudkan kerjasama antara negeri dikenali sebagai 'State-Government 4' atau SG4.
Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerjasama yang melibatkan Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis telah dipersetujui untuk diwujudkan pada 2 September yang lalu.
"Kerjasama strategik mengikut bidang kuasa (empat) negeri ini akan memfokuskan kepada pembangunan ekonomi dan peningkatan taraf (kehidupan) rakyat di negeri terbabit.
"Dengan mengenalpasti aset, kekuatan, kerjasama strategik dan sebagainya yang boleh dilaksanakan," ujarnya melalui satu kenyataan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Ahmad Samsuri mendoakan agar agenda kebaikan rakyat di empat negeri ini dapat dijayakan dengan baik.
11 Sep 23
26205
Ini Bukan Masa Bulan Madu – Dr Sam
KUALA TERENGGANU, 11 September – Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai yang terlibat dalam urus tadbir bahawa tugas mereka sudah pun bermula dengan gaya pengurusan lebih baik.
Menurutnya, jika penggal lepas semuanya dalam proses pembelajaran tetapi pada penggal kedua gaya pengurusan perlu berubah lebih laju, dan bukan lagi dalam tempoh berbulan madu.
Katanya, peranan semua pihak yang terlibat dalam urus tadbir negeri diperlukan secara kolektif, bagi mencapai objektif.
“Jika pada penggal pertama masih fasa belajar,’ give and take’, ‘wait and see’ dan bersabar dengan kelemahan tetapi penggal kedua ini semua Exco dan ketua jabatan, ‘should have shorter learning curve’.
“Selepas hampir sebulan masa pembentukan kerajaan, kita tak mempunyai masa yang panjang untuk 5 tahun akan datang yang dijangka lebih pendek dari itu,” katanya dalam laman facebook rasminya pada hari ini.
Sehubungan itu, beliau berharap Bengkel Hala Tuju Exco Kerajaan Negeri Terengganu yang dianjurkan akan membina satu gerak kerja yang terbaik buat semua pasukan.
“Cabaran yang kita hadapi juga ialah cabaran internal yang melibatkan rakyat dan pemegang taruh selain external.
“Jika tidak menukar mindset rakyat dan tidak menggunakan peluang, pergerakan kita akan lambat.” jelasnya lagi.
Tambah Dr Ahmad Samsuri, bengkel kali ini turut memfokuskan bagaimana untuk memastikan kecekapan kelulusan projek dapat dilaksanakan dengan pantas.
“Sentiasalah berlapang dada, memberi jawapan yang cermat dan mempermudahkan urusan pelabur,”ujarnya.
11 Sep 23
2068
Tun M Puji Pelaburan, Tarikan Pelancongan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 10 September – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memuji negeri Terengganu yang mempunyai banyak potensi termasuk kemasukan dan peluang pelaburan.
Tun Mahathir berkata sektor pelancongan juga begitu banyak daya tarikan dengan keindahan khazanah alam yang terdapat di negeri ini.
“Saya ucap terima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu dan YAB Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atas jemputan ke Bengkel Hala Tuju Portfolio Exco Negeri Terengganu pagi tadi.
“Dengan pengalaman yang ada dalam pentadbiran Kerajaan bolehlah saya kongsikan sedikit sebanyak bagaimana sesebuah Kerajaan itu dapat dibangun dan dijayakan.
“Jika idea-idea baik dilaksana dan kena pada caranya saya yakin negeri ini dapat maju dan hebat setanding dengan negeri di pantai barat,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya pada hari ini.
Tambah Tun Mahathir, kita juga perlu cekap dalam pentadbiran, orang politik perlu tahu bekerja dengan pegawai Kerajaan agar kerenah birokrasi dapat dielakkan dalam apa jua urusan Kerajaan.
Beliau berkata, kelulusan sesuatu permohonan misalnya tidak perlu dilengahkan sehingga orang jauh hati berurusan dengan Kerajaan.
