lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Syarikat Kerajaan Terengganu Lancar Kereta Tenaga Solar
Syarikat Kerajaan Terengganu Lancar Kereta Tenaga Solar
KUALA TERENGGANU, 19 September - Anak Syarikat Negeri, EPIC Berhad telah melancarkan EPIC Solar Car (ESCAR) hasil kolaborasi bersama EPIC Solar Sdn Bhd (ESSB) dan University College TATI (UC TATI). Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad, Ir Mukhtar Suhaili berkata ESCAR bertujuan untuk mempromosikan pembangunan mampan dengan mengurangkan pelepasan karbon dan memperkenalkan tenaga boleh diperbaharui. “Kenderaan ini dikuasakan oleh tenaga solar dan tidak menggunakan bahan api, justeru menjadikannya salah satu alternatif mesra alam kepada kenderaan konvensional. “Diusahakan bermula pada bulan November 2022 oleh pasukan projek yang diketuai oleh Pengurus Besar ESSB, Fuaad Mohamed Nawawi dan Ketua Penyelidik UC TATI, Prof. Madya Ts. Dr. Ruzlaini Ghoni. “ESCAR pada awalnya dirangka untuk kegunaan operasi di Ladang Solar ESSB, dengan rancangan untuk memperluaskan penggunaannya ke kawasan Pangkalan Bekalan Kemaman dan digunakan sebagai kenderaan pelancongan,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di laman Facebook rasmi miliknya pada hari ini. Hadir bagi menyaksikan majlis pelancaran tersebut, Pengerusi ESSB, YM Tengku Amran Tengku Awang, Pengarah ESSB, Hazri Jusoh, barisan Pengurus Besar Kumpulan EPIC, wakil-wakil ESSB serta UC TATI dan wakil Kelab Golf Rekreasi Petronas (KGRP). Tambah Ir Mukhtar, projek tersebut masih dalam penyelidikan untuk meningkatkan kapasitinya dan ciri-ciri sedia. Jelasnya, seperti pemantauan bateri dan sistem Penjejakan Penentududukan Global (GPS). “ESSB dan UC TATI komited untuk menggalakkan pembangunan mampan dan akan terus berganding bahu bagi menginovasi lebih banyak kenderaan berteknologi canggih dijanakuasakan oleh tenaga solar. “Selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (SDG), khasnya SDG 11-Bandar dan Komuniti Mampan dan SDG 13-Tindakan Iklim," katanya. Sementara itu Fuaad berkata berkata, inisiatif tersebut adalah inovasi terhadap kenderaan ringan iaitu kereta buggy yang biasanya digunakan di kelab-kelab golf dan kawasan pelancongan. "Inovasi ini mengguna pakai tenaga elektrik yang disimpan dalam bateri di mana tenaga tersebut dijanakuasakan oleh tenaga solar, berbeza dengan kenderaan berasaskan petrol. "Kenderaan ini akan membuat pengecasan elektrik secara automatik selagi wujud sumber cahaya matahari, sekaligus membantu dalam penjimatan kos operasi," katanya.    
