lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Mohd Nor Dilantik Speaker DUN Terengganu
Mohd Nor Dilantik Speaker DUN Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 September - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Dato' Mohd Nor Hamzah dilantik sebagai Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi Penggal ke-15 di Majlis Angkat Sumpah ADUN di DUN  Terengganu di sini hari ini. Turut dilantik, Timbalan Yang Dipertua DUN, Khazan Che Mat (ADUN Seberang Takir) menurut peruntukan Fasal 27 Bab Yang Kedua Undang-undang bagi Diri Kerajaan Terengganu, Fasal 1 dan 2 Perintah-perintah Tetap DUN serta Fasal 27 2 (a) Undang-undang yang sama.  Perlantikan kedua-duanya dicadang oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan disokong ADUN Paka, Dato' Satiful Bahari Mamat. Untuk rekod, Mohd Nor dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri sejak tahun 2018  sehingga tahun 2023 setelah PAS mendapat sebanyak 22 kerusi DUN Terengganu dalam Pilihan raya Umum Ke 14 (PRU14). Sebagai ADUN Bukit Payung, beliau  menjalani tugasnya sejak tahun 2008 hingga kini setelah menang dalam beberapa Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri Ke-15 (PRN15).  Pada tahun 2004 hingga 2008, Mohd Nor telah berkhidmat sebagai Timbalan Pengarah di Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah (KUDQI). Beliau juga menjadi Mudir Markas Pengajian Islam Wanita di Yayasan Islam Terengganu dari tahun 2002 hingga 2004. Mohd Nor turut dilantik sebagai Penyelia Unit Pembangunan Insan Kerajaan Terengganu dari tahun 2000 hingga 2002. Dalam bidang pendidikan, beliau  memperoleh Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiyah dari Universiti Al-Azhar, Mesir. Beliau juga memiliki Diploma Syariah dari Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) serta Diploma lepasan Ijazah dari Institusi Pengajian Islam Zamalek. Pendidikan menengahnya diperoleh di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sheikh Abdul Malek Kuala Terengganu. Dalam pada itu Khazan pernah dilantik sebagai Exco Kerajaan Terengganu yang memegang perfolio Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan negeri tahun 2008. Sementara itu Majlis angkat sumpah ADUN didahului Dr Ahmad Samsuri (ADUN Rhu Rendang).
24 Sep 23
386
Masalah Telekomunikasi di Pulau Tenggol Selesai
Masalah Telekomunikasi di Pulau Tenggol Selesai
DUNGUN, 24 September - Masalah komunikasi di Pulau Tenggol akhirnya selesai selepas menara telekomunikasi siap dibina di pulau terbabit.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, menara telekomunikasi tersebut hanya menunggu masa untuk berfungsi sepenuhnya. "Penting menara komunikasi ini, bukan sahaja memudahkan pengunjung yang hadir juga atas faktor keselamatan jika berlaku sebarang perkara tidak diingini. "Memandangkan pulau ini berada di lokasi yang sangat jauh dari pantai sebelah darat jadi mudahlah untuk berkomunikasi jika berlaku sebarang kecemasan," ujarnya melalui hantaran di facebooknya, baru-baru ini.  Ujarnya, pulau berkenaan telah diketahui ramai sebagai tempat pilihan untuk mereka yang meminati aktiviti skuba dan snokerling bagi menyaksikan sendiri dengan mata kasar hidupan laut. "Dulu pun, pernah viral ada 'shark whale' sekitar pulau yang juga menjadi antara tarikan utama pengunjung untuk datang," ujarnya. Untuk rekod pada tahun lalu Pulau Tenggol telah diberikan keutamaan dalam projek Pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk kualiti perkhidmatan rangkaian jalur lebar mudah alih. Dengan mengambil kira industri pelancongan sebagai salah satu submer ekonomi utama negeri.  
