Artikel "Utama" Terkini
Persembahan TATU ATM Pukau 50,000 Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober - Persembahan TATU Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memukau lebih 50,000 penonton di dalam dan luar Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah (SSINS) di sini, semalam.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Persembahan berkenaan bersempena Sambutan Jubli Perak 25 Tahun Pemerintahan Tuanku.
Turut mengiringi baginda, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail dan YAM Tengku Puteri Daulath Raja, Tengku Fatimatuz Zahra.
Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.
Program yang berlangsung di bandar raya Kuala Terengganu itu bermula pada jam 8.00 malam.
Orang ramai mula membanjiri tapak perkarangan stadium sekitar jam 4.00 petang serta tidak melepaskan peluang melihat pameran-pameran yang disediakan oleh ATM.
Pameran tersebut melibatkan pelbagai aset yang digunakan oleh Tentera Darat Malaysia (TDM) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seperti kereta kebal, helikopter dan sebagainya.
Di samping, turut disediakan jualan makanan kepada pengunjung di sepanjang laluan pameran tersebut.
Sebanyak 12 persembahan disediakan kepada pengunjung dengan pelbagai aksi menarik yang dipersembahkan seperti aksi motosikal oleh pasukan army red warrior.
Turut mencuri tumpuan pada persembahan tersebut adalah demonstrasi menyelamatkan tebusan 11 rejimen gerak khas.
Persembahan tersebut memukau penonton apabila melibatkan bahan letupan bom dan senjata api.
Program yang berakhir pada pukul 12 malam itu berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan yang meriah oleh para penonton yang hadir.
07 Oct 23
1357
Sultan Mizan Mahu Masjid Berperanan Sebagai Pusat Komuniti
MARANG, 7 Oktober - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menyeru semua masjid memainkan peranan sebagai pusat komuniti dengan mendekati semua lapisan masyarakat dan cakna terhadap perkembangan teknologi masa kini.
Titah Baginda, Masjid juga hendaklah berperanan dengan baik dalam menyampaikan mesej kebaikan kepada masyarakat di samping menjadi tempat ibadah dan pusat penyebaran ilmu.
"Peranan Masjid juga perlu dikembangkan selaras dengan perkembangan semasa. Alat-alat komunikasi moden masa kini perlu dimanfaatkan sebaik yang mungkin.
"Strategi dakwah juga haruslah dirangka dengan baik dan berkesan agar peranan Masjid dalam memupuk nilai-nilai takwa kepada masyarakat benar-benar terlaksana dengan jayanya," titah Baginda.
Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Majlis Perasmian Masjid Kubang Ikan di Kampung Chendering di sini semalam.
Baginda juga berkenan menukar nama Masjid Kubang Ikan kepada Masjid Tengku Besar Terengganu pada majlis berkenaan.
Sultan Mizan turut mengingatkan Pengurusan Masjid supaya berperanan sepertimana zaman Nabi
Muhammad SAW dengan melaksanakan pelbagai kegiatan ilmu, aktiviti kemasyarakatan dan kemanusiaan yang berjaya
mengangkat martabat ummah.
"Usaha yang bersepadu bagi mempromosi dan menyemarakkan program-program di masjid perlu diperkasakan dengan pelbagai cara agar ianya sampai ke setiap lapisan masyarakat.
"Beta amat mengharapkan setiap program yang dilaksanakan haruslah dapat mencapai matlamat
ketakwaan dan memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat agar ummat Islam bersatu padu dalam meninggikan syiar Islam di negeri yang kita cintai ini," titah Baginda.
07 Oct 23
306
TATU ATM di Terengganu Catat Malaysia Books Of Record
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober - Program TATU Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang diadakan di Terengganu berjaya mencatatkan Malaysia Book Of Record.
Ia mendapat pengiktirafan itu apabila Gerbang (Facade) terbesar berjaya dibina Sempena Sambutan Jubli Perak 25 tahun Pemerintahan Tuanku.
