lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Bermula Minat Bela Haiwan, Cetus Idea Buka Mini Zoo Rimba Razia
Bermula Minat Bela Haiwan, Cetus Idea Buka Mini Zoo Rimba Razia
HULU TERENGGANU, 26 September – Bermula dari hobi memelihara haiwan, kini Dato’ Seri Zakaria Abdul Razak memberanikan diri membuka mini zoo sendiri yang terletak di Kampung Dusun, Kuala Berang dengan berkonsepkan 'petting zoo' . Katanya, mini Zoo yang diberi nama “Rimba Razia” mempunyai 80 jenis spesies haiwan itu memberi peluang kepada pengunjung berinteraksi serta selain memberi makan  sendiri kepada haiwan. "Segalanya bermula dari hobi membela haiwan, sehingga jumlah haiwan dibela itu makin bertambah maka terdetik di hati untuk membuka sebuah zoo bagi membolehkan orang ramai juga merasai dan memberi makan sendiri kepada haiwan di sini. "Kebanyakan haiwan di sini dari Eropah. Pelbagai haiwan yang signifikan di zoo ini antaranya unta, alpaca, kanggaru, kuda, keldai, capybara serta pelbagai jenis musang dari Eropah, Jepun, Thailand dan sebagainya. "Selain dapat berkongsi minat bersama-sama dengan pencinta haiwan, sedikit sebanyak dapat merancakkan lagi aktiviti pelancongan dan pertumbuhan ekonomi penduduk setempat,"ujarnya ketika ditemui pemberita.   Terdahulu Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid dan ADUN Telemong, Mohd Zawawi Ismail hadir melawat Mini Zoo tersebut.     Menurut Zakaria, setiap hari khususnya waktu hujung minggu kehadiran pengunjung sama ada dari dalam dan luar Terengganu tidak  pernah putus untuk mengunjungi ke Mini Zoo tersebut. Tambahnya, sejak dibuka zoo tersebut mendapat perhatian ramai apabila dikunjungi kira-kira 3,000 hingga 4,000 pengunjung setiap hari terutama pada hujung minggu. "Baru lebih sebulan beroperasi. Alhamdulillah mendapat sambutan mengalakkan daripada pengunjung di mana hampir 50,000 pengunjung direkodkan setakat ini sejak ia beroperasi 15 Julai lepas,"ujarnya lagi.  
26 Sep 23
2037
Rosol Turun Lapangan Tinjau Bekalan Keperluan Rakyat
Rosol Turun Lapangan Tinjau Bekalan Keperluan Rakyat
HULU TERENGGANU, 26 September - Susulan isu bekalan dan harga beras yang menjadi keresahan dalam kalangan rakyat masa kini, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato’ Rosol Wahid turun ke lapangan bagi memantau sendiri masalah tersebut.  Menurut Rosol, hasil tinjauan beliau mendapati kadar harga dan bekalan barang berada pada tahap yang tidak memuaskan dan kenaikan harga seperti yang diketahui umum.  “Sebelum ini saya telah beberapa kali mendengar keluhan dan aduan daripada peniaga, pemilik pasaraya dan orang ramai mengenai isu bekalan dan harga beras ini. “Hari ini saya turun ke lapangan bagi mendapatkan kepastian dan pengesahan hadapan mata sendiri, sebagai contoh harga beras jati lima kg yang dahulu di jual dengan harga RM16.20, tetapi sekarang di jual dengan harga RM20.50," ujar beliau yang juga mantan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berkata kepada pemberita.  Tambah Rosol lagi, terdahulu dalam sidang parlimen, beliau telah membangkitkan isu bekalan beras tempatan, yang ada beras import dengan harga yang tinggi, akan tetapi telah disindir oleh pemimpin kerajaan. Beliau berharap agar pihak kerajaan khususnya kementerian yang berkenaan segera bertindak bagi merawat keresahan dikalangan rakyat sekarang, sekali gus membuktikan keprihatinan, keikhlasan dan komitmen kerajaan membela nasib mereka. Sementara itu, Pengurus Besar Xiri Group cawangan Kuala Berang, Teong Gaik Lan, berkata isu bekalan beras tempatan yang masih belum selesai sejak beberapa bulan yang lalu cukup meresahkan.  “Bekalan beras tempatan tiada sejak bulan Jun yang lalu, harga beras kini naik sebanyak 20 peratus, Manakala bekalan gula juga tidak banyak kerana kenaikan harga," ujarnya.
