lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Lebih 3,000 Pengunjung Sertai Hari Sukan Negara di Terengganu
Lebih 3,000 Pengunjung Sertai Hari Sukan Negara di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober- Lebih 3,000 pengunjung membanjiri Dataran Batu Buruk, di sini sempena sambutan Hari Sukan Negara 2023 Peringkat Negeri Terengganu, hari ini. Dalam sambutan yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali itu, pelbagai acara diadakan termasuk Fun Walk, Fun Run dan Fun Ride sejauh 30 Kilometer (km) dari Dataran Batu Buruk ke Kuala Nerus. Selain itu, terdapat penganjuran karnival silat pantai, kejohanan penalti pantai, kejohanan pentanque, trail walk community dan pameran oleh agensi serta jabatan kerajaan. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim.  
14 Oct 23
674
Kebangkitan Islam Buat Zionis Tergamam
Kebangkitan Islam Buat Zionis Tergamam
MARANG, 13 Oktober - Kebangkitan semula Islam di seluruh dunia membuat golongan Zionis tergamam. Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, musuh Islam gagal melekakan umat Islam dengan khutbah-khutbah yang diatur sehingga mimbar masjid-masjid di Mekah dan Madinah juga dipergunakan. "Para imam dan ulama yang tidak patuh dengan arahan akan disekat atau ditahan, sebahagian daripada mereka hari ini masih meringkuk dalam tahanan. "Maka, isu Islamofobia (keganasan) diuar-uarkan oleh puak Zionis.  “Gerakan Hamas dan Tanzim Jihad dijadikan sasaran utama untuk dihapuskan, apabila kedua-dua kumpulan itu disenaraikan sebagai pengganas. “Walau bagaimanapun, usaha itu tetap menemui kegagalan juga," katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya pada hari ini. Tambah Abdul Hadi, mereka tidak mampu melawan realiti yang menunjukkan bahawa pengaruh gerakan Hamas dan Tanzim Jihad semakin kuat.   Tambahnya, kebangkitan kuasa baru dunia melalui Iran, kemudiannya diikuti oleh Turki gagal dikepung oleh Amerika Syarikat.  Pada masa yang sama, mereka juga sedang menghadapi blok Rusia dan China yang telah ditangani secara bodoh oleh Presiden AS sebelum ini, Donald Trump dengan keadaan yang demikian telah menyulitkan mereka.   “Antara perkara yang mereka paling gagal ialah usaha untuk menutup keganasan yang dilakukan oleh Israel, laksana menutup bangkai gajah dengan tapak tangan dan baunya yang busuk.  "Allah SWT telah menyatakan dalam al-Quran betapa dahsyat keganasan bangsa Yahudi.  "Hal tersebut tidak boleh ditamatkan dengan menerima penyelesaian dua negara dan penyelesaian seumpama itu," jelasnya. Beliau berkata, sehingga ada pula yang terpaksa melakukan normalisasi secara terbuka dan mengadakan hubungan sulit dengan Zionis Yahudi. Firman Allah SWT:  “Dan sesungguhnya Kami telah mendatangkan Kitab Taurat kepada Musa, dan kami susuli selepas itu dengan beberapa orang Rasul, dan Kami berikan kepada Nabi ‘Isa, putera Maryam beberapa mukjizat serta Kami teguhkan kebenarannya dengan Ruhul Qudus (Jibril).  "Maka patutkah, setiap kali datang kepada kalian seorang Rasul membawa sesuatu (kebenaran) yang tidak disukai oleh hawa nafsu kalian, kalian (dengan) sombong takbur (menolaknya). "Sehingga sebahagian daripada Rasul-rasul itu kalian dustakan, dan sebahagian yang lain pula kalian bunuh?” [Surah al-Baqarah: 87] "Keputusan yang datang daripada Allah SWT dan para Rasul juga mereka boleh koyak dan pijak, walhal mereka telah diberikan beberapa kali kemenangan melalui mukjizat para nabi, namun perkara itu langsung tidak dikenang," ujarnya. Maka jelasnya, negara kuasa besar yang mereka tentukan perjalanan kerajaannya, begitu juga PBB dan pelbagai pertubuhan antarabangsa semuanya berada di bawah telunjuk Zionis.   "Oleh itu, penyelesaian dua negara sebenarnya ditolak mentah-mentah oleh Israel sendiri dengan tindakan yang paling ganas dengan mengizinkan pendatang yang dilatih ketenteraan mengganas dan merampas rumah kediaman, perniagaan, kebun dan lain-lain milik rakyat Palestin.  Namun begitu, rakyat Palestin tetap bangkit menentang Israel dengan tangan kosong,” ujarnya.    
