lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Kerajaan Negeri Pertimbang Lantik ADUN Lantikan Pembangkang
Kerajaan Negeri Pertimbang Lantik ADUN Lantikan Pembangkang
KUALA TERENGGANU, 9 Oktober - Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan di kalangan pembangkang dan perkara tersebut masih dalam pertimbangan. Ahmad Samsuri berkata, pihaknya akan meneliti keperluan ADUN lantikan yang berperanan sebagai semak dan imbang dalam pentadbiran negeri itu dalam tempoh terdekat berpandukan kriteria yang ditetapkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.  “Kita akan pertimbangkan untuk buat pelantikan (ADUN lantikan) berdasarkan kriteria-kriteria yang ada dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri. “Kita tidak menolak ADUN lantikan, malah ketika ini sedang meneliti perkara tersebut dan melihat keperluannya dalam masa terdekat ini,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penganugerahan Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu 2023 di Wisma Darul Iman, hari ini. Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja. Katanya, menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, jumlah maksimum ADUN lantikan adalah seramai empat orang berpandukan kepada syarat yang telah ditetapkan. “Kouta ada sebanyak empat orang dan kena ada syarat-syaratnya, jadi samada satu, dua, tiga atau empat itu kita akan tengok kepada keperluan,” ujarnya. Sementara itu katanya, kerajaan negeri sentiasa mengambil kira setiap teguran dan kritikan rakyat termasuk aduan kepada mana-mana agensi kerajaan bagi sebarang penambahbaikan. “Rakyat berperanan sebagai semak dan imbang kerajaan dan bebas menegur sekiranya terdapat kekurangan yang perlu diperbaiki. " Setiap agensi dan jabatan ada sistem perhubungan masing-masing, sama ada melalui portal, website dan sebagainya yang sedia menerima pandangan , kritikan atau teguran daripada rakyat,” ujarnya.  
09 Oct 23
448
Setiu Daerah Penelur
Setiu Daerah Penelur
KUALA TERENGGANU, 9 Oktober - Industri ternakan ayam penelur bakal diwujudkan di daerah Setiu bagi memastikan rakyat Malaysia tidak mengalami masalah gangguan telur. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan makanan dan Komoditi, Dr. Azman Ibrahim berkata, tanah 300 ekar di Setiu telah disediakan bagi memenuhi keperluan itu. Katanya, langkah itu juga dibuat bagi memastikan bidang itu tidak dikuasai pihak kartel. "Pagi ini lawatan dan perbincangan yang sangat positif kami adakan bersama pengurusan Ladang Ternakan Ayam Penelur, Sekasih Aman Sdn Bhd. "Sebuah syarikat milik orang Melayu anak jati Terengganu yang beroperasi di Kalumpang, Hulu Selangor," ujarnya melalui satu kenyataan di facebooknya, di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut katanya, syarikat tersebut mempunyai kira-kira 1 juta ekor ternakan ayam penelur dengan kapisiti pengeluaran melebih 500,000 butir dalam sehari. "Menariknya kerana syarikat ini (juga) memiliki  ladang penetasan anak ayam dan kilang makanan sendiri," ujarnya. Terdahulu, pada tahun lalu Dr Azman berkata kerajaan membuka peluang kepada sesiapa yang berminat mengusahakan penternakan ayam penelur dengan menyediakan tanah penternakan di Setiu. Katanya, kerajaan negeri sangat mengalu-alukan rakyat yang berminat untuk mengusahakan ternakan ayam telur bagi meningkatkan hasil sumber makanan negeri kerana Terengganu masih sebelum ini bergantung sepenuhnya bekalan telur dari luar kerana masih belum ada yang mengusahakannya.      
09 Oct 23
390
Ayuh Meriahkan Tasik Kenyir!
Ayuh Meriahkan Tasik Kenyir!
