Artikel "Utama" Terkini
Pengalaman Tun M Bantu 4 Negeri PN Tingkat Pelaburan
KUALA TERENGGANU, 15 September – Pengalaman yang luas dimiliki Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dapat membantu empat negeri naungan Perikatan Nasional (PN) dalam sektor pelaburan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata melalui kerjasama ‘State-Government 4’ atau SG4 dapat kukuhkan lagi potensi yang ada di keempat negeri tersebut.
Katanya, empat negeri ini diketuai oleh Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis.
“Saya rasa tidak ada rakyat Malaysia yang menafikan peranan Tun Mahathir dalam membangunkan Negara Malaysia.
“Tun Mahathir juga mempunyai hubungan yang baik dengan pelabur-pelabur luar negara seperti Jepun, Korea dan sebagainya,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang selepas majlis Perasmian Simposium Pelaksanaan Syariah dalam Itqan Al-Muluk Biya’dil Assuluk bertempat di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu di sini semalam.
Tambah Ahmad Samsuri, Mantan Pedana Menteri itu sentiasa memberi pesanan terhadap urus tadbir yang cekap.
Tambahnya, usaha itu diperlukan oleh kerajaan negeri supaya segala kelulusan projek dapat dilaksanakan secara efisien.
“Sekiranya tidak efisien boleh menyebabkan para pelabur hilang kepercayaan dan lari dari negeri tertentu.
“Pada peringkat ini, kita meminta nasihat secara tidak rasmi dahulu daripada Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dahulu," ujarnya.
Seterusnya, kita akan lihat keperluan yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan negeri setelah beberapa penelitian dan kajian telah dijalankan.
15 Sep 23
481
Percepat Proses Bina Hospital Pakar Marang
KUALA LUMPUR, 14 September- Kerajaan Persekutuan digesa mempercepat proses membina Hospital Pakar di daerah Marang dan pembesaran Pusat Kesihatan Bukit Tunggal.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr Alias Razak berkata, gesaan tersebut dibangkitkan berikutan kapasiti Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang berfungsi sebagai nadi utama fasiliti kesihatan awam Terengganu terlalu sesak.
"Tiada lagi ruang tanah HSNZ untuk diperbesarkan atas faktor geografi kerana dikelilingi oleh bangunan dan laut.
"Begitu juga, Pusat Kesihatan Bukit Tunggal berdepan situasi serupa justeru, saya berharap kerajaan menambah peruntukkan bagi membesarkan pusat kesihatan tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian semasa membahaskan kajian separuh penggal (KSP) rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, semalam.
Selain itu, beliau turut membangkitkan isu royalti sejauh manakah tangungjawab Kerajaan Madani untuk melaksanakan reformasi yang dicanang selama ini.
"Saya memohon barisan kepimpinan Kerajaan Madani pada hari ini bersikap lebih matang dalam berpolitik agar semua pihak tidak dizalimi," katanya.
15 Sep 23
1287
Kerajaan Terengganu Pertahan Itqanul Muluk Sebagai Asas Pemerkasaan Syariah
KUALA TERENGGANU, 15 September - Kerajaan Terengganu mempertahankan Perlembagaan Itqanul Muluk Bi Ta' adilis Suluk sebagai asas pemerkasaan syariah di negeri itu.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam satu kenyataan media di sini hari ini berkata, Perlembagaan Itqanul Muluk Bi ta’dilis Suluk memberi maksud ketelitian raja-raja dengan mengikut tingkah laku yang betul.
"Ruh atau semangat daripada perlembagaan ini ialah meletakkan garis panduan ke atas mana-mana raja yang mahu memerintah negeri Terengganu bahawa mereka mestilah mengikut hukum-hakam Islam dan tidak boleh sama sekali memberikan wala’ dan kepatuhan kepada penjajah-penjajah," jelasnya.
Dr Muhammad Khalil membuat kenyataan tersebut sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al Marhum Sultan Mahmud Al Muktafi Billah Shah serta perasmian Simposium Pelaksanaan Syariah dalam Itqanul Muluk Bi Ta'adil Suluk oleh Yang Dipertuan Muda Tengku Muhammad Ismail Ibni Al Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin di Taman Tamadun Islam Pulau Wan Man di sini semalam.
Beliau turut menjujung kasih sambil berdoa semoga Allah Melimpahkan Rahmat dan Kurniaan-Nya Ke Bawah Duli Pemerintahan Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin.