13 Oct 23
401
Terengganu Sokong Penuh Perjuangan Palestin
Terengganu Sokong Penuh Perjuangan Palestin
KUALA TERENGGANU, 12 September - Kerajaan Terengganu memberi sokongan penuh kepada perjuangan membebaskan Masjidil Aqsa di Palestin daripada cengkaman Israel kerana ia adalah jihad yang paling afdal. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata tidak pernah berlaku dalam sejarah umat Islam Masjidil Aqsa berada di tangan orang kafir kecuali di zaman serangan tentera Keristian (Salibiyyah) kemudian dibebaskan oleh Salahuddin Al-Ayubi. “Kemudian berlaku di zaman kita hari ini, saudara kita di Palestin berjihad menentang penjajahan Israel, membebaskan Masjidil Aqsa dari cengkamannya dalam keadaan bumi Gaza di kepung, bekalan elektrik dan air dipotong,” katanya ketika merasmikan Hari Penghayatan Islam Sempena Maulidur Rasul 1445H/2023 di Masjid Al Ikhwan Gelong Bilal di sini hari ini. Turut hadir Pengarah DUAT, Ustaz Zulkhairi Ngah, Pengarah I-MiTS, Ustaz Kamaruzaman Abdullah, Pengarah Yayasan Islam Terengganu (YIT) Haji Zahanapi Sagaf dan Pegawai Agama Petronas, Ustaz Aidil Adha Tahir. Dr Muhammad Khalil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk berkata, paling kurang ada dalam hati orang Islam perasaan untuk berperang membebaskan Masjidil Aqsa dan bumi Palestin dari penjajahan Israel. Katanya, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud siapa tidak mahu berperang dan tidak ada perasaan mahu berperang di jalan Allah maka dia mati dalam keadaan jahiliah. Beliau berkata sunnah yang paling afdal ialah sunnah yang paling banyak orang tinggal dan jihad pada jalan Allah adalah sunnah yang paling ramai orang Islam meninggalkannya. “Jihad pada jalan Allah itu amat luas mencakupi pelbagai aspek termasuk jihad dengan harta membebaskan Masjidil Aqsa dan bumi Palestin,” ujarnya. Selain itu katanya terdapat tiga golongan manusia berkait dengan peperangan termasuk golongan manusia tidak mahu berperang langsung, mahu hidup aman tanpa peperangan, golongan yang mengharuskan peperangan tanpa batas dan golongan yang mengharuskan berperang pada tempatnya. Menurutnya walaupun Islam tidak melarang peperangan tetapi berperang mesti mengikut kaedah yang ditetapkan syarak.
12 Oct 23
312
Promosi Kenyir Geopark Lokasi Wajib Dikunjungi
Promosi Kenyir Geopark Lokasi Wajib Dikunjungi
HULU TERENGGANU, 12 Oktober - Setiap individu dan pemain industri perlu memainkan peranan untuk  menjadikan Kenyir Geopark sebagai salah satu destinasi wajib dikunjungi para pelancong dalam usaha merancakkan pelancongan di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata dengan penglibatan dan bantuan daripada pihak swasta kerajaan amat yakin bahawa sasaran ditetapkan iaitu 1 juta pelancong ke Kenyir Geopark akan dapat dicapai dengan mudah. "Sebagai contoh jika kita melancong ke negara China, akan ada tempat yang wajib dilawati dalam senarai seperti Tembok Besar...jadi kenapa kita tidak laksanakannya di Terengganu juga. "Ini antara perkara yang akan saya bincangkan dengan pemain industri di Terengganu supaya masukkan Kenyir Geopark ke dalam senarai tempat menarik yang wajib dikunjungi jika datang ke negeri ini,"katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program Jom Kenali Geopark di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sini hari ini. Turut hadir, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Lizan Che Mat dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Zawawi Ismail. Razali turut berkata, apabila pengunjung bertambah, ia akan secara tidak langsung menjana ekonomi penduduk sekitar termasuk pengusaha rumah bot dan restoran. Tambahnya, kerajaan negeri akan bekerjasama dengan universiti-universiti yang pakar dalam bidang Arkeologi khususnya selain mendidik masyarakat setempat tentang nilai geopark tersebut. Dalam masa sama, beliau turut menyarankan para penggiat media sosial  menggunakan platform media sosial dalam mempromosikan produk-produk pelancongan tempatan bagi menarik lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara ke negeri ini. Katanya, pada masa kini media sosial merupakan medium utama dalam menyebarluaskan maklumat secara pantas ke seluruh dunia yang sewajarnya digunakan untuk mempromosikan produk pelancongan tempatan. "Selain media arus perdana yang memainkan peranan penting, kita juga memerlukan media sosial kerana secara tidak langsung akan membawa lebih ramai pelancong apabila mereka tertarik dengan posting-posting yang dimuatnaik," ujarnya.  