26 Sep 23
466
Dari Hulu Terengganu ke Peringkat Dunia
Dari Hulu Terengganu ke Peringkat Dunia
KUALA TERENGGANU, 25 September – Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT) bakal mewakili Malaysia dalam First Global Challenge 2023 Singapore tahun ini.  Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata mereka bakal berentap dengan 190 buah negara di seluruh dunia. "Melihat ciptaan anak-anak pelajar tadi, saya juga berkongsi pandangan beberapa perkara berkaitan teknikal operasi robot berdasarkan prinsip sains dan kejuruteraan. “Sudah beberapa kali SAHUT mewakili Malaysia dalam pertandingan ini. “Saya yakin mereka akan buat yang terbaik untuk pertandingan ini dan sama-sama kita doakan kejayaan mereka,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi miliknya pada hari ini. Tambah Ahmad Samsuri, apabila sebut perkataan hulu, sering orang kaitkan dengan perkataan ‘darak’ ataupun jakun.  “Sedangkan hulu juga merupakan sebuah tempat sama seperti tempat lain.  “Jangan merasa rendah diri atau diperkecilkan bila tempat kita berada di hulu,” ujarnya. Untuk rekod, Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (Sahut) telah mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila tiga pelajarnya membawa pulang pingat perak. Kategori menengah rendah di pertandingan The 13th International Standards Olympiad di Yongin, Korea Selatan pada 8 hingga 10 Ogos 2018.  
25 Sep 23
6930
Universiti Sebagai Medan Pembentukan Sahsiah Diri
Universiti Sebagai Medan Pembentukan Sahsiah Diri
Oleh/Foto : Fatimah Din/Media i-GenT MARANG, 23 September - Universiti  bukan sahaja berperanan sebagai pusat menuntut ilmu, tetapi menjadi tempat untuk anak-anak mendewasakan diri. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Manusia negeri,  lUstaz Ahmad Shah Muhamed berkata pembelajaran yang sempurna akan melahirkan manusia yang mempunyai nilai akhlak yang tinggi dan budi pekerti yang baik. "Universiti ini istimewanya tempat tersebut anak-anak berada di alam baharu, dimana kita 100 peratus mengawal diri kita sendiri. "Betulkan niat kita, ikhlaskan diri, carilah ilmu banyak-banyak dan, jangan hampakan harapan ibu bapa," katanya ketika merasmikan majlis perasmian penutup program Lambaian Menara Gading LAMEGA yang diadakan di Darul Iman Traning Centre (DITC) di sini hari ini. Beliau turut berpesan kepada 107 orang peserta yang terlibat agar turut mencari kawan-kawan yang baik, dan aktifkan juga diri dalam persatuan di universiti. Program LAMEGA ini diadakan selama tiga hari dua malam, dengan pelbagai pengisian yang bermanfaat dan juga mengajar para peserta menjadi seorang yang berkepimpinan ketika berada di menara gading nanti dengan dikelolakan sepenuhnya oleh i-GenT (ikatan Generasi Anak Terengganu).. Dalam masa yang sama beliau juga menasihatkan para peserta supaya tahu membuat  keputusan sendiri, termasuk pandai menilai yang mana baik dan buruk, serta dengan menjaga status sebagai orang Islam dan bangsa Melayu.
25 Sep 23
340
SG4 Langkah Luar Biasa
SG4 Langkah Luar Biasa
KUALA TERENGGANU, 25 September - Langkah empat negeri menubuhkan 'State-Government 4 (SG4)' merupakan satu langkah pembaharuan yang berani dan dianggap luar biasa. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, usaha merupakan satu inovasi gandaan ekonomi, pelaburan dan sosioekonomi bagi Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis yang mempunyai tarikan serta keunikan tersendiri. Tegasnya, agenda itu tidak mempunyai kepentingan politik sebaliknya adalah untuk kebaikan rakyat di setiap negeri ini. "Timbul kegerunan di peringkat Persekutuan, malah tukang karut kepimpinan tertinggi dalam UMNO yang kini semakin ketandusan idea mula meletakkan propaganda kosong mereka (berkait SG4). "Apabila kurang maklumat dan tidak tahu apa-apa berhubung SG4 menampakkan kedangkalan UMNO ini tiada langsung jiwa besar untuk 'move on' tujuannya adalah untuk kebaikan dan kepentingan di empat negeri dan bukan untuk berpolitik. "Sebenarnya ia hanya untuk membangunkan empat negeri yang sentiasa dianggap mundur oleh kerajaan Persekutuan," katanya melalui hantaran di facebooknya, di sini, baru-baru ini. Ujarnya, SG4 akan menjadi titik permulaan merubah persepsi dangkal yang mana negeri yang ditadbir 100 peratus Melayu adalah mundur. "Malahan ada cuba-cubaan untuk melagakan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, SG4 adalah satu gerakan murni di bawah PN, di samping mengambil kesempatan mencedok pemikiran unggul Tun Dr Mahathir Mohamad dan kumpulan pemikirnya dari dalam negara dan luar negara," katanya.
