lightning-solid
Berita :

Artikel "Utama" Terkini

Hanya Seorang Graduan Palestin Hadir Konvokesyen UniSZA, Empat Gagal Dihubungi
Hanya Seorang Graduan Palestin Hadir Konvokesyen UniSZA, Empat Gagal Dihubungi
KUALA NERUS, 5 November - Enam graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)  dari Palestin merupakan antara 3,608 graduan  yang menerima ijazah dan diploma pada Majlis Konvokesyen UniSZA kali ke-15 di Dewan Al-Muktafi Billah Shah di sini bermula Ahad hingga Rabu ini. Bagaimanapun, hanya seorang yang hadir iaitu graduan PhD Fakulti Sains Kesihatan, Hanan Kamel Mohammed Saad, 51, manakala empat graduan Palestin yang lain gagal dihubungi dan tidak diketahui status keberadaan mereka ketika ini. Manakala, graduan Fakulti Informatik dan Komputeran, Saber T R Syouri, 50, membuat satu hantaran video yang ditayangkan pada istiadat Majlis Konvokesyen UniSZA kali ke-15 (Sidang Pertama) bagi memaklumkan dia tidak dapat datang ke konvokesyen kali ini. Dia memaklumkan situasi yang memburuk sedang berlaku di Palestin ketika ini dan memohon doa untuk Palestin. "Saya minta maaf, betul-betul minta maaf. Saya tidak dapat berada di sana (UniSZA) pada hari istimewa ini untuk bergraduasi. "Ini kerana situasi di sini berbahaya dan rumit. Mohon, berdoalah dan doakan Palestin dan umat Islam. Mohon doakan untuk Palestin. "Terima kasih atas segala-galanya...terima kasih Terengganu. Terima kasih UniSZA dan terima kasih pada semua," katanya. Difahamkan, Saber kini berlindung di Tebing Barat dan beliau telah kehilangan ahli keluarga termasuk anak perempuan serta anak lelaki dalam serangan Israel ke atas Palestin baru-baru ini. Sementara itu, Hanan  ketika ditemui  berkata  dia berpeluang hadir ke majlis konvokesyen kerana masih berada di Terengganu selepas menamatkan pengajian di UniSZA kerana larangan masuk ke Gaza atas risiko keselamatan. Dia yang hadir tanpa ditemani ahli keluarga cuba menahan rasa sedih ketika menerima skroll ijazah daripada Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah tetap berasa bersyukur kerana sehingga hari ini keluarganya masih selamat dan dapat dihubungi di Gaza, Palestin. "Kali terakhir saya menghubungi keluarga semalam walaupun keadaan internet di sana agak lemah dan kerap terputus namun bersyukur masih dapat berbalas mesej dengan mereka menerusi Facebook dan Instagram. "Saya bersyukur dan sangat merindukan mereka. Ingatan saya sentiasa kepada keluarga selain mendoakan kesejahteraan mereka supaya dilindungi Allah dan kekal selamat di Gaza," katanya yang ingin mencari peluang kerja lebih baik di Malaysia. Dia turut menyimpan harapan Palestin mendapat kebebasan seperti diperjuangkan dan pulang untuk menemui keluarganya pada satu masa nanti.  
05 Nov 23
341
Hospital Pengajar UniSZA Beri Impak Besar Ekosistem Kesihatan Terengganu
Hospital Pengajar UniSZA Beri Impak Besar Ekosistem Kesihatan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 November – Pengoperasian Hospital Pengajar UniSZA memberi implikasi besar kepada ekosistem kesihatan di daerah Kuala Nerus dan juga negeri Terengganu secara amnya.  Naib Canselor Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr Fadzli Adam berkata pada 23 Julai 2023, Hospital Pengajar UniSZA telah berjaya memulakan pengoperasian klinik-klinik pakar kepada orang awam.  “Ia merupakan kejayaan besar bagi UniSZA dalam memberi manfaat kepada komuniti setelah pengoperasian Hospital tersebut. "Hospital itu menyediakan Klinik Perubatan Dalaman, Klinik Ortopedik, Klinik Oftalmologi, Klinik Otorinolaringologi, Klinik Pediatrik, Klinik Obstetrik & Ginekologi, Klinik Pembedahan dan Klinik Psikiatri," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika program Hi-Tea Diraja Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UNISZA ke-15 bertempat di Dewan Gamelan, Primula Beach Hotel di sini semalam. Tambah Fadzli Adam, dijangka pada tahun hadapan hospital berkenaan dapat dilaksanakan sepenuhnya. Terdahulu, Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli hadir pada program berkenaan. Ketibaan tiba baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bersama Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra. Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri.                