24 Sep 23
387
Raja Muda Rasmi Kursus Pemimpin Pengakap Udara
Raja Muda Rasmi Kursus Pemimpin Pengakap Udara
KUALA NERUS, 24 September - Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli merasmikan Kursus Pemimpin Pengakap Udara Peringkat Kebangsaan 2023 Kali Ke- V di Dewan Sri Nariah, Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail di sini hari ini. Keberangkatan Baginda diiringi Ahli Dewan Pangkuan DiRaja, Dato' Shaikh Harun Shaikh Ismail dan disambut oleh Yang di Pertua Dewan Undangan negeri, Dato' Yahaya Ali, Pegawai Kewangan negeri, Dato' Nara Setia. Turut hadir, Pemangku Ketua Pengakap Negara merangkap Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Mej.Jen.Prof Dato' Dr Mohd Zin Bidin (B); Pengerusi Majlis Pengakap Negeri, Tan Sri Dato' Abdullah Taib, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Mohd Azizi Zulkifli. Sementara itu, Dr Mohd Zin berkata Pengakap Udara bukanlah satu pergerakan berasingan.  "Ia adalah satu aliran pengakap yang melibatkan diri dalam kegiatan udara serta menerapkan dimensi mengutamakan keselamatan sebagaimana di dalam bidang penerbangan.  "Di kalangan penerbang dan ahli udara, sikap atau 'attitude' yang baik sebegini dikenali juga sebagai 'airmanship'. Oleh itu, Pengakap Udara, di samping melalui latihan kepengakapan, juga harus melalui latihan 'airmanship' yang akhirnya dapat membentuk budaya keselamatan (safety culture) yang baik," ujarnya.  Justeru itu, beliau berharap penganjuran kursus ini sedikit sebanyak akan membantu menubuhkan dan menguruskan pasukan-pasukan Pengakap Udara, dan memperhebatkan lagi pertumbuhan untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.
24 Sep 23
455
Tegshbayar Sedia Pertahan Jersi Beautiful Terengganu
Tegshbayar Sedia Pertahan Jersi Beautiful Terengganu
KUALA TERENGGANU, 24 September- Pelumba Roojai Online Insurance (ROI) dari Thailand, Batsaikhan Tegshbayar bersedia mempertahankan jersi putih Beautiful Terengganu (Pelumba Terbaik Asia) dalam perlumbaan peringkat kedua Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023, hari ini. Pelumba kelahiran Mongolia itu memenangi jersi putih tajaan kerajaan Terengganu pada perlumbaan peringkat pertama dari Kerteh ke Kuala Terengganu sejauh 187.4 kilometer, semalam. "Ini kali pertama saya memenangi jersi dalam LTdL, jadi sudah semestinya saya akan cuba mempertahankannya," katanya yang ditemui sebelum pelepasan perlumbaan peringkat kedua LTdL 2023 dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu, hari ini. Pelumba berusia 25 tahun itu turut berharap mencipta nama dalam Jelajah LTdL 2023 selepas menjuarai Tour of Thailand 2023 yang berlangsung pada April lalu. Dalam majllis pelepasan di Jambatan Angkat Kuala Terengganu pagi ini, 'flag off' disempurnakan Pengarah Jabatan Pelancongan Terengganu, Fadli Yusof Zakaria yang turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr. Nagulendran Kangayatkarasu. Perlumbaan peringkat kedua LTdL 2023 melibatkan laluan sepanjang 186.2 kilometer yang merangkumi dua zon pendakian dan tiga zon pecutan.  
24 Sep 23
421
Pelumba Terengganu Cemerlang Sarung Jersi Raja Bukit
Pelumba Terengganu Cemerlang Sarung Jersi Raja Bukit
KUALA TERENGGANU, 23 September – Pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG), Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff mempamerkan aksi cemerlang pada pusingan pertama setelah memperoleh jersi polkadot (raja bukit). Peringkat pertama perlumbaan Petronas Le Tour De Langkawi 2023 bermula daripada Kerteh ke Kuala Terengganu yang melibatkan laluan sepanjang 187.4 km. Aiman Zariff berkata, walaupun menghadapi kesukaran terutama untuk melepasi 30 kilometer terawal, dia bersyukur berjaya mendapatkan rentak tidak lama selepas itu. “Saya berpuas hati dengan persiapan yang dibuat sebelum menghadapi LTDL, ia membantu saya keluar daripada masalah. “Seperti menyertai Tour Of Iran, Tour Gateh De Terengganu dan pelbagai lagi latihan bagi menghadapi perlumbaan berprestij ini. “Motivasi untuk LTDL 2023 ini berbeza dengan sebelumnya kerana pengalaman yang saya dan perlumbaan bermula di Terengganu. “Insya-Allah saya akan lakukan terbaik sepanjang LTDL 2023 ini,” jelasnya. Dia berkata demikian ketika Sidang Media Majlis Penyarungan Jersi dan Penyampaian Hadiah Petronas Le Tour De Langkawi 2023 Peringkat Pertama bertempat di Dataran Shahbandar di sini hari ini. Peringkat Pertama LTdL 2023 menyaksikan pelumba pasukan Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn membolot dua jersi iaitu jersi hijau (juara keseluruhan) dan jersi oren (raja pecut). Manakala, jersi putih selaku pelumba terbaik Asia dimenangi oleh Pelumba Roojai Online Insurance, Tegshbayar Batsaikhan. Peringkat kedua perlumbaan esok akan bermula di ‘Drawbrige’ Kuala Terengganu menuju ke Kota Bharu, Kelantan sejauh 186.2 km.  