20 Sep 23
1594
Terengganu Sokong Usaha Martabatkan STEM
Terengganu Sokong Usaha Martabatkan STEM
KUALA TERENGGANU, 20 September - Kerajaan negeri sentiasa menyokong sebarang usaha bagi memartabatkan bidang Sains, Teknologi Kejuruteraan, Matematik (STEM) melalui pelbagai program. Tengku Seri Bijaya Raja, Setiausaha kerajaan Negeri berkata, menerusi pemerkasaan bidang berkenaan ia akan menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri yang maju. Ini kerana katanya, langkah tersebut mampu meningkatkan kualiti pendidikan yang akan melahirkan para ilmuan dalam bidang terbabit. "Memandangkan dunia telah bersaing dan rancak mengusahakan pemodenan teknologi maklumat bagi menuju 'Fourth Indutrial Revolution'. "Negeri Terengganu juga perlu memandang jauh ke hadapan supaya kita tidak ketinggalan dalam melahirkan saintis dan pakar-pakar bidang professional," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap semasa menyempurnakan Majlis Penutupan 'Spark Your Creativity Challenge 2023' di Pusat Sains kreativiti Terengganu (PSKT), di sini, semalam. Mengulas mengenai program berkenaan katanya, ia merupakan salah satu usaha PSKT menggalakkan para pelajar untuk terlibat secara langsung dalam membudayakan pendidikan STEM. "Di mana pelajar-pelajar sekolah dari negeri ini saling bertanding untuk rekacipta dan inovasi, pada tahun ini melibatkan 200 peserta. "Melalui penganjuran ini yang telah memasuki tahun kelima, saya ingin mengambil kesempatan merakamkan ucapan terima kasih kepada ExxonMobil Malaysia kerana setiap tahun telah memberi sumbangan kepada kerajaan negeri terutamanya dalam bidang pendidikan. "Saya difahamkan PSKT telah menerima sumbangan sektor korporat sebanyak RM50,000 bagi tahun 2023," ujarnya lagi. Untuk rekod pada tahun ini PSKT telah mengetengahkan pertandingan 'Inovasi Dron Kepada Industri' bagi memperkenalkan murid dengan teknologi dron seiring dengan Revolusi Industri 4.0.   
20 Sep 23
460
192 Kawasan Berisiko Banjir di Terengganu
192 Kawasan Berisiko Banjir di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 20 September-  Sebanyak 192 kawasan disenaraikan sebagai titik panas atau ‘hotspot’  berlakunya bencana banjir  di Terengganu sekiranya berlaku pertembungan fenomena air pasang besar berserta hujan lebat sepanjang musim Monsun Timur Laut (MTL). Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Terengganu, Hassan As'ari Omar berkata, daerah Kemaman merekodkan jumlah kawasan berisiko tertinggi iaitu sebanyak 39 lokasi diikuti daerah Dungun (32 kawasan) dan Besut (29 kawasan) dan Hulu Terengganu (29 kawasan). Menurutnya, sebanyak 27 kawasan lagi dikenal pasti di Marang, Setiu (21 kawasan) dan Kuala Terengganu /Kuala Nerus (15 kawasan). "Kawasan rendah dan berhampiran muara sungai di negeri ini turut dikenalpasti berisiko berlakunya dilimpahi air sekiranya fenomena air pasang besar beserta hujan lebat. "Ia membabitkan lima lembangan sungai iaitu Sungai Terengganu, Sungai Besut, Sungai Dungun, Sungai Kemaman dan Sungai Setiu. "Selain itu, kita turut memberi tumpuan khusus di daerah Hulu Terengganu yang dijangkakan berisiko tinggi berlaku banjir selain daerah Kuala Terengganu, Besut, Setiu, dan Kemaman," katanya kepada pemberita, baru-baru ini. Hassan As'ari berkata, seramai 690 pegawai dan anggota termasuk aset sudah bersiap sedia berdepan banjir, yang dijangka berlaku lebih awal, tahun ini. “Seramai 287 anggota membabitkan 10 Pasukan Bomba Sukarela (PBS) juga akan digerakkan untuk membantu operasi di kawasan-kawasan yang agak jauh bagi memudahkan pergerakan menyelamat nanti,”katanya.