Seterusnya Dr Muhammad Khalil berkata penguatkuasaan perlembagaan itu bertujuan untuk menyelamatkan negeri Terengganu dari dijajah oleh penjajah asing kerana pada zaman tersebut boleh dikatakan hampir semua negara umat Islam dijajah oleh penjajah asing.
"Maka tindakan almarhum Sultan Zainal Abidin III adalah satu tindakan politik yang sangat bijaksana demi menjaga dan memelihara bumi Terengganu," tambahnya.
Di zaman sultan tersebut katanya, dilaksanakan hukum jenayah Islam, hudud dan qisas walaupun fakta ini tidak didapati secara bertulis kerana pelaksanaan hukum-hakam itu dirujuk terus daripada kitab-kitab fiqh jawi yang sudah ada pada ketika itu seperti kitab Matla’ulbadrain karangan Syeikh Daud al-Fatani dan lain-lain lagi.
"Almarhum Sultan Zainal Abidin III bukan sahaja terkenal dengan kebijaksanaannya dalam pemerintahan bahkan juga baginda adalah seorang ulama yang mengetahui selok belok hukum hakam syarak dan pernah berguru dengan ulama-ulama daripada Fatani," ujarnya lagi.
Dr Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata terdapat bukti-bukti yang diakui oleh sejarah seperti kewujudan penjara yang dibuat daripada buluh di Kampung Atas Tol dan di tempat-tempat lain.
"Tan Sri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, Ahli Parlimen Marang pernah menceritakannya dalam ucapan beliau ketika merasmikan Perayaan 100 tahun Itqanul Muluk Bi ta’adilis Suluk yang diadakan di Kuala Berang pada 7 Januari 2012 tentang satu kisah yang diceritakan turun menurun daripada orang-orang tua berkait dengan seorang lelaki di zaman itu yang digelar sebagai Pak Mat Kawah telah dijatuhkan hukuman hudud potong tangan kerana mencuri," jelasnya
Bagaimanapun tambahnya lagi pada tahun 1919, penjajah British membatalkan perlembagaan Itqanul Muluk.
Katanya rentetan daripada itu ia telah membangkitkan penentangan rakyat Terengganu yang dipimpin oleh Tuan Guru Haji Abdul Rahman Limbong bagi mengembalikan semula Terengganu kepada landasannya yang asal.
Menurut Dr Muhammad Khalil antara langkah awal ialah tindakan Haji Abdul Rahman menubuhkan Parti Syarikat Islam di beberapa daerah seperti Kemaman, Kuala Terengganu dan Besut.
Tindakan tersebut katanya menimbulkan ketegangan dengan penjajah British sehingga tercetusnya peristiwa berdarah di Padang Kachung pada tahun 1928 yang mengorbankan 12 orang syuhada dan berakhir dengan Haji Abdul Rahman Limbong dibuang negeri ke Mekah oleh penjajah British.
15 Sep 23
477
Terengganu Gesa Kerajaan Persekutuan Fokus Projek Tergendala
KUALA TERENGGANU, 15 September - Kerajaan Terengganu mahu isu projek-projek tergendala yang dibahaskan dalam Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) diselesaikan segera oleh Kerajaan Persekutuan.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, di peringkat negeri Terengganu, terdapat banyak projek dalam RMK12.
“Katanya, pelbagai kategori antaranya ada projek yang lambat, terbengkalai, ada yang jauh lagi waktu untuk disiapkan dan sebagainya.
“Jangan kita fokus hanya perkara baharu sehingga perkara lama ditinggalkan begitu sahaja,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang selapas majlis Perasmian Simposium Pelaksanaan Syariah dalam Itqan Al-Muluk Biya’dil Assuluk bertempat di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu di sini semalam.
Tambah Ahmad Samsuri, RMK12 yang sedia ada di negeri Terengganu ini haruslah ditangani dengan serius.
Tambahnya, supaya ia dapat disiapkan mengikut jadual.
"Walaubagaimanapun, apa yang dibentangkan itu adalah kajian separuh penggal yang bermakna RMK12 sedang berjalan.
"Maka, di pertengahan tempoh rancangan itu dibuat kajian pelaksanaan projek-projek yang sedia ada.