23 Sep 23
1662
Aura Kampung Sendiri, Afif Ungguli Cub Prix di Terengganu
Aura Kampung Sendiri, Afif Ungguli Cub Prix di Terengganu
KUALA NERUS, 23 September - Pelumba kelahiran Dungun, Ahmad Afif Amran membuktikan aura halaman sendiri apabila mengungguli kategori CP150 pada perlumbaan Pusingan Ke-7 PETRONAS Malaysia Cub Prix 2023. Dalam perlumbaan di Litar Permotoran Terengganu itu, Afif memintas pendahulu yang juga rakan sepasukannya dari Petronas Sprinta Yamaha- CKJ Racing, Md Akid Aziz pada pusingan terakhir untuk muncul juara denga perbezaan masa 0.764 saat. "Rezeki saya menang hari ini, semangat tempat sendiri itu luar biasa. "Sebenarnya, sudah lama saya tidak menang di sini, kali terakhir menang pada 2018," katany ketika ditemui selepas perlumbaan, hari ini. Tambahnya, pada permulaan perlumbaan, beliau fokus mengekori rapat pendahulu dan mencari peluang untuk memintas. "Perlumbaan tadi, Akid mula langkah lebih cepat dari saya. "Rakan sepasukan memang kuat race pace, jadi saya cuba ikut dan mencari ruang untuk mencelah tetapi dia tidak melakukan kesilapan. "Pada tiga pusingan terakhir, 'laps time' Akid agak menurun dan saya ambil kesempatan untuk memintasnya pada pusingan terakhir," ceritanya. Anak sulung daripada lima beradik itu menyifatkan, kemenangan kali ini merupakan tonik terbaik untuk mencabar kejuaraan PETRONAS Malaysia Cub Prix 2023. Beliau kini menduduki kedudukan kedua keseluruhan dengan 114 mata, tujuh mata dibelakang Akid dengan baki tiga pusingan perlumbaan.        
23 Sep 23
500
Bincang Aktiviti Sukan Patuh Syariah Dengan Mufti- Hishamuddin
Bincang Aktiviti Sukan Patuh Syariah Dengan Mufti- Hishamuddin
KUALA TERENGGANU, 21 September- Kerajaan negeri menerusi portfolio Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri yang diterajui Hishamuddin Abdul Karim telah mengadakan kunjungan hormat ke Jabatan Mufti Negeri Terengganu, hari ini. Hishamuddin berkata, pertemuan dengan Mufti Negeri Terengganu, Dato’ Dr Mohamad Sabri Haron adalah bagi membincangkan garis panduan mengenai aktiviti sukan dan mendapatkan nasihat tentang pelaksanaannya agar selari dengan ketetapan syariah.  "Sekalipun tidak mampu memenuhi secara menyeluruh, paling tidak prosesnya bermula dari bawah dengan penuh berhemah. "Pertemuan ini juga bagi menjemput pihak Jabatan Mufti Negeri Terengganu hadir ke program T-Fight sebagai pasukan pemantau untuk menggariskan panduan yang sebaiknya dalam acara Kejohanan T-Fight Festival 2023 yang akan diadakan nanti, " ujar beliau di laman facebook rasminya.  Katanya lagi, kesederhanaan pihak Kerajaan Negeri dalam menerima dan menyambut penganjuran sebegini hendaklah juga dihormati oleh pihak penganjur terhadap garis panduan dan ketetapan yang diberikan.
