Artikel "Utama" Terkini
Rakyat Terengganu Sumbang RM2 Juta Lebih Kepada Palestin
KUALA TERENGGANU, 4 November - Rakyat Terengganu sekali lagi membuktikan sikap prihatin terhadap Palestin apabila berjaya mengumpulkan sumbangan RM2,414,300 untuk disalurkan bagi membela nasib umat Islam yang sedang ditindas dan sedang berjuang demi membebaskan bumi al-Aqsa.
Sumbangan orang ramai yang disalurkan melalui Dana #Aid4Palestin yang mula dilancarkan pada 13 Oktober yang lalu pada hari ini telah diserahkan di Masjid Rusila.
"Alhamdulillah! Allahuakhbar! rakyat Terengganu sangat pemurah, cakna dan prihatin kepada saudara kita yang sedang ditindas dan (tengah) berjuang sekarang," ujar satu kenyataan daripada PAS Terengganu semalam.
Memetik ayat daripada Surah Al-Baqarah ayat 274, memberi suntikan semangat kepada rakyat bahawa mereka yang membelanjakan harta akan beroleh pahala, serta tidak akan ada kebimbangan dan tidak pula akan berdukacita.
"Semoga Allah terima segala amal kita dan moga sumbangan ini dapat meringankan beban saudara kita bi bumi Gaza.
"Dengan ini selesai sudah majlis penyerahan dana #Aid4Palestine 2.0. Teruskan berdoa buat saudara kita," ujar kenyataan itu.
04 Nov 23
364
Ivan Mamut Kemudi Terengganu FC Ke Pentas Akhir
KUALA NERUS, 3 November - Terengganu FC memastikan tempat ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2023 apabila menewaskan Kuala Lumpur (KL) City FC dengan agregat 4-2, dalam aksi separuh akhir kedua, hari ini.
Melayan kunjungan The City Boys di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Sang Penyu menang 2-1 hasil jaringan berganda penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut.
Di awal perlawanan, pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner dilihat seakan-akan mahu mempertahankan kelebihan jaringan apabila menurunkan Liridon Krasniqi mengemudi pasukan.
Namun, segalanya tampak berbeza apabila tuan rumah menguasai permainan dengan rangkaian serangan seawal minit pertama.
Pada minit ke-9, Liridon melakukan rembatan dari luar kotak penalti yang singgah ke sisi gawang.
Empat minit kemudian, permainan satu dua Ivan dan Sony Norde hampir membuahkan hasil, tetapi rembatan Sony berjaya ditampan penjaga gol pelawat, Kevin Mendoza.
Terengganu FC terus menyerang menerusi rembatan deras ketua pasukan, Habib Haroon yang ditepis Kevin pada minit ke-16.
KL City FC melakukan serangan balas pada minit ke-25 menerusi rembatan Sebastian Avanzini yang menggegar sisi gawang Suhaimi Husin.
Memasuki minit ke-42, Nor Hakim Hassan berjaya melorongkan bola kepada Ivan Mamut yang melakukan 'turning' sebelum rembatannya menggegarkan jaring untuk gol pertama perlawanan.
Separuh masa pertama tamat dengan tuan rumah selesa mendahului satu gol.
Memasuki babak kedua, The City Boys tidak menunggu lama untuk bangkit menyamakan kedudukan.
Pada minit ke-51, kesilapan pertahanan menampan bola lintang Muhammad Haqimi Azim membolehkan Romel Morales menanduk masuk bola ke gawang yang terbuka.
Terengganu FC kembali mengatur serangan dalam usaha memastikan tempat ke perlawanan akhir.
Ivan Mamut sekali lagi memecahkan sorakan penyokong apabila melakukan rembatan kencang dari luar kotak penalti setelah menerima bola dari Liridon tepat ke bucu gawang untuk gol kedua tuan rumah pada minit ke -68.
Terengganu FC kembali di depan dengan kelebihan satu jaringan.
Seminit kemudian, Sang Penyu hampir menjarakkan kedudukan, tetapi bola umpanan Ivan tidak berjaya disudahkan Syahmi Zamri.
Pada minit ke-87, Syahmi sekali lagi berpeluang menghasilkan jaringan, namun Kevin cemerlang menampan bola rembatannya.
Perlawanan berlangsung hangat dengan kedua-dua pasukan lebih agresif menguasai bola, bagaimanapun tiada jaringan tambahan dihasilkan sehingga tamat separuh masa kedua.
Keputusan penuh perlawanan kekal 2-1 dengan Terengganu FC mengesahkan langkah ke perlawanan akhir di hadapan lebih 25,000 penyokong.
03 Nov 23
368
Kaedah Tradisional 'Laksa Kebok' Jadi Tarikan Generasi Muda
KEMAMAN, 2 November - Penghasilan laksa kebuk yang menggunakan kaedah lama jadi tarikan dalam kalangan masyarakat setempat di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata ramai yang tidak mengetahui bagaimana laksa gandum atau laksa Terengganu dihasilkan pada zaman dahulu sebelum teknologi moden diwujudkan.
Katanya, berbanding penghasilannya menggunakan mesin, penduduk Kampung Dadong itu masih meneruskan kaedah lama tersebut.
"Bermula daripada penyediaan bahan mentah, makanan tradisi yang semakin pupus itu dihidupkan semula oleh penduduk kampung itu secara bergotong-royong," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas Program 'Jom Makan Laksa' di pekarangan Masjid Dadong, Kemaman di sini semalam.
Tambah Mohd Hafiz, warisan itu perlu dijaga dan dikekalkan bukan sahaja hari ini malah di masa akan datang juga.
Beliau berkata, masyarakat perlu diberi pendedahan awal terutama kepada generasi muda supaya mereka tahu bagaimana laksa kebuk dihasilkan.
“Perkara ini juga penting kerana golongan itu akan menyambung segala warisan yang ditinggalkan oleh orang tua," katanya.
Jelasnya, ia perlu diketengahkan supaya dapat dikekalkan dan diteruskan bagi menjadikan pembuatan laksa secara tradisional tidak ditinggalkan begitu sahaja.
"Hal ini kerana, ia mempunyai nilai tersendiri disamping dapat menjadikan suatu tarikan pelancongan yang baru," katanya.
Mengulas lanjut mengenai program, katanya, lebih 100 orang penduduk setempat turun membantu menyempurnakan program dianjurkan itu.
"Menariknya, mereka bergotong-royong dalam menyediakan laksa, menge'cat laksa, kuah lemak dan ulam-ulaman.
"Program tersebut berjalan lancar dengan cuaca yang baik sepanjang penganjuran berlangsung," ujarnya.
03 Nov 23
674
Kadar Pengangguran Terengganu Turun ke 3.6 Peratus
KUALA TERENGGANU, 3 November - Kadar pengangguran di Terengganu mencatat penurunan kepada 3.6 peratus tahun lalu berbanding 4 peratus tahun sebelumnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata kadar itu bukan sahaja lebih rendah berbanding paras nasional iaitu 3.9 peratus malah lebih baik ketika pembentangan Belanjawan 2023 pada November tahun lalu iaitu antara 3.7 peratus hingga 3.9 peratus.
Kerajaan negeri katanya melaksanakan tiga strategi penting menerusi Urus Setia Pekerjaan Negeri (UPNT) yang turut dianggotai Terengganu Human Resource Development Centre (THRDC) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
"Strategi pertama adalah memasarkan maklumat pekerjaan dengan lebih meluas terutama kepada pencari kerja graduan dan belia.
"Ini termasuk mendaftarkan pencari kerja dan majikan dalam satu ekosistem iaitu 'MYFutureJobs' dan membangunkan Sistem Maklumat Pekerjaan Akar Umbi (SAMPAI)," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Konvokesyen ke-5 Terengganu Skills Development Centre (TESDEC) di Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini semalam
Turut hadir Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TESDEC Sendirian Berhad, Sulaiman Sulong, Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC, Mohd Iskandar Muhammad Aziz, Pengerusi Lembaga Pengelola Kolej TESDEC, Prof Madya Dr Berhanundin Abdullah, dan Ketua Eksekutif Kolej TESDEC, Encik Mat Azam Husain.
Tambah Wan Sukairi, Strategi kedua pula menurut adalah menghubungkan pencari kerja dengan pihak industri atau bakal majikan dan menganjurkan program pemadanan pekerjaan di peringkat daerah dan Dewan Undangan Negeri (DUN).
"Manakala stategi ketiga adalah dengan meningkat kebolehkerjaan dan kebolehpasaran pencari kerja, mengadakan program 'career grooming', membimbing penyediaan resume, membangun kemahiran insani dan kemahiran teknikal yang berkaitan pekerjaan," katanya.
Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam seterusnya berkata semua inisiatif tersebut adalah untuk memastikan setiap graduan mendapat ruang dan peluang yang sama dalam mendapatkan pekerjaan sekali gus memperoleh pendapatan yang akhirnya mengubah landskap ekonomi dan sosial di negeri Terengganu.
"Saya tahu cabarannya besar, namun saya lebih percayakan bakat dan potensi yang ada pada kita semua rakyat Terengganu," ujarnya lagi.
03 Nov 23
291
Perancangan Teliti dan Berstrategik Kunci Kejayaan
KUALA TERENGGANU, 2 November - Perancangan teliti dan berstrategik menjadi kunci kepada kejayaan terhadap apa juga program yang dilaksanakan.
Pengarah Urus Setia Wanita Terengganu (USWa), Wan Nur Sakinah Din berkata, kerjasama dengan agensi berkaitan di bawah Portfolio Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri akan menghasilkan keputusan yang padu.
"Alhamdulillah, pertemuan dua hala ini membuka sesi berbalas pendapat antara dua agensi di bawah portfolio tersebut.
"Banyak peluang kerjasama bakal dijalinkan bersama agensi di bawah portfolio Exco.
"Terutamanya dalam aspek keusahawanan dalam meningkatkan ekonomi wanita Terengganu," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas kunjung hormat, di Wisma Darul Iman, pada kelmarin.
Turut hadir sama ialah wakil Terengganu Human Resource Development Centre dan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU).
Menurutnya, banyak peluang kerjasama yang dapat digerakan antara USWa dan portfolio serta bawah agensi berkenaan.
Katanya, tanpa perancangan boleh diibaratkan bergerak tiada haluan dan matlamat.
"Perbincangan serius bakal dilaksanakan dalam memastikan program yang bakal dirancang mencapai target dan meliputi keseluruhan sasaran," ujar Sakinah.
Justeru itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Ariffin Deraman selaku Exco Portfolio dan agensi berkaitan yang memberi peluang bagi menjalin kerjasama itu.
03 Nov 23
115
Sedia Bantu Graduan Buka Perusahaan Sendiri
KUALA TERENGGANU, 2 November – Kerajaan Negeri melalui Terengganu Skills Development Centre (TESDEC) bersedia membantu graduan membuka perniagaan atau perusahaan sendiri selepas berjaya menamatkan pengajian di institusi itu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata sijil keluaran TESDEC diiktiraf dan diterima baik dalam pelbagai industri.
Beliau berkata alumni TESDEC antara graduan yang peluang pekerjaan mereka cukup terjamin dengan skill dan akademi yang dimiliki.
"Dalam masa yang sama Kerajaan Negeri sangat menggalakkan para graduan TESDEC mencipta peluang pekerjaan sendiri.
“TESDEC pula sedang berusaha menambah program inovasi dan membina jalinan kerjasama dengan agensi kerajaan seperti Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) supaya mana-mana alumni yang berhasrat untuk membuka perusahaan atau perniagaan sendiri, kerajaan negeri menjadi pemudah cara untuk tujuan tersebut,” jelas beliau.
Wan Sukairi berkata demikian di Sidang Media selepas Majlis Konvokesyen TESDEC ke 5 di Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TESDEC Sendirian Berhad, Sulaiman Sulong dan Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC, Mohd Iskandar Muhammad Aziz.
Terdahulu, Wan Sukairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam dalam ucapan perasmiannya berkata, Kerajaan Negeri sentiasa peka dengan perkembangan pendidikan dan latihan yang berlaku di Terengganu dalam memastikan setiap graduan yang dilahirkan oleh institusi di negeri ini sentiasa mendapat tempat dalam industri dan sektor memerlukan.
Katanya, kolaborasi dengan pemain industri sentiasa dijalankan bagi mewujudkan kesinambungan jalinan saling melengkapi daripada aspek keterampilan graduan selaras dengan keperluan guna tenaga dalam industri.
"Pada masa yang sama juga, kerajaan melalui Terengganu Skills (TESDEC) turut menawarkan program berbentuk 'reskilling' dan peningkatan tahap kemahiran yang lebih kompetitif," ujarnya.
03 Nov 23
195
MB, Presiden PAS Terima Kunjungan Tun M
KUALA TERENGGANU, 2 November – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kunjungan hormat ke atas Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Presiden PAS, Tan Sri Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang pada hari ini.
Tun Dr Mahathir bertemu Ahmad Samsuri pada jam 10.30 pagi di bangunan Wisma Darul Iman dan mengadakan pertemuan selama dua jam.
Ahmad Samsuri dalam catatan di akaun Facebook rasminya berkata pertemuan itu memperkemaskan lagi kerjasama antara negarawan, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Buah fikiran serta pengalaman beliau begitu mahal buat kami.
“Terima kasih Tun M sudi datang ke negeri cantik, Terengganu Darul Iman,” ujar kenyataan itu.
Tun Dr Mahathir kemudiannya beredar meninggalkan Wisma Darul Iman dan menuju ke rumah Presiden Parti Islam Se-malaysia (PAS) yang terletak di Rusile, Marang.
Beliau menunaikan solat zuhur secara berjemaah di Masjid Rusile sebelum mengadakan pertemuan bersama Abdul Hadi.
Tambah Ahmad Samsuri, apabila figura tokoh negarawan yang dihormati dan disegani bertemu, banyak bicara mereka.
“Kita yang masih muda ini, perlu banyak menuntut daripada kedua-duanya,” ujarnya.
Selepas kunjungan hormat itu, Tun Dr Mahathir bersama delegasi sempat singgah di Warung Pok Nong sebelum berangkat pulang ke Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM).
02 Nov 23
234
Terengganu Fokus Tenaga Boleh Baharu
KUALA TERENGGANU, 2 November – Kerajaan negeri kini sedang giat melaksanakan program peralihan tenaga selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dengan memanfaatkan tenaga hidro dan tenaga solar.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya juga sedang mengkaji untuk menggunakan hydrogen hijau sebagai salah satu sumber tenaga hijau di negeri itu.
Menurut beliau, Empangan Hidroelektrik Tasik kenyir adalah salah satu loji kuasa hidroelektrik terbesar di Malaysia, dan kerajaan negeri merancang untuk meningkatkan lagi keupayaan tenaga hijau dengan memasang loji fotovoltaik solar terapung di Tasik Kenyir.
“Kerajaan negeri juga telah menandatangani MOU dengan PETRONAS Gas Berhad untuk mencari peluang dalam tenaga boleh diperbaharui terutamanya pada mini hidro,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sambutan Ulang Tahun Ke-15 ECERDC peringkat Negeri Terengganu yang turut dihadiri kira-kira 300 pelabur di sini hari ini.
Justeru itu, para pemain industri dan pelabur yang berminat dijemput untuk mengadakan perbincangan untuk topik tenaga boleh baharu yang berpotensi menjadi pemangkin perubahan kepada Terengganu.
“Saya berharap untuk melibatkan diri dan bekerjasama dengan mana-mana pelabur, secara kolektif meneroka peluang baharu dalam Tenaga Boleh Diperbaharui dan Tenaga Hijau, untuk memanfaatkan sumber kekayaan Terengganu dan mengukuhkan tarikan tawaran pelancongan yang banyak di negeri ini.
“Dua minggu lepas, saya telah mengadakan perbincangan dengan beberapa pemain serantau mengenai tenaga hidrogen di Terengganu, termasuk dengan orang Korea; dan seterusnya pada Isnin (6 November) ini, saya akan mengadakan perbincangan serius dengan Ketua Menteri Sarawak di Kuching mengenai topik yang sama,” katanya lagi.
Ahmad Samsuri juga turut merakamkan penghargaan kepada ECERDC kerana sejak 15 tahun lalu, Terengganu telah menerima banyak manfaat dari segi kemasukan pelaburan, pembangunan projek-projek infrastruktur dan logistik dan juga program-program pembangunan modal insan yang cukup signifikan buat rakyat negeri itu.
"ECERDC telah menarik pelaburan swasta komited berjumlah lebih RM380 juta dalam sektor pertanian di Terengganu sejak 2018 sehingga kini," katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, sebanyak RM28.1 bilion nilai pelaburan telah berjaya direalisasikan ke negeri Terengganu sejak penubuhannya pada tahun 2008.
Tambahnya, lebih 43,000 peluang pekerjaan dan lebih 11,000 peluang keusahawanan telah berjaya diwujudkan kepada rakyat Terengganu setakat ini.
02 Nov 23
524
Cat Farish Teruja MB Sokong Penganjuran Havoc Asean Food Festival
KUALA NERUS, 2 November - Penyanyi dan pelakon terkenal, Faris Ramli atau lebih dikenali sebagai Cat Faris serta isterinya Shikin Maembong teruja Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyokong Havoc Asean Food Festival.
Katanya, pihaknya sangat berbesar hati dengan sikap yang ditunjukkan oleh kepimpinan negeri dalam memastikan program berkenaan dapat dijayakan dengan penuh gilang gemilang.
Beliau dan isterinya yang berniaga cekopis yang didatangkan dengan pelbagai perisa juga sangat bersyukur kerana hati pertama festival berkenaan telah mendapat sambutan yang cukup baik daripada pengunjung.
"Walaupun hari pertama telah mendapat sambutan yang sangat baik, dan kitaorang masih berada di sini untuk menarik lebih ramai 'crowd' lagi untuk hadir dan memeriahkan festival ini.
"Dapat sambutan yang sangat baik, Shikin pun sangat gembira dapat berniaga di negeri kelahirannya ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Havoc Asean Food Festival, yang diadakan di Pekarangan Kompleks Sukan Kuala Nerus, di sini, hari ini.
Mengulas lebih lanjut, Cat Faris mengharapkan agar program yang dianjurkan oleh Havoc Event & Management Sdn Bhd dengan kerjasama kerajaan Terengganu itu akan dihadiri oleh ramai pengunjung terutama oleh 'kaki makan' untuk merasai sendiri pengalaman menikmati makanan dari lima buah negara.
"Datanglah jumpa kami dan vendor-vendor yang lain menampilkan 160 usahawan dan 20 daripadanya merupakan selebriti serta 'influencer' terkenal tanahair," ujarnya.
Dalam pada itu Cat Farish menyatakan negeri Terengganu memiliki keunikannya yang tersendiri sehingga menjadi lokasi utama orang ramai melancong ke negeri ini.
"Ini merupakan kali pertama datang Terengganu untuk program ini, sebelum ini telah datang bagi menjalankan pengambaran filem Remp-it 2 di sini," katanya.
02 Nov 23
318
PETRONAS Sumbang RM 298,100 Untuk Rumah Perlindungan HIV
HULU TERENGGANU, 2 November - Yayasan PETRONAS (YP) menerusi yayasan AIDS Malaysia (MAF) menyumbangkan sebanyak RM298,100 bagi membantu anggota Pertubuhan Komuniti Cakna Terengganu.
Pengerusi Yayasan AIDS Malaysia, Prof Dato’ Dr Adeeba Kamarulzaman berkata inisiatif itu bertujuan bagi meringankan beban penghuni komuniti Cakna yang terjejas dengan HIV/AIDS.
Katanya, antara inisiatif tersebut adalah melalui perusahaan sosial cili boh secara komersial bagi menjana ekonomi sara hidup mereka.
“Melalui platform itu serba sedikit dapat mengur angkan kadar kemiskinan serta kerentanan sosial yang berpunca daripada jangkitan HIV atau tekanan stigma dan diskriminasi yang masih lagi membelenggu anggota komuniti ini.
“Dalam pada itu, program ini merupakan kesinambungan kerjasama murni yang telah termeterai selama ini di antara Yayasan PETRONAS dan Yayasan AIDS Malaysia dalam usaha membantu anggota komuniti yang terkesan dan terjejas dengan epidemik HIV,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Pelancaran dan Penyerahan Sumbangan oleh Yayasan Petronas kepada Komuniti Cakna Terengganu untuk Program Uplifting Lives: Homes, Projek Penghasilan Cili Boh bertempat di Rumah Perlindungan Baitul Cakna Lelaki, Komuniti Cakna Terengganu, PT6236, Kg Pelandan, Kuala Berang semalam.
Turut hadir, Ketua Operasi, Yayasan Petronas, Tengku Noraida Tengku Mahmood, Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr Anita Suleiman dan Presiden Pertubuhan Komuniti Cakna Terengganu, Amran Ismail.
Tambah Dr Adeeba, beliau berharap usaha ini memberikan impak terhadap kelestarian dana selain membantu mengembangkan lagi projek Komuniti Cakna Terengganu yang sedia ada kepada tahap yang lebih baik.
Beliau juga menyatakan kesan daripada stigma dan diskriminasi daripada masyarakat awam terhadap golongan PLHIV menyukarkan mereka untuk mencari pekerjaan mahupun menceburi bidang perniagaan.
“Kesan daripada stigma dan diskriminasi ini termasuklah kesukaran bagi golongan PLHIV dalam mencari perkerjaan mahupun memulakan perniagaan secara kecil- kecilan.
Sehubungan itu, MAF dan Yayasan PETRONAS mengambil pendekatan dengan mewujudkan inisiatif Perusahaan sosial cili boh ini sebagai salah satu usaha bagi membantu golongan rentan ini untuk memperolehi pendapatan,” ujarnya.
02 Nov 23
409