20 Sep 23
1789
Peniaga Terpaksa Naikkan Harga Makanan
Peniaga Terpaksa Naikkan Harga Makanan
KUALA TERENGGANU, 20 September- Kenaikan harga barangan yang agak drastik sejak kebelakangan ini bukan sahaja menimbulkan keresahan kepada pengguna, malah para peniaga juga tersepit dengan peningkatan melampau itu. Rata-rata peniaga tertekan dengan kenaikan harga barang yang saban minggu berubah dengan harga berbeza yang semakin tidak masuk akal. Kenaikan itu menyebabkan para peniaga tidak dapat mengelak menaikan harga barangan yang dijual mereka walaupun ada pelanggan yang merungut. Menurut Fatihah Suhaimi, 20, yang membantu ibunya berniaga barangan runcit, berkata, mereka terpaksa menjual barangan berdasarkan harga semasa yang ditetapkan oleh pemborong. “Sekarang jual apa-apa pun pun tidak ramai pembeli. Kita dapat harga dari pembekal sudah mahal, bukan sahaja beras, telur, gula, minyak yang naik, harga ketumbar yang dulu sekitar RM20 sekilogram sekarang dalam RM35, harga naik mendadak menyebabkan pembeli terkejut. “Sedangkan kita ambil dari orang mahal juga, terpaksa jual mahal, kalau jual murah tidak balik modal,” katanya semasa ditemui di Pasar Chabang Tiga, semalam. Katanya, dia kini hanya banyak berharap kepada pelanggan tetap membabitkan peniaga restoran dan kedai makan yang masih terus membeli bahan mentah di kedai ibunya. Sementara itu, Mohd Ariffin Abdul Rahman, 63, sebagai peniaga sayur-sayuran dia turut terkejut dengan kenaikan harga yang terlalu tinggi ketika ini dan tidak pernah berlaku sejaknya berniaga kira-kira 30 tahun lalu. “Saya harap kerajaan prihatin dengan isu ini, bila harga barang keperluan naik kena ambil berat tentang rakyat, prihatin kepada rakyat. “Pada saya, kerajaan perlu selaraskan harga, kalau orang ramai kurang berbelanja, peniaga seperti kami yang susah,” ujarnya. Manakala peniaga ikan, Abd Rahman Abdullah berpendapat, kerajaan perlu memandang serius perkara ini dan mengambil langkah proaktif untuk terus memantau kenaikan harga barangan dalam pasaran sebelum terus meningkat dan mencapai tahap kritikal.  
20 Sep 23
439
Sultan Mizan Rasmi Mercu Tanda Baharu Kuala Terengganu
Sultan Mizan Rasmi Mercu Tanda Baharu Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 20 September - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan mercu tanda baharu bandar ini iaitu Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), di Dewan Banquet Tingkat 1 bangunan tersebut hari ini. Turut berangkat ke majlis itu, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah. Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Isteri To' Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman serta kenamaan lain. Sultan dan Sultanah kemudiannya berangkat melawat Pameran Jubli Perak Sempena 25 Tahun Pemerintahan Tuanku Al Sultan, di aras bawah bangunan tersebut. Terdahulu Ahmad Samsuri mempersembahkan ucapannya menyentuh latar belakang pembinaan bangunan tersebut. "Bangunan kompleks pentadbiran MBKT mempunyai 30 tingkat dan merupakan bangunan yang tertinggi di negeri Terengganu. "Menara ini dibina dengan kos hampir RM200 juta, telah berjaya disiapkan dan mendapat Perakuan Siap Kerja (CPC) pada 4 Julai 2022 serta memperolehi Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 14 November 2022.  “Bangunan ini menempatkan hampir 1,000 kakitangan MBKT serta dilengkapi kemudahan fasiliti sokongan," katanya.  
