lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Insentif Tambahan Pesawah MyGAP Mungkin Dinaikkan
Insentif Tambahan Pesawah MyGAP Mungkin Dinaikkan
KUALA NERUS, 14 September - Kerajaan negeri bercadang menaikkan insentif bagi setiap tan metrik padi kasar daripada pesawah yang memiliki persijilan MyGAP sebagai galakan pesawah menghantar padi ke kilang konsortium untuk diproses. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kerajaan negeri tidak boleh memaksa pesawah untuk menjual padi kepada kilang konsortium melainkan dengan menaikkan insentif.  “Kalau kita tidak bagi insentif, kita tidak boleh paksa mereka untuk hantar ke kilang konsortium. Maknanya, mereka akan hantar ke mana-mana kilang yang ada, padi MyGAP akan bercampur dengan padi biasa dan tidak menjadi beras MyGAP,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Input Penternakan Ruminan peringkat Parlimen Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, di Dewan Masyarakat Tok Jiring, semalam. Katanya, insentif pembelian padi kasar yang akan dinaikkan itu adalah sebagai tambahan kepada insentif yang diumumkan kerajaan Persekutuan. Menurut beliau, Terengganu mempunyai keluasan penanaman padi seluas kira-kira 12,000 hektar manakala keluasan padi MyGap adalah seluas kira-kira 900 hektar. Terdahulu, dalam satu kenyataan Dr Azman memaklumkan, sejak tiga tahun lalu kerajaan negeri mengeluarkan peruntukan RM200,000 semusim untuk membayar insentif tambahan bernilai RM105/tan padi kasar bagi pesawah MyGAP yang bersedia hantar padi mereka ke Konsortium Kilang Padi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang terletak di Baruh masin, Jabi. Katanya, langkah itu sebagai galakan pesawah menghantar padi ke kilang LPP untuk diproses dan dalam masa yang sama padi MyGAP dapat diuruskan secara berpusat sehingga tidak bercampur dengan padi bukan MyGAP. “Kerajaan Negeri bersama TADC telah berbincang dengan Kilang LPP supaya mereka sediakan saluran proses khas untuk padi MyGAP. Perbincangan dengan beberapa terma dipersetujui dan dimuktamadkan. Alhamdulillah, sekitar 80 peratus dari pesawah yang ada sijil MyGAP telah bersetuju,” ujarnya dalam kenyataan tersebut. Dengan erti kata lain jelas beliau, kerajaan negeri telah bantu bayar subsidi tambahan kepada padi MyGAP sehingga beras MyGAP yang berkualiti tinggi dan selamat dimakan akhirnya dijual dengan harga seperti beras biasa walaupun kualitinya berbeza. “Beras MyGAP adalah beras berkualiti tinggi yang disahkan selamat secara saintifik terutama dari segi kualiti dan kandungan racun. Nak dapat persijilan MyGAP ada lebih 100 audit ‘checklist’ yang perlu dilepasi. "Hanya mereka yang komited, berdisiplin dan bersungguh akan berjaya. Terengganu adalah negeri yang mempunyai pesawah MyGAP paling ramai di Malaysia,” ujarnya.  
14 Sep 23
133
‘Hubungan Menteri Dan Exco Macam Ayah Dan Anak’- Dr Azman
‘Hubungan Menteri Dan Exco Macam Ayah Dan Anak’- Dr Azman
KUALA NERUS, 14 September- Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim memberitahu, hubungannya dengan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Dato’ Seri Mohamad Sabu seperti hubungan seorang bapa dan anak. Katanya, beliau akan memaklumkan terus kepada Mohamad jika ada pengarah dan ketua jabatan melarang pembabitan EXCO pada program dianjurkan kementerian itu. Sebelum ini katanya, terdapat arahan tidak bertulis melarang pembabitan EXCO pada program anjuran kementerian berkenaan. “Memang ada arahan tidak bertulis. Apa yang sebenarnya saya buat itu adalah letak umpan, saya sebenarnya hendak membebaskan pengarah dan ketua jabatan di Terengganu daripada arahan-arahan yang tidak sah yang melarang penglibatan Exco negeri dalam program-program mereka. “Tapi arahan ini kalau diminta bukti tidak ada, sebenarnya arahan itu ada, jadi sebenarnya saya hendak pancing menteri supaya mengeluarkan satu kenyataan hitam putih bahawa tidak ada larangan. “Jadi, alhamdulliah umpan pancing kita mengena dan kelmarin menteri sudah keluarkan kenyataan, dan saya pun sudah maklumkan kepada pengarah dan ketua jabatan tidak ada sebarang kerisauan lagi, lepas ini buat macam biasa, siapa sekat lapor terus kepada menteri,” ujarnya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Input Penternakan Ruminan peringkat Parlimen Kuala Nerus dan Kuala Terengganu, di Dewan Masyarakat Tok Jiring, semalam. Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mohamad yang menafikan mengeluarkan larangan pembabitan EXCO pertanian diterajui pembangkang dalam sebarang program anjuran kementerian itu. Jelas beliau, tidak ada sebarang isu yang timbul diantara kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan sehingga ramai yang tertanya-tanya apa sebenarnya motif daripada kenyataan media kementerian itu. “Saya sudah jelaskan isu ini dan dalam masa terdekat kita akan pergi ke kementerian berjumpa dengan pihak yang masih rasa terbuku dengan isu ini supaya masing-masing berlapang dada dan kita sama-sama dapat bekerja demi untuk memajukan sektor ‘food sekurity’,” ujarnya.  