Sambutan Jubli Perak pemerintahan Sultan atau Raja merupakan peristiwa yang sangat istimewa yang sangat jarang berlaku.
Gerbang (Facade) Terbesar Sempena Sambutan Jubli Perak 25 tahun Pemerintahan
Kali terakhir sambutan jubli perak disambut pada tahun 1970.
Pada ketika itu, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Sultan Ismail Nasiruddin Shah menjadi Sultan Terengganu.
Peristiwa tersebut telah berlaku 53 tahun lalu merupakan satu tempoh masa yang sangat Panjang.
Oleh itu bersempena Sambutan Jubli Perak 25 tahun Pemerintahan KDYMM Sultan Mizan pada tahun ini merupakan peristiwa yang bersejarah bagi negeri Terengganu.
Pertunjukan TATU Angkatan Tentera Malaysia menjadi kemuncak kepada sambutan kali ini.
Dijayakan dengan lebih 2,500 orang anggota tentera sekali gus menjadikan Jubli Perak lebih bermakna.
Sebanyak 10 persembahan pada program berkenaan yang mempunyai aksi yang luar biasa dipamerkan oleh para tentera yang profesional.
Pertunjukan tersebut dimulakan dengan pancaragam gabungan, demonstrasi menyelamatkan tebusan 11 rejimen gerak khas, persembahan drum line, tempur tanpa senjata, kawad senyap serta skuadron istiadat berkuda (SIB).
Selain itu, turut mencuri tumpuan tarian perang 10 briged (PARA), anjing perang, pancaragam gabungan dan pertunjukan army red warrior, pertunjukan terjun bebas 10 briged (PARA) dan pertunjukan bunga api.
07 Oct 23
4526
Terengganu Tidak Sekat Kebebasan Atlet Bukan Muslim
KUALA TERENGGANU, 7 Oktober - Kerajaan Terengganu tidak pernah melarang atau menyekat kebebasan atlet wanita bukan Muslim untuk mewakili negeri dalam acara sukan seperti gimnastik dan renang sekalipun ia tidak mematuhi konsep mesra syariah.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan Negeri dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim berharap, kenyataannya sebelum ini difahami sebaiknya.
"Kita telah jelaskan dari awal, ia tidak terikat bagi bukan Muslim, kita tidak boleh paksa mereka tutup aurat dan syarat ini tertakluk dalam atlet Muslim sahaja kerana tanggungjawab kita untuk menjaganya.
"Kita jaga orang bukan Muslim sama sahaja, kalau agama mereka kata boleh maka, tiada masalah," katanya ketika ditemui pemberita selepas pra pelancaran International Golden Monsun Ride (IGMR) 2023, di sini kelmarin
Tambahnya, apa yang penting individu tersebut perlulah berbakat dan berasal dari Terengganu untuk layak mewakili negeri.
Menurut Hishammuddin, pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 yang lalu, Terengganu menghantar atlet gimnastik berbangsa Cina.
"Ada, atlet renang juga ada," ujarnya.
07 Oct 23
584
Sultan Mizan Rasmi Masjid Tengku Besar Terengganu
MARANG, 6 Oktober - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Masjid Kubang Ikan di Kampung Chendering di sini hari ini.
Baginda juga berkenan menukar nama Masjid Kubang Ikan kepada Masjid Tengku Besar Terengganu pada majlis berkenaan.
Keberangkatan Baginda diiringi Yang Di-Pertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin.
Ketibaan Sultan Mizan disambut oleh Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah; Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nara Setia.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Majlis Perasmian Masjid Kampung Kubang Ikan, Kuala Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi dan Ahli Dewan Pangkuan DiRaja Terengganu, Dato’ Haji Shaikh Harun Shaikh Ismail.
Sejurus selesai majlis perasmian, Baginda turut menunaikan sembahyang Jumaat bersama masyarakat setempat yang turut hadir menyaksikan majlis bersejarah itu.