20 Sep 23
4889
Pusat Sains Terengganu Catat Kehadiran Lebih 74,000
Pusat Sains Terengganu Catat Kehadiran Lebih 74,000
KUALA TERENGGANU, 20 September - Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) terus menjadi daya tarikan pelancongan berteraskan pendidikan apabila mencatatkan jumlah pengunjung tertinggi melebihi 74,000 orang. Tengku Seri Bijaya Raja, Setiausaha Kerajaan Terengganu berkata, jumlah kehadiran itu bermula Januari hingga Ogos tahun ini dan ia dijangka akan terus meningkat sehingga 150,000 sebagaimana yang disasarkan tahun ini. "Bagi pihak kerajaan negeri saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada PSKT kerana telah menjadi salah satu destinasi tarikan pelancongan berteraskan pendidikan (edu-tourism) yang mencatatkan jumlah pengunjung tertinggi," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap Menyempurnakan Majlis Penutup Pertandingan 'Spark Your Creativity Challenge 2023', di sini, semalam. Dalam pada itu, Tengku Seri Bijaya turut menyeru agar ibu bapa terus menjadikan PSKT sebagai pilihan untuk membawa anak-anak bagi meluangkan waktu dengan melakukan aktiviti yang bermanfaat. "Banyak aktiviti menarik yang disediakan agar anak-anak kita dapat menyuntik minat, membangunkan potensi dan memperkasakan daya saing dalam subjek berkaitan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM)," ujarnya.
20 Sep 23
246
Rakyat 'Nazak' Dengan Kenaikan Harga Barang
Rakyat 'Nazak' Dengan Kenaikan Harga Barang
KUALA TERENGGANU, 19 September - Kenaikan harga barangan terutama barang basah sejak kebelakangan ini benar-benar menghimpit hidup rakyat dan mereka meminta kerajaan melakukan sesuatu agar kenaikan harga itu dapat dikawal. Tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman di pasar-pasar sekitar bandar raya ini mendapati berlaku kenaikan harga barang basah yang agak tinggi. Beberapa pengguna yang ditemui mengharapkan kenaikan harga barang itu hanya bersifat sementara dan kerajaan terus memantau isu berkenaan Seorang suri rumah, Nora Ismail, 58, berkata, pengguna perlu bijak membeli barang secara berhemah dan mengamalkan gaya hidup berjimat cermat. “Kenaikan harga barangan sekarang ini sangat memberi kesan kepada pengguna, cuma beli apa yang perlu, pengguna perlu bijak berbelanja, kita hendak marah peniaga juga tidak boleh kerana mereka juga beli daripada orang tengah. “Kerajaan kena pantau harga, buat sesuatu untuk rakyat, semoga ada kebaikan kepada kesemua pihak,” ujarnya. Sementara itu, Nor Azrul Mohd Azhar, 45, berkata, kenaikan harga barang basah merungsingkannya sebagai seorang peniaga makanan.  “Saya jual makanan pagi seperti nasi lemak, nasi minyak dan lain-lain yang kebanyakkan berasaskan barangan basah seperti beras, ayam serta sayur-sayuran. “Kenaikan harga barangan sudah pasti memberi kesan kepada jualan saya dari segi modal dan keuntungan, sebagai contoh kalau dulu dengan RM100 boleh beli barang-barang untuk masak nasi sekarang kena keluarkan RM130,” ujarnya. Katanya, walaupun keuntungan sedikit terjejas dia tidak sampai hati untuk menaikkan harga makanan yang dijualnya kerana kesiankan pelanggan. Nor Azrul yang membuka kedai makan berhampiran Pasar Chabang Tiga berharap kerajaan terus memantau harga barang kerana ada peniaga menaikkan harga barang dengan alasan mereka turut membeli pada harga tinggi daripada pemborong atau orang tengah. “Pengguna kena pandai pilih, cari tempat-tempat yang jual murah, kadang ada juga peniaga yang ambil kesempatan dan ini sebenarnya tidak patut,” ujarnya.