14 Sep 23
131
'Orang Yang Ada Iman, Sanggup Dihukum di Dunia' - Abdul Hadi
'Orang Yang Ada Iman, Sanggup Dihukum di Dunia' - Abdul Hadi
KUALA LUMPUR, 13 September - "Orang yang ada Iman, dia sanggup terima hukuman di dunia, jangan di akhirat,” ujar Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Abdul Hadi mengulas mengenai itu setelah menjawab celahan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim yang bertanyakan berkait isu hukum melepas tanpa membebaskan. Ahli Parlimen Marang itu berkata dalam akidah Islam mempunyai dua mahkamah iaitu dunia dan akhirat. “Walaupun dia lepas di mahkamah dunia, namun tidak lepas mahkamah akhirat,” katanya semasa membahaskan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat hari ini. Tambah Abdul Hadi, sudah banyak kali beliau dipanggil memberi keterangan sama ada di pejabat atau pun di Ibu pejabat Polis Bukit Aman selepas laporan polis dibuat ke atasnya.  “Bagaimanapun, saya beri layanan sebaik-baiknya kepada polis dan mereka juga beri layanan baik kepada saya. “Saya sedia menunggu untuk dibicarakan di mahkamah dan saya sedia dihukum. “Tidak tahu dihukum sama ada penjara atau denda, namun saya pilih penjara. “Daripada denda lebih baik duit itu disalur kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti),” ujarnya.
13 Sep 23
354
'Kerajaan Perlu Hapus Kartel, Bukan Naik Lembu'
'Kerajaan Perlu Hapus Kartel, Bukan Naik Lembu'
KUALA LUMPUR, 13 September – Presiden Parti Islam Se-malaysia (PAS), Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menggesa supaya kerajaan mengambil tindakan terhadap kartel-kartel supaya beban rakyat dapat diringankan. Ahli Parlimen Marang itu berkata, kerajaan boleh bertindak melalui undang-undang supaya berlaku langkah yang baik. Kata beliau, contohnya apabila hendak menurunkan harga daging. “Saya dengar masalahnya adalah kerana para penternak menghadapi kartel-kartel yang menjual makanan haiwan terlampau mahal. “Apabila dijual terlampau mahal, maka para penjual terpaksa menjual daging, ayam dengan harga yang tinggi,” jelasnya. Beliau berkata demikian semasa membahaskan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada hari ini. Tambah Abdul Hadi, kerajaan mestilah berani bertindak terhadap kartel-kartel ini bukan sekadar tindakan terhadap penjual dan pembeli sahaja bahkan semua pihak. “Jadi, nak turun harga lembu, caranya hendaklah bertindak terhadap kartel-kartel,” ujarnya. Terdahulu Penganalisis Ekonomi, Prof. Madya Mohd Yusof Saari melihat bahawa jawapan kepada masalah kos sara hidup tinggi adalah dengan menghapuskan kartel dalam rantaian bekalan barangan. Maka tegasnya, usaha kerajaan terdahulu untuk membanterasnya harus diteruskan malah diperhebatkan supaya beban rakyat dapat diringankan tatkala mendepani tempoh resesi.      
