Artikel "Utama" Terkini
Etika Pakaian : Pelancong Asing Jangan Bimbang
KUALA TERENGGANU, 10 Oktober - Pelancong bukan Islam tidak perlu merasa bimbang untuk berkunjung ke Terengganu kerana golongan terbabit tidak terikat dengan etika pemakaian dalam garis pelancongan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan dan Sukan hanya dikuatkuasakan kepada individu beragama islam.
Walau bagaimanapun katanya, pelancong bukan islam masih perlu menghormati budaya dan adab masyarakat Melayu Islam di Terengganu
"Pelancong bukan Islam boleh berpakaian seperti biasa yang bersesuaian dengan aktiviti mereka lakukan sewaktu percutian di negeri ini.
“Mereka boleh memakai sut renang kalau hendak mandi di pantai pulau peranginan tetapi jangan melampau dan jangan pakai di tempat awam seperti Pasar Besar Kedai Payang.
"Kita sentiasa mengalu-alukan kedatangan mereka ke negeri ini tapi jangan ada yang melakukan sesuatu yang melanggar adab dan tatasusila contohnya minum arak secara terbuka di tempat umum," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Pesta Peranakan Cina Terengganu 2023 di Kuala Terengganu City Centre semalam.
Tambah, Razali berkata, sehingga hari ini, tiada seorang pelancong islam pernah dihukum kerana melanggar etika pemakaian itu.
"Ini membuktikan bahawa kerajaan negeri masih dalam fasa mendidik, bukan mahu menghukum atau mengenakan denda," katanya.
Untuk rekod, etika pemakaian yang ditetapkan dalam garis panduan tersebut bertujuan mendidik pelancong Islam agar mematuhi pemakaian seperti mana yang disyariatkan Islam.
Beliau berkata, pemain industri pelancongan juga perlu memainkan peranan mereka dengan mengingatkan pelancong agar sentiasa berpakaian sopan dan tidak mencolok mata sepanjang berada di negeri ini," ujarnya.
10 Oct 23
330
MB Pengerusikan Mesyuarat Pertama MSDNg
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober - Menteri Besar Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Statistik dan Data Negeri (MSDNg) Terengganu semalam.
Menurut kenyataan media Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Terengganu (DOSM), Penubuhan MSDNg Terengganu merupakan susulan daripada keputusan mesyuarat tertinggi Majlis Statistik dan Data Negara Bil. 1/2022 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 27 Januari 2022 lalu.
"Penubuhan MSDNg ini merupakan satu agenda utama dalam Pengukuhan Sistem Statistik Negara (PSSN) yang bertujuan memperkukuh sistem statistik sedia ada dengan penyelarasan yang lebih berkesan dalam membekalkan data bagi merangka dasar dan pembangunan negara," jelas kenyataan itu.
Penubuhan MSDNg dan Majlis Statistik Data Daerah (MSDD) di setiap negeri adalah penting bagi memperkasakan tadbir urus sistem statistik Negeri dan Daerah sehingga peringkat terkecil.
MSDNg jelas kenyataan itu bertindak sebagai majlis tertinggi di peringkat negeri dalam merancang dan menentukan hala tuju bagi memperkukuhkan penyelarasan statistik negeri dan daerah.
Di samping itu ia bertujuan merangka dasar, strategi dan pelan tindakan yang jelas agar pengurusan sistem statistik rasmi negeri kekal dinamik dan relevan.
Sementara itu MSDD berperanan dalam merangka strategi, tadbir urus penyelarasan dan pengurusan sektor awam dan swasta di peringkat daerah serta menyelaras keperluan teknikal serta standard kualiti data dan statistik di peringkat daerah.
Menurut kenyataan itu lagi MSDNg Terengganu dianggotai seramai 49 orang yang terdiri daripada Menteri Besar, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Daerah, Ketua Jabatan Persekutuan dan Negeri.
MSDD pula terdiri daripada Datuk Bandar atau Yang Dipertua, pegawai di peringkat Persekutuan dan Negeri yang berkaitan bidang keutamaan statistik.