"Sekiranya ada beberapa penambahbaikan perubahan, maka akan disebutkan dalam perbentangan tersebut," ujarnya.
15 Sep 23
150
Penguatkuasaan Undang-Undang Kurangkan Impak Perubahan Iklim
KUALA TERENGGANU, 14 September - Kerajaan negeri akan memastikan penguatkuasaan undang -undang berkaitan alam sekitar diberikan keutamaan bagi mengurangkan impak perubahan iklim terhadap ekonomi di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata sebagai Exco yang bertanggungjawab untuk menjaga kesejahteraan negeri, beliau akan melaksanakan beberapa langkah untuk mengurangkan impak perubahan iklim walaupun berhadapan dengan cabaran besar.
Menurut beliau, akibat bencana alam yang melanda Terengganu pada awal Disember 2022 hingga 9 Januari 2023 lalu, lebih RM38.2 juta kerugian yang terpaksa ditanggung oleh orang awam yang terkesan akibat banjir.
"Kita akan memperkasakan sumber tenaga yang boleh diperbaharui seperti solar dan tenaga hidroelektrik.
"Seterusnya memperkukuhkan pembangunan lestari di setiap peringkat dan menganjurkan kempen kesedaran terutama menerusi media sosial baharu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, pihaknya juga
akan mewartakan lebih banyak hutan simpan, pemuliharaan alam flora dan fauna serta mengamalkan budaya kebersihan dan budaya kitar semula.
Jelasnya, jika berlaku peningkatan bencana alam sudah tentu menghalang pertumbuhan ekonomi termasuk aktiviti hiliran yang memberi impak besar kepada infrastruktur, pekerjaan, pelancongan, perniagaan, kewangan dan kerajaan.
"Semoga kesedaran tinggi terus tersemat dalam diri kita semua bagi memastikan langkah yang bakal diambil berjaya mengurangkan impak perubahan iklim di Terengganu," ujarnya.
15 Sep 23
124
SG4 Kukuhkan Lagi Potensi 4 Negeri PN
KUALA TERENGGANU, 14 September – Penubuhan ‘State-Government 4’ atau SG4 akan mengukuhkan lagi potensi di keempat-empat negeri di bawah naungan Perikatan Nasional (PN).
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kerjasama empat negeri ini iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis akan dilaksanakan secara berfasa.
“Saya telah memberi arahan kepada Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada hari Rabu lepas.
“Supaya semua exco dapat menghubungi rakan-rakan sekerja portfolio masing-masing di tiga buah negeri lagi untuk mengadakan perbincangan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang selepas majlis Perasmian Simposium Pelaksanaan Syariah dalam Itqan Al-Muluk Biya’dil Assuluk bertempat di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu di sini hari ini.
Tambah Ahmad Samsuri, melalui perbincangan itu, kita dapat merangka pelbagai usaha untuk pergi lebih jauh lagi dalam kerjasama tersebut.
“Persetujuan di peringkat semua Menteri Besar dan ketua-ketua kerajaan sudah berlaku.
“Waktu sekarang setiap portfolio hendaklah merangka apa yang boleh dibuat kerjasama dalam portfolio masing-masing,” ujarnya.
Beliau berkata, antara fokus yang diberi perhatian dalam pembentukan SG4 adalah pertanian, industri, pelancongan dan juga lain-lain kerjasama dalam memajukan anak syarikat negeri (GLC) masing-masing.
"Untuk peringkat awal, kerajaan negeri Terengganu dan Perlis telah menjalinkan kerjasama untuk mewujudkan sebuah hospital KMI di Perlis sebelum penubuhan SG4 lagi," katanya.
Terdahulu, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Simposium Pelaksanaan Syariah dalam Itqan al-Muluk Bita’dil Assuluk.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri, To’ Puan Seri Faezah Tuan Abd Rahman serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
14 Sep 23
286
Kerajaan Digesa Naik Taraf Fasiliti Sukan di Setiu
KUALA LUMPUR, 14 September– Kerajaan Persekutuan digesa supaya menaik taraf kemudahan dan fasiliti sukan di Setiu agar pembangunan sukan tidak terbantut.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, Setiu telah melahirkan ramai atlet yang mewakili negara terutamanya dalam sukan bola sepak seperti Hairuddin Omar, Rahadi Azli Rahalim dan Zubir Azmi.