05 Nov 23
252
Terengganu Juara MAKSAK Berbasikal 2023
Terengganu Juara MAKSAK Berbasikal 2023
KUALA NERUS, 5 November - Terengganu muncul juara keseluruhan kejohanan berbasikal Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) 2023 di sini. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata naib juara dan tempat ketiga pula masing-masing dimenangi oleh Majlis Sukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Majlis Sukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Katanya, pada kejohanan itu seramai 12 pasukan bertanding yang melibatkan hampir 200 peserta. “Terengganu telah diberi penghormatan untuk menganjurkan Kejohanan Berbasikal MAKSAK Malaysia Tahun 2023. “Sebagaimana kita sedia maklum, kejohanan ini baru diperkenalkan pada tahun lepas dan turut diadakan di Negeri Terengganu," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Majlis Penyampaian Hadiah Kejohanan Berbasikal MAKSAK Malaysia 2023 bertempat di Pekarangan Bandar Al-Wathiqu Billah,Kuala Nerus di sini hari ini. Tambah Tengku Seri Bijaya Raja, penganjuran pada edisi pertama dianjurkan oleh MAKSAK Malaysia dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu. Ujar beliau, sebagaimana biasa, pungutan mata bagi penganjuran kali pertama tidak diambil kira.  “Hanya pada tahun ini kejohanan ini mula dikira untuk mata keseluruhan pasukan yang bertanding.   “Program tersebut berjalan lancar dengan cuaca yang baik sepanjang pertandingan berlangsung,” ujarnya.  
05 Nov 23
402
Lahirkan Generasi Seimbang di Kalangan Graduan- Sultanah Terengganu
Lahirkan Generasi Seimbang di Kalangan Graduan- Sultanah Terengganu
KUALA NERUS, 5 Disember -Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah menyeru  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) agar memberi tumpuan terhadap usaha melahirkan generasi seimbang di kalangan graduan. Baginda bertitah UniSZA harus membebaskan anak muda dari penjara maya, kepada merdeka jiwa, mandiri peribadi dan teguh iman pada zaman kecanduan 'skrin dan alam meta'.  "Dunia semakin tua dan masyarakat global terus berhadapan dengan ketidaktentuan dalam pelbagai aspek.Kecanduan ini merupakan punca kepada keruntuhan nilai.  "Beta berharap, UniSZA memastikan, pendigitalan universiti, seiring dengan pembangunan sosial mahasiswa," titah Baginda. Baginda bertitah demikian pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen ke-15 UniSZA yang akan berlangsung pada 5 hingga 8 November 2023, di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, Kampus Gong Badak, disini hari ini. Seramai 3,608 graduan Diploma, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah bakal menerima sijil masing-masing pada majlis konvokesyen tersebut. Dalam masa sama, Baginda yang juga Canselor UniSZA menzahirkan ucapan tahniah atas komitmen seluruh warga UniSZA, dengan pencapaian kedudukan penarafan.  "Beta dimaklumkan, UniSZA berada pada kedudukan 1,201 hingga 1,500, dalam Times Higher Education World University Ranking,"titah Baginda lagi. Justeru itu, Sultanah Nur Zahirah berharap barisan Lembaga Pengarah Universiti, Pengurusan Tertinggi, staf akademik, staf Pengurusan dan Profesional serta Staf pentadbiran dan sokongan, akan terus menyumbang selaras dengan gagasan "Ilmu Demi Faedah Insan", sebagai jariah.  
