lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Havoc Asean Food Festival Himpun Makanan Lima Negara
Havoc Asean Food Festival Himpun Makanan Lima Negara
KUALA NERUS, 2 November - Havoc Event & Management Sdn Bhd dengan kerjasama erat Kerajaan Negeri Terengganu telah menganjurkan Havoc Asean Food Festival dengan menghimpunkan makanan pelbagai variasi popular dari lima buah negara asia. Ketua Pegawai Eksekutif Havoc Event & Management Sdn Bhd, Faizul Mohd Yusof berkata, orang ramai boleh merasai sendiri pengalaman menikmati masakan dari Indonesia, Singapura, Vietnam, Thailand termasuk Malaysia. Ujarnya, Terengganu menjadi lokasi pilihan untuk siri jelajah ke-14 sejak ia mula diadakan pada tahun 2019, kerana negeri ini merupakan tumpuan utama pelancong domestik dan antarabangsa untuk hadir. "Pihak kami berharap agar penganjuran kali ini akan mampu menarik seramai mungkin pengunjung yang bagi menikmati variasi makanan yang ada pada kali ini, 160 usahawan seluruh negeri termasuk 20 usahawan tempatan, juga selebriti dan pempengaruh bersedia melayan kehadiran pengunjung. "Pihak Havoc Event  & Management Sdn Bhd serta kerajaan negeri menjangkakan jumlah kehadiran sekitar 200,000 pengunjung sepanjang program diadakan empat hari program berlangsung," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap  pada perasmian program berkenaan yang dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar , di Perkarangan Kompleks Sukan Kuala Nerus, di sini, semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Datuk Razali Idris serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat. Mengulas lebih lanjut katanya, selain daripada menawarkan kepelbagaian makanan dari lima buah negara program akan turut diserikan dengan acara pentas berkonsepkan islamik yang selari dengan garis panduan kerajaan negeri. "Diantara acara yang akan diadakan ialah Program Ilmu : Ilmu Apa Hari Ini?, Majlis Selawat dan Qasidah Perdana, Persembahan Busker berkonspekan ketuhanan/lagu rakyat. "Juga menyediakan aktiviti kekelurgaan seperti Parrot Show, Petting Zoo, memanah, sukan rakyat dan pertandingan mewarna bagi kanak-kakak," ujarnya. Tambah beliau lebih istimewa, penaja utama Ade Azhar Trading juga menyediakan beberapa hadiah cabutan bertuah serta turut sama membawakan Yayasan Ade Azhar bagi pemeriksaan kesihatan dengan kerjasama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Cinta Gaza yang turut menyediakan Tabung Kemanusiaan Palestin. Kemuncak acara akan diserikan dengan cabutan Xtravanga dimana mereka yang bertuah akan memenangi hadiah utama sebuah Kereta Perodua Bezza dan sebuah Motorsikal RX-Z.
02 Nov 23
550
Terengganu Memiliki Balai Cerap Moden dan Lengkap
Terengganu Memiliki Balai Cerap Moden dan Lengkap
KUALA TERENGGAU, 1 November - Terengganu bukan sahaja memiliki ramai alim ulama serta tenaga yang berkepakaran dalam bidang ilmu falak tetapi negeri ini mempunyai balai cerap paling moden dan serba lengkap. Timbalan Ketua Pengarah Dasar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato' Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, sejak dahulu Terengganu telah terkenal dengan kegemilangan ilmu falak. Katanya, sejarah kegemilangan itu telah memberi sumbangan dalam melahirkan sebahagian besar pegawai falak dan penggiat falak. "Sebagai contoh, Balai Cerap Kusza yang terletak di Bukit Merang, Setiu merupakan antara yang terawal dan banyak membuka penyelidikan danm penemuan baharu dalam ilmu falak. "Kebetulan, saya juga ketika ini merupakan Ahli Lembaga Pengarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), pada bulan September lalu saya telah melawat balai cerap berkenaan. "Alhamdulillah, banyak peralatan baharu dan program-program yang telah dijalankan bagi menarik minat orang ramai dalam mendalami ilmu falak dan meneroka penyelidikan-penyelidikan baru," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Muzakarah Falak Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, di Hotel Grand Puteri, di sini, semalam. Dalam pada itu, Dr Sirajuddin berkeyakinan gabungan dan kerjasama strategik antara Jabatan Mufti negeri-negeri, Institusi Pengajian dan Persatuan falak akan merakyatkan lagi ilmu berkenaan untuk difahami dan dihayati oleh seluruh lapisan masyarakat. "Malaysia tidak ketandusan ahli-ahli pakar terdiri daripada para alim ulama, ahli akademik Institut Pengajian Tinggi (IPT), ahli teknikal, persatuan, badan bukan kerajaan (NGO) dan seumpamnya. "Semua alim ulama dan ahli falak ini perlu bergabung dalam menghasilkan kerjasama yang mantap dalam membawa imej Malaysia untuk mempromosi dan mengangkat serta mengukuhkan bidang falak di peringkat global," ujarnya.