12 Oct 23
1815
Konvoi Motosikal 1,584 Kilometer Promosi Taman Negeri
Konvoi Motosikal 1,584 Kilometer Promosi Taman Negeri
KUALA TERENGGANU, 12 Oktober - Sebanyak 32 motosikal berkuasa tinggi mengambil bahagian dalam konvoi sejauh 1,584 kilometer (km) sempena mempromosikan Taman Negeri Terengganu. Acara pelepasan peserta konvoi Program Kenali Taman Negeri-North Chapter anjuran Majlis Pengurusan Taman Negeri Terengganu itu telah disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja di perkarangan Wisma Darul Iman, hari ini. Tengku Seri Bijaya Raja berkata, aktiviti konvoi bermotosikal tersebut adalah platform untuk memberikan hebahan dan maklumat berkaitan produk yang terdapat di Taman Negeri Terengganu. “Selain memberikan kesedaran awam kepada umum tentang pentingnya alam semulajadi kepada manusia dan tanggungjawab untuk melindunginya yang perlu dipikul bersama,” ujarnya kepada pemberita selepas majlis tersebut. Menurut beliau, konvoi selama tiga hari dua malam itu akan mengunjungi Kedah, Pulau Pinang dan Perlis. “Di setiap hentian, peserta konvoi bersama-sama pasukan promosi akan melakukan aktiviti hebahan untuk mempromosikan Taman Negeri yang ada di negeri kita antaranya Taman Negeri Setiu Wetlands serta Taman Negeri Kenyir,” ujarnya.  
12 Oct 23
509
Bikini : ‘Saya Sebut Jangan Pakai Sut Renang Di Tempat Terbuka’
Bikini : ‘Saya Sebut Jangan Pakai Sut Renang Di Tempat Terbuka’
KUALA TERENGGANU, 12 Oktober – Exco Kerajaan Negeri, Datuk Razali Idris menafikan beliau memberikan kebebasan kepada pelancong terutamanya bukan Islam untuk berbikini di mana-mana lokasi pelancongan sebagaimana dilapor sebuah portal berita. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri itu menegaskan, kenyataan asalnya telah diputar belit pihak tertentu bagi membina persepsi negatif terhadap Terengganu. “Saya hanya sebut jangan memakai sut renang di kawasan terbuka seperti Pasar Kedai Payang, saya tak sebut selain itu. “Di tempat lain pelancong bukan Islam juga perlu memakai pakaian yang bersesuaian dengan adab dan budaya Terengganu, tidak melampaui batas,” katanya selepas menghadiri walkabout Kampung Cina bertempat di Pintu Gerbang Kampung Cina di sini semalam. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal berkenaan, penyebaran berita itu tidak melemahkan semangatnya untuk menarik seramai mungkin pelancong Terengganu. Justeru itu ujarnya, pihaknya tidak mampu menghalang mana-mana individu untuk membina persepsi buruk kepada kerajaan negeri. “Sebolehnya kita tak mahu ada krisis dengan sesiapa, kita ada cara tersendiri dalam membangunkan negeri. “Pihak kerajaan memang sudah menduga pasti akan ada berita-berita tidak betul seperti itu, namun kita fokus dengan perancangan yang telah digariskan,” jelasnya. Sebelum ini, Razali berkata, pelancong bukan Islam tidak perlu merasa bimbang untuk berkunjung ke Terengganu kerana golongan terbabit tidak terikat dengan etika pemakaian dalam garis pelancongan negeri. Menurutnya, Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan dan Sukan hanya dikuatkuasakan kepada individu beragama islam. "Walau bagaimanapun katanya, pelancong bukan islam masih perlu menghormati budaya dan adab masyarakat Melayu Islam di Terengganu," tambah beliau.