Baginda seterusnya ke majlis santapan tengahari di pekarangan masjid sebelum berangkat meninggalkan majlis.
Masjid Kubang Ikan mula dibina diatas tanah keluasan 1.7785 hektar pada 1 Mei 2011 dan siap dibina sepenuhnya pada 28 Mac 2013 dengan kos RM12 juta hasil sumbangan derma yang disalurkan melalui Dato’ Pengelola Bijaya DiRaja.
Solat Jumaat pertama telah didirikan pada 12 April 2013 bersamaan 01 Jamadil Akhir 1434h.
Bangunan masjid ini dapat menampung kira-kira 1500 orang jemaah dalam satu-satu masa, dilengkapi pelbagai kemudahan merangkumi Ruang Solat Utama, Ruang Solat Muslimah, Tempat Wuduk lelaki dan Perempuan, Bilik VIP, Minaret dan lain-lain.
06 Oct 23
3576
Siapa CEO Terengganu FC?
KUALA TERENGGANU, 5 Oktober - Teka-teki ketua pegawai eksekutif Terengganu FC bakal terjawab pada Ahad ini.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishammuddin Abdul Karim keputusan itu akan dinoktahkan selepas mesyuarat Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) pada hari berkenaan.
"Buat masa ini, tugas tersebut akan dipangku Ketua Pegawai Operasi (COO), Mohd Sabri Abas.
"Walaupun Terengganu FC diswastakan, ia masih terikat dengan sumber daripada kerajaan negeri.
"Lazimnya, kita akan utamakan posisi tersebut dengan individu daripada kumpulan pegawai tadbir negeri untuk mengisi kekosongan," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pra Pelancaran Internacional Golden Monsun Ride (IGMR) 2023, di sini hari ini.
Beliau sempat merakamkan ucapan tahniah atas peningkatan prestasi Terengganu FC di peringkat domestik dan antarabangsa.
"Prestasi semakin baik, tahniah kepada pasukan Terengganu FC kerana mencatatkan keputusan membanggakan terutama dalam saingan Piala AFC," katanya.
Sebagai rekod, CEO Terengganu FC sebelum ini, Ab Rasid Jusoh meninggalkan kelab pada awal Oktober lalu, selepas dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu ( Pengurusan ).
05 Oct 23
2075
13 Kategori Perlumbaan 'Hangatkan' IGMR 2023
KUALA TERENGGANU, 5 Oktober - International Golden Monsun Ride (IGMR) 2023 menawarkan 13 kategori perlumbaan melalui kejohanan edisi ketiganya pada 16 Disember ini.
Kategori dipertandingkan ialah Men Elite, Men Open dan Junior, Master A,B,C, Women Open dan Master, Heavyweight, Fat Bike Open, E-Bike Open dan Gravel Bike Open.
Satu lagi kategori ialah kayuhan Fun Ride Open yang menampilkan pelumba-pelumba Terengganu Polygon Cycling Team (TSG).
Presiden dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Terengganu Incorporated (Terengganu Inc), Burhanuddin Hilmi Mohamed @Harun berkata, IGMR menawarkan hadiah keseluruhan berupa wang tunai berjumlah RM31,000.
"Acara sukan berbasikal ini akan diadakan di Teluk Kalong ,Kemaman.
"Peserta-peserta bagi semua 13 kategori akan menempuhi laluan beberapa destinasi pelancongan dan trak 'off road' di Kijal dan Kemasik," katanya dalam ucapan alu-aluannya pada Pra Pelancaran IGMR 2023 di KTCC Mall, hari ini.
Lebih menarik, acara tahun ini turut menawarkan pelbagai hadiah cabutan bertuah bernilai RM120,000 dengan hadiah utama berupa sebuah kereta Perodua Myvi 1.3 Auto.
Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim.
Turut hadir, timbalannya Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli, pengurusan EPIC Berhad serta ketua-ketua syarikat di bawah Kumpulan Terengganu Inc.