19 Sep 23
416
Penjawat Awam Perlu Keluar Daripada Zon Selesa
Penjawat Awam Perlu Keluar Daripada Zon Selesa
KUALA TERENGGANU, 19 September – Ketua jabatan dan semua penjawat awam di negeri ini diingatkan agar jangan berada di zon selesa atau masih demam 'work from home' seperti Perintah kawalan Pergerakan (PKP) dan bekerja secara silo. Tengku Seri Bijaya Raja, Setiausaha Kerajaan Negeri berkata, ia selaras dengan hala tuju baharu kerajaan Terengganu iaitu, pentadbiran negeri akan masuk ‘gear 3’. Katanya, pentadbiran lebih agresif dan bergerak laju berbanding penggal lepas akan dilaksana dalam usaha merangka pelan secara komprehensif sebagaimana yang disuarakan oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad samsuri Mokhtar. “‘Move on’ dan kembali kepada kebiasaan dan pantas dalam menangani situasi. Banyak telah kita belajar semasa PKP, seperti membuat keputusan yang cepat, boleh bekerja  dengan situasi bertekanan tinggi, dan mesyuarat secara 'online' malah PKP mengajar kita era pendigitalan yang sangat efisen. “Justeru, suka saya ingatkan kepada semua bahawa budaya kerja cemerlang ini perlu diterapkan dan segala gerak kerja perlu la selangkah ke hadapan daripada apa yang ada hari ini,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perhimpunan Bulanan Dan Penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman Tahun 2023. Pada majlis tersebut seramai 19 penerima Anugerah Pekerja Cemerlang (APC) Bulanan Warga Kerja Wisma Darul Iman bagi bulan Julai, Ogos dan September tahun 2023 menerima insentif kecemerlangan sebanyak RM500 berserta sijil penghargaan. Menurut Tengku Seri Bijaya Raja, penganugerahan APC ini bukan sahaja merupakan pengiktirafan dan penghargaan kepada mereka yang terpilih malah sebagai penyuntik semangat dan pencetus azam untuk terus berkhidmat dengan lebih cemerlang khususnya dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan. Dalam majlis yang sama, turut diserikan dengan Penyerahan Sijil Pengiktirafan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu Kali Yang Ketiga (2023 -2025) dan Penyampaian Sijil Anugerah Pendigitalan Pengurusan Rekod Sektor Awam kepada Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Terengganu.    
19 Sep 23
307
Industri Pelancongan Islam Terengganu Berpotensi Ke Peringkat Global
Industri Pelancongan Islam Terengganu Berpotensi Ke Peringkat Global
KUALA TERENGGANU, 18 September – Terengganu berpotensi besar dalam mempromosikan pelancongan Islam ke peringkat global. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata Terengganu mempunyai produk pelancongan yang hebat dan unik bertaraf antarabangsa. Katanya, serta pelbagai tawaran lokaliti berasaskan pelancongan dan industri berkaitan yang memberi lonjakan kepada industri pelancongan global. “Segala-galanya ada di Terengganu termasuk alam semula jadi, gunung-ganang, sungai, keindahan tasik, panorama yang memukau di pulau-pulau serta pesisiran pantai yang menakjubkan. “Lebih-lebih lagi, aktiviti teras, hiliran dan sokongan berkaitan industri pelancongan dalam kepelbagaian terutama pelancongan Islam. “Justeru, negeri Terengganu dapat menawarkan permintaan dan penawaran yang lebih meluas,” katanya dalam hantaran di laman Facebook rasmi miliknya pada semalam. Terdahulu, beliau menghadiri makan malam World Islamic Tourism Awards (WITA) 2023 bersekalikan dengan persidangan Asia Islamic Tourism Expo-Exhibition and Conference Haji, Umrah dan Pelancongan Islam (AITEX) malam Jumaat lalu. “Saya sangat teruja kerana WITA dan AITEX berupaya mengangkat pelancongan Islam dan menyemarakkan ekonomi dan pemasaran industri pelancongan Islam tepat pada landasannya, selepas mendepani cabaran hebat sewaktu COVID-19 lalu. “Persidangan dihadiri pakar-pakar professional, peneraju dan usahawan hebat dari seluruh dunia berkongsi pandangan, pendapat dan perkongsian berkaitan pelancongan Islam. “Penyediaan pameran dengan keluasan 7,157 meter persegi dan dipenuhi dengan pemeran dari negara Timur Tengah dan Asia,” jelasnya. Beliau berkata, sudah tentu pakej seperti umrah dan pelancongan Islamik menjadi tarikan utama, di samping ruang khas untuk perbincangan mahupun MoU disediakan bagi menjalankan jaringan perniagaan masing-masing. Beliau turut memuji penganjur kerana menawarkan 55 anugerah mengikut kategori yang sudah tentu memberi pengiktirafan, penghargaan dan motivasi kepada mereka yang terpilih. “Terima kasih jua kerana saya berpeluang menyampaikan anugerah kepada pemenang bersama-sama tokoh tersohor dan negarawan negara, Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut hadir bersama. “Suasana santai begitu dirasai apatah lagi diselang-seli nyanyian dan irama Islamik, persembangan kombo dan pertunjukan fesyen Muslimah dan pakaian batik Malaysia,” ujarnya.    
18 Sep 23
592
Ahmad Samsuri Nafi SG4 Musuhi Persekutuan
Ahmad Samsuri Nafi SG4 Musuhi Persekutuan
KUALA NERUS, 18 September - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menafikan pembentukan empat negeri yang ditadbir Perikatan Nasional (PN) iaitu State-Government 4 atau SG4 sebagai langkah mahu memusuhi Kerajaan Persekutuan. Beliau sebaliknya menegaskan, pembentukan SG4 itu adalah untuk meningkatkan potensi empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis melalui kerjasama erat dalam bidang industri, pelancongan dan ekonomi. "Semua yang kita laksanakan ini, cari jalan sebanyak mungkin dengan pelbagai cara untuk meningkatkan tahap ekonomi dan perkara-perkara yang berkaitan di negeri-negeri yang ditadbir PN. "Apa juga usaha yang kita buat, dari kecil sehingga besar (termasuk pembentukan SG4) adakah itu dah dikira tak hormati Kerajaan Persekutuan?," soalnya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan sesetengah pihak kononnya pembentukan SG4 adalah seolah-olah memusuhi kerajaan Persekutuan. Tambahnya, pembentukan SG4 adalah antara inisiatif demi manfaat rakyat di negeri masing-masing tanpa wujudnya sebarang sentimen anti Kerajaan Persekutuan. "Pada peringkat ini pun kita sedang bekerjasama erat dengan Kerajaan Persekutuan melalui pelbagai agensi dan kementerian," katanya. "Saya pun baru minggu lepas hadir mesyuarat dengan ECRL, jadi tak timbul isu kita tidak hormati kerajaan persekutuan. Saya percaya untuk kita capai satu matlamat, kita harus guna pelbagai cara. Kiri kanan, atas bawah asalkan tercapai objektif yang kita ingin capai," katanya. Mengulas lanjut, Ahmad Samsuri berkata, projek pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah antara bukti betapa eratnya hubungan kerajaan negeri Terengganu dengan Kerajaan Persekutuan selama ini. Ditanya mengenai pemilihan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat tidak rasmi untuk SG4 pula, Ahmad Samsuri berkata peranan Tun Mahathir dalam menerajui kepimpinan negara selama ini wajar dimanfaatkan sepenuhnya. "Saya boleh katakan dalam pertemuan pertama antara Tun dengan kakitangan kerajaan negeri Terengganu sempena Program Retreat Exco baru-baru ini, beliau tak sentuh pun soal politik sepanjang 40 minit ucapannya. "Tun hanya sentuh mengenai pentadbiran dan bagaimana untuk meningkatkan kecekapan. "Adakah menjadi satu kesalahan bagi kami (SG4) untuk ambil ilmu dari individu yang telah terbukti kehebatan dan pencapaiannya selama ini," katanya. Tambahnya, pada tahun 2018 juga, kerajaan negeri Terengganu telah melantik bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Seri Khalid Ibrahim sebagai penasihat untuk hal ehwal ekonomi dan pelaburan serta pelbagai perkara yang berkaitan. 
18 Sep 23
802