25 Sep 23
1151
Nasib Pembeli Rumah Gong Cempedak Dalam Perhatian
Nasib Pembeli Rumah Gong Cempedak Dalam Perhatian
KUALA TERENGGANU, 25 September - Nasib pembeli projek perumahan swasta Gong Cempedak Fasa 3, Marang yang dilanda pelbagai masalah akan terus diberi perhatian kerajaan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan,  Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pihaknya masih komited untuk terus berunding dengan pihak yang terlibat terutamanya pemaju perumahan berkenaan agar ia diselesaikan sekali gus nasib pembeli akan terbela. "Exco Perumahan sebelum ini, Dato' Dr Alias Razak telah pun mengambil tindakan bagi memastikan ia diselesaikan termasuk telah banyak kali berunding dengan pihak pemaju. "Walaupun projek ini bukan di bawah kerajaan negeri, yang merupakan projek swasta kita tetap mengambil sikap untuk terus menjadi pihak yang akan mencari jalan serta solusi bagi menyelesaikan masalah untuk memastikan rumah ini akan dapat diberikan kepada pembelinya," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menerima kunjungan daripada wakil pembeli perumahan berkenaan, di sini, hari ini. Tambah Wan Sukairi, kerajaan negeri tidak akan berdiam diri dalam menyelesaikan projek perumahan swasta ini sebaliknya akan mengambil sikap untuk terus berusaha bagi melakukan apa yang terbaik. "Kita akan tetap terus membantu dan menolong termasuk akan turut berhubung dengan pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membicangkan perkara ini. "Hasilnya kita tidak tahu lagi, tetapi kita akan terus membantu sedaya upaya, maknanya kita akan tetap ambil peduli terhadap hasrat daripada pihak pembeli yang mahu kerajaan negeri campur tangan dalam projek perumahan ini" ujarnya lagi. Pada penggal lalu Dr Alias sentiasa memantau perkembangan projek yang telah terbengkalai lebih 10 tahun. Kali terakhir hasil pertemuan, pihak pemaju akan memulakan kembali projek berkenaan setelah mengalami masalah kewangan bagi meneruskan pembinaan kediaman berkenaan.  
25 Sep 23
575
Institusi Keluarga Kukuh, Ramuan Utama Kestabilan Negara
Institusi Keluarga Kukuh, Ramuan Utama Kestabilan Negara
HULU TERENGGANU, 25 September - Institusi kekeluargaan yang stabil adalah ramuan utama bagi kebangkitan peradaban serta proses pembentukan masyarakat dan negara.  Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, berkata tanpa institusi keluarga, kewujudan negara tidak akan sempurna. Katanya, pembangunan dan usaha memperkasakan keluarga adalah penting supaya anak-anak dapat dibentuk menjadi insan yang positif dan berguna. "Keluarga merupakan satu institusi kecil di peringkat kampung yang akan menjadi dominan sekiranya lengkap mampu menjadi asas pembinaan masyarakat, negeri dan negara. "Sekiranya rosak di sini maka rosaklah pembinaan tersebut. Bina insan tidak akan terbina molek sekiranya kita tidak perkemaskan institusi keluarga," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Inspirasi Suri Sejahtera (Wanita Ceria Keluarga Sejahtera) Bertempat di Dewan Yayasan Salim RAKR Tok Randok Ajil, disini hari ini. Turut hadir, Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) Wan Nur Sakinah Din. Tambahnya, institusi keluarga mempunyai potensi dan kuasa yang lebih berkesan untuk memerangi penyakit sosial jika dibandingkan dengan peranan pihak luar. Maliaman berkata melalui portfolionya, beliau akan memfokuskan kepada institusi kekeluargaan supaya usaha ibu bapa untuk membina anak generasi baru yang mempunyai kualiti berjaya. Jelas beliau, institusi keluarga perlu dibangunkan dan diperkukuhkan untuk menghadapi pelbagai cabaran akibat pertumbuhan ekonomi negara yang pesat.  