KUALA BERANG, 9 Oktober- Kerajaan negeri Terengganu mengalu-alukan mana-mana pihak yang ingin mengadakan sebarang program mahupun aktiviti di Pulau Poh, Kenyir. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim, pihak kerajaan tidak menghalang bahkan menggalakkan penganjuran aktiviti di seluruh kawasan Tasik Kenyir umumnya. "Kita mengalu-alukan mana-mana pihak untuk memeriahkan dan mengadakan program serta aktiviti di Pulau Poh ini. Sebarang program versi pelancongan boleh merujuk kepada Tourism Terengganu, manakala bagi penganjuran versi sukan boleh merujuk kepada saya," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutup Terengganu INC Challenge Series PTT XCO Jamborace & Funrace Kenyir 2023 bertempat di Dataran Pulau Poh, semalam. Acara basikal lasak itu menyaksikan 10 kategori dipertandingkan selama dua hari berlangsung dengan hadiah keseluruhan bernilai RM100,000 menjadi ganjaran pemenang dan peserta bertuah. Bagi pihak kerajaan negeri, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada anak syarikat kerajaan negeri, Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn Bhd atas kejayaan menganjurkan program berbasikal tersebut buat julung kalinya di Pulau Poh memandangkan kawasan hutan dara tersebut baru dibuka secara rasminya pada bulan lalu. "Kita berbangga dengan Terengganu Inc dalam menganjurkan aktiviti sukan dan merancakkan masyarakat dengan aktiviti-aktivi sihat. "Apa yang menarik Terengganu Inc sering membuka tempat-tempat baru untuk penggiat sukan berbasikal dalam mereka menerokai tempat menarik di Terengganu," katanya.
09 Oct 23
930
MB Seru Rakyat Bermunajat Agar Tanah Air Palestin Dikembalikan
MB Seru Rakyat Bermunajat Agar Tanah Air Palestin Dikembalikan
KUALA TERENGGANU, 8 Oktober - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyeru seluruh rakyat untuk mengadakan munajat khusus bagi mendoakan kejayaan pasukan Hamas yang pada ketika ini berusaha keras bagi mengembalikan semula tanah air Palestin kepada rakyatnya. "Saudaraku di bumi Malaysia, Pasukan Hamas dan Jihad Islami telah melancarkan serangan menentang kezaliman Israel dalam Operasi Taufan Al-Aqsa. "Marilah sama-sama kita berdoa bersungguh-sungguh, bermunajat dan menunaikan solat hajat buat saudara-saudara Islam kita di bumi Gaza yang kini sedang berjuang mengambil kembali tanah air mereka, Palestin daripada rejim Israel," ujarnya melalui facebook rasminya, di sini, hari ini. Tambah beliau, rakyat Malaysia harus membuktikan solidariti walaupun berada jauh daripada negara jantung hati umat Islam itu yang sekian lama mengharapkan Palestin akan dibebaskan daripada Rejim Zionis, "Dengan sama-sama kita menunaikan solat hajat, membaca doa qunut nazilah dan bermunajat untuk saudara kita di bumi Gaza," katanya. Terdahulu, kumpulan pejuang Palestin iaitu Hamas dan Jihad Islami melancarkan operasi ketenteraan mengejut ke atas negara haram Israel yang dikenali sebagai 'Taufan Al-Aqsa' yang dilancarkan dari darat, udara dan laut. Sehingga kini lebih 2,200 serangan roket dilancarkan ke atas wilayah Palestin yang dijajah Zionis Israel seperti Utara Gaza, Esklain, Bir Al-Saba, Ashdoud, Tel Aviv dan Jerusalem.  
08 Oct 23
576
Jawatankuasa Baharu Masjid Akan Dilantik Tahun Hadapan
Jawatankuasa Baharu Masjid Akan Dilantik Tahun Hadapan
KUALA TERENGGANU, 8 Oktober - Proses pelantikan ahli jawatankuasa (AJK) masjid yang baharu di negeri ini akan bermula pada 1 Januari tahun hadapan. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Sheikh Ismail berkata, AJK masjid sebelum ini telah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin untuk meneruskan lagi perkhidmatan selama tiga bulan "Sepatutnya tempoh perkhidmadtan berakhir pada 30 September baru-baru ini, namun atas perkenan Tuanku, ia dilanjutkan hingga akhir tahun ini. "Jadi AJK di masjid dan surau yang ada sekarang ini akan tamat pada 31 Disember 2023, jawatankuasa baru akan diproses bermula 1 Januari 2024 dan akan tamah tempoh lantikan pada 31 Disember 2026, selama tiga tahun," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabat MAIDAM baru-baru ini. Mengulas lebih lanjut katanya, 16 orang akan dilantik sebagai AJK masjid yang baharu setelah mendapat perkenan Sultan Terengganu. "Dalam 16 orang itu 10 orang akan dilantik oleh Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) yang terdiri Pengerusi, Timbalan Pengerusi, Setiausaha, Bendahari. "JHEAT juga akan meluluskan baki enam lagi jawatankuasa dengan sekurangnya diwakili dua orang wanita dan dua orang belia setelah dipilih oleh anak mukim atau komuniti setempat," ujarnya. Katanya, penambahbaikan yang akan dilakukan itu nanti berdasarkan hasil tinjauan yang telah dijalankan selama ini supaya institusi berkenaan tambah diperkasakan. "Dalam masa enam bulan kita juga akan aturkan kursus wajib untuk dihadiri oleh ahli jawatankuasa di 510 buah masjid ini untuk mengendalikan masjid dan memainkan peranan serta tugas bagi memastikan masjid akan lebih meriah dan diamarahkan. "Hendak tengok ada perubahan dalam melakukan kegiatan masjid kerana wawasan kita selama ini kalau boleh kita hendak tengok Solat Subuh jemaahnya hadir macam waktu Solat Jumaat," ujarnya.