05 Nov 23
195
3,608 Graduan UniSZA Dirai Dalam Konvokesyen Ke-15
3,608 Graduan UniSZA Dirai Dalam Konvokesyen Ke-15
KUALA TERENGGANU, 5 November- Seramai 3,608 graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) diraikan dalam Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA Kali Ke-15 selama empat hari bermula hari ini. Naib Canselornya, Prof. Dato' Dr. Fadzli Adam berkata, graduan yang diraikan terdiri daripada 111 penerima ijazah doktor falsafah, 76 ijazah sarjana, 110 diploma pascasiswazah pendidikan, 2,057 ijazah sarjana muda dan 1,254 diploma. "Jumlah ini termasuk 27 graduan sulung program Sarjana Muda Farmasi (Kepujian). Majlis turut meraikan 16 graduan dari Republik Mauritius yang berjaya memperoleh Sarjana Muda Pengajian Bahasa Arab (Dengan Kepujian) menerusi program pesisir, " ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada sidang pertama Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UniSZA Kali Ke-15 yang disempurnakan oleh Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA, hari ini. Katanya, UniSZA buat julung kali turut menganugerahkan Profesor Emeritus kepada Dato' Dr. Alias Daud, yang merupakan mantan Naib Canselor UniSZA dan juga profesor di Fakulti Reka Bentuk Inovatif dan Teknologi (FRIT), UniSZA. "Manakala Senator Datuk Seri Profesor Emeritus Dr. Awang Sariyan yang berjasa memartabatkan Bahasa Melayu pula dianugerahkan sebagai penerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan, " katanya. Beliau dalam masa sama memaklumkan, selain PhD, majlis konvokesyen terbabit turut menyaksikan penyampaian anugerah lain seperti Anugerah Pelajaran Diraja Pingat Jaya Cemerlang serta Anugerah Terbaik Fakulti (Pingat Ibnu Al-Baytar) kepada graduan terpilih.  
05 Nov 23
518
Tun M Kagum Pengusaha Produk Makanan di Terengganu
Tun M Kagum Pengusaha Produk Makanan di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 November - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memuji dua syarikat perusahaan makanan di Kuala Terengganu semasa lawatan kerja sebagai Penasihat Kehormat kepada empat negeri (SG4) di sini. Menurutnya, beliau bangga kerana ada pengusaha Melayu yang menggunakan cara moden mengeluarkan produk barangan makanan untuk eksport ke Australia, Singapura, Korea Selatan, Jepun, Saudi, Ireland dan lain-lain.  Katanya, penggunaan mesin boleh percepat dan perbanyakkan produk mereka di samping menjaga konsistensi sesuatu produk.  “Lawatan tersebut diadakan di kilang pengusaha AdeqSue yang menyediakan makanan siap masak dalam bentuk pek (package), dan Muslim Food Industries. “Perusahaan tersebut mengeluarkan makanan seperti bihun, mee, laksa, kuetiau, bebola ikan dan lain-lain,” katanya dalam satu hantaran di laman facebook rasmi miliknya kelmarin. Tambah Tun Dr Mahathir, kedua-dua perusahaan itu menggunakan jentera mesin yang boleh hasilkan pengeluaran dalam jumlah besar dan memenuhi permintaan.  “Ia merupakan contoh terbaik yang boleh dijadikan panduan kepada pengusaha lain yang berminat dalam bidang sebegini. "Industri pembuatan dan pembungkusan seperti ini mempunyai permintaan harian kerana barang makanan biasanya diperlukan setiap hari,” katanya. Selain itu, perusahaan ini juga memerlukan pengurusan logistik yang cekap bagi menentukan ia sampai ke pasaran. Jelasnya lagi, apabila sesuatu industri diadakan, ianya membuka peluang kerja kepada orang tempatan dan sekeliling.  Beliau berkata, keperluan logistik menghantar produk itu tadi juga adalah peluang kerja kerana kenderaan memerlukan pengendali seperti kelindan dan pemandu.  “Ini sahaja sudah beri pendapatan kepada orang tempatan dan kitaran ekonomi berlaku secara tidak langsung.  “Selain peluang kerja, saya dapati perusahaan seperti ini mengajar peniaga bagaimana membekal mengikut permintaan.  “Jika kita masak secara manual dalam jumlah sedikit, ini sekadar memenuhi permintaan sekeliling kita sahaja.  “Tetapi jika kita guna mesin atau jentera dan adaptasi kaedah pengeluaran secara besar-besaran, bukan sahaja permintaan sekeliling boleh dipenuhi malah permintaan di luar kawasan termasuk di luar negara juga kita mampu penuhi dan kuasai. “Kita perlu hantar barangan kita ke negara-negara lain, jadi pasaran bukan lagi sekadar di kampung atau dalam negara tetapi terus ke peringkat antarabangsa,” ujarnya.        