Katanya, ini penting terutama apabila berurusan dengan pelabur serta disiplin dan beramanah, budaya kerja baik perlu sentiasa jadi amalan.
“Saya sempat kongsikan ketika menjadi Menteri Perdagangan dan Industri, saya dapati kakitangan suka pulang awal, seawal jam 3 petang.
“Bila ditanya kepada Ketua Setiausaha Kementerian, katanya mereka perlu pulang awal untuk elak sesak jalanraya.
“Saya fikir ini sikap tidak beramanah dan berdisiplin, kerana itu selepas dilantik jadi Perdana Menteri, kad perakam waktu diperkenal supaya kakitangan bekerja mengikut waktu dan jadual kerja sepatutnya,” ujarnya.
Di samping itu, Dasar Pandang ke Timur diperkenal kerana budaya dan cara kerja yang wajar jadi contoh dalam usaha memajukan negara.
"Selamat maju jaya diucap dan saya harap program sebegini mampu eratkan orang politik dan kumpulan pelaksana di peringkat Kerajaan Negeri dalam usaha memastikan semua peringkat berada dalam landasan dan objektif yang sama,” jelasnya.
10 Sep 23
4549
Kerajaan Terengganu Sedia Penempatan Baharu Pelajar di Mesir
KUALA TERENGGANU, 10 September - Bangunan baru Wisma Darul Iman, Hayyu Sabik telah siap sepenuhnya dan mula beroperasi bagi penempatan pelajar-pelajar Terengganu di Kaherah, Mesir.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata bangunan tersebut dirasmikan oleh kerajaan Terengganu pada Mei 2022.
"Inisiatif tersebut bertujuan bagi menampung kapasiti pelajar-pelajar Terengganu selepas bangunan lama di Mansourah dijual.
“Seronok dan ceria nampaknya anak-anak pelajar kita di Kaherah yang berpindah ke bangunan baru," jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya pada hari ini.
Ahmad Samsuri turut memberi nasihat buat pelajar-pelajar supaya menjaga penempatan tersebut sebaik mungkin.
“Ini adalah rumah kalian yang pasti akan diwariskan kepada adik-adik lain pula.
“Terus fokus kepada pembelajaran dan pembangunan sahsiah serta kemahiran diri serta pulang berbakti kepada negeri nanti,” ujarnya.
10 Sep 23
833
Maritim Terengganu Lupus Rokok Seludup Bernilai Lebih RM1.2 Juta
KUALA TERENGGANU, 10 September - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Terengganu telah melupuskan 379,400 batang rokok di Ibu Pejabat Maritim Negeri Terengganu pada hari ini.
Pengarah Maritim Terengganu, Kepten Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, jumlah rokok yang diseludup tersebut mempunyai nilaian lebih RM1.2 juta.
Katanya, rokok yang dirampas pada April tahun ini merupakan rokok yang tidak bercukai.
“Proses pelupusan dilakukan dengan menggunakan mesin pengisar dan sisa pelupusan.
"Seterusnya akan dibuang di tapak pelupusan sampah Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Sungai Ikan, Kuala Nerus,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan media pada hari ini.
Tambah Khairulanuar, proses tersebut disaksikan oleh pegawai penyaksi pelupusan di tempat kejadian.
“Maritim Negeri Terengganu sentiasa melakukan pemantauan bagi mengekang aktiviti penyeludupan bersama agensi keselamatan lain,” ujarnya.
10 Sep 23
308
Operasi 'Pukat' RXZ Members Kerana Ada Aduan?
KUALA TERENGGANU, 10 September - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Terengganu memaklumkan, operasi khas motosikal secara bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri sewaktu penganjuran program RXZ Members 5.0 pada 8 dan 9 September lalu ekoran aduan daripada orang awam.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, orang awam memaklumkan segelintir penunggang motosikal tersebut telah memandu secara melulu dan merbahaya di jalan raya termasuk Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) dan jalan-jalan negeri.