01 Nov 23
405
Terengganu FC Seru Penyokong Angkat Bendera Palestin
Terengganu FC Seru Penyokong Angkat Bendera Palestin
KUALA TERENGGANU, 1 November - Terengganu FC (TFC) menyeru kepada seluruh penyokong di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) pada Jumaat ini untuk sama-sama mengangkat bendera Palestin.  TFC dalam satu kenyataan hari ini berkata, solidariti di perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2023 di antara TFC menentang Kuala Lumpur City bakal dilakukan ketika nyanyian lagu Negaraku. Katanya, ia sebagai simbolik terhadap apa yang berlaku atas dasar keamanan dan kemanusiaan. "Kami menyeru supaya penyokong mempamerkan aura yang berbeza. "Di samping itu, lontaran suara yang dapat didengari dari Besut hingga ke Kemaman, 90 minit gema sorakan tanpa henti.  "Antara perkara menarik yang bakal dijayakan pada Jumaat ini iaitu TIFO Gergasi dari ultras dan kelab penyokong," ujar kenyataan itu. Seru TFC lagi, seluruh penyokong akan melakukan tepukan pembukaan 'Tranung Engkaulah Jiwaku' sebelum sepak mula yang akan diketuai oleh Ultras Tranung. "Memasuki separuh masa kedua, ‘Half Time Show Product Toss’ akan diadakan yang melibatkan ratusan barangan cenderahati daripada Manis FM dilontarkan kepada penyokong yang hadir. "Tabung derma Palestin juga disediakan yang akan ditempatkan di setiap pintu masuk stadium.  "Kutipan akan dilakukan oleh Jabatan Urus Setia Belia Sukan & NGO Terengganu Sejahtera (UBSNT)," jelasnya.  