21 Sep 23
359
Terengganu Buka Kawasan Baharu Untuk Penanaman Padi
Terengganu Buka Kawasan Baharu Untuk Penanaman Padi
MARANG, 21 September - Kerajaan Terengganu sudah mengenal pasti dan membuka beberapa lokasi baharu yang dibangunkan sebagai kawasan penanaman padi. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata pihaknya juga telah meneliti sawah padi berpotensi untuk diperluaskan bagi meningkatkan penghasilan beras. Katanya, antara kawasan dibuka baharu ialah Durian Mentangau, Paya Dadong dan Skim Paya Paman. "Di Durian Mentangau kira-kira 40 hektar kawasan padi yang dibuka dengan mempraktikkan tanaman padi secara organik sepenuhnya oleh sebuah syarikat swasta. "Kawasan-kawasan ini sebelum ini telah dibiarkan kerana masalah pengairan, selepas itu kita bina dan naik taraf semula sistem pengairan sehingga mampu untuk bertanam semula. "Strategi ini berjalan serentak kesemuanya sebab itu kita boleh tengok berlaku peningkatan dari tahun 2018, 2019 sehingga sekarang," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemu pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menyempurnakan Program Input Penternakan Ruminan 2023, di Dewan Sivik Wakaf Tapai, di sini, hari ini. Tambah Dr Azman, antara usaha lain bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi di Terengganu ini termasuk menambah keluasan jelapang padi sedia ada. "Perancangan besar kita adalah untuk menjadikan kawasan jelapang padi yang ada sekarang ini daripada 5,000 hektar kepada 10,000 hektar dengan memasukkan lagi 5,000 daripada 7,000 yang berada di luar jelapang yang dinamakan sebagai Projek Kawasan bersepadu (IADA) Terengganu Utara (KETARA) Fasa 2," katanya. Selain itu katanya, kerajaan juga berusaha meningkatkan kesuburan tanah supaya penghasilan padi per hektar dapat ditingkatkan. "Kawasan yang kebiasaan menghasilkan tiga metrik per hektar akan dinaikkan menjadi lima metrik, yang selama ini lima metrik boleh dinaikkan jadi lapan metrik tan per hektar. "Antara strategi lain juga ialah menaik taraf infrastruktur pengairan, meningkatkan kesuburan tanah, melakukan kerja-kerja meratakan tanah sawah. "Kita juga 'upgrade' kawasan yang bertanam sekali setahun kepada dua kali setahun, telah ada beberapa kawasan di sekitar Dungun, Kemaman serta di Kuala Nerus yang asalnya cuma bertanam sekali setahun, usaha ini dibuat dengan meningkatkan sistem pengairan sekali gus akan memperolehi hasil dua kali ganda," ujarnya. Pada 15 September lalu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan kerajaan Terengganu sudah mengenalpasti kawasan baharu untuk projek penanaman padi bagi meningkatkan hasil bekalan beras di negeri ini. Katanya, kawasan tersebut merupakan kawasan yang telah lama tidak ditanam padi justeru akan dibangunkan semula bagi tujuan berkenaan. "Kita sedang berkomunikasi dengan rakyat di kawasan tersebut bagi mencari tenaga kerja kerana kawasan berkenaan sudah lama tidak diusahakan maka keluarga-keluarga di sana sudah bekerja di luar negeri dan sebagainya. “Nak cari orang untuk usahakan juga perlu ditangani dengan baik dan tidak mudah sebenarnya serta memakan masa," jelasnya.