“Malangnya projek naiktaraf Mini Stadium Sungai Tarom telah dicadangkan dalam Rolling Plan (RP) 2 Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) tetapi sehingga kini masih belum diluluskan.
“Dan juga baikpulih fasiliti sukan termasuklah baikpulih Gelanggang Futsal Tertutup Kampung Beris Tok Ku, Kampung Apal, Jabi dan Kampung Gong Sekolah, Batu Rakit," katanya ketika berbahas di Dewan Rakyat hari ini.
Selain itu, beliau juga menyatakan keperluan untuk dibaikpulih fasiliti sukan di Sekolah Sukan Bukit Nenas.
"Yang mana sekolah ini telah melahirkan ramai atlet yang mengharumkan nama negara," jelasnya.
Seterusnya, Shaharizukirnain turut membangkitkan isu perparitan tidak diselenggara dan dibaikpulih di kawasan-kawasan felda.
“Air bertakung yang melimpah masuk ke dalam rumah penduduk, contoh yang berlaku di kawasan saya di Felda Chalok Rahmat, Setiu,” ujar beliau.
14 Sep 23
160
Raja Muda Perkenan Rasmi Simposium Pelaksanaan Syariah Terengganu
KUALA TERENGGANU, 14 September - Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Simposium Pelaksanaan Syariah dalam Itqan al-Muluk Bita’dil Assuluk.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama isteri, To’ Puan Seri Faezah Tuan Abd Rahman serta Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Ahmad Samsuri berkata, sebagai seorang rakyat Terengganu, kita hendaklah mengingati jasa besar Duli Yang Maha Mulia Tuanku-Tuanku yang pernah memerintah Negeri Terengganu Darul Iman ini.
“Oleh kerana, usaha Tuanku-Tuanku tersebut menjadikan negeri aman dan damai di bawah satu undang-undang yang dinamakan Itqan Al-Muluk Bi Ta’adil Assuluk atau nama lain undang-undang bagi diri Kerajaan Terengganu," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika majlis Perasmian Simposium Pelaksanaan Syariah dalam Itqan Al-Muluk Biya’dil As-Suluk dan pameran sempena 25 tahun Pemerintahan KDYMM Sultan Terengganu bertempat di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam, Pulau Wan Man, Kuala Terengganu di sini hari ini.
Tambah Ahmad Samsuri, Fasal yang ke-51 dalam Itqan Al-Muluk Bi Ta’adil Assuluk ada disebut bahawa sesungguhnya telah disifatkan dan disebutkan dan ditetapkan selama-lamanya Kerajaan Terengganu ini.
Tambahnya, sebagai kerajaan Islamiah, Melayuwiah yang dikatakan agama negeri dan kerajaan.
“Sebagai rakyat Negeri Terengganu, kita mestilah meneruskan amanat ini dengan semampu kudrat masing-masing," ujarnya.
Baginda turut berkenan melawat pameran-pameran yang disediakan oleh Semua Agensi Agama Negeri Terengganu Selepas majlis perasmian tersebut.
Program yang bermula pada jam 8 pagi itu berjalan lancar dengan kehadiran lebih 500 peserta dari pelbagai agensi kerajaan.
14 Sep 23
456
Bantuan Input Penternakan Beri Manfaat Kepada 610 Penternak
KUALA NERUS, 13 September- Kerajaan negeri memperuntukan sebanyak RM3 juta bagi tujuan agihan input yang dibahagikan kepada tiga sektor iaitu pertanian, penternakan dan perikanan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, bagi sektor pertanian lebih kurang RM1 juta diperuntukkan dan memberi manfaat kepada 610 orang penerima di seluruh negeri ini.
"Ini adalah siri kedua daripada program agihan input penternakan ruminan dimana kita telah selesaikan penyerahan bagi daerah Besut serta Setiu dan daerah-daerah lain akan menyusul selepas ini.
"Bagi pengagihan di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus hari ini, melibatkan 151 orang penerima dimana kita agihkan antaranya makanan ternakan, mesin chooper dan juga beberapa kelengkapan untuk buka padang ragut, " ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Input Penternakan Ruminan Tahun 2023 bertempat di Dewan Masyarakat Tok Jiring, di sini, hari ini.
Katanya, insentif berkenaan adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri bagi membantu penternak yang berhadapan dengan isu kenaikan harga dedak binatang ternakan.
"Bila kita tidak dapat atasi faktor-faktor dari luar daripada kawalan, kita masuk kepada 'angle' lain yang berada dalam kawalan kita diantaranya beralih kepada sumber makanan hijau.
"Sebab itu kita agihkan mesin chopper supaya penternak boleh manfaatkan rumput napier, batang jagung dan sebagainya, " jelas beliau.
Mengulas lanjut katanya, penternak juga digalakkan untuk membuka lebih banyak padang ragut.
"Dengan langkah ini, penternak akan ada kawasan untuk ambil rumput, bila sumber makanan hijau kita mencukupi dengan sendirinya kebergantungan kepada sumber dedak akan berkurangan dan mampu mengurangkan dari segi kos penternakan, " ujarnya.
Dr Azman memaklumkan, pelan besar kerajaan negeri adalah untuk meningkatkan dari segi pengeluaran daging.
“Sekarang ini dari segi self-sufficiency ratio (SSR) baru sekitar 34 peratus hasil ternakan Terengganu mencukupi untuk keperluan rakyat, 60 peratus lebih kita masih bawa daripada luar.
"Sebab itulah pada masa yang sama kita tambah bilangan ternakan, keluasan padang ragut dan kita cuba nilai tambahkan produk yang kita ada contohnya lembu sado yang sudah menjadi sebahagian daripada trend penternak muda di Terengganu.
Katanya, sektor penternakan akan terus menjadi fokus kerajaan negeri dalam usaha merealisasikan pelan besar untuk menjadikan Terengganu sebuah negeri pengeluar makanan.
14 Sep 23
293
Kemaman Bakal Jadi Pusat Industri Batu Kuarza di Asia Tenggara
KUALA TERENGGANU, 13 September - Kawasan Perindustrian Bandar Baharu Cheneh, Kemaman dijangka menjadi pusat kepada pengeluaran produk berasaskan industri batu kuarza di AsiaTenggara pada masa akan datang.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, jangkaan itu muncul hasil pemeteraian Perjanjian Persefahaman (MoU) anak syarikat kerajaan negeri, Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dengan Xinda Development Sdn. Bhd.
Katanya, MoU itu adalah bagi pajakan tanah untuk membangunkan zon perindustrian baharu di Kemaman dengan nilai keseluruhan pelaburan sebanyak RM2.5 bilion
"Xinda Development Sdn. Bhd akan memindahkan teknologi terkini pengeluaran batu kuarza ke Terengganu sekali gus menggalakkan lagi pengkayaan sumber mineral tersebut.
“Projek yang akan dibangunkan di Kawasan Perindustrian Bandar Baharu Cheneh (Tambahan), Mukim Bandi, Kemaman melibatkan pajakan tanah berkeluasan 70.485 ekar adalah bagi pembangunan kilang 'finished produk factory', 'semi finished factory' dan ruang pejabat.Produk hiliran batu kuarza disasarkan untuk dieksport bagi pasaran Amerika Syarikat dan Eropah.
“Bagi pembangunan fasa pertama yang berkeluasan 52.721 ekar adalah pembinaan kilang produk batu kuarza melibatkan pelaburan berjumlah RM600 juta, ia mampu mewujudkan sehingga 1,000 peluang pekerjaan untuk termpoh lima tahun pertama dengan keutamaan peluang pekerjaan akan diberikan kepada rakyat Negeri Terengganu,” ujarnya.
Beliau berkata demikian di Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan Tanah Di Kawasan Perindustrian Bandar Baharu Cheneh, Mukim Bandi, Kemaman, Terengganu Darul Iman bertempat di Dewan Besar Tingkat 3, Menara PMINT, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Memajukan Iktisad negeri (PMINT), Wan Adnan Wan Derahman, Naib Presiden New Zhong Yuan Group, Mr Wen Debio dan Penasihat Xinda Development Sdn Bh.
Katanya Mohd Nurkhuzaini, melalui MoU tersebut juga kerajaan negeri membenarkan pajakan tanah selama 60 tahun untuk Xinda Development membangunkan kawasan perindustrian baharu yang berasaskan produk kuarza.
Tambah beliau lagi, beberapa pelabur berpotensi di bawah subsidiari New Zhong Yuan Group juga dalam proses mengenalpasti tapak tanah industri bagi tujuan pelaburan di Terengganu dalam masa terdekat.
14 Sep 23
1422