05 Nov 23
3088
Rebat RM2,250 Sambung Pengajian di TESDEC
Rebat RM2,250 Sambung Pengajian di TESDEC
KUALA TERENGGANU, 5 November - Terengganu Skills Development Centre (TESDEC) menyediakan rebat sebanyak RM2,250 kepada pelajar yang mengikuti program pra-diploma sijil Sains untuk menyambung pelajaran ke peringkat diploma dalam mana-mana program di institusi tersebut. Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah TESDEC, Sulaiman Sulong berkata, hal ini membuktikan TESDEC memberi sepenuh galakan kepada lepasan sijil khususnya anak Terengganu untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi. "TESDEC adalah satu nilai harga yang mesti dikembalikan kepada masyarakat sebagai sebuah institusi untuk semua orang mempelopori minat dan kemahiran baharu termasuk golongan belia dan warga berusia. "Misi TESDEC ialah untuk melahirkan graduan yang berdaya saing, berkeyakinan dan berketerampilan menjadi pemangkin kepada kebolehpasaran dalam industri. "Ini kerana katanya TESDEC bukan sahaja memberi penekanan terhadap keupayaan teknikal tetapi juga ciri-ciri lain termasuk pembangunan sahsiah dan kemahiran interpersonal," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian Konvokesyen ke 5 TESDEC di Dewan Kenanga, Terengganu Equestrian Resort (TER) di sini baru-baru ini. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC, Mohd Iskandar Muhammad Aziz, Pengerusi Lembaga Pengelola Kolej TESDEC, Prof Madya Dr Berhanundin Abdullah, Ketua Eksekutif Kolej TESDEC, Mat Azam Husain. Sementara itu seramai dua orang graduan menerima baucer pengecualian yuran (rebat) dari TESDEC termasuk Aziz Mat Yusoff dan Nabilah Huda Mustaffa masing-masing dari program Diploma Kimpalan.
05 Nov 23
142
Primula Raih Anugerah di IDEA Award 2023
Primula Raih Anugerah di IDEA Award 2023
KUALA TERENGGANU, 5 November - Primula Beach Hotel melakar satu lagi sejarah apabila meraih anugerah 'Consumer Choice Brand' pada malam Anugerah Usahawan Berprestij Islam (IDEA Award 2023). Pengurus Besar, Suaibah Harun berkata Anugerah IDEA Award 2023 menjadi platform yang luar biasa untuk mengiktiraf usaha cemerlang usahawan Muslim di Malaysia, serta menyokong pertumbuhan perniagaan komuniti Muslim yang cemerlang dan berdaya saing. Katanya, anugerah tersebut bukan sahaja milik Primula Beach Hotel tetapi juga tanda kejayaan bersama sebagai salah satu anak syarikat milik kerajaan negeri. "Keunikan anugerah ini tidak hanya mengiktiraf pencapaian dalam bidang perniagaan, tetapi juga menilai kesediaan usahawan terbilang untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT melalui perniagaan. "Sekali gus dalam usaha memenuhi tuntutan fardhu kifayah dengan menyediakan perkhidmatan serta manfaat kepada seluruh masyarakat," katanya kepada pemberita ketika dihubungi. Anugerah berprestij ini dianjurkan oleh Dewan Perniagaan Muslim Insiders dan diadakan di Hotel St Regis Kuala Lumpur telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan 1, Datuk Seri Ahmad Maslan. Pemenang anugerah menerima trofi dengan ukiran khat 'Mari Menuju Kejayaan' sebagai simbolik pencapaian cemerlang mereka dalam dunia perniagaan.  IDEA Award 2023 bertujuan untuk mengiktiraf dan memberi penghargaan kepada usahawan Muslim yang telah mencapai tahap keunggulan luar biasa dalam pelbagai sektor ekonomi.  Anugerah ini juga memupuk kerjasama dengan pemilik perniagaan bukan Islam yang mengamalkan ciri-ciri 'Muslim-friendly businesses'.  