21 Sep 23
1821
Lebih 70 Peratus Koperasi Di Terengganu Aktif
Lebih 70 Peratus Koperasi Di Terengganu Aktif
KUALA TERENGGANU, 21 September - Lebih 70 peratus atau 679 daripada 970 koperasi yang berdaftar di negeri ini bergerak aktif dan menjadi penyumbang terbesar kepada perolehan gerakan koperasi negeri. Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Terengganu, Awg Ruslli Mohammad berkata, terdapat kira-kira 270,000 ahli koperasi di seluruh negeri ini yang berpotensi besar merealisasikan hasrat kerajaan itu. "Koperasi yang aktif ini memang ada aktiviti, di audit dan bermesyuarat setiap tahun, dalam masa yang sama SKM akan membantu dari segi bantuan dana dan pinjaman. “Mereka ini terlibat dengan banyak aktiviti termasuk pelancongan, pertanian, peruncitan dan sebagainya,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Mesyuarat Agung Koperasi Pegawai-Pegawai Tadbir Negeri Terengganu Berhad Kali Ke-29 Dan Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini. Majlis perasmian mesyuarat agung tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Katanya, koperasi di negeri ini mempunyai potensi yang besar untuk terus berkembang terutamanya dalam sektor pertanian serta pelancongan. Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, beliau dimaklumkan bahawa pelbagai dana, geran serta pinjaman ditawarkan oleh SKM yang boleh dimanfaatkan oleh koperasi di negeri ini. “Saya rasa sama juga di mana-mana negeri, koperasi ini ada yang aktif, kurang aktif dan ada yang hanya bergantung kepada pengurusan koperasi sahaja yang buat kerja. “Ahli-ahli koperasi perlu beri pandangan dan cadangan, bukan sekadar bertemu sekali setahun dalam mesyuarat agung saja, supaya kita dapat cari jalan koperasi ini dapat terus diperkasa. “Justeru, koperasi yang ada di Terengganu ini perlu merebut peluang kerana banyak dana-dana tertentu, geran yang disediakan di peringkat kementerian,” ujarnya.  
21 Sep 23
314
Terengganu FC Lakar Kemenangan Pertama Piala AFC
Terengganu FC Lakar Kemenangan Pertama Piala AFC
KUALA NERUS, 20 September - Terengganu FC merakamkan kemenangan berharga apabila menewaskan kelab Australia, Central Coast Mariners FC, 1-0 pada aksi pertama Piala AFC 2023, malam ini. Berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Terengganu FC turun dengan kesebelasan utama yang menang ke atas Selangor FC tempoh hari.  Namun, pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner melakukan sedikit perubahan dengan meletakkan Mohamad Arif Fadzilah selaku pertahanan kiri menggantikan Alif Zakaria. Tuan rumah hampir dikejutkan seawal minit kedua apabila penyerang Mariners, Marco Tulio melakukan sepakan gunting yang menerjah sisi gawang.   Pelawat terus garang menggasak kubu Sang Penyu. Penyerang, Angel.T berjaya melepasi perangkap offsaid untuk berdepan satu lawan satu dengan Suhaimi Husin pada minit ke-16, tetapi penjaga gol Terengganu FC itu cemerlang mengawal gawangnya. Pada minit ke-30, Terengganu FC melakukan serangan balas bagaimanapun lorongan Ivan Mamut gagal disudahkan Nor Hakim Hassan. Mariners yang berbekal kelebihan fizikal lebih banyak menguasai perlawanan, namun tuan rumah tampak berani bermain secara terbuka dan menyerang balas. Memasuki minit tambahan separuh masa pertama, Nurillo Tukhtasinov melakukan hantaran lintang rendah yang ditampan pertahanan lawan, Nathan Paull ke gawang sendiri. Kesilapan tersebut memberi kelebihan tuan rumah mendahului pada tamat separuh masa. Mariners memulakan aksi babak kedua dengan lebih agresifdengan tandukan kencang Alou Kuol pada minit ke-45 yang melewati palang. Pada minit ke-75, Habib Haroon melakukan rembatan dari luar kotak penalti tetapi hanya menggegar tiang gol. Pelawat melakukan beberapa lagi percubaan merbahaya, namun keampuhan benteng Terengganu FC menafikan sebarang gol dijaringkan. Sang Penyu berjaya memperoleh tiga mata berharga dalam perlawanan pertama Piala AFC menyaksikan pasukan itu menduduki tangga kedua Kumpulan G. Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan G, pasukan dari Indonesia, Bali United merebut kedudukan pendahulu kumpulan setelah menang 5-2 ke atas pasukan Stallion Laguna FC dari Filipina.      
20 Sep 23
251