"Penubuhan MSDNg Terengganu ini mampu memberikan impak positif antaranya capaian dan penyelarasan data yang lebih sistematik dari pelbagai sumber serta meningkatkan 'data-culture' dalam proses membuat keputusan berasaskan bukti," ujar kenyataan itu lagi.
Pada hari ini juga, turut diadakan Pelaancaran Unit Geographic Information System Negeri Terengganu (UGIST) yang diselaraskan oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu (UPEN).
Ia sekali gus merupakan agensi induk sebagai pemantau dan sumber maklumat rasmi ekonomi negeri meliputi maklumat hasil guna tanah bagi keseluruhan sektor di negeri Terengganu.
Dalam pada itu DOSM melancarkan OpenDOSM NextGen sebagai medium yang menyediakan katalog data dan visualisasi bagi memudahkan pengguna menganalisis pelbagai data.
OpenDOSM NextGen ialah platform perkongsian data sumber terbuka dan boleh diakses melalui portal https://open.dosm.gov.my.
Sementara itu Kerajaan Malaysia mengisytiharkan Hari Statistik Negara (MyStats Day) pada 20 Oktober setiap tahun yang bertema 'Statistik Nadi Kehidupan'.
10 Oct 23
351
60 Penjawat Awam Terima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang
KUALA TERENGGANU, 10 Oktober- Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Ab. Rasid Jusoh yang sebelum ini menerajui Terengganu Football Club Sdn Bhd sebagai Ketua Pegawai Eksekutif antara 60 penjawat awam negeri yang menerima Anugerah Perkhidmatan Awam (APC) 2023, semalam.
Mula dilantik sebagai Pegawai Tadbir pada 1 Mei 1997 dengan ditempatkan di Unit Perancangan Ekonomi Negeri, Ab. Rasid telah berkhidmat dengan kerajaan negeri selama 26 tahun.
Beliau merupakan ahli lembaga pengarah bagi Koperasi Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Terengganu, juga pegawai yang bergiat aktif dalam Persatuan Bola Sepak Negeri dan bertanggungjawab dalam pembangunan bola sepak negeri.
Majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Terengganu 2023 itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman, semalam.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja.
Ahmad Samsuri dalam ucapannya merakamkan ucapan terima kasih dan menghargai komitmen seluruh penjawat awam yang telah melaksanakan tanggungjawab dengan amanah, ikhlas dan berdedikasi.
“Saya berharap semua penjawat awam terus berusaha meningkatkan prestasi dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam melaksanakan tugas agar mendapat kecemerlangan di dunia mahupun akhirat,” ujarnya.
10 Oct 23
512
'Insinerator' Atasi Masalah Sampah Di Pulau Redang
KUALA TERENGGANU, 9 Oktober- Kerajaan negeri akan membina insinerator dalam masa terdekat sebagai langkah mengatasi isu longgokan sampah yang menghantui penduduk Pulau Redang.
Kaedah ini membolehkan sampah-sarap yang diproses melalui teknologi insinerator menghasilkan tenaga sama ada dalam bentuk elektrik dan gas.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, keputusan untuk projek pembinaan insinerator itu sudah diputuskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) beberapa bulan lalu.
“Kita telah buat keputusan untuk membina satu sistem insinerator di Pulau Redang.
“Isu-isu berkaitan dengan tanah juga telah selesai, sekarang ini dalam proses pelaksanaan. Dengan adanya insinerator, kita tidak lagi perlu membawa sampah dari Pulau Redang ke daratan (tanah besar) seperti yang dilakukan sekarang ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penganugerahan Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu 2023 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja.
Katanya, ketika ini semua proses kelulusan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga telah selesai cuma menunggu kontraktor untuk membina fasiliti itu.
“Kita jangka ianya akan dilaksanakan dalam sebulan dua lagi, kita tidak mengira sangat tentang penjimatan, yang lebih penting adalah untuk menyelesaikan isu sampah,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau mengharapkan pembinaan insinerator tersebut akan memberi kebaikan kepada semua pihak.