05 Nov 23
258
UniSZA Terima Sumbangan Lebih RM3 Juta
UniSZA Terima Sumbangan Lebih RM3 Juta
KUALA TERENGGANU, 5 November - Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) menerima bantuan sumbangan wakaf, 'endowment', infak dan wakalah zakat berjumlah RM3,489,123. Sumbangan itu dijayakan pada program Hi-Tea Diraja Majlis Idul Ilmi Konvokesyen UNISZA ke-15 bertempat di Dewan Gamelan, Primula Beach Hotel di sini semalam. Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli hadir pada program berkenaan. Ketibaan tiba baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bersama Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin serta Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Fatimatuz Zahra. Keberangkatan tiba baginda disambut Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Fadzli Adam berkata sebanyak 12 industri terlibat dalam pemberian bantuan tersebut. Jelas beliau, antaranya, Jabatan Pertanian Negeri Terengganu (JPNT) yang telah memberi sumbangan sebanyak RM2 Juta diikuti Lembaga Tabung Haji sebanyak RM350,000 “Turut bersama memberi sumbangan anak syarikat kerajaan negeri (GLC), Terengganu Incorporated yang menginfak sebanyak RM100,000. “Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada semua penyumbang yang telah bekerjasama dalam menjayakan projek dengan pihak UniSZA,” katanya pada majlis berkenaan. Tambah Fadzli Adam, hasil pendanaan dan kerjasama daripada pelbagai agensi, UniSZA telah memainkan peranan yang signifikan kepada komuniti. Ujarnya, projek Penanaman Keledek Vitato yang diusahakan bersama Jabatan Pertanian Negeri Terengganu dengan penyediaan ladang seluas 100 ekar bernilai RM 2 juta bagi Program Keterjaminan Makanan Sub Projek Pembangunan Tanah Berpotensi. “Projek Agropreneur Melon Manis Terengganu yang dibiayai dan diusahakan secara bersama antara UniSZA, Yayasan Diraja Sultan Mizan dan CIMB Bank dengan belanja keseluruhan sebanyak RM300,000.00," jelasnya. Beliau berkata, bagi menyuburkan segmen filantrofi khususnya Wakaf dan Endowmen, ‘Infak UniSZA’ telah dibangunkan sebagai platform pendanaan awam berteknologi fintech atau teknologi kewangan.  Jelasnya lagi, selain daripada dokongan berbentuk kewangan, UniSZA menyeru pihak industri menyumbang dalam menjayakan gagasan UniSZA melahirkan graduan kalis masa depan.  “UniSZA mendambakan graduannya bukan sahaja boleh dipasarkan, malah cakna, berkemampuan dan bersedia untuk menyumbang.  “Antara ruang pengembangan potensi graduan adalah melalui syarikat pemula (start up company) dan bantuan strategik daripada sifu industri. “Langkah ini membolehkan anak muda menguasai aspek know-how dalam membina ekonomi baharu merentasi cabaran dunia,” ujarnya.    
04 Nov 23
268
25,000 Penyokong TFC, KL Zahir Sokongan Kepada Palestin
25,000 Penyokong TFC, KL Zahir Sokongan Kepada Palestin
KUALA TERENGGANU, 4 November - Lebih 25,000 penyokong pasukan Terengganu FC mengangkat ribuan bendera Palestin serta kain rentang bagi mempamerkan solidariti terhadap usaha pembebasan negara itu oleh rakyat mereka. Dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia antara Terengganu FC dan Kuala Lumpur City FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) semalam, bendera Palestin dikibarkan sewaktu lagu Negaraku dinyanyikan. Pihak Terengganu FC Sdn Bhd, (TFCSB) menyatakan, usaha tersebut merupakan simbolik kepada situasi yang berlaku di Palestin atas dasr kemanusiaan dan keamanan sejagat. Selain itu, TFCSB dengan kerjasama Urus Setia Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu Sejahtera (UBSNT) turut mengadakan kutipan derma buat Palestin dengan menyediakan tabung di pintu-pintu masuk stadium. Tidak lupa juga, pihak stadium menyediakan 12 ruang solat di kawasan tempat duduk terbuka sebagai tambahan surau yang terdapat di luar stadium dalam memastikan rakyat negeri itu tidak mengabaikan kewajipan solat sepanjang perlawanan. Pada perlawanan itu, Terengganu FC mara ke perlawanan akhir setelah menyingkirkan KL City FC dengan kemenangan 2-1 hasil jaringan berganda penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut.  
04 Nov 23
197