25 Sep 23
273
Hari Eksport Platform Lahirkan Usahawan Pengeksport
Hari Eksport Platform Lahirkan Usahawan Pengeksport
KUALA TERENGGANU, 25 September- Hari Eksport Terengganu 2023 yang berakhir hari ini di Pusat Dagangan Terengganu (TTC) merupakan platform bagi melahirkan lebih ramai usahawan pengeksport khususnya di peringkat Negeri Terengganu. Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Akselerasi Eksport) MATRADE, Sharimahton Mat Saleh berkata, dalam usaha meningkatkan perdagangan antarabangsa, program tersebut menyediakan maklumat asas berkaitan ekosistem eksport serta pendedahan terhadap khidmat sokongan yang disediakan oleh kerajaan khusus untuk para usahawan yang terlibat dengan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). “MATRADE berharap usahawan di Terengganu yang berminat untuk meneroka pasaran antarabangsa akan memanfaatkan program ini untuk meraih sebanyak mungkin ilmu pengetahuan berkaitan eksport dan seterusnya mengambil langkah-langkah awal untuk mula mengeksport,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Hari Eksport Terengganu 2023 yang disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi Dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Ariffin Deraman di TTC, semalam. Menurut Sharimahton, program anjuran MATRADE dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dan Urusetia Pembangunan Usahawan Terengganu (PEUTER) itu berjaya mengumpulkan komuniti perniagaan, terutamanya para usahawan tempatan untuk berkongsi pengetahuan, menjalin hubungan perniagaan serta meneroka peluang pasaran eksport.  Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Mohd Rashdan Muda dalam satu kenyataan berkata, selain daripada menyediakan skim pembiayaan tanpa faedah sebagai usaha membantu meningkatkan keupayaan usahawan Terengganu, YPU juga menyediakan pelbagai peluang kepada para usahawan untuk memperluaskan perniagaan dan melengkapi mereka dengan ilmu keusahawan yang komprehensif melalui pelbagai program serta modul yang tersedia. “Diharapkan bagi mereka yang ingin menceburi pasaran eksport dapat menyertai program ini serta berhubung dengan Bahagian Pembangunan Usahawan kami. “YPU juga berharap akan menjadi ‘one-stop centre’ bagi usahawan-usahawan Terengganu sama ada usahawan mikro, kecil atau sederhana mahupun usahawan yang telah diiktiraf di peringkat global,”jelasnya. Para peserta Hari Eksport Terengganu didedahkan dengan pelbagai informasi penting seperti penyediaan dokumentasi eksport dan keperluan logistik, aktiviti promosi serta solusi eksport efektif yang disediakan oleh MATRADE seperti program eTrade, MATRADE Digital Trade Platform (MDTP), MyExport dan MATRADE Digital Learning (MDL) bagi mendedahkan mereka kepada strategi pemasaran digital yang berkesan untuk memperluaskan jangkauan eksport. Antara pengisian menarik yang dikongsikan semasa Hari Eksport Terengganu termasuk juga sesi mengenali kemudahan pembiayaan dan insurans eksport yang akan membimbing peserta mengenai rakan perbankan yang bersesuaian dan kepentingan jaminan insurans untuk perniagaan eksport.
25 Sep 23
771
LTDL : Terengganu Jadi Tumpuan Dunia
LTDL : Terengganu Jadi Tumpuan Dunia
KUALA TERENGGANU, 24 September – Terengganu menjadi tumpuan dunia setelah menjadi tuan rumah perlumbaan Petronas Le Tour De Langkawi (LTDL) 2023 pada pusingan pertama dan kedua. Perlumbaan pertama LTDL bermula daripada Kerteh ke Kuala Terengganu yang melibatkan laluan sepanjang 187.4 km. Perlumbaan yang berakhir di Dataran Shahbandar itu turut menawarkan tiga zon pecut di Dungun, Ajil dan Tok Jamal selain dua zon bukit di Jerangau dan Sekayu. Terdahulu, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri mengucapkan selamat datang kepada semua peserta, pihak pengurusan, penonton dan semua yang terlibat dengan Petronas Le Tour De Langkawi 2023. “Buat perhatian semua juga, ada beberapa jalan yang ditutup bagi memberi laluan kepada program ini. “Boleh rancang perjalanan anda bagi pengguna jalan-jalan yang terlibat,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya semalam. Terengganu merupakan penaja utama perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2023 dalam satu majis yang diadakan di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil baru-baru ini. Terengganu tampil dengan jumlah penajaan hampir RM1 juta meliputi tajaan wang tunai berjumlah RM800,000 selain menyediakan bantuan logistik. Peringkat kedua perlumbaan hari ini bermula di ‘Drawbridge’ Kuala Terengganu menuju ke Kota Bharu, Kelantan sejauh 186.2km.  
24 Sep 23
1999
Sukan Air Curi Tumpuan Rakyat
Sukan Air Curi Tumpuan Rakyat
KUALA NERUS, 24 September - Pertandingan Sukan Air Sempena Sambutan 25 Tahun pemerintahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Terengganu (Jubli Perak) telah mencuri tumpuan ramai. Acara penuh gilang gemilang itu telah diadakan di Jeti Pengkalan Jeram, Tepuh bermula 9.15 pagi. Pelbagai acara dipertandingkan melibatkan lapan pejabat daerah dan lapan komuniti antaranya ialah Perlumbaan Perahu Panjang (Dragon Boat), Tangkap Itik, Gusti Air dan Panjat Tiang Licin. Kemuncak program berkenaan telah dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim. Dalam program terbabit, Daerah Kuala Terengganu telah muncul juara Perahu Panjang.
24 Sep 23
392