“Yang lebih penting adalah sikap pengguna di pulau termasuklah pelancong atau penduduk tempatan.
“Kalau pihak-pihak ini tidak dapat bersikap lebih berdispilin, pembinaan insinerator tidak membawa apa-apa makna,” katanya.
10 Oct 23
162
Pesta Peranakan Cina Tonjol Perpaduan Kaum di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 10 Oktober - Pesta Peranakan Cina menjadi bukti perpaduan antara kaum sentiasa subur di bumi Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata kerajaan negeri sentiasa menjaga tradisi dan budaya yang diamalkan oleh masyarakat Cina di negeri ini.
Dalam sambutan itu, beliau menyasarkan seramai 10,000 pengunjung hadir ke program berkenaan.
“Program tersebut berlangsung selama tiga hari bermula dari 9 hingga 11 Oktober itu dihidangkan dengan pelbagai persembahan kesenian dan pameran.
“Antara pameran yang dihidangkan adalah pakaian Han Fu, pakaian Kebaya Potong Kot, batik lukis motif Peranakan dan lain-lain lagi,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Program Pesta Peranakan Cina Terengganu 2023 bertempat di Centre Atrium, KTCC di sini semalam.
Tambah Razali Idris, beliau berharap agar program itu dapat memberi perspektif dan ilmu baharu kepada masyarakat terhadap keunikan Peranakan Cina Terengganu.
“Semoga semua tetamu yang hadir mendapat manfaat daripadanya.
"Konsep budaya dan masyarakat memang tak boleh dipisahkan, ibarat kata pepatah melayu, bagai aur dengan tebing, begitulah keakraban hubungan kedua-dua entiti ini.
"Kepelbagaian budaya bukanlah menjadi penghalang hubungan kaum di negara ini.
“Saya juga mengharapkan program ini diadakan secara berterusan dan dengan skala yang lebih besar terutamanya bagi menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026," ujarnya.
Untuk rekod, peranakan Cina adalah segolongan keturunan kaum Cina yang unik kedudukannya di kalangan kaum Cina di dalam kumpulan etnik yang dinamakan Peranakan yang terdapat di Semenanjung Tanah Melayu.
10 Oct 23
277
Kampung Cina Bakal Dijenamakan Sebagai 'China Town'
KUALA TERENGGANU, 10 Oktober - Kampung Cina yang terletak di pusat bandar akan dijenamakan semula kepada 'China Town'.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata langkah itu merupakan usaha kerajaan bagi menjadikan Kampung Cina sebagai destinasi pelancongan terkenal di peringkat antarabangsa.
Katanya, cadangan perubahan nama Kampung Cina kepada China Town itu secara tidak langsung akan mengubah wajah lokasi itu dan ia juga membuktikan kerajaan negeri tidak menyekat keperluan kaum lain sebagaimana ditohmah pihak tertentu.
"Di samping, mampu menarik kedatangan lebih ramai pelancong.
"Sekali gus, memberi limpahan manfaat kepada penduduk tempatan khususnya kepada penggiat industri pelancongan," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Pesta Peranakan Cina Terengganu 2023 di Kuala Terengganu City Centre malam tadi.
Turut hadir Penasihat Persatuan Peranakan Cina Terengganu, Alex Lee Yun Ping dan Presiden Persatuan Peranakan Cina Terengganu, Dr. Wee Tiong Wah.
Tambah Razali, penjenamaan semula itu perlu dilakukan kerana Cina Peranakan Terengganu mempunyai keunikan tersendiri yang tidak sama dengan komuniti Cina di tempat lain.
"Termasuk dari segi pemakaian, pemakanan, bahasa dan pergaulan dengan masyarakat setempat.
"Ketika ini, terdapat kira-kira 1,000 Cina Peranakan berada di Kampung Cina tersebut," ujarnya.
Untuk rekod, China Town ini sudah wujud di banyak lokasi pelancongan terkenal seluruh dunia dan ia adalah satu jenama yang kuat dalam memperkenalkan budaya, seni serta keunikan masyarakat Cina Peranakan di Terengganu.