12 Oct 23
1581
Kampung Cina Atau 'China Town', Ini Jawab Exco
Kampung Cina Atau 'China Town', Ini Jawab Exco
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober - Kampung Cina kekal sebagai Kampung Cina bukan 'China Town' sepertimana persepsi yang wujud ekoran berita yang tular baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata laporan tersebut disalah erti oleh beberapa pihak akibat penggunaan perkataan penjenamaan. Katanya, pertukaran nama Kampung Cina ke 'China Town' tidak berbangkit, sebaliknya yang dimaksudkan beliau adalah penambahan elemen-elemen lain bagi membolehkan Kampung Cina tersenarai dalam 'China Town' peringkat global. “Istilah tersebut hanyalah penambah nilai sepertimana tertulis ‘China Town’ pada pintu gerbang di Kampung Cina berkenaan. “Sebenarnya saya mengatakan dalam perbincangan bahawa kita cuba bincang dengan NGO-NGO supaya 'China Town' (Kampung Cina) ini berada dalam senarai China Town di seluruh dunia. “Hal ini supaya dapat menarik lebih ramai pelancong asing ke Terengganu di peringkat antarabangsa,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri walkabout Kampung Cina bertempat di Pintu Gerbang Kampung Cina di sini hari ini. Tambah Razali, pihaknya sedaya upaya mahu mengangkat kebudayaan cina peranakan Terengganu di Kampung Cina. “Jika ada program di pintu gerbang yang menulis ‘China Town’ itu melibatkan NGO. “Perkara tersebut tidak perlu disabitkan kerajaan negeri mengenai isu pertukaran nama atau sebaliknya. “Dari sudut gazet nama dari kerajaan negeri tidak akan menukar Kampung Cina kepada ‘China Town’. “Bagi NGO-NGO atau penggiat pelancongan yang ingin melakukan promosi jenama ‘China Town’ sepertimana yang terpampang di pintu gerbang itu adalah hak mereka. “Kerajaan Negeri tidak akan melakukan perkara sedemikian dan akan terus mengekalkan nama Kampung Cina,” ujarnya.
11 Oct 23
2837
Kampung Melayu Lama, Cina Diangkat Aset Pelancongan
Kampung Melayu Lama, Cina Diangkat Aset Pelancongan
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober – Kerajaan Negeri sedang berusaha memulihkan semula Kampung Melayu Lama dan Kampung Cina di negeri ini untuk dijadikan sebagai aset pelancongan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata pihaknya telah meneliti pelbagai perkara yang perlu ditambah nilai. Katanya, tinjauan sudah dilakukan di beberapa kampung Melayu Lama sebelum ini dan pada hari ini pihaknya meninjau Kampung Cina. "Antara perkara yang perlu dititikberatkan adalah kebersihan, keceriaan dan beberapa lagi aspek yang perlu diberi perhatian. “Dari sudut masa berniaga juga perlu dipanjangkan sehingga jam 12 supaya pengunjung lebih ramai di sesuatu kawasan,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri walkabout Kampung Cina bertempat di Pintu Gerbang Kampung Cina di sini hari ini. Dalam tinjauan tersebut, Razali berkata pihaknya juga mengadakan perbincangan dengan beberapa NGO untuk menjalankan program bagi memeriahkan kawasan berkenaan. "Supaya peniaga di sini dapat berniaga sehingga pukul 12 malam dengan adanya orang datang. “Selain itu, antara perkara yang perlu diberi tumpuan adalah kebersihan yang merupakan perkara pokok dalam pelancongan. “Kebersihan juga tidak terletak kepada penguatkuasaan sahaja tapi komuniti juga perlu memberi peranan,” ujarnya.  