01 Nov 23
351
Terengganu Perluas Kawasan Tanaman Kelapa
Terengganu Perluas Kawasan Tanaman Kelapa
KUALA TERENGGANU, 1 November- Kerajaan negeri akan membangunkan kawasan tanaman kelapa di Setiu yang bakal meningkatkan Kadar Kecukupan Sara Diri (SSR) kelapa di negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek komersial penanaman kelapa di Kampung Banggol Mukim Tasik dan Mukim Caluk itu melibatkan pelaburan sebanyak RM19 juta, merupakan salah satu usaha memperluas kawasan penanaman kelapa khususnya di Terengganu. Katanya, bagi meningkatkan produktiviti tanaman dan hasil pengeluaran untuk tujuan komersial, pemilihan benih varieti kelapa yang sesuai dan mencukupi adalah dititik beratkan. “Antaranya kelapa MATAG, kelapa Rendah Merah Malaya (MRD), kelapa Rendah Kuning Malaya (MYD) dan kelapa Pandan. “Melalui pengeluaran kelapa yang dianggarkan lebih 18 juta biji kelapa setahun, Terengganu boleh meningkatkan SSR kelapa sehingga 148 peratus bagi tahun pertama tuaian, " ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Menandatangani Perjanjian di antara Pejabat Daerah Setiu, Terengganu Agrotech Development Corp. Sdn. Bhd. dan LRT Agribusiness Sdn. Bhd. bagi Projek Komersial Penanaman Kelapa di Kampung Banggol Mukim Tasik dan Mukim Caluk, Setiu yang berlangsung di Wisma Darul Iman, hari ini. Katanya, Pembangunan Projek Perintis Ladang Kelapa adalah satu daripada tiga komponen utama bagi Projek Komersial Penanaman Kelapa di Kampung Banggol ini selain daripada Pusat Pengumpulan, Pemprosesan & Pembungkusan (CPPC) Hasil Pertanian Kelapa, Daerah Setiu dan Pengembangan Industri Hiliran kelapa melalui Pembangunan Kilang Pemprosesan Kelapa. “Komponen utama projek iaitu Projek Perintis Ladang Kelapa bakal menyaksikan dua pemain industri dalam sektor pertanian dan perladangan iaitu Terengganu Agrotech Development Corp. Sdn. Bhd. dan anak syarikat Ladang Rakyat Trengganu Sdn Bhd iaitu LRT Agribusiness Sdn. Bhd. berkolaborasi dalam membuka kawasan baru dengan keluasan bertanam seluas 490 hektar,” ujarnya. Mengulas lanjut katanya, kerajaan negeri turut peka dalam usaha menaiktaraf ekonomi serta pendapatan rakyat melalui komponen kedua projek iaitu dengan penubuhan Pusat Pengumpulan, Pemprosesan &  Pembungkusan (CPPC) hasil Pertanian Kelapa, di daerah Setiu.  ”Kemudahan ini bertujuan memudahkan pengusaha ladang dan tanaman kelapa setempat memasarkan secara terus keluaran hasil tanaman mereka tanpa perlu terikat dengan mana-mana pihak selain dapat mengawal selia dari segi kualiti dan penggredan setiap buah kelapa yang diperolehi. Manakala katanya, berkonsepkan dari Ladang ke Pasaran, Projek Komersial Penanaman Kelapa ini turut menyasarkan untuk menempatkan komponen rantaian pengeluaran kelapa secara bersepadu di bawah satu bumbung dengan penubuhan kilang pemprosesan kelapa.  ”Kilang ini dijangka beroperasi sepenuhnya dalam tempoh lima tahun dan dijangka menempatkan peluang pekerjaan seramai 70 orang kepada rakyat negeri Terengganu khususnya penduduk sekitar Setiu,” ujarnya.  
01 Nov 23
272
Rakan Kongsi Bisnes, Dilanggar Dan Ditikam Hingga Mati
Rakan Kongsi Bisnes, Dilanggar Dan Ditikam Hingga Mati
KUALA TERENGGANU, 1 November – Seorang wanita ditemui maut dengan beberapa kesan tikaman di bahagian badan berdekatan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Terengganu di Jalan Batu 23, dalam satu kejadian jam 3 pagi, hari ini. Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli  Mazlan berkata siasatan awal mendapati berlaku pergaduhan antara mangsa yang berusia 65 tahun dengan suspek yang juga merupakan rakan kongsi perniagaannya tentang agihan keuntungan hasil jualan tudung dan pakaian. “Mangsa kemudiannya bertindak keluar dari kereta Honda Jazz dinaiki mereka sebelum suspek melanggarnya sehingga tercampak ke dalam longkang kemudian menikam tubuh mangsa sebanyak 15 kali sehingga mati. "Suspek kemudiannya  meninggalkan lokasi dengan menumpang sebuah van yang kebetulan melalui lokasi kejadian tersebut tidak lama kemudian. "Wanita yang berusia 35 tahun tersebut telah berjaya ditahan di rumahnya di Wakaf Tapai, Marang kira-kira jam 11 pagi," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serahan Barang Kes Narkotik Bagi Program Pelupusan Tahun 2023 Peringkat Kontinjen Terengganu bertempat di hadapan perkarangan IPK Terengganu. Menurutnya lagi, pihak polis turut merampas sebilah pisau pemotong daging yang dibuang suspek berhampiran rumahnya yang digunakan sebagai senjata. Tambah beliau, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk proses pengecaman dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk proses bedah siasat. Mazli berkata, permohonan perintah tahanan reman akan dibuat dihadapan majistret pada khamis (esok). "Suspek kini ditahan polis dan satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi siasatan lanjut,”ujarnya.