“PDRM bertugas dan berfungsi untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam di Negeri Terengganu dan Malaysia amnya.
“Ekoran dari rungutan dan aduan tersebut, pihak polis telah membuat pemantauan serta pemeriksaan dan mendapati sememangnya benar terdapat segelintir penunggang motosikal ini telah melakukan kesalahan lalu lintas dan mengganggu ketenteraman awam seperti yang didakwa,” ujarnya pada sidang media sempena Operasi Bersepadu-Operasi Khas Motosikal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, hari ini.
Katanya, sebanyak 185 pelbagai buah motosikal dan seramai 205 individu telah ditahan semasa operasi dijalankan dengan kekuatan anggota seramai 83 orang.
“Kesemua mereka telah di bawah ke IPK Terengganu untuk proses dokumentasi. Semasa proses dokumentasi pelbagai kesalahan telah didapati dan saman trafik dikeluarkan antaranya tiada lesen memandu (39), nombor pendaftaran ‘fancy’ (103), tiada cermin sisi (146) dan ubah suai ekzos (4),” ujarnya.
Sementara itu katanya, sebanyak (111) buah motosikal disita oleh JPJ dibawah seksyen 64 APJ 1987 (Kuasa menyita kenderaan motor) dan sebanyak (311) saman/notis telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.
“Secara keseluruhannya sebanyak (292) saman telah dikeluarkan oleh Polis Trafik dan (311) saman/notis telah di keluarkan oleh pihak JPJ Terengganu,” jelasnya.
Tambah beliau, perjalanan operasi tersebut telah dimaklumkan kepada Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
“PDRM dan JPJ Terengganu melaksanakan operasi ini secara professional dan proses dokumentasi berjalan dengan lancar.
“Mana-mana motosikal yang tidak melakukan kesalahan serius telah dilepaskan manakala motosikal yang tidak memenuhi justifikasi dan spesifikasi akan melalui proses pemeriksaan lengkap oleh pihak JPJ dibawah Seksyen 64 APJ 1987,” jelasnya.
10 Sep 23
2193
Sembilan Pelajar Cemerlang Dihantar ke Tunisia
KUALA TERENGGANU, 10 September- Seramai sembilan pelajar berjaya dihantar ke Universiti Ez- Zitouna, Tunisia bagi menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi melalui tajaan Yayasan Terengganu.
Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham berkata, lima pelajar lelaki dan empat pelajar perempuan terbabit mendapat tajaan sebanyak RM18,000 setahun untuk setiap orang bagi tempoh pengajian selama empat tahun peringkat ijazah pertama di universiti tertua dunia itu dalam bidang pengajian Islam.
“Mereka telah terpilih sebagai penerima sulung Skim Pinjaman Boleh Ubah Yayasan Terengganu yang ditawarkan untuk melanjutkan pengajian ke Tunisia bagi tahun 2023.
“Kesemua pelajar telah berangkat ke Tunisia pada 9 September (semalam) dengan diiringi Penolong Kanan Pengarah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu, Dr Hazwan Abdul Rahman,” ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini.
Beliau berkata, dengan adanya Skim Pinjaman Boleh Ubah itu diharap membantu pelajar golongan B40, M40 dan juga masyarakat luar bandar terutamanya anak Negeri Terengganu melanjutkan pelajaran ke peringkat tertinggi.
“Dengan tahap pendidikan yang baik sudah tentu dapat menghasilkan pelajar yang berjaya seterusnya dapat menyumbang jasa dan bakti kepada negeri dan negara apabila mereka menamatkan pengajian nanti,” katanya.
Difahamkan, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta rombongan telah mengadakan lawatan rasmi ke universiti tersebut pada Mac tahun lalu.
Susulan lawatan itu, satu perjanjian persefahaman (MoU) telah dijalin antara kerajaan negeri dan Universiti Ez Zitouna bagi membolehkan pelajar cemerlang Terengganu dapat melanjutkan pengajian di universiti ternama itu.
10 Sep 23
639