11 Oct 23
463
'Gold Bar’ RM15 Ribu Menanti Pengunjung Drawbridge
'Gold Bar’ RM15 Ribu Menanti Pengunjung Drawbridge
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober - TI Properties menawarkan ‘Gold Bar’ bernilai RM15,000 melalui kempen Jadilah Pelawat Drawbridge Yang Ke Setengah Juta sebagai penghargaan kepada para pengunjung yang telah berkunjung ke Kuala Terengganu Drawbridge.  Selain itu, sebuah motorsikal jenama Honda ADV turut menanti pengunjung yang bertuah dan pelbagai hadiah berupa barangan elektrik sebagai hadiah sampingan kepada para pemenang yang lain. TI Properties dalam satu kenyataan berkata sebagai anak syarikat yang berada di bawah Terengganu Incorporated, yang diberi mandat dan tanggungjawab untuk mengoperasikan Kuala Terengganu Drawbridge mengadakan kempen ini  untuk memperluaskan lagi jenama Kuala Terengganu Drawbridge ke seluruh Malaysia  “Kuala Terengganu Drawbridge telah memulakan perkhidmatannya kepada orang ramai pada tahun 2019 dengan membuka ruangan Galeri untuk dikunjungi oleh orang ramai. “Memandangkan jumlah pelawat hampir mencecah setengah juta, pihak TI Properties sedang mengadakan dan menaja hadiah istimewa kepada para pengujung yang bertuah sebagai penghargaan di atas pencapaian ini,”ujar kenyataan tersebut. Antara syarat-syarat kempen ini ialah, para pelawat perlu mengimbas kod QR yang telah disediakan untuk tujuan penyertaan Pelawat Drawbridge Yang Ke Setengah Juta dan rujukan pihak penganjur termasuk mengisi nombor kod bar yang tertera di tiket, nama penuh, email, nombor kad pengenalan, nombor telefon, negeri dan skala syor penilaian ketika mendaftar.  Pelawat yang ke setengah juta akan ditentukan apabila rekod capaian mencecah yang ke setengah juta dan menepati syarat-syarat penyertaan Sementara itu, bagi para pelawat yang ingin menyertai cabutan bertuah perlulah membeli minima sebanyak tiga pakej dan produk yang terdapat di Kuala Terengganu Drawbridge.  “Terdiri daripada tiket galeri, lawatan teknikal, memancing dan pembelian barangan cenderahati. pakej galeri bersama lawatan teknikal (Pakej B) dikira sebagai dua pakej yang berbeza,”katanya lagi. Bagi acara cabutan bertuah, peserta yang memenuhi syarat yang telah ditetapkan akan tercalon dalam sesi cabutan bertuah.  Untuk maklumat lanjut, sila layari laman media sosial rasmi Facebook dan Instagram Kuala Terengganu Drawbridge.  
11 Oct 23
3169
Terus Didik Pelancong Dengan Etika Berpakaian
Terus Didik Pelancong Dengan Etika Berpakaian
KUALA TERENGGANU, 11 Oktober – Kerajaan Negeri akan terus mendidik pelancong bukan Islam dan Islam mengenai etika berpakaian bersesuaian agar tidak timbul kecelaruan dalam kalangan rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, pihaknya juga bercadang untuk menjelaskan Prosedur Operasi Standard (SOP) pemakaian antara dua kategori pelancong itu. Katanya, pelancong bukan Islam tidak perlu bimbang kerana Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan dan Sukan hanya dikuatkuasakan kepada individu muslim. “Pelancong bukan Islam akan diberi penerangan agar tidak berpakaian melampau sehingga boleh menimbulkan keghairahan. “Sejak pindaan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu 2022, terutama membabitkan Seksyen 34, iaitu perbuatan atau berpakaian tidak sopan di tempat awam dikuatkuasakan, tiada pelancong bukan Islam dikenakan tindakan dan hukuman,” katanya. Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Pesta Peranakan Cina, di sini, kelmarin. Mengulas lanjut, bagi pelancong muslim pula, individu yang berpakaian mendedahkan mana-mana bahagian tubuh sehingga menimbulkan keghairahan di tempat awam akan diberikan didikan terlebih dahulu sebelum dikenakan tindakan. "Kaedah mendidik oleh penguat kuasa Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) membuktikan semua pelancong termasuk bukan muslim menerima baik penjelasan diberikan," tegasnya.
11 Oct 23
245