lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Harga Ikan Turun
Harga Ikan Turun
MARANG, 17 Oktober – Harga ikan menunjukkan penurunan di Terengganu meskipun menjelang musim Tengkujuh. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata pihaknya mendapati bahawa musim tengkujuh menunjukkan tangkapan ikan meningkat. Katanya, tangkapan itu meningkat bermula bulan September, Oktober dan November. “Musim ini ikan dari perairan laut dalam akan hampir ke kawasan pesisir pantai. “Banyak spesies ikan yang biasa ditemui apabila nelayan perlu melalui perjalanan 10 jam. "Sekarang, mereka hanya perlu pergi pada 3 hingga 4 jam sahaja telah menemui spesies ikan laut dalam yang sama,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media Program X-To-Reef di Perairan Pulau Kapas bertempat di jeti pelancongan Marang di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat. Tambah Dr Azman, pihaknya sangat menitikberatkan supaya tidak berlaku kaedah tangkapan yang merosakkan sumber di kawasan pesisir pantai pada musim tengkujuh. Untuk rekod, kadar pertumbuhan ekonomi negeri Terengganu (KDNK) dalam sektor perikanan meningkat sebanyak 9.9 peratus. Data dan fakta juga menunjukkan peningkatan dari segi pendaratan hasil laut pada setiap tahun di negeri ini.      
17 Oct 23
367
49,000 Benih Ikan Dilepaskan di Hulu Terengganu
49,000 Benih Ikan Dilepaskan di Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 17 Oktober – Sebanyak 49,000 benih ikan dilepaskan di sungai Kuala Berang, Kampung Dusun di sini bagi memperkayakan sumber ikan asli. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail berkata sebanyak empat jenis benih ikan yang dilepaskan terdiri daripada kelah, baung, terbol dan tapah sungai. Katanya, program ini dilaksanakan melalui kerjasama Kerajaan negeri dan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu. “Usaha ini sangat baik dan penting untuk menjaga sumber makanan kerana ikan merupakan keperluan utama masyarakat di negeri ini.  “Hulu Terengganu mempunyai sungai dan persekitaran yang sesuai untuk ikan membiak bagi generasi akan datang," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas program pelepasan benih ikan serentak seluruh Malaysia 2023 peringkat Negeri Terengganu bertempat di sungai Kuala Berang, Dataran Kampung Dusun di sini baru-baru ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat. Tambah Mohd Zawawi, tujuan program pelepasan benih ikan itu dilakukan adalah bagi meningkatkan pendapatan nelayan darat. “Selain bagi menjamin bekalan makanan selaras Dasar Sekuriti Makanan,” katanya. Pada program sama, turut diadakan majlis agihan bantuan kepada para nelayan di daerah berkenaan. Program yang berlangsung pada jam 9 pagi tersebut berjalan dengan lancar dengan cuaca baik sepanjang program berlangsung.  
17 Oct 23
335
PRK Kemaman 2 Disember Depan- SPR
PRK Kemaman 2 Disember Depan- SPR
  KUALA TERENGGANU, 17 Oktober – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, Terengganu P040, pada 2 Disember depan. Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon ditetapkan pada 18 November dan manakala pengundian awal PRK pada 28 November ini.. "Tempoh berkempen 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon yang bertanding pada 18 November ini sehingga pukul 11.59 malam 1 Disember," katanya Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR, di sini bagi membincangkan tarikh penting berkaitan PRK Parlimen Kemaman. Tambahnya, Pusat Penamaan Calon (PPC) dan Pusat Penjumlahan Rasmi Undi (PPRU) yang akan digunakan adalah di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman. "Keseluruhan jumlah pusat mengundi adalah sebanyak 53 buah dengan 248 tempat mengundi/saluran," katanya. Selain itu, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) akan digunakan adalah yang terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan setakat Ogos lalu yang dikemas kini pada 3 Oktober lalu. Ia mengandungi seramai 141,790 pemilih yang terdiri daripada 141,382 pengundi biasa, 387 anggota polis, sembilan anggota tentera dan pasangan serta 12 Pengundi Tidak Hadir Luar Negara. PRK Parlimen Kemaman perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 Sept lepas yang membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Ia selepas pihak pempetisyen Wan Mohamad Hisham Wan Abdul Jalil (pengundi) berjaya membuktikan perbuatan rasuah telah berlaku dengan tujuan mempengaruhi pengundi pada PRU15. Pada 3 Okt lalu, PAS memutuskan untuk tidak memfailkan sebarang rayuan terhadap keputusan petisyen Parlimen Kemaman yang membatalkan kemenangan parti itu. Dalam PRU15 sebelum ini meyaksikan pertembungan empat penjuru di Parlimen Kemaman yang mana Che Alias menang majoriti 27,179 undi dengan memperoleh keseluruhan 65,714 undi menewaskan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said (BN) yang mendapat 38,535 undi. Sementara itu, dua calon lain iaitu dari Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Rosli Ab Ghani mendapat 506 undi dan calon Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin (8,340 undi).
17 Oct 23
311
Tukun Sotong, 'Lobster' Dilabuh di Pulau Kapas
Tukun Sotong, 'Lobster' Dilabuh di Pulau Kapas
MARANG, 17 Oktober - Sebanyak enam daripada 10 tukun tiruan X-to-Reef yang direka bentuk untuk spesies marin sotong dan lobster selamat dilabuhkan di perairan Taman Laut, Pulau Kapas manakala empat lagi akan dilabuhkan di negeri lain. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata tukun tersebut terdiri daripada tiga tukun untuk spesies sotong dan tiga tukun untuk spesies lobster. Katanya, kesemua tukun tersebut hasil sumbangan Petronas dan Syarikat Sumitomo Corporation yang beribu pejabat di Tokyo, Jepun. “Tukun X-to-Reef ini ialah salah satu projek berkonsepkan 'circular economy' dimana hayat kitaran sesuatu bahan atau produk dipanjangkan untuk kelestarian alam sekitar. “X-to-Reef adalah pengubahsuaian paip besi dasar laut milik Petronas yang akan dilupuskan tetapi diguna semula untuk dijadikan tukun tiruan yang berperanan sebagai perumah kepada sumber hidupan marin di lautan,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media Program X-To-Reef di Perairan Pulau Kapas bertempat di jeti pelancongan Marang di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Ruzaidi Mamat. Tambah Dr Azman, projek itu merupakan kali pertama diadakan di Malaysia yang melibatkan gabungan kepakaran dua negara iaitu Malaysia dan Jepun. Tambahnya, reka bentuk tukun tiruan tersebut adalah berdasarkan piawaian ‘standard’ pembuatan yang boleh bertahan di dalam air sekurang-kurangnya selama 30 tahun. “Reka bentuk tukun ini juga adalah berdasarkan pengalaman pihak Nippon Steel-Kobelco (NSK) (Jepun) di perairan Jepun. “Kos keseluruhan dalam pembuatan 10 unit struktur tukun tiruan ini adalah berjumlah RM2.1 Juta," katanya. Beliau berkata, dengan pecahan kos peruntukan sebanyak RM1.2 Juta daripada pihak SC Tubular Solutions Malaysia Sdn Bhd (SCTSM) dan RM900,000 daripada pihak Petronas Malaysia. “Projek kerjasama ini antara DOF-SC Tubular Solutions Malaysia Sdn Bhd (SCTSM) dipersetujui seperti yang dinyatakan dalam Surat Kerjasama Rakan Strategik DOF-SCTSM bertarikh 19 Jun 2023. “Kerjasama khusus untuk projek yang sedang dijalankan iaitu ‘X-To-Reef Proof of Concept’ (X-to-Reef POC) di perairan Taman Laut Pulau Kapas, Terengganu dan Pulau Sibu, Johor berdasarkan konsep daripada SCTSM.  “Kerjasama ini adalah antara ketiga-tiga pihak yang terlibat iaitu DOF. PETRONAS dan SCTSM. “SCTSM adalah anak syarikat Sumitomo Corporation yang beribu pejabat di Tokyo, Jepun serta syarikat ini juga terlibat dalam industri minyak dan gas,” ujarnya.    
17 Oct 23
393
T-Fight Buat Jualan Amal Bantu Rakyat Palestin
T-Fight Buat Jualan Amal Bantu Rakyat Palestin
KUALA TERENGGANU, 17 Oktober – Persatuan Muay Thai Terengganu dengan kerjasama Terengganu Fight Festival (T-Fight) menganjurkan program menjual sambil menderma bagi membantu rakyat Palestin yang terlibat dengan tragedi serangan tentera Israel ke atas Gaza sejak Sabtu lalu. Pengarah Urusetia Belia, Sukan & NGO Terengganu, Muhammad Irsyad Syafiq Burhanuddin berkata konsep tersebut dilaksanakan sebagai tanda protes terhadap kekejaman berlaku pada umat Islam di Gaza. Katanya, setiap cetakan baju bermodalkan RM20 dan dijual dengan harga RM25. "Keuntungan sebanyak RM5 itu akan disalurkan kepada Tabung Amal Palestin. “Baju peringkat pertama akan dikeluarkan 2,000 helai untuk di agihkan kepada semua ejen semenanjung Malaysia,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Pelancaran Tabung Bantuan Palestin T-Fight bertempat di Sumai Hotel Apartment Dewan Nova 1 di sini semalam. Turut hadir, Presiden Persatuan Muay Thai Terengganu yang juga merupakan penganjur program, Master Najmi Abdullah dan wakil daripada Yayasan Tabung Amal Malaysia. Najmi berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 50,000 helai jualan baju-T dalam tempoh dua minggu dilaksanakan. Pihaknya juga menganggarkan sebanyak RM250,000 untuk disalurkan segera kepada rakyat Palestin. “Baju itu boleh didapati menerusi ejen di seluruh negara atau beli secara dalam talian menerusi akaun Facebook rasmi T-Fight," ujarnya.    
17 Oct 23
290
‘Dapo Mok Kiter’ Angkat Kembali Makanan Tradisi Negeri
‘Dapo Mok Kiter’ Angkat Kembali Makanan Tradisi Negeri
KUALA TERENGGANU, 16 Oktober - Opok-Opok, Ke’ang, Che Abas Demam, Lempeng Anakkang, Urat Jati, Puli Ubi Kayu, Tepung Pasung, Ghepok Kacang ,Nisan Nyior dan Loklik antara sebahagian daripada 60 jenis makanan tradisi Terengganu yang menjadi tarikan pada Pameran ‘Dapo Mok Kite’ anjuran Lembaga Muzium Negeri Terengganu. Pameran bermula hari ini (16 Oktober) sehingga 31 Mac 2024 yang berlangsung di kompleks muzium negeri, bertujuan menonjolkan kembali keunikan, kehebatan seni dan budaya makanan tradisi negeri. Tema ‘Dapo Mok Kite’ dipilih sebagai mengimbau kenangan air tangan orang lama dalam penyediaan makanan dan kuih-muih tradisi yang kini sukar ditemui, dan pihak muzium mengambil inisiatif menonjolkan dalam bentuk ‘fake food’ pada pameran tersebut. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan Alam Sekitar Dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong berkata, selain mendedahkan pengunjung mengenai kepelbagaian jenis makanan tradisional Terengganu, pameran tersebut membuka peluang kepada mereka untuk menimba ilmu. “Bukan sahaja di kalangan generasi baharu tetapi generasi lama pun kalau tidak didedahkan dengan pameran sebegini, kadang-kadang kuih-kuih tertentu kita tidak mengetahui kewujudannya. “Saya ucapkan terima kasih kepadap pihak muzium kerana mengambil pendekatan proaktif memastikan perkara-perkara warisan ini dapat terus dihayati oleh generasi sekarang,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Pameran ‘Dapo Mok Kite’ dan Seminar Kearifan Tempatan: Gastrononomi Alam Melayu 2023 di Dewan Mandalika, Kompleks Muzium Negeri Terengganu, hari ini. Turut hadir,  Pengarah Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Che Muhamad Azmi Ngah. Sulaiman berkata, program seumpama ini diharap menjadi platform terbaik dalam menatijahkan hasrat kerajaan negeri memartabatkan warisan gastronomi tradisi tempatan. “Saya percaya usaha murni Lembaga Muzium Negeri Terengganu ini amatlah bertepatan dan memenuhi aspirasi kerajaan negeri untuk mengangkat seni dan warisan budaya sebagaimana yang tertera dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 melalui teras pembangunan ke lima iaitu Memperkayakan Personaliti Budaya dan Warisan,” ujarnya.  
16 Oct 23
688
Zahon Cafe Tampil Gaya Jepun, Pertama di Terengganu
Zahon Cafe Tampil Gaya Jepun, Pertama di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 16 Oktober - Yakin suasana santai mampu menarik minat masyarakat setempat, seorang wanita tempatan tampil berani membuka sebuah kafe buku yang mempunyai gaya kedai di negara Jepun di Terengganu. Percaya atau tidak sebaik sahaja anda melangkah masuk kaki ke sini, pengalamannya sungguh berbeza, agak privasi dan memang selesa untuk lepak sambil mengopi, membaca dan makan pun tenang.Anda dapat merasai aura unik selepas memasuki perkarangan kafe ini yang dihias dengan perabot minimal bertemakan Jepun. Kini, kafe yang menghidangkan pelbagai menu minuman dan makanan negara matahari terbit itu , turut disertakan lebih 1,000 buku pelbagai genre di premis. Pemiliknya,  Nor Fatihah Che Mamad, 30,berkata restoran yang beroperasi sejak Oktober tahun lalu memberi pilihan lebih 20 menu masakan Jepun kepada penggemar makanan itu di negara ini. Dia yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dari Universiti of Queensland, Australia berkata Za Hon Cafe yang beroperasi di Jalan Sungai Rengas juga  mentransformasi bahan berkenaan kepada bahan halal yang sedia ada di negara ini. “Begitupun, keaslian masakan Jepun itu sama sekali tidak terjejas sama seperti mana dirasai jika kita bertandang ke negara Jepun,”ujarnya yang mempunyai 10 pekerja tempatan terlatih Anak kedua dari enam beradik itu berkata, dia juga mendapatkan tunjuk ajar kakak iparnya yang berasal dari negara Jepun bagi memastikan rasa dan kualiti makanan yang dihasilkan sama seperti asal. Menu utama sudah pastinya Japanese Curry, dan ramen dari Jepun seperti Miso Ramen serta Shoyu Ramen termasuk Tobiko Mushroom pasta, Chicken Teriyakidon pada harga mampu milik iaitu RM11.90 hingga RM27.90. Bagi peminat kopi dan dessert pula, Zahon Cafe turut menawarkan pelbagai pilihan seperti Tiramisu Cakebox (Zahon’s signature cake), Strawberry Fresh Cream Cakebox, Chocolate Mochi Cakebox, Taiyaki (sejenis waffle Jepun berbentuk ikan), Mini Burnt Cheesecake, Japanese Caramel Puddings dan beberapa jenis pastri. Nor Fatihah turut menawarkan kepada pelanggan yang berminat untuk mencuba pakaian tradisi Jepun iaitu kimono dengan kadar harga RM5 satu bayaran yang cukup berpatutan dan murah . Kafe ini dibuka setiap hari kecuali selasa bermula jam 12 tengahari hingga jam 10 malam. Bagaimanapun, ia ditutup buat sementara pada waktu Maghrib bermula jam 7:30 malam sehingga 8 malam.
16 Oct 23
3106
Dua Pelumba Cilik Terengganu Ke Pentas Akhir di Sepanyol
Dua Pelumba Cilik Terengganu Ke Pentas Akhir di Sepanyol
KUALA TERENGGANU, 16 Oktober - Terengganu terus mencipta kejayaan dalam pelbagai bidang yang secara tidak langsung membanggakan negeri ini di persada dunia. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata terbaharu Terengganu meraih nama di pentas sukan permotoran melalui dua pelumba cilik Qabil Irfan Azlan dan Ariel Marzuki. "Qabil Irfan telah berjaya merangkul gelaran juara dan Ariel Marzuki menyandang gelaran naib juara dalam kategori Kelas 160cc FIM MiniGP Malaysia Series. "InsyaAllah, kedua-dua pelumba cilik kita bakal berentap di Kejuaraan Akhir Dunia di Valencia, Sepanyol," ujarnya di laman rasmi facebook beliau hari ini. Dalam masa yang sama, Ahmad Samsuri berkata beliau dan seluruh rakyat Terengganu akan mendoakan kejayaan di peringkat antarabangsa nanti.
16 Oct 23
1246
PETRONAS Taja 107 Pelajar Terengganu Cemerlang SPM
PETRONAS Taja 107 Pelajar Terengganu Cemerlang SPM
KUALA TERENGGANU, 14 Oktober – Seramai 107 pelajar di Terengganu yang cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu menerima penajaan pendidikan PETRONAS melalui Program Memperkasakan Ilmu Penajaan Pendidikan PETRONAS 2023. Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly berkata, mereka adalah sebahagian daripada 600 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 seluruh negara yang menerima penajaan bernilai RM 340 juta.   "Program Memperkasakan Ilmu Penajaan Pendidikan PETRONAS merupakan komitmen berterusan PETRONAS di dalam aspek Pembangunan modal insan. “PETRONAS yakin bahawa pelaburan di dalam bidang pendidikan melalui akses kepada pendidikan berkualiti, bukan sahaja mampu membantu menghasilkan tenaga kerja profesional, bahkan juga menyumbang kepada pembangunan negara pada masa hadapan,”ujarnya dalam satu kenyataan hari ini. Majlis penganugerahan disampaikan oleh Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh di dalam satu majlis yang diadakan di ibu negara.  Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Ahmad Shah Muhamed dan Pengarah Tanah Dan Galian Terengganu, Dato’ Haji Ishamudin Hashim. Menurutnya lagi, setiap penerima terpilih, akan menerima tajaan pengajian asasi sehingga ijazah pertama di Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) serta universiti-universiti tempatan dan luar negara seperti di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, New Zealand, China, Jepun, dan Korea Selatan. “Mereka yang terpilih bakal mengikuti kursus di dalam bidang Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan Petroleum, Kejuruteraan Mekanikal, Geofizik, Perakaunan, Pemasaran dan Undang-undang.  “Selain daripada itu, PETRONAS juga telah memperluaskan penajaannya merangkumi bidang Sains Data, dan Kejuruteraan Data,”ujar beliau. Tambahnya, semenjak dilaksanakan pada tahun 1975, secara keseluruhannya PESP telah memberi manfaat kepada lebih daripada 38,000 orang pelajar dengan nilai perbelanjaan lebih RM3.5 bilion.  
15 Oct 23
590
Terengganu Tak Halang Atlet Bukan Muslim Sertai Gimnastik, Gimrama
Terengganu Tak Halang Atlet Bukan Muslim Sertai Gimnastik, Gimrama
KUALA TERENGGANU, 15 Oktober- Kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) mengalu-alukan atlet bukan Muslim kelahiran negeri Terengganu menyertai sukan gimnastik, gimrama, renang dan seangkatannya bagi mewakili negeri berkenaan dalam Sukan Malaysia (Sukma). Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berharap, akan muncul atlet bagi sukan-sukan berkenaan dalam kalangan enam peratus rakyat bukan Muslim di negeri itu. "Bagi sukan gimnastik, gimrama dan semua ini kita telah putuskan pada penggal lalu lagi untuk tidak membenarkan penyertaan atlet Muslimah. Adapun bagi mereka yang bukan Muslim dan hendak sertai, MSNT akan memberi sokongan dan membantu dari aspek latihan. "Sebelum ini kita (kerajaan negeri) telah berusaha untuk mencari kaedah pemakaian sesuai, namun ia terikat dengan undang-undang sukan tersebut. Jadi, pemakaian yang dihasilkan masih lagi tidak menepati piawaian syariah. "Walaupun ada pelbagai komen dari banyak pihak, kami ambil pendirian untuk tidak hangatkan perkara tersebut. Pendirian kita juga cukup jelas, kita sudah ada garis panduan dan di dalamnya, ada yang fleksibel serta ada yang kita ambil ketegasan kerana kita tidak boleh berkompromi dengan perkara tersebut," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Sambutan Hari Sukan Negara Peringkat Negeri Terengganu di Dataran Batu Buruk, semalam. Tambahnya, garis panduan yang diwujudkan oleh kerajaan negeri Terengganu sebenarnya diambil dari garis panduan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), cuma perbezaannya ialah kerajaan negeri cuba melaksanakan perkara itu pada sudut dan kemampuan yang ada.  Hishamuddin turut menafikan tindakan satu-satunya atlet gimnastik Terengganu pada Sukma 2022, Tok Exin berhenti mewakili negeri disebabkan garis panduan yang dikuatkuasakan. Jelasnya, pihak MSNT menyediakan sokongan dan keperluan bahkan, atlet berkenaan pernah berlatih di bawah jurulatih yang dibawakan dari China semasa di Terengganu. "Tidak timbul soal beliau tidak mendapat sokongan, tetapi beliau tidak meneruskan hasrat kerana menumpukan perhatian kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), itu yang disampaikannya kepada pihak MSNT. "Beliau atlet bukan Muslim dan telah berada di bawah jagaan MSNT sehingga penggal lalu. Itu buktinya kita menyediakan keperluan dan menyokong. "Apa yang perlu ditimbulkan sekarang ini, tak akanlah dalam ramai bukan Muslim di negeri Terengganu, tidak ada yang berminat menyertai gimnastik? Begitu ramai bukan Muslim di Terengganu pun tiada yang berminat bermain gimnastik, tak akanlah kita hendak paksa orang Muslim? Pada kita jika ada, kita (MSNT) akan membantu dan memberi dorongan," tegasnya. Dalam pada itu, beliau menganggap hasrat Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk bertemu Persatuan Gimnastik Terengganu (PGNT) adalah pertemuan antara kerajaan dan persatuan semata-mata. "Menteri hendak berjumpa, kita alu-alukan. Kita tiada sebarang halangan kerana pertemuan itu antara kerajaan dan persatuan. Setakat penggal baru ini, masih belum ada komunikasi antara saya dan persatuan cuma pada penggal lepas telah ada (penjelasan tentang perkara ini) melalui YB Wan Sukairi Wan Abdullah (exco terdahulu)," katanya.  
15 Oct 23
435