01 Nov 23
713
Polis Terengganu Lupus Dadah Bernilai RM6.2 Juta
Polis Terengganu Lupus Dadah Bernilai RM6.2 Juta
KUALA TERENGGANU, 2 November – Polis Terengganu akan  melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM6.2 juta yang dirampas sepanjang 27 tahun bermula 1996 hingga 2023. Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli  Mazlan berkata  antara yang akan dilupuskan ialah heroin, methamphetamine, yaba, ketamin, ubat batuk, air ketum dan daun ketum. Katanya, dadah yang dilupus melibatkan 3,557 kertas siasatan yang semuanya telah selesai menjalani proses mahkamah.. “Pada hari ini, PDRM Kontinjen Terengganu di bawah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik akan membuat penyerahan barang kes dadah untuk pelupusan kepada syarikat Kualiti Alam Sdn. Bhd. yang berdaftar di bawah Jabatan Alam Sekitar.  “Pelupusan perlu dijalankan oleh syarikat yang berdaftar memandangkan barang kes dadah adalah ‘buangan terjadual atau schedule waste (SW403)’ iaitu buangan terjadual di bawah jadual pertama, peraturan-perturan kualiti alam sekeliling (buangan terjadual) 2005,”katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Serahan Barang Kes Narkotik Bagi Program Pelupusan Tahun 2023 Peringkat Kontinjen Terengganu bertempat di hadapan perkarangan IPK Terengganu. Jelasnya,program pelupusan ini secara tidak langsung  mempamerkan ketelusan dan integriti PDRM dalam menjalankan tanggungjawab memastikan barang kes dadah dilupuskan sepertimana perintah mahkamah. “Ia juga membuktikan bahawa tiada barang kes dadah yang disalahgunakan setelah kes selesai di mana kita akan memastikan “no drug exhibits will be back on the streets”. Sementara itu, berdasarkan statistik kes dan tangkapan  dari bulan Januari sehingga Oktober, JSJN Terengganu telah mengambil tindakan ke atas seramai 838 orang di bawah seksyen 39c ADB 1952, manakala pada tahun lepas (2022) seramai 1,108 orang telah ditangkap dan dituduh.
01 Nov 23
178
Terengganu Jadi Tuan Rumah Muzakarah Falak Kebangsaan
Terengganu Jadi Tuan Rumah Muzakarah Falak Kebangsaan
KUALA TERENGGANU, 1 November - Terengganu telah terpilih menjadi tuan rumah sempena Muzakarah Falak Peringkat Kebangsaan 2023. Timbalan Ketua Pengarah Dasar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Dato' Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, tema muzakarah yang diangkat pada kali ini ialah 'Melestarikan Kemajuan Falak Melalui Penyelidikan dan Penerbitan'. "Pelaksanaan muzakarah ini diselang seli penganjurannya dengan Munaqasyah Fiqh Falak Peringkat Kebangsaan. Hasrat utamanya adalah untuk meningkatkan kerjasama dan penyelarasan di peringkat kebangsaan dalam bidang falak. "Turut membincangkan isu-isu semasa teknikal falak, bahkan sebagai salah satu medan perkongsian ilmu, strategi dan pengalaman agar selari bergerak dalam tuntutan zaman dan teknologi," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian penutup program berkenaan di Hotel grand Puteri, di sini, semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Dato' Mohd Nor Hamzah, Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu (MAIDAM), Shaikh Harun Shaikh Ismail dan Mufti negeri, Dato' Dr Muhammad Sabri Haron. Mengulas lebih lanjut, Dr Sirajuddin berkata pada muzakarah kali ini 10 tajuk yang selari dengan tuntutan semasa telah dibincangkan. "Seperti hala tuju falak dalam bidang penyelidikan dan penerbitan antaranya peranan dan cabaran bahagian falak di Jabatan Mufti Negeri, penghayatan takwim hijri dalam kehidupan harian, kepentingan ilmu falak turath dalam mendepani kemajuan teknologi, balai cerap dan lain-lain. "Alhamdulillah sebahagian besar daripada resolusi muzakarah yang lalu menjadi asas kepada kajian hukum dan fatwa, garis panduan untuk pertimbangan kerajaan. "Antaranya ialah isu perubahan parameter kedudukan Matahari di bawah ufuk bagi waktu solat Subuh, penyelarasan nama bulan takwim hijri, menghasilkan buku panduan cerapan hilal bagi rujukan jabatan mufti negeri-negeri dan Ahli Jawatankuasa Rukyah seluruh negara dan kajian ufuk bangunan tinggi bagi penentuan waktu solat," ujarnya lagi.
01 Nov 23
271
Tasik Biru Kemaman Berpotensi Jadi Lokasi Pelancongan
Tasik Biru Kemaman Berpotensi Jadi Lokasi Pelancongan
KEMAMAN, 31 Oktober - Tasik biru di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih yang merupakan tapak tinggalan bekas lombong dilihat berpotensi diangkat sebagai tempat tarikan pelancongan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata, melalui perbincangan bersama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, tasik tersebut dijangka bakal dinaik taraf menjadi trek riadah yang mengelilingi tasik berkenaan. Menurutnya, satu lawatan penting telah diadakan di beberapa lokasi strategik dalam DUN Air Putih bagi usaha memajukan potensi pelancongan di sini. "Lawatan yang bermula pada jam 10.00 pagi itu dimulakan dengan rombongan ke Bukit Mentok Hiking Park yang menjadi tumpuan orang awam untuk mendaki kerana kawasannya yang terpelihara. "Beberapa cadangan turut dilontarkan supaya diadakan aktiviti memancing setelah melihat persekitaran keadaan sungai yang mampu menarik minat pelancong," katanya ketika lawatan semalam. Tambah Hafiz, pada lawatan berkenaan turut diadakan kunjungan ke Rumah Jambi yang terletak di Pasir Gajah, Kemaman. "Rumah unik ini yang mengetengahkan unsur tradisi binaan Jambi, Sumatera dan menjadi salah satu tinggalan sejarah yang berharga di sini. "Seterusnya, rombongan bergerak ke Turtle Conservation Society Of Malaysia yang terletak di Dewan Orang Ramai, Pasir Gajah bagi melihat persekitaran, menilai keadaan tempat pemuliharaan dan pembiakan spesis tuntung," katanya. Mengulas lanjut, beliau turut berkata, pihaknya juga berkesempatan untuk melawat MD Agro di Kampung Batu 16 dan mengadakan sedikit perbincangan mengenai hala tuju dan potensi yang boleh memajukan sektor pelancongan dan kebudayaan. "Lawatan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan tempatan dalam memajukan potensi pelancongan di Dun Air Putih. "Sekali gus, memperkenalkan destinasi menarik kepada pelancong tempatan dan luar negeri. "Diharapkan usaha ini akan membawa manfaat besar kepada kawasan tersebut serta mengukuhkan ekonomi tempatan," ujarnya.