13 Sep 23
488
Terengganu Rakam Takziah Buat Mangsa Ribut di Libya
Terengganu Rakam Takziah Buat Mangsa Ribut di Libya
KUALA TERENGGANU, 13 September – Kerajaan Negeri merakamkan ucapan takziah buat Libya dan rakyatnya berikutan kejadian banjir besar yang melanda timur Libya akibat hujan lebat setelah dilanda 'Ribut Daniel'. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata sehingga kini dilaporkan banjir itu telah mengorbankan sekitar 5,000 orang dengan ribuan lagi dilaporkan hilang. Katanya, bandar Derna, sebuah bandar pelabuhan di timur Libya hampir musnah akibat banjir besar tersebut. "Berikutan dua buah empangan pecah setelah hujan lebat dengan angka korban di Derna sahaja telah mencecah lebih 3,000 orang. “Ia adalah kejadian yang amat menyayat hati buat Libya dan rakyatnya yang mana pada ketika ini kerja-kerja mencari dan menyelamat sedang dijalankan oleh pasukan keselamatan dan penyelamat. "Dalam usaha untuk mencari mangsa yang masih hilang dan terperangkap akibat banjir besar tersebut," katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya pada hari ini. Tambah Dr Khalil yang juga merupakan Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat berharap tragedi tersebut tidak melemahkan atau membantutkan usaha Libya dan rakyatnya. Tambahnya, dalam mencari titik persamaan untuk mewujudkan keamanan yang berkekalan dan penyatuan ummah yang membawa manfaat buat Libya. "Semoga Libya dan rakyatnya terus bersabar dan tabah dalam mengharungi tragedi yang amat menyayat hati ini. "Seterusnya, mampu bangkit kembali menjadi lebih teguh dan kuat dalam mendepani cabaran yang mendatang," ujarnya.
13 Sep 23
290
Pertahan Semangat Federalisme, Terengganu Taja LTdL
Pertahan Semangat Federalisme, Terengganu Taja LTdL
KUALA TERENGGANU, 13 September - Kerajaan Negeri Terengganu secara rasmi diumumkan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) sebagai penaja utama Le Tour de Langkawi 2023 (LTdL) yang akan berlangsung pada 23 hingga 30 Spetember ini. Dalam kejohanan bertaraf antarabangsa itu, kerajaan negeri melalui Tourism Terengganu memberi tajaan sebanyak RM800,000 meliputi tajaan wang tunai dan bantuan logistik. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim ketika ditanya tentang kesudian menaja kejohanan tersebut meskipun berlainan fahaman politik dengan kerajaan pusat, menyifatkan amalan politik matang dan sejahtera dalam pentadbiran PAS sebagai kerajaan negeri mengangkat semangat federalisme dalam hubungan antara kedua-dua pihak.  "Kerajaan negeri bersikap terbuka dalam hubungan antara kerajaan Pusat dan Negeri. Kita mempertahan semangat federalisme. Hubungan baik antara kedua peringkat ini akan terus dipelihara. "Apatah lagi dalam agenda sukan kerana sukan untuk semua. Melahirkan atlet datangnya dari lubuk negeri dan dibangunkan pula secara lebih komprehensif di peringkat nasional. Jika atlet kami diangkat, mereka tetap digelar Atlet Malaysia. Ini semangat kesukanan yang telah lama dibina. Tiada agenda politik. Foto: Le Tour de Langkawi. "Tempohari juga, kami menerima tajaan Kementerian Belia & Sukan untuk penganjuran Tour Gateh De Tranung(TGDT23). Ia tanggungjawab bersama," katanya. Tambahnya, kerajaan Terengganu sebenarnya telah bersetuju untuk menaja LTdL 2023 sejak 31 Mei, iaitu semasa rombongan penganjur ke Wisma Darul Iman bagi membentangkan pakej penajaan. Keputusan tersebut diambil berdasarkan pakej pulangan penjaan yang cukup lengkap, khasnya peluang untuk mempromosikan negeri Terengganu ke seluruh dunia. Sehubungan itu, kerajaan negeri dengan penjenamaan Beautiful Terengganu telah diberi penghormatan menaja kategori Pelumba Terbaik Asia (Jersi Putih) dan wakil kerajaan Terengganu akan menyarungkan jersi putih pada setiap peringkat perlumbaan. Selaras hasrat Terengganu untuk menjadi Land of Cyclist, Terengganu turut diberi penghormatan menjadi lokasi Peringkat 1 LTdL 2023 yang melibatkan laluan sepanjang 184.4 kilometer (km) dari Kerteh ke Kuala Terengganu. Peringkat 2 sejauh 186.2km juga akan bermula dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu, Kelantan.  