Razali berkata selain menjenamakan semula Kampung Cina, kerajaan negeri juga merancang untuk membangunkan Kampung Fikri di Setiu dan Kampung Tiruk di Marang, sebagai lokasi Pelancongan Berasaskan Komuniti (CBT) pada tahun depan.
10 Oct 23
482
Agamawan Sokong Terengganu Halang Wanita Muslim Sertai Gimnastik
KUALA TERENGGANU, 10 Oktober - Persatuan Kebajikan Asatizah Terengganu (PAKAT) menyokong penuh tindakan kerajaan Terengganu tidak membenarkan atlet wanita Islam di negeri ini daripada menyertai sukan gimnastik dalam sebarang kejohanan.
Pengerusinya, Abu Usamah Mohd Hanapiah Hussin berkata, pendirian tegas itu adalah selaras dengan Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu.
Katanya, tindakan segelintir pihak yang mengkritik keputusan yang dtelah dibuat itu perlu mengambil kira pandangan para mufti dan ulama mengenai etika berpakaian seseorang wanita Islam dalam sukan terbabit sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan menyerang secara melulu.
"PAKAT berpandangan langkah ini bukanlah ke belakang untuk kemajuan sukan di negeri kita, bahkan ia akan lebih memartabatkan atlet wanita negeri Terengganu, tanpa perlu merasa bimbang terpaksa mengenepikan seketika prinsip agama dan etika budaya demi untuk memajukan diri dalam bidang sukan.
"Langkah ini dapat melahirkan lebih ramai atlet wanita Terengganu yang cemerlang dalam acara sukan lain yang nanti akan lebih diberikan tumpuan dan fokus untuk mendapatkan pingat oleh kontinjen Negeri Terengganu dalam sebarang pertandingan sukan akan datang," ujarnya.
Beliau berkata demikian, melaluii suatu kenyataan rasmi di facebook rasmi PAKAT, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut katanya, pihaknya juga turut memberikan sokongan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim dalam mengendalikan isu pematuhan syariah pemakaian atlet Terengganu.
"Dengan mengutamakan pendidikan dalam usaha menerapkan garis panduan serta mengelakkan atlet Terengganu daripada terlibat dalam bidang sukan yang terlalu menjolok mata kepada bidang sukan yang lebih 'mesra syariah'.
Dalam pada itu katanya, rakyat negeri ini perlu sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dengan usaha 'serangan pemikiran' oleh pelbagai pihak bagi menjauhkan wanita Islam daripada beramal dengan syariat Islam dalam pelbagai bidang termasuk hiburan, fesyen dan sukan bagi melemahkan kekuatan umat Islam.
"PAKAT juga berharap pihak kerajaan negeri dapat menyediakan lebih banyak prasarana sukan yang lebih mesra syariah untuk wanita Terengganu yang tidak menyertai acara sukan berbentuk pertandingan sebagai galakan untuk merancakkan amalan hidup sihat di kalangan wanita negeri ini.
"Akhir sekali, PAKAT berpandangan kenyataan bahawa kerajaan negeri tidak menghalang atlet wanita bukan Islam untuk terlibat dalam sukan gimnastik adalah suatu kompromi yang adil dan bijaksana.
"Semoga bumi Terengganu lebih sentiasa diberkati oleh Allah SWT jua. 'Baldatun Toyyibatun Wa Rabbun Ghafur'," ujarnya.
10 Oct 23
318
Ahmad Samsuri Gesa Rakyat Bantu Palestin
KUALA TERENGGANU, 9 Oktober- Rakyat negeri ini diseru agar terus menghulurkan bantuan untuk meringankan beban serta membolehkan rakyat Palestin meneruskan kelangsungan hidup.
Katanya, banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memainkan peranan untuk menyalurkan derma kepada rakyat Palestin.
“Diharap semua pihak ‘feel free’ (tidak teragak-agak) untuk menyumbang ikut kemampuan masing-masing,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penganugerahan Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu 2023 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan kepada semua umat Islam untuk melaksanakan solat hajat bagi mendoakan kejayaan pasukan Hamas yang pada ketika ini berusaha keras bagi mengembalikan semula tanah air Palestin kepada rakyatnya.