31 Oct 23
1182
Pusat Aktiviti Warga Emas Bakal Dibuka di YPKT
Pusat Aktiviti Warga Emas Bakal Dibuka di YPKT
KUALA TERENGGANU, 31 Oktober - Kerajaan negeri bakal menubuhkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) ke-8 pada tahun ini.  Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md. Noor berkata pusat itu akan dibuka di Ruang Cafeteria Yayasan Pembangunan Keluarga Negeri Terengganu (YPKT). Katanya, sehingga kini Kemaman, Dungun, Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Besut dan Kuala Nerus sudah mempunyai PAWE. "PAWE yang ke-8 adalah di Parlimen Kuala Terengganu yang kini dalam proses penubuhan pada tahun ini yang terletak di ruang cafeteria YPKT," katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Terengganu Darul Iman Tahun 2023 di Kompleks Ibu Tunggal Chendering di sini hari ini. Turut hadir, Pengarah Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu, Mazura Ngah Abd Manan, Timbalan Pengarah Pengurusan YPKT Mohd Ashri  Mohd Zain, Ketua-ketua Jabatan dan wakil-wakil Ketua Jabatan serta Pengerusi-Pengerusi PAWE seluruh negeri Terengganu. Dalam pada itu, Zuraida turut mengucapkan tahniah kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Terengganu dan YPKT atas kerjasama dalam menjayakan penubuhan PAWE Daerah Kuala Terengganu pada tahun ini. "Tahniah juga kepada Persatuan Warga Emas Terengganu dalam kesediaan mengoperasi PAWE Kuala Terengganu," ujarnya. Katanya, kolaborasi ini sejajar dengan saranan kerajaan dalam memperluaskan kerjasama strategik di antara agensi Kerajaan dan pertubuhan bukan Kerjaan dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada warga emas. "Adalah diharapkan dengan pertambahan penubuhan PAWE ini, maka warga emas dapat terus menjalankan aktiviti dalam komuniti, lantas melahirkan warga emas yang sihat, aktif, produktif dan positif, seterusnya mengurangkan kemasukan dan kebergantungan warga emas  kepada institusi kebajikan," jelasnya. Katanya, sempena Majlis Sambutan Hari Warga Emas itu kerajaan negeri juga berbesar hati untuk menyampaikan dua anugerah iaitu Anugerah Warga Emas Aktif Tertua dan Anugerah Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Cemerlang. Yang Dipertua Majlis Kebajikan Pelajaran Besut, Haji Yusoff Kassim menerima Anugerah Tokoh Warga Tua Aktif manakala PAWE Setiu menerima anugerah PAWE Terbaik bagi seluruh negeri Terengganu tahun ini. Penerima anugerah berkenaan masing-masing menerima hadiah wang tunai RM2,000, sebuah piala dan sijil. 
31 Oct 23
354
Terengganu Perkukuh Kerjasama Ekonomi Dengan China
Terengganu Perkukuh Kerjasama Ekonomi Dengan China
PUTRAJAYA, 31 Oktober –Terengganu telah mengadakan pertemuan dua hala dengan China bagi memperkukuhkan kerjasama ekonomi antara dua negara. Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian Dan Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, pihaknya telah menerima satu kunjungan hormat oleh delegasi Persekutuan Usahawan Belia Daerah Jiangsu ke Ibu Pejabat ECERDC, Menara Putrajaya Holdings Headquarters (PJH) di sini. Menurut beliau, antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu berkaitan Projek ECRL (Laluan Kereta Api Pantai Timur) serta menaik taraf kawasan perindustrian bagi menarik minat pelabur serta peneroka baru.  “Selain itu, pihak kami juga menawarkan ruang dan peluang dalam pelbagai sektor kepada pelabur melalui 28 kawasan perindustrian bermula dari Besut sehingga ke Kemaman,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya semalam. Tambah Nurkhuzaini, pelbagai insentif dan pakej pelaburan yang bakal ditawarkan oleh kerajaan negeri. "Termasuk melalui agensi Kerajaan Persekutuan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) MIDA dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)," jelasnya. Beliau berkata, ia sekali gus membantu pelabur merealisasikan pembangunan di Malaysia.  “Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung pada persidangan kali ini.  “Semoga apa yang dibincangkan mampu kita realisasikan demi kepentingan rakyat,” ujarnya.                    
30 Oct 23
303