13 Sep 23
675
TSG Mahu Pertahan Jersi Putih di Le Tour de Langkawi 2023
TSG Mahu Pertahan Jersi Putih di Le Tour de Langkawi 2023
KUALA TERENGGANU, 13 September- Pasukan berbasikal bertaraf benua, Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) meletakkan sasaran untuk mempertahankan salah satu jersi yang dimenangi tahun lalu, apabila bersaing dalam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023. Ketua Pegawai Operasi TSG, Nasiruddin Wan Idrus berkata, salah satu jersi yang dimenangi pada tahun yang lalu iaitu jersi Raja Bukit (jersi hijau) yang dimenangi Mohamad Nur Aiman Mohd Zarif atau Pelumba Terbaik Asia (jersi putih) milik Jambaljambts Sainbayar bakal menjadi keutamaan pasukannya.  "Jadi, enam pelumba bakal menggalas tugas tersebut dalam saingan yang bakal membuka tirai perlumbaan pada 23 September ini. "Kita akan menurunkan tiga pelumba tempatan iaitu Mohd Harrif Saleh, Nur Amirul Fakhruddin Mazuki dan Nur Aiman manakala pelumba import terdiri daripada Jeroen Meijers, Sainbayar dan Youcef Reguigui. "Pelumba-pelumba ini akan diketuai Amirul Fakhruddin selaku ketua pasukan," katanya. Tambahnya, TSG juga menyasarkan satu podium peringkat selain berusaha memperbaiki prestasi pasukan dalam edisi-edisi sebelum ini. Lebih menarik, jersi putih LTdL 2023 ditaja oleh kerajaan negeri melalui Beautiful Terengganu yang akan menaikkan semangat pasukan untuk mempertahankannya.
13 Sep 23
269
Amzad Tuntut Penjelasan Anwar Berhubung ECER
Amzad Tuntut Penjelasan Anwar Berhubung ECER
KUALA LUMPUR, 13 September - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim menuntut penjelasan daripada Perdana Menteri berhubung hala tuju semasa Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER). Ahmad Amzad berkata, beliau dimaklumkan sehingga kini Datuk Seri Anwar Ibrahim masih gagal mempengerusikan mesyuarat ECER bagi meluluskan sesuatu pembangunan. Katanya, pembangunan akan terbantut sekiranya benar ECER tidak diberi perhatian. “Tadi ada Ahli Parlimen beritahu, Perdana Menteri sibuk, saya nak tanya sibuk dengan apa, sibuk dengan politik?, tapi masih ada masa ke sana ke sini. ECER penting, ini soal untuk membangunkan wilayah. “Kalau Perdana Menteri tidak mengadakan mesyuarat, macam mana pembangunan nak dibincang dan diluluskan. Ini satu tindakan yang mendiskriminasikan hak pembangunan untuk wilayah timur. "Tindakan ini jelas menunjukkan kerajaan memang menafikan hak pembangunan negeri-negeri yang tidak dimenangi PH-BN,” katanya ketika membahaskan laporan Kajian Separuh Penggal (KSP) RMK-12 yang dibentangkan Anwar pada Isnin. Menurutnya lagi, beliau tiada masalah jika projek pembangunan selalu diumum di negeri dimenangi PH-BN asalkan negeri pembangkang turut diberi perhatian sama. “Pada Isnin Perdana Menteri mengumumkan pembangunan pelabuhan baru di sebuah negeri, saya tidak membantah, tetapi bagaimana pembangunan yang memberi impak besar di sebelah pantai timur. “Mengapa tidak dikembangkan pelabuhan semula jadi yang ada di Kemaman,” tegasnya. Beliau turut membangkitkan soal royalti  bagi Terengganu yang disifatkannya seolah-olah ada permainan di sebalik perjanjian asal. “Rakyat dan masyarakat antarabangsa melihat bagaimana perjanjian ini dimain-mainkan,” jelasnya.