“Saya percaya diantara kita ini rasa bertanggungjawab untuk mendoakan kesejahteraan sahabat, saudara Islam kita yang berada di Palestin.
“Termasuklah pejuang-pejuang yang memainkan peranan yang cukup besar untuk membebaskan bumi Palestin,” ujarnya.
10 Oct 23
150
Golden Pharos Jayakan Program 'Walking With Giant'
HULU TERENGGANU, 9 Oktober - Anak Syarikat Kerajaan Negeri (GLC), Golden Pharos Berhad (GPB) telah menjayakan Program 'Walking With Giant' (WWG) bagi menerapkan amalan pembangunan secara lestari.
Ketua Pegawai Eksekutif GPB, Dr Mohd Zaki Hamzah, berkata ia bertepatan dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS2030) yang menganjurkan pembangunan perlu lestari dengan alam sekitar, kemasyarakatan serta perkara-perkara berkaitan.
Ujarnya, program WWG yang diadakan di 'Elephant Conversation Village' (KECV) melibatkan lebih 300 peserta terdiri daripada kakitangan GPB, subsidiari, komuniti terdekat, penduduk Orang Asal dan pelatih Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK).
"Ini merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang pertama diadakan oleh pihak kami. GPB bersama subsidirinya telah menyumbang sebanyak RM50,000 ringgit untuk digunakan oleh KECV dalam penjagaan, penyelenggaraan dan sebagainya.
"Insya-Allah harapan kami agar program seumpama ini akan terus diadakan di masa-masa akan datang dan ini merupakan satu tanggungjawab kami terhadap kehidupan liar.
"Bersama persijilan 'Forest Stewardship Council (FSC) bersama tanggungjawab dalam tadbir urus atau ESG, kita buat suatu aktiviti yang merangkumi semua dan inilah merupakan suatu program besar bagi kami dan harapan memberikan manfaat kepada kumpulan kami sendiri," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di program berkenaan baru-baru ini.
Dalam pada itu, Dr Mohd Zaki berkata, GPB merupakan syarikat pembalakan milik kerajaan negeri Terengganu yang diberi amanah oleh kerajaan negeri bagi menjaga kawasan hutan seluas 123,900 hektar di Dungun dan Kemaman.
"Hutan berkenaan adalah hak milik negeri dan kami hanya menjaga sahaja dan melaksanakan tanggungjawab berdasarkan garis panduan yang ditetapkan, kami menguruskan hutan berkeluasan besar iaitu hampir 124,000 hektar dan catuan tebangan dilakukan iaitu 1,900 hektar setiap tahun sahaja.
"Setiap tahun pengeluaran kayu sebanyak 45 meter padu perhektar dan GPB merupakan satu-satunya anak syarikat kerajaan negeri di Malaysia berjaya menguruskan pengeluaran produk kayu daripada hutan," ujarnya.
09 Oct 23
276
Sabri 'Nakhoda' Baharu Terengganu FC Sdn Bhd
KUALA TERENGGANU, 9 Oktober - Mohd Sabri Abas dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu Football Club Sdn Bhd (TFCSB) yang baharu, berkuatkuasa semalam.
Keputusan itu diumumkan di media sosial Terengganu FC hari ini, setelah pelantikan secara rasmi dibuat dalam Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah TFCSB kali ke-3, dipengerusi oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim di sini, semalam.
Sabri sebelum ini memegang jawatan Ketua Pegawai Operasi TFCSB sejak tahun 2020.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Ahli Lembaga Pengarah melihat kredibiliti serta pengalaman dimiliki beliau menjadikannya calon terbaik bagi menerajui TFCSB kini.
Untuk makluman, dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif PBSNT yang turut berlangsung semalam, Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dengan merujuk kepada Statut PBSNT, telah melantik Hishamuddin sebagai presiden yang baharu menggantikan dirinya.
09 Oct 23
1403