Pendaftaran dibuka kepada orang ramai sehingga pertengahan November melalui pautan https://bit.ly/DaftarIGMR2023 dengan tawaran 'early bird' sah sehingga 15 Oktober ini.
Untuk maklumat lanjut, sila layari Facebook kejohanan- IGMR 2023.
05 Oct 23
390
Guna Pendekatan Mendidik Tangani Masalah Sosial Remaja
KUALA TERENGGANU, 5 Oktober- Kerajaan Negeri komited menangani masalah sosial di kalangan remaja menerusi kerjasama pelbagai pihak dengan mengutamakan pendekatan mendidik dan memberi bimbingan kepada golongan ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, antara langkah yang dilaksanakan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dengan memberi penerangan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2001 kepada pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi, pengusaha hotel dan komuniti.
“Antaranya kempen pencegahan Jenayah Syariah melalui papan tanda, pamphlet, flyers dan hebahan di masjid-masjid (diedar dan dilaksanakan oleh unit penguatkuasaan daerah).
“Selain mengadakan operasi penguatkuasaan bersama agensi terpilih dilokasi ‘hotspot’ melalui rondaan pemantauan dan pencegahan dari masa ke semasa,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di Wisma Darul Iman, semalam.
Selain itu katanya, Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) mengambil insiatif mengadakan program-program kepada belia dan beliawanis dan pelajar-pelajar sekolah bersama ibu bapa berbentuk ceramah dan motivasi.
“Antaranya, Program Fityah Terengganu (FATEH) 'Taklif' (Pemantapan Tanggungjawab Ibu bapa & anak-anak) yang bertujuan untuk memberi kesedaran kepada anak-anak tanggungjawab sebagai khalifah pewaris legasi anak Terengganu.
“Program Generasi Islah Falah Terengganu (GIFT) “Ingatlah Sayang atau Ingat Sebelum Terkena” pula dilaksanakan bagi memberi kesedaran tentang isu-isu sosial dan memberi kefahaman tentang aplikasi salah laku dalam masyarakat serta memperkasakan sifat jati diri belia dalam menangani arus kehidupan global disamping memberi panduan yang betul dalam mendidik remaja bagi mengelakkan diri dari terlibat dalam kancah keruntuhan moral,” jelasnya.
Sementara itu katanya, dalam usaha membanteras masalah penagihan dadah di kalangan remaja Negeri Terengganu, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Terengganu melalui tujuh buah AADK Daerah telah melaksanakan pelbagai usaha.
“Termasuk bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu untuk mengadakan urin mengejut setiap tahun di sekolah menengah yang telah ditetapkan oleh JPNT.
“Pemilihan pelajar untuk diurin juga adalah berdasarkan perbincangan antara guru kaunseling serta pegawai AADK yang telah ditugaskan melalui beberapa kriteria,” jelasnya.
05 Oct 23
222
Sektor Pertanian Terengganu Jana Peluang Pekerjaan
KUALA TERENGGANU, 4 Oktober - Sektor pertanian sebagai sumber ekonomi negeri telah berjaya menjana peluang pekerjaan kepada rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata dalam mengembangkan ekonomi berasaskan pertanian, kerajaan santuni rakyat tempatan melalui peluang pekerjaan.
Katanya, projek berimpak tinggi sangat penting bagi menjana ekonomi dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Saya bagi contoh, bila kerajaan lulus tanah 500 hektar di Lembah Bidong Setiu kepada sebuah syarikat antarabangsa Mc Cormick untuk buat projek mega.
“Sudah pasti ada impak besar kepada ekonomi negeri dan mewujudkan peluang pekerjaan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian di sesi penggulungan di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, semalam.
Tambah Dr Azman, projek berimpak tinggi ini memerlukan modal besar ratusan juta yang tak mampu dibiayai rakyat setempat.
“Pelabur datang bawa teknologi dan modal, rakyat boleh tumpang kerja dan boleh belajar teknologi baru pertanian.