13 Sep 23
304
Rakyat Dipelawa Beri Idea Jayakan Draf Rancangan Tempatan MDM
Rakyat Dipelawa Beri Idea Jayakan Draf Rancangan Tempatan MDM
KUALA TERENGGANU, 13 September- Orang awam diminta memberi cadangan dan idea bagi menjayakan Draf Rancangan Tempatan Majlis Daerah Marang (MDM), Terengganu 2035 (Penggantian). Timbalan Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perancangan Bandar Dan Desa Negeri, Tuan Zuraihan Tuan Lah berkata, pandangan boleh dikemukakan mulai 17 September hingga 16 oktober ini di dua lokasi tetap iaitu Majlis Daerah Marang dan Pejabat Daerah dan Tanah Marang. “Selain itu, kami juga menyediakan pameran di tujuh lokasi bergerak bagi memastikan publisiti dibuat secara menyeluruh dan memberi peluang sama rata kepada semua pihak untuk membuat pemeriksaan. “Lokasi bergerak adalah di KTCC Mall (24 September - 8 Oktober ); Pasar Raya PXR, Wakaf Tapai (25 September 2023); Masjid Rusila  (28 September 2023); Taman Rekreasi Pulau Kekabu (30 September 2023); Pasar Bukit Payung (7 Oktober 2023); Pasar Bandar Marang (10 Oktober 2023); dan Masjid Bukit Payung (13 Oktober 2023),” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika bersiaran di TV Darul Iman, Bicara Jabatan Kerajaan : Program Publisiti Dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Majlis Daerah Marang, Terengganu 2035 (Penggantian) di sini, semalam. Menurut beliau, tujuan Program Publisiti Dan Penyertaan Awam adalah untuk memberi peluang kepada semua pihak, sama ada tuan tanah, pengusaha, pemaju, perunding dan sesiapa sahaja terutamanya penduduk yang tinggal di daerah Marang untuk menyemak, meneliti dan memahami kandungan Draf Rancangan Tempatan Daerah.  “Seterusnya memberi maklum balas, pandangan atau bantahan jika tidak bersetuju terhadap sesuatu cadangan atau memberi cadangan-cadangan lain kepada pihak berkuasa negeri.  “Program ini juga sebagai platform utama kepada pihak berkuasa tempatan untuk mendengar aspirasi dan keperluan rakyat dalam merancang pembangunan di daerah Marang pada masa akan datang,” ujarnya. Mengulas lanjut katanya, di peringkat Laporan Draf Rancangan Tempatan Daerah, semua pihak termasuk orang awam boleh membuat semakan terhadap data-data guna tanah semasa, data pertanian, perhutanan, kawasan padi, perindustrian, komersial, tempat-tempat pelancongan dan pelbagai jenis data. “Kemungkinan terdapat data-data atau maklumat penting yang tertinggal dan tidak dimasukkan dalam laporan, jadi mereka boleh memberi input tersebut. “Mereka juga boleh menyemak isu-isu dan potensi strategik daerah termasuk matlamat pembangunan daerah, cadangan konsep pembangunan daerah, sasaran pencapaian Marang sehingga tahun 2035 serta strategi pembangunan Daerah Marang,” jelasnya.  
13 Sep 23
227
Kolej Matrikulasi Perlu Diwujudkan di Terengganu
Kolej Matrikulasi Perlu Diwujudkan di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 13 September - Kerajaan Pusat digesa agar mewujudkan Kolej Matrikulasi di Terengganu dalam masa terdekat. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, beliau dimaklumkan bahawa perancangan untuk mewujudkan institusi berkenaan dalam Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK) pada tahun 2009. "Sejak RMK-9 dahulu kerajaan mengumumkan untuk membina tiga buah Kolej Matrikulasi baharu yang akan dibina di Terengganu, Kelantan dan Sabah. "Di Kelantan telah pun siap dan telah pun dibuka, tetapi di Terengganu sampai sekarang masih tidak ada lagi. "Saya berharap kalau boleh dalam masa terdekat ini ada (dibina) satu dahulu pun tidak apa," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Dewan Rakyat, di Putrajaya, semalam. Tambah Ahmad Amzad, pendidikan di Terengganu sehingga hari ini sentiasa cemerlang dengan mencatat keputusan terbaik dalam Peperiksaan Awam seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan sebagainya. Untuk rekod pada tahun 2016, telah dijanjikan untuk dibuka di Ajil dan pada tahun 2017 dijanjikan pula untuk dibuka di Serating, Marang.
13 Sep 23
1479