08 Oct 23
1602
Enam Kawasan di Stesen ECRL Bakal Dibangunkan Kerajaan Negeri
Enam Kawasan di Stesen ECRL Bakal Dibangunkan Kerajaan Negeri
KUALA TERENGGANU, 8 Oktober - Kerajaan Negeri dalam proses bagi membangunkan kawasan di sekitar enam stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) supaya menjadi pusat pemangkin pertumbuhan ekonomi dan industri baharu. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkaitan sedang merangka pelan induk bagi melaksanakan Pembangunan Berorientasikan Transit (Transit Oriented Development-TOD) di kawasan-kawasan tersebut. "Katanya, beberapa siri mesyuarat yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Tempatan juga, telah dilaksanakan bagi menyelaras perangkaan pelan induk ini. “TOD ini adalah pendekatan perancangan bandar yang menekankan kepada pembangunan kawasan bercampur penggunaannya, mudah dijelajah dan dibangunkan dengan sistem pengangkutan yang cekap," katanya. Beliau berkata demikian di sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15 baru-baru ini. Tambah Ahmad Samsuri, TOD akan mampu memperkukuhkan kehidupan bandar yang lebih baik, lebih berdaya maju dan mesra alam. “Dengan menggabungkan penduduk, aktiviti ekonomi dan ruang awam sambil menggalakkan kemudahan berjalan kaki dan berbasikal,” katanya. Selain itu, Kerajaan Negeri bersama pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga sedang merangka perancangan bagi Economic Accelarator Projects (EAP). “Ia bertujuan bagi merancakkan lagi pembangunan ekonomi dan industri kawasan sekitar stesen ECRL,” ujarnya.                  
08 Oct 23
4982
Kerajaan Negeri Ambil Serius Isu Solat
Kerajaan Negeri Ambil Serius Isu Solat
KUALA TERENGGANU, 8 oktober - Kerajaan negeri mengambil serius teguran rakyat dalam memastikan setiap rakyat yang hadir dalam setiap program tidak mengabaikan kewajipan menunaikan solat fardu. Pengerusi Jawatankuasa, Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, kerajaan negeri sangat menghargai akan kecaknaan pihak terbabit yang prihatin dan memberikan pandangan agar berlaku penambahbaikan untuk setiap program yang akan diadakan selepas ini. Ujarnya, isu mula timbul apabila wujud dakwaan segelintir pengunjung yang hadir ke program Persembahan TATU Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diadakan baru-baru ini tidak menunaikan solat "Dengan adanya isu seperti yang dibangkitkan oleh saudara Sukri Sulaiman itu, pihak kerajaan negeri melihat ia suatu perkara yang serius, bahkan pihak kerajaan akan mengambil langkah yang proaktif dalam memastikan perkara seperti itu tidak akan berulang kembali. "Di samping pada penggal ini usaha melalui portfolio EXCO Dakwah, Penerangan dan Pelaksanaan Syariah akan mengambil pendekatan (memperkasakan dakwah) melalui penerapan penghayatan dan pegangan 'Indahnya Hidup Bersyariat' bagi mendokong hasrat dalam mencapai maskud slogan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera," ujarnya. Beliau berkata demikian melalui hantaran di facebooknya, di sini, hari ini. Mengulas lanjut katanya, sikap sebilangan besar pengunjung yang kelihatan mendirikan solat walaupun dalam keadaan sesak dengan lautan pengunjung sewajarnya dijadikan contoh. "Sikap individu rakyat Terengganu seperti ini amatlah patut diberi pujian kerana memahami akan tanggungjawab sebagai seorang muslim menunaikan kefarduan solat tanpa mengharapkan alternatif daripada mana-mana pihak dalam menunaikan kewajipan solat itu. "Tempat wuduk dan ruangan solat sememangnya sudah ada disediakan bagi tujuan kemudahan kepada para pengunjung yang hadir bagi program tersebut. "Bahkan ia suatu kelaziman yang berlaku dari sesi penggal yang lalu terutama bagi memberi kemudahan dalam program-program seperti ini contohnya penganjuran perlawanan bola sepak," ujarnya. Dalam pada itu katanya, sejak penggal yang lalu lagi kerajaan Terengganu telah menerapkan kesedaran rakyat mengenai kewajipan menunaikan rukun Islam yang kedua tersebut. "Bagi menghidupkan solat fardu secara berjemaah di lokasi program terutamanya kalangan anak muda, Namun program TATU yang berlangsung baru ini ada sedikit terlepas pandang oleh pihak kerajaan untuk mengambil perjalanan secara berfokus dalam perkara ini. "Dengan harapan para pengunjung sedia memahami apa yang sepatutnya masing-masing lakukan dalam menunaikan tanggungjawab kewajipan solatan ke atas setiap individu muslim. Bahkan sebelum ini pengunjung mampu untuk menguruskan pergerakan mereka dalam menunaikan kewajipan solat. "Terutama pada ruangan stadium ketika perlawanan bola sepak diadakan di situ," katanya.  
08 Oct 23
238
Serangan 'Taufan Al-Aqsa' Hamas Sedang Landa Israel
Serangan 'Taufan Al-Aqsa' Hamas Sedang Landa Israel
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober - Kumpulan pejuang Palestin iaitu Hamas dan Jihad Islami melancarkan operasi ketenteraan mengejut ke atas negara haram Israel yang dikenali sebagai 'Taufan Al Aqsa'. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata serangan itu dilancarkan dari darat, udara dan laut. Katanya, ia berikutan pencerobohan berterusan pendatang haram yahudi termasuk pemimpin utama regim zionis Israel ke atas Masjid Al-Aqsa di samping kekejaman dan kezaliman yang berterusan ke atas rakyat Palestin. “Sehingga kini tentera regim zionis Israel melaporkan lebih 2,200 serangan roket dilancarkan ke atas wilayah Palestin yang dijajah regim zionis Israel seperti utara Gaza, Esklan, Bir Al-Saba, Ashdoud, Tel Aviv dan Jerusalem. “Kumpulan pejuang Palestin juga telah berjaya melepasi dan kemudiannya merobohkan pagar sempadan regim zionis Israel di Semenanjung Gaza serta manawan dan membebaskan sekurang-kurangnya 3 wilayah (penempatan) yang sebelum ini dikuasai regim zionis Israel. “Hamas kemudiannya mengumumkan telah berjaya menawan kembali Timur Rafah,” katanya melalui hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini. Tambah Dr Khalil, ketika ini dilaporkan sedang berlangsung pertempuran sengit antara kumpulan pejuang Palestin dan tentera regim zionis Israel di sekurang-kurangnya 20 lokasi di utara Gaza. “Kumpulan pejuang Palestin terus melancarkan serangan roket ke atas Tel Aviv, Jerusalem dan lokasi-lokasi penting regim zionis Israel. “Dilaporkan juga berkemungkinan satu pengkalan tentera regim zionis Israel telah ditawan kumpulan pejuang Palestin.  “Berikutan serangan kumpulan pejuang Palestin, puluhan tentera dan polis regim zionis Israel ditembak mati termasuk ditawan termasuk ditawan seorang pegawai tertinggi tentera regim zionis Israel,” ujarnya. Menurut satu sumber, sekurangnya-kurangnya 60 orang pendatang haram yahudi ditawan kumpulan pejuang Palestin dan pendatang haram yahudi secara beramai-ramai telah meninggalkan wilayah yang ditawan dan berada dalam kawasan operasi ketenteraan kumpulan pejuang Palestin. Terkini, warga Palestin telah mula memasuki wilayah yang telah ditawan kumpulan pejuang Palestin dan kumpulan pejuang Palestin sedang meluaskan kawasan operasi ketenteraan dan memperhebatkan serangan ke atas regim zionis Israel.
07 Oct 23
1250
Masalah Emosi Isu Utama Suri Rumah
Masalah Emosi Isu Utama Suri Rumah
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober - Masalah emosi dikenal pasti menjadi isu utama kesihatan mental rakyat terutama dalam kalangan suri rumah tangga. Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Wan Nur Sakinah Din berkata, ramai yang beranggapan bahawa golongan ini tidak menghadapi stress memandangkan mereka hanya duduk di rumah dan ‘tidak bekerja’. "Alhamdulillah, Program Inspirasi Suri Sejahtera ini diadakan sebagai salah satu inisiatif Kerajaan Negeri Terengganu bagi menyediakan platform kepada wanita Terengganu. "Supaya dapat membantu menyelesaikan masalah yang membelenggu dan menggusarkan mereka diuji dengan masalah kesihatan mental," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Inspirasi Suri Sejahtera yang diadakan di Dewan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK), pada Khamis. Menurutnya, Kerajaan negeri memandang serius kebajikan rakyat termasuklah kaum wanita dan ini dizahirkan melalui Pelan Induk Terengganu Sejahtera  2030 (PITAS 2030) yang telah dilancarkan pada Julai 2018. "Kerajaan Negeri Terengganu sangat memartabatkan wanita Terengganu.  "USWa banyak menganjurkan pengisian-pengisian khas untuk kaum wanita, antaranya termasuklah Suara Hati Wanita yang menampilkan para panel pakar di dalam pelbagai bidang dalam undang-undang, jenayah dan psikologi," ujarnya. Justeru itu, beliau menyeru agar semua pihak menyokong usaha-usaha kerajaan dalam melaksanakan program-program dakwah, kebajikan khususnya buat  wanita Terengganu. "Insya Allah pada masa yang mendatang, Kerajaan Negeri Terengganu akan sedaya upaya mengerahkan tenaga memberikan yang terbaik untuk rakyat selari dengan slogan Terengganu Maju Berkat Sejahtera," tambah beliau. Sementara itu, Kerajaan negeri juga tidak menghalang wanita Terengganu untuk berhibur. "Namun perlulah ada garis panduan dan ini dibuktikan melalui program Alamanda Fun Run, Sukan Untuk Wanita (SUKWA), dan Terengganu Hijab Day (THD).  "Kerajaan Negeri Terengganu telah melancarkan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri TerenggaTerengganu yang telah dilancarkan pada 3 Mac 2020," katanya lagi.
07 Oct 23
340
Gelagat UAI Curi Tumpuan Malam TATU ATM
Gelagat UAI Curi Tumpuan Malam TATU ATM
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober - Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) tidak melepaskan peluang menyaksikan Persembahan TATU Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diadakan semalam. Persembahan tersebut bersempena dengan sambutan Jubli Perak 25 tahun pemerintahan KDYMM Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin. UAI yang hadir bersama keluarganya itu menerima sorakan yang meriah oleh orang awam yang hadir semalam. Murabbi sejuta ummah itu juga sempat meluangkan masa bergambar dengan barisan tentera yang membuat persembahan pada malam tersebut. Beliau yang hadir pada sekitar jam 7.30 malam itu dikawal dengan baik oleh pembantunya walaupun ribuan manusia yang hadir pada malam tersebut. Dianggarkan seramai 50,000 orang pengunjung yang berada di dalam dan luar Stadium Sultan Ismail, Nasiruddin Shah semalam. Orang ramai mula membanjiri tapak perkarangan stadium sekitar jam 4.00 petang serta tidak melepaskan peluang melihat pameran-pameran yang disediakan oleh ATM. Sebanyak 12 persembahan dihidangkan kepada pengunjung dengan aksi luar biasa yang memerlukan kemahiran profesional seperti menunggang motosikal dengan pelbagai gaya. Selain itu, kawalan anjing perang juga memerlukan kemahiran yang hanya boleh dikawal oleh anggota tertentu sahaja. Tembakan bunga api yang penuh warna-warni di udara menamatkan persembahan TATU ATM pada malam tersebut.        
07 Oct 23
6142