“Tentunya perjanjian yang ditandatangani Kerajaan Negeri akan ada fasa khusus untuk melindungi kepentingan rakyat dan negeri.
“Jangan risau, rakyat Terengganu tak akan hanya jadi penonton.
“Melalui perjanjian yang ditandatangani Kerajaan Negeri dan Mc Cormick bahawa paling kurang 70 peratus pekerja mestilah rakyat Terengganu," katanya.
Beliau berkata, setakat ini Mc Cormick telah mengambil seramai 280 orang pekerja dan akan meningkat kepada 393 orang tahun 2024.
"Seterusnya 462 orang menjelang 2025 sehingga mencapai 2,441 orang apabila ladang dan kilang telah beroperasi sepenuhnya.
“Sehingga kini semua pekerja samada kumpulan Pengurusan, Teknikal, Pengkeranian dan Pekerja Am adalah 100 peratus warganegara Malaysia.
"80 peratus daripadanya ialah rakyat Terengganu,” ujarnya.
05 Oct 23
655
Terengganu Tubuh Majlis Mineral REE Lindungi Kedaulatan
KUALA TERENGGANU, 5 Oktober – Kerajaan negeri sentiasa memandang kehadapan dalam perlombongan unsur nadir bumi (REE) di Terengganu dengan menubuhkan Majlis Mineral Unsur Nadir Bumi (REE) Negeri Terengganu sebagai platform dalam menangani urusan berkaitan dengannya.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata ia sebagai memastikan kedaulatan dan hak Terengganu sebagai pengeluar REE dapat dilindungi dengan sewajarnya demi kepentingan rakyat dan negeri serta memainkan peranan dalam menentukan dasar dan halatuju pembangunan berkaitan REE.
"Fungsi Majlis Mineral Unsur Nadir Bumi (REE) Negeri Terengganu adalah mengadakan perbincangan royalti, pembangunan peluang perniagaan, projek dan pembahagian peluang-peluang perniagaan dan peluang pekerjaan kepada rakyat negeri.
"Selain itu, ia juga menumpukan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) pembangunan modal insan dan ekonomi bagi rakyat termasuk pengagihan kontrak secara berpusat (centralized) kepada kontraktor yang berdaftar demi memastikan kesinambungan peluang perniagaan," ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis bagi menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor di Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Ke-15, di sini, hari ini.
Tambahnya, Majlis Mineral Unsur Nadir Bumi (REE) dinaungi oleh Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan dipengerusikan Menteri Besar.
Menurut Ahmad Samsuri lagi, Unjuran Potensi REE telah dilakukan melalui Kajian NR-REE di Malaysia yang dimulakan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) pada tahun 2014 dengan kerjasama daripada Academy of Science Malaysia (ASM).
“Kajian yang dilakukan adalah terhad kepada Kawasan tanih luluhawa granit yang terdapat di daerah Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kemaman dengan anggaran keluasan kawasan yang berpotensi adalah seluas 1,437,500.00 ekar dan mampu mengeluarkan sebanyak 7,187,500 juta tan,” katanya.
Beliau juga berkata, pihaknya telah mengadakan lawatan bagi kumpulan kerja teknikal ke kawasan perlombongan REE di Gerik Perak pada bulan Mac 2023 bagi melihat aktiviti perlombongan REE secara lebih dekat.
“Lawatan berkaitan REE juga telah diadakan di Kilang Lynas, Gebeng Kuantan di mana kilang tersebut merupakan kilang memproses REE yang diimport dari negara luar (Australia),”ujarnya.
Dalam masa sama katanya, dasar berkaitan 'Standard Operating Procedure' (SOP) perlombongan Unsur Nadir Bumi Bukan Radioaktif (NR-REE) Negara sedang dirangka di peringkat Persekutuan untuk dijadikan panduan kepada Pihak Berkuasa Negeri.
05 Oct 23
2913