Artikel "Utama" Terkini
Pusat Sains Terengganu Catat Kehadiran Luar Jangka
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober - Pusat Sains Kreativiti Terengganu (PSKT) mencatat kehadiran pengunjung di luar jangka iaitu melebihi 80,000 orang bermula Januari sehingga September 2023.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Ahmad Shah Muhamed berkata ini membuktikan bahawa PSKT menjadi tarikan baharu pengunjung ke bandaraya Kuala Terengganu.
Katanya, menerusi sektor edu-tourism ia dapat meningkatkan kesedaran terhadap pendidikan sains dan teknologi dalam kehidupan.
“PSKT mengambil langkah ini untuk menambah baik mekanisme pembelajaran dengan menerapkan konsep 'fun learning'.
“Ia bagi menghasilkan pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan diterima secara menyeluruh di seluruh peringkat umur,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam Kenyataan media selepas Majlis Perasmian dan Ikon Sains Sempena Karnival Minggu Sains Negara 2023 bertempat di Dewan Auditorium PSKT di sini semalam.
Turut hadir, pegawai-pegawai di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Mengulas lanjut mengenai Karnival Minggu Sains Negera Peringkat Negeri Terengganu Ahmad Shah berkata, pogram itu menggabungkan beberapa elemen pembelajaran STEM iaitu Sains, Teknologi, Enginering dan Matematik.
“Ia bertujuan bagi menarik minat masyarakat terhadap sains dan teknologi dalam pelbagai sektor," ujarnya.
Di samping, memastikan sains dan teknologi bergerak seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara.
01 Oct 23
1338
Dinosaur Dipamer di Pusat Sains Terengganu
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Pameran hidupan dinosaur prasejarah menjadi tarikan utama pengunjung di Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) di sini.
Pengurus Besar Wegrow Global, Dr Anir Syazwan Sharbirin berkata, dinosaur ini mempunyai sejarahnya tersendiri dan menariknya di galeri PSKT.
Katanya, ada dinosaur yang sebenarya ditemui di Malaysia dan kesahihannya disahkan oleh pakar penyelidik dari universiti tempatan.
"Dari sudut kami, ilmu mengenai dinosaur agak kurang diberi perhatian di Malaysia dan inisiatif kami pula menekankan pembelajaran di luar bilik darjah yang mesra untuk semua peringkat umur.
“Matlamat pembangunan Dinosaur Encounter adalah berdasarkan tiga cabang utama iaitu sains, teknologi dan pendidikan.
“Pameran ini bukan sekadar mempamerkan gergasi purba zaman dahulu, malah kami memanfaatkan aplikasi teknologi terkini untuk memupuk semangat belajar,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam Kenyataan media selepas Majlis Perasmian dan Ikon Sains Sempena Karnival Minggu Sains Negara 2023 bertempat di Dewan Auditorium PSKT di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Ahmad Shah Muhamed dan pegawai-pegawai di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).
Tambah Dr Anir, pendidikan dan Sains berasaskan teknologi perlu bergerak seiringan.
“Pendapat seperti ini sememangnya benar, namun konsepnya perlu diubahsuai supaya diterima dan dihayati dengan sempurna.
“Wegrow mengambil langkah ini untuk menambah baik mekanisme pembelajaran dengan menerapkan konsep ‘fun learning’.
“Sekali gus memberikan hasil pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan diterima secara menyeluruh,” jelasnya mengenai kepentingan pendidikan dan sains.
30 Sep 23
394
Ustaz Abdullah Khairi, 12 Lagi Pendakwah Selebriti Terima Tauliah di Terengganu
KUALA NERUS, 29 September - Seramai 12 orang pendakwah selebriti menerima tauliah mengajar agama oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).
Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), M Rozi Bidin berkata, kumpulan pendakwah tersebut menerima sijil tauliah pada sesi temu duga hujung Mei lalu bersama-sama Ustaz Azhar Idrus.
Katanya, antara selebriti terlibat ialah PU Syed (Syed Mohd Bakri Syed Ishak), Abdullah Khairi Haroon, Prof Madya Datuk Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, Ahmad Rizam Ghazali dan beberapa lagi.
“Tauliah mengajar yang dikeluarkan oleh Maidam itu sah untuk tempoh lima tahun bermula 1 Julai 2023 sehingga 30 Jun 2028.
“Tujuan tauliah tersebut bagi menyampaikan ceramah umum dan mengajar agama Islam berkitab di negeri ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri di Stadium Tertutup Negeri Gong Badak di sini, kelmarin.
Tambah M Rozi, setakat ini lebih 1,300 termasuk pendakwah selebriti yang menerima tauliah daripada Maidam.
Tambahnya, pihaknya juga menggalakkan mana-mana individu yang berkelayakan dari segi ilmu agama untuk memohon mendapatkan tauliah mengajar dan ceramah di masjid dan surau di seluruh Terengganu.
“Permohonan mereka akan dinilai dari beberapa aspek dan kriteria oleh satu jawatankuasa yang diketuai Mufti Terengganu, Datuk Mohamad Sabri Harun.
“Bagaimanapun, bukan semua permohonan akan diluluskan kerana kriteria itu perlu dipatuhi sepenuhnya dan setelah diberi kelulusan.
“Ia perlu dipersembahkan untuk mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin,” ujarnya.
29 Sep 23
2885
59 Bayi Permata Maulidur Rasul Lahir di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 28 September - Seramai 59 bayi Maulidur Rasul dilahirkan di negeri ini, membabitkan masing-masing 32 bayi lelaki dan 27 perempuan dengan kelahiran pertama bayi perempuan seberat 3.4 kilogram pada jam 7.13 semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim, berkata Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) mencatat kelahiran tertinggi iaitu 38 bayi, 10 di Hospital Kemaman, enam di Besut, tiga di Dungun dan dua di Hulu Terengganu sehingga jam 4 petang tadi.
"Pada hari ini, kita turut menyampaikan sumbangan berupa hamper bernilai RM50 dan bantuan tunai RM100 melalui program Permata Maulidur Rasul yang telah pun bermula sejak tahun 2013.
"Semoga semua sumbangan ini akan menceriakan lagi keluarga bayi bertuah Maulidur Rasul dan berharap semua bayi ini akan menjadi anak yang soleh dan solehah kepada ibu bapa mereka," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Permata Maulidur Rasul Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu Tahun 1445H/2023M bertempat di Pusat Rawatan Ibu & Bayi (PRIBA), Hospital Sultanah Nur Zahirah, di sini hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja; Pegawai Kewangan negeri, Dato' Nara Setia, Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Kasemani Embong dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Seorang ibu, Mimi Azuani Mohd Lazim, 36, berkata, dia amat bersyukur selepas anak ketiganya lahir pada hari Maulidur Rasul.
"Mengikut perkiraan doktor, bayi saya sepatutnya dilahirkan pada 3 Oktober depan tetapi ketika dalam perjalanan balik ke kampung halaman di Bachok, Kelantan... saya mula mengalami sakit seperti ingin buang air besar.
"Pada mulanya kami mencari tandas di hentian rehat dan rawat berdekatan tapi sakitnya belum hilang menyebabkan saya mula rasa ia tanda hendak bersalin.
"Sebaik sahaja saya memaklumkan kepada suami, dia terus memandu menuju ke HSNZ dan tiba pada 6.50 petang, terus dimasukkan ke bilik bersalin..Alhamdulillah semua selamat," katanya.
28 Sep 23
505
Yayasan Islam Johan Perarakan Maulidur Rasul Terengganu
KUALA NERUS, 28 September – Yayasan Islam Terengganu (YIT) dinobat sebagai johan pertandingan perarakan sempena Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu di sini.
Kontinjen YIT menjadi johan dalam kategori Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Negeri.
Terdahulu, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri bersama 2,208 peserta membabitkan 69 kontinjen berarak dari padang bola Tok Jiring ke Stadium Tertutup Gong Badak.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu bagi tahun 1445 Hijrah bersamaan 2023 Masihi di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini hari ini.
Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjadi johan dalam kategori Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Persekutuan.
Manakala, Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin (SMASZA) Ladang pula dinobat johan kategori Sekolah Menengah dan IPTA/IPTS.
Dalam pada itu, Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu dan JPKK Mukim Wakaf Tembesu juga dinobatkan sebagai johan.
Kedua-dua kontinjen tersebut menjadi johan dalam kategori Badan Bukan Kerajaan (NGO) Syarikat Swasta dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
Kesemua johan membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM3,000 beserta trofi dan sijil penyertaan.
Terdahulu, Keberangkatan Tuanku diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra.
Ketibaan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
28 Sep 23
1626
Sultan Terengganu Titah Rakyat Bersatu Bangunkan Negeri
KUALA NERUS, 28 September – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru seluruh rakyat supaya bersatu hati untuk membangunkan negeri dan mempertingkatkan perpaduan.
Sultan Mizan bertitah, sirah Baginda dan para sahabat perlu dijadikan panduan dalam mengamalkan segala ajaran Islam.
“Terdapat banyak contoh teladan yang boleh diikuti daripada sirah Rasulullah, terutama berkaitan akhlak Baginda.
“Sebagaimana Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam surah al-Ahzab, ayat 21.
“Baginda seorang yang amat menjaga keharmonian di kalangan masyarakat yang berbilang bangsa, kaum dan agama.
“Justeru itu, kasih sayang dan sikap toleransi seharusnya dipupuk dan disemai di kalangan kita di samping memangkin usaha memperkuatkan peribadi masyarakat dengan keluhuran akhlak yang mulia dan adab yang tinggi,” titahnya.
Sultan Mizan bertitah demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu bagi tahun 1445 Hijrah bersamaan 2023 Masihi di Stadium Tertutup Gong Badak, di sini hari ini.
Keberangkatan Tuanku diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra.
Ketibaan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Terdahulu, Ahmad Samsuri bersama 2,208 peserta membabitkan 69 kontinjen berarak dari padang bola Tok Jiring ke Stadium Tertutup Gong Badak.
28 Sep 23
440
69 Kontinjen Sertai Perarakan Sambutan Maulidur Rasul
KUALA NERUS, 28 September- Sebanyak 69 kontinjen terdiri pelbagai agensi kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan menyertai Perarakan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Terengganu 1445H/2023M, hari ini.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengetuai gerombolan pertama perarakan yang disertai Setiausaha Kerajaan Negeri Tengku Seri Bijaya Raja, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan ketua-ketua jabatan.
Seterusnya, ia diikuti pasukan-pasukan bertanding melibatkan seramai 2,208 peserta.
Perarakan bermula dari padang sintetik Kampung Tok Jiring pada jam 8.00 pagi melalui jarak sepanjang tiga kilometer.
Perarakan Sambutan Maulidur Rasul SAW Peringkat Negeri Terengganu berakhir di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT) pada kira-kira 8.45 pagi.
Dalam perarakan berkenaan, sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu Perarakan Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Negeri, Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Persekutuan, Pasukan Sekolah Menengah dan Institusi Pengajian Tinggi, Syarikat-syarikat Swasta serta Badan Bukan Kerajaan (NGO).
28 Sep 23
458
Ustaz Azhar Dapat Tauliah Mengajar
KUALA TERENGGANU, 27 September - Penceramah terkenal, Ustaz Azhar Idrus disahkan telah menerima tauliah mengajar daripada Majlis Agama dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).
Tauliah yang dikurniakan oleh MAIDAM itu sah untuk tempoh lima tahun bermula 1 Julai 2023 sehingga 30 Jun 2028 untuk menyampaikan kuliah agama secara berkitab serta ceramah umum.
Pada Mei lalu, Ustaz Azhar Idrus merupakan antara 10 penceramah agama yang menghadiri temuduga untuk mendapatkan tauliah bagi menyampaikan ceramah dan kuliah agama di masjid serta surau di negeri ini.
Proses temu duga itu telah dibuat oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) diketuai Mufti Terengganu, Dr Mohamad Sabri Harun.
Ustaz Azhar pernah menerima Anugerah Tokoh Media Bepengaruh dalam Majlis Apresiasi Media Terengganu yang dianjurkan kerajaan negeri pada tahun lalu.
Anak jati kampung Ladang itu yang dikenali sebagai 'daie sejuta umat' itu selama ini sangat aktif dalam menyampaikan kuliahnya juga sering terlibat dalam program keagamaan yang dianjurkan oleh kerajaan negeri antaranya ialah 'Himpunan Bicara Murabbi Ummah', 'karnival penghayatan Islam', 'Daie Nusantara' dan sebagainya.
Setiap kali diadakan program bersamanya pasti akan mengundang ribuan rakyat Terengganu yang hadir dan sentiasa mencuit hati apabila seringkali tampil bergandingan dengan Pengarah Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Kamaruzaman Abdullah.
Pada Ogos yang lalu, Ustaz Azhar Idrus juga telah tampil dalam 'Program Murabbi Nok jupe : Chat With Me 3.0' di Dataran Jambatan Angkat bersama Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
27 Sep 23
3824
Pendaratan Penyu di Terengganu Meningkat
KEMAMAN, 27 September – Kadar pendaratan penyu di sekitar pantai Terengganu semakin meningkat berbanding tahun sebelumnya.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata sehingga Ogos tahun ini 10,000 sarang penyu berjaya direkodkan.
Katanya, jumlah itu meningkat berbanding tahun 2021 yang hanya mencatatkan lebih 7,000 sarang penyu yang menghasilkan lebih 600,000 telur penyu.
“Angaran lebih 400,000 telur daripada jumlah tersebut menetas menghasilkan anak penyu dan dilepaskan kembali ke laut.
“Mengikut statistik, setiap seribu ekor anak penyu yang dilepaskan, seekor akan hidup sehingga dewasa dan kembali semula mendarat ke pantai di mana ia dilepaskan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika program konservasi penyu santai-santai bertenpat di Pusat Santuari Penyu Ma’ Daerah Kemaman di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat.
Mengulas mengenai program itu, Dr Azman berkata, lebih 400,000 ekor penyu dilepaskan dan pihaknya menjangkakan 400 penyu akan balik mendarat.
"Walaupun nisbah yang kecil namun kita tetap lepaskan supaya ia berterusan.
"Pada tahun 2022 daripada lebih 7,000 sarang naik kepada hampir 11,000 sarang yang menghasilkan 800,000 lebih telur.
“Lebih 500,000 anak penyu dilepaskan kembali ke laut dan kita berharap 500 anak penyu balik mendarat.
"Melihat statistik yang sedia ada fakta pendaratan penyu di Terengganu semakin meningkat dari tahun ke tahun,” ujarnya.
Beliau berkata, pelbagai usaha yang dijalankan oleh kerajaan negeri bersama agensi-agensi yang terlibat bagi memulihara, kesedaran terhadap telur penyu.
Untuk rekod, pada 15 November 2021, kerajaan negeri meluluskan Pindaan Enakmen Penyu 1951 yang sekali gus mengharamkan penjualan semua spesies telur penyu termasuk tuntung laut.
27 Sep 23
878
Terengganu Naikkan Bantuan Bulanan Asnaf
KUALA TERENGGANU, 26 September- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menaikkan kadar bantuan bulanan bagi golongan asnaf daripada RM300 kepada RM500.
Yang Dipertua MAIDAM, Dato' Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, penambahbaikan itu dilakukan bermula awal bulan lalu selepas mengambil kira keadaan semasa.
"Tambahan bantuan itu bagi membantu meringankan bebanan mereka berikutan kenaikan harga barangan.
"Seramai 609 golongan asnaf termasuk fakir dan miskin menerima bantuan bulanan daripada MAIDAM buat masa ini, " ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyerahan zakat perniagaan oleh Duyong Marina Resort di Pejabat MAIDAM, hari ini.
Pada majlis tersebut, Shaikh Harun yang mewakili MAIDAM menerima replika cek bayaran zakat perniagaan berjumlah RM38,143.68 daripada Pengurus Besar Duyong Marina Resort, Wan Mohd Faizul Wan Abas.
Sementara itu, mengulas mengenai sasaran kutipan zakat tahun ini, Shaikh Harun berkata, pihaknya menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM260 juta.
"Setakat ini kita berjaya membuat pungutan zakat sebanyak RM160 juta dan dengan berbaki lebih kurang tiga bulan lagi kita yakin sasaran ditetapkan akan tercapai kerana kebiasaannya ramai yang membuat bayaran zakat pada akhir-akhir tahun," katanya